Tafsir Surah Baqarah Ayat 92 – 93 (Bukit diangkat baru nak beriman)

Ayat 92:

وَلَقَد جاءَكُم مّوسىٰ بِٱلبَيِّنَـٰتِ ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظَـٰلِمُونَ

Sahih International

And Moses had certainly brought you clear proofs. Then you took the calf [in worship] after that, while you were wrongdoers.

Malay

Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.

وَلَقَدْ جَاءَكُمْ مُوسَىٰ

Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa

Nabi Musa عليه السلام telah datang menyampaikan dakwah kepada Bani Israil. Baginda adalah Nabi mereka yang utama di kalangan Nabi-nabi mereka yang lain.

بِٱلبَيِّنَـٰتِ

dengan bawa dalil bukti kukuh

Bukanlah Nabi Musa عليه السلام dengan tangan kosong tetapi baginda telah membawakan banyak bukti kukuh tentang kekuasaan Allah ‎ﷻ. Baginda juga telah banyak menunjukkan mukjizat dan juga kejadian-kejadian pelik kepada Bani Israil yang mereka boleh nampak sendiri. Maka sepatutnya mereka beriman penuh kepada baginda.

ثُمَّ اتَّخَذْتُمُ الْعِجْلَ مِنْ بَعْدِهِ

Kemudian kamu ambil juga anak lembu sebagai pujaan kamu selepas perginya

Iaitu selepas perginya Nabi Musa عليه السلام ke Bukit Thursina. Dalam ayat sebelum ayat ini, mereka berkata mereka beriman. Tetapi kalau betul mereka beriman, kenapa mereka puja pula patung anak lembu?

Mereka sebenarnya bercakap ‘tidak serupa bikin’. Padahal, dalam sejarah mereka, Nabi Musa عليه السلام adalah nabi utama mereka. Dan mereka kata umat yang hidup dengan Nabi Musa عليه السلام itulah umat yang terbaik. Kalau Nabi mereka yang utama dan umat mereka yang terbaik pun boleh berbuat syirik dengan memuja patung, bagaimana pula dengan mereka?

وَأَنْتُمْ ظَـٰلِمُونَ

Dan kamu pada ketika itu menzalimi diri sendiri;

Mereka berbuat zalim dengan buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Makna ‘zalim’ dalam ayat ini adalah berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Bukan zalim seperti yang kita biasa faham itu.

Jadi ini adalah tempelak kepada Bani Israil: “Kalau dulu pun kamu sudah tak ikuti apa yang ada dalam kitab kamu sendiri, apa sebab kamu boleh kata kamu tak boleh ikut Al-Qur-an dan Nabi Muhammad ﷺ kerana kamu kata kamu kena ikut Taurat?”

Mereka gunakan alasan tidak boleh mengikut Al-Qur’an kerana mereka kata mereka kena ikut Taurat, tetapi Taurat pun mereka sebenarnya tidak ikut. Jadi alasan yang mereka berikan itu adalah amat rapuh sekali. Itu cuma sebagai alasan mereka sahaja. Mereka memang umat yang amat degil.


Ayat 93: Allah ‎ﷻ memberitahu sebab kenapa mereka tidak patut menolak wahyu dan kenapa mereka ada masalah dengan wahyu Al-Qur’an.

1. Kerana wahyu itu adalah yang haq dari Allah ‎ﷻ.

2. Membenarkan akidah seperti apa yang ada dalam kitab mereka (Taurat).

3. Mereka sentiasa ingin membunuh Nabi yang ajar wahyu. Nabi Muhammad ﷺ pun mereka cuba bunuh kerana mereka telah pernah racun Nabi yang menyebabkan kematian Nabi.

4. Mereka lihat sendiri bagaimana mereka diselamatkan (pada zaman Nabi Musa عليه السلام.)

5. Setelah Taurat datang pun mereka tolak juga. Lepas gunung diletakkan tepi sahaja (setelah diangkat ke atas mereka) mereka telah tolak. Ini kerana mereka amat kasih kepada patung anak lembu sebab ia nampak pelik pada mereka. Mereka ada perasaan itu kerana mereka ada sifat kekufuran mereka yang lama.

