Tafsir Surah Dhariyat Ayat 1 – 20 (Hari Kiamat pasti akan terjadi)

Pengenalan:

Surah ini ada menyentuh tentang rezeki. Kita akan lihat banyak isyarat tentang perkara itu di dalam ayat-ayatnya.

Maksud Surah ini adalah tentang kebangkitan semula manusia di akhirat nanti dan kebenaran tentang pembalasan kepada mereka. Apabila akhirat sudah bermula, ada yang akan dibalas baik dan ada yang akan dibalas dengan keburukan kerana kesalahan mereka semasa di dunia.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 8 perenggan makro. Ayat 1 – 6 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ﷻ memberitahu yang angin, awan, kapal yang berlayar dan para malaikat menjadi saksi kepada hukum dan ketetapan dari Allah ﷻ.

وَالذّٰرِيٰتِ ذَروًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Adh-Dhāriyāt: The Scattering Winds.

By the [winds] scattering [dust], dispersing [it]

(MELAYU)

Demi (angin) yang menerbangkan debu dengan kuat.

 

Kalimah ذريت dan ذروا adalah dari katadasar ذ ر و  yang bermaksud yang menaburkan, mencabut, jatuh, meragut, menaikkan, menjadikan sesuatu terbang, meniup. Jadi yang dimaksudkan dengan ذريت dalam ayat ini adalah angin yang mempunyai sifat-sifat yang disebut ini.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ bersumpah dengan angin yang menerbangkan debu dan benda-benda lain. Dan dengan angin itu juga menerbangkan debunga yang menyebabkan tumbuh-tumbuhan boleh hidup melalui proses pendebungaan.

Jadi angin itu adalah angin yang menyebabkan kehidupan dan dalam masa yang lain, ada juga angin kuat yang menyebabkan kematian; tetapi surah ini tentang angin yang menyebabkan kehidupan. Dengan itu Allah ﷻ menyebarkan rezekiNya kepada makhluk.


 

Ayat 2: 

فَالحٰمِلٰتِ وِقرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the [clouds] carrying a load [of water]

(MELAYU)

dan awan yang mengandung beban,

 

Sekarang Allah ﷻ menyebut yang angin yang membawa beban seperti awan-awan yang berat. Antara beban yang dibawa adalah air hujan di dalam awan-awan itu. Memang awan yang ada hujan dan tidak ada hujan tidak sama. Dari segi berat, angin biasa sama berat dengan 20 ekor gajah; tapi bila ada air hujan di dalamnya, ia seberat 200,000 ekor gajah!

Awan yang mengandungi air itu menurunkan air ke tempat yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Dengan air hujan itu, maka tanah jadi subur, tumbuhan dapat hidup, binatang boleh makan tumbuhan dan juga manusia dapat hidup dengan memakan tumbuhan dan juga binatang itu.

Air hujan selalu dijadikan sebagai isyarat kepada rezeki daripada Allah ﷻ dan air hujan itu memerlukan angin untuk membawanya ke kawasan yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Seperti kita telah sebut, surah ini banyak menyentuh tentang rezeki.


 

Ayat 3:

فَالجٰرِيٰتِ يُسرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the ships sailing with ease

(MELAYU)

dan kapal-kapal yang berlayar dengan mudah.

 

Allah ﷻ bersumpah dengan kapal di lautan pula. Demi kapal-kapal yang bergerak di lautan dengan mudah kerana adanya bantuan angin. Sekali lagi sebut tentang angin lagi. Kalau kapal dahulu menggunakan layar dan ia bergerak dengan tiupan angin. Maka memang kapal layar memerlukan angin.

Zaman sekarang kapal-kapal sudah pakai enjin besar tetapi angin masih lagi memainkan peranan dalam pelayaran kapal. Kerana pergerakan kapal itu dimudahkan dan disusahkan dengan tiupan angin. Kalau perjalanan kapal itu ikut arah angin, maka senang untuk ia bergerak laju; tapi kalau melawan arah angin, susah dan lambat kapal itu bergerak.


