Tafsir Surah Baqarah Ayat 187 (Boleh setubuh di malam hari)

Ayat 187: Pada zaman Nabi ﷺ, Yahudi berpuasa bermula dari malam hari. Tidak boleh makan, sampailah esoknya. Maknanya, mereka berpuasa hampir 24 jam. Sekali sahaja makan dalam sehari semasa berpuasa.

Mereka juga tidak boleh berjimak dengan isteri mereka semasa mereka berpuasa. Tidak diketahui sama ada itu adalah syari’at mereka, atau hukum yang mereka telah ubah daripada asalnya.

Maka, sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu kepada umat Islam bahawa ada perubahan daripada apa yang mereka amalkan dengan apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Sebelum ini banyak yang Allah ‎ﷻ telah bezakan amalan kita dengan Ahli Kitab. Kali ini tentang ibadat puasa pula.

أُحِلَّ لَكُم لَيلَةَ الصِّيامِ الرَّفَثُ إِلىٰ نِسائِكُم ۚ هُنَّ لِباسٌ لَّكُم وَأَنتُم لِباسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم كُنتُم تَختانونَ أَنفُسَكُم فَتابَ عَلَيكُم وَعَفا عَنكُم ۖ فَٱلـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ وَابتَغوا ما كَتَبَ اللَّهُ لَكُم ۚ وَكُلوا وَاشرَبوا حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخَيطُ الأَبيَضُ مِنَ الخَيطِ الأَسوَدِ مِنَ الفَجرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيامَ إِلَى اللَّيلِ ۚ وَلا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُم عَـٰكِفُونَ فِى ٱلمَسَـٰجِدِ‌ ۗ تِلكَ حُدودُ اللَّهِ فَلا تَقرَبوها ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Sahih International

It has been made permissible for you the night preceding fasting to go to your wives [for sexual relations]. They are clothing for you and you are clothing for them. Allah knows that you used to deceive yourselves, so He accepted your repentance and forgave you. So now, have relations with them and seek that which Allah has decreed for you. And eat and drink until the white thread of dawn becomes distinct to you from the black thread [of night]. Then complete the fast until the sunset. And do not have relations with them as long as you are staying for worship in the mosques. These are the limits [set by] Allah , so do not approach them. Thus does Allah make clear His ordinances to the people that they may become righteous.

Malay

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.

 

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ

Dihalalkan kepada kamu pada malam puasa itu;

Perkataan ‘halal’ daripada segi bahasa bermaksud merungkaikan sesuatu yang terikat sebelum itu. Apabila digunakan lafaz أُحِلَّ, ini menunjukkan bahawa sebelum ini ia adalah terlarang. Ini bermakna larangan sebelum itu telah dilepaskan. Sekarang sudah boleh buat.

Malam yang dimaksudkan adalah pada malam hari berpuasa. Iaitu sebelum esok siangnya berpuasa. Apa yang dihalalkan?

 

الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ

untuk kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu;

Ada sahabat Nabi ﷺ yang meminta supaya boleh bersetubuh dengan isteri pada malam bulan Ramadhan.

Perkataan الرَّفَثُ  berasal daripada perkataan bermaksud ‘tidak berbaju’. Perkataan ini membawa maksud hubungan seksual antara suami isteri. Apa yang boleh dilakukan di antara suami dan isteri di dalam bilik tidur mereka. Sesuatu yang tidak dilakukan di khalayak ramai.

Ia adalah bahasa kiasan. Allah ‎ﷻ tidak sebut setubuh atau ‘seks’ di dalam Al-Qur’an kerana ini adalah adab dan kerana itu Al-Qur’an ini boleh dibaca di mana-mana sahaja kerana ia tidak memalukan. Malah kalau kanak-kanak baca pun boleh.

Hukum ini berlainan dengan semasa melakukan kerja-kerja Haji. Selama melakukan kerja Haji, tidak boleh melakukan hubungan seksual walaupun pada malam hari.

Hukum berpuasa sebelum turunnya ayat ini adalah berlainan. Ada perubahan hukum selepas masa berlalu. Hukum dahulu: selepas salat Isyak, tidak boleh makan dan minum dan tidak boleh melakukan hubungan seksual suami isteri. Mereka kena tahan sampailah ke waktu Maghrib esoknya.

