Tafsir Surah Fussilat Ayat 12 – 15 (Kaum Aad dan Tsamud)

Ayat 12: Dalil Aqli Afaqi.

فَقَضٰهُنَّ سَبعَ سَمٰوٰتٍ في يَومَينِ وَأَوحىٰ في كُلِّ سَماءٍ أَمرَها ۚ وَزَيَّنَّا السَّماءَ الدُّنيا بِمَصٰبيحَ وَحِفظًا ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

Sahih International

And He completed them as seven heavens within two days and inspired in each heaven its command. And We adorned the nearest heaven with lamps and as protection. That is the determination of the Exalted in Might, the Knowing.

Malay

Lalu Dia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

فَقَضٰهُنَّ سَبْعَ سَمٰوٰتٍ

Maka Dia telah menyempurnakan tujuh langit

Tidaklah kita dapat memahami dengan tepat bagaimanakah rupa dan hakikat tujuh langit itu. Kalau dalam dunia ini pun kita tidak habis kaji lagi, apatah lagi alam langit yang di luar jangkauan kita.

Berbagai pendapat diberikan oleh penafsir-penafsir dan pengkaji-pengkaji tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘tujuh langit’ ini. Tapi semua itu tidak lebih daripada tekaan-tekaan sahaja.

فِي يَوْمَيْنِ

dalam dua masa.

Allah ﷻ jadikan bumi dalam ’empat masa’ dan langit yang tujuh disempurnakan dalam masa dua hari pula. Jadi jumlah kesemuanya penciptaan langit dan bumi adalah dalam ‘enam masa’. Kita telah terangkan bahawa penciptaan bumi dulu kemudian barulah dijadikan langit.

وَأَوْحَىٰ فِي كُلِّ سَمَاءٍ أَمْرَهَا

Kemudian Dia wahyukan setiap lapisan langit dengan arahan-arahan.

Allah ﷻ tetapkan bagaimana perjalanan alam langit itu. Ada sekian banyak matahari, bulan sekian banyak, gerak begini dan begitu dan lain-lain lagi arahan telah diberikan. Matahari akan duduk di tempat yang tetap, akan keluar ikut masanya yang telah ditetapkan.

Begitu juga semua benda. Semuanya telah diberikan dengan arahan-arahan yang mereka kena ikut. Ianya akan berlaku sehingga ke Hari Kiamat. Semuanya telah diatur dengan begitu teliti dan tepat sekali, sampaikan kalau lari sikit sahaja, maka akan bertempiaranlah alam ini.

Setiap langit ada tugasnya masing-masing. Langit pertama buat ini, langit kedua buat itu dan sebagainya. Kita pun tidak tahu apakah tugas-tugas itu. Cuma Allah ﷻ beritahu ada tugasan diberikan kepada mereka.

وَزَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا

Dan Kami hiasi langit dunia

Yang dimaksudkan dengan ‘langit dunia’ adalah langit yang kita boleh nampak. Selagi ada bintang, selagi itu ianya masih langit dunia yang pertama lagi. Kerana di atas dari langit dunia tidak diceritakan ada bintang-bintang. Hanya diceritakan berkenaan langit dunia sahaja yang ada bintang.

Oleh itu, dari sini kita tahu bahawa Allah ﷻ telah meletakkan bintang-bintang itu untuk mencantikkan langit. Kita sahaja yang tidak perasan sebab kita jarang tengok langit.

Budaya kita bukan budaya yang tengok langit. Tambahan pula sekarang, dengan segala pencemaran alam, kita tak berapa nampak keindahan langit dan bintang-bintang yang hebat itu. Tapi bangsa Arab adalah satu bangsa yang suka tengok langit. Mereka kadang-kadang akan tidur di bumbung rumah mereka dan melihat langit untuk mengisi masa lapang mereka.

Bumbung rumah mereka bukan macam bumbung rumah kita. Bumbung rumah kita dalam bentuk sekarang kerana cuaca kita selalu hujan maka kena pakai bentuk tiga segi supaya air hujan senang turun. Tapi atap rumah bangsa Arab mendatar, sampaikan mereka boleh naik dan tidur di atasnya.

Begitu indahnya kerlipan bintang di malam hari. Dengan memerhatikannya, maka akan tertariklah perasaan kita untuk menghargai alam yang telah dijadikan Allah ﷻ ini. Dalam Surah Mulk, Allah ﷻ telah menganjurkan kita untuk melihat alam langit berkali-kali.

بِمَصٰبِيحَ

dengan lampu-lampu

Maksudnya, Allah ﷻ hiasi langit itu dengan bintang-bintang. Juga termasuk matahari dan juga bulan. Amat indah sekali pada malam yang cerah, kalau dapat melihat bintang-bintang di langit.

Manusia telah meniru perhiasan asal yang dijadikan Allah ﷻ ini dengan meletakkan lampu-lampu jalan dan lampu-lampu perhiasan di kota-kota dan bandar-bandar. Begitu juga lampu di rumah-rumah kita begitu cantik sekali. Kita gantung lampu di dinding, tapi Allah ﷻ gantung bintang di langit.

وَحِفْظًا

dan pemeliharaannya.

Allah-lah yang menjaga langit itu kerana kalau Allah ﷻ tak jaga, bintang-bintang itu akan runtuh. Kalau bergerak sedikit sahaja dari kedudukan yang telah ditetapkan, maka akan mengganggu segala ekosistem alam ini yang akan menyebabkan semuanya akan berjatuhan dari orbit masing-masing dan akan menyebabkan perlanggaran antara satu sama lain.

Dan ia juga bermaksud langit dunia itu ada penjaga-penjaga dari kalangan malaikat yang akan merejam syaitan-syaitan dari kalangan jin yang cuba untuk mendengar-dengar berita dari langit. Sebelum Nabi Muhammad ﷺ, jin-jin boleh naik ke langit untuk mencuri dengar berita dari langit.

Tapi apabila baginda sudah dinaikkan sebagai Nabi ﷺ, mereka sudah tidak boleh naik lagi ke langit, kerana mereka akan dilempar dengan bebola api oleh malaikat-malaikat penjaga di langit itu. Ini diterangkan dengan lebih lanjut di dalam Surah Jin.

Ataupun bintang-bintang itu adalah satu sistem yang menjaga alam kita ini dari bahaya yang kita pun masih tak tahu lagi. Boleh diibaratkan bintang-bintang itu sebagai pagar yang memagar supaya menjaga keselamatan kita. Ini dipanggil Van Allen radiation belts.

ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ

Demikianlah ketentuan Yang bersifat gagah perkasa

Semua yang kita lihat telah tersusun indah ini telah ditaqdirkan/ditentukan oleh Allah ﷻ.

Allah ﷻ maha berkuasa untuk buat segala itu. Kekuasaan Allah ﷻ itu tidak ada tandingan. Tidak ada yang boleh buat seperti yang Allah ﷻ telah buat itu. Jadi, mengapa tidak beribadat kepada Allah ﷻ, tapi nak ibadat kepada yang tidak boleh buat perkara-perkara itu semua?

الْعَلِيمِ

Yang Maha Mengetahui akan sesuatu.

Allah Maha Tahu segala-galanya. Hanya sedikit sahaja kita tahu. Yang kita tahu itu pun hanyalah setelah Allah ﷻ berikan pengetahuan kepada kita dan setelah Allah ﷻ berikan sedikit akal kepada kita.

Yang Maha Mengetahui hanyalah Allah sahaja. Tidak ada yang tahu tentang alam ini dengan sepenuhnya melainkan Allah ﷻ sahaja. Kita memang cuba hendak mengetahuinya, tapi kita tidak akan dapat segala maklumat tentang alam ini. Yang saintis dapat kaji hanyalah langit pertama atau langit dunia sahaja, tidak lebih dari itu.


Ayat 13: Ini adalah ayat zajrun dan takhwif duniawi. Ini adalah ayat ancaman kepada orang kafir yang masih tidak mahu menerima iman yang diajarkan kepada mereka. Setelah diberikan peringatan yang jelas, tapi mereka masih juga engkar, maka sekarang telah sampai ayat ancaman kepada mereka dan juga kita.

Ayat 13 – 18 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia mengandungi Dalil Tarikhi (sejarah).  Allah ﷻ mengkhabarkan kaum Aad dan Tsamud binasa kerana menentang seruan para rasul.

