Tafsir Surah Maryam Ayat 12 – 14 (Siapakah Nabi Yahya?)

Ayat 12:

يَـٰيَحيَىٰ خُذِ الكِتٰبَ بِقُوَّةٍ ۖ وَءآتَينٰهُ الحُكمَ صَبِيًّا

Sahih International

[ Allah ] said, “O John, take the Scripture with determination.” And We gave him judgement [while yet] a boy

 

Malay

“Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa dia masih kanak-kanak.

 

يَـٰيَحيَىٰ

Hai Yahya!

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ berkomunikasi terus dengan Nabi Yahya عليه السلام. Tidak diceritakan apakah yang terjadi selepas Allah ‎ﷻ memperkenankan doa Nabi Zakaria عليه السلام sebelum ini (ayat 11). Kita boleh agak bahawa isteri baginda telah mengandung (Tafsir Jalalain mengatakan 2 tahun kemudiannya) dan telah selamat melahirkan Nabi Yahya عليه السلام. Dan sekarang Allah ‎ﷻ sedang berkomunikasi dengannya. Sekarang, Nabi Yahya عليه السلام sudah menjadi Nabi.

Al-Qur’an bukanlah seperti novel yang memasukkan semua kisah-kisah satu persatu. Kisah-kisah yang tidak perlu, tidak dimasukkan ke dalam Al-Qur’an. Macam juga kalau kita lihat kepada filem-filem sekarang, kadang-kadang permulaan filem itu tentang bagaimana seseorang dalam kisah itu lahir, kemudian tiba-tiba dalam babak yang seterusnya, terus dia telah membesar. 

Perkara yang tidak penting tidak dimasukkan dalam Al-Qur’an. Ini bermaksud, apa sahaja yang dimasukkan dalam Al-Qur’an adalah perkara-perkara penting kerana Allah ‎ﷻ telah memasukkan kisah itu. Maka, apabila kita membaca ayat-ayat Al-Qur’an, kita tahu bahawa Allah‎ ﷻ memasukkan ayat itu dalam Al-Qur’an bukan bersahaja sahaja.

Ada pengajaran dalam setiap ayat kerana kadang-kadang, kita nampak macam maklumat yang diberikan tidak penting. Tetapi apabila kita faham bahawa segala yang ada dalam Al-Qur’an adalah penting, kita akan melihatnya dalam perasaan yang lain. Kita sudah tahu bahawa ada pengajaran yang hendak disampaikan dalam ayat itu. Maka kajian perlu dijalankan pada setiap ayat sepatutnya.

 

خُذِ الْكِتٰبَ

Peganglah Kitab ini;

Ulama’ sepakat mengatakan bahawa kitab yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa عليه السلام. Itu adalah Kalam Allah zaman itu. Taurat itu telah menerangkan tentang kedatangan Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Yahya عليه السلام akan menjadi orang kanan Nabi Isa عليه السلام.

Untuk baginda membantu Nabi Isa عليه السلام, kenalah baginda menjadi orang yang layak untuk membantu Nabi Isa عليه السلام dan untuk itu, kenalah baginda memegang Kitab Taurat itu dengan kemas.

Kepada kita, Al-Qur’anlah yang menjadi pegangan kita sekarang. Kalau Nabi Yahya عليه السلام disuruh memegang Taurat, kita pula disuruh memegang Al-Qur’an pula. Arahan kepada Nabi Yahya عليه السلام ini juga terpakai untuk kita juga. Cuma bezanya kita kena memegang Al-Qur’an.

‘Memegang’ itu bukanlah bermaksud pegang dengan tangan, tetapi berpegang kepada ajaran-ajaran dan hukum-hukum yang ada dalam Al-Qur’an itu. Nabi Yahya عليه السلام disuruh belajar isi kandung Kitab Taurat dan mempraktikkannya dalam kehidupan baginda.

Begitulah kita disuruh untuk melakukan sedemikian dengan Al-Qur’an. Tetapi malangnya, masyarakat kita buat tidak endah sahaja kepada Al-Qur’an. Kalau habis kuat pun, mereka akan baca hari-hari dan kalau ada yang lebih sikit, mereka akan hafal Al-Qur’an. Namun mereka tidak faham pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu.

