Tafsir Surah al-A’raf Ayat 169 – 171 (Ancaman Allah ﷻ menghempap Bukit Thur ke atas kepala Yahudi)

A’raf Ayat 169:

فَخَلَفَ مِن بَعدِهِم خَلفٌ وَرِثُوا الكِتٰبَ يَأخُذونَ عَرَضَ هٰذَا الأَدنىٰ وَيَقولونَ سَيُغفَرُ لَنا وَإِن يَأتِهِم عَرَضٌ مِّثلُهُ يَأخُذوهُ ۚ أَلَم يُؤخَذ عَلَيهِم مّيثٰقُ الكِتٰبِ أَن لّا يَقولوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ وَدَرَسوا ما فيهِ ۗ وَالدّارُ الآخِرَةُ خَيرٌ لِّلَّذينَ يَتَّقونَ ۗ أَفَلا تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there followed them successors who inherited the Scripture [while] taking the commodities¹ of this lower life and saying, “It will be forgiven for us.” And if an offer like it² comes to them, they will [again] take it. Was not the covenant of the Scripture [i.e., the Torah] taken from them that they would not say about Allāh except the truth, and they studied what was in it? And the home of the Hereafter is better for those who fear Allāh, so will you not use reason?

  • i.e., unlawful gains and pleasures.
  • i.e., a similar temptation.

MALAY

Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami” Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?

 

فَخَلَفَ مِن بَعدِهِم خَلفٌ وَرِثُوا الكِتٰبَ

Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). 

Mereka digantikan dengan generasi yang tidak bersyukur dan tidak mengikut cara hidup yang baik. Ini kita tahu kerana kalimah خَلفٌ yang digunakan dalam ayat ini. Kalau kalimah خَلفٌ (khalfun) yang digunakan, ia merujuk untuk golongan yang derhaka. Ini kerana sekiranya untuk golongan yang taat, yang digunakan adalah kalimah خَلَفٌ (khalafun).

Yang berbeza adalah sama ada digunakan ‘lam sukun’ atau tidak. Itulah satu keindahan bahasa Arab, ubah kedudukan tanda pun sudah membawa maksud yang berbeza. Maka kerana itu penting untuk kita belajar bahasa Arab dan cuba belajar ilmu balaghah (pemahaman daripada bahasa yang tersirat) supaya dapat memahami perbezaan yang tersirat.

Penggunaan kalimah خَلفٌ sekali lagi kita jumpa di dalam Maryam: 59

۞ فَخَلَفَ مِن بَعدِهِم خَلفٌ أَضاعُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوٰتِ ۖ فَسَوفَ يَلقَونَ غَيًّا

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)

 

يَأخُذونَ عَرَضَ هٰذَا الأَدنىٰ

Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini

Mereka memang dikatakan beragama, kerana mereka mewarisi Kitab Taurat. Tetapi ia tidak berguna kerana mereka telah mengubah agama kepada sebuah industri untuk menguntungkan mereka. Mereka menjual agama untuk mendapat habuan dunia. Kalimah yang digunakan di sini adalah عرض yang berasal daripada katadasar ع ر ض yang mempunyai banyak makna. Antara maksudnya adalah barang yang buruk dan tidak berkualiti.

Mereka menggunakan agama bagi mendapatkan kedudukan tinggi dalam kalangan masyarakat. Para agamawan mereka bercakaran antara satu sama lain untuk merebut kedudukan siapa yang lebih tinggi.

Mereka menjual sokongan dan fatwa mereka untuk mendapat keuntungan dunia. Fatwa dan hukum boleh dijual-beli daripada para agamawan mereka. Mereka sanggup berbuat begitu kerana mereka mementingkan keduniaan dengan menolak akhirat. Mereka sanggup mengubah fatwa agama, asalkan boleh membuat untung. Inilah yang dimaksudkan ‘menjual agama’.

Maka, sekiranya orang Islam ada berkelakuan sebegitu juga, maka mereka pun dikira menjual agama. Perangai macam orang Yahudi juga, dikutuk Allah juga. Sebagai contoh, ada pemuka agama yang menjadi penasihat kepada pemerintah bagi menghalalkan tindakan pemerintah. Mereka sanggup memberi pendapat yang berlawanan dengan agama asalkan kedudukan mereka di mata pemerintah selamat. Nauzubillahi min dzaalik.

