Tafsir Surah al-A’raf Ayat 165 – 168 (Yahudi Diazab Menjadi Kera)

A’raf Ayat 165: Apakah akibat daripada perbuatan mereka itu?

فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ أَنجَينَا الَّذينَ يَنهَونَ عَنِ السّوءِ وَأَخَذنَا الَّذينَ ظَلَموا بِعَذابٍ بَئيسٍ بِما كانوا يَفسُقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they [i.e., those advised] forgot that by which they had been reminded, We saved those who had forbidden evil and seized those who wronged, with a wretched punishment, because they were defiantly disobeying.

MALAY

Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

 

فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ

Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, 

Mereka yang menangkap ikan pada hari Sabtu tetap tidak menghiraukan nasihat yang diberikan oleh golongan kedua (yang memberi nasihat). Begitu adilnya Allah yang telah memberi peluang kepada mereka dengan diberi peringatan terlebih dahulu. Begitulah Allah tidak mengazab mana-mana kaum melainkan mereka diutuskan dengan para Rasul untuk memberikan peringatan kepada mereka. Yang menjadi punca manusia dikenakan azab itu adalah kerana sikap lalai dan leka sahaja, bukannya kerana mereka tidak tahu.

Oleh sebab itu, golongan ini sememangnya tidak mempunyai alasan lagi. Mereka telah menggali lubang di tanah pantai dan memasang pukat, dan apabila air pasang, ikan-ikan masuk ke dalam lubang itu dan apabila air surut, ikan-ikan yang banyak itu telah terperangkap di dalamnya. Maka, ikan-ikan itu sebenarnya ditangkap pada hari Sabtu. Mereka sahaja memberi helah dengan mengatakan mereka tidak menangkap ikan pada hari Sabtu. Itu hendak menipu Allah namanya!

Begitulah cara mereka menangkap ikan pada hari Sabtu itu. Tidaklah mereka benar-benar pergi turun menangkap ikan pun. Mereka ‘pusing cerita’ sedikit, seolah-olah mereka tidak menangkap ikan pada hari Sabtu walaupun hakikatnya adalah sebaliknya. Maka Allah murka dan tidak menerima alasan mereka itu.

Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang bersikap sebegini dan cuba ‘pusing cerita’ dalam hal agama? Sebagai contoh, bersanding semasa kahwin itu adalah haram, dan kita tidak boleh pergi ke majlis sebegitu. Namun ada yang kata mereka pergi ‘sebelum’ atau ‘selepas’ persandingan itu. Tidakkah itu dikira sebagai ‘pusing’ juga? Hakikatnya, kamu masih lagi meraikan majlis itu, bukan? Sementara itu, terdapat segelintir pula yang beralasan mereka pergi ke majlis Tahlilan atas dasar untuk menjaga silaturahim.

 

أَنجَينَا الَّذينَ يَنهَونَ عَنِ السّوءِ

Kami telah selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, 

Allah menyelamatkan golongan yang membuat amar makruf nahi mungkar, iaitu mereka yang memberi nasihat dan menegur. Inilah golongan kedua itu.

Kita boleh lihat kalimah yang digunakan adalah يَنهَونَ yang di dalam bentuk fi’il mudhari’ (present tense) yang membawa maksud berterusan. Maknanya mereka bukan melakukannya sekali sahaja, tetapi ini adalah kebiasaan bagi mereka. Mereka sentiasa melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Maka ini mengajar kita jangan menegur sekali sahaja, tetapi sentiasa. Selagi mereka tidak berubah, selagi itu kita tegur dan menasihati mereka.

 

وَأَخَذنَا الَّذينَ ظَلَموا بِعَذابٍ بَئيسٍ

dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat,

Bagi mereka yang degil untuk menerima nasihat dan terus melakukan kesalahan yang dilarang, maka mereka dikenakan dengan azab yang teruk (nanti akan diberitahu apa yang terjadi kepada mereka). Mereka telah ditukar menjadi kera. Selepas tiga hari, mereka mati.

 

بِما كانوا يَفسُقونَ

disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

Bukan Allah suka-suka mengenakan azab kepada mereka, tetapi kerana mereka fasik, tidak mahu taat kepada hukum. Fasik itu bermaksud keluar daripada ketaatan kepada Allah .

Dalam ayat ini, Allah beritahu yang Dia menyelamatkan golongan yang memberi nasihat. Namun bagaimana pula dengan golongan ketiga? Mereka tidaklah melanggar perintah Allah dengan menangkap ikan, tetapi mereka tidak menegur orang yang membuat kesalahan itu. Malah apabila ada golongan yang menegur, golongan ketiga ini pula menegur golongan yang menegur, mereka kata buang masa sahaja dan tidak perlu ditegur. Bagaimanakah dengan mereka?

