Ayat 15:
وَسَلٰمٌ عَلَيهِ يَومَ وُلِدَ وَيَومَ يَموتُ وَيَومَ يُبعَثُ حَيًّا
And peace be upon him the day he was born and the day he dies and the day he is raised alive.
Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari dia diperanakkan, dan pada hari dia mati, serta pada hari dia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).
وَسَلٰمٌ عَلَيْهِ
Dan selamat sejahtera ke atasnya;
Kita selalunya beri salam kepada orang lain sebagai penghormatan kepada mereka. Ingatlah bagaimana dalam Al-Qur’an, disebutkan para malaikat akan memberi salam kepada ahli-ahli syurga. Oleh itu, ini bermaksud ayat ini adalah penghormatan dari Allah ﷻ kepada Yahya عليه السلام.
Lihatlah juga bagaimana diceritakan dalam Al-Qur’an bagaimana ahli-ahli syurga memberi salam antara satu lain. Allah ﷻ juga memberi salam kepada mereka apabila mereka masuk syurga seperti yang disebut dalam Surah Yaasin.
Dan ia juga bermakna selamat sejahtera kepada Nabi Yahya عليه السلام. Bila? Pada tiga waktu:
يَوْمَ وُلِدَ
pada hari dia dilahirkan;
Kelahiran Nabi Yahya عليه السلام adalah satu kelahiran ajaib. Ibu bapanya telah tua tetapi Allah ﷻ telah memakbulkan doa ayahnya, Nabi Zakaria عليه السلام. Kalau ikut perkiraan biasa dan logik, tidak mungkin mereka dapat melahirkan Nabi Yahya عليه السلام. Tetapi Allah ﷻ mampu untuk melakukan apa sahaja.
وَيَوْمَ يَمُوتُ
dan pada hari dia meninggal;
Baginda telah dibunuh dan akhirnya mati syahid. Jadi ayat ini telah memberi isyarat bahawa Nabi Yahya عليه السلام akan mati dengan cara yang baik, iaitu mati syahid. Itulah mati yang paling baik sekali.
Beza umur baginda dengan Nabi Isa عليه السلام adalah 6 bulan sahaja. Maka baginda adalah pengikut Nabi Isa عليه السلام. Kisah baginda inilah yang disebut dalam Surah Yaasin. Iaitu baginda adalah salah seorang daripada tiga utusan yang dihantar ke Bandar Antokiah di mana mereka bertiga telah dibunuh oleh penduduk tempat itu. Mereka semua waktu itu adalah orang utusan dari Nabi Isa عليه السلام.
وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّا
dan pada hari dia dibangkitkan hidup kembali;
Apabila baginda dibangkitkan pada hari akhirat kelak, baginda akan mendapat selamat dan sejahtera juga. Baginda akan mendapat kedudukan yang tinggi. Iaitu akan dibangkitkan dalam golongan para Nabi.
Inilah tiga waktu yang mencengkam manusia: waktu lahir, dia keluar dari tempat tenang yang didiaminya sebelum itu; pada waktu dia mati, ia akan melihat satu keadaan yang tidak pernah dialaminya; apabila dia dibangkitkan, dia akan melihat dirinya di Mahsyar yang maha luas; Nabi Yahya عليه السلام diberikan keamanan dalam ketiga-tiga keadaan ini.
Habis Ruku’ 1 dari 6 Ruku’ surah ini.
Ayat 16: Ini adalah bahagian kedua dalam surah ini. Iaitu tentang Maryam dan juga tentang Nabi Isa عليه السلام. Ayat-ayat ini elok dibaca kepada orang Kristian kerana mereka ada salah faham tentang kelahiran Nabi Isa عليه السلام. Mereka memuja Nabi Isa عليه السلام terlalu tinggi sampaikan mereka menaikkan taraf baginda ke taraf ketuhanan. Itu adalah perbuatan syirik yang teruk sekali.
Dari ayat ini sehingga ke ayat 40 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia adalah kisah Ajaib MARYAM dan Nabi ISA عليه السلام. Ia ajaib kerana ia kisah tentang seorang perempuan muda tanpa suami yang boleh mendapat anak. Ia juga mengandungi seruan tauhid Nabi Isa عليه السلام kepada kaumnya.