Menggunakan agama dan kitab wahyu sebagai punca pendapatan memang selalu dilakukan oleh puak Yahudi seperti yang Allah sebut dalam Baqarah: 79

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَّهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَّهُم مِّمّا يَكسِبونَ

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka daripada apa yang mereka usahakan itu.

Mungkin kita terfikir kenapalah mereka sanggup membuat perkara sedemikian ini? Ia boleh terjadi kerana mereka sangka mereka akan selamat sahaja kerana kononnya mereka itu puak terpilih. Jika masuk neraka pun sekejap sahaja. Ini Allah sebut dalam ayat selepasnya:

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”.

Oleh itu, golongan Yahudi yang kemudian itu mendapat kitab Taurat daripada tok nenek mereka, tetapi kitab sahaja yang mereka ambil namun amalan daripada kitab itu tidak diambil. Maknanya, walaupun mereka ada kitab, tetapi mereka tidak ikut pun. Mereka tidak amal seperti yang sepatutnya. Mereka cuma ambil nama dan kedudukan sahaja supaya mereka boleh mengambil wang daripada masyarakat.

Bagaimanakah pula dengan orang kita yang telah mewarisi Al-Qur’an, tetapi tidak menggunakannya? Apakah tidak sama dengan puak Yahudi itu? Ramai dalam  kalangan kita yang ada Al-Qur’an di rumah, tetapi tidak menggunakannya, tidak faham apa yang disampaikan dalam wahyu Al-Qur’an itu. Yang ramai adalah mereka yang membacanya sahaja.

Kitalah satu-satunya masyarakat yang menterjemahkan perkataan ‘mengeja’ sama maksud dengan ‘membaca’. Sedangkan sepatutnya maksud membaca adalah dengan memahami apa yang kita baca, bukan? Jika tidak faham, sepatutnya tidaklah dikira sebagai membaca, bukan? Itu hanyalah mengeja namanya.

Disebabkan itulah kebanyakan daripada kita tidak faham apa yang dibaca. Jikalau tidak faham, tentulah tidak diamalkan, bukan? Maka akhirnya sama sahajalah dengan golongan Yahudi yang dikutuk dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini.

Tambahan pula menjual nama agama dan ayat-ayat Al-Qur’an untuk membenarkan perbuatan mereka yang salah; atau melariskan jualan; atau untuk mendapat kedudukan dalam masyarakat.

 

وَيَقولونَ سَيُغفَرُ لَنا

sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami”

Mereka tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu salah, tetapi mereka kata ia bukanlah dosa besar, dosa kecil sahaja. Mereka sangka, lambat laun Allah akan mengampuni dosa mereka. Ini adalah kerana mereka merasakan yang mereka adalah insan terpilih yang Allah tidak akan azab lama.

Sedangkan menukar syari’at daripada yang sepatutnya merupakan dosa besar yang dikenali sebagai suhtun, malah ia adalah lebih besar daripada dosa riba. Namun mereka meremehkan sahaja dosa tersebut. Maka mereka sebenarnya tidak akan selamat. Mereka akan kekal dalam neraka sebenarnya.

Kita adalah makhluk yang banyak berdosa. Ini semua orang kena terima. Akan tetapi yang buruknya adalah apabila membuat dosa, tetapi kemudian cuba untuk meringankan dosa itu. Seolah-olah ia tidaklah besar mana. Maknanya memandang remeh akan dosa. Contohnya mereka kata, “Alahhh, sikit jer ni, takde apa-apa…”, “Orang lain ambil rasuah lagi banyak dari aku lah!”, “Takpe, Allah kan Maha Pemurah?”. Ini adalah contoh kata-kata yang buruk keluar daripada mulut manusia.

Manusia yang baik akan memandang dosa kecil sebagai besar; namun orang yang jahat akan memandang dosa besar sebagai kecil sahaja.

 

وَإِن يَأتِهِم عَرَضٌ مِّثلُهُ يَأخُذوهُ

Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi.

Mereka tahu yang mereka lakukan itu adalah dosa dan mereka berkata mereka akan berhenti melakukannya dan mereka akan diampunkan, dan jika datang lagi peluang untuk mendapatkan habuan dunia lain seperti itu, mereka melakukannya juga lagi. Maknanya, mereka tidak berhenti daripada menggunakan agama ini untuk kepentingan dunia. Mereka tidak rasa bersalah pun sebenarnya. Selagi ada peluang, mereka akan ambil. Mereka tidak bertaubat pun kerana taubat itu bermaksud berazam tidak akan membuat lagi dosa tersebut. Ini menunjukkan mereka tidak bersungguh-sungguh ketika mereka meminta keampunan Allah ﷻ. Masih ada kelumit kesesatan dalam diri mereka.

As-Saddi رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Maka datanglah sesudah mereka generasi (yang jahat). (Al-A’raf: 169) sampai dengan firman-Nya: padahal mereka telah mempelajari apa yang tersebut di dalamnya (Al-A’raf: 169) bahawa dahulu orang-orang Bani Israel tidak sekali-kali meminta pengadilan daripada seorang hakim melainkan main suap (makan rasuah) dalam keputusan hukumnya. Dan sesungguhnya orang-orang terkemuka mereka meng­adakan pertemuan, lalu mengadakan kesepakatan di antara sesama mereka yang mereka tuangkan (masukkan) ke dalam suatu perjanjian, bahawa mereka tidak akan melakukan hal itu lagi dan tidak akan melakukan penyuapan.

Kemudian ada seorang lelaki dalam kalangan mereka yang tetap melakukan suap dalam perkaranya. Ketika ditanyakan kepadanya, “Mengapa engkau masih tetap memakai suap dalam hukum?” Dia menjawab bahawa Allah akan memberikan keampunan kepadanya. Maka semua orang dalam kalangan Bani Israel mencela perbuatan yang telah dilakukannya itu.

Tetapi apabila dia mati atau dipecat, maka kedudukan­nya diganti oleh orang yang tadinya termasuk orang-orang yang mencelanya. Tetapi pada akhirnya si pengganti ini pun melakukan suap pula. Kerana itulah dalam ayat ini disebutkan, “Apabila datang kepada yang lainnya harta benda duniawi, maka mereka mengambilnya juga.”

Maka ini mengajar kita bahayanya dugaan dunia kerana hendak mengejar kesenangan keduniaan, manusia yang ada ilmu agama pun boleh terpesong dan tergelincir. Jangan sangka kalau kita sudah ada ilmu, kita akan selamat. Ini kerana tarikan keduniaan amatlah kuat.

 

أَلَم يُؤخَذ عَلَيهِم مّيثٰقُ الكِتٰبِ أَن لّا يَقولوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ

Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar?

Sanggup mereka melakukan penipuan dalam agama, sedangkan tidakkah mereka telah ambil perjanjian dengan Allah , jangan sekali-kali mereka mengatakan sesuatu tentang agama Allah melainkan yang benar sahaja?

Maka mengapakah mereka berani mengatakan perkara yang tidak benar? Sanggup mereka memperkatakan sesuatu daripada agama walaupun mereka tahu bukannya datang daripada Allah , bukannya daripada wahyu? Tidakkah mereka sedar yang mereka sedang bercanggah dengan perjanjian mereka itu?

Oleh hal yang demikian, ini menjadi pengajaran kepada kita semua. Janganlah memandai-mandai memperkatakan tentang hal agama tanpa bukti. Terutama tentang Allah seperti yang disebut dalam ayat ini. Ada dua perkara yang kita tidak boleh gunakan akal untuk berkata tentangnya iaitu tentang Allah dan tentang ayat Al-Qur’an.

 

وَدَرَسوا ما فيهِ

Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya?

Mereka telah belajar pun isi kandungan dalam Taurat itu. Maknanya, mereka bukannya orang yang tidak tahu hukum dan tanggungjawab mereka kerana mereka telah belajar dalam Taurat itu apa yang mereka perlu lakukan. Maknanya, mereka ini bukan orang jahil, tetapi degil sahaja. Mereka ini adalah jenis kafir degil, bukan kafir jahil. Maka di sini kita tahu yang ada ilmu sahaja belum tentu selamat lagi.

Ayat ini ditujukan kepada golongan para ulama’, iaitu mereka yang ada ilmu, yang menjadi rujukan masyarakat. Ulama’ Yahudi telah menyalahgunakan ilmu yang mereka ada untuk kepentingan keduniaan mereka. Mereka mengambil keuntungan daripada apa yang mereka sampaikan kepada masyarakat. Mereka hanya menyampaikan apa yang masyarakat mahu dengar.