Ada khilaf pendapat tentang nasib mereka. Ada yang kata, azab yang dikenakan itu hanya kepada kumpulan yang menangkap ikan sahaja kerana mereka tidaklah bersetuju dengan perbuatan golongan pertama itu dan mereka membenci dengan hati. Ini seperti hadith Rasulullah ﷺ yang bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

“Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim (49) dan Ahmad (11514))

Oleh sebab itu, sekurang-kurangnya kita hendaklah membenci kemungkaran dengan hati. Kalau kita bersetuju, maka kita akan dikenakan dengan azab yang sama sahaja dengan para pelaku maksiat itu. Lihatlah apa terjadi kepada isteri Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang disebut dalam Hud: 81

فَأَسرِ بِأَهلِكَ بِقِطعٍ مِنَ اللَّيلِ وَلا يَلتَفِت مِنكُم أَحَدٌ إِلَّا امرَأَتَكَ ۖ إِنَّهُ مُصيبُها ما أَصابَهُم

Maka pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikut kamu di akhir malam dan janganlah ada seorang pun di antara kamu yang melihat ke belakang, kecuali isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka

Maka, pendapat pertama mengatakan mereka selamat. Namun ada juga yang mengatakan, mereka yang senyap tidak menegur itu pun turut dikenakan dengan azab juga kerana kesalahan tidak menegur mereka yang membuat salah. Maknanya kalau hendak selamat, mestilah menegur kesalahan yang dilakukan di depan mata kita. Jangan dibiarkan begitu sahaja kerana ada kemungkinan kita akan dikenakan dengan azab yang sama sahaja dengan mereka yang melakukan kemungkaran itu.

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan dalil-dalil seperti Maidah: 78-79

لُعِنَ الَّذينَ كَفَروا مِن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ لِسانِ داوودَ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۚ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَّكانوا يَعتَدونَ

Telah dilaknati orang-orang kafir daripada Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.

كانوا لا يَتَناهَونَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلوهُ ۚ لَبِئسَ ما كانوا يَفعَلونَ

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.

Lihatlah bagaimana kesalahan tidak menegur itu mendapat laknat daripada Nabi mereka sendiri! Kerana tidak menegur itu akan menyebabkan kesalahan yang lebih besar lagi. Inilah yang terjadi kalau kita senyap membisu apabila agama Allah dikhianati dan hukum-Nya dirobek. Kita memang tidak membuat salah, tetapi apabila tidak menegur, orang yang buat salah itu tidak ada rasa bersalah. Mereka senang sahaja membuat kesalahan kerana tidak ada orang yang menegur. Malah, mereka mungkin rasa apa yang mereka buat itu adalah benar.


 

A’raf Ayat 166: Penjelasan tentang apakah azab yang dikenakan.

فَلَمّا عَتَوا عَن مّا نُهوا عَنهُ قُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when they were insolent about that which they had been forbidden, We said to them, “Be apes, despised.”

MALAY

Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

 

فَلَمّا عَتَوا عَن مّا نُهوا عَنهُ

Maka setelah mereka berlaku sombong takbur kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya,

Mereka tidak berhenti daripada membuat perkara yang dilarang. Memang ramai manusia seperti ini. Jenis tidak mendengar kata, tidak mahu menerima nasihat yang baik.

 

قُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ

Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

Mereka ditukarkan menjadi kera yang hina dina. Mereka hanya dapat hidup tiga hari sahaja dan mati belaka selepas itu. Ini kerana mereka tidak dapat makan dan kerana itu mereka mati tidak lama kemudian. Maknanya mereka tidak ada keturunan.

Ini kena diberitahu yang mereka itu mati kemudiannya, sebab kalau tidak diberitahu, ada sahaja yang akal tidak berapa betul, menggunakan ayat ini sebagai dalil yang kata kera-kera sekarang adalah keturunan daripada mereka pula. Padahal, kera sudah ada pun pada waktu itu. Maka, hujah bodoh itu ditutup dengan kita beritahu, mereka tidak sempat membiak pun, tiga hari sudah mati.

Di sini disebut mereka ditukar menjadi kera sahaja sedangkan dalam Maidah: 60 disebut mereka ditukar kepada kera dan babi.

مَن لَّعَنَهُ اللهُ وَغَضِبَ عَلَيهِ وَجَعَلَ مِنهُمُ القِرَدَةَ وَالخَنازيرَ وَعَبَدَ الطّٰغوتَ

orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, di antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan hamba thaghut

Kenapakah ada perbezaan? Ada pendapat yang mengatakan ini adalah pengkhususan iaitu mereka yang melanggar hukum itu ditukar menjadi binatang, tetapi yang golongan muda ditukar menjadi kera dan yang sudah tua gayut ditukar menjadi babi.


