Tafsir Surah Baqarah Ayat 58 – 60 (Minum air dari batu)

Ayat 58: Ini adalah ayat berkenaan suruhan Allah ‎ﷻ untuk mereka masuk ke dalam kota. Susunan cerita dalam Al-Qur’an tidaklah mengikut kronologi kejadian semasa zaman itu. Sebelum ini merujuk kepada kisah di padang pasir, dan sekarang kembali kepada kisah di luar kota pula. Ini adalah kerana apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an adalah pengajaran kepada manusia, bukannya sejarah ataupun buku cerita.

Ayat 58 & 59 ini menceritakan hukuman yang dikenakan kepada tok nenek puak Yahudi yang ada di Madinah. Ada dua hukuman yang dikenakan kepada mereka yang akan disebut nanti. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan kepada anak cucu mereka yang duduk di Madinah bagaimana sifat tok nenek mereka dahulu. Dan hendak memperkenalkan siapakah Yahudi yang sebenarnya ini kepada bangsa Arab yang hormat sangat kepada Yahudi itu.

Kata-kata dalam ayat ini adalah tentang anak-anak puak Bani Israil yang sesat di Padang Tih. Bapa-bapa mereka ramai yang telah mati. Bapa-bapa mereka adalah golongan yang menolak arahan Allah ‎ﷻ dan Nabi Musa عليه السلام kepada mereka untuk berperang sebelum masuk ke dalam Kota Palestin.

Selama mereka di Padang Tih, mereka telah diberikan makanan dari langit, Manna dan Salwa dan air diberikan apabila Nabi Musa عليه السلام mengetuk batu dengan tongkat. Tetapi mereka sudah jemu dengan makanan yang Allah ‎ﷻ berikan.

وَإِذ قُلنَا ادخُلوا هٰذِهِ القَريَةَ فَكُلوا مِنها حَيثُ شِئتُم رَغَدًا وَادخُلُوا البابَ سُجَّدًا وَقولوا حِطَّةٌ نَغفِر لَكُم خَطَـٰيَـٰكُم ۚ وَسَنَزيدُ المُحسِنينَ

Sahih International

And [recall] when We said, “Enter this city and eat from it wherever you will in [ease and] abundance, and enter the gate bowing humbly and say, ‘Relieve us of our burdens.’ We will [then] forgive your sins for you, and We will increase the doers of good [in goodness and reward].”

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘Ya Allah ampunilah dosa kami’; supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.

 

وَإِذْ قُلْنَا

Dan ingatlah ketika Kami berfirman:

Allah ‎ﷻ berfirman kepada golongan anak-anak Yahudi yang sesat di Padang Tih, Gurun Sinai.

 

ادْخُلُوا هَٰذِهِ الْقَرْيَةَ

Masuklah kamu ke dalam bandar

Bandar yang dimaksudkan adalah Bandar Baitulmaqdis di Palestin; selepas mereka sesat selama 40 tahun di padang pasir itu, mereka dititahkan untuk memasuki bandar itu. Ada juga yang kata nama bandar itu adalah ‘Jericho’. Ia akan menjadi tempat tinggal bagi mereka. Ini adalah satu nikmat dari Allah.

Ada kisah lain sebelum kisah yang disebut di dalam ayat ini. Di dalam bandar itu ada kaum yang gagah, pahlawan (Puak Amaliqah). Mereka itu telah berbuat banyak kerosakan.

Nabi Musa dan Harun telah wafat, dan digantikan oleh murid Nabi Musa yang bernama Yusya’ bin Nun. Yusya’ untuk memimpin mereka untuk menyerang kaum ‘Amaliqah dan Allah akan membukakan Baitul Maqdis (Yerusalem) untuk mereka.
Dulu sebelum mereka, Allah ‎ﷻ telah memerintahkan Bani Israil (tok nenek mereka) untuk berperang dengan puak dalam bandar itu. Dan selepas dikalahkan mereka itu, Bani Israil boleh duduk di bandar itu. Allah telah janjikan, jikalau mereka menyerang kaum yang ada dalam bandar itu, Allah ‎ﷻ akan memberikan kemenangan kepada mereka.
Tetapi mereka tidak mahu kerana takut. Dalam surah lain ada dikisahkan bagaimana mereka suruh Nabi Musa عليه السلام dan Allah ‎ﷻ yang lawan sendiri. Selepas mereka tidak menurut perintah itulah yang menyebabkan mereka telah disesatkan di padang pasir selama 40 tahun itu. Kisah itu telah disebutkan dalam ayat sebelum ini. Begitulah, kisah dalam Al-Qur’an tidak semestinya dalam bentuk susunan bilakah kejadian itu terjadi.
Sekarang selepas kematian Nabi Musa عليه السلام dan selepas Nabi lain diangkat (Yusha’ bin Noon عليه السلام), iaitu selepas generasi baru lahir, dan selepas mereka melihat kepayahan mereka hidup di padang pasir setelah sekian lama, barulah mereka mahu untuk masuk menentang penduduk bandar itu. Dan selepas mereka mahu berperang, Allah ‎ﷻ telah memberikan kejayaan kepada mereka.
Al-Qur’an tidak perlu memberikan maklumat yang banyak tentang sejarah Bani Israil ini. Tidak perlu disebutkan bilakah kejadian itu terjadi dan di manakah ia terjadi. Memang golongan Yahudi itu mengetahui dengan mendalam sejarah mereka. Mereka amat berbangga dengan sejarah mereka dan kerana itu ia telah diceritakan turun temurun. Maka, Allah ‎ﷻ tidak perlu menyebut banyak pun – Allah ‎ﷻ suruh mereka ingat kembali sahaja.
Lagipun, Al-Qur’an bukan buku sejarah. Apa yang hendak disampaikan adalah pengajaran yang boleh diambil dari sesuatu kisah itu.

 

فَكُلُوا مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ

Maka makanlah di mana sahaja yang kamu hendak;

Apabila mereka sudah dapat masuk dalam kota itu (setelah menakluk kota itu dari penghuni sekarang), mereka boleh pilih hendak makan di mana sahaja apabila mereka sudah memasuki kota itu. Ini adalah nikmat yang akan diberikan kepada mereka.

 

رَغَدًا

dengan penuh selera;

Maknanya, makanlah banyak mana pun, sepuas-puasnya, tidak ada sekatan. Kata-kata yang sama kita telah baca apabila Allah ‎ﷻ berkata perkara yang sama kepada Adam عليه السلام dan Hawa dalam ayat 35 sebelum ini. Sekali lagi kata-kata yang sama telah dikatakan kepada Bani Israil.

 

وَادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا

Dan masuklah kamu dalam pintu kota itu dalam keadaan sujud;

Inilah syarat untuk mereka yang dikenakan oleh Allah ‎ﷻ. Seperti juga ada syarat kepada Nabi Adam عليه السلام dan Hawa semasa di Syurga, iaitu tidak boleh makan pokok larangan, begitu juga kepada Bani Israil, syarat yang dikenakan adalah masuk ke dalam kota itu dalam keadaan tunduk.

Iaitu mereka kena sujud waktu masuk kota itu. Dan kalau mereka menunggang kuda, mereka hendaklah tundukkan kepala mereka – sampai rapat kepala mereka dengan tengkuk kuda itu (ini seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad apabila memasuki kota Mekah selepas menakluknya).

Pendapat lain mengatakan dengan tawadu’ dan hati yang tunduk. Jangan sombong tapi rendahkan diri dan hati di hadapan Allah. Namun sebaliknya, mereka masuk dengan keadaan mengesot dengan punggung masuk dahulu. Patutnya masuk dengan tunduk lagi mudah, bukan? Tetapi mereka tidak berbuat begitu. Mereka buat tidak seperti yang disuruh kerana mereka bangsa yang degil.

 

وَقُولُوا حِطَّةٌ

Dan kamu katalah: “permohonan kami adalah pengampunan dosa”;

Maknanya adalah istighfar – memohon ampun kepada Allah ‎ﷻ. Antara kesalahan mereka adalah dulu mereka tidak taat kepada arahan Nabi Musa untuk berperang dengan penduduk di badar itu. Meninggalkan jihad apabila ia sudah wajib adalah dosa besar.

Istighfar itulah syarat yang dikenakan kepada mereka – masuk dalam keadaan sujud sambil menyebut حِطَّةٌ. Maksudnya sambil meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ.

Maksud perkataan حِطَّةٌ asalnya adalah ‘menurunkan beban yang dibawa’ – mereka ada banyak dosa bebanan yang mereka tanggung. Maka mereka diajar untuk memohon keampunan kepada Allah ‎ﷻ. Sebagaimana Nabi Adam عليه السلام diajar bagaimana cara memohon keampunan kepada Allah ‎ﷻ, mereka juga telah diajar sendiri oleh Allah ‎ﷻ bagaimana untuk memohon ampun.

Beruntung sekali mereka, untuk memohon ampun pun Allah ‎ﷻ sudah ajar sekali. Macam-macam kelebihan mereka dapat. Mereka sahaja tidak mahu menghargainya.

 

نَغْفِرْ لَكُمْ خَطَـٰيَـٰكُم

Kami akan ampunkan dosa kamu;

Allah ‎ﷻ sudah cakap: kalau mereka buat seperti yang disuruh itu, Dia akan mengampunkan dosa mereka. Cuma ikut sahaja apa yang telah disuruh.

 

وَسَنَزِيدُ الْمُحْسِنِينَ

dan Kami akan tambah kepada sesiapa yang berbuat baik;

Allah ‎ﷻ akan menambah darjat mereka yang melakukan kebaikan. Allah ‎ﷻ akan tambah dengan balasan-balasan lain kalau mereka buat begitu. Asalkan mahu ikut arahan sahaja.


 

Ayat 59: Ayat di atas adalah apa yang disuruh mereka buat. Namun apakah sebaliknya yang mereka buat?

فَبَدَّلَ الَّذينَ ظَلَموا قَولًا غَيرَ الَّذي قيلَ لَهُم فَأَنزَلنا عَلَى الَّذينَ ظَلَموا رِجزًا مِّنَ السَّماءِ بِما كانوا يَفسُقونَ

Sahih International

But those who wronged changed [those words] to a statement other than that which had been said to them, so We sent down upon those who wronged, a punishment from the sky because they were defiantly disobeying.

Malay

Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah Kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu, bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).

 

فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka diubah oleh orang-orang yang zalim itu

Lain yang disuruh, lain pula apa yang mereka buat. Mereka bukan masuk dengan sujud dan tunduk, tetapi mereka masuk dengan punggung mereka kerana melawan arahan Allah ‎ﷻ. Atau dikatakan mereka masuk sambil merayap dengan punggung mereka.

Dalam ayat ini, Allah spesifikkan ‘orang-orang zalim’ dari kalangan mereka. Kerana bukan semua yang buat begitu tapi sebahagian sahaja.

 

قَوْلًا

perkataan;

Kalimah yang Allah ‎ﷻ suruh mereka cakap pun mereka ubah. Mereka ubah dengan kata: habbatun fi sya’rani – bermaksud: biji-bijian dalam gandum. Ataupun ada yang kata mereka menukar perkataan itu jadi: hinthah – Satu perkataan yang bermaksud minta gandum kepada Ilahi.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam baginda bersabda: diserukan kepada bani Israel: masukilah pintu itu seraya menundukkan diri dan katakanlah hiththah (Bebaskanlah kami dari dosa). Namun mereka mengganti kata tersebut dengan Hinthoh (satu biji gandum), sambil masuk dengan cara merangkak menggunakan dubur-dubur mereka.

Maknanya, mereka bukan hendak tunduk kepada Allah  ‎ﷻ, tetapi fikirkan gandum sahaja. Mereka fikirkan makanan sahaja. Atau, mereka main-main dengan kalimah dari Allah ‎ﷻ sendiri.

Ada juga tafsir mengatakan perkataan mereka adalah: “satu biji dalam satu rambut.”

 

غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ

bukan dari perkataan yang mereka disuruh katakan;

Mereka mengulang-ulang menyebut perkataan itu. Ini adalah satu perbuatan mengejek. Mereka tidak sebut apa yang Allah ﷻ suruh mereka sebut.

Berdosa besar apabila menukar perkataan yang Allah ‎ﷻ telah pilihkan. Oleh itu, apabila ada di kalangan orang Islam menukar perkataan Allah ‎ﷻ, maka mereka telah membuat satu kesalahan.

Contohnya, ada yang telah telah mengubah perkataan ‘istawa’ yang telah berada dalam Al-Qur’an. Mereka mengatakan bahawa perkataan itu bermaksud ‘istawla’ – memerintah. Itu juga adalah satu satu perbuatan mengubah perkataan Allah ‎ﷻ.

 

فَأَنْزَلْنَا عَلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka Kami timpakan ke atas orang-orang yang zalim itu

Allah ‎ﷻ murka dengan apa yang mereka lakukan dan Allah ‎ﷻ berikan balasan yang buruk. Inilah salah satu dari dua hukuman yang dimaksudkan dalam kumpulan ayat-ayat ini.

 

رِجْزًا مِّنَ السَّمَاءِ

bala dari langit;

Bala yang dimaksudkan di sini adalah penyakit taun. Ini sebagaimana disebutkan dalam Shahih Bukhari, kitab para Nabi, no. 3473.

Ramai yang mati kerana ditimpa penyakit taun itu. Ada juga yang kata penyakit yang dikenakan kepada mereka adalah bahagian dalam badan mereka dikeluarkan. Sampaikan kulit mereka seperti tersiat. Allahu a’lam.

Ada juga tafsir yang mengatakan mereka telah dihujani dengan batu-batu kerikil dari langit. Ini dari Tafsir Al-Wajiz / Syaikh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili.

 

بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

Dengan sebab mereka berbuat fasik.

Balasan yang dikenakan kepada mereka adalah kerana kefasikan mereka. Kerana mereka sendiri yang degil untuk taat kepada arahan Allah ﷻ. Padahal mereka ini adalah anak cucu kepada tok nenek mereka yang telah menyembah patung anak lembu. Yang menyembah patung anak lembu itu semuanya telah dibunuh. Namun mereka yang disuruh masuk ke kota itu masih lagi tidak mengambil pengajaran.

Mereka ini telah sesat di padang pasir selama 40 tahun. Mereka telah diberi kelebihan makan makanan dari langit. Itu adalah satu nikmat dan keajaiban yang sepatutnya menguatkan iman mereka. Tetapi mereka masih lagi berbuat zalim dan berbuat fasik.

Perkataan yang digunakan dalam ini: يَفْسُقُونَ adalah dalam bentuk “present tense”: menunjukkan mereka masih lagi berbuat fasik. Perkataan كَانُوا bermaksud yang sudah lepas. Bermakna, mereka dahulu berbuat fasik, dan sekarang pun mereka masih berbuat fasik lagi.

Mereka telah diberikan peluang untuk membersihkan dosa mereka dengan menyebut-nyebut perkataan yang Allah ‎ﷻ telah ajarkan mereka supaya Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa mereka. Ingatlah bagaimana apabila Nabi Adam عليه السلام diajar kalimat untuk digunakan untuk memohon ampun, Allah ‎ﷻ telah berkenan mengampunkan kesalahannya.

Namun apabila diberikan perkataan untuk memohon ampun kepada Bani Israil, mereka telah mengejek perkataan itu dengan menukarnya kepada perkataan yang lain. Maka patut sangatlah azab yang dikenakan kepada mereka.

Habis Ruku’ 6 dari 40 surah ini


 

Ayat 60: Ini adalah jasa kelapan yang Allah ‎ﷻ ingatkan kepada mereka.

۞ وَإِذِ استَسقىٰ موسىٰ لِقَومِهِ فَقُلنَا اضرِب بِعَصاكَ الحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا ۖ قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَّشرَبَهُم ۖ كُلوا وَاشرَبوا مِن رِّزقِ اللهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

Sahih International

And [recall] when Moses prayed for water for his people, so We said, “Strike with your staff the stone.” And there gushed forth from it twelve springs, and every people knew its watering place. “Eat and drink from the provision of Allah , and do not commit abuse on the earth, spreading corruption.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.

 

وَإِذِ اسْتَسْقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika Nabi Musa memohon air untuk kaumnya;

Ini adalah kisah di padang pasir semula. Sebelum ini kita telah diberitahu bahawa mereka telah diberikan dengan teduhan awan dan juga makanan Manna dan Salwa. Jadi dengan adanya air, maka lengkaplah makanan mereka.

Sekarang mereka hendakkan minuman pula, maka mereka minta Nabi Musa عليه السلام minta kepada Allah ﷻ. Dalam ayat ini, menunjukkan Nabi Musa عليه السلام sendiri yang memohon kepada Allah ‎ﷻ setelah diminta oleh kaumnya.

 

فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ

Kami berkata: Maka pukullah batu itu dengan tongkat kamu;

Iaitu Nabi Musa عليه السلام disuruh memukul mana-mana batu. Pukul pun agaknya sekali sahaja, tidaklah kuat sampaikan memecahkan batu itu. Kita tidak perlu cari batu jenis apa. Ada orang yang taksub sangat sampai hendak cari batu jenis apa untuk dibuat cincin. Tidak penting batu apakah yang telah dipukul oleh Nabi Musa عليه السلام itu. Bukan itu yang hendak disampaikan dalam ayat ini.

Akan tetapi di dalam Tafsir Jalalain, disebut yang batu itu adalah batu yang mengambil baju Nabi Musa عليه السلام sehingga baginda berlari mengejarnya di dalam keadaan bogel (sila rujuk hadis).

Dan Tafsir Jalalain juga menyebut yang saiz batu itu lebih kurang sebesar kepala manusia dan bersegi empat. Jadi dari setiap satu sisi mengeluarkan 3 mataair (menjadikan semua 12 mataair).

Banyak kali kisah tongkat Nabi Musa عليه السلام ini disebut dalam Al-Qur’an. Tetapi tidaklah perlu kita hendak mencari jenis apakah tongkat itu dibuat. Sebab bukan tongkat itu yang ada kuasa. Setiap kali ia digunakan oleh Nabi Musa عليه السلام dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ yang memerintahkan baginda menggunakannya.

Contohnya, Allah ‎ﷻ memerintahkan Nabi Musa عليه السلام ketuk Laut Merah, Allah ‎ﷻ yang memerintahkan Nabi Musa عليه السلام ketuk pada batu dan Allah ‎ﷻ yang memerintahkan Nabi Musa عليه السلام baling tongkat itu yang kemudiannya bertukar menjadi ular.

Kalau Allah ‎ﷻ yang suruh Nabi Musa عليه السلام ketuk, barulah menjadi mukjizat itu. Kalau Nabi Musa عليه السلام mengetuknya sendiri, tidak akan terjadi apa-apa. Itu bermakna, bukan tongkat itu yang mempunyai kuasa.

 

فَانْفَجَرَتْ مِنْهُ

Maka terpancarlah dari batu itu;

Apabila Nabi Musa عليه السلام yang memohon kepada Allah ‎ﷻ dan ketuk batu itu, air yang keluar itu memancar dengan banyak. Dalam ayat lain (A’raf:160), ada juga dikisahkan air yang memancar keluar dari batu itu. Tetapi dalam ayat itu, perkataan yang digunakan menunjukkan air yang keluar tidak memancar dengan banyak.

