A’raf Ayat 161:
وَإِذ قيلَ لَهُمُ اسكُنوا هٰذِهِ القَريَةَ وَكُلوا مِنها حَيثُ شِئتُم وَقولوا حِطَّةٌ وَادخُلُوا البابَ سُجَّدًا نَّغفِر لَكُم خَطيئٰتِكُم ۚ سَنَزيدُ المُحسِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [mention, O Muḥammad], when it was said to them, “Dwell in this city [i.e., Jerusalem] and eat from it wherever you will and say, ‘Relieve us of our burdens [i.e., sins],’ and enter the gate bowing humbly; We will [then] forgive you your sins. We will increase the doers of good [in goodness and reward].”
MALAY
Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka: “Tinggallah dalam bandar ini dan makanlah dari makanannya apa sahaja yang kamu sukai, dan berdoalah dengan berkata: `(Wahai Tuhan kami), gugurkanlah (dosa kami) ‘, dan masuklah melalui pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri, supaya Kami mengampunkan dosa-dosa kamu. Kami akan menambah (balasan) bagi orang-orang yang berbuat kebaikan”.
وَإِذ قيلَ لَهُمُ اسكُنوا هٰذِهِ القَريَةَ
Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka: “Tinggallah dalam bandar ini
Setelah mereka sesat selama 40 tahun di Padang Pasir Tih, dan setelah habis keturunan yang degil dulu, dan yang tinggal adalah anak cucu mereka, maka mereka telah diarahkan oleh Allah untuk memasuki Bandar Jurusalem. Tempat itu telah ditetapkan untuk mereka. Ianya adalah tempat asal Nabi Ya’kob.
Ayat yang lebih kurang sama telah disebut di dalam Baqarah:58. Cuma bezanya di dalam Surah Baqarah itu Allah memberitahu yang Dialah yang memberi arahan (وَإِذ قُلنَا). Dan yang kedua, di dalam Surah Baqarah itu mereka disuruh masuk (ادخُلوا) dan sekarang di dalam Surah A’raf ini mereka disuruh tinggal (اسكُنوا). Ini kerana untuk tinggal, mestilah kena masuk dahulu.
وَكُلوا مِنها حَيثُ شِئتُم
dan makanlah dari makanannya apa sahaja yang kamu sukai,
Di dalamnya juga nanti mereka akan mendapat nikmat yang banyak, dimana akan ada makanan untuk mereka juga. Allah telah beri makanan kepada mereka semasa di Padang Tih dan mereka akan dapat juga makanan di Bandar itu.
وَقولوا حِطَّةٌ
dan berdoalah dengan berkata: ` (Wahai Tuhan kami), gugurkanlah (dosa kami) ‘,
Tapi kerana mereka telah mendapat segala nikmat itu, hendaklah mereka semasa masuk ke Bandar itu, mengucapkan permohonan gugur dosa mereka. Mintalah ampun kepada Allah kerana mereka banyak kesalahan yang telah dilakukan. Itu adalah syarat dan Allah ajar mereka apa nak disebut.
وَادخُلُوا البابَ سُجَّدًا
dan masuklah melalui pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri,
Dan hendaklah mereka semasa memasuki pintu gerbang kota dengan dengan keadaan tunduk, jangan meninggi diri. Mereka dapat masuk ke bandar itu pun kerana nikmat yang Allah berikan. Bukanlah mereka menang dengan kekuatan mereka sendiri tapi qudrat dari Allah.
نَّغفِر لَكُم خَطيئٰتِكُم
pasti Kami mengampunkan dosa-dosa kamu.
Kalau mereka melakukan itu semua, Allah janji akan ampunkan dosa-dosa mereka yang banyak itu. Maka ini adalah satu nikmat yang amat besar kepada mereka asalkan mereka sanggup ikut arahan. Mereka itu telah lama buat dosa, tapi Allah masih sanggup beri keampunan kepada mereka. Ini kerana Allah mahu semua hambaNya kembali kepadaNya.
سَنَزيدُ المُحسِنينَ
Kami akan menambah (balasan) bagi orang-orang yang berbuat kebaikan”.
Dan Allah berjanji akan memberi nikmat tambahan lagi kepada mereka, tanpa disangka-sangka. Mereka sekarang dijanjikan dengan nikmat-nikmat yang lebih banyak lagi. Mereka akan dapat semua itu asalkan mereka mahu berbuat baik.