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسمَعوا ۖ قالوا سَمِعنا وَعَصَينا وَأُشرِبوا في قُلوبِهِمُ العِجلَ بِكُفرِهِم ۚ قُل بِئسَما يَأمُرُكُم بِهِ إِيمَـٰنُكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Sahih International

And [recall] when We took your covenant and raised over you the mount, [saying], “Take what We have given you with determination and listen.” They said [instead], “We hear and disobey.” And their hearts absorbed [the worship of] the calf because of their disbelief. Say, “How wretched is that which your faith enjoins upon you, if you should be believers.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):” Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَكُم

Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan kamu;

Ini adalah kisah bagaimana Nabi Musa عليه السلام telah membawa 70 orang wakil puak Yahudi mengikutinya ke atas Bukit Thursina. Mereka naik mengikut Nabi Musa عليه السلام itu adalah untuk melihat cara Kitab Taurat diturunkan.

Mereka kemudian dimatikan kerana mereka minta hendak lihat Allah ‎ﷻ secara nyata. Kemudian mereka telah dihidupkan semula selepas Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menghidupkan mereka semula. Ini telah diceritakan dalam Surah Baqarah ini juga.

Apabila mereka mati dan telah dihidupkan semula, tentulah mereka percaya dan beriman dengan Nabi Musa عليه السلام. Apabila mereka beriman, maka mereka telah menceritakan apa yang terjadi kepada orang-orang yang tidak naik sekali dengan mereka.

Orang-orang Yahudi yang di bawah bukit tidak mahu percaya kepada mereka. Ini kerana mereka kata wakil-wakil itu telah berpakat dengan Nabi Musa عليه السلام untuk menipu mereka. Oleh kerana itu mereka tidak mahu percaya.

وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ

dan Kami angkat Bukit Thur atas kepala kamu;

Apabila mereka tidak mahu percaya, Allah ‎ﷻ telah angkat Bukit Thursina atas mereka. Kalau mereka tetap tidak beriman, Allah ‎ﷻ akan hempapkan bukit itu ke atas mereka. Setelah diangkat Bukit Thur ke atas kepala mereka dan diancam, barulah mereka berjanji untuk taat.

Maka, Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini tentang kejadian itu. Apabila mereka hendak beriman, maka dikatakan kepada mereka:

خُذُوا مَاءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا

Peganglah dengan bersungguh apa yang Kami berikan kepada kamu dan kamu dengarlah;

‘Dengar’ ini bermaksud dengarlah kepada guru yang mengajar Kitab Taurat. Dengarlah nasihat yang disampaikan kepada mereka. Dan kepada mereka yang datang setelah Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, hendaklah dengar wahyu yang baginda sampaikan.

قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا

Jawapan mereka: “Kami dengar tapi kami engkar”;

Engkar di sini adalah engkar dengan hati. Tentulah mereka tidak berani untuk bercakap secara nyata. Oleh itu, Allah ‎ﷻ memberitahu kita bahawa mereka dengar tetapi mereka tidak mahu ikut. Hati mereka sendiri tidak mahu ikut apa yang mereka telah janji dengan mulut mereka sendiri.

Atau memang mereka cakap begitu secara nyata. Mereka memperolokkan arahan Allah ‎ﷻ sampai mereka cakap: “Kami dengar tetapi kami engkar”.

وَأُشْرِبُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ

Kerana mereka telah diresapi dalam hati hati mereka sayang kepada anak lembu;

Mereka engkar dengan perjanjian dengan Allah ‎ﷻ itu kerana hati mereka dipenuhi dengan perasaan sayang terhadap patung anak lembu itu.

Jangan kita lupa, kita umat Islam sekarang pun ada perjanjian juga dengan Allah ‎ﷻ iaitu apabila kita mengucapkan dua kalimah syahadah apabila kita masuk Islam dan setiap hari kita lafazkan syahadah itu. Kalau kita mungkir dengan janji itu, maka kita pun boleh juga melakukan perkara syirik.