Dalam Surah Ali Imran juga ada disebut tentang kelahiran Nabi Isa عليه السلام. Sama juga dalam surah itu disebutkan kisah kelahiran Nabi Yahya عليه السلام juga sebelum disebutkan tentang kelahiran Nabi Isa عليه السلام. Ini adalah kerana orang bukan Islam tidak dapat menerima kelahiran ajaib ini. Sebab itu Allah ﷻ memulakan dengan kisah kelahiran yang ajaib sedikit sebelum dimasukkan kisah kelahiran Nabi Isa عليه السلام yang lebih ajaib lagi.
Allah ﷻ beri kebarangkalian yang senang diterima dahulu. Iaitu kelahiran dari dua orang ibubapa yang amat tua – itu pun sudah hebat. Kemudian baru disebutkan kisah kelahiran seorang manusia tanpa bapa dan dari wanita yang masih dara.
Tetapi orang Kristian mengambil kelahiran ajaib itu terlalu jauh sampai mengatakan kelahiran tanpa bapa itu sebagai dalil untuk mengatakan yang Nabi Isa عليه السلام adalah tuhan (atau ‘anak tuhan’). Tetapi kelahiran Nabi Yahya عليه السلام juga adalah ajaib. Kalau kamu kata kelahiran Nabi Isa عليه السلام itu sebagai tanda baginda anak tuhan, bagaimana pula dengan kelahiran Nabi Yahya عليه السلام yang juga ajaib?
Sekarang dimulakan dengan kisah ibu Nabi Isa عليه السلام, Maryam.
وَاذكُر فِي الكِتٰبِ مَريَمَ إِذِ انتَبَذَت مِن أَهلِها مَكانًا شَرقِيًّا
And mention, [O Muhammad], in the Book [the story of] Mary, when she withdrew from her family to a place toward the east.
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Qur’an ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.
وَاذْكُرْ فِي الْكِتٰبِ مَرْيَمَ
Ceritakanlah dari dalam Kitab Al-Qur’an ini tentang Maryam;
Arahan Allah ﷻ ini bermaksud supaya Nabi Muhammad ﷺ ingat dan ceritakan dengan lidah baginda kepada orang lain. Sekarang mari kita berkenalan dengan Maryam. Nama beliau adalah Maryam binti Imran. Beliau adalah dari keturunan Nabi Daud عليه السلام. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang kuat beragama dalam Bani Israil.
Allah ﷻ suruh gunakan maklumat tentang Maryam dengan maklumat yang kita dapati dari Al-Qur’an. Susun atur ayat ini adalah lain daripada kebiasaan. Sepatutnya, penggunaan susunan adalah sebegini: وَاذْكُرْمَرْيَمَ فِي الْكِتَابِ. Ada makna yang hendak disampaikan apabila Al-Qur’an menggunakan susunan yang berlainan dari kebiasaan. Ia hendak menunjukkan eksklusif.
Bermakna *hanya* gunakan kisah yang disebut dalam Al-Qur’an sahaja. Jangan pakai kisah yang kita dapat daripada sumber lain. Kerana agama lain pun hormat kepada Maryam. Mereka pun menyebut kisah-kisah tentang Maryam. Tetapi kisah dari mereka selalunya salah kerana banyak telah ditokok tambah.
Maka Allah ﷻ telah beri maklumat yang banyak tentang Maryam dalam Al-Qur’an, supaya cukuplah kita pakai kisah Maryam yang ada dalam Al-Qur’an sahaja. Kalau tidak cukup maklumat yang diberikan, ditakuti kita ambil daripada sumber lain pula.
Ada sahabat jumpa cebisan kisah Maryam daripada kitab lain. Bila Nabi ﷺ tahu, baginda marah dan kata adakah tidak cukup Al-Qur’an untuk mereka? Maka biarkan sahaja kisah-kisah dari Israiliyat – jangan benarkan dan jangan kata salah. Malangnya, ada ustaz-ustaz yang suka bercerita, kadang-kadang mengambil kisah-kisah Israiliyat dalam ceramah-ceramah mereka.
Memang kisah-kisah itu menarik untuk dijadikan bahan cerita dan halwa telinga. Ternganga jama’ah surau dan masjid apabila dengar. Mereka pun kata, “Wah, hebat ustaz ni, tahu kisah-kisah itu”. Padahal itu bukanlah kisah yang boleh diambil sebagai sumber rujukan. Kerana ia adalah kisah-kisah Israiliyat dan ditakuti banyak tokok tambah yang tidak patut.
Mungkin ada kebenaran dan mungkin tidak. Kita tidak dapat pastikan dan kerana itu kita sepatutnya jangan pakai. Kalau kita hendak cerita juga, kenalah beritahu ia adalah kisah Israiliyat dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Kadang-kadang, memang kalau kita dengar sahaja kita sudah tahu betapa mengarutnya sesetengah kisah itu.
Sampai terdapat 14 ayat dalam surah ini menyebut tentang Maryam sahaja. Itu adalah bilangan yang banyak kerana selalunya, ayat-ayat Al-Qur’an tidak banyak menceritakan sesuatu perkara atau tentang seseorang. Selalunya maklumat tambahan kalau ayat Al-Qur’an tidak banyak bercerita, akan diambil dari hadith-hadith Nabi. Tetapi dalam Al-Qur’an ini sahaja sudah banyak kisah tentang Maryam.
Jadi, memang sudah banyak diberikan kisah tentang Maryam. Itu tidak masuk lagi tentang Nabi Isa عليه السلام. Dalam Surah Ali Imran juga ada disebut kisah yang sama tetapi dilihat dari sudut berbeza. Kenapa banyak sekali disebutkan tentang Maryam? Jawapannya: kerana beliau adalah ibu kepada Nabi Isa عليه السلام. Memang Nabi Isa عليه السلام seorang yang mulia dan hebat. Maka begitulah juga dengan ibunya.
Dan Maryam menjadi hebat kerana ibunya juga hebat. Dalam Ali Imran, ditambah lagi dengan kisah ibu Maryam pula. Kerana beliau juga seorang yang hebat. Ibunya telah menyerahkan anaknya (Maryam) untuk berkhidmat kepada agama semasa anaknya di dalam perut lagi.
Walaupun kemudian beliau mendapat anak perempuan, tetapi beliau meneruskan niatnya untuk memberikan anaknya itu kepada jalan agama. Beliau mahu supaya anaknya berkhidmat di tempat ibadat sahaja.
Beliau juga telah menamakan anaknya dengan nama Maryam. Dalam bahasa asal, ia bermaksud aabidah – seorang yang banyak buat ibadat. Maka beliau telah memberikan nama yang baik kepada anaknya. Begitulah yang sepatutnya dilakukan oleh ibubapa. Kena pilih dan beri nama yang baik supaya nama itu menjadi motivasi kepada anak-anak supaya jadi baik.
Sebagai contoh, kalau mereka tahu nama mereka bermaksud yang baik, maka mereka akan berusaha untuk menjadi baik supaya bersesuaian dengan nama mereka. Tetapi, orang kita tidak kisah tentang perkara ini. Mereka hanya pentingkan nama yang glamour, yang canggih, yang sedap disebut. Dan kalau tidak cukup satu nama, mereka letak dua atau tiga nama.
Kadang-kadang, nama anak mereka tidak ada makna, hanya sedap di telinga sahaja. Yang lebih malang, kalau nama anak mereka itu bermaksud yang tidak baik. Memanglah sedap apabila disebut, tetapi kalau dilihat maknanya dalam bahasa Arab, ia membawa maksud yang tidak baik.
Namun oleh kerana orang kita tidak mengaji, tidak tahu bahasa Arab dan tidak berkawan dengan mereka yang tahu bahasa Arab, maka mereka telah memilih nama yang tidak kena. Itu adalah amat malang sekali. Ingatlah bahawa nama kita akan dipanggil oleh malaikat di Mashyar nanti. Hendakkah kita kalau dalam ramai-ramai itu, nama kita membawa maksud yang tidak elok?
Ibu Maryam juga telah memohon perlindungan untuk anak itu kepada Allah ﷻ. Dan beliau telah menyerahkan anaknya kepada Nabi Zakaria عليه السلام sebagai pengasuh dan sebagai guru kepadanya tentang agama. Ini mengajar kita bahawa ibubapa kena uruskan pengajaran agama yang baik kepada anak mereka.
Kena cari guru yang bagus. Kena hantar di sekolah yang baik. Jangan hantar di sekolah agama yang mengajar hal-hal bid’ah. Jangan hanya melepaskan tanggungjawab kita menyekolahkan anak kita sampai kita tidak kisah di mana mereka belajar.
Ini juga hendak mengajar kita bahawa ibubapa bertanggungjawab untuk memberi tarbiyah agama kepada anak-anak mereka. Kebaikan anak-anak banyak bergantung kepada ibubapa. Ibubapalah dua manusia pertama yang menjadi contoh teladan bagi mereka. Anak-anak akan buat apa yang mereka lihat ibubapa mereka lakukan.
Kalau kita lihat anak-anak yang jadi rosak, selalunya kerana ibubapa mereka pun ada masalah juga. Kita akan dapat tahu bahawa cara penjagaan anak-anak itu tidak betul. Ini adalah kerana ibubapa itu sendiri pun tidak layak ada anak. Mereka tidak tahu memberi pendidikan kepada anak mereka. Mereka sangka tugas mendidik anak itu hanyalah tugas guru sahaja.
Mereka sangka mereka sudah hantar anak itu ke sekolah, anak itu akan jadi baik. Mereka rasa hanya guru yang sepatutnya mendidik anak mereka jadi baik. Padahal, berapa sangatlah masa yang boleh diperuntukkan oleh guru-guru di sekolah kepada anak murid mereka. Sudahlah anak murid ramai, kerja mereka untuk mendidik perkara lain pun banyak juga.
Dan bukanlah anak-anak itu tinggal sepenuh masa di sekolah. Mereka lebih banyak tinggal di rumah, di mana mereka boleh melihat dan meniru gaya-gaya dan pemahaman ibubapa mereka. Kalau ibubapa mereka mengamalkan perkara yang salah, tidak kisah tentang hal agama, ada kemungkinan anak-anak mereka pun akan jadi begitu. Tidaklah sentiasanya jadi begitu. Tetapi kalau kita lihat mereka yang ada masalah, lihat balik siapakah ibubapa mereka.
Ini adalah kisah tentang Maryam semasa di MasjidilAqsa. Dalam surah lain ada dikisahkan tentang beliau lagi, tentang bagaimana Nabi Zakaria عليه السلام telah ditugaskan untuk menjaga Maryam.
إِذِ انْتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا
Ketika Maryam menjauhi diri dari keluarganya
Kalimah انْتَبَذَتْ bermaksud mengasingkan dirinya. Dari katadasar yang bermaksud ‘buang ke tepi’. Sebagai contoh, ada air yang dinamakan Nabiz kerana telah dibuang tamar dalam bekas dan buang air panas di dalam bekas. Tujuannya adalah supaya kemanisan tamar itu akan menghilangkan rasa payau air itu. Air zaman itu tidak bersih sangat dan rasanya tidak elok. Jadi, mereka pada zaman itu menggunakan tamar untuk bagi sedap sedikit air mereka.
Jadi kalimah انْتَبَذَتْ digunakan dalam penggunaan seseorang yang mengasingkan dirinya dari orang lain kerana merasa diri tidak layak berada di situ. Dia pergi dari ahli keluarganya untuk berzikir.
Maryam telah mengasingkan dirinya dari orang lain termasuk dari keluarganya. Daripada perbuatan Maryam ini, kita boleh lihat bagaimana kuatnya agama Maryam ini. Beliau adalah seorang ahli ibadah. Beliau amat suka melakukan zikir.
Kita pun sudah biasa dengan perkataan ‘iktikaf’. Maknanya zaman dahulu pun sudah ada amalan itu. Ia adalah sebahagian daripada agama semenjak dahulu lagi. Ia adalah satu amalan yang mulia. Bukan sahaja Sunnah Nabi Muhammad ﷺ, tetapi sunnah Nabi-Nabi dahulu juga.
Semasa kita iktikaf, kita tidak boleh buat perkara yang tidak berkenaan dengan agama. Kerana itu orang iktikaf kena duduk dalam masjid sahaja. Tujuannya supaya mereka mengasingkan diri dari segala manusia dan perkara-perkara lain dan menghubungkan diri dengan Allah ﷻ. Waktu itu kita bersendirian kerana antara lainnya untuk mengingatkan kematian.
Kerana apabila kita mati, kita akan bersendiri sahaja. Waktu iktikaf itu tidak boleh buat kerja, tidak boleh lawat orang lain. Hanya buat perkara yang penting sahaja – pergi ke tandas dan makan. Waktu itu kita sedang bertaqarrub (mendekatkan diri) dengan Allah ﷻ. Hanya untuk Allah ﷻ sahaja kita fokus pada waktu itu.
