Tafsir Surah al-Qamar Ayat 50 – 55 (Semua perbuatan akan ditulis)

Ayat 50:

وَما أَمرُنا إِلّا وٰحِدَةٌ كَلَمحٍ بِالبَصَرِ

Sahih International

And Our command is but one, like a glance of the eye.

Malay

Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata.

 

وَمَا أَمْرُنَا إِلَّا وٰحِدَةٌ

Dan perintah Kami hanyalah satu perkataan

Apabila Allah hendak sesuatu terjadi, ianya akan terus terjadi. Ianya amat mudah bagi Allah. Allah hanya beri arahan sekali sahaja. Itulah kalimah كُن (Jadilah!).

Allah telah berfirman tentang perkara ini dalam Yaasin:82

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.

 

كَلَمْحٍ بِالْبَصَرِ

seperti kerlipan mata.

Kita tidak akan dapat tahu dengan tepat bagaimanakah cara Allah menjadikan sesuatu. Allah cuma beri isyarat kepada kita bahawa ianya amat cepat dan cepatnya itu boleh dibayangkan seperti kerdipan mata sahaja. Begitulah cepatnya. Ianya akan terjadi tanpa lengah.

Allah tak perlu nak cakap banyak kali. Bandingkan, kalau kita hendakkan sesuatu, sebagai contoh kita beri arahan kepada anak kita, kita kena suruh berkali-kali. Dan bukannya dia terus buat, tapi dia akan berlengah-lengah lagi, bukan? Tidak terjadi begitu dengan Allah.

Kalimat أَمْرُنَا (Urusan Kami) yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh juga dimaksudkan ‘apabila tiba keputusan Allah untuk menjadikan kiamat’. Apabila Allah mahu Kiamat itu jadi, ia akan terjadi dalam sekelip mata sahaja. Tak perlu nak ambil masa nak rancang dan bina apa-apa.

Dalam Yaasin:53 Allah telah memberitahu kepada kita bagaimana cepatnya terjadi hari Kiamat itu:

إِن كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ

Tidak adalah teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba-tiba mereka semua dikumpulkan kepada Kami.

‘Dikumpulkan’ itu bermaksud dikumpulkan untuk dibawa ke Mahsyar.


 

Ayat 51:

وَلَقَد أَهلَكنا أَشياعَكُم فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have already destroyed your kinds, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan orang-orang yang sama keadaannya seperti kamu; maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran?

 

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا أَشْيَاعَكُمْ

Dan sesungguhnya telah Kami binasakan orang yang serupa dengan kamu.

Kalimat أَشْيَاعَكُمْ bermaksud ‘mereka yang sama dengan kamu dalam cara menjalankan kehidupan dan cara beragama’. Allah memberitahu kepada kita bahawa Allah telah pernah memusnahkan mereka yang mempunyai pegangan agama yang sama seperti Musyrikin Mekah itu.

Iaitu mereka yang beribadat kepada selain Allah, yang mengamalkan amalan syirik, yang buat bidaah, yang menggunakan tawasul dalam berdoa dan sebagainya. Jangan rasa yang mereka akan selamat kerana kaum dulu sudah pernah dimusnahkan, maka mereka pun boleh dimusnahkan.

Maka, kalau masyarakat kita pun mengamalkan amalan dan pegangan yang sama, Allah boleh musnahkan juga mereka kalau Dia mahu. Masyarakat kita telah banyak membaca tentang kekufuran kaum-kaum terdahulu, tetapi mereka baca sahaja tanpa rasa apa-apa. Mereka sangka itu hanya kisah orang terdahulu sahaja. Macam tidak berkenaan mereka sahaja.

Padahal ayat ini Allah perli mereka dengan berfirman bahawa sudah ada ramai orang yang buat macam itu dan Allah telah musnahkan. Tapi kerana mereka tidak belajar wahyu, maka mereka rasa mereka dalam golongan selamat.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?

Tidakkah ada yang mahu mengambil pengajaran dari azab yang Allah telah berikan itu? Adakah kita hanya tahu sahaja tapi tidak mengambil pengajaran? Itu adalah amat malang sekali. Macam orang kita yang hari-hari baca Al-Qur’an, tapi tidak mengambil pelajaran dari pembacaan itu kerana mereka tidak faham. Tidak faham itu adalah kerana tidak mahu belajar sahaja.