 

Ayat 4:

فَالمُقَسِّمٰتِ أَمرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the [angels] apportioning [each] matter,

(MELAYU)

dan (malaikat-malaikat) yang membagi-bagi urusan,

 

Kalimah مُقَسِّمٰتِ dari kata dasar ق س م yang bermaksud ‘membahagikan’. Pendapat pertama ada yang mengatakan ianya adalah sambungan dari ayat-ayat sebelum ini yang menyebut tentang ‘angin’. Jadi yang dimaksudkan adalah angin yang membawa rezeki seperti debunga dan juga awan yang membawa hujan. Maka angin itu yang ‘membahagikan’ rezeki kepada tempat-tempat yang ditakdirkan untuk menerima rezeki itu.

Akan tetapi pendapat kedua mungkin lebih kuat, ia bermaksud ‘para malaikat’. Demi para malaikat yang menjalankan tugas mereka membahagikan rezeki dengan arahan Tuhan. Ini seperti malaikat Mikail عليه السلام yang ditugaskan untuk memberi rezeki.

Allah ﷻ yang menentukan pemberian rezeki itu di mana tempat yang mendapat air, banyak ini dan angin banyak itu. Angin-angin atau para malaikat itu membawa rezeki-rezeki yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Mereka menurut arahan Allah ﷻ.


 

Ayat 5: Ini adalah ‘jawab’ kepada ayat-ayat qosam (sumpah) sebelum ini. Iaitu apakah yang Allah ﷻ hendak tekankan. Kerana apabila Allah ﷻ gunakan sumpah, ianya untuk menekankan sesuatu yang penting, maka apakah perkara penting yang Allah ﷻ hendak sampaikan?

إِنَّما توعَدونَ لَصادِقٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, what you are promised is true.

(MELAYU)

sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu pasti benar.

 

Yang dijanjikan adalah Kiamat dan kebangkitan semua. Kiamat yang dijanjikan kepada makhluk itu PASTI akan berlaku. Dan manusia pasti akan dibangkitkan semula. Dan balasan selepas kiamat itu juga pasti akan berlaku.

Inilah yang kita kena beri perhatian. Ada balasan baik dan ada balasan buruk. Kita kena bersedia semasa kita di dunia lagi. Jangan kita ambil sambil lewa dan berlengah-lengah lagi.


 

Ayat 6: Ini adalah Dakwa Surah ini. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa bukan sahaja manusia dan jin akan dibangkitkan di akhirat kelak tetapi pembalasan baik atau buruk juga adalah tsabit.

وَإِنَّ الدّينَ لَوٰقِعٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, the recompense is to occur.

(MELAYU)

dan sesungguhnya (hari) pembalasan pasti terjadi.

 

Keputusan yang telah ditetapkan akan berlaku tidak lama lagi. Kalimah الدّينَ dalam ayat ini bukan bermaksud ‘agama’ tetapi ‘pembalasan’. Memang kalimah الدّينَ ada banyak makna dan perlu disesuaikan dengan konteks ayat.

Apabila akhirat berlaku, mahkamah pengadilan akan ditegakkan dan amalan makhluk akan dibentangkan. Amalan baik akan dibalas baik dan amalan buruk akan dibalas juga. Maka apabila kita sudah terima perkara ini, maka kenalah kita bersedia untuk menghadapinya.

Janganlah kita hidup di dunia ini tanpa buat persediaan. Kita kena sentiasa ingat yang segala perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan. Kalau kita dapat ingat perkara ini, maka kita akan berhati-hati dalam kehidupan kita.


 

Ayat 7: Allah ﷻ sambung dengan sumpah lagi. Ayat 7 – 20 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi Dalil Afaqi. Allah ﷻ suruh kita lihat alam untuk kenal Dia.

وَالسَّماءِ ذاتِ الحُبُكِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

By the heaven containing pathways,¹

  • Explained as tracks, layers or orbits.

(MELAYU)

Demi langit yang mempunyai jalan-jalan,

 

Allah ﷻ bersumpah dengan makhlukNya yang besar, iaitu langit yang kita boleh lihat di atas kepala kita. Demi langit yang memiliki jalan-jalan. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘jalan-jalan’?

Asal kalimah الحُبُكِ dari ح ب ك yang bermaksud menenun. Menenun selalunya menggunakan alat tenunan dan benang akan lalu mengikut alur dalam alat menerai benang itu sahaja, bukan? Apakah kaitannya dengan langit?

Jalan-jalan di langit yang dimaksudkan adalah ‘jalan’ yang dilalui oleh bintang-bintang. Itulah yang dinamakan ‘orbit’ dalam bahasa sains. Seperti yang kita tahu dari bidang astronomi, semua bintang-bintang di langit itu bergerak di dalam orbit mereka, berpusing-pusing ikut laluan ia sahaja. Kalau terlari atau tergelincir sahaja dari orbit, maka akan berlanggaranlah segala planet-planet itu.

Apabila ada ‘sumpah’, maka ada ‘jawab kepada sumpah’. Jawab kepada sumpah ini adalah kita semua akan dikumpulkan di Mahsyar nanti. Ianya pasti akan terjadi maka kenalah kita bersedia untuk menghadapinya.


 

Ayat 8: Ayat zajrun.

إِنَّكُم لَفي قَولٍ مُّختَلِفٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, you are in differing speech.¹

  • About Prophet Muḥammad (ṣ) and the Qur’ān.

(MELAYU)

sesungguhnya kamu benar-benar dalam keadaan berbeza pendapat,

 

Sebagaimana bintang-bintang itu ikut arah masing-masing, maka begitu juga manusia mempunyai banyak pandangan masing-masing dan banyak falsafah yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Manusia mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang hari kiamat kerana ada yang percaya dan ada yang tidak percaya. Ada yang yakin dengan hari kiamat itu dan ada juga yang ragu-ragu tentangnya. Ada yang mempunyai fahaman yang salah tentang akhirat. Antaranya:

    • Dunia ini akan kekal dan tidak akan hancur.
    • Ada yang terima yang dunia ini akan hancur sebagaimana semua manusia tetap akan mati. Tetapi pada mereka, bila sudah hancur, hancur begitu sahaja, tidak ada kebangkitan semula. Mereka kata kebangkitan semula itu adalah mustahil.
    • Ada yang percaya kehidupan semula tetapi bukan di syurga dan neraka, sebaliknya mereka akan dihidupkan semula di dunia. Inilah fahaman reinkarnasi seperti yang diimani oleh penganut Buddha.
    • Ada yang percaya wujudnya syurga dan neraka tetapi mereka percaya ‘Anak Tuhan’ telah mengorbankan dirinya untuk menghilangkan dosa semua manusia. Ini adalah fahaman sesat golongan Kristian yang amat ramai di dunia sekarang. Mereka percaya kalau terima Nabi Isa عليه السلام sebagai ‘Anak Tuhan’ dan tugasnya sebagai korban untuk hapuskan dosa manusia, maka semua jadi suci. Aduh, senangnya kalau begitu.
    • Ada juga yang percaya kepada syurga dan neraka. Mereka juga percaya adanya kekasih-kekasih Allah ﷻ seperti Nabi, wali dan malaikat. Dan mereka sangka kalau sembah, puja, beri salam dan sedekah Fatihah kepada ‘kekasih-kekasih’ Allah ﷻ itu, maka roh-roh ini akan jadi kawan dan beri Syafaat kepada mereka di akhirat kelak. Ini juga fahaman sesat tetapi banyak diimani oleh orang Islam yang jauh dari ajaran wahyu.

Ini termasuklah orang Melayu yang memang jahil dengan ajaran Al-Qur’an pun. Ditambah pula dengan ajaran salah dari guru-guru yang salah seperti ajaran tarekat. Dari dulu lagi yang ada fahaman sesat ini adalah golongan sufi tarekat yang memang jahil dengan wahyu dan senang ditipu syaitan.

Dan sekarang ditambah pula dengan kedatangan golongan Habib yang memang sembah kubur di Yaman dan sekarang sedang mengajar akidah sesat ini di negara kita. Ramai yang terpesona dan terpengaruh dengan para Habib itu kerana perawakan mereka. Mereka tidak dapat nak perasan bahawa ajaran para Habib itu sesat kerana mereka sendiri tidak belajar ilmu wahyu.

Maka di atas adalah antara fahaman salah dan sesat yang ada dalam fikiran manusia. Berbagai-bagai fahaman berbeza kerana rujukan mereka bukannya wahyu tetapi diajar oleh syaitan. Mereka juga pakai dalil dari nafsu mereka. Apabila nafsu yang dijadikan sebagai sumber, maka macam-macamlah fahaman sesat yang dianuti.


 

Ayat 9:

يُؤفَكُ عَنهُ مَن أُفِكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Deluded away from it, he who is deluded.

(MELAYU)

dipalingkan daripadanya, orang yang dipalingkan.

 

Ada orang yang dipalingkan daripada kebenaran kerana mereka itu degil. Kerana mereka degil untuk menerima kebenaran maka mereka dipalingkan. Orang yang berpaling daripada menerima hidayah kebenaran itu adalah kerana mereka sendiri yang tidak mahu kepada kebenaran. Hati mereka bukannya hendak kepada kebenaran, tetapi hati mereka hendak ikut apa yang nafsu mereka mahu.

Mereka itu tidak melihat kepada kejadian alam ini dengan mata hati dan kerana itu mereka tidak memikirkan Siapakah yang menjadikannya. Maka mereka itu orang-orang yang tidak menerima hidayah. Kalau mereka yang tidak mahu memikirkan tentang kejadian alam ini dan Siapa yang menjadikannya maka mereka itu juga orang-orang yang apabila diberikan wahyu kepada mereka, maka mereka juga akan menolak.


 

Ayat 10:

قُتِلَ الخَرّٰصونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Destroyed are the falsifiers¹

  • Or “May they be destroyed” or “cursed.”

(MELAYU)

Terkutuklah orang-orang yang banyak berdusta,

 

Laknat ke atas orang yang membohongi kedatangan hari kiamat. Kalimah الخَرّٰصونَ dari خ ر ص yang asalnya bermaksud meneka-neka tentang sesuatu perkara. Maka apabila mereka meneka tanpa dalil, maka mereka telah menolak dalil apabila sampai kepada mereka. Bila ada yang sampaikan kebenaran, mereka menolaknya dan mengatakan yang disampaikan itu adalah dusta sahaja.

Ini adalah mereka yang meneka-neka sahaja tentang apakah kebenaran itu, apakah perkara-perkara ghaib, dan sebagainya. Ini amatlah salah dan bahaya. Semoga mereka dimusnahkan oleh Allah ﷻ.

Kalau manusia meneka dalam perkara dunia, masih lagi boleh dibuat kira kerana kesannya tidaklah besar sangat kalau salah perkiraan. Namun kalau meneka tentang perkara akhirat amat bahaya sekali. Kerana kalau salah teka tentang dunia, maka ruginya di dunia sahaja. Tetapi kalau salah teka tentang akhirat, maka kerugiannya amat besar dan berpanjangan sampai bila-bila.

Sebelum ini telah disebut yang manusia mempunyai banyak pandangan dan falsafah dan sekarang Allah ﷻ memberitahu bahawa pandangan mereka itu hanya tekaan dari mereka sahaja. Memang ramai yang macam ini. Mereka kata: agaknya beginilah….begitulah…..


 

Ayat 11:

الَّذينَ هُم في غَمرَةٍ ساهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who are within a flood [of confusion] and heedless.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang terbenam dalam kebodohan yang lalai,

 

Mereka itu berada di dalam غَمرَةٍ (kejahilan) kerana mereka tidak tahu wahyu Allah ﷻ. Asal kalimah غَمرَةٍ bermaksud tenggelam dalam banjir. Iaitu mereka sudah bergelumang dalam kesesatan.

Mereka itu ساهونَ (kelalaian) di dalam kebodohan mereka dan kerana itu mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan di dunia ini. Kalimah س ه ن bermaksud alpa, lalai, buat tidak kisah, tidak memikirkan, buat tidak penting. Kerana itu jadi sesat.