Ini adalah kerana Bani Israil selepas itu telah banyak melakukan kesalahan, maka air itu semakin berkurang. Tambahan pula, dalam ayat dari Surah Al-Baqarah ini, Allah ‎ﷻ sedang menceritakan nikmat yang dikurniakan oleh-Nya kepada Bani Israil, maka lebih sesuai digunakan perkataan yang menunjukkan nikmat yang diberikan kepada mereka itu dalam bentuk yang banyak.

 

اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا

12 mata air;

Selepas diketuk batu itu, terpancar 12 mata air untuk setiap kaum Bani Israil. Ini adalah kerana kaum Bani Israil terdiri dari 12 puak. Ini seperti yang disebut dalam A’raf:160. Satu dari anak cucu Nabi Yusuf عليه السلام, satu dari anak cucu Bunyamin dan ada sepuluh lagi keturunan adik beradik anak Nabi Yaakob عليه السلام yang lain.

Puak-puak ini hanya mahu minum dengan puak mereka sahaja. Mereka tidak boleh bercampur. Mereka adalah jenis kaum yang berpecah belah. Memang semasa Firaun memerintah mereka, Firaun telah menggunakan konsep pemerintahan ‘Pecah dan Perintah’ supaya Bani Israil tidak dapat bersatu menentangnya.

Tambahan pula, air adalah satu sumber kehidupan yang penting. Manusia boleh berperang disebabkan sumber air. Allah ‎ﷻ tahu, kalau tidak dibahagikan begitu, mereka akan berkelahi. Maka Allah ‎ﷻ telah memberi satu pancutan air kepada setiap puak dalam Bani Israil itu.

Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa semasa Laut Merah dibelah, juga terdapat 12 jalan.

 

قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَّشْرَبَهُمْ

Maka tahulah setiap puak itu tempat minum masing-masing;

Mereka tidak perlu berebut-rebut. Sudah tahu mana satu saluran air untuk puak mereka.

Dalam tafsir disebut yang batu itu ada empat sisi dan setiap sisi itu dikeluarkan tiga mata air.

 

كُلُوا وَاشْرَبُوا مِنْ رِّزْقِ اللهِ

Makanlah, minumlah dari rezeki Allah;

Nikmatilah rezeki yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu. Terimalah nikmat yang telah Allah ‎ﷻ berikan.

Makan itu nisbah kepada Manna dan Salwa yang telah disebut sebelum ini. Dan minum itu nisbah kepada air yang baru dikeluarkan.

 

وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Dan janganlah kamu berbuat kejahatan di muka bumi menjadi golongan yang berbuat kerosakan;

Kerosakan di sini adalah berbuat syirik kepada Allah  ‎ﷻ. Ia adalah jenis kerosakan yang amat besar. Contohnya, mengharamkan yang halal dan mengharamkan yang halal. Juga bermaksud jangan melanggar hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Juga bermaksud jangan sembah dan buat ibadat kepada ilah selain Allah ﷻ.

Perkataan تَعْثَوْا yang digunakan juga bermaksud kerosakan yang disebabkan oleh propaganda. Iaitu merosakkan fikiran manusia dengan idea-idea yang jahat. Ini kita boleh lihat banyak dilakukan oleh puak Yahudi pada zaman sekarang pun. Mereka sekarang menguasai media massa dan banyak ajaran jahat dimasukkan di dalam media massa itu. Ianya melekakan manusia dan menyebabkan manusia lalai dari Allah.

Kalimah مُفْسِدِينَ membawa erti orang yang menyebabkan orang lain juga berbuat kerosakan. Sudahlah mereka berbuat kerosakan, tetapi disebabkan mereka sudah buat, ada orang lain yang akan mengikut dan akan lebih banyak kerosakan lagi berlaku. Ini adalah kerana ramai yang mengikut perbuatan Yahudi ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 November 2020

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 58 – 60 (Minum air dari batu)”

    1. Kalimah تَعْثَوْا dari kata dasar ع ث و yang bermaksud melakukan kejahatan, jenayah, melakukan korupsi.

      Mungkin tuan terkeliru dengan kalimah lain agaknya.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s