Tafsir Surah Ali Imran Ayat 27 – 29 (Asas Kesetiaan (Wala’) dan Pengabdian Hakiki Kepada Allah)

Ali Imran Ayat 27:

تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ ۖ وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ ۖ وَتَرزُقُ مَن تَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

SAHIH INTERNATIONAL
You cause the night to enter the day, and You cause the day to enter the night; and You bring the living out of the dead, and You bring the dead out of the living. And You give provision to whom You will without account.”

MALAY
“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

 

تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ

“Engkaulah (wahai Tuhan) yang menyumbat waktu malam ke dalam waktu siang, 

Allah ‎ﷻ berkuasa melakukan apa sahaja, termasuklah untuk menukar kejadian siang dan malam. Ada kala malam ‘disumbat’ masuk dalam siang sampai malam jadi panjang.

Perkataan تولِجُ bukan bermaksud ‘masukkan’ tapi ‘menyumbat’. Bayangkan kita menyumbat pakaian kita ke dalam beg yang sudah sendat.

 

وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ

dan Engkaulah yang menyumbatkan waktu siang ke dalam waktu malam.

Allah ‎ﷻ boleh menyumbatkan siang ke dalam waktu malam sampai siang menjadi panjang.

Kejadian ini kita boleh lihat di negara-negara yang ada banyak musim. Kadang-kadang tempoh waktu malam menjadi panjang dan kadang-kadang tempoh waktu siang menjadi panjang oleh kerana peredaran musim sepanjang tahun. Itu semua Allah‎ ﷻ yang mengaturkannya.

Sebagaimana Allah ‎ﷻ mengatur peredaran musim, Allah ‎ﷻ juga mengatur peredaran kekuasaan manusia. Ada yang hamba menjadi raja dan ada raja Allah ‎ﷻ turunkan menjadi hamba. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tapi akhirnya Allah boleh jatuhkan sahaja dengan mudah.

 

وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ

Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, 

Allah ‎ﷻ juga boleh bawa keluar kehidupan daripada kematian. Dari benda yang mati, boleh keluar sesuatu yang hidup. Contohnya, daripada air mani yang mati, Allah ‎ﷻ boleh jadikan manusia; daripada telur ayam yang mati, Allah ‎ﷻ boleh keluarkan anak ayam; dan banyak lagi contoh.

Ini juga imbalan bagaimana dari negeri Mekah yang mati tauhid dan akidah itu, lahir seorang Nabi dan umat yang menegakkan hukum tauhid. Hasilnya mereka ‘hidup’ dengan beragamakan ajaran tauhid.

 

وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ

dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup.

Allah‎ ﷻ juga boleh keluarkan mati daripada kehidupan. Iaitu apabila telah sampai masa, setiap makhluk akan mati.

Ia juga bermaksud, daripada binatang yang hidup seperti ayam, boleh keluarkan telur ayam yang mati.

Ada juga yang berpendapat, maksud ayat ini adalah Allah ‎ﷻ boleh jadikan seorang mukmin dari keluarga yang kafir dan menjadikan orang kafir daripada keluarga yang mukmin kerana orang yang benar-benar beriman adalah dari hatinya yang beriman. Bukanlah keluarganya yang menentukan imannya. Akan tetapi tentu kalau keluarga beriman, akan lebih mudah mengeluarkan anak yang beriman.

Allah ‎ﷻ juga boleh keluarkan anak yang pandai daripada ayah yang bodoh, dan anak yang bodoh daripada ayah yang pandai. Kepandaian dan kebodohan tidak ada di dalam DNA kita. Ia adalah rezeki daripada Allah ‎ﷻ yang dibantu oleh kehendak dan usaha kita.

 

وَتَرزُقُ مَن تَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

Allah ‎ﷻ memberi rezeki tidak terhitung banyaknya kepada makhluk. Allah ‎ﷻ tidak mengira berapa banyak Dia beri sebab sebanyak mana pun diberi, langsung tidak merugikan diri-Nya.