Mereka sanggup mengatakan sesuatu yang tidak benar dalam agama, asalkan masyarakat suka dengan apa yang mereka cakap. Ini kerana apabila masyarakat suka, mereka akan membayar upah kepada golongan ulama’ ini. Sebab itulah kebanyakan para asatizah yang mengajar agama yang mementingkan upah, mereka tidak berani untuk menegur kesalahan masyarakat kerana bimbang tidak dijemput lagi.

Oleh sebab itu, sekiranya ulama’ kita ada yang berperangai seperti ini, maka ayat ini pun ditujukan buat mereka. Jangan kita salah faham dengan mengatakan ayat ini hanya ditujukan kepada ulama’ Yahudi sahaja kerana mereka itu dijadikan sebagai contoh jenis kesalahan yang kita mesti elakkan. Kita kena ambil pengajaran daripada pengalaman mereka.

 

وَالدّارُ الآخِرَةُ خَيرٌ لِّلَّذينَ يَتَّقونَ

Dan negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.

Sudahkah mereka lupa bahawa syurga itu lebih baik dari segenap segi? Mereka sepatutnya tahu tetapi mereka lupa yang ia adalah bagi orang yang dapat menjaga hukum Allah sahaja. Mereka telah ditipu oleh keindahan dunia. Mereka mahukan benda yang rendah (dunia) tetapi mereka telah meninggalkan perkara yang lebih utama dan kekal (akhirat). Sungguh amat rugi perniagaan yang mereka lakukan ini. Sungguh gagal mereka dalam menilai.

 

أَفَلا تَعقِلونَ

Tidakkah kamu mahu mengerti?

Ini adalah tempelak daripada Allah : benda mudah seperti ini pun kamu tidak mampu hendak faham? Apa sudah jadi dengan kamu? Tidakkah kamu gunakan akalmu? Akal kamu letak di mana?


 

A’raf Ayat 170: Ayat tabshir.

وَالَّذينَ يُمَسِّكونَ بِالكِتٰبِ وَأَقامُوا الصَّلوٰةَ إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ المُصلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who hold fast to the Book [i.e., the Qur’ān] and establish prayer – indeed, We will not allow to be lost the reward of the reformers.

MALAY

Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).

 

وَالَّذينَ يُمَسِّكونَ بِالكِتٰبِ

Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah

Ayat ini adalah untuk golongan Ahli Kitab yang mengikut ajaran yang terkandung di dalam kitab itu. Mereka mengikut bersungguh-sungguh apa yang disebut dalam wahyu dan mereka terima semuanya. Mereka buat segala yang patut diikuti. Kitab itu boleh berbentuk umum, bukan hanya Kitab Taurat tetapi semua kitab seperti Taurat, Injil, Zabur dan Al-Qur’an.

Di sini digunakan kalimah يُمَسِّكونَ daripada katadasar م س ك yang bermaksud pegang dengan kuat. Maka ia bukanlah semata-mata mengambil sahaja kerana kalau begitu, kalimah seperti يأخذون atau setakat membaca sahaja iaitu يقرءون. Ini mengajar kita bahawa ada sesuatu yang lebih lagi yang perlu dilakukan dengan kitab wahyu itu, bukannya setakat baca menjaga tajwid sahaja seperti yang dilakukan oleh orang Melayu kita. Tidak habis-habis belajar tajwid dan baca tanpa faham Al-Qur’an itu.

 

وَأَقامُوا الصَّلوٰةَ

serta mendirikan sembahyang, 

Ini adalah tanda mereka yang beriman dengan kitab wahyu iaitu orang itu akan menjaga syariat. Mereka yang menjaga syariat akan menjaga ibadat mereka. Tidaklah semata-mata mengaku sebut sahaja beriman, beriman, namun ibadah langsung tidak ada!

Di sini disebut ibadah salat secara khusus kerana ia adalah ibadat yang terpenting. Dalam banyak-banyak ibadah, salatlah yang paling utama. Sekiranya boleh dijaga ibadah salat, maka ibadah lain akan senang dijaga. Ibadah salat sebagai wakil kepada ibadah-ibadah yang lain, namun bukanlah bermaksud kena jaga salat sahaja tetapi semua ibadah lain harus juga dijaga. Takut juga ada yang lurus bendul berkata Al-Qur’an hanya menyebut salat sahaja. Bahaya kalau sel otak tidak bertemu.

Begitulah yang terjadi apabila timbul isu ada ustaz yang kata kalau tidak salat, ibadah puasa tidak diterima. Memang ini adalah pegangan sebahagian ulama’ juga kerana ibadah salat adalah ibadah yang utama. Ia adalah tanda keislaman seseorang. Maka sekiranya seseorang itu memang tidak menjaga langsung ibadah salat, maka puasa dia sebenarnya tidak diterima oleh Allah pun kerana ibadah puasa syaratnya mestilah menjadi Muslim terlebih dahulu.

Orang yang akalnya waras akan tersedar yang dia mesti salat dan juga berpuasa. Namun amat menyedihkan jika terdapat orang yang sel otak tidak berhubung, mereka mula berkata: “Kalau begitu, baik aku tak payah puasa langsung kalau begini!”

Oleh sebab itu, salat amat perlu dijaga. Ia adalah amalan pertama yang dinilai di akhirat kelak seperti disebut di dalam sebuah hadith:

أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلَاةُ، فَإِنْ صَلَحَتْ صَلَحَ لَهُ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ

Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah salat. Sekiranya baik salatnya maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya maka buruk segala amalannya.

(Hadith Riwayat At-Tabrani (1859))

Maka, seandainya salat pun tidak lepas, apatah lagi dengan amalan-amalan yang lain? Oleh kerana itu salat amatlah penting malah bukan salat sahaja tetapi kita kena berusaha untuk mendapatkan khusyuk. Ilmu pertama yang diangkat daripada umat Islam adalah khusyuk seperti disebut di dalam hadith yang lain:

عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّهُ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَنَظَرَ فِي السَّمَاءِ ثُمَّ قَالَ هَذَا أَوَانُ الْعِلْمِ أَنْ يُرْفَعَ

Daripada ‘Auf bin Malik رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ beliau berkata: Ketika kami duduk-duduk di samping Rasulullah ﷺ pada suatu hari, baginda memandang ke langit lalu bersabda: “Inilah saatnya ilmu diangkat.”

فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ يُقَالُ لَهُ زِيَادُ بْنُ لَبِيدٍ أَيُرْفَعُ الْعِلْمُ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَفِينَا كِتَابُ اللَّهِ وَقَدْ عَلَّمْنَاهُ أَبْنَاءَنَا وَنِسَاءَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْ كُنْتُ لَأَظُنُّكَ مِنْ أَفْقَهِ أَهْلِ الْمَدِينَةِ ثُمَّ ذَكَرَ ضَلَالَةَ أَهْلِ الْكِتَابَيْنِ وَعِنْدَهُمَا مَا عِنْدَهُمَا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Lalu seseorang daripada kaum Ansar bernama Ziyad bin Labid bertanya: “Apakah ilmu akan terangkat sedangkan di tengah-tengah kami ada kitab Allah, kami mengajarkannya kepada anak-anak kami dan isteri-isteri kami?”. Rasulullah  wa ﷺ menjawab: “Dulu aku menyangka kamu penduduk Madinah yang paling faham.” Setelah itu baginda menyebutkan kesesatan ahli kitab sedangkan keduanya memiliki kitab Allah ‘عَزَّ وَجَلَّ yang mereka miliki.

فَلَقِيَ جُبَيْرُ بْنُ نُفَيْرٍ شَدَّادَ بْنَ أَوْسٍ بِالْمُصَلَّى فَحَدَّثَهُ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ فَقَالَ صَدَقَ عَوْفٌ

Setelah itu Jubair bin Nufair menemui [Syaddad bin Aus] di tempat salat lalu menceritakan hadith daripada ‘Auf bin Malik ini kepadanya, beliau berkata: ‘Auf benar.