Ini amat malang sekali dan diharap dengan penulisan ini, semakin menarik minat masyarakat kita untuk belajar tafsir Al- Qur’an. Maka kerana tidak faham, maka banyak larangan dalam Al-Qur’an yang dilanggar oleh orang kita tanpa sedar.

 

بِقُوَّةٍ

dengan kuat-kuat;

Maknanya, dengan sungguh-sungguh. Ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan maksud ayat ini adalah menghalalkan apa yang Allah ‎ﷻ halalkan dalam kitab, mengharamkan apa yang Allah ‎ﷻ haramkan dalam kitab-Nya dan percaya kepada kitab itu sama ada dia faham atau tidak, dan membacanya sepertimana yang sepatutnya dibaca.

Kerana kadang-kadang ada perkara yang kita tidak faham penerangan dalam kitab sebab akal kita tidak sampai. Atau pun kita belum habis belajar lagi. Namun walau bagaimanapun, kita kena pegang dan taat walaupun kita tidak faham lagi. Begitulah, kadang-kadang kita tidak belajar tafsir lagi, jadi kita tidak faham apakah maksud yang hendak disampaikan dalam ayat-ayat itu.

Namun begitu walaupun kita masih tidak belajar, kita tetap juga kena ikut apakah yang telah diarahkan dalam Al-Qur’an. Sama ada kita faham atau tidak. Sekurang-kurangnya sudah ada niat dalam hati untuk ikut taat kepada ajaran dalam Al-Qur’an.

Begitu juga, ayat ini mendorong kita apabila kita belajar agama, jangan main-main, tetapi belajar dengan sungguh-sungguh. Jangan senang-senang tinggal ponteng kelas. Kadang-kadang kita ambil lewa dengan kelas pengajian. Ada sahaja perkara lain yang lebih penting daripada kelas pengajian. Kalau tertinggal kelas, macam tidak ada apa-apa, sebab kita sangka kita akan dapat pergi kelas lain.

Tetapi itu sudah bermakna, kita tertinggal satu ilmu yang telah diajar dalam kelas itu. Kalau kita sudah mula tidak pergi kelas, lama-lama kita akan rasa malas untuk pergi kelas. Akan ada sahaja alasan kita untuk tidak dapat pergi di lain kali. Akan ada sahaja perkara yang lebih penting daripada belajar agama.

Kita akan rasa tidak mengapa kalau tinggalkan kelas. Syaitan akan menari kegembiraan kerana dia berjaya mengalihkan perhatian kita. Syaitan akan suka kalau kita tidak berilmu. Kerana apabila kita tidak berilmu, kita akan senang ditipu.

Maka kena kuatkan diri untuk bawa diri kita ke kelas pengajian dan jangan ponteng kelas. Hanya kalau terpaksa sahaja, baru tidak pergi. Pada hari-hari lain, walaupun rasa malas, rasa berat sahaja kaki hendak melangkah keluar ke kelas, paksa juga diri itu.

 

وَءآتَيْنٰهُ الْحُكْمَ

Dan Kami berikan kepadanya ‘hikmah’;

Yang dimaksudkan adalah ‘kefahaman agama’. Nabi Yahya عليه السلام telah diberi pengetahuan dan pemahaman agama yang mendalam. Amat beruntung sekali mereka yang diberikan kefahaman agama yang mendalam. Kalau kita faham agama, kita akan selamat di dunia dan akhirat. Kita akan selamat kerana kita tidak melakukan perkara yang syirik dan perkara bid’ah.

Satu lagi makna الْحُكْمَ adalah ‘hukum’ – iaitu kepandaian untuk membezakan manakah yang betul dan manakah yang salah. Iaitu tahu tentang hukum-hakam agama. Iaitu hukum hakam yang berdasarkan kepada kitabullah. Kalau kita zaman sekarang, kita wajib menghukum dengan menggunakan Al-Qur’an dan hadith. ini kerana hadith juga dari Allah ‎ﷻ tetapi disampaikan melalui bahasa Nabi ﷺ.

Tetapi, apabila kita tidak berilmu dan tidak faham konsep ilmu yang sepatutnya, kita akan rasa senang sahaja untuk meninggalkan Al-Qur’an dan hadith tetapi berpegang dengan pendapat manusia dan kitab karangan manusia.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh pegang dahulu dengan kitab itu. Apabila kita telah memegang Al-Qur’an dengan kuat, barulah diberikan hikmah dan kefahaman agama. Ini menunjukkan kita kena kenalkan anak-anak kita dengan Al-Qur’an dari kecil lagi. Kena jinakkan mereka dengan Al-Qur’an dari mula lagi.

Ini menunjukkan kepentingan Al-Qur’an itu. Namun malangnya, bukan begitu keadaan sekarang. Masyarakat kita hanya banyak membaca sahaja Al-Qur’an tanpa memahami apakah yang mereka baca itu. Kalau yang menghafal pun tidak tahu apa yang mereka hafal.

Kalau begini, tidak ada bezanya dengan orang-orang Yahudi yang ditegur dalam Al-Qur’an kerana mereka juga membaca Taurat dan mereka juga menghafal Taurat, tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca dan hafal dan apabila jadi begitu, mereka tidak berhukum dengan Kalam Allah.

Di negara ini, kita memang mengambil berat tentang pembacaan Al-Qur’an dari kecil lagi. Tetapi seperti tidak ada langsung pengajaran kepada makna yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an itu. Tidak diajar kepada anak-anak kita apakah yang Allah‎ ﷻ hendak kita buat. Tidak diajar tentang agama melalui pemahaman Al-Qur’an.

Maka, umat kita membesar dengan Al-Qur’an di rumah dan dinding-dinding rumah mereka, tetapi ajaran Al-Qur’an mereka langgar. Padahal mereka tahu baca Al-Qur’an siap dengan tajwid sekali. Tetapi langsung tidak faham apakah yang mereka baca. Alangkah baiknya kalau mereka diajar tafsir Al-Quran itu dari muda lagi.

Maka kalau dibuat begitu, mereka akan kenal agama dari muda lagi dan mereka tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Sebab kalau sudah terjerumus, susah hendak keluar. Mereka akan terjerumus kepada fahaman yang salah tentang agama. Contohnya, mereka akan sangka bahawa agama itu susah dan hanya boleh difahami oleh ustaz-ustaz yang telah menjadikan agama sebagai profesi mereka.

Kerana salah ini, ramai dari kalangan masyarakat kita yang “outsource” hal-hal agama kepada ustaz-ustaz dan guru-guru agama itu. Kalau hendak buat majlis, panggil ustaz, hendak kenduri kahwin, nikah, panggil ustaz. Dan ustaz-ustaz itu pula mengajar agama dari ajaran-ajaran manusia, bukan dari ajaran Al-Qur’an dan Hadith Nabi. Kerana mereka pun diajar sebegitu dari kecil lagi.

 

صَبِيًّا

Semasa dia masih kanak-kanak;

Nabi Yahya عليه السلام ‎telah mendapat kefahaman agama dari baginda kecil lagi. Baginda telah faham agama dan menjaga akhlaknya dari kecil lagi. Padahal, selalunya kefahaman sebegitu selalunya hanya ada pada orang dewasa dan orang yang tua-tua sahaja.

Oleh itu, kehidupannya lain dari orang lain. Pernah ada riwayat yang mengisahkan semasa Nabi Yahya عليه السلام diajak oleh kawan-kawan yang sebaya dengannya untuk bermain, baginda tidak mahu. Baginda jawab: “Kita tidak dijadikan untuk bermain”.

Bermakna, dari kecil lagi baginda sudah ada kefahaman agama yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Waktu itu dikatakan baginda belum lagi berumur 10 tahun – itulah makna صَبِيًّا. Iaitu kanak-kanak yang belum pun mencapai umur 10 tahun. Dalam Tafsir Jalalain disebut Nabi Yahya عليه السلام telah diberi dengan pangkat kenabian ketika berumur 3 tahun lagi.

Ini bermakna, Nabi Yahya عليه السلام telah mendapat ilmu agama dari muda lagi. Ini adalah sesuatu yang amat hebat. Kefahaman agama itu diberi terus oleh Allah ‎ﷻ kepada baginda. Kalau Nabi Muhammad ﷺ, hanya apabila baginda berumur 40 tahun, baru baginda dilantik menjadi Nabi.

