Kalau kita lihat geopolitik dunia Islam sekarang, ia amatlah membimbangkan. Ada umat Islam yang menggunakan khidmat dan bantuan dari negara kafir untuk menyerang umat Islam! Berperang sesama Muslim pun sudah menjadi masalah besar, tambahan pula meminta bantuan dari orang kafir untuk menghentam orang Islam! Contoh seperti krisis politik dan penentangan rakyat terhadap rejim Muammar Gaddafi yang berlanjutan menjadi perang saudara. