Tafsir Surah Dzariyat Ayat 21 – 30 (Tetamu Nabi Ibrahim)

Ayat 21: Ayat 21 adalah Perenggan Makro Ketiga. Dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang hati kecil manusia sebenarnya memang menerima konsep yang setiap perbuatan ada balasnya. Jadi bila mereka tolak, itu sebenarnya kerana degil sahaja.

وَفي أَنفُسِكُم ۚ أَفَلا تُبصِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And in yourselves. Then will you not see?

(MELAYU)

dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?

 

وَفي أَنفُسِكُم

dan (juga) pada dirimu sendiri.

Bukan sahaja pada alam itu ada tanda, tetapi pada diri manusia itu sendiri ada tanda-tandanya. Begitu hebatnya kejadian kita ini yang menunjukkan mesti ada yang menciptakan kita ini.

Kejadian kita ini begitu terperinci sekali, dari air mani bertemu dengan telur ibu, kemudian dijaga dengan penuh rapi di dalam rahim ibu itu. Kemudian dikeluarkan ke dunia.

Kemudian tubuh badan kita membesar dan begitu hebat sekali sistem biologi kita. Segala sistem itu bermula dari dalam perut ibu lagi dan tidak berhenti sehinggalah kita mati. Dengan degupan jantung yang tidak pernah berhenti dan air yang tidak pernah berhenti mengalir. Keperluan badan diberikan sentiasa oleh Allah ﷻ untuk melangsungkan kehidupan. Dengan makanan, udara, tidur, rehat di malam hari dan sebagainya.

Kajilah juga kehebatan otak kita yang kecil sahaja, tapi ianya mempunyai sistemnya yang tersendiri, yang sentiasa sahaja berfungsi dan mempunyai kehebatan untuk mengenal dan mengingat banyak perkara, menyimpan jutaan maklumat, memikirkan segala perkara yang kompleks dan mempunyai sistem emosi yang tersendiri.

Memang sampai sekarang, para saintis tidak habis kaji lagi kehebatan diri kita. Maka adakah kita boleh terima pendapat yang mengatakan kita ini terjadi sendiri, tidak ada Sang Pencipta? Tentu kita tidak dapat terima, bukan?

Dan adakah boleh kita terima pendapat yang mengatakan, setelah Tuhan menjadikan kita hebat begini, kita dijadikan untuk makan, minum dan berkeluarga sahaja sementara kita hidup, tanpa dipertanggungjawapkan dengan tugas yang amat penting (menghambakan diri kepada Allah ﷻ)? Sangat dangkal sekali kalau begitulah fikiran kita.

 

أَفَلا تُبصِرونَ

Maka apakah kamu tidak memperhatikan?

Tanda-tanda sudah ada banyak  kenapa manusia tidak mahu melihatnya? Kenapa kamu tidak memerhatikan? Kenapa kamu tidak gunakan mata hati kamu? Kerana untuk nampak tanda pada alam dan diri ini, kena ada pandangan mata hati, bukan pandangan mata biasa sahaja.


 

Ayat 22: Ayat 22 – 46 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia memberitahu kita yang langit dan bumi menjadi saksi tentang hukum balasan baik dan buruk. Juga terdapat dalil sejarah tentang kaum terdahulu.

وَفِي السَّماءِ رِزقُكُم وَما توعَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And in the heaven is your provision and whatever you are promised.

(MELAYU)

Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu.

 

وَفِي السَّماءِ رِزقُكُم

Dan di langit terdapat rezekimu

Disebut tentang rezeki lagi kerana surah ini memang banyak sentuh tentang rezeki. Rezeki itu asalnya turunnya dari langit. Dari segi konsepnya memang ia dari Allah ﷻ, tapi secara realitinya pun memang dari atas di mana air hujan, cahaya matahari juga dari atas juga. Dari dua sumber utama ini, maka bercambahlah rezeki-rezeki yang lain.

 

وَما توعَدونَ

dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu.

Daripada langit juga datangnya pahala, tempat kembali, syurga neraka dan juga azab daripada Allah ﷻ iaitu semua yang telah dijanjikan oleh Allah ﷻ melalui wahyuNya. Maka jangan ingat rezeki sahaja dari langit kerana azab pun dari langit juga.

Maka apabila dilihat kepada langit maka kita akan ingat kepada dua-dua perkara itu.


 

Ayat 23: Ayat Sumpah lagi.

فَوَرَبِّ السَّماءِ وَالأَرضِ إِنَّهُ لَحَقٌّ مِّثلَ ما أَنَّكُم تَنطِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then by the Lord of the heaven and earth, indeed, it is truth – just as [sure as] it is that you are speaking.

(MELAYU)

Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya yang dijanjikan itu adalah benar-benar (akan terjadi) seperti perkataan yang kamu ucapkan.

 

فَوَرَبِّ السَّماءِ وَالأَرضِ إِنَّهُ لَحَقٌّ

Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya yang dijanjikan itu adalah benar

Allah ﷻ bersumpah dengan DiriNya yang telah mencipta langit dan bumi bahawa Kiamat dan perhimpunan manusia di Mahsyar itu benar-benar haq. Ia pasti akan berlaku. Oleh kerana Allah ﷻ bersumpah dengan DiriNya sendiri, maka ini adalah perkara yang amat besar. Maka tidak patut sangat kalau ada yang menolaknya.

 

مِّثلَ ما أَنَّكُم تَنطِقونَ

seperti perkataan yang kamu ucapkan.

Sebagaimana mudah saja manusia bercakap-cakap sesama mereka, maka begitu jugalah mudahnya Allah ﷻ menyampaikan wahyu kepada para malaikat untuk menyampaikannya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maksudnya mereka sudah diberitahu tentang Kiamat dan Mahsyar itu dan sebagaimana apa yang mereka katakan itu, ia akan terjadi.

Atau, ia pasti akan terjadi sebagaimana pastinya mereka dalam percakapan mereka itu. Apabila mereka bercakap, mereka pasti yang mereka sedang bercakap, bukan? Maka begitulah nyatanya nanti kejadian Kiamat dan Mahsyar itu.


 

Ayat 24: Allah ﷻ jadikan lima contoh takhwif duniawi untuk dijadikan sebagai peringatan. Ini adalah kisah yang pertama. Dari ayat ini sampai ayat 46 adalah kisah-kisah ringkas tentang para Nabi عليهم السلام dan kaum mereka.

Ramai yang menolak Rasul mereka yang membawa kebenaran. Allah ﷻ hendak mengingatkan yang mereka yang menolak kebenaran wahyu akan dikenakan azab dan ada yang Allah ﷻ beri azab itu semasa mereka di dunia lagi.

هَل أَتٰكَ حَديثُ ضَيفِ إِبرٰهيمَ المُكرَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has there reached you the story of the honored guests of Abraham?¹ –

  • Who were angels given honored positions by Allāh.

(MELAYU)

Sudahkah sampai kepadamu cerita tentang tetamu Ibrahim (iaitu malaikat-malaikat) yang dimuliakan?

 

Allah ﷻ membuka kisah tentang kedatangan beberapa malaikat kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ibrahim عليه السلام itu adalah bapa kepada negeri Mekah. Penduduk Mekah kenal Nabi Ibrahim عليه السلام, malah mereka kata mereka itu mengikut ajaran tinggalan Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka tentu kisah ini memberi kesan kepada mereka.

Allah ﷻ selalu menyampaikan kisah pengajaran kepada manusia. Ini adalah kerana manusia memang suka dengan cerita. Tapi kenalah ambil pengajaran dari cerita-cerita itu.


 

Ayat 25:

إِذ دَخَلوا عَلَيهِ فَقالوا سَلٰمًا ۖ قالَ سَلٰمٌ قَومٌ مُّنكَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When they entered upon him and said, “[We greet you with] peace.” He answered, “[And upon you] peace; [you are] a people unknown.”