Ini tentunya sesuatu yang susah. Itulah sebabnya sebelum itu, diberikan pilihan kepada mereka yang mampu, untuk tidak berpuasa – mereka boleh terus bayar fidyah kerana puasa waktu itu adalah sesuatu yang amat sukar kalau dibandingkan dengan sekarang. Sekarang baru kita faham kenapa pilihan itu diberikan kepada umat waktu itu. Apabila puasa dimudahkan, pilihan fidyah itu tidak diberikan lagi.

Satu lagi sebab: memandangkan ibadat puasa merupakan suatu perkara yang besar kerana ia sesuatu yang bercanggah dengan naluri manusia yang suka makan dan minum, Allah ﷻ telah menjadikan pensyariatannya secara dua peringkat. Ini supaya manusia tidak terlalu terkejut menerimanya. Peringkat pertama: ada pilihan untuk puasa atau bayar fidyah; peringkat kedua: puasa wajib kecuali kepada mereka yang tidak mampu.

Seorang sahabat yang bernama Qais bin Sirmah al-Ansari رضي الله عنه telah berpuasa pada suatu hari dan setelah tiba waktu berbuka, beliau balik ke rumahnya dan bertanya kepada isterinya, apa yang ada untuk dimakan. Isterinya menjawab tiada makanan lagi, tetapi beliau (si isteri) akan keluar untuk mencari makanan untuk suaminya.

Qais رضي الله عنه yang telah bekerja seharian sangat kepenatan, dalam menunggu kepulangan isterinya beliau tertidur. Apabila isterinya pulang, beliau terkejut dan berasa sangat kasihan terhadap Qais رضي الله عنه yang terpaksa meneruskan puasanya sehingga keesokan harinya. Pada tengah hari esoknya Qais رضي الله عنه yang kelaparan dan keletihan telah jatuh pengsan. Peristiwa ini telah diadukan kepada Rasulullah ﷺ.

Ada satu lagi kisah Saidina Umar رضي الله عنه. Beliau memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa beliau pulang ke rumah untuk menyetubuhi isterinya tetapi isterinya telah tidur dan itu menyusahkan beliau. Maka, ada lagi sahabat-sahabat lain yang menyuarakan perkara yang sama. Maka, hukum yang baru ini telah diturunkan.

 

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ

Isteri-isteri kamu itu pakaian bagi kamu

Lelaki dibenarkan untuk bersetubuh dengan isterinya. Ini adalah keperluan hakiki bagi lelaki dan wanita. Apakah dimaksudkan yang isteri-isteri itu sebagai ‘pakaian’ untuk suami mereka?

 

وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

dan kamu adalah juga pakaian bagi isteri kamu;

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘pakaian’? Apa yang menjadikan kita cantik dan sampai membolehkan keluar rumah adalah pakaian kita.

Ia adalah juga satu kegunaan untuk memberikan kita keselesaan. Kalau sejuk, tentunya kita memerlukan pakaian.

Pakaian juga menutup aurat kita, menutup malu kita.

Pakaian juga rapat sangat dengan kita. Begitu juga dengan pasangan kita. Pasangan kita melengkapkan kita dan amat rapat dengan kita. Mereka menjadi sebahagian daripada kita. Oleh itu, pasangan kita sepatutnya mencantikkan akhlak kita dan memelihara kita daripada perkara yang buruk.

Kita boleh rasa ketenangan itu apabila kita sudah berkahwin. Kita sudah tidak nakal lagi. Kita akan rasa lebih tenang. Kalau kita nampak orang lain yang merangsang nafsu kita, kita boleh menyelesaikan keinginan itu dengan suami isteri kita. Banyak nikmat apabila kita sudah kahwin, bukan ini sahaja. Sebab itulah Nabi ﷺ menyuruh umatnya berkahwin segera.

Pakaian juga menutup kekurangan dan keburukan tubuh badan kita. Begitu juga suami isteri kena menjaga nama baik pasangan masing-masing. Janganlah jadi seperti orang perempuan yang apabila mereka bersama-sama dengan kawan-kawan mereka berborak, mereka menceritakan tentang keburukan suami mereka bersama rakan-rakan mereka. Ini adalah amat salah sekali.