ثُمَّ قَالَ وَهَلْ تَدْرِي مَا رَفْعُ الْعِلْمِ قَالَ قُلْتُ لَا أَدْرِي قَالَ ذَهَابُ أَوْعِيَتِهِ قَالَ وَهَلْ تَدْرِي أَيُّ الْعِلْمِ أَوَّلُ أَنْ يُرْفَعَ قَالَ قُلْتُ لَا أَدْرِي قَالَ الْخُشُوعُ حَتَّى لَا تَكَادُ تَرَى خَاشِعًا

Setelah itu beliau bertanya: “Tahukah kamu maksud diangkatnya ilmu?”. Syaddad menjawab: Aku tidak tahu. Jubair berkata: “Hilangnya bekas-bekasnya”. Jubair bertanya: “Tahukah kamu ilmu apa yang pertama akan diangkat? Syaddad menjawab: Aku menjawab: Aku tidak tahu. Jubair menjawab: Khusyuk hingga hampir saja kamu tidak akan melihat orang yang khusyuk.

(Musnad Ahmad, no: 23990, Al-Arna’ut menyatakan ia sahih)

Perkara terakhir diangkat adalah salat di mana umat Islam pun sudah tidak melakukan salat, sama seperti Yahudi dan Nasara yang meninggalkan salat. Sekarang pun kita dapat lihat banyak Muslim tidak salat, bukan? Selamba sahaja tidak salat!

Ia ada kaitan dengan khusyuk juga. Apabila sudah tidak ada khusyuk dalam salat, maka nikmat salat sudah tidak ada lagi dan manusia sudah tidak melihat salat sebagai sesuatu yang dapat menenangkan diri mereka.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال
لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الإِسْلاَمِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِى تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضاً الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلاَة 

Daripada Abu Umamah Al Bahili, beliau berkata, daripada rasulullah ﷺ   bersabda,“Tali ikatan Islam akan putus seutas demi seutas. Setiap kali terputus, manusia bergantung pada tali berikutnya. Yang paling awal terputus adalah hukumnya, dan yang terakhir adalah salat.

(Hadith Riwayat Ahmad 5: 251)

 

إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ المُصلِحينَ

sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki 

Allah tidak akan menghampakan mereka yang berusaha memperbaiki keadaan mereka daripada seorang yang kufur kepada menjadi seorang yang taat. Daripada amal yang toleh kepada amal yang soleh. Yang buruk menjadi baik. Yang syirik menjadi tauhid. Yang bid’ah menjadi sunnah.

Di dalam ayat ini Allah beritahu yang Dia akan memberikan pahala kepada mereka. Allah tidak pula sebut akan memasukkan mereka ke dalam syurga seperti banyak ayat-ayat yang lain. Di sini Allah memberi motivasi kepada kita supaya beramal dengan kebaikan walau sekecil mana pun; Allah tidak akan sia-siakan.

Maka sekecil mana pun amalan kebaikan, teruslah kita melakukannya. Amalan yang mudah saja seperti senyum kepada orang, menyusun kasut di masjid, memberi bantuan kepada orang walau dengan hanya membantu membukakan pintu atau mengemas meja makan di restoran setelah selesai makan. Teringat saya dengan amalan mulia perbuatan tokoh mulia kita Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (mantan Menteri Besar Kelantan Darul Naim) ketika dalam mana-mana perjalanan, beliau akan singgah di masjid yang dilaluinya dan membersihkan tandas secara senyap-senyap. Tidak pernah dihebohkan dalam media sosial sepertimana budaya kebiasaan kita hari ini, apa sahaja perbuatan akan terus sahaja di’viral’ kan ke seluruh dunia.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah المُصلِحينَ dan ini jarang digunakan di dalam Al-Qur’an kerana selalunya digunakan kalimah ٱلصَّـٰلِحِينَ seperti dalam Baqarah: 130

وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah daripada orang-orang yang soleh

Sekiranya kalimah المُصلِحينَ digunakan ia bermaksud mereka bukan sahaja baik, tetapi memperbaiki diri orang lain juga. Mereka juga bukan sahaja memperbaiki keadaan peribadi mereka, tetapi mereka juga memperbaiki masyarakat. Mereka melakukan islah (pembaikan) dalam masyarakat. Mereka itulah orang yang tetap akan mendapat pahala daripada Allah . Mereka tidak mementingkan dan menyelamatkan diri sendiri sahaja.


 

A’raf Ayat 171:

۞ وَإِذ نَتَقنَا الجَبَلَ فَوقَهُم كَأَنَّهُ ظُلَّةٌ وَظَنّوا أَنَّهُ واقِعٌ بِهِم خُذوا ما ءآتَينٰكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when We raised the mountain above them as if it was a dark cloud and they were certain that it would fall upon them,¹ [and Allāh said], “Take what We have given you with determination and remember what is in it that you might fear Allāh.”