(MELAYU)

(Ingatlah) ketika mereka masuk ke tempatnya lalu mengucapkan: “Salaamun”. Ibrahim menjawab: “Salaamun (kamu) adalah orang-orang yang tidak dikenal”.

 

إِذ دَخَلوا عَلَيهِ فَقالوا سَلٰمًا

(Ingatlah) ketika mereka masuk ke tempatnya lalu mengucapkan: “Salaamun”.

Para malaikat itu datang dan memberi salam kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dengan salam yang biasa sahaja tetapi Nabi Ibrahim عليه السلام menjawab dengan lebih baik lagi. Kerana itu apabila malaikat itu memberi salam, maka digunakan kalimah سَلٰمًا dan apabila Nabi Ibrahim عليه السلام beri salam, digunakan kalimah سَلٰمٌ.

Ini adalah kerana apabila kalimah itu dalam bentuk Rafa’ ia lebih kuat dan lebih kukuh daripada nasab, maka menjawab dengan memakai rafa’ lebih utama daripada memulainya. Kerana itulah maka disebutkan dalam firman-Nya:

{وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا}

Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa). (An-Nisa: 86)

 

قالَ سَلٰمٌ قَومٌ مُّنكَرونَ

Ibrahim menjawab: “Salaamun (kamu) adalah orang-orang yang tidak dikenal”.

Baginda menjawab salam mereka dan selepas itu baru baginda memberitahu yang baginda tidak mengenal mereka. Maknanya tidaklah tanya dahulu baru jawab salam. Kita boleh sahaja jawab salam dan kemudian baru tanya siapakah orang yang beri salam itu.

Atau, baginda cakap dalam hati sahaja; atau baginda beritahu kepada isteri baginda semasa baginda beritahu isterinya untuk menyediakan makanan.

Nabi Ibrahim عليه السلام tidak tahu perkara ghaib dan kerana itu baginda tidak tahu yang mereka itu adalah para malaikat. Demikian itu kerana Malaikat Jibril, Malaikat Mikail, dan Malaikat Israfil عليهم السلام datang menemui Nabi Ibrahim عليه السلام dalam rupa para pemuda yang tampan-tampan disertai dengan wibawa yang sangat kuat.

Ini adalah perkara akidah yang kita kena pegang iaitu para Nabi عليهم السلام tidak tahu perkara ghaib. Kerana ada manusia yang puja para Nabi عليهم السلام dengan memberikan sifat ketuhanan kepada mereka dengan mengatakan para Nabi عليهم السلام tahu perkara ghaib.

Yang lebih teruk lagi ada manusia yang jahil mengatakan ada manusia seperti wali, guru-guru mereka ataupun tok bomoh pun tahu tentang perkara ghaib. Jadi mereka yang ada fahaman begitu ada masalah dengan akidah mereka. Kalau Syiah memang sudah teruk, kata para Imam mereka ada ilmu ghaib lebih dari pada Nabi pula.


 

Ayat 26:

فَراغَ إِلىٰ أَهلِهِ فَجاءَ بِعِجلٍ سَمينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then he went to his family and came with a fat [roasted] calf

(MELAYU)

Maka dia pergi dengan diam-diam menemui keluarganya, kemudian dibawanya daging anak sapi gemuk.

 

فَراغَ إِلىٰ أَهلِهِ

Maka dia pergi dengan diam-diam menemui keluarganya,

Maka Nabi Ibrahim عليه السلام bergegas ke dapur untuk menyuruh isterinya menyediakan makanan. Ini mengajar kita untuk menghormati para tetamu. Dan baginda tidaklah pergi dengan terbuka tapi dengan cara yang senyap supaya tetamu tidak perasan pun dia beri arahan kepada isterinya itu. Kerana itu digunakan kalimah راغ dan bukan ذهب.

Maknanya baginda tidak beritahu yang dia hendak menyediakan makanan. Kerana kalau tetamu tahu yang kita nak sediakan makanan, tentu mereka akan menolak, bukan?

 

فَجاءَ بِعِجلٍ سَمينٍ

kemudian dibawanya daging anak sapi gemuk.

Maka isterinya telah memasak keseluruhan anak lembu, maksudnya bukan sikit-sikit sahaja. Dihidangkan kepada para tetamu itu daging lembu panggang (disebut dalam ayat yang lain).

Anak lembu itu pula gemuk. Maknanya, Nabi Ibrahim عليه السلام begitu melayan tetamu baginda. Maknanya baginda memberikan makanan yang paling berharga yang baginda ada. Begitulah cara baginda melayan tetamu yang kita kena cuba ikut.


 

Ayat 27:

فَقَرَّبَهُ إِلَيهِم قالَ أَلا تَأكُلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And placed it near them; he said, “Will you not eat?”

(MELAYU)

Lalu dihidangkannya kepada mereka. Ibrahim lalu berkata: “Silakan anda makan”.

 

فَقَرَّبَهُ إِلَيهِم

Lalu dihidangkannya kepada mereka.

Nabi Ibrahim عليه السلام membawakan daging panggang lembu itu dekat dengan para malaikat itu. Maknanya baginda hidang dekat dengan mereka. Ini supaya tidak menyusahkan tetamu yang kena datang ambil makanan. Bila diletakkan dekat dengan mereka, mereka boleh terus ambil makanan begitu sahaja tanpa bangun.

Begitulah kita apabila melayan tetamu, kita beri mereka mudah untuk makan. Hidangan kita dekatkan kepada mereka.

 

قالَ أَلا تَأكُلونَ

Ibrahim lalu berkata: “Silakan anda makan”.

Baginda jemput mereka untuk makan tetapi para malaikat itu tidak makan dan Nabi Ibrahim عليه السلام tanya kenapa mereka tidak makan. Tentulah malaikat tidak makan makanan itu kerana mereka malaikat dan mereka tidak makan makanan dunia.


 

Ayat 28:

فَأَوجَسَ مِنهُم خيفَةً ۖ قالوا لا تَخَف ۖ وَبَشَّروهُ بِغُلٰمٍ عَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he felt from them apprehension.¹ They said, “Fear not,” and gave him good tidings of a learned boy.

(MELAYU)

(Tetapi mereka tidak makan), kerana itu Ibrahim merasa takut terhadap mereka. Mereka berkata: “Janganlah kamu takut”, dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang alim (Ishak).

 

فَأَوجَسَ مِنهُم خيفَةً

Ibrahim merasa takut terhadap mereka. 

Apabila mereka tetap tidak makan, maka Nabi Ibrahim عليه السلام lama-lama bertambah ketakutan baginda. Nabi Ibrahim عليه السلام risau kerana mereka tidak makan itu kerana menjadi adat pembunuh upahan yang datang untuk membunuh seseorang di rumah orang itu, mereka tidak akan makan makanan dari rumah itu. Kerana tidak patut kalau seseorang diberi makan oleh tuan rumah tetapi kemudian menumpahkan darah orang itu. Ini adalah adab para pembunuh (pembunuh pun ada adab juga).

Jadi Nabi Ibrahim عليه السلام risau yang mereka itu datang untuk membunuh baginda.

 

قالوا لا تَخَف

Mereka berkata: “Janganlah kamu takut”, 

Para malaikat itu menenangkan hati Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka minta baginda janganlah takut. Mereka beritahu yang mereka itu adalah para malaikat sebenarnya. Mereka ada tujuan datang ke rumah baginda.

 

وَبَشَّروهُ بِغُلٰمٍ عَليمٍ

dan mereka telah memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang alim

Malaikat itu kemudian memberi berita gembira yang baginda akan mendapat anak. Dan anak itu adalah seorang yang mempunyai ilmu yang tinggi dan yang dimaksudkan adalah Nabi Ishak عليه السلام. Waktu itu Nabi Ibrahim sudah ada Nabi Ismail عليهما السلام tapi Nabi Ismail عليه السلام ada di Mekah. Ini adalah berita gembira kepada baginda dan isterinya.

Nabi Ismail عليه السلام adalah anak kepada isterinya Hajar; dan sekarang diberitahu yang isterinya Sarah pun akan dapat anak juga.


 

Ayat 29:

فَأَقبَلَتِ امرَأَتُهُ في صَرَّةٍ فَصَكَّت وَجهَها وَقالَت عَجوزٌ عَقيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his wife approached with a cry [of alarm] and struck her face and said, “[I am] a barren old woman!”

(MELAYU)

Kemudian isterinya datang memekik lalu menepuk mukanya sendiri seraya berkata: “(Aku adalah) seorang perempuan tua yang mandul”.

 

فَأَقبَلَتِ امرَأَتُهُ في صَرَّةٍ

Kemudian isterinya datang memekik

Isteri Nabi Ibrahim عليه السلام telah keluar dari dalam bilik atau dapur dan menghadapi para malaikat itu. Tidak ada hijab aurat antara malaikat dan manusia dan kerana itu isteri Nabi Ibrahim عليه السلام berani untuk keluar. Nama isteri ini adalah Sarah.

Sarah keluar dengan segera kerana dia amat terkejut dengan berita yang disampaikan itu dan dia bertanya dengan kuat kepada mereka. Jadi terbit perkataan dari mulutnya yang menunjukkan dia amat kehairanan.

Kalimah صرة dari katadasar ص ر ر yang bermaksud berterusan, keras kepala, mengerang, mengeluarkan suara. Menarik kerana kalimah صرة lebih kurang namanya juga, Sarah.

 

فَصَكَّت وَجهَها

lalu menepuk mukanya sendiri

Dia sampai menepuk dahinya kerana kehairanan. Yakni memukulkan telapak tangannya ke keningnya, menurut Imam Mujahid dan Ibnu Sabit. Ini kerana Sarah susah hendak percaya berita itu.

 

وَقالَت عَجوزٌ عَقيمٌ

seraya berkata: “(Aku adalah) seorang perempuan tua yang mandul”.

Dia hairan kerana dia adalah seorang wanita tua yang ikut logiknya sudah tidak mampu untuk mengandung dan dia memang mandul dari dahulu lagi. Jadi kalau ikut logik ada dua sebab yang tidak memungkinkan dia dapat anak lagi (tua lagi mandul).

Dalam riwayat mengatakan umurnya 90 tahun pada waktu itu. Dan Nabi Ibrahim عليه السلام pula berumur 100 tahun.


 

Ayat 30: Maka para malaikat menjawab.

قالوا كَذٰلِكِ قالَ رَبُّكِ ۖ إِنَّهُ هُوَ الحَكيمُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Thus has said your Lord; indeed, He is the Wise, the Knowing.”

(MELAYU)

Mereka berkata: “Demikianlah Tuhanmu memfirmankan” Sesungguhnya Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

 

قالوا كَذٰلِكِ قالَ رَبُّكِ

Mereka berkata: “Demikianlah Tuhanmu memfirmankan”

Malaikat berkata yang itulah yang telah ditentukan oleh Tuhan. Allah ﷻ boleh beri anak kepadanya walaupun dia seorang yang tua dan seorang yang mandul, di mana Allah ﷻ tidak perlu tukar keadaan dirinya kerana Allah ﷻ boleh buat apa-apa sahaja yang Dia hendak.

 

إِنَّهُ هُوَ الحَكيمُ العَليمُ

Sesungguhnya Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Allah ﷻ tahu bagaimana nak buat dan Allah ﷻ tahu segala sesuatu yang diperlukan. Yakni Dia Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat kemuliaan dari-Nya lagi Maha bijaksana dalam semua firman dan perbuatan-Nya.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia boleh beri balasan yang hebat kepada hambaNya yang taat. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام diberikan dengan berita baik ini. Tidak ada manusia lain yang diberitahu yang 4 keturunannya akan menjadi Nabi (Nabi Ismail, Ishak, Ya’kub dan Yusuf عليهم السلام).

 

Allahu a’lam. AKHIR JUZ 26. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s