Ramai yang baca bagaimana Allah telah beri balasan buruk kepada puak musyrik, puak Yahudi dan puak Kristian. Tapi mereka setakat baca sahaja. Kerana mereka tidak faham bagaimana ada amalan-amalan dan pegangan agama mereka itu sama sahaja seperti Musyrikin Mekah, Yahudi dan Kristian.


 

Ayat 52:

وَكُلُّ شَيءٍ فَعَلوهُ فِي الزُّبُرِ

Sahih International

And everything they did is in written records.

Malay

Dan tiap-tiap perkara yang mereka lakukan, adalah tertulis di dalam Kitab suratan amal;

 

Semua yang dilakukan oleh manusia ada tertulis dalam الزُّبُرِ (Kitab Amalan). Ianya tidak akan hilang. Semua yang dilakukan dan dikatakan akan ditulis.

Kalau Musyrikin Mekah melihat amalan kaum yang telah dihapuskan itu, mereka akan nampak bahawa sama sahaja amalan syirik mereka. Begitu juga, kalau ‘Musyrikin Malaysia’ melihat amalan-amalan syirik kaum terdahulu, sama sahaja amalan mereka dan mereka. Antaranya, Musyrikin Mekah juga mengamalkan tawasul seperti kebanyakan masyarakat kita yang mengaku Islam. Mereka juga banyak mencipta amalan bidaah macam masyarakat kita juga. Ma sha Allah!

Segala perbuatan itu bukan ditulis sahaja, tapi akan dibalas di Akhirat kelak. Kalau tulis tapi disimpan sahaja, tidak mengapa. Tapi, ianya akan dikeluarkan dan akan dibentangkan kepada mereka dan kemudian akan dibalas.

Lalu bagaimana kita tidak takut melakukan kesalahan, kalau kita tahu yang setiap apa yang kita lakukan akan ditulis?


 

Ayat 53:

وَكُلُّ صَغيرٍ وَكَبيرٍ مُّستَطَرٌ

Sahih International

And every small and great [thing] is inscribed.

Malay

Dan tiap-tiap perkara yang kecil dan yang besar tetap tercatit.

 

Kalimah مُّسْتَطَرٌ bermaksud ‘ditulis baris demi baris’. Tak kira kecil atau besar, ianya akan ditulis. Akan ditulis dalam Kitab Amalan kita.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘perkara yang kecil?’. Kalau jari kita kena cucuk dengan duri pun, akan ditulis. Kenapa nak kena tulis benda sekecil itu? Kerana kalau kita sabar dengan kesusahan sekecil itu, maka kita akan dapat pahala juga. Kalau tak ditulis, maka akan rugilah kita sebab ianya tidak ditulis.

Kalau yang sekecil itu pun ditulis, apatah lagi kalau kita buat perkara yang melawan perintah Allah? Tentulah itu pun akan ditulis juga. Kerana itu nanti manusia akan terkejut betapa semuanya sekali akan ditulis sebagaimana yang disebut dalam Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun”.


 

Ayat 54: Setelah banyak diberikan peringatan dan ancaman dalam ayat-ayat sebelum ini, sekarang diberikan berita baik pula kepada mereka yang mahu mendengar dan memikirkan tentang amaran dan ancaman itu dan mengubah cara hidup mereka.

إِنَّ المُتَّقينَ في جَنّٰتٍ وَنَهَرٍ

Sahih International

Indeed, the righteous will be among gardens and rivers,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai,

 

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhati-hati dengan setiap perbuatan mereka. Sama ada yang kecil atau besar.

Antaranya, mereka berhati-hati dalam amalan ibadat mereka. Mereka tak mahu nak buat satu pun perkara bidaah. Kalau dia musykil sama ada sesuatu amalan itu adalah dari ajaran Nabi atau tidak, dia akan tinggalkan amalan sampai dia dapat kepastian yang ianya memang ajaran dari Nabi. Lebih baik meninggalkan sesuatu amalan ibadat yang kita tidak pasti, dari melakukan sesuatu yang kita tidak tahu dari mana datangnya. Seperti sabda Nabi:

دَعْ ما يُرِيبُكَ إلى ما لا يُرِيبُكَ
Tinggalkan perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu.

Apakah balasan kepada mereka yang bertaqwa ini? Mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga. Mereka akan menikmati nikmat dalam syurga seperti taman-taman dan sungai-sungai di dalamnya. Itulah nikmat yang dibalas kepada mereka. Bandingkan mereka yang telah engkar yang akan duduk dalam neraka, dalam kepanasan api Neraka dan bahang api Neraka.