Nabi Yahya عليه السلام tidak pernah berbuat dosa, tidak pernah ada keinginan untuk berbuat dosa pun. Ada dikatakan bahawa baginda hanya makan daun-daun sahaja kerana baginda tidak mahu hidup dalam kemewahan. Baginda selalu menangis kerana Allah ‎ﷻ sampaikan ada kesan pada pipinya dari sebab selalu menangis itu. Maka tidak dapat dinafikan yang Nabi Yahya عليه السلام amat berlainan sekali dengan anak-anak kecil yang lain .


 

Ayat 13: Apakah sifat-sifat mulia yang ada pada Nabi Yahya عليه السلام‎?

وَحَنانًا مِّن لَّدُنّا وَزَكَوٰةً ۖ  وَكانَ تَقِيًّا

Sahih International

And affection from Us and purity, and he was fearing of Allah

 

Malay

dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfaatnya; dan dia seorang yang bertaqwa.

وَحَنَانًا مِّنْ لَّدُنَّا

Dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami;

Nabi Yahya عليه السلام telah ditanamkan dengan sifat belas kasihan. Iaitu pertamanya tentulah perasaan belas kasihan kepada kedua ibubapanya.

Kalimah حَنَانًا bermaksud ‘belas kasihan’ dan ‘kasih sayang.’ Sebagai contoh, kadang-kadang binatang akan merengek dengan kita untuk mendapatkan kasih sayang. Kasih sayang ibu kepada anaknya juga dipanggil حنان. Lihatlah bagaimana seorang itu begitu sayangkan anaknya, dia akan memeriksa keadaan anaknya berkali-kali. Kejap dia periksa, okay ke tidak, kemudian dia akan periksa lagi.

Perkataan ini digunakan dalam bentuk yang umum. Ini bermakna boleh jadi dalam bentuk pasif dan aktif. Bermakna baginda bersifat kasih sayang kepada ibubapanya dan baginda juga diberikan kasih sayang oleh mereka.

Baginda juga diberikan kasih sayang dari Allah ‎ﷻ dan baginda kasih kepada Allah ‎ﷻ.  Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ memberi pemahaman agama kepada baginda walaupun masih kecil lagi. Itu adalah satu nikmat yang besar.

Apabila digunakan kata مِنْ لَدُنَّا (dari SisiNya), bermaksud sifat kasih sayang itu diberikan dari sisi Allah ‎ﷻ. Perkataan لَدُنَّا bermaksud ia adalah satu yang istimewa. Maknanya, sifat kasih sayang itu diberikan oleh Allah ‎ﷻ sebagai satu hadiah dari sisi Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ke 5, Nabi Zakaria عليه السلام menggunakan perkataan لَدُنَّا itu juga. Bermakna, Nabi Zakaria عليه السلام telah memohon pemberian yang istimewa dari sisi Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ telah memakbulkan doa baginda dengan memberikan sesuatu yang amat istimewa. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan yang sama iaitu لَدُنَّا.

 

وَزَكَوٰةً‌

seorang yang suci, bersih dari buat dosa.

Dari segi bahasa, ia bermaksud suci ‘dalaman’. Berbeza dengan kebersihan luaran seperti baju yang bersih. Itu adalah bersih dari segi luaran. Tetapi kebersihan dalaman adalah seperti hati yang bersih, tidak ada riak, ujub dan sebagainya yang juga dinamakan sebagai sifat-sifat mazmumah.

Juga bermaksud dia menjaga kesucian dirinya. Baginda tidak melakukan maksiat. Riwayat menyatakan bahawa Nabi Yahya عليه السلام tidak pernah berkahwin. Juga baginda tidak pernah melihat kepada perempuan. Memang Nabi Yahya عليه السلام adalah seorang lelaki yang luar biasa.

Ada juga mufassir yang mengatakan ini ada persamaan dengan perkataan ‘zakat’ yang kita faham. Mereka mengatakan bahawa Nabi Yahya عليه السلام suka memberi sedekah dan infakkan hartanya. Apabila kita ada belas kasihan kepada orang lain, maka kita akan mudah untuk memberi kepada mereka.

Dan Allah ‎ﷻ telah pun memberitahu bahawa Nabi Yahya عليه السلام mempunyai perasaan belas kasihan yang tinggi. Itu adalah satu lagi makna. Dua-dua makna boleh dipakai.

 

وَكَانَ تَقِيًّا

Dan dia adalah seorang yang bertaqwa.

Kalimah تَقِيًّا diambil dari katadasar yang juga digunakan dalam perkataan ‘taqwa’. Taqwa bermaksud seseorang itu berhati-hati dalam perbuatannya. Mereka akan memastikan bahawa apa sahaja yang mereka lakukan adalah dalam lingkungan agama.

Perkataan تَقِيًّا ada mempunyai maksud ‘amat’. Maka dia ‘amat bertaqwa’ sekali. Iaitu taqwa yang tinggi. Apabila digunakan perkataan وَكَانَ, memberi maksud baginda ‘sentiasa’ dalam keadaan begitu. Bukan sekali sekala sahaja.

Nabi Yahya عليه السلام ‎disebut dalam ayat ini mempunyai sifat-sifat yang mulia. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang memberikannya kepada baginda. Seperti kita telah lihat di awal surah, Nabi Zakaria عليه السلام mengatakan bahawa baginda dan isterinya sudah amat tua. Dan kita pun tahu, menjaga anak memerlukan tenaga dan usaha yang amat banyak. Orang yang ada anak akan faham perkara ini. Lebih-lebih lagi mereka yang dapat anak pada usia yang lanjut.

Maka, tentulah Nabi Zakaria عليه السلام dan isterinya dalam kepayahan untuk menjaga dan mentarbiah Nabi Yahya عليه السلام. Dan mereka adalah orang yang baik-baik, maka tentu mereka mahukan anak yang soleh. Dan itulah harapan Nabi Zakaria عليه السلام apabila baginda berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya dikurniakan seorang anak. Tapi tentu ia sukar untuk mentarbiah anak mereka kerana usia mereka yang sudah lanjut.

Oleh itu, Allah ‎ﷻlah yang mentarbiah sendiri Nabi Yahya. Bukankah harapan Nabi Zakaria عليه السلام semasa berdoa untuk mendapatkan anak itu, baginda mahukan anak yang boleh menggantinya meneruskan untuk membawa jalan agama dan menjadi anak yang diredhai?

Maka Allah ‎ﷻ makbulkan keinginan Nabi Zakaria عليه السلام itu. Dan kerana Nabi Zakaria عليه السلام tidak mampu mentarbiah Nabi Yahya عليه السلام, Allah ‎ﷻ sendiri yang mentarbiah baginda.

Itu adalah salah satu dari rahmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Bukanlah rahmat yang disebut dalam ayat kedua surah ini hanya dengan memberikan anak sahaja kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Tidak terputus kepada itu sahaja. Allah ‎ﷻ terus memberi rahmat dengan memberi tarbiah kepada Nabi Yahya عليه السلام.

Secara ringkasnya:

Kalimah حنان merujuk kepada roh Nabi Yahya عليه السلام. Baginda mempunyai roh yang lembut.

Kalimah زَكَاةً merujuk kepada kebersihan hatinya. Bebas dari sifat mazmumah.

Kalimah تَقِيًّا merujuk kepada perbuatannya. Baginda berhati-hati dalam amalan dan perbuatannya. Baginda akan hanya melakukan perkara yang dalam lingkungan agama.


 

Ayat 14: Ini adalah tambahan kepada sifat-sifat yang ada pada Nabi Yahya عليه السلام. Allah ‎ﷻ menekankan sifat mulia berbuat baik kepada ibubapa.

وَبَرًّا بِوٰلِدَيهِ وَلَم يَكُن جَبّارًا عَصِيًّا

Sahih International

And dutiful to his parents, and he was not a disobedient tyrant.

 

Malay

Dan dia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan dia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.

 

وَبَرًّا بِوٰلِدَيْهِ

Dan dia adalah seorang yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

Perkataan بَرًّا diambil dari kata dasar ب ر ر yang bermaksud ‘kebaktian’. Apabila dijadikan بَرًّا, bermaksud ia adalah kebaktian yang amat tinggi. Bukan bakti yang biasa-biasa sahaja. Dalam Al-Qur’an, apabila digunakan perkataan بِر, ia bermaksud satu keadaan yang lebih tinggi daripada Taqwa. Ini kerana ia merangkumi imam, taqwa, syukur dan amal.

Perkataan بِر diambil dari kata dasar yang sama yang digunakan untuk merujuk kepada daratan – dibandingkan dengan lautan yang jauh dari darat. Kalau orang yang pergi ke laut pun, mereka akan sentiasa teringat dan tertunggu-tunggu bilakah masa mereka akan kembali ke darat kembali.

Memang perasaan tidak sama kalau di darat dan di laut. Di darat lebih tenang. Di laut, mereka akan rasa mabuk laut selalunya dan lebih takut kerana keadaan di laut sendiri tidak tenang kerana sentiasa bergelora.

Orang yang beriman, akan mempunyai satu perasaan yang tenang dan selesa. Mereka rapat dengan Allah ‎ﷻ. Manakala mereka yang jauh dari Allah ‎ﷻ seperti berada di lautan yang bergelora – ada sahaja rasa takut dan rasa tidak tenang bagaikan dipukul ombak.

Jadi بِر adalah sesuatu sifat yang amat tinggi. Dalam Al-Qur’an, apabila Allah ‎ﷻ bercakap tentang berbuat baik kepada ibubapa, Al-Qur’an akan menggunakan perkataan بِر ini. Dalam banyak tempat dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ menyebut tentang berbuat baik kepada ibubapa selepas sahaja menyebut tentang tauhid.

Dalam Surah Baqarah pun, ada Allah ‎ﷻ mengambil perjanjian dengan Bani Israil untuk berbaik dengan ibubapa selepas menyembah Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan kepentingan dan ketinggian amal untuk berbuat baik dengan ibubapa. Jangan kita lupa tentang perkara ini. Ibubapa adalah dua orang yang penting untuk kita beri kebaktian kita kepada mereka.

Ini juga mengajar ibubapa tentang kepentingan mendidik anak. Kita pun tahu bahawa kita bukanlah manusia yang sempurna. Kita tentunya ada salah dan silap. Kadang-kadang kita pun ada buat silap dengan anak-anak kita. Tetapi kita mengharapkan mereka menjadi insan yang baik dan menghormati kita. Namun kalau kita pun tidak baik, bagaimana? Adakah anak-anak akan menghormati kita?

Oleh itu, kita kena ajar mereka untuk taat kepada Allah ‎ﷻ kerana kalau mereka taat kepada Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ telah mengajar makhluk-Nya untuk taat kepada ibubapa juga. Maka, walaupun kita bukanlah manusia yang terbaik, tetapi kalau anak-anak kita taat kepada Allah ‎ﷻ maka mereka semestinya kena menurut perintah Allah ‎ﷻ untuk taat kepada ibubapa juga. Mereka akan taat kepada kita kerana itu adalah suruhan Allah ‎ﷻ.

 

وَلَمْ يَكُنْ جَبَّارًا

dan bukanlah dia orang yang sombong

Perkataan وَلَمْ يَكُنْ bermaksud ‘tidak pernah’.

Perkataan جَبَّارًا diambil dari katadasar ج ب ر yang bermaksud ‘menekan sesuatu’. Dalam ilmu tauhid, kita pun ada belajar bahawa Allah ‎ﷻ juga mempunyai sifat-sifat Jabbariyah. Itu adalah jenis-jenis sifat yang ‘menekan’ manusia. Seperti anak-anak yang degil, untuk mendisiplinkan mereka, ibubapa perlu juga untuk menggunakan kekerasan.

Begitu juga Allah ‎ﷻ, kadang-kadang Allah ‎ﷻ akan ‘menekan’ kita supaya kita jadi baik. Contohnya, Allah ‎ﷻ akan memberi kita bala supaya kita ingat semula kepada-Nya. Apabila perniagaan kita jatuh contohnya, kita akan mula untuk kembali kepada Allah ‎ﷻ. Padahal sebelum itu, kita sombong kerana kita kaya hasil daripada kejayaan perniagaan kita.

Macam juga kalau kita seterika baju, kalau ada tempat yang keronyok banyak, maka kena tekan sedikit untuk membetulkannya. Sifat jabbariyah itu sesuai dengan Allah ‎ﷻ kerana Dia adalah Tuhan. Sifat itu tidak sesuai untuk manusia. Antara sifat dalam sifat jabbariyah ini adalah sombong. Sombong adalah sifat Allah ‎ﷻ kerana layak bagi-Nya, tetapi tidak boleh bagi manusia.

Jadi, orang yang bersifat جَبَّارًا ini adalah orang yang menekan, menindas manusia lain. Yang menggunakan kekerasan supaya orang ikut cakapnya. Orang yang sombong akan menggunakan cara yang tidak baik supaya manusia lain ikut cakap mereka.