  • For their rebellion and disobedience.

MALAY

Dan ingatlah ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman kepada mereka): “Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”

 

وَإِذ نَتَقنَا الجَبَلَ فَوقَهُم كَأَنَّهُ ظُلَّةٌ

Dan ingatlah ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israel) seolah-olah gunung itu jadi teduhan

Allah menceritakan bagaimana Dia pernah memaksa Bani Israel supaya beramal dengan kitab Taurat dengan cara takwini (ketentuan daripada Allah ) di mana Allah menzahirkan Qudrat-Nya dengan mengangkat gunung ke atas kepala mereka. Diangkat betul-betul sehingga ia menjadi penutup di atas mereka. Mereka berada di dalam bayang bukit itu. Ia menjadi bagaikan teduhan atas mereka.

Di dalam ayat lain juga ada disebut kisah Bukit Thur ini diangkat seperti di dalam Baqarah: 93

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسمَعوا

Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah

Cuma kalimah yang digunakan adalah رفع (angkat) dan di dalam Surah A’raf digunakan kalimah نتق yang juga bermaksud angkat tetapi beza angkat di sini setelah dipecahkan.

Al-Qasim ibnu Abu Ayyub رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ telah meriwayatkan daripada Sa’id ibnu-Jubair, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa setelah (Bani Israel selamat daripada Fir’aun), dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah membawa mereka menuju ke Jerussalem, dan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil lauh-lauh Kitab Taurat yang telah dilemparkannya itu sesudah marahnya reda. Kemudian Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memerintahkan mereka berbagai macam pekerjaan sesuai dengan wahyu Allah yang harus dia sampaikan kepada mereka, dan ternyata pekerjaan-pekerjaan itu berat bagi mereka, lalu mereka menolak, tidak mahu menerimanya, hingga Allah mengangkat bukit dan mengangkatnya ke atas kepala mereka. Bukit tersebut diangkat oleh para malaikat ke atas kepala mereka. Demikianlah menurut riwayat Imam Nasai’iy رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ secara panjang lebar.

Ayat ini mengajar kita yang kadangkala kita mesti menggunakan kekerasan untuk memaksa manusia melakukan kebaikan dan untuk taat kepada syariat. Ini kerana jika kita berlembut sangat, manusia menjadi lemah dan mengambil sikap sambil lewa sahaja untuk perkara yang berkenaan syariat. Ini berlaku kerana kebanyakan manusia akan mudah sahaja mengikut hawa nafsu yang suka meninggalkan ketaatan. Sebagaimana anak kita jugalah, dari muda lagi hendaklah dipaksa mengerjakan salat kerana mereka tentunya malas dan berat untuk mengerjakannya, bukan?

 

وَظَنّوا أَنَّهُ واقِعٌ بِهِم

dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka,

Ketika itu, mereka yakin dan percaya benar dengan ancaman Allah , jika mereka tidak mengikut ajaran dalam Kitab Taurat, mereka akan dihempap pada waktu itu juga. Kalimah ظنّ asalnya bermaksud ‘sangkaan’ seperti kita biasa gunakan husnul zhon. Akan tetapi apabila ada harf أن selepasnya, ia membawa maksud ‘yakin’.

Tentu sekali mereka yakin kerana mereka nampak dengan mata kepala mereka sendiri. Waktu itu baru mereka mahu mendengar arahan, sedangkan sebelum itu apabila disuruh untuk taat kepada Taurat, mereka tidak mahu mendengarnya.

Abu Bakar ibnu Abdullah رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ mengatakan, telah menceritakan kepadanya Al-Hasan Al-Basri رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ, bahawa tatkala mereka (Bani Israel) melihat gunung itu terangkat di atas kepala mereka, maka masing-masing daripada mereka menyungkur bersujud pada pelipis sebelah kiri mereka, sedangkan  mata kanan mereka melihat ke arah bukit itu kerana takut akan menimpa diri mereka. Maka demikian pula di masa sekarang, tidak ada seorang Yahudi pun di muka bumi ini melainkan bila sujud pasti pada pelipis kirinya. Mereka menduga bahawa cara sujud inilah yang menyebabkan terhapusnya seksaan.