Di dalam ayat ini disebut orang yang muhsin. Tapi siapakah mereka? Mereka ini orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Mereka itu berbuat baik dengan Allah dan bukan dengan Allah sahaja, tapi sesama makhluk juga. Kena ada dua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contoh kita membantu manusia adalah menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia.
Bagaimana pula berbaik dengan Allah? Dalam sebuah hadis popular yang dikenal dengan hadis Jibril, Rasulullah menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,
أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”
(HR. Muslim no. 8).
Dari hadis ini kita dapat tahu yang berbuat ihsan dalam ibadah ada dua maqam.
-
- Maqam muraqabah adalah menyakini bahawa Allah melihat kita. Inilah maqamnya kebanyakan manusia.
- Maqam musyahadah bererti kita beribadah kepada Allah seakan-akan melihat-Nya iaitu melihat nama dan sifat Allah serta pengaruhnya, bukan melihat zat Allah secara langsung seperti diyakini oleh kaum sufi. Maqam ini lebih tinggi dibandingkan maqam muraqabah.
Sifat-sifat muhsin itu ada juga ditafsirkan di dalam ayat-ayat yang lain. Ia menjadi hujah dan dalil bahawa sifat ihsan itu mesti adalah ihsan kepada Allah dan kepada manusia kerana dua-duanya disebut di dalam Dzariyat:16 – 19
إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.
كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.
وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar (waktu sahur).
Di sini disebut dua sifat muhsin iaitu kuat melakukan solat sunat di malam hari dan kemudian mereka istighfar kepada Allah di waktu sahur. Ini adalah ihsan kepada Allah. Selepas itu disambung dengan ihsan kepada manusia.
وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.
Apakah nikmat yang akan ditambah kepada mereka itu? Ia tidak disebut di dalam ayat Surah A’raf ini akan tetapi ada disebut di dalam ayat-ayat yang lain. Antaranya lihat Yunus:26
لِلَّذينَ أَحسَنُوا الحُسنىٰ وَزِيادَةٌ ۖ وَلا يَرهَقُ وُجوهَهُم قَتَرٌ وَلا ذِلَّةٌ ۚ أُولٰئِكَ أَصحابُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خالِدونَ
Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Di dalam ayat Surah Yunus ini adalah terdapat kalimah زِيادَةٌ (tambahan) yang lebih kurang sama dengan kalimah سَنَزيدُ dalam ayat dari Surah A’raf ini. Ada tafsiran dari hadis yang mengatakan makna زِيادَةٌ itu adalah dapat melihat wajah Allah. Maknanya, sudah dapat masuk syurga sudah hebat, tapi ada lagi yang lagi hebat apabila sudah masuk ke dalam syurga, iaitu melihat wajah Allah.
A’raf Ayat 162: Bani Israil itu disuruh untuk masuk ke Bandar Jurusalem dengan merendahkan diri dan meminta ampun kepada Allah. Tapi apakah yang mereka lakukan?
فَبَدَّلَ الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم قَولًا غَيرَ الَّذي قيلَ لَهُم فَأَرسَلنا عَلَيهِم رِجزًا مِّنَ السَّماءِ بِما كانوا يَظلِمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But those who wronged among them changed [the words] to a statement other than that which had been said to them. So We sent upon them a punishment from the sky for the wrong that they were doing.
MALAY
Maka orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka. Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.
فَبَدَّلَ الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم قَولًا غَيرَ الَّذي قيلَ لَهُم
Maka orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka.
Tapi ada dari kalangan mereka yang zalim yang menyebut perkataan lain dari yang diajar. Mereka ubah dengan kalimah yang lain. Ini disebut dalam Baqarah:59 dengan lebih lanjut.
Kezaliman yang paling besar adalah syirik kepada Allah. Malangnya ramai manusia yang tidak faham tentang makna syirik dan apakah yang termasuk dalam perkara syirik. Oleh kerana itulah ramai dari kalangan manusia yang melakukan syirik tanpa sedar.
فَأَرسَلنا عَلَيهِم رِجزًا مِنَ السَّماءِ بِما كانوا يَظلِمونَ
Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.