 

A’raf Ayat 167: Sekarang disebut balasan umum yang dikenakan kepada golongan Yahudi

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكَ لَيَبعَثَنَّ عَلَيهِم إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن يَسومُهُم سوءَ العَذابِ ۗ إِنَّ رَبَّكَ لَسَريعُ العِقابِ ۖ وَإِنَّهُ لَغَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when your Lord declared that He would surely [continue to] send upon them until the Day of Resurrection those who would afflict them with the worst torment. Indeed, your Lord is swift in penalty; but indeed, He is Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu:

Ini adalah pengumuman daripada Allah . Pengumuman yang kuat. Balasan yang dikenakan kepada mereka itu berpanjangan hingga ke hari Kiamat.

 

لَيَبعَثَنَّ عَلَيهِم إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن يَسومُهُم سوءَ العَذابِ

Bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya 

Kepada golongan Yahudi itu akan dikenakan dengan azab hingga ke hari kiamat. Kaum mereka juga tidak dihargai dan mereka tidak akan ada negara untuk mereka. Mereka dibenci sejak zaman berzaman. Mereka diperangi dan dikalahkan oleh kerajaan demi kerajaan. Semenjak zaman Firaun lagi mereka telah dikenakan dengan azab dibunuh anak-anak lelaki mereka dan anak-anak perempuan mereka dijadikan sebagai hamba.

Di dalam sejarah telah disebut yang menyerang dan mengalahkan mereka seperti Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nebuchadnezzar II, semasa Rasulullah ﷺ di Madinah golongan Yahudi semuanya telah dihalau dari bumi Madinah walaupun mereka dahulu yang mula-mula datang ke situ, ketika pemerintahan Sayyidina Umar رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ puak Yahudi telah dikalahkan dan Palestin telah diambil dan ada berbagai-bagai raja dan kerajaan zaman berzaman yang telah mengalahkan mereka.

Lihatlah sekarang bagaimana semua negara di dunia ini tidak suka kepada mereka. Kerana benci kepada merekalah, Hitler telah membunuh ramai dalam kalangan mereka sehingga mereka terpaksa menumpang kuasa lain. Mereka dilayan kerana mereka ada kekayaan dan kepandaian keduniaan mereka sahaja.

Mungkin ada yang kata mereka sekarang kuat di negara Israel itu. Akan tetapi mereka tetap juga dijajah sebenarnya. Sampai sekarang, kita boleh lihat bagaimana Israel itu terpaksa bergantung kepada kuasa Amerika. Sekiranya Amerika sudah tidak peduli dengan mereka dan tidak memberi bantuan, mereka akan hancur.

Bayangkan yang mereka itu negara pun tidak ada, sampai terpaksa mengambil negara orang lain – Palestin. Begitulah kehinaan yang diberikan kepada mereka, sebagaimana pengumuman daripada Allah ini. Dan ini akan berterusan hingga ke hari Kiamat.

 

إِنَّ رَبَّكَ لَسَريعُ العِقابِ

Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, 

Allah boleh mengenakan azab kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, pada bila-bila masa. Sekiranya Allah mahu mengenakan azab, Allah boleh sahaja menyegerakan azab itu. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang atau menangguhkannya. Bayangkan bagaimana tragedi Tsunami yang berlaku beberapa tahun dahulu. Siapa sangka dengan sekelip mata sahaja, penempatan yang aman damai boleh menjadi padang jarak padang tekukur?

 

وَإِنَّهُ لَغَفورٌ رَّحيمٌ

dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Walau bagaimanapun dalam masa yang sama, jika ada yang sanggup untuk meminta ampun, sanggup mengubah keadaan mereka daripada tidak taat kepada kembali taat kepada Allah , maka ketahuilah bahawa Allah amat pengampun kerana Allah amat mengasihani hamba-Nya.

Selalu Allah sebut di dalam Al-Qur’an kalimah رَحيمٌ selepas Allah sebut kalimah غَفورٌ. Dari sini kita dapat tahu yang Allah bukan sahaja sanggup mengampunkan dosa hamba-Nya, tetapi selepas itu Dia boleh memberikan kasih dan sayang-Nya semula kepada hamba itu. Ini kerana Allah memang suka hamba-Nya yang bertaubat dan kembali kepada-Nya. Bandingkan dengan manusia yang telah berbuat salah kepada kita. Kita mungkin boleh maafkan dia, tetapi susah untuk kita sayang dia kembali seperti sebelum itu, bukan?


 

A’raf Ayat 168: Ini adalah hukuman kedua kepada mereka.

وَقَطَّعنٰهُم فِي الأَرضِ أُمَمًا ۖ مِّنهُمُ الصّٰلِحونَ وَمِنهُم دونَ ذٰلِكَ ۖ وَبَلَونٰهُم بِالحَسَنٰتِ وَالسَّيِّئَاتِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We divided them throughout the earth into nations. Of them some were righteous, and of them some were otherwise. And We tested them with good [times] and bad that perhaps they would return [to obedience].

MALAY

Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).

 

وَقَطَّعنٰهُم فِي الأَرضِ أُمَمًا

Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak dunia ini.

Kita boleh lihat bagaimana golongan Yahudi dahulu sesama sendiri pun banyak puak. Kita boleh lihat air daripada batu yang diberikan kepada mereka diberikan 12 mata air. Memang mereka itu tidak bersatu semenjak dahulu lagi sampai sekarang dan sehingga ke hujung zaman. Mereka terpecah di berbagai-bagai tempat di merata-rata tempat. Bukan sahaja fizikal mereka berpecah, tetapi begitu juga mereka mempunyai berbagai-bagai fahaman.

Nanti apabila hampir kiamat, Allah akan satukan mereka dan merekalah nanti yang akan berperang dengan Imam Mahdi. Maknanya, pada waktu itu mereka akan bersatu tetapi mereka bersatu dengan Dajjal Laknatullah. Nanti mereka bersatu di bawah pimpinan Dajjal yang akan mengarahkan mereka kepada kesesatan dan keburukan.

Sebelum itu mereka memang berpecah belah dari segi fahaman dan tempat tinggal mereka. Mereka tidak lagi menjadi satu umat. Pengumpulan mereka di satu tempat (di Israel) adalah dalam perancangan Allah untuk memusnahkan mereka secara keseluruhan di mana peperangan besar berlaku dengan mereka.

Yang akan berperang dengan mereka nanti adalah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Imam Mahdi. Maka baginda tidak perlu mencari mereka di merata tempat tetapi di satu tempat sahaja.

Hal ini sebagaimana diriwayatkan An-Nawwas bin Sam’an رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ:

فَبَيْنَمَا هُوَ كَذَلِكَ إِذْ بَعَثَ اللهُ المَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ، فَيَنْزِلُ عِنْدَ المَنَارَةِ البَيْضَاءِ شَرْقِيَّ دِمَشْقَ، بَيْنَ مَهْرُودَتَيْنِ، وَاضِعًا كَفَّيْهِ عَلَى أَجْنِحَةِ مَلَكَيْنِ، إِذَا طَأْطَأَ رَأْسَهُ قَطَرَ، وَإِذَا رَفَعَهُ تَحَدَّرَ مِنْهُ جُمَانٌ كَاللُّؤْلُؤِ، فَلَا يَحِلُّ لِكَافِرٍ يَجِدُ رِيحَ نَفَسِهِ إِلَّا مَاتَ

Baginda عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun di Menara Putih yang terletak sebelah timur kota Damaskus di Syam (Syiria). Baginda menggunakan dua pakaian yang dicelup sambil meletakkan kedua tangannya pada sayap dua malaikat, apabila baginda menundukkan kepala, maka (seolah-olah) menitiskan air, apabila baginda mengangkat kepala maka (seolah-olah) berjatuhanlah titisan-titisan itu bagai manik-manik mutiara. Tidak seorang kafir pun yang mencium nafas Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melainkan akan mati padahal nafasnya sejauh mata memandang

(Sahih, HR Muslim)  

Begitu juga di dalam hadith yang lain:

عن عمران بن حصين رضي الله تعالى عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لاتزال طائفة من أمتي يقاتلون على الحق , ظاهرين على من ناوأهم حتى يقاتل آخرهم المسيح الدجال   

Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun di tengah golongan yang dimenangkan (Ath-Tha-ifatul Manshurah) yang berperang di jalan haq dan berkumpul untuk memerangi Dajjal.

(Sahih HR Muslim, Ahmad, Abu Awanah, Ibnul Jarud, dan Ibnu Hibban.