Namun ingatlah yang bukanlah kita meninggalkan terus keluarga kita. Ia adalah pada satu jangkamasa pendek sahaja. Sebagai contoh, Nabi Muhammad ﷺ akan mengkhususkan sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan setiap tahun untuk iktikaf.
Kalau kita ada masalah untuk iktikaf kerana keluarga tidak suka, maka itu menunjukkan kita selalunya tidak meluangkan masa dengan keluarga kita dari dahulu lagi. Janganlah kita kerja teruk sangat sampaikan kita lalai untuk meluangkan masa dengan keluarga kita. Kadang-kadang kita lihat ramai yang kerja keras hanya kerana hendakkan kemewahan yang tidak perlu pun.
Ingatlah yang keluarga kita perlukan masa dari kita, bukanlah wang kita sahaja. Maka seorang ketua keluarga kena pandai membahagikan masa. Kalau kita telah melakukan yang sepatutnya kepada keluarga kita, tentulah mereka akan senang untuk melepaskan kita untuk melakukan ibadah seperti iktikaf di masjid. Mereka akan melepaskan kita dengan rela.
مَكَانًا شَرْقِيًّا
tempat di sebelah timur;
Maryam telah pergi iktikaf ke timur MasjidilAqsa. Iaitu tempat yang jauh dari tempat orang lain. Kerana telah disebutkan beliau hendak mengasingkan diri dari orang lain.
Tempat itu juga mengadap ke timur. Perkataan شَرْقِ dari segi bahasa, bermaksud ‘memenuhkan sesuatu dengan cahaya’. Kerana itu perkataan Masyriq digunakan untuk maksud ‘sebelah timur’ kerana cahaya sampai ke timur dahulu.
Jadi apa maksud ‘timur’ dalam ayat ini? Kenapa Maryam pergi ke suatu tempat di timur? Ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan bahawa timur digunakan oleh Kristian sebagai kiblat mereka. Ia adalah tempat yang mulia untuk mereka. Oleh kerana Nabi Isa عليه السلام dilahirkan di timur maka mereka kata Nabi Isa عليه السلام dikatakan akan diturunkan dari arah timur.
Kristian adalah agama yang berasal dari Yahudi dan mereka juga mengadap ke timur. Jadi apa yang Maryam lakukan ini adalah dari amalan perbuatan orang Yahudi. Kerana memang Maryam dari golongan Yahudi pun. Mereka dulu pun mengadap ke timur ke arah BaitulMaqdis kerana mereka selalunya tinggal di bahagian barat Baitulmaqdis. Sampai sekarang pun mereka meneruskan tradisi ini. Bukanlah kita kena ikut perbuatan mereka ini. Kita sekarang kena mengadap ke arah Kaabah.
Maryam telah keluar dari masjid menuju ke tempat yang jauh untuk mengasingkan diri. Dalam riwayat ada disebut yang tujuannya adalah untuk mandi janabah selepas didatangi haid. Bermakna, beliau sudah sampai peringkat umur yang sudah datang haid. Orang perempuan paling subur selepas sahaja mereka bersih dari haid.
Ayat 17: Ini adalah cerita ketika beliau sedang mandi; atau ketika beliau sedang beriktikaf.
فَاتَّخَذَت مِن دونِهِم حِجابًا فَأَرسَلنا إِلَيها روحَنا فَتَمَثَّلَ لَها بَشَرًا سَوِيًّا
And she took, in seclusion from them, a screen. Then We sent to her Our Angel, and he represented himself to her as a well-proportioned man.
Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari Kami lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.
فَاتَّخَذَتْ مِنْ دُونِهِمْ حِجَابًا
Maka dia mengadakan tabir yang menutupinya dari mereka;
Ia bermakna orang perempuan kena ada tabir semasa mandi. Itu kalau kita mengambil pendapat yang mengatakan Maryam pergi ke tempat itu untuk mandi.
Tetapi kalau kita ambil pendapat yang mengatakan beliau pergi untuk beriktikaf, maka tujuan Maryam mengadakan hijab itu adalah untuk mengasingkan diri dari manusia lain sewaktu beriktikaf itu.