Jadi, ayat ini hendak menyatakan bahawa Nabi Yahya عليه السلام tidak pernah bersifat begitu. Tidak pernah baginda sombong, tidak pernah baginda menggunakan kelebihan yang ada padanya untuk mengambil kesempatan ke atas orang lain. Lebih-lebih lagi kepada ibubapanya. Kerana kita tahu, ibubapanya sudah tua. Kita pun tahu, kalau orang yang sudah tua, senang untuk kita ambil kesempatan atas mereka.

Berapa ramai masyarakat kita yang tidak melayan ibubapa mereka dengan baik? Mereka minta macam-macam dengan ibubapa mereka, dan bila mereka tidak tidak dapat beri, mereka akan guna macam-macam cara sampai mereka dapat. Dan bagaimana dengan mereka yang tinggal dengan ibubapa mereka yang tua? Sepatutnya merekalah yang menjaga ibubapa mereka dengan baik.

Tetapi ada antara kita yang mengambil kesempatan dengan ibubapa kita. Ada yang menjadikan ibubapa mereka seperti orang gaji mereka, kena jaga anak, kena kemas rumah dan sebagainya. Kalau mereka buat salah, ada anak-anak yang marah kepada ibubapa mereka. Alangkah sedihnya. Nabi Yahya عليه السلام tidak pernah begitu. Baginda amat berlembut dan melayan kedua mereka dengan amat baik sekali.

 

عَصِيًّا

(lagi bukan pula dia) orang yang derhaka;

Nabi Yahya عليه السلام tidak pernah derhaka kepada Allah ‎ﷻ dan tidak juga kepada kedua ibubapanya.

Derhaka adalah sifat orang yang tidak berterima kasih. Nabi Yahya عليه السلام tidak begitu. Baginda tahu siapakah ibubapanya. Baginda terhutang budi kepada mereka. Oleh kerana itu baginda melayan mereka dengan baik. Tambahan pula mereka sudah tua.

Ayat-ayat ini menceritakan tentang sifat Nabi Yahya عليه السلام dan ia sepatutnya menjadi contoh untuk kita. Cubalah untuk kita menjadi orang yang sebegini. Hendaklah kita ingat, jika kita menginginkan layanan baik oleh anak-anak kita, maka kita hendaklah melayan ibubapa kita dengan baik juga. Anak kita akan melihat bagaimana kita melayan ibubapa kita dan mereka akan mengikut cara-cara kita nanti.

Oleh itu, hendaklah kita meneruskan hubungan dengan mak ayah kita. Kalau boleh lawat, lawat mereka, cium mereka, peluk mereka. Kalau jauh, telefon, video call, whatsapps mereka. Tanya khabar mereka, dengar suara mereka. Bayangkan kalau mereka tidak ada nanti. Allahu akbar!

Amat menyedihkan keadaan dunia sekarang. Kita boleh lihat bagaimana pertalian antara keluarga tidak seperti yang diharapkan. Kita kadang-kadang baik dengan orang lain, tetapi tidak dengan ahli keluarga kita. Dengan orang lain kita cakap baik-baik, tetapi kita tidak berhemah dengan mak ayah dan keluarga kita. Kita tanya khabar orang lain, tetapi sudah berbulan tidak telefon mak ayah kita. Ini tidak patut berlaku.

Kita boleh lihat dalam masyarakat, ada sahaja masalah antara keluarga. Ini adalah kerana ramai yang tidak mendalami agama. Jadi mereka tidak nampak bagaimana agama amat menitik beratkan pertalian keluarga. Ia juga adalah kerana tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana Al-Qur’an mengajar kita segalanya. Oleh kerana tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka ada perkara yang tertinggal.

Sebab itu kita boleh lihat, bagaimana orang yang kita anggap sebagai orang yang alim, warak, salat puasa tidak tinggal, namun perhubungan kekeluargaannya amat teruk sekali. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan sebegitu.

Dalam ayat dari Surah Kahf sebelum Surah Maryam ini, ada disebut tentang seorang anak yang bersifat buruk طُغْيَانًا وَكُفْرًا. Ayat itu ada pada ayat ke 80 surah Kahf. Ini menunjukkan pertalian antara Surah Maryam dan surah sebelumnya, Kahf. 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Januari 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s