Dan memang banyak dari amalan masyarakat kita yang sudah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi oleh kerana ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka mereka tidak perasan yang sebenarnya mereka telah melakukan syirik tanpa sedar. Banyak amalan syirik dan khurafat telah lama ada dalam hati umat kita dan mereka tidak dapat tinggalkan kerana telah sebati dalam jiwa.

Kalau puak Yahudi itu telah sayang kepada patung anak lembu itu, masyarakat kita pun ada benda selain Allah ‎ﷻ yang kita sayang. Macam masyarakat kita sekarang, mereka sayangkan pulut kuning. Itu adalah sebagai contoh salah satu perbuatan syirik yang banyak lagi masyarakat kita amalkan. Sampaikan kalau tidak buat pulut kuning dalam majlis mereka, mereka rasa tidak lengkap majlis itu. Padahal, asal pulut kuning itu ada kepercayaan khurafat dan pemujaan padanya. Tapi kalau kita tegur, memang akan melenting ramai orang yang tidak faham.

Begitu juga kepada mereka yang sayang kepada adat bersanding, pelamin dan sebagainya. Mereka sudah tidak kisah sama ada perkara itu boleh dilakukan dalam Islam ataupun tidak. Ini kerana perbuatan itu sudah lama sebati di dalam jiwa mereka. Memang susah sangat untuk mereka tinggalkannya. Sampaikan kalau kita tegur mereka, mereka akan kata macam-macam tentang kita. Berbagai-bagai alasan yang mereka akan berikan.

بِكُفْرِهِمْ

Dengan kekufuran mereka;

Mereka timbul perasaan sayang itu kerana kekufuran mereka yang telah ada sebelum itu. Mereka telah menutup iman yang ada dalam hati mereka.

Begitu juga dengan golongan Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ itu, mereka merasakan apa yang datuk nenek mereka buat dahulu adalah betul belaka. Sebab itulah mereka mengikut perangai datuk nenek mereka itu. Begitulah orang kita pun berpegang sungguh kepada amalan tok nenek tanpa soal.

قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ إِيمَـٰنُكُم

Katakan kepada mereka: buruk sungguh kepercayaan kamu yang menyuruh kamu buat perkara yang mungkar ini;

Pada permulaan ayat ini, Allah ‎ﷻ masih lagi bercakap terus kepada mereka. Tetapi selepas mereka kurang ajar dengan Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ terlalu murka kepada mereka sampaikan Allah ‎ﷻ tidak mahu lagi bercakap dengan mereka. Maka Nabi yang diarahkan untuk bercakap dengan mereka. Ini adalah isyarat yang Allah ﷻ menjauhkan diri dari mereka.

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad berkata kepada mereka: “Kamu kata kamu beriman, tetapi kalau inilah iman kamu suruh kamu buat, suruh sembah patung sapi, teruk sangat iman kamu itu. Sebenarnya, kamu tidak beriman pun. Kerana kalau beriman, tidak akan buat apa yang kamu buat ini”.

Bermula dari ayat ini, Allah ‎ﷻ hanya bercakap dengan mereka melalui Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Perbuatan ini dinamakan ‘tab’eed’, iaitu menjauhkan diri dari seseorang kerana marahkan orang itu. Seperti juga kita kalau sudah marah sangat kepada seseorang, hendak bercakap dengan dia pun kita tidak mahu, bukan?

إِنْ كُنْتُمْ مُّؤْمِنِينَ

Sekiranya kamu beriman;

Sekiranya kamu beriman, maka berhentilah dari buat perkara-perkara ini. Kembalilah kepada ajaran yang benar. Masih ada harapan lagi untuk beriman sebelum mati. Bukankah kamu kata kamu beriman?

Ayat-ayat selepas ini Allah ‎ﷻ terus menerangkan tentang perbuatan Bani Israil dan bagaimana Nabi Muhammad ﷺ perlu menghadapi mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Mac 2021

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s