Kalimah ساهونَ juga bermaksud mereka yang sengaja lalai kerana mereka ada peluang untuk belajar wahyu tetapi mereka tidak ambil peluang itu. Sudah ada orang yang ajak mereka untuk mempelajari agama tetapi mereka tidak mahu. Peluang ada, bukannya tidak ada. Akan tetapi mereka sahaja tidak ambil peluang itu.


 

Ayat 12:

يَسأَلونَ أَيّانَ يَومُ الدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They ask, “When is the Day of Recompense?”

(MELAYU)

mereka bertanya: “Bilakah hari pembalasan itu?”

 

Mereka bertanya-tanya bilakah terjadinya hari kiamat itu seolah-olah mereka tidak percaya akan kedatangannya. Apabila diberitahu tentang hari kiamat maka mereka bertanya: “bila, bila?” Akan tetapi pertanyaan mereka itu adalah untuk mempersenda-sendakan sahaja, bukannya hendak tahu pun.

Inilah soalan mereka semasa di dunia kerana hati mereka sendiri sudah tidak mahu terima dari mula lagi.

Kita memang tidak tahu bilakah kiamat itu akan terjadi. Jadi jangan malu untuk kata tidak tahu. Dan mereka yang tidak percaya dengan akhirat tidak boleh jadikan ini sebagai alasan. Kerana mungkin ada yang kata: “kamu sendiri pun tidak tahu bila kiamat itu…..” Memang tidak ada sesiapa pun tahu kerana Allah ﷻ hendak jadikan Kiamat itu sebagai ujian keimanan. Kalau sudah tahu tarikhnya, tidaklah ada ujian lagi, bukan?


 

Ayat 13: Allah ﷻ beritahu jawapan kepada soalan mereka tadi. Nak tahu sangat bila Hari Kiamat itu, kan? Nah ini jawapannya.

يَومَ هُم عَلَى النّارِ يُفتَنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is] the Day they will be tormented over the Fire

(MELAYU)

(Hari pembalasan itu) ialah pada hari ketika mereka diazab di atas api neraka.

 

Allah ﷻ beritahu bilakah hari kiamat itu akan berlaku iaitu pada hari mereka akan dipanggang di dalam api. Allah ﷻ tidak beritahu ‘bila’ ia akan terjadi, tetapi ‘apa’ yang akan terjadi. Ini untuk menakutkan mereka (dan menyedarkan mereka).

Kalimah يُفتَنونَ dari ف ت ن yang asalnya bermaksud emas yang dicairkan untuk diasingkan daripada bendasing dan logam lain, maka begitulah mereka akan dibakar nanti. Maksudnya mereka akan dibakar dengan api neraka sepertimana emas itu dibakar.


 

Ayat 14: Akan dikatakan kepada mereka apabila mereka sedang dibakar.

ذوقوا فِتنَتَكُم هٰذَا الَّذي كُنتُم بِهِ تَستَعجِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And will be told], “Taste your torment. This is that for which you were impatient.”

(MELAYU)

(Dikatakan kepada mereka): “Rasakanlah azabmu itu. Inilah azab yang dulu kamu minta untuk disegerakan”.

 

ذوقوا فِتنَتَكُم

(Dikatakan kepada mereka): “Rasakanlah azabmu itu.

Dikatakan kata-kata ini sebagai ‘azab rohani’. Sudahlah fizikal mereka sedang diseksa, ditambah pula dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Ini macam seorang pelajar nakal yang sedang dirotan dan dalam masa yang sama dimarahi oleh guru yang merotan dengan kata-kata seperti: “bodoh!”, “anak tak tahu diuntung… kecil-kecil tak mahu mati… nah rasa rotan ini!” dan macam-macam lagi.

 

هٰذَا الَّذي كُنتُم بِهِ تَستَعجِلونَ

Inilah azab yang dulu kamu minta untuk disegerakan”.

Rasalah azab fitnah yang dulunya kamu tanya-tanya dan minta disegerakan. Dulu kamu tanya bila, bila… dan kamu berlagak konon suruh disegerakan kalau memang benar ada Kiamat itu, bukan?