Ayat ini adalah doa yang hebat. Apabila kita faham ayat ini dan kita baca dalam doa kita, ia akan ingatkan kita supaya tidak terumbang ambing dengan perubahan keadaan dan suasana dalam dunia ini. Kita akan terbangkit rasa tauhid, iaitu ingat dan sedar bahawa segalanya dalam kekuasaan Allah ‎ﷻ dan tidak ada elemen dan entiti lain yang boleh menentukan sebaliknya.

Maka kita akan bersyukur apabila Allah ‎ﷻ beri nikmat kepada kita dan bersabar apabila Allah ‎ﷻ cabut nikmat itu. Kerana kita sedar yang semua itu di dalam ketentuan Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻ uji kita dengan berbagai cara.

Selepas kita membaca lafaz ayat ini, boleh kita bacakan doa apa sahaja kehendak kita. Ini kerana dalam berdoa, kita harap kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Bila pengharapan kita lebih tinggi kepada Allah ﷻ, maka doa kita lebih mudah dimakbulkan. Sebagai contoh ada disebut di dalam hadis, diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah bersabda kepada Mu’adh bin Jabal r.a.:

أَلَا أُعَلِّمُكَ دُعَاءً تَدْعُو بِهِ لَوْ كَانَ عَلَيْكَ مِثْلُ جَبَلِ أُحُدٍ دَيْنًا لَأَدَّاهُ اللَّهُ عَنْكَ؟ قُلْ يَا مُعَاذُ:اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. رَحْمَنَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَرَحِيمَهُمَا، تُعْطِيهِمَا مَنْ تَشَاءُ وَتَمْنَعُ مِنْهُمَا مَنْ تَشَاءُ، ارْحَمْنِي رَحْمَةً تُغْنِينِي بِهَا عَنْ رَحْمَةِ مَنْ سِوَاكَ
Mahukah aku ajarkan kepadamu suatu doa yang jika engkau membacanya, sekiranya engkau mempunyai hutang sebesar gunung Uhud, nescaya Allah akan melunaskannya bagimu? Katakanlah wahai Mu’adh:(Wahai Allah, Pemilik Mutlak Segala Kekuasaan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan-Mulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Wahai Yang Maha Pemurah di dunia dan akhirat serta Maha Penyayang bagi kedua-duanya, Engkau memberikan kedua-duanya kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan menghalangnya daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Rahmatilah aku dengan rahmat-Mu yang dengannya mencukupkan aku daripada memerlukan rahmat selain daripada-Mu).”

Nota: Hadis ini direkodkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir, no. 558 dan al-Mu’jam al-Kabir, jilid 20, no. 323). Sanad (rantaian perawi) asal hadis ini dalam kitab al-Tabarani sebenarnya mempunyai sedikit kelemahan pada perawinya (dhaif). Bagaimanapun, status hadis ini dinaikkan kepada Hasan atas faktor berikut adanya Jalur Penguat (Mutaba’at & Syawahid). Hadis dengan teks yang hampir serupa turut diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak. Imam al-Hakim menilai hadis ini sebagai sahih, dan dipersetujui oleh Imam al-Dzahabi. Tokoh ulama hadis zaman moden, Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, telah meneliti jalur-jalur riwayat ini dan mengkategorikannya sebagai Hasan di dalam kitabnya, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (no. 1821).

Berharaplah sahaja kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh, dalam mendapatkan rezeki pun kena berharap kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan bergantung kepada makhluk walaupun kita mungkin berniaga atau bekerja makan gaji. Namun pelanggan dan gaji itu semua adalah dalam tangan Allah ﷻ. Kita telah baca sebelum ini bagaimana semua kuasa-kuasa dan kejadian-kejadian itu Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh buat, maka minta kepada Allah ‎ﷻ lah sahaja.


 

MENGAMBIL ORANG KAFIR SEBAGAI WALI

Ali Imran Ayat 28:

لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۖ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ

SAHIH INTERNATIONAL
Let not believers take disbelievers as allies rather than believers. And whoever [of you] does that has nothing with Allah , except when taking precaution against them in prudence. And Allah warns you of Himself, and to Allah is the [final] destination.

MALAY
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

 

لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. 

Ini adalah undang-undang kejayaan. Dalam kehidupan dunia, orang tauhid patutnya tidak berkawan baik dengan orang yang berakidah syirik. ‘Wali’ dalam ayat ini bermaksud kawan rapat yang kita harapkan bantuan mereka dalam kesusahan.

Ayat ini awal sekali diterima oleh para sahabat. Pada zaman sahabat, tentunya mereka banyak bersahabat dengan rakan mereka yang sama-sama musyrik dengan mereka dahulu. Arab Madinah pula sudah lama berbaik dengan puak Yahudi. Tentu susah hendak meninggalkan kawan-kawan musyrik mereka itu sebab sudah lama kenal dan berkawan dengan mereka. Islam beritahu yang boleh kawan biasa sahaja dengan mereka tetapi jangan jadikan mereka sebagai wali.

Islam tidaklah melarang berkenalan dan berbaik dengan non-Muslim. Tapi untuk hidup berkawan, ada cara-caranya yang diajar dalam Islam:

Pertama, berkawan atas dasar sahabat sesama Muslim iaitu mereka yang sama akidah dan mengamalkan syari’at yang sama dengan kita. Ini adalah persahabatan yang terbaik. Perhubungan ini dinamakan muwallat – tunjuk baik luar dan dalam.

Kedua, yang dinamakan muwlasat, iaitu kita berhubungan dengan orang lain atas dasar untuk tolong orang susah. Tidak semestinya yang ditolong itu akidahnya kena betul baru kita kena tolong. Jadi kalau kita hendak menolong orang kafir, sama-sama buat kebaikan dengan mereka, ini tidak mengapa. Islam tidak melarang dalam hal ini, malah Islam menganjurkan.

Ketiga, dinamakan mudharat. Ini adalah apabila luaran kita tunjuk baik dengan orang yang berlainan akidah, tetapi dalam hati kita, kita marah kerana dalam keadaan tertentu kena tunjuk baik walaupun kita tidak suka. Ini juga penting untuk dilakukan supaya suatu hari nanti, kita dapat dekatkan dia dengan agama.

Namun begitu, janganlah kita ikut dia buat maksiat pula. Janganlah sampai begitu. Patutnya kita boleh tegur dia atas kesalahan dia, tetapi kita tangguhkan teguran itu kerana kita simpan teguran itu pada satu masa lain yang sesuai. Tegur tetap kena tegur, cuma kita tangguhkan sahaja. Ini kerana hendak menegur waktu itu mungkin tidak sesuai kerana susah hendak faham, terutama apabila memerlukan masa yang lama untuk menjelaskan sesuatu permasalahan agama.

Contohnya hendak jelaskan tentang konsep syirik dan bid’ah, tentu memakan masa kalau hendak beritahu kepada mereka yang tidak faham lagi. Kita tidak boleh menegur pada waktu itu kerana hati mungkin tengah marah dan kita tidak redha dengan apa yang orang itu lakukan.

Lainlah kalau kesalahan itu jelas sangat, maka kena tegur pada waktu itu juga. Contohnya, kalau dia sedang berzina atau mencuri, maka tidak boleh ditunggu lagi, hendaklah ditegur terus sebab sudah jelas kesalahan itu.

Oleh itu, berbuat baik dan bersahabat yang sepatutnya adalah sesama Mukmin, bukan dengan orang kafir kecuali kalau keadaan mudharat, iaitu kalau kita tidak berbaik dengan dia, maka boleh menyusahkan kita.

Kalau dengan non-Muslim, kita berkawan biasa-biasa sahaja. Bukanlah kita sentiasa berkepit dengan dia ke mana-mana dan kita menceritakan segala rahsia dan kesusahan kita kepadanya. Itu kita lakukan kepada orang Mukmin kerana mereka boleh beri nasihat berdasarkan agama, bukannya nafsu semata-mata seperti non-Muslim.

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ

Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia daripada Allah dalam sesuatu apapun

Yang tidak boleh adalah muwalat – berbaik luar dan dalam dengan orang kafir. Muwalat itu kita berbaik dengan orang dan dalam hati pun kasih juga kerana sesama Muslim dan sama akidah dan sama-sama mengikut sunnah. Zahir dan batin kita muliakan dia. Dengan orang kafir tidak boleh kerana kalau kita buat, dikutuk oleh Allah ‎ﷻ.