Sepatutnya mereka menutup keburukan itu daripada dinampakkan kepada khalayak ramai, tetapi mereka pula yang menceritakan kepada orang lain. Itu sudah terbalik. Itu sudah memalukan suami mereka.

Sama juga dengan suami, tidak boleh buat begitu berkenaan isteri-isteri mereka. Bayangkan kalau ada orang yang mengata baju yang kita pakai itu buruk, tentunya kita marah dan akan terasa. Kita pun tidak suka. Sebab itulah kita keluar dengan memastikan pakaian kita kemas, kita seterika pakaian kita kerana pakaian itu adalah imej kita. Begitulah juga dengan pasangan kita, mereka membayangkan imej kita sebenarnya.

Sama juga, jangan cakap buruk tentang suami isteri kita depan anak-anak kita. Kalau kita buat begitu, maka anak-anak itu akan membesar dengan tidak suka kepada ayah atau ibu mereka. Itu sudah memburukkan keadaan keluarga mereka sendiri.

Mempunyai pakaian adalah kelebihan yang diberikan kepada manusia. Binatang tidak memerlukan pakaian, tetapi manusia memerlukan pakaian. Kita tidak boleh hidup tanpa pakaian. Oleh itu, sama sahaja, seorang manusia memerlukan pasangan hidup. Jangan kata kita boleh hidup sendiri.

Ada ramai yang berfikiran salah begitu. Inilah keindahan Islam kerana Islam meletakkan perkahwinan sebagai satu keperluan dalam agama. Tidak seperti agama lain seperti Kristian dan Hindu yang menyuruh ahli-ahli agama mereka untuk tidak berkahwin.

Seperti juga kita menjaga pakaian kita, kita kena pandai menjaga pasangan kita. Supaya pakaian itu tahan lama, kita kena tahu cara hendak jaga pakaian itu. Sama juga dengan pasangan kita. Untuk kekal lama berpasangan, kita kena jaga perhubungan itu. Seperti juga kita kena pandai memilih pakaian kita sebelum kita pakai, kita juga kena pandai memilih pasangan yang sesuai untuk kita sebelum kita kahwini mereka.

Lihatlah bagaimana ayat ini pendek sahaja, namun banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya. Itulah pentingnya belajar tafsir supaya kita mendapat pengajaran-pengajaran seperti ini.

Oleh itu, suami dan isteri itu amat rapat antara satu sama lain. Mereka tinggal bersama dan makan bersama dan macam-macam lagi. Oleh itu, amat susah kalau sepanjang bulan puasa itu mereka tidak boleh mengadakan hubungan seksual. Kalau sentiasa bersama, tiba-tiba tersentuh, susah pula nanti.

 

عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ

Allah Maha Mengetahui bahawasanya kamu telah mengkhianati diri-diri kamu;

Perkataan تَخْتَانُونَ diambil daripada katadasar خ و ن  yang bermaksud ‘khianat’, menipu. Apabila ada huruf ت yang berada di tengah perkataan تَخْتَانُونَ  itu, ianya membawa maksud ‘sangat-sangat khianat’. Iaitu apabila seseorang telah memberikan amanah kepada kita, tetapi kita tidak menjaganya dengan baik.

Iaitu apabila kita menipu dalam menjaga amanah itu. Merujuk kepada tidak melakukan tugas yang telah diamanahkan. Sebagai contoh, seorang guru suruh kita membaca buku tujuh kali tetapi kita tidak melakukannya.

Ada sahabat yang tidak dapat menahan nafsu, mereka berpuasa pada siang hari, tetapi pada waktu malam puasa pun mereka telah melakukan hubungan kelamin dengan isteri mereka. Mereka dahulu mengamalkan puasa macam Yahudi juga – tidak boleh mencampuri isteri di malam hari. Tetapi oleh kerana tidak dapat tahan, maka mereka buat juga. Maknanya, mereka melanggar hukum (khianat).

Selalunya orang yang melakukan khianat itu akan kata perkara yang mereka lakukan itu tidak salah. Mereka memperkecilkan kesalahan yang mereka lakukan.