Kenapa mereka minta disegerakan? Kerana mereka tidak percaya. Mereka ejek dulu….”Kenapa kami dah tolak dakwah kamu ini, kami tak dimatikan lagi pun?! Kalau ada azab itu, marilah!”

Mereka tidak faham yang Allah ﷻ tidak terus seksa dan matikan mereka adalah kerana hendak beri peluang kepada mereka untuk ubah perangai mereka dan beriman. Oleh kerana Allah ﷻ sayang kepada mereka, maka Allah ﷻ beri peluang kepada mereka.


 

Ayat 15: Sekarang kita masuk ke dalam ayat-ayat tabshir (berita gembira) pula.

إِنَّ المُتَّقينَ في جَنّٰتٍ وَعُيونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the righteous will be among gardens and springs,

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air,

 

Orang yang bertakwa dengan menjaga hukum dan ikut perintah Allah ﷻ akan berada di dalam syurga yang ada mata-mata air. Mereka ini takut kepada Allah ﷻ dan takut kepada balasan akhirat maka mereka menjadi orang yang bertakwa. Maksud taqwa adalah jaga hukum.

Mereka percaya kepada hari kiamat dan kebangkitan semula apabila maklumat itu disampaikan kepada mereka. Kerana untuk jadi muttaqeen, pertamanya kena yakin dengan kebangkitan semula.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.


 

Ayat 16:

ءآخِذينَ ما ءآتٰهُم رَبُّهُم ۚ إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ

مُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Accepting what their Lord has given them. Indeed, they were before that doers of good.

(MELAYU)

sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

 

ءآخِذينَ ما ءآتٰهُم رَبُّهُم

sambil menerima segala pemberian Rabb mereka.

Mereka waktu di syurga itu menikmati segala nikmat yang diberikan oleh Allah ﷻ kepada mereka. Yang besar mereka boleh ambil dan yang kecil pun mereka boleh ambil juga. Apa sahaja yang Allah ﷻ beri nikmat kepada mereka, mereka akan ambil. Maksudnya mereka akan mendapat balasan daripada amalan kebaikan mereka semasa di dunia sama ada amalan itu kecil ataupun besar. Allah ﷻ akan beri balasan berganda-ganda dan tiada henti.

 

إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ

Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

Mereka dapat segala kenikmatan di syurga itu kerana semasa di dunia mereka adalah orang-orang yang baik dan sentiasa memperbaiki diri mereka. Itulah maksud muhsin.

Mereka dulu semasa di dunia mempunyai hati yang baik. Hati yang suka kepada kebaikan dan antara kebaikan itu adalah suka untuk mendekati Allah ﷻ. Dengan cara mentauhidkan Allah ﷻ dan meninggalkan syirik kepada Allah ﷻ. Hati yang sebeginilah yang ada harapan untuk disuburkan sampai menjadi ahli syurga.


 

Ayat 17: Tanda yang kedua hati yang baik. Ini dari segi amalan mereka pula.

كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They used to sleep but little of the night,¹

  • i.e., spending a portion of the night in prayer and supplication.

(MELAYU)

Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

 

Kalimah يَهجَعونَ dari kata dasar ه ج ع yang bermaksud duduk senyap dan digunakan untuk merujuk kepada tidur dalam ayat ini. Maka mereka itu tidur sekejap sahaja di malam hari. Kerana mereka memperbanyakkan solat atau baca Al-Qur’an di malam hari. Mereka banyak mengerjakan Solat Tahajjud dan juga Qiyamullail.


 

Ayat 18:

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And in the hours before dawn they would ask forgiveness,

(MELAYU)

Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar.

 

Dan mereka meluangkan masa di waktu sahur untuk istighfar meminta ampun kepada Allah ﷻ. Ini selepas mereka baca Al-Qur’an atau Solat Tahajjud. Selepas mereka solat, mereka berdoa mengharap bantuan dari Allah ﷻ. Yang paling penting, mereka minta ampun.

Kenapa mereka minta ampun pula sedangkan mereka baru lepas buat ibadat? Selalu yang minta ampun ini adalah mereka yang buat dosa, bukan? Maknanya mereka yang disebut dalam ayat ini meminta ampun kepada Allah ﷻ selepas melakukan taat kepada Allah ﷻ. Ini kerana mereka tahu yang mereka tentu ada kesalahan lain lagi.

Dan walaupun mereka tengah bangun di malam hari mengerjakan ibadat, tetapi lihatlah bagaimana mereka masih lagi istighfar kepada Allah ﷻ. Kalau hendak difikirkan mereka inilah yang tidak perlu nak istighfar, bukan? Akan tetapi beginilah sifat mereka. Mereka istighfar dalam taat kerana mereka tidak pasti sama ada segala amalan mereka itu diterima oleh Allah ﷻ kerana mungkin ada kekurangan.

Inilah sifat yang perlu ada dalam diri seorang Muslim. Tidaklah selepas buat ibadat, terus sangka ibadat itu diterima Allah ﷻ. Itu adalah sifat ujub. Maka kena ada kerisauan yang kita belum selamat lagi. Yang rasa selamat itulah yang tidak selamat. Kerana itu banyak diajar istighfar selepas melakukan ibadat.

Kenapa waktu sahur? Waktu sahur adalah sepertiga terakhir malam hari. Iaitu dalam lingkungan lebih kurang tiga jam sebelum masuk waktu subuh. Waktu inilah juga selalunya kita ‘makan sahur’ sebelum berpuasa.

Disebut waktu sahur kerana waktu sahur adalah waktu yang paling utama sekali. Di dalam kitab-kitab sahih disebutkan dari Abu Hurairah dari Rasulullah ﷺ yang telah bersabda:

” يَنْزِلُ اللَّهُ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا كُلَّ لَيْلَةٍ حِينَ يَمْضِي ثُلُثُ اللَّيْلِ الْأَوَّلُ فَيَقُولُ أَنَا الْمَلِكُ أَنَا الْمَلِكُ مَنْ ذَا الَّذِي يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ ؟ مَنْ ذَا الَّذِي يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ ؟ مَنْ ذَا الَّذِي يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ ؟ فَلَا يَزَالُ كَذَلِكَ حَتَّى يُضِيءَ الْفَجْرُ “

“Allah turun ke langit dunia pada setiap malamnya, yaitu saat sepertiga malam terakhir seraya berfirman, ‘Aku adalah Raja, Aku adalah Raja, Siapa yang berdo’a padaKu niscaya akan Aku kabulkan dan siapa yang meminta kepadaKu niscaya akan Aku berikan dan siapa yang meminta ampun kepadaKu, niscaya akan Aku ampuni.’ Keadaan itu berlangsung hingga tiba waktu (yakni waktu Subuh datang).” [Sahih Muslim no. 1262]


 

Ayat 19: Ayat sebelum ini adalah tentang amalan tubuh badan mereka dan sekarang Allah ﷻ menyebut tentang harta mereka pula.

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And from their properties was [given] the right of the [needy] petitioner and the deprived.

(MELAYU)

Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.

 

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ

Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta

Dan mereka infaqkan sebahagian daripada harta mereka kepada orang-orang yang meminta. Kerana ada manusia yang amat susah sampai mereka terpaksa meminta bantuan daripada manusia lain. Orang yang baik akan memberi bantuan itu.

Mereka sedar yang harta mereka itu bukanlah semuanya milik mereka sahaja. Tetapi ada bahagian orang lain juga. Kita sebagai ‘pemegang amanah’ sahaja. Kalau sudah ada pemahaman ini dalam diri kita, maka senanglah untuk kita mengeluarkan infaq.

 

وَالمَحرومِ

dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.

Dan ada juga orang yang menahan diri mereka daripada meminta atau mereka tidak ada peluang untuk meminta. Mereka itu juga adalah orang-orang yang tidak mendapat rezeki. Maknanya ada manusia yang susah dan mereka meminta tetapi ada juga yang tidak meminta. Ayat ini tentang mereka yang tidak meminta. Maka kita kena peka tentang perkara itu dan jikalau kita tahu ada orang yang susah maka kita hendaklah membantu mereka, sama ada mereka meminta atau tidak.

Maka kita kena lihatlah orang-orang di sekeliling kita kerana ada yang segan untuk meminta. Tapi kalau kita sudah kenal mereka, maka kita tahu mana yang susah dan mana yang tidak. Maknanya kita kena peka dengan nasib orang-orang di sekeliling kita. Jangan buat hal sendiri sahaja. Kerana itulah agama ini mengajar kita bermasyarakat dan peka dengan jiran-jiran kita.

Perlu ditambah yang mereka itu tidaklah berhenti setakat mengeluarkan zakat sahaja. Mereka tambah dengan infaq dan sedekah. Tidaklah mereka kata: “aku dah bagi zakat, cukuplah.” Kerana zakat itu wajib, tetapi bukan setakat itu sahaja. Kalau kita memang ada kemampuan memang kita kena tolong.


 

Ayat 20: Dalil aqli tentang tsabitnya kiamat.

وَفِي الأَرضِ ءآيٰتٌ لِّلموقِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And on the earth are signs for the certain [in faith]

(MELAYU)

Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin.

 

Ada banyak sekali tanda-tanda pada alam ini sebagai hujah kepada orang-orang yang mahu mencari kebenaran. Iaitu mereka yang ingin menyakini. Ini adalah kerana tentang hari akhirat ini bukan setakat ‘tahu’ sahaja, tetapi kena ‘yakin’. Kita boleh mendapat keyakinan dengan melihat kepada tanda-tanda pada alam ini.

Manusia yang mahu yakin akan melihat dunia yang indah ini dan berfikir: “takkanlah dunia yang hebat ini terjadi dengan sendiri?” Maka akan sampai kepada kepercayaan: Tentulah ada yang menjadikannya iaitu Allah ﷻ.

Dan takkan Allah ﷻ jadikan dunia ini sia-sia sahaja? Tentu ada sebab Allah ﷻ jadikan alam ini. Dan kita percaya yang alam ini dijadikan sebagai tempat ujian. Ujian untuk kita menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi.

Dan kalau kita lihat alam yang hebat ini, takkan Allah ﷻ yang jadikan alam ini tidak boleh jadikan Kiamat? Dan takkan Allah ﷻ tidak boleh nak hidupkan balik semua makhluk selepas semua makhluk itu mati?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Dhariyat Ayat 1 – 20 (Hari Kiamat pasti akan terjadi)”

  1. Dalam mentafsirkan ayat seliseh pendapat pentafsir ini didapati erlergic dengan habib( keturunan nabi yang tidak boleh makan hasil zakat dan sedekah) yang bermukim diyaman dianggap memuja kubur adalah tuduhan liar selari dengan aliran wahabi saudi yang erlergic dengan zirah meqam wali anbiyak dan tidak suka acara talqin dan tahlilan arwah. Mertakan maqam anbiyak di ma’ala mekah dan baqi di madinah dan melarang penziarah mampir berdoa.

    Like

    1. Selamat datang ke blog ini. Semoga ia memberi manfaat yang besar kepada anda.

      1. Tentang golongan Habib, itu memang saya sampaikan kebenaran iaitu kesesatan yang mereka bawa. Mereka itu golongan bid’ah, quburiyyun. Ini telah banyak dibongkarkan oleh para asatizah yang lain. Saya berharap semoga umat Islam nampak kesesatan mereka. Yang sesat tetap sesat (walaupun dari mereka yang dikatakan keturunan Nabi); yang salah tetap kita tegur. Kebenaran tetap kebenaran.
      2. Berkenaan dengan kuburan, ya kita kena berhati-hati kerana kuburan ini memang ada masalah bagi orang yang aqidah sesat dalam jiwanya. Mereka suka berdoa di kuburan dan berharap mendapat bantuan dari ahli kubur. Ya, sama macam golongan Habib itu.
      3. Tahlilan dan talqin adalah amalan bidaah. Tidak ada dalilnya dalam agama Islam. Ia adalah rekaan. Sepertimana bahaya rekaan dalam agama lain (seperti yang terjadi dalam Yahudi dan Kristian) maka begitu jugalah dalam Islam.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s