Bukan sahaja beliau pergi ke tempat yang jauh dari manusia, tetapi beliau juga mengadakan hijab antara mereka. Kerana kalau tidak ada hijab, mungkin ada yang akan menarik perhatian atau mengganggu beliau dalam taqarrub dengan Allah ﷻ. Mungkin ada yang mahu bercakap-cakap dengan beliau. Padahal, tujuan beliau beriktikaf itu adalah untuk mengasingkan diri daripada orang.
Tujuannya kerana hendak bertaqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah ﷻ. Kerana beliau mungkin berada di tempat ibadat, dan banyak orang akan ada juga di situ untuk beribadat. Begitu juga, kalau zaman Nabi ﷺ, apabila baginda beriktikaf, baginda akan pakai khemah. Kerana apabila berada di masjid, akan ada sahaja orang lain yang tidak faham apa yang kita sedang buat, mereka akan mengajak kita bersembang, tanya itu ini dan sebagainya.
Kalau kita tidak ada hijab dengan perkara selain Allah ﷻ, maka akan ada hijab antara kita dan Allah ﷻ. Kalau kita hendak mendekatkan diri dengan Allah ﷻ, hendaklah kita menghilangkan gangguan-gangguan. Antaranya, termasuklah kalau kita hendak salat, matikan telefon bimbit kita. Sebab kalau kita senyapkan pun, kalau telefon itu bergegar, kita akan sedar ada orang yang sedang cuba hendak telefon kita.
Kalau itu terjadi, hendak tak hendak, fikiran akan terfikir: siapalah yang call kita, takut-takut perkara penting dan sebagainya. Inilah pengajaran yang kita boleh dapati dari ayat ini. Iaitu, dalam kita beribadat kepada Allah ﷻ, hendaklah kita membuang segala perkara yang boleh mengganggu kita supaya kita dapat memusatkan perhatian kita kepada ibadat itu. Maka kerana itu jangan salat di tempat orang ramai, tempat TV sedang dipasang dan sebagainya.
فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا
Maka Kami utuskan kepada Maryam, Roh Kami;
Yang dimaksudkan dengan ‘Roh’ itu adalah Jibril عليه السلام. Ini adalah pendapat semua penafsir. Ramai orang beri nama anak mereka Rohana, mereka mungkin tidak tahu maksudnya. Ia diambil dari ayat ini yang bermaksud ‘Roh Kami’ iaitu Jibril عليه السلام.
Maryam didatangi oleh Jibril عليه السلام selepas beliau mandi dan telah sempurna berpakaian. Kita kena ingat bahawa Jibril عليه السلام atau mana-mana malaikat tidak akan datang kecuali atas arahan Allah ﷻ. Mereka tidak akan buat apa-apa kerja melainkan diperintah sahaja.
Maka, kalau ada yang bertawassul, berdoa dengan menggunakan kata-kata seperti: “Jibril di depanku, Mikail di belakangku….” dan seterusnya, itu adalah bohong belaka. Amalan sesat ini selalunya dipakai oleh pengamal-pengamal silat. Itu adalah ajaran sesat yang sudah lama masuk dalam masyarakat kita.
Malaikat tidak akan datang kalau kita panggil mereka. Mereka hanya akan buat apa sahaja yang disuruh Allah ﷻ. Maka, kalau ada yang buat doa macam itu, seru macam itu, yang datang kepada mereka adalah jin sebenarnya. Mereka sendiri yang sangka ia adalah malaikat kerana mereka jahil sekali dengan perkara sebegini.
Dalam ayat ini, keajaiban telah terjadi, iaitu Jibril عليه السلام telah datang menemui Maryam. Bilakah terjadinya? Terjadinya apabila Maryam telah menghilangkan gangguan-gangguan antaranya dan Allah ﷻ. Kerana itu keajaiban akan terjadi apabila kita dekat dengan Allah ﷻ. Maka, kita kena ambil peluang ini.
Tinggalkan dunia apabila kita bersama dengan Allah ﷻ. Tinggalkan dunia sementara kita sedang mengadap Allah ﷻ. Barulah kita akan dapat khusyuk dalam salat kita dan ibadat-ibadat kita yang lain.
Perkataan رُوحَ dari segi bahasa bermaksud ‘keselesaan’, ‘rehat’. Roh kita pun dinamakan begitu kerana ia memberi keselesaan dan rehat kepada tubuh kita. Lihatlah kalau roh sudah tiada dalam badan kita, badan kita akan jadi keras. Selagi ada roh dalam badan kita, tubuh kita akan lembut sahaja.