Sesiapa yang buat begitu, dia tidak ada dalam agama Allah ‎ﷻ walau sedikit. Ini kerana dia dikira redha kepada kekufuran yang dilakukan oleh kawan mereka yang kufar itu. Padahal apabila kita rapat dengan seseorang, kita kena tegur dan ajak dia ke arah kebaikan. Namun adakah kita lakukan begitu dengan orang bukan Islam?

 

إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً

kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka

Melainkan jika mudharat untuk melindungi diri daripada bahaya mereka iaitu perkara itu tidak dapat dielakkan. Contohnya mereka itu pemimpin, ketua kita di tempat kerja, rakan sekerja kita dan sebagainya.

Mereka itu tidak boleh dijadikan sebagai pelindung kita, tetapi bolehlah ada hubungan dengan mereka. Maka kalau kerajaan Islam adakan “peace treaty” dengan Amerika adalah dibolehkan, tetapi jangan jadikan Amerika sebagai pelindung kita.

Begitu juga di dalam negara kita, ada yang non-Muslim menjadi pemimpin negara. Kita tetap kena hormati mereka sebagai pemimpin yang dilantik. Namun begitu, kalau boleh, janganlah kita pula melantik mereka kerana pemimpin sepatutnya adalah dalam kalangan orang Islam.

Maka dalam pilihanraya, kita kena pilih pemimpin yang Muslim, tidak kira dari mana parti politiknya.

 

وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ

Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap diri-Nya

Allah ‎ﷻ ajar supaya kenal Dia dan kenal sifat-Nya. Kena ambil tahu tentang Allah ‎ﷻ. Kena letak Allah ‎ﷻ di hadapan dalam membuat keputusan. Jadi kena pegang hukum yang Allah ‎ﷻ letak. Kena takut Allah ‎ﷻ lebih daripada takut kepada makhluk.

 

وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ

Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

Kalimah المصير adalah tempat akhir kita. Setelah pergi merata-rata, akhirnya pergi ke satu tempat sebagai destinasi akhir kita. Maka ingatlah yang akhirnya kita akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kita. Apa yang kita hendak jawab kalau perbuatan kita tidak taat kepada-Nya?


 

ILMU ALLAH YANG LUAS

Ali Imran Ayat 29:

قُل إِن تُخفوا ما في صُدورِكُم أَو تُبدوهُ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَيَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Say, “Whether you conceal what is in your breasts or reveal it, Allah knows it. And He knows that which is in the heavens and that which is on the earth. And Allah is over all things competent.

MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

قُل إِن تُخفوا ما في صُدورِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu

Sama sahaja pada Allah ‎ﷻ, apa sahaja yang kita lakukan dan rasa, Dia Maha Mengetahui. Sama ada muwallat, muwassat dan mudharat nampak pada luaran sama sahaja, namun apa yang ada di dalam dada kita, Allah ‎ﷻ tahu. Orang nampak kita layan seseorang itu sama sahaja, tetapi dalam hati kita, mereka tidak tahu dan yang dikira adalah pada dalaman kita iaitu apakah niat kita.

 

 أَو تُبدوهُ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ

atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; 

Sama sahaja kepada Allah ‎ﷻ, kerana Ilmu-Nya sempurna. Kalau dalam hati pun Allah ‎ﷻ tahu, tentulah Allah ﷻ juga tahu yang dilahirkan oleh mulut kita.

 

وَيَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam dada kita, segala yang terjadi di langit dan bumi pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Tidak ada perkara yang berlaku tanpa pengetahuan-Nya. Malah apa sahaja yang berlaku adalah kerana izin-Nya.

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Bukan sahaja ilmu Allah‎ ﷻ sempurna, kuasa Allah ‎ﷻ juga sempurna. Dia boleh buat apa sahaja yang Dia mahu dan kita tidak dapat halang langsung, tidak dapat persoal langsung.

Maka kita sebagai manusia kena belajar redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Apa sahaja yang berlaku, terimalah ia sebagai ujian daripada Allah ﷻ. Katakan pada diri: “Oh, Allah nak uji aku begini hari ini.. “.

Sekian Ruku’ 3 dari 20 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Februari 2021

Ringkasan Surah Ali Imran


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment