Tafsir Surah al-Qamar Ayat 34 – 45 (Golongan dalil pun baca Qur’an)

Ayat 34: Apakah azab yang dikenakan kepada mereka kerana dosa-dosa yang mereka lakukan?

إِنّا أَرسَلنا عَلَيهِم حاصِبًا إِلّا ءآلَ لوطٍ ۖ نَجَّينٰهُم بِسَحَرٍ

Sahih International

Indeed, We sent upon them a storm of stones, except the family of Lot – We saved them before dawn

Malay

Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam,

إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ حَاصِبًا

Sesungguhnya Kami telah menghantarkan ke atas mereka taufan batu-batu,

Mereka dikenakan dengan hujan batu dari neraka. Setiap batu-batu itu telah ada nama mangsanya. Ini adalah kerana penolakan mereka terhadap dakwah dan ajaran Nabi Luth. Mereka menolak ajakan tauhid dari Nabi Luth dan mereka juga melakukan perbuatan terkutuk iaitu liwat (homoseksual).

Merekalah yang pertama sekali melakukan perkara ini kerana tidak pernah ada sejarah lagi dari perbuatan manusia lain. Binatang pun tak buat kerja ini. Oleh itu, dari kalimah nama Nabi Luth inilah dijadikan kalimah perbuatan ‘liwath’ itu.

 

إِلَّا ءآلَ لُوطٍ

kecuali keluarga Luth.

Hanya keluarga Nabi Luth sahaja yang terselamat. Malaikat telah menyuruh mereka meninggalkan tempat itu sebelum bala itu turun. Hanya Luth a.s. dan dua anak perempuannya sahaja. Isteri Nabi Luth pun tak selamat kerana dia bersekongkol dengan kaumnya yang homoseksual. Ini adalah kerana dia seorang munafik. Jiwanya bersama kaumnya.

Apabila dia seorang munafik maka dia tidak tinggalkan kaumnya. Macam orang munafik, boleh sahaja duduk dengan orang mukmin yang lain. Dan Nabi Luth sendiri tidak tahu yang isterinya itu munafik, kerana itulah dia tidak ceraikan.

 

نَّجَّيْنٰهُم بِسَحَرٍ

Mereka Kami selamatkan menjelang fajar menyingsing,

Malaikat datang dan suruh mereka selamatkan diri sebelum waktu subuh (waktu sahur). Mereka telah disuruh pergi tanpa pandang ke belakang. Supaya mereka tidak melihat bala yang menimpa kaum mereka. Kerana trauma sangat kalau tengok azab itu.

Sedangkan kaum Nabi Musa boleh melihat bala yang dikenakan kepada Firaun dan tentera-tenteranya, kerana mereka boleh melihat mereka lemas dalam laut. Dan umat Nabi Muhammad pula dibenarkan untuk berperang dengan musuh mereka dan bunuh sendiri musuh mereka dengan tangan dan pedang mereka.

Itu adalah beza antara umat-umat. Ada yang dapat melihat azab yang dikenakan kepada golongan penentang mereka.


 

Ayat 35:

نِعمَةً مِّن عِندِنا ۚ كَذٰلِكَ نَجزي مَن شَكَرَ

Sahih International

As favor from Us. Thus do We reward he who is grateful.

Malay

Sebagai limpah kurnia dari Kami. Demikianlah kami membalas orang-orang yang bersyukur.

نِّعْمَةً مِّنْ عِندِنَا

sebagai nikmat dari sisi Kami.

Kalau Allah selamatkan, itu adalah nikmat yang Allah berikan. Ini bermakna, apa sahaja keselamatan yang kita dapat, ianya adalah dari Allah dan ianya adalah satu nikmat sebenarnya.

 

كَذَٰلِكَ نَجْزِي مَن شَكَرَ

Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur,

Kalau kita bersyukur, kita akan dibalas dengan nikmat. Apakah ‘syukur’ yang dilakukan oleh Luth sampaikan baginda mendapat keselamatan itu? Kerana baginda telah beriman dan bersabar. Baginda telah bersyukur kerana baginda dalam agama Islam. Dan baginda tetap tinggal bersama kaumnya walaupun mereka tidak beriman.

Padahal baginda bukan berasal dari kaum itu. Baginda terus tinggal untuk berdakwah kepada mereka. Ada ulama’ berpendapat tidak boleh kita tinggal di negara bukan Islam kecuali kalau kita hendak berdakwah di situ. Kalau kita tidak boleh berdakwah, maka kita kena tinggalkan. Kena tinggalkan lebih baik untuk menjaga agama kita. Kerana kalau terus duduk di negara non-Muslim, susah kita hendak mengamalkan agama dengan sempurna.

Jadi, bersyukur itu dapat dilaksanakan dengan menyebarkan agama. Oleh itu bukanlah maksud bersyukur itu hanya menyebut alhamdulillah berkali-kali sahaja tanpa mengamalkan agama Islam dengan benar dan menyebarkannya kepada orang lain juga. Maka kenalah kita mengajak manusia yang ramai-ramai itu kepada ajaran tauhid.

Begitulah Allah telah selamatkan Nabi Luth dan keluarganya. Begitulah juga Allah akan menyelamatkan hamba-hambaNya yang beriman nanti. Bukan hanya Nabi Luth sahaja yang akan diselamatkan. Maka kalau kita juga beriman, dan kita juga menyebarkan dakwah, maka kita akan diselamatkan juga.


 

Ayat 36: Inilah ajakan dakwah Nabi Luth kepada kaumnya.

وَلَقَد أَنذَرَهُم بَطشَتَنا فَتَمارَوا بِالنُّذُرِ

Sahih International

And he had already warned them of Our assault, but they disputed the warning.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Nabi Luth telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa Kami; dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu.

وَلَقَدْ أَنذَرَهُم بَطْشَتَنَا

Dan sesungguhnya dia (Luth) telah memperingatkan mereka akan azab-azab Kami,

Nabi Luth telah pernah memberikan ancaman kepada mereka dengan azab yang Allah boleh kenakan kepada kaum itu, kalau mereka engkar dengan arahan Allah. Bukannya mereka itu tidak diberi ancaman, tapi sudah berkali-kali diberikan ancaman.

 

فَتَمَارَوْا بِالنُّذُرِ

maka mereka mendustakan ancaman-ancaman itu.

Tapi mereka tidak mahu mendengar dan taat kepada ancaman dan dakwah itu. Ini adalah kerana mereka ragu-ragu. Dan ragu-ragu ini bahaya kerana lama kelamaan ia boleh menjadi kafir. Kerana itu tidak salah untuk ragu-ragu pada peringkat awal, tapi kenalah dihilangkan ragu-ragu itu dengan mencari kebenaran.

Sebagai contoh, sekarang ramai yang hairan dengan apa yang disampaikan oleh ustaz-ustaz sunnah kerana ianya perkara baru dalam masyarakat. Sampai ramai yang keliru kerana berlainan dengan apa yang mereka telah biasa. Jadi ragu adalah perkara biasa. Tapi kenalah cari dalil apakah yang benar. Kena dengar dulu apa yang disampaikan dan kena tanya kepada orang yang tahu.

Walaupun kaum Nabi Luth itu tidak mahu menerima ajakan tauhid Nabi Luth tetapi baginda masih dikira sebagai seorang yang ‘bersyukur dan diselamatkan’. Kerana Allah bukan kira kejayaan seorang pendakwah itu berapa ramai orang yang mengikutnya tetapi Dia mahu melihat kita melakukan dakwah. Kerana kita tidak boleh memberi hidayah kepada orang lain, kita cuma boleh menyampaikannya sahaja.


 

Ayat 37: Kaum Nabi Luth telah melakukan satu dosa yang besar iaitu homoseksual.

وَلَقَد رٰوَدوهُ عَن ضَيفِهِ فَطَمَسنا أَعيُنَهُم فَذوقوا عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

And they had demanded from him his guests, but We obliterated their eyes, [saying], “Taste My punishment and warning.”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Luth mengenai tetamunya, lalu Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

وَلَقَدْ رٰوَدُوهُ عَن ضَيْفِهِ

Dan sesungguhnya mereka telah memaksanya (agar menyerahkan) tamunya (kepada mereka),

Kaum Nabi Luth memaksa Nabi Luth untuk memberikan tetamu baginda kepada mereka untuk diliwat.

Dalam ayat ini hanya disebut kisah itu secara ringkas. Dalam surah lain disebutkan bagaimana Nabi Luth telah didatangi oleh dua malaikat yang merupakan diri mereka seperti lelaki yang kacak. Mereka pula adalah kaum yang mengamalkan homoseksual. Dan isteri Nabi Luth lah yang membocorkan berita kedatangan dua ‘lelaki’ itu kepada kaumnya.

Maka mereka telah berkenan kepada tetamu Nabi Luth itu tanpa mengetahui yang mereka berdua adalah malaikat yang datang untuk menghancurkan mereka. Kisah ini telah disebut dengan lebih panjang di dalam Hud:77-83 dan Al-Hijr:61-74.

Nota: ada golongan gay yang jahil agama dan bodoh berkata: yang salah kalau ‘memaksa’ sahaja macam yang disebut dalam ayat ini. Maka mereka kata, kalau rela sama-sama suka, tidak mengapa.

Ini amat bahaya sekali kalau pemahaman ini menular dalam masyarakat yang memang telah sedia jahil agama. Ayat-ayat Al-Qur’an kenalah dibaca semua sekali, janganlah tebuk dan cari ayat-ayat yang agak-agak kena dengan kehendak golongan kita dan pandai-pandai sahaja tafsir sendiri nak membenarkan amalan salah sendiri.

Eloklah golongan gay pun baca Al-Qur’an. Tapi bacalah semua ayat dan marilah belajar tafsir Al-Qur’an supaya tidak salah faham. Kerana apa yang mereka faham itu amat jauh dari agama. Memang tidak akan pernah liwat dibenarkan dan tidak akan dibenarkan sampai bila-bila.

 

فَطَمَسْنَا أَعْيُنَهُمْ

lalu Kami butakan mata mereka,

Allah menjadikan mereka buta sampaikan tidak boleh buat apa-apa kepada malaikat itu. Iaitu apabila mereka merempuh masuk ke dalam rumah Nabi Luth a.s, cahaya terang telah menyilaukan mata mereka.

Juga ada dikatakan bahawa Jibril telah memukul mata mereka dengan sayapnya. Maka mereka tidak nampak apa yang di hadapan mereka.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ

maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.

Ayat ini lain sedikit daripada ayat-ayat yang sebelum ini. Dalam ayat ini, digunakan perkataan فَذُوقُوا  (rasakanlah) dan ayat-ayat sebelum ini digunakan perkataan فَكَيْفَ كَانَ (bagaimana). Ini adalah kerana sebelum ini, ayat-ayat itu ditujukan kepada Musyrikin Mekah. Dalam ayat ini, Allah quote terus apakah yang dikatakan kepada kaum Luth itu sendiri.

Allah menceritakan apakah azab yang telah dikenakan kepada kaum-kaum itu dan Allah suruh Musyrikin Mekah dan kita membayangkan bagaimanakah azab-azab itu. Tapi dalam ayat ini, Allah tujukan terus pada kaum Nabi Luth kerana murkaNya Allah kepada mereka terlalu tinggi.

Kerana mereka telah melakukan syirik dan kemudian amalkan homoseksual pula. Maka memang amalan homoseksual (semburit) ini tidak patut diterima. Maka kita kena halang dari perkara ini terus berleluasa dalam masyarakat.


 

Ayat 38:

وَلَقَد صَبَّحَهُم بُكرَةً عَذابٌ مُّستَقِرٌّ

Sahih International

And there came upon them by morning an abiding punishment.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Mereka telah ditimpa azab yang kekal pada pagi-pagi hari (esoknya).

وَلَقَدْ صَبَّحَهُم بُكْرَةً

Dan sesungguhnya pada esok harinya

Azab yang dikenakan kepada mereka itu datang pada awal pagi. Ayat ini adalah ringkasan sahaja, tidak disebutkan apakah azab itu. Dari riwayat lain kita dapat tahu yang negeri mereka telah dicungkil oleh Jibril dan diangkat ke langit. Dan kemudian mereka telah dihujani dengan batu. Dan mereka telah dihempaskan kembali ke bumi dan dibenamkan (setelah diterbalikkan).

 

عَذَابٌ مُّسْتَقِرٌّ

mereka ditimpa azab yang kekal.

Azab itu kekal sampaikan ke neraka dan tidak akan keluar sampai bila-bila. Kerana mereka tidak ada peluang untuk bertaubat dan kerana itu mereka akan kekal dalam neraka.


 

Ayat 39:

فَذوقوا عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

So taste My punishment and warning.

Malay

Lalu (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

Inilah ancaman dari Allah. Allah ceritakan apa yang terjadi kepada kaum-kaum yang terdahulu sebagai peringatan kepada umat-umat selepas itu. Janganlah mereka degil untuk menerima ajakan tauhid dan ajaran agama dari Rasul mereka.

Jangan kita sangka mereka sahaja yang boleh dikenakan dengan azab. Kalau kita pun berperangai seperti mereka, maka azab pun boleh dikenakan kepada kita semasa di dunia lagi. Maka janganlah amalan homoseksual ini langsung diterima dalam masyarakat. Kita kena kutuk habis-habisan. Jangan langsung beri ruang kepada mereka untuk rasa selesa mengamalkannya.

Kerana kita takut kalau ia jadi normal sahaja dalam masyarakat, maka Allah turunkan azab ke atas kita. Takut nanti dengan kita sendiri kena azab kerana tidak menjalankan tugas menghalang amalan buruk ini. Jangan jadi ahli politik yang bermain kata-kata kerana takut undi mereka kurang. Kita yang tahu agama ini kena tetap kuat mengutuk amalan ini.


 

Ayat 40:

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْءآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur’an untuk pelajaran,

Maka janganlah kita leka lalai dari Al-Qur’an ini. Semua sudah kenal apa itu Al-Qur’an, maka teruskan dengan berusaha untuk memahami apakah ajaran dalam Al-Qur’an itu. Jangan pandai baca sahaja seperti kebanyakan dari masyarakat Melayu kita.

Kalau bab baca Al-Qur’an, beriya-iya sungguh mereka belajar, tapi bab belajar faham makna? Tidak ramai lagi yang mahu belajar. Tidak ramai yang sanggup luangkan masa untuk belajar.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Ayat ini ditujukan kepada kita. Maka kenalah kita menjawab yang kita yang akan mengambil pengajaran dan peringatan dari Al-Qur’an ini. Kitalah yang menyahut ajakan dari Allah ini untuk belajar. Kerana itu ada yang sampai ke sini dan berusaha untuk baca dan belajar.

Semoga Allah tempatkan kita di dalam kalangan orang-orang yang alim tentang Al-Qur’an ini.

Habis Ruku’ 2 dari 3 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 41: Ayat 41 & 42 adalah Perenggan Makro Keenam dan ia adalah berkenaan pendustaan Firaun dan ahlinya.

وَلَقَد جاءَ ءآلَ فِرعَونَ النُّذُرُ

Sahih International

And there certainly came to the people of Pharaoh warning.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Firaun dan kaumnya telah didatangi (Rasul-rasul) pemberi amaran.

Kepada Firaun dan keluarganya, telah didatangkan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. Firaun dan kaumnya bangsa Qibti telah diberikan dengan ancaman-ancaman yang jelas. Bukan satu ancaman sahaja, tapi banyak yang diberikan kepada mereka.

Bukan seorang Rasul yang dihantar kepadanya, tapi sampai dua orang. Tapi apakah yang dilakukan oleh Firaun dan pengikutnya?


 

Ayat 42:

كَذَّبوا بِئآيٰتِنا كُلِّها فَأَخَذنٰهُم أَخذَ عَزيزٍ مُّقتَدِرٍ

Sahih International

They denied Our signs, all of them, so We seized them with a seizure of one Exalted in Might and Perfect in Ability.

Malay

Mereka telah mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan azab seksa kepada mereka sebagai seksaan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.

كَذَّبُوا بِئآيَٰتِنَا كُلِّهَا

Mereka mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya,

Firaun dan pengikut-pengikutnya tidak mahu menerima dakwah Nabi Musa dan mukjizat-mukjizat yang ditunjukkan. Itulah maksud كُلِّهَا (semuanya) itu. Semuanya mereka tolak walaupun entah berapa banyak mukjizat yang telah ditunjukkan kepada mereka.

Dalam Al-Qur’an telah disebut sebanyak sembilan mukjizat ditolak oleh mereka. Selain dari mukjizat itu, ada lagi ayat-ayat dari Allah yang mereka tolak. Dalam A’raf:132 ada disebut:

وَقَالُوا مَهْمَا تَأْتِنَا بِهِ مِنْ آيَةٍ لِّتَسْحَرَنَا بِهَا فَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ

Mereka berkata: “Bagaimanapun kamu mendatangkan keterangan kepada kami untuk menyihir kami dengan keterangan itu, maka kami sekali-kali tidak akan beriman kepadamu”.

Mereka bukan sahaja menolak, tapi mereka tuduh pula apa yang Nabi Musa dan Nabi Harun bawakan itu adalah sihir. Dalam Taha:56 juga telah disebut bagaimana Firaun dan konco-konconya telah ditunjukkan dengan semua tanda, tapi mereka menolak kebenaran.

وَلَقَدْ أَرَيْنَاهُ آيَاتِنَا كُلَّهَا فَكَذَّبَ وَأَبَىٰ

Dan sesungguhnya Kami telah perlihatkan kepadanya (Fir’aun) tanda-tanda kekuasaan Kami semuanya maka dia mendustakan dan enggan (menerima kebenaran).

Digunakan perkataan كُلِّهَا kerana mereka tolak semua sekali dakwah dari Nabi Musa dan Nabi Harun. Memang bahaya kalau tolak wahyu. Kalau kita tolak satu sahaja ayat Allah, bermaksud dikira semuanya sekali ditolak. Ini adalah amat bahaya. Kita tidak boleh tolak walau satu pun ayat dalam Al-Qur’an. Bayangkan satu negeri dalam negara kita ini yang menolak tiga ayat Al-Qur’an berkenaan pembahagian harta.

Sepatutnya harta dibahagikan mengikut cara faraid, tetapi sebaliknya mereka menggunakan Adat Perpatih untuk membahagikan harta itu. Kalau satu ayat sahaja ditolak bermaksud seluruh Al-Qur’an itu ditolak, bagaimana pula kalau tiga ayat Al-Qur’an ditolak?

Bagaimana pula mereka yang menolak ayat-ayat hudud dari Allah? Bagaimana pula mereka yang menolak ayat-ayat tentang tawasul dan sebagainya?

 

فَأَخَذْنَٰهُمْ أَخْذَ عَزِيزٍ مُّقْتَدِرٍ

lalu Kami azab mereka dengan azab dari Yang Maha Perkasa lagi Maha Kuasa

Kerana menolak ayat-ayat dari Allah, maka mereka telah diazab oleh Allah semasa mereka di dunia lagi. Yang dimaksudkan adalah azab mereka dihempas dan dilemaskan dengan air laut semasa mereka mengejar Bani Israil untuk menyeberanginya.

Firaun amat berbangga dengan kekuatan dan kekuasaannya. Dalam Zukhruf:51 ada disebut bagaimana bangga dan sombongnya dia:

وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَٰذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِن تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan Fir’aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: “Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat(nya)?

Firaun sangka dia yang berkuasa dan gagah, tapi Allah beritahu Dialah sebenarnya yang mempunyai kuasa.


 

Ayat 43: Ayat 43 – 55 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan terakhir. Ia memberitahu akibat mendustakan seruan para Rasul.

أَكُفّارُكُم خَيرٌ مِّن أُولٰئِكُم أَم لَكُم بَراءَةٌ فِي الزُّبُرِ

Sahih International

Are your disbelievers better than those [former ones], or have you immunity in the scripture?

Malay

Adakah kafir kamu (wahai kaum musyrik Mekah), lebih baik (kekuatan, kekayaan dan kehandalannya) daripada kafir yang tersebut itu? Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti dalam Kitab-kitab Suci tentang kebebasan kamu (dari azab)?

أَكُفَّارُكُمْ خَيْرٌ مِّنْ أُولَٰئِكُمْ

Apakah kafirmu (hai kaum musyrikin) lebih baik dari mereka itu,

Kalimah أُولَٰئِكُمْ itu bermaksud kaum-kaum yang disebut sebelum ini. Telah disebutkan bagaimana mereka itu dihancurkan kerana keengkaran mereka. Allah nak tanya kepada puak Musyrikin Mekah dan kita juga: adakah kita lebih hebat dari mereka?

Mereka itu memang lebih hebat, tapi Allah boleh hancurkan mereka. Jangan sangka yang kita akan selamat dengan kehebatan yang kita ada. Kalau kita engkar, Allah boleh azab kita di dunia ini lagi. Dan kita tidak akan selamat di akhirat kelak.

Jangan kita sangka kita akan selamat walau siapa pun kita. Allah tanya kepada golongan kafir dalam ayat ini: adakah kamu sangka kafir kamu ini jenis baik? Dan kerana itu kamu sangka kamu akan selamat? Tentu tidak sama sekali. Kalau kafir itu sama sahaja, tempatnya di neraka.

 

أَمْ لَكُم بَرَاءَةٌ فِي الزُّبُرِ

atau apakah kamu telah mempunyai jaminan kebebasan (dari azab) dalam Kitab-kitab yang dahulu?

Kalimah بَرَاءَةٌ dari katadasar ب ر أ yang bermaksud sesuatu yang jelas, tidak bersalah, menyelamatkan diri dari sesuatu, immuniti. Maka kalimah بَرَاءَةٌ dalam ayat ini bermaksud imuniti. Adakah ada tertulis di mana-mana kitab-kitab sebelum ini yang mereka ada imuniti, boleh terselamat dari azab Allah?

Musyrikin Mekah perasan mereka itu umat terpilih kerana mereka Penjaga Kaabah waktu itu. Allah nak beritahu yang mereka pun tidak selamat.

Ada kalangan kita yang sangka kita boleh selamat dari azab Allah. Kerana mereka itu ada yang keturunan Nabi, ada mereka yang ikut sekian guru dan sebagainya, maka mereka sangka mereka insan terpilih dan kerana itu mereka akan selamat. Allah tanya balik kepada mereka yang rasa sebegitu, adakah tertulis dalam mana-mana kitab yang terdahulu yang mereka akan selamat?

Tentulah tidak ada. Keturunan atau dekatnya dengan seseorang yang baik tidaklah menjadi syarat bahawa seseorang itu akan selamat. Atau mana-mana sebab pun. Kalau anak Nabi pun belum tentu selamat, apatah lagi kita yang bukan anak sesiapa pun.


 

Ayat 44:

أَم يَقولونَ نَحنُ جَميعٌ مُّنتَصِرٌ

Sahih International

Or do they say, “We are an assembly supporting [each other]”?

Malay

(Mereka tidak mempunyai sebarang bukti) bahkan mereka akan berkata (dengan angkuhnya): Kami satu kaum yang bersatu, yang sudah tentu dapat membela diri!

أَمْ يَقُولُونَ

Atau apakah mereka mengatakan:

Ini ada satu lagi hujah yang Allah buka kepada kita tentang mereka yang melakukan keengkaran itu.

 

نَحْنُ جَمِيعٌ مُّنتَصِرٌ

“Kami adalah satu golongan yang bersatu yang pasti menang”.

Musyrikin Mekah kata mereka ramai dan kerana itu mereka boleh membantu sesama mereka. Mereka sangka kalau azab Allah dikenakan kepada mereka, mereka boleh lawan balik kerana mereka ramai.

Ada yang rasa kerana mereka ramai, mereka akan selamat. Sebagai contoh, lihatlah betapa ramainya golongan yang ber’ya hanana’ sampai penuh satu stadium buat syirik. Adakah mereka sangka, mereka ramai itu mereka akan selamat?


 

Ayat 45:

سَيُهزَمُ الجَمعُ وَيُوَلّونَ الدُّبُرَ

Sahih International

[Their] assembly will be defeated, and they will turn their backs [in retreat].

Malay

Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari.

سَيُهْزَمُ الْجَمْعُ

Golongan itu pasti akan dikalahkan

Tidak kira berapa ramai pun mereka, mereka akan dikalahkan. Kalimah سَيُهْزَمُ dari katadasar ه ز م yang bermaksud mengalahkan, diatasi, dilawan.

Kisah ini tentang Perang Badr di mana waktu itu Musyrikin Mekah itu ramai dari umat Islam Madinah, tapi golongan Musyrikin Mekah kalah juga dan mereka sampai terpaksa melarikan diri. Kerana kemenangan dan kekuatan bukan pada diri sendiri tapi dengan bantuan Allah.

 

وَيُوَلُّونَ الدُّبُرَ

dan mereka akan mundur ke belakang.

Para musuh akan lari ketakutan apabila berdepan dengan umat Islam yang ada iman. Dan Allah bantu umat Islam.

Sebagai contoh, apabila Nabi hendak menyerang sesuatu tempat, Allah akan tanamkan ketakutan dalam diri musuh baginda walaupun mereka itu ramai. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi dan kata-kata mereka yang dulunya menentang Islam dan kemudian masuk Islam, apabila mereka menceritakan pengalaman mereka dalam kufur dan berperang dengan tentera Islam.

Mereka kata semasa mereka berperang dengan Nabi dan tentera Islam dulu, mereka amat takut dengan tentera Islam walaupun bilangan mereka ramai dan kelengkapan perang mereka lebih hebat. Dalam hadis ada disebut bagaimana walaupun jarak Nabi dari mereka seribu batu pun, mereka sudah rasa takut.

Jadi, ini adalah ramalan apa yang akan terjadi kepada Musyrikin Mekah di Perang Badr, Uhud dan Ahzab. Allah sudah beritahu kejayaan yang akan diterima oleh golongan Islam terhadap Musyrikin Mekah.

Begitu juga dengan puak-puak syirik dan bidaah sekarang. Puak-puak syirik dan bidaah ini, kalau kita berhujah dengan mereka, mereka akan mengundur ke belakang kerana mereka takut berhadapan dengan wahyu. Katakanlah kita berhujah dengan salah seorang dari mereka, penyokong-penyokongnya tidak akan membantunya dalam berhujah. Mereka akan biarkan sahaja.

Mereka akan berundur ke belakang. Mereka tidak akan menyokong kawannya yang sedang berhujah dengan kita. Kerana mereka tahu yang mereka tidak ada hujah. Maka dalam kita berhujah dengan mereka semasa berdakwah dengan mereka, hendaklah kita berharap dengan berdoa kepada Allah untuk bantu kita beri hujah kepada mereka. Allah akan membantu kita memberi hujah dalam melawan mereka kerana hujah-hujah itu datang dari Allah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 7 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s