‘Roh’ adalah salah satu dari nama panggilan kepada Jibril عليه السلام kerana Jibril عليه السلام membawa wahyu yang membawa keselesaan kepada manusia. Perkataan رُوحَنَا (Roh Kami) digunakan sebagai satu penghormatan kepada Jibril عليه السلام. Ini kerana Allah ﷻ mengaitkan Diri-Nya dengan Jibril عليه السلام apabila digunakan perkataan itu. Ia menunjukkan rapatnya Allah ﷻ dengan Jibril عليه السلام. Kalau kita pun, kalau hendak sebut orang yang rapat dengan kita, kita akan cakap: “Dia itu orang aku tu”.
فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا
Dia menjelmakan dirinya di depan Maryam sebagai manusia lelaki yang sempurna;
Jibril عليه السلام datang dalam jelmaan lelaki yang muda. Selalunya Jibril عليه السلام apabila datang kepada manusia, beliau akan datang dalam keadaan begitu.
Perkataan تَمَثَّلَ bermaksud mengubah rupa luaran. Ini bukan kali pertama malaikat buat macam itu. Dalam kisah Nabi Luth عليه السلام, dalam perjalanan ke tempat Kaum Luth, para malaikat telah datang melawat Nabi Ibrahim عليه السلام untuk menyampaikan berita. Waktu itu pun mereka datang dalam rupa bentuk manusia.
Manakala dalam ‘Hadith Jibril’, apabila Jibril عليه السلام datang kepada Nabi Muhammad ﷺ di hadapan para sahabat, beliau datang dalam rupa bentuk manusia juga. Waktu itulah Jibril عليه السلام bertanyakan kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang Iman, Islam, Ihsan dan sebagainya.
Hadith Jibrail
عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا قَالَ : بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوْسٌ عِنْدَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيْدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيْدُ سَوَادِ الشَّعْرِ, لاَ يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلاَ يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ, حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم, فأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ, وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ, وَ قَالَ : يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِسْلاَمِ, فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : اَلإِسْلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَإِ لَهَ إِلاَّ اللهُ وَ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ, وَتُقِيْمُ الصَّلاَةَ, وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ, وَتَصُوْمَ رَمَضَانَ, وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً. قَالَ : صَدَقْتُ. فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْئَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ. قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِيْمَانِ, قَالَ : أَنْ بِاللهِ, وَمَلاَئِكَتِهِ, وَكُتُبِهِ, وَرُسُلِهِ, وَالْيَوْمِ الآخِرِ, وَ تُؤْمِنَ بِالْقَدْرِ خَيْرِهِ وَ شَرِّهِ. قَالَ : صَدَقْتَ. قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِحْسَانِ, قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ. قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ السَّاعَةِ قَالَ : مَا الْمَسْؤُوْلُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ. قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنْ أَمَارَاتِهَا, قَالَ : أَنْ تَلِدَ الأَمَةُ رَبَّتَهَا, وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُوْنَ فِيْ الْبُنْيَانِ, ثم اَنْطَلَقَ, فَلَبِثْتُ مَلِيًّا, ثُمَّ قَالَ : يَا عُمَرُ, أَتَدْرِيْ مَنِ السَّائِل؟ قُلْتُ : اللهُ وَ رَسُوْلُهُ أَعْلَمُ. قَالَ : فَإِنَّهُ جِبْرِيْلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِيْنَكُمْ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ
Umar bin Khatab رضي الله عنه berkata: “Suatu ketika, kami (para sahabat) duduk berdekatan Rasululah ﷺ. Tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki mengenakan pakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam. Tidak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan, dan tiada seorang pun di antara kami yang mengenalinya.
Dia segera duduk di hadapan Nabi ﷺ lalu lututnya disandarkan kepada lutut Nabi ﷺ dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua paha Nabi ﷺ, kemudian dia berkata: “Hai, Muhammad! Beritahu kepadaku tentang Islam.”
Rasulullah ﷺ menjawab, ”Islam adalah, engkau bersaksi tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar melainkan hanya Allah, dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasul Allah; menegakkan salat; menunaikan zakat; berpuasa di bulan Ramadhan, dan engkau menunaikan haji ke Baitullah, jika engkau telah mampu melakukannya,”. Lelaki itu berkata, ”Engkau benar.” Maka kami hairan, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.
Kemudian dia bertanya lagi: “Beritahu kepadaku tentang Iman”. Nabi ﷺ menjawab, ”Iman adalah, engkau beriman kepada Allah; malaikat-Nya; kitab-kitab-Nya; para Rasul-Nya; hari Akhir, dan beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk.” Dia berkata, “Engkau benar.”
Dia bertanya lagi: “Beritahu kepadaku tentang Ihsan”. Nabi ﷺ menjawab, ”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Kalaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.”
Lelaki itu berkata lagi : “Beritahu kepadaku bilakah terjadinya Kiamat?”
Nabi ﷺ menjawab, ”Yang ditanya tidaklah lebih tahu daripada yang bertanya.”Dia pun bertanya lagi : “Beritahu kepadaku tentang tanda-tandanya!” Nabi ﷺ menjawab, ”Jika seorang budak wanita telah melahirkan tuannya; jika engkau melihat orang yang bertelanjang kaki, tanpa memakai baju (miskin papa) serta penggembala kambing telah saling berlumba dalam mendirikan bangunan megah yang menjulang tinggi.”
Kemudian lelaki tersebut segera pergi. Aku pun terdiam, sehingga Nabi ﷺ bertanya kepadaku : “Wahai, Umar! Tahukah engkau, siapa yang bertanya tadi?” Aku menjawab, ”Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Baginda bersabda, ”Dia adalah Jibril عليه السلام yang mengajarkan kalian tentang agama kalian.”” (HR Muslim, no.8)
Kita sudah biasa tengok dalam filem tentang bagaimana perubahan-perubahan sebegini. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana perubahan-perubahan fizikal itu terjadi. Tetapi bayangkan bagaimana Maryam dan orang-orang terdahulu yang boleh percaya bagaimana perkara itu boleh terjadi. Ini adalah kerana iman mereka tinggi.
Yang kita selalu ingat adalah bagaimana Abu Bakr رضي الله عنه yang percaya terus kepada kejadian Israk Mikraj yang dilakukan Nabi ﷺ. Beliau kata, kalau yang cakap itu adalah Nabi ﷺ sendiri, maka beliau sendiri pun akan percaya tanpa ragu-ragu lagi. Lihatlah iman yang ada pada beliau dan para sahabat.
Kenapa Jibril عليه السلام mengubah rupanya? Untuk memudahkan dan tidak menakutkan Maryam. Ada dua pendapat apakah maksudnya:
1. Untuk tidak menakutkan Maryam. Mungkin timbul satu persoalan: Kenapa Maryam hendak takut sedangkan ini adalah malaikat dari Allah ﷻ? Bukanlah hendak dikatakan yang Maryam tidak percaya kepada kewujudan malaikat pula. Tetapi, kalaulah Jibril عليه السلام datang dalam rupanya yang sebenar, maka beliau akan takut sangat.
Nabi Muhammad ﷺ pernah melihat rupa Jibril عليه السلام yang sebenar sebanyak dua kali dan setiap kali itu baginda akan ketakutan. Waktu itu kaki Jibril عليه السلام di tanah, kepalanya di langit dan ada 600 sayap dan setiap satu menutupi langit dari timur dan barat. Jadi apabila Jibril عليه السلام datang dalam bentuk manusia, maka akan menenangkan Maryam.
2. Sebagai ujian kepada Maryam. Maryam adalah seorang wanita muda dan Jibril عليه السلام datang sebagai ujian kepadanya dengan datang sebagai seorang lelaki yang kacak. Ini untuk menguji sama ada Maryam akan tertarik kepada seorang lelaki yang berupa paras yang kacak atau tidak.
Perkataan بَشَرً asalnya bermaksud ‘kulit’. Ia digunakan untuk merujuk kepada manusia apabila hendak memperkatakan tentang kelembutan pada manusia. Ini adalah kerana manusia adalah makhluk yang nampak kulit (tidak seperti binatang yang kulit mereka ditutupi bulu sahaja).
Perkataan سَوِيًّا bermaksud ‘sempurna’. Bermakna, Jibril عليه السلام datang dalam keadaan lelaki yang kacak, sedap mata memandang. Perkataan سَوِيًّا datang dari katadasar yang bermaksud sama rata, yang selaras, yang lengkap.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 24 Januari 2020
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Syaikh Nasir Jangda
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Jalalain