Oleh kerana kezaliman mereka itu, mereka telah dikenakan dengan azab taun dari langit. Ini adalah salah satu pendapat berdasarkan tafsiran yang ada.
Sesiapa yang melakukan dosa pasti akan mendapat balasannya, sama ada di dunia lagi atau di akhirat. Kalau tidak kena azab di dunia, pasti mereka akan dapat azab di akhirat. Jadi kalau terlepas azab di dunia, jangan gembira dahulu kerana akan ada balasan yang menunggu di akhirat kelak.
Ayat-ayat ini menunjukkan betapa susahnya Nabi Musa untuk tarbiyah kaum baginda kerana mereka amat degil dan tidak mengerti bahasa.
Habis Ruku’ 20 dari 24 ruku’ dalam surah ini.
A’raf Ayat 163: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ianya adalah kisah penutup dan bersangkut dengan Bani Israil. Kisah ini sudah disebut dalam Baqarah:65. Tetapi dari segi kronologi, ianya disebut dalam Surah al-A’raf ini dahulu kerana surah ini adalah Surah Makkiah.
وَاسأَلهُم عَنِ القَريَةِ الَّتي كانَت حاضِرَةَ البَحرِ إِذ يَعدونَ فِي السَّبتِ إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا وَيَومَ لا يَسبِتونَ ۙ لا تَأتيهِم ۚ كَذٰلِكَ نَبلوهُم بِما كانوا يَفسُقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And ask them about the town that was by the sea – when they transgressed in [the matter of] the sabbath – when their fish came to them openly on their sabbath day, and the day they had no sabbath they did not come to them. Thus did We give them trial because they were defiantly disobedient.
MALAY
Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.
وَاسأَلهُم عَنِ القَريَةِ الَّتي كانَت حاضِرَةَ البَحرِ
Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut,
Allah suruh tolong tanya Yahudi yang ada pada zaman Nabi Muhammad itu, tentang kisah penduduk Yahudi yang pernah tinggal di satu kawasan yang berdekatan dengan laut. Kejadian ini selepas Nabi Musa sudah wafat. Mereka itu kerjanya menangkap ikan. Kota yang dimaksudkan ialah kota Ailah, terletak di tepi Laut Qalzum (Laut Merah).
Ertinya, tanyakanlah kepada orang-orang Yahudi yang ada di dekatmu tentang kisah teman-teman mereka yang menentang perintah Allah Swt. lalu mereka ditimpa seksa Allah yang mengejutkan akibat dari perbuatan mereka, pelanggaran mereka, dan tipu daya mereka dalam menentang perintah-Nya.
Allah juga memperingatkan mereka agar jangan menyembunyikan sifat Nabi Saw. yang mereka jumpai dalam kitab-kitab mereka, agar mereka tidak ditimpa oleh seksaan yang pernah menimpa teman-teman mereka yang terdahulu. Jangan menipu dan menutup kebenaran.
إِذ يَعدونَ فِي السَّبتِ
semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu,
Mereka itu telah melanggar hukum bekerja pada hari Sabtu. Hukum kepada orang Yahudi adalah, mereka tidak boleh bekerja pada hari Sabtu. Ini adalah kerana hari Sabtu adalah hari untuk mereka beribadat sahaja.
Jadi ada larangan kepada mereka. Begitu juga seperti Nabi Adam dilarang dari menyentuh pokok larangan. Di awal surah ini telah disebut tentang larangan kepada Nabi Adam itu. Jadi, ada persamaan dalam perkara ini.
إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا
ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan mereka dengan jelas,
Mereka diuji dengan datangnya ikan pada hari Sabtu di permukaan air. Ikan itu datang dengan jelas dengan tunjuk tubuh mereka belaka pada hari Sabtu. Mungkin melompat-lompat keluar dari air. Sengaja menguji keimanan Kaum Yahudi di situ.
وَيَومَ لا يَسبِتونَ ۙ لا تَأتيهِم
sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka.
Tapi pada hari lain, tak timbul langsung pula. Itulah dugaan dan ujian yang Allah berikan kepada mereka.
كَذٰلِكَ نَبلوهُم بِما كانوا يَفسُقونَ
Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.
Ujian itu diberikan kepada mereka kerana mereka selalu fasik. Ertinya, kerana kedurhakaan maka mereka tidak mahu taat kepada Allah dan membangkang perintah-Nya. Mereka adalah suatu kaum yang menggunakan hailah (tipu muslihat) untuk melanggar hal-hal yang diharamkan oleh Allah.
Sebenarnya Allah lah yang mengarahkan ikan itu untuk menzahirkan diri mereka. Allah jadikan ujian itu untuk mereka terus menambahkan lagi kesalahan yang mereka telah lakukan. Kerana Allah nak azab mereka di akhirat kelak. Selalu Allah jadikan perkara sebegini kepada mereka yang fasik.
A’raf Ayat 164: Sambungan kisah umat Yahudi yang menangkap ikan pada hari Sabtu itu.
وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِّنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا ۙ اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا ۖ قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when a community among them said, “Why do you advise [or warn] a people whom Allāh is [about] to destroy or to punish with a severe punishment?” they [the advisors] said, “To be absolved before your Lord and perhaps they may fear Him.”
MALAY
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.
وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِّنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum
Semasa sebahagian dari mereka itu menangkap ikan pada hari Sabtu itu, ada golongan lain yang menasihati dari berbuat mungkar itu. Mereka ingatkan balik kepada puak yang bersalah itu tentang larangan Allah. Mereka ingatkan kembali untuk menghormati hari Sabtu, jangan tangkap ikan lagi pada hari itu. Kerana telah jelas yang mereka telah melanggar hukum Allah. Malangnya, ada pula golongan lain yang menegur golongan yang memberi nasihat. Mereka ini umat yang sudah putus asa dalam memberi nasihat.
Mereka yang menangkap ikan itu memang menggunakan alasan – mereka kata mereka tak tangkap ikan hari Sabtu, mereka cuma tahan pukat sahaja pada hari Jumaat dan angkat balik pada hari Ahad. Tapi itu bukanlah alasan yang benar kerana hakikatnya, mereka telah melanggar arahan dari Allah.
Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.
اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا
yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?”
Selepas ada satu pihak yang menegur mereka yang melakukan kesalahan itu, ada pula golongan ketiga yang tegur balik kepada orang yang menasihati. Pihak ketiga ini pun tidaklah terlibat dalam menangkap ikan hari Sabtu itu, tapi dia boleh pula tegur golongan yang menegur itu: “kenapa nak nasihat mereka lagi?”.
Pada mereka, golongan yang sudah melakukan kesalahan itu tidak ada harapan lagi, dan Tuhan akan binasakan mereka atau mengenakan mereka dengan azab yang amat berat. Pada mereka, buang masa sahaja tegur mereka itu.
Oleh itu, ayat ini menyebut tiga golongan:
-
- Yang buat kesalahan menangkap ikan hari Sabtu.
- Yang menasihati mereka
- Yang menegur mereka yang menasihat. Pada mereka, sudah tak perlu tegur, buang masa sahaja.
Macam kita jugalah, kadang-kadang kita tengok seseorang itu sudah teruk sangat, kita rasa kalau kita nasihat dia, buang masa sahaja, bukan dia nak dengar pun. Jadi, ayat ini berkenaan perkara itu. Ia tentang memberi nasihat dan bukan hanya tentang kesalahan menangkap ikan sahaja. Kesalahan menangkap ikan itu sebagai satu contoh sahaja.
Lihatlah pihak ketiga dalam ayat ini kata, mereka yang buat kesalahan itu sudah ditetapkan oleh Allah akan mendapat azab. Bagaimana dia tahu? Sedangkan ini adalah perkara ghaib dan pintu taubat belum tertutup lagi. Jadi, mereka itu sebenarnya telah mendahului takdir. Mereka memandai buat keputusan sendiri. Ini adalah satu kesalahan yang amat besar yang mungkin kita pun pernah melakukannya.
قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم
Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu,
Mereka yang memberi nasihat itu adalah golongan yang menjalankan suruhan Allah tentang memberi nasihat dalam amar makruf dan nahi mungkar. Mereka itu menjawab setelah mereka ditegur oleh golongan ketiga yang tidak faham tentang perkara ini: Kami beri nasihat supaya nanti kami ada alasan di depan Tuhan. Nanti apabila Tuhan tanya, apa yang kita telah lakukan sebagai khalifah di bumi, kita boleh jawab yang kita telah beri nasihat, manusia sahaja yang tidak dengar. Tapi kita tidaklah melihat sahaja.
Jadi, inilah sepatutnya menjadi jawapan kita. Kita sudah nampak mereka melakukan kesalahan, dan kita tegur mereka. Jadi kita sudah tidak bersalah dengan Allah kerana kita telah menjalankan suruhan Allah, iaitu memberi nasihat kepada manusia.
Ia juga ada kebaikan untuk kita, kerana apabila kita mengingatkan orang lain, ianya adalah peringatan kepada diri kita juga. Kerana kita ini insan, selalu terlupa. Maka, apabila kita ingatkan orang lain, tentulah kita sendiri malu nak buat perkara yang salah itu.
وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ
dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.
Dan keduanya mereka kata, mereka beri nasihat itu supaya yang sedang melakukan kesalahan itu sedar, dan tinggalkan kesalahan mereka itu kalau mereka dapat dengar nasihat. Mungkin ada yang akan dengar, dan mungkin ada yang tidak akan dengar. Tapi bagaimana kita nak tahu, selagi kita tidak mula beri nasihat?
Kita tidak buat boleh buat keputusan sendiri. Jangan kita lihat orang dan kita cakap dalam hati kita: “orang ini tidak akan dengar nasihat”. Ini tidak patut kerana kita tidak tahu hati orang lain. Pintu taubat belum tertutup lagi untuk mereka.
Mungkin kalau mereka dinasihati, mereka akan tinggalkan, dan kita akan dapat saham kerana kita yang memberi nasihat itu. Dan kalau mereka tidak berhenti pun, kita sudah tentu dapat pahala kerana kita telah menjalankan nasihat itu. Kerana Allah bukan beri pahala kalau berjaya sahaja – tidak berjaya pun Allah beri pahala juga.
Jadi, ayat ini amat penting untuk kita ingat sampai bila-bila. Kerana perkara ini akan selalu terjadi dalam kehidupan kita seharian. Kita kena faham bahawa kita kena masuk dalam golongan yang menasihati itu. Jangan jadi pihak yang ketiga, menahan orang beri nasihat.
Sudahlah mereka itu tidak beri nasihat, mereka pula tahan orang lain untuk beri nasihat. Itu pun adalah kesalahan besar juga. Kita sepatutnya membantu orang yang memberi nasihat, bukannya memadamkan semangat orang yang memberi nasihat. Memang yang menghalang beri nasihat itu, buat keputusan macam itu kerana mungkin mereka dulu pernah beri nasihat, tapi orang tak dengar.
Tapi itu bukan alasan untuk tidak memberi nasihat. Kita tidak boleh samakan semua orang. Ada orang yang boleh terima nasihat dan ada yang susah. Yang penting kita kena sampaikan nasihat dan teguran kepada orang lain. Kalau mereka tidak dapat kebaikan dari nasihat itu, kita yang memberi nasihat ini yang pasti dalam pahala dan kebaikan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 Mac 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Assalamualaikum ustaz.
Tentang sejarah pelanggaran Hari Sabtu.
Yang melanggar peraturan ini adalah golongan Bani Israel sebelum Nabi Musa ke? Saya confuse siapa audiences ayat ni.
Dan bila diulang peringatan tentang kisah mereka yang langgar aturan Hari Sabtu, Allah nak peringatkan Bani Israel zaman Nabi Musa supaya tak jadi macam orang sebelum.
Atau ayat tu ditujukan kepada orang Yahudi zaman Nabi Muhammad s.a.w. Suruh ingat supaya jangan ulang apa yang berlaku pada Bani israel sebelum ni?
Sebab dalam Al-Baqarah, peringatan tentang kisah Sabat ini adalah ketika Allah angkat gunung untuk Bani Israel pegang kuat-kuat Taurat. Then ayat berikutnya Allah ingatkan tentang kisah kaum sabat, jangan jadi macam mereka. maknanya kaum sabat ni “moyang” Bani Israel ketika itu?
Terima kasih ustaz.
LikeLike
1. Yang melanggar itu bukan zaman Nabi Musa. Ada pendapat mengatakan ia zaman Nabi Daud, jadi zaman selepas Nabi Musa.
2. Allah menceritakan Yahudi ini jenis langgar peraturan agama. Jadi jangan percaya dan ikut mereka.
3. Ayat dalam Surah Baqarah tak ikut kronologi masa.
LikeLike