Allah ‎ﷻ kata Allah ‎ﷻ tahu apa yang manusia buat walaupun mereka buat dalam senyap atau di malam hari. Apa sahaja yang kita lakukan pasti diketahui oleh Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ kata mereka mengkhianati ‘diri’ mereka sendiri. Mereka sangka mereka mengkhianati Allah ‎ﷻ, tetapi sebenarnya mereka mengkhianati diri mereka sendiri. Mereka menipu orang lain dengan menunjukkan diri mereka baik. Depan orang lain, mereka berlakon baik tetapi sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri kerana mereka tidak perasan bahawa mereka yang akan menerima akibatnya, bukan orang lain.

 

فَتَابَ عَلَيْكُمْ

maka Allah terima taubat kamu

Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka dan kemudian Allah ‎ﷻ membenarkan mereka mencampuri isteri-isteri mereka pada malam hari. Allah ‎ﷻ telah menukar hukum yang sebelum itu dengan memberi hukum yang baru.

 

وَعَفَا عَنْكُمْ

dan memaafkan kamu;

Allah ‎ﷻ memaafkan kesalahan mereka dahulu. Maka oleh kerana perbuatan sahabat itu, sampai sekarang kita dibenarkan untuk menggauli isteri kita pada malam hari puasa itu. Namun kita kena sedar, jangan kata teruk sangat sahabat itu kerana bukan semua sahabat buat begitu. Hanya beberapa orang sahaja.

Kita juga kena ingat bahawa apa yang mereka lalui itu adalah perkara yang susah, kalau kita pun lagi tidak tahan. Jangan kita sangka para sahabat itu adalah orang yang teruk. Janganlah ada perasaan begitu.

Kita kena sedar bahawa mereka itu adalah insan terpilih yang Allah ‎ﷻ telah pilih untuk menjadi sahabat Nabi ﷺ. Apa yang mereka lakukan menjadi contoh bagi kita. Kalau mereka tidak buat salah langsung, bagaimana kita akan tahu apakah kesalahan-kesalahan dalam Islam?

Allah ‎ﷻ telah memaafkan mereka. Ada pendapat yang mengatakan tidak ada kesalahan pun kalau bersama dengan isteri di malam hari. Ia hanya direka oleh orang Yahudi. Jadi kalau begitu, kenapa Allah ‎ﷻ memaafkan mereka yang mencampuri isteri mereka di malam hari padahal bukan buat salah pun?

Yang tidak membenarkan mencampuri isteri di malam hari adalah Yahudi dan bukan benar pun apa hukum yang mereka tetapkan itu. Tetapi Allah ‎ﷻ kata Dia telah memaafkan kerana pada mereka, mereka telah buat salah. Jadi mereka rasa bersalah. Pada diri mereka, mereka telah menipu. Perasaan mereka walaupun salah, Allah ‎ﷻ sudah maafkan.

Sudahlah Allah ‎ﷻ ampunkan, tetapi Allah ‎ﷻ maafkan lagi. عَفَا bermaksud memaafkan dalam sifat kasih sayang.

 

فَٱلـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ

Maka sekarang ini, campurilah mereka;

Maka, bermula dari hari itu, bolehlah bersetubuh pada malam hari. Jangan risau untuk bersama dengan isteri, memang tidak salah pun.

Perkataan بَاشِرُوهُنَّ itu dari katadasar ب ش ر yang bermaksud ‘manusia’, berita gembira, kulit manusia. Kulit manusia berbeza dengan kulit binatang lain. Jadi, perkataan بَاشِرُ bermaksud kulit yang bersentuhan, yang membawa maksud bersetubuh antara lelaki dan perempuan. Ini juga adalah bahasa kiasan yang Allah ‎ﷻ gunakan kerana beradab.

وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ

dan carilah apa yang Allah telah kurniakan untuk kamu;

Carilah kurnia Allah ‎ﷻ dalam bentuk pahala yang banyak pada malam puasa. Perbuatan hubungan suami isteri adalah satu ibadah kerana Allah ‎ﷻ telah membenarkan kita melakukannya.

Apabila ini diberitahu kepada para sahabat, mereka kehairanan: Bagaimana memuaskan nafsu boleh mendapat pahala pula? Maka, Nabi ﷺ kata, kalau seseorang itu memuaskan nafsunya dengan jalan yang salah, bukankah dia akan mendapat dosa? Lalu, bagaimana kalau dia melakukannya dengan cara yang halal? Tentulah dapat pahala pula.

Jadi, perbuatan biasa kita seharian juga boleh mendatangkan pahala apabila kita melakukannya dengan cara yang halal. Iaitu dengan cara yang Allah ‎ﷻ telah benarkan.

Kadang-kadang dalam perkahwinan, ada suami atau isteri yang tidak ada semangat untuk ‘bersama’. Kadang-kadang tengah penat atau tidak berapa sihat. Ayat ini mengajar kita bahawa walaupun mereka tidak suka, tetapi mereka kena tahu bahawa perbuatan itu adalah halal dan boleh mendatangkan pahala kepada mereka.

Dari Abu Dzar Al-Ghifari, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ « أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ »

“Hubungan badan antara kalian (dengan isteri atau hamba sahaya kalian) adalah sedekah. Para sahabat lantas ada yang bertanya pada Rasul shallallahu ‘alaihi wa sallam, ‘Wahai Rasulullah, apakah dengan kami mendatangi isteri kami dengan syahwat itu mendapatkan pahala?’ Baginda menjawab, ‘Bukankah jika kalian bersetubuh pada yang haram, kalian mendapatkan dosa. Oleh kerananya jika kalian bersetubuh pada yang halal, tentu kalian akan mendapatkan pahala.’” Muslim no. 1006

Mereka kena tahu bahawa ia adalah satu ibadah juga. Perhubungan kelamin antara suami isteri adalah satu perbuatan yang amat indah. Ia dapat mengeratkan hubungan suami isteri. Kalau sudah lama tidak ‘bersama’, akan ada masalah antara suami isteri itu.

‘Cari kurnia Allah’ di sini adalah juga bermaksud cari untuk mendapatkan anak. Ini bermaksud tujuan berhubungan kelamin itu adalah untuk mendapatkan anak selain daripada mendapatkan kepuasan nafsu. Kita kena tahu bahawa keinginan untuk mendapatkan anak telah ditanam dalam diri setiap manusia.

Sekarang banyak manusia yang kata mereka tidak mahu anak. Itu bermaksud mereka telah menentang keinginan naluri semulajadi yang telah diletakkan dalam diri mereka. Maka, kita jangan jadi begitu, kita kena ada niat dan berkeinginan untuk mendapatkan anak.

Jangan kita berkahwin semata-mata untuk melampiaskan nafsu sahaja kerana ada yang kahwin, tetapi mereka membuat keputusan bersama untuk tidak mendapatkan anak. Ini adalah salah.

 

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Dan makanlah dan minumlah;

Iaitu boleh makan dan minum pada waktu malam kerana sebelum tu, buka puasa dan sahur sekali sahaja pada waktu yang pendek sahaja. Sekarang sepanjang malam sudah boleh makan.

Allah ‎ﷻ kena cakap kepada para sahabat kerana mereka ada yang tidak makan langsung, hendak buat ibadat sahaja. Pada mereka, kerana itu bulan yang mulia, mereka kena tumpukan pada amal ibadat sahaja. Mereka hendak beribadat berlebihan. Allah ‎ﷻ kena suruh mereka makan dan minum. Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk seimbangkan antara akhirat dan dunia.

 

حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

sehingga jelas nyata bagi kamu ‘benang putih’ dari ‘benang hitam’ daripada waktu fajar;

Kita boleh makan dan minum sehingga dapat bezakan antara malam dan siang. Iaitu apabila subuh sudah masuk. Dinamakan ‘benang’ kerana bentuknya panjang sepanjang ufuk. Dapat dibezakan dengan senang kerana boleh nampak dengan mata.

Cuma sekarang kita telah bergantung sangat kepada jam, sampaikan kita tidak tengok alam seperti yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Maka, seeloknya kita sekali-sekala tengok alam.