Kejadian perang ini telah disebut oleh Nabi ﷺ yang bersabda:

لا تَقُومُ السَّاعَةُ حتَّى يُقاتِلَ المُسْلِمُونَ اليَهُودَ، فَيَقْتُلُهُمُ المُسْلِمُونَ حتَّى يَخْتَبِئَ اليَهُودِيُّ مِن وراءِ الحَجَرِ والشَّجَرِ، فيَقولُ الحَجَرُ أوِ الشَّجَرُ: يا مُسْلِمُ يا عَبْدَ اللهِ هذا يَهُودِيٌّ خَلْفِي، فَتَعالَ فاقْتُلْهُ،

Tidak akan terjadi hari kiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi Yahudi. Orang-orang Islam membunuh Yahudi sehingga Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pohon. Namun batu atau pohon berkata, “Wahai Muslim, wahai hamba Allah, inilah Yahudi di belakangku. Ke marilah dan bunuhlah dia..”

(Riwayat Bukhari (2926) dan Muslim (2922))

Maka di sini kita tahu yang perpecahan adalah satu azab dan hukuman daripada Allah . Kalau kita pun tidak menjalankan kewajipan kita sebagai umat Nabi Muhammad ﷺ dan hamba Allah , maka kita pun akan dikenakan dengan hukuman  yang sama.

 

مِّنهُمُ الصّٰلِحونَ وَمِنهُم دونَ ذٰلِكَ

Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. 

Namun kita kena ingat, kita tidak boleh pukul rata terhadap mereka, kerana ada antara mereka yang masuk Islam dan menjadi orang soleh. Yang kita lawan bukanlah ‘keturunan’ mereka, tetapi ‘sifat’ buruk mereka itu. Ada dalam kalangan mereka yang beriman dengan Kitab Taurat dengan sebenarnya dan mengamalkannya. Sebaliknya ada yang mengubah Kitab Taurat itu mengikut hawa nafsu mereka. Allah sebut tentang mereka yang baik itu antaranya dalam Ali Imran: 113

لَيْسُوا سَوَاءً مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ

Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

Maknanya apabila Rasulullah ﷺ dibangkitkan ada yang beriman dengan baginda dan masuk Islam. Antara yang disebut adalah seperti Ibnu Salam. Beliau asalnya adalah seorang pendeta, maknanya beliau seorang yang berilmu. Apabila beliau melihat sahaja Rasulullah ﷺ beliau terus tahu yang baginda adalah seorang Rasul. Ini kerana sudah ada tanda-tanda Rasul Akhir Zaman pada baginda yang memang beliau sudah tahu. Tambahan pula dengan raut wajah baginda yang memang jelas menandakan orang yang baik.

Akan tetapi majoriti daripada mereka menyembunyikan kebenaran tentang kerasulan Rasulullah dan menentang baginda dan umat Islam. Walau bagaimanapun kita hendak beritahu di sini yang bukanlah semua. Sampai sekarang pun, ada orang yang asalnya Yahudi, tetapi kemudian telah masuk Islam dan menjadi Muslim yang baik cuma itu adalah bilangan yang kecil sahaja. Namun begitu apabila mereka masuk Islam, mereka memang menjadi Muslim yang baik sekiranya mereka jujur masuk Islam.

 

وَبَلَونٰهُم بِالحَسَنٰتِ وَالسَّيِّئَاتِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Dan Kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).

Allah menguji mereka dengan pelbagai ujian dunia, ada yang kaya raya dan ada yang jatuh sakit dan miskin. Ini sepertimana Allah menguji makhluk Dia yang lain. Diberikan dengan ujian itu, mudah-mudahan mereka bersabar dan kembali kepada Allah . Pintu taubat kepada mereka masih terbuka selagi mereka belum mati.

Memang hidup di dunia kita akan menerima ujian hidup yang banyak. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita adalah ujian sebenarnya. Masalahnya kadang-kadang kita tidak sedar yang sesuatu itu adalah ujian. Ini kerana ujian datang dalam bentuk musibah kesusahan dan kadangkala dalam bentuk kesenangan nikmat. Jika ia datang dalam bentuk musibah, senang kita mengenalinya sebagai ujian.

Namun apabila ia datang dalam bentuk nikmat, itu yang manusia susah hendak kenal. Kita pun sudah lihat bagaimana Yahudi yang menjadi nelayan itu gagal dengan ujian dinampakkan banyak ikan (nikmat) di hari mereka dilarang untuk menangkap ikan. Maka memang ujian nikmat itu lebih sukar. Ini tidak jauh bezanya dengan orang kita juga, jika hidup senang mulalah lupa untuk belajar agama, ibadah pun kurang sebab sibuk berbelanja dan berjalan ke sana sini. Maka kerana itulah sekiranya Allah sayangkan seseorang, Dia akan memberi ujian dalam bentuk kepayahan dan kesusahan hidup. Maka jangan kita mengeluh jika dikenakan dengan ujian kerana itu adalah tanda Allah sayangkan kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 April 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s