Kita telah sebutkan sebelum ini satu kisah bagaimana seorang Musyrikin Mekah yang bernama Utbah telah memarahi Nabi ﷺ kerana berdakwah. Baginda senyap sahaja dan kemudian membaca Surah Fussilat. Apabila sampai kepada ayat ini, Utbah telah menutup mulut Nabi ﷺ kerana takut dengan ancaman dalam ayat ini:

فَإِن أَعرَضوا فَقُل أَنذَرتُكُم صٰعِقَةً مِّثلَ صٰعِقَةِ عادٍ وَثَمودَ

Sahih International

But if they turn away, then say, “I have warned you of a thunderbolt like the thunderbolt [that struck] ‘Aad and Thamud.

Malay

Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): “Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud!”

فَإِنْ أَعْرَضُوا

Dan sekiranya mereka berpaling 

Iaitu berpaling dari ajakan tauhid ini, masih juga buat syirik kepada Allah ﷻ. Masih juga mereka kata hati mereka tertutup dan telinga mereka tersumbat seperti yang telah disebut dalam ayat 5.

فَقُل أَنذَرتُكُم صٰعِقَةً

Maka katakanlah (kepada mereka): Aku memberi ancaman kepada kamu, akan ditimpa petir,

Kalimah صَاعِقَةً asalnya bermaksud orang yang ‘jatuh tidak sedar diri’. Seperti yang disebut dalam surah lain, bagaimana Nabi Musa عليه السلام jatuh tidak sedar diri apabila bukit Thur dihancurkan berdekatan dengannya, apabila baginda minta untuk melihat Allah ﷻ.

Jadi, صَاعِقَةً bermaksud bala yang amat mengejutkan sampai menyebabkan seseorang itu boleh jatuh pengsan kerana terkejut atau takut sangat. Selalunya ditafsirkan bala itu sebagai petir.

Atau, ia juga boleh bermaksud azab jenis tempikan. Jenis tempikan yang menyebabkan manusia jatuh mati. Apabila ia datang, ia akan bakar habis satu kampung. Jadi, kalau nak terjemah sebagai petir sahaja tidak tepat.

مِّثْلَ صٰعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ

seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan Tsamud.

Apabila kedengaran petir atau tempikan itu, jantung manusia tercabut. Gunung akan runtuh. Datang dengan ribut dan gegaran yang amat kuat sekali. Ancaman itu kepada orang sekarang juga, jangan sangka hanya kepada mereka yang telah lalu sahaja. Sesiapa yang ingkar, boleh dikenakan dengan azab macam itu juga.

Ini bukan peringatan biasa. Bukan hanya cerita berkenaan orang dahulu sahaja. Kalau sekarang ingkar pun boleh jadi macam ini. Jangan kita sangka tak boleh jadi kepada kita.

Kaum Aad dan Tsamud adalah bangsa Arab tua yang telah punah. Jadi, orang-orang Quraish kenal mereka dan tahu apa yang terjadi kepada mereka. Maka, Allah ﷻ mengingatkan mereka tentang apakah yang terjadi kepada dua kaum itu. Semoga mereka sedar dan takut akan terjadinya perkara yang sama kepada mereka.

Nota: sampai ayat inilah Nabi ﷺ bacakan kepada Utbah. Apabila sampai ke ayat ini, Utbah menutup mulut Nabi ﷺ, kerana tak sanggup lagi dengar kata-kata dari ayat Al-Qur’an kerana dia sudah terkesan sangat. Selama beberapa hari, Utbah tak keluar rumah. Kerana dia terkesan sangat dengan ayat-ayat yang dibacakan. Kerana dia takut dengan apa yang akan terjadi. Kerana dia tahu apa yang Nabi Muhammad ﷺ cakap, ianya boleh terjadi.

Apabila orang-orang Quraish jumpa dia kembali selepas beberapa hari, mereka tanya dia kenapa dia hilang? Utbah jawab dia diam kerana dia takut akan jatuh bala ke atas mereka. Dia takut akan ditimpa bala yang dikenakan kepada Aad dan Tsamud.

Azab yang ditimpakan kepada Kaum Aad dan Tsamud digunakan dalam ayat ini, kerana ini adalah ayat-ayat Mekah. Dan ayat-ayat Al-Qur’an memang mula ditujukan kepada Bangsa Arab. Bangsa Arab memang kenal dengan dua kaum ini. Dan mereka tahu bahawa kaum itu kena bala kerana mereka tidak menerima Nabi-nabi mereka. Ini mengajar kita dalam dakwah – menggunakan contoh orang-orang terdahulu supaya memberi kesan kepada orang yang kita dakwah itu.

Seperti telah disebut sebelum ini, susunan dakwah adalah memberi motivasi kepada mereka dahulu sebelum mereka ditakutkan dengan azab. Lihatlah susunan ayat-ayat dalam surah ini. Allah ﷻ mulakan dengan menceritakan tentang Diri-Nya, siapakah Dia, apa yang Dia telah buat dan sebagainya.

Hanya selepas mereka masih tidak mahu terima barulah diberikan ancaman kepada mereka tentang azab yang mereka akan terima kalau mereka tidak mahu terima dakwah itu.


Ayat 14: Ayat sebelum ini, Allah ﷻ telah berfirman tentang bala yang menimpa Kaum Aad dan Tsamud. Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi penerangan tentang dua kaum itu.

إِذ جاءَتهُمُ الرُّسُلُ مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللهَ ۖ قالوا لَو شاءَ رَبُّنا لَأَنزَلَ مَلائِكَةً فَإِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كٰفِرونَ

Sahih International

[That occurred] when the messengers had come to them before them and after them, [saying], “Worship not except Allah .” They said, “If our Lord had willed, He would have sent down the angels, so indeed we, in that with which you have been sent, are disbelievers.”

Malay

(Mereka ditimpa azab itu) kerana semasa mereka didatangi Rasul-rasul (memberikan berbagai penjelasan) mengenai keadaan hidup mereka di dunia dan di akhirat (sambil melarang mereka): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah”, mereka menjawab: “Jika Tuhan kami hendak (mengutus Rasul-rasul) tentulah Dia akan menurunkan malaikat; oleh itu sesungguhnya kami kufur ingkar akan apa yang (kamu katakan): kamu diutus membawanya!”

إِذْ جَاءَتْهُمُ الرُّسُلُ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ

Ketika datang kepada mereka rasul-rasul dari depan dan dari belakang mereka,

Maknanya rasul-rasul itu datang zaman itu dan zaman sebelumnya. Dengan berbagai-bagai cara mereka berdakwah. Macam guru sekarang sebar agama dari setiap tempat mereka datang untuk sebar agama. Dari dulu sampai sekarang, akan ada sahaja penyebar Tauhid.

Dan berbagai-bagai cara digunakan oleh pendakwah itu untuk menyampaikan dakwah itu kepada manusia. Dan mereka akan datang tidak tentu masa, mereka akan terus mencari peluang untuk berdakwah kepada umat. Tidaklah malam sahaja, atau siang sahaja.

Semua guru-guru dan rasul-rasul dulu akan bawa satu kalimah:

أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا اللهَ

“jangan kamu puja melainkan kepada Allah sahaja”.

Itulah dakwah Nabi ﷺ, dakwah para pendakwah dari dulu sampai sekarang. Kalau dulu, ada para Rasul, para Nabi dan para pendakwah. Kalau sekarang, hanya ada pendakwah sahaja.

Oleh itu, seorang pendakwah, seorang ulama, hendaklah bawa dakwah ini, kata-kata ini. Mereka hendaklah mengajar tentang Allah ﷻ, tentang tauhid dan tentang melakukan ibadat kepada Allah ﷻ sahaja. Kalau mereka tidak bawa kalimah ini, mereka adalah ulama su’ – ulama yang jahat. Kalau kita berjumpa dengan mereka, janganlah belajar dengan mereka, hendaklah kita tinggalkan mereka.

قالوا لَو شاءَ رَبُّنا لَأَنزَلَ مَلائِكَةً

Orang-orang Musyrik itu berkata: Jika Tuhan kami kehendaki, tentulah Dia akan turunkan malaikat-malaikat.

1. Mereka kata, kalau betul Tuhan hendak beri dakwah kepada mereka, tentu Dia akan turunkan malaikat kepada mereka. Itu baru betul, kata mereka. Baru mereka nak ikut, kononnya.

2. Mereka juga kata: kalau Nabi Muhammad benar seorang Nabi, tentu ada malaikat yang akan menemani baginda. Mereka kata kepada Nabi: Takkan kamu jalan kaki seorang diri sahaja? Mereka ejek Nabi Muhammad ﷺ.

Tapi, kalaulah seorang Nabi itu seorang malaikat, tentu mereka tak akan ikut juga. Mereka akan kata: “Kami dan kamu lain. Kamu bolehlah buat semua yang Allah suruh itu sebab kamu malaikat. Kamu tak perlu makan, minum, kerja dan sebagainya. Tapi kami perlu buat semua itu.”

Dan kalau betullah Allah ﷻ turunkan malaikat, tidaklah dalam rupa malaikat sebab manusia tidak boleh nampak malaikat – maka tentu malaikat turun sebagai rupa manusia. Tentu mereka tolak juga dengan mengatakan mereka itu bukan malaikat, tapi manusia biasa sahaja. Sebab itulah Allah ﷻ turunkan manusia sebagai Nabi untuk dijadikan contoh bahawa seorang manusia pun boleh buat apa yang Allah ﷻ hendak.

Yang sebenarnya, mereka tolak Nabi dan tolak wahyu, jadi macam-macam alasan yang mereka berikan. Macam ahli bid’ah sekarang yang tolak para sahabat. Mereka tidaklah kata mereka tolak Nabi, tolak sahabat, tapi sebenarnya yang mereka tolak adalah Nabi ﷺ.

3. Atau, mereka mengejek Rasul dalam ayat ini. Kerana sebelum itu Rasul telah memberi peringatan kepada mereka bahawa kalau mereka tidak ikut beriman dan mengamalkan ajaran tauhid, Allah ﷻ boleh menurunkan azab kepada mereka dengan diturunkan malaikat. Malaikat itu akan menghancurkan mereka.

Maka, apabila mereka tidak mahu terima dakwah itu, mereka ejek dengan mengatakan kalau betul, Allah ﷻ boleh sahaja turunkan malaikat untuk mengazab mereka. Tapi sampai waktu itu tidak ada pun mereka kena azab dari malaikat? Mereka mengejek-ngejek penyampai dakwah itu. Begitu teruknya mereka.

Jadi, ada berbagai-bagai ‘wajah’ apabila puak musyrikin menyebut tentang malaikat itu.

فَإِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كٰفِرونَ

Sesungguhnya kami, terhadap apa yang kamu diutuskan dengannya itu, kami engkar.

Yang mereka tolak adalah ajakan Nabi ﷺ supaya tidak mensyirikkan Allah ﷻ itu. Itulah yang mereka tidak dapat terima dan yang mereka tolak. Ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi ﷺ itu mereka tolak dengan sewenang-wenangnya.

Orang Islam ada yang degil untuk terima ajaran tauhid walaupun mereka sudah faham. Mereka akan kata guru-guru mereka ajar macam itu dan macam ini. Takkan guru-guru mereka itu salah, kata mereka. Guru mereka ilmu tinggi juga, kata mereka. Itu semua adalah alasan mereka yang bathil. Apabila mereka ingkar itu maknanya mereka telah kufur.

Tapi jangan kata kepada mereka bahawa mereka kafir. Kena ubah strategi dalam berdakwah kepada mereka. Kerana kita tidak tahu hujung mereka itu macam mana nanti. Mungkin mereka akan bertaubat dan menerima tauhid kemudian hari.

Jangan kita kutuk mereka sampai mereka terus tidak mahu menerima ajakan kita di lain kali. Kita hendaklah berlembut dengan mereka dalam dakwah. Kalau kita kata mereka kafir, tentulah mereka tidak akan mahu dengar apa-apa lagi dari kita.


Ayat 15:

فَأَمّا عادٌ فَاستَكبَروا فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَقالوا مَن أَشَدُّ مِنّا قُوَّةً ۖ أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللهَ الَّذي خَلَقَهُم هُوَ أَشَدُّ مِنهُم قُوَّةً ۖ وَكانوا بِئآيٰتِنا يَجحَدونَ

Sahih International

As for ‘Aad, they were arrogant upon the earth without right and said, “Who is greater than us in strength?” Did they not consider that Allah who created them was greater than them in strength? But they were rejecting Our signs.

Malay

Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat dari kami?” Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).

فَأَمَّا عَادٌ فَاسْتَكْبَرُوا فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

Maka adapun kaum Aad itu, mereka orang yang sombong di muka bumi tanpa haq

Kaum Aad telah diutus dengan Nabi mereka, Nabi Hud عليه السلام. Mereka jadi sombong kerana Allah ﷻ kurniakan mereka badan yang besar dan kuat, lebih dari manusia biasa. Oleh kerana itu, mereka sombong untuk terima kebenaran tentang tauhid. Mereka tolak ajakan tauhid itu mentah-mentah sahaja, tanpa bawa dalil pun. Sedangkan Nabi datang ajar tauhid dengan bawa dalil.

Manusia tidaklah layak untuk sombong di muka bumi. Apalah yang hendak disombongkan? Semua kelebihan yang mereka ada itu diberikan oleh Allah ﷻ pun. Padahal mereka tidak akan selamat kalau Allah ﷻ tidak memberikan mereka keselamatan. Tidakkah mereka ingat dari apa mereka dijadikan?

Mereka dijadikan dari tanah dan dari air mani yang hina asalnya. Berapa banyak lagi kejadian alam ini yang lebih hebat dari mereka. Tapi mereka masih lagi sombong? Itulah yang dimaksudkan mereka sombong tanpa hak. Mereka sebenarnya tidak layak sombong, tapi mereka sombong juga.

وَقَالُوا مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً

dan mereka telah berkata: “siapakah yang lebih kuat dari kami?”

Kaum Aad adalah jenis manusia gergasi. Ada riwayat mengatakan mereka 20 kaki tinggi. Mereka memang kuat dan besar; jadi mereka telah sombong. Maknanya mereka tolak wahyu kerana mereka ada kelebihan dunia.

Rasul mereka adalah Nabi Hud عليه السلام. Mereka tinggal dalam bukit di Petra. Mereka pahat bukit-bukit itu dan dijadikan rumah mereka. Begitulah hebatnya mereka. Dikatakan mereka boleh cabut pokok tamar dengan sebelah tangan sahaja. Begitulah kuatnya tubuh badan mereka.

Mereka jadi sombong kerana mereka manusia yang paling besar sekali. Yang orang lain pada zaman itu kecil-kecil macam biasa. Bukan semua manusia besar macam mereka dan kerana itu mereka rasa mereka lebih hebat dari orang lain. Akhirnya mereka mati dengan tidak tinggal baka satu pun.

Begitulah bahayanya kalau Allah ﷻ telah beri kelebihan kepada manusia dalam kehidupan dunia ini. Ianya adalah ujian kepada manusia. Kalau mereka berada di kedudukan yang tinggi, amat susah untuk terima kebenaran. Selalunya ramai manusia akan kalah kalau dapat kelebihan sebegitu.

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللهَ الَّذِي خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً

Tidakkah mereka lihat? Allah yang menciptakan mereka, Dia yang lebih kuat dari mereka.

Mereka tanya siapakah yang lagi kuat dari mereka. Allah ﷻ jawab balik: Tidakkah mereka memperhatikan? Tidakkah mereka memikirkan? Tidakkah mereka mahu menggunakan akal mereka?

Adakah mereka lupa siapa itu Allah ﷻ? Iaitu Tuhan yang telah menjadikan mereka. Tentulah yang menciptakan mereka lagi kuat. Cubalah bandingkan diri mereka dengan Allah ﷻ pula. Selama hari ini, mereka cuma bandingkan dengan manusia lain sahaja, memanglah mereka lebih kuat dari mereka. Tapi kalau dengan Allah ﷻ, bolehkah mereka lawan? Tentu tidak.

وَكَانُوا بِئآيٰتِنَا يَجْحَدُونَ

Dan mereka dulu terhadap ayat-ayat kami, membantah.

Mereka menolak wahyu dari Allah ﷻ kerana kesombongan dan kedegilan mereka. Begitulah kebanyakan dari manusia zaman sekarang yang ada kelebihan keduniaan. Cara nak tahu orang yang kufur senang sahaja. Iaitu apabila ayat Al-Qur’an dibaca kepada mereka, mereka akan bantah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Syeikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Fussilat Ayat 12 – 15 (Kaum Aad dan Tsamud)”

  1. Tentang ayat 12 itu seolah2 seperti DALIL yg menyatakan tidak wujud Alien @ makhluk asing dmana2 planet diluar bumi sebab Allah hanya jadikan sekalian langit (termasuk bintang, planet dan galaksi) hanya dalam 2 masa saje berbanding bumi yg 4 masa!! Jd adakah ini Dalil yg menyatakan hanya bumi saja yg ada kehidupan? Wallahua’lam.. Hanya Allah yg Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana

    Like

    1. Alien tidak kena mengena dengan kita, dan tidak ada kesan kepada syariat kita. Kewujudan mereka pun tidak dapat dipastikan. Jadi saya tidak dapat komen. Oleh kerana itu lebih baik saya senyapkan sahaja. Kerana tidak ada ulama yang kredibel yang komen tentang hal ini.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s