Ada sahabat yang tidak faham tentang perkara ini. Sampaikan ada yang meletakkan benang hitam dan benang putih bawah bantal. Dia tengok sampai nampak jelas perbezaan antara keduanya. Itu adalah kerana mereka tidak faham.

Nabi ﷺ kemudian telah menjelaskan apakah maksudnya iaitu ia bermaksud fajar. Ini adalah contoh bagaimana ayat Al-Qur’an menjelaskan ayat Al-Qur’an yang lain. Dalam contoh ayat ini, penjelasan itu diberikan dalam ayat itu sendiri. Kadang-kadang, penjelasan tentang sesuatu makna ayat Al-Qur’an dijelaskan dengan ayat Al-Qur’an yang lain di dalam surah yang lain. Untuk tahu, kenalah belajar tafsir di mana ia akan dijelaskan.

Ini seperti yang disebutkan di dalam hadith riwayat Imam Abu Abdullah Al-Bukhari رحمه الله:

حَدَّثَنَا ابن أبي مَرْيَمَ، حَدَّثَنَا أَبُو غَسَّان مُحَمَّدُ بْنُ مُطَرِّف، حَدَّثَنِي أَبُو حَازِمٍ، عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ، قَالَ: أُنْزِلَتْ: {وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ} وَلَمْ يُنزلْ {مِنَ الْفَجْرِ} وَكَانَ رِجَالٌ إِذَا أَرَادُوا الصَّوْمَ، رَبَطَ أحدُهم فِي رِجْلَيْهِ الْخَيْطَ الْأَبْيَضَ وَالْخَيْطَ الْأَسْوَدَ، فَلَا يَزَالُ يَأْكُلُ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُ رُؤْيَتَهُمَا، فَأَنْزَلَ اللَّهُ بَعْدُ: {مِنَ الْفَجْرِ} فَعَلِمُوا أَنَّمَا يَعْنِي: اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

Telah menceritakan kepadaku Ibnu Abu Maryam, telah menceritakan kepada kami Abu Gassan (yakni Muhammad ibnu Mutarrif), telah menceritakan kepada kami Abu Hazim, dari Sahl ibnu Sa’d yang mengatakan bahawa ketika ayat berikut ini diturunkan: Dan makan minumlah hingga jelas bagi kalian benang putih dari benang hitam. (Al-Baqarah: 187) Sedangkan kelanjutannya masih belum diturunkan, iaitu firman-Nya: Iaitu fajar. (Al-Baqarah: 187) Maka orang-orang apabila hendak berpuasa, seseorang dari mereka mengikatkan benang putih dan benang hitam pada kakinya; dia masih tetap makan dan minum hingga tampak jelas baginya kedua benang itu. Lalu Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: Iaitu fajar. (Al-Baqarah: 187) Maka mengertilah mereka bahawa yang dimaksudkan dengan istilah benang putih dan benang hitam ialah malam dan siang hari. (HR al-Bukhari (Sahih no.1917 dan 4511))

Ini juga menunjukkan bahawa sahabat juga memerlukan penjelasan daripada Nabi ﷺ untuk memahami Al-Qur’an. Kalau Nabi ﷺ tidak jelaskan, maka sahabat yang mahir bahasa Arab pun tidak tahu. Satu lagi hadith tentang perkara ini:

 قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هُشَيم، أَخْبَرَنَا حُصَين، عَنِ الشَّعْبِيِّ، أَخْبَرَنِي عَديّ بْنُ حَاتِمٍ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ} عَمَدت إِلَى عِقَالَيْنِ، أحدُهما أَسْوَدُ وَالْآخَرُ أَبْيَضُ، قَالَ: فَجَعَلْتُهُمَا تَحْتَ وِسَادَتِي، قَالَ: فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهِمَا فَلَا تَبَيَّن  لِي الْأَسْوَدُ مِنَ الْأَبْيَضِ، وَلَا الْأَبْيَضُ مِنَ الْأَسْوَدِ، فَلَمَّا أَصْبَحْتُ غَدَوْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرْتُهُ بِالَّذِي صَنَعْتُ. فَقَالَ: “إِنَّ وِسَادَكَ إِذًا لَعَرِيضٌ، إِنَّمَا ذَلِكَ بَيَاضُ النَّهَارِ وَسَوَادُ  اللَّيْلِ”

Imam Ahmad mengatakan,  telah menceritakan kepada kami Hisyam, telah menceritakan kepada kami Husain, dari Asy-Sya’bi, telah menceritakan kepadaku Addi ibnu Hatim yang mengatakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, yakni firman-Nya: dan makan minumlah hingga jelas bagi kalian benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. (Al-Baqarah: 187) (Addi ibnu Hatim berkata), “Maka aku sengaja mencari dua buah tali, yang satu berwarna hitam, sedangkan yang lain berwarna putih; lalu aku letakkan di bawah bantalku, dan aku tinggal melihat keduanya. Dan ketika tampak jelas di mataku perbezaan antara benang putih dan benang hitam, maka aku mulai imsak (menahan diri). Pada keesokan harinya aku datang menghadap Rasulullah ﷺ, lalu aku ceritakan kepadanya apa yang telah kulakukan itu, maka baginda bersabda: ‘Sesungguhnya bantalmu kalau demikian benar-benar lebar. Sesungguhnya yang dimaksudkan dengan demikian itu hanyalah terangnya siang hari dan gelapnya malam hari’.”  (HR al-Bukhari (Sahih no.1916); Muslim (Sahih no.1090); Abu Daud (Sunan no.2349); at-Tirmizi (Jami’ no.2971) dengan sedikit perbezaan; an-Nasai (Sunan no.2169) secara ringkas dan Ahmad (Musnad no.19730) dengan lafaz ini).

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa kita boleh makan sahur sampailah masuk waktu subuh. Tetapi di negara ini dan negara-negara lain juga, ada yang mengajar umat Islam tentang ‘Waktu Imsak’. Mereka kata kena berhenti makan dalam sepuluh minit sebelum waktu subuh.

Itu tidak berdasarkan mana-mana dalil yang sahih. Mereka telah mencipta satu hukum baru yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Mereka juga telah melanggar hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ yang disampaikan dalam Al-Qur’an sendiri. Maka, janganlah kita pegang pendapat yang mengatakan ada ‘waktu Imsak’ itu.

Ayat ini juga menunjukkan kepentingan sahur. Ramai dalam kalangan kita yang malas hendak bersahur kerana malas hendak bangun pagi. Tetapi ada keberkatan dalam sahur yang rugi kalau ditinggalkan. Seperti sabda Nabi ﷺ:

Di dalam kitab Sahihain, dari Anas رضي الله عنه disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحور بَرَكَةٌ”

Bersahurlah kalian, kerana sesungguhnya di dalam sahur terkandung barakah. (HR al-Bukhari (Sahih no.1923); Muslim (Sahih no.1095) dan Ibnu Hibban (Sahih no.3466))

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan dari Amr ibnul As رضي الله عنه yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

إن فَصْل مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَر”

Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur. (HR Muslim (Sahih no.1096); Abu Daud (Sunan no.2343); dan al-Tabarani (al-Mu’jam al-Ausat 3/305))

Semoga kita mendapat semangat untuk bangun sahur selepas ini.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ عِيسَى هُوَ ابْنُ الطَّبَّاعِ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “السَّحور أكْلُهُ بَرَكَةٌ؛ فَلَا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ يَجْرَع جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Isa (yaitu Ibnut Tabba’), telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Zaid, dari ayahnya, dari Ata ibnu Yasar, dari Abu Sa’id yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Sahur adalah makanan yang mengandung berkah, maka janganlah kalian meninggalkannya, sekalipun seseorang di antara kalian hanya meminum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah ‎ﷻ dan para malaikat-Nya berselawat untuk orang-orang yang makan sahur. (HR Ahmad (Musnad no.11086, 11101 dan 11396) dengan lafaz ini; Ibnu Abu Syaibah (Musannaf no.9013); dan al-Tabarani (al-Mu’jam al-Ausat no.8064) secara ringkas. Sahih menurut Ahmad Syakir, al-Arnaut, al-Dimyati dan as-Suyuti)

Hendaklah diingat yang sahur itu kena dilakukan waktu sahur, iaitu dalam sepertiga akhir malam. Ramai yang ‘sahur’ malam hari dan terus tidur sampai subuh. Itu bukan ‘sahur’, tetapi itu adalah ‘supper’.

 

ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Kemudian kamu sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam;

Tahanlah diri daripada makan dan minum sehingga masuk waktu maghrib. Jangan jadi macam Syiah yang ikut Yahudi – sudah keluar bintang baru mereka boleh buka puasa. Itu adalah fahaman yang sesat.

Allah ‎ﷻ suruh kita ‘sempurnakan’ dengan melakukan perkara-perkara yang disuruh dan dibenarkan. Jadi kena tahu apakah yang dibenarkan dan disuruh dalam hal puasa.

 

 وَلَا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَـٰكِفُونَ فِي ٱلمَسَـٰجِدِ‌ۗ

Dan janganlah kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu ketika kamu beriktikaf dalam masjid;

‘Iktikaf’ bermaksud berada dalam keadaan keseorangan dan sedang melakukan sesuatu tanpa gangguan. Kita tinggal di satu tempat dan tidak meninggalkannya walaupun seminit. Atau kita buat sesuatu dan tidak berhenti walaupun seminit.

Inilah yang dilakukan oleh orang Islam dengan berada di dalam masjid dengan tujuan beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Dilakukan dalam 10 hari (siang malam) terakhir bulan Ramadhan.

Tujuan iktikaf adalah untuk beribadat. Ini bermakna iktikaf tidak boleh dilakukan di rumah. Hanya dilakukan di masjid kerana waktu itu kita hanya beribadat sahaja – antaranya salat dan salat kena buat secara berjama’ah. Itu kena dilakukan di masjid.

Ibadat semasa berada dalam iktikaf itu boleh jadi macam-macam – zikir, salat, baca Al-Qur’an dan sebagainya. Kalau penat, boleh tidur.

Waktu itu tidak boleh ada hubungan kelamin dengan isteri-isteri. Kalau kita sedang iktikaf, tidak boleh balik rumah sekejap untuk bersama dengan isteri.

Daripada ayat ini, kita dapat tahu bahawa iktikaf itu dilakukan di masjid, bukan di rumah. Kita memang tahu ada pendapat dari Imam Abu Hanifah رحمه الله yang mengatakan perempuan boleh iktikaf di ruang rumah mereka, tetapi daripada ayat ini, dengan jelas mengatakan yang iktikaf itu di masjid. Maka pada lelaki, hendaklah iktikaf di masjid.

 

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ

Itulah dia batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah;

Allah ‎ﷻ yang telah tetapkan, bukan orang lain. Maka kenalah ikut. Begitulah dengan hukum dalam agama, kena dapatkan nas dari Allah ‎ﷻ yang disampaikan melalui Rasul-Nya.

Hudud ada dua jenis: satu, yang menyekat yang luar daripada masuk. Ini adalah larangan-larangan yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan – yang haram. Kita tidak dibenarkan langsung melakukannya.

Yang kedua adalah menyekat yang dalam daripada keluar. Itu adalah arahan-arahan Allah ‎ﷻ. Ini kena buat.

 

فَلَا تَقْرَبُوهَا

makan jangan kamu hampirinya;

Jangan fikir pun hendak buat. Jangan fikir pun langsung untuk buat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah ‎ﷻ.

 

كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنَّاسِ

Demikianlah Allah telah menjelaskan tanda-tanda-Nya kepada manusia;

Allah ‎ﷻ kata ‘kepada manusia’, bukan kepada orang Islam sahaja. Hendak diberitahu kepada semua manusia bahawa beginilah cara untuk berpuasa. Termasuk kepada Ahli Kitab. Hendak diberitahu kepada mereka bahawa inilah cara berpuasa yang sepatutnya. Bukan macam yang mereka lakukan sekarang.

 

لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

mudah-mudahan mereka bertaqwa.

Seperti telah disebutkan di awal suruhan berpuasa, tujuannya adalah supaya kita boleh mendapat taqwa. Sekarang, di hujung ayat tentang puasa, diingatkan kembali tentang taqwa.

Sebelum ini telah disebut bahawa ayat ini untuk semua manusia. Semoga yang bukan Islam pun masuk Islam juga akhirnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Januari 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s