Persoalan yang timbul, kenapakah mereka itu dipaksa untuk beramal sedangkan bukankah ada ayat yang mengatakan tidak ada paksaan iaitu Baqarah: 256?

لا إِكراهَ فِي الدّينِ

Tidak ada paksaan dalam agama

Kita kena faham yang tidak ada paksaan untuk masuk agama Islam. Akan tetapi apabila sudah terima dan masuk agama Islam, kenalah beramal dengan ajaran agama. Bukannya boleh dipilih-pilih mana yang hendak dibuat. Perumpamaannya begini: seorang guru tidak boleh menyuruh mana-mana budak untuk membersihkan sekolahnya. Akan tetapi sekiranya budak itu adalah pelajar sekolahnya yang sudah memasuki kawasan sekolah, maka guru itu boleh dan berhak untuk menyuruh pelajar itu membersihkan sekolahnya.

Maka begitulah juga dengan puak Yahudi itu. Setelah mereka menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi mereka sebagai penyampai ajaran agama, maka kenalah menerima ajaran agama. Mereka hendaklah beribadah sebagaimana yang disyariatkan oleh agama ke atas diri mereka.

 

خُذوا ما ءآتَينٰكُم بِقُوَّةٍ

“Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu

Ketika diangkat Bukit Thur di atas kepala mereka, mereka diingatkan untuk beramal bersungguh-sungguh dengan kitab Taurat yang diberikan kepada mereka itu. Mereka mesti memegang dengan iktikad bahawa ia adalah benar dan mesti membuktikannya dengan melakukan amalan yang telah diperintahkan di dalamnya.

Nabi Yahya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah diperintahkan untuk memegang kitab dengan kuat seperti disebut di dalam Maryam: 12

يَـٰيَحيَىٰ خُذِ الكِتٰبَ بِقُوَّةٍ

“Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh!

Maksud pegang dengan kuat itu adalah bersungguh-sungguh hafal, bersungguh-sungguh untuk memahami dan mengamalkannya, ikut apa yang diarahkan di dalamnya dan meninggalkan yang dilarang. Maka beginilah seharusnya sikap kita terhadap kitab kita Al-Qur’an ini. Jangan setakat dibaca sahaja seperti perbuatan kebanyakan orang Melayu sekarang.

 

وَاذكُروا ما فيهِ

dan ingatlah apa yang terkandung di dalamnya, 

Maksudnya, mereka kenalah sentiasa bermuzakarah tentang ajaran yang ada dalam kitab Taurat itu – mesti belajar dan mengajar isi Taurat. Begitulah juga yang disuruh kepada kita juga. Kita disuruh untuk berpegang dengan Al-Qur’an ini dan sentiasa tadabbur tentang maksud yang ada dalam Al-Qur’an itu. Kita juga diperintahkan untuk menyebarkan kepada orang lain dan mengajarkannya kepada manusia yang lain.

 

لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”

Mereka diperintahkan untuk taat kepada suruhan itu, mudah mudahan mereka boleh mencapai taqwa apabila mereka melakukannya. Taqwa tidak mungkin akan dicapai jika tidak mengikut kitab wahyu. Begitu juga dengan kita umat Nabi Muhammad ﷺ, bagi mendapat taqwa, mestilah mengikut segala ajaran di dalam Al-Qur’an. Maka bagaimana umat Islam hendak maju jika tidak faham apa yang Al-Qur’an sampaikan?

Oleh itu, fahamlah kita di sini bahawa jika kita mengabaikan perintah Al-Qur’an, maka jadilah kita seperti orang Yahudi itu. Mereka secara melampau tidak beriman, sampaikan Allah kena mengangkat bukit ke atas kepala mereka dan mengancam untuk menjatuhkan ke atas mereka, barulah mereka hendak beriman dan berpegang kepada kitab Taurat itu. Takkan kita pun Allah kena buat seperti itu juga baru benar-benar hendak beriman dan beramal dengan apa yang ada dalam Al-Qur’an ini?

Janganlah sampai begitu sekali, tidak mungkin kita mahu menjadi seperti Bani Israel, sedangkan kita selalu mengutuk mereka? Kita selalu berkata yang kita ini adalah lebih baik daripada mereka, bukan? Maka hendaklah kita sendiri yang berpegang dan beramal dengan Al-Qur’an ini tanpa dipaksa.

Habis Ruku’ 21 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 April 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s