Ayat-ayat inilah yang memberi semangat kepada para sahabat yang ditindas semasa mereka di Mekah. Ianya memberi harapan kepada mereka. Dan para sahabat memang banyak membaca Al-Qur’an. Maka mereka sentiasa diberikan dengan berita-berita gembira ini.

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhati-hati dalam amalan mereka. Dan mereka yang tidak bertaqwa adalah mereka yang telah banyak disebut dalam surah ini sebelum ini: mereka tidak mengendahkan amaran yang telah diberi oleh Rasul-Rasul mereka.

Sekarang ini Nabi dan Rasul tidak ada lagi. Tapi masih ada lagi di kalangan kita, penyebar-penyebar tauhid yang masih mengingatkan manusia supaya jangan engkar dengan Allah dan jangan melakukan syirik.


 

Ayat 55:

في مَقعَدِ صِدقٍ عِندَ مَليكٍ مُّقتَدِرٍ

Sahih International

In a seat of honor near a Sovereign, Perfect in Ability.

Malay

Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.

 

فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ

di tempat duduk penuh kemuliaan

Kalimah صِدْقٍ bermaksud ‘kebenaran’. Ianya juga boleh bermaksud ‘kemuliaan’. Kalimah مَقْعَدِ adalah satu majlis yang apabila kita duduk, kita tidak mahu bangun sebab kita suka berada di situ. مَقْعَدِ صِدْقٍ bermaksud ‘tempat duduk yang penuh kebenaran’. Tidak ada lagi penipuan dan pembohongan di dalamnya. Ini adalah kerana di syurga, segala yang ada padanya adalah benar dan mulia.

Ada yang kata kedudukan ini hanya diberikan kepada mereka yang ‘berkata benar’ sahaja. Mereka yang penipu, tidak akan ada peluang untuk mendudukinya.

Mereka juga adalah orang yang membenarkan/mengiyakan kebenaran apabila mereka melihatnya. Sebagai contoh, katakanlah mereka mendengar seseorang mengatakan kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an, mereka akan kata “benarlah apa yang dikatakannya itu dari Qur’an”.

Ini penting, kerana ada yang takut hendak membenarkan. Sebagai contoh, ada ramai yang tahu dan sudah mengamalkan sunnah. Tapi mereka senyap sahaja, kerana takut dikutuk, takut dimarahi, takut dimaki. Itu adalah orang-orang yang tidak ‘membenarkan’. Mereka itu dikira sebagai ‘syaitan bisu’ sebab tidak menegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia.

Kepada mereka yang menjalankan tugas sebagai seorang mukmin, balasan bagi mereka adalah syurga. Dalam syurga nanti, tidak ada cakap-cakap kosong, cakap-cakap lalai dan pembohongan, tetapi hanya ada kata-kata yang benar sahaja. Dalam Maryam:62 Allah berfirman:

لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَامًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا

Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezekinya di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang.

 

عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ

di sisi Raja (Tuhan) Yang Berkuasa.

Inilah sebabnya kita tidak mahu bangun dari tempat duduk itu – kerana kita duduk berdekatan Allah. Inilah nikmat yang paling besar sekali. Mereka yang masuk syurga dapat duduk berdekatan dengan Allah. Tidakkah kita mahu untuk duduk berdekatan dengan Allah? Melihat Allah adalah nikmat yang paling besar, lebih besar lagi dari masuk syurga itu sendiri. Inilah maksud ayat Qiyamah:22-23

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ

Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Kepada Tuhannyalah mereka melihat.

Kalimah مَلِيكٍ bermaksud raja, tapi bukan raja yang biasa. Kerana kalau ‘raja’ sahaja, perkataan مَلِكٍ digunakan. Tapi, dalam perkataan ini, ada penambahan huruf ي yang menunjukkan lebih lagi. Begitulah apabila ada penambahan huruf, maka ia menambah maksud.

Kalimah مُّقْتَدِرٍ bermaksud ‘mampu melakukan segalanya’. Allah boleh buat apa sahaja. Tidak ada larangan atau sekatan kepada Allah untuk melakukan sekehendakNya. Allah boleh berikan apa-apa sahaja kepada kita kalau Allah mahu dan tidak ada yang boleh menghalangNya. Tidak ada yang boleh kalahkan Allah.

Allahu a’lam. Tamatlah sudah tafsir Surah al-Qamar ini. Lompat ke surah yang seterusnya: Surah ar-Rahman.

Kemaskini: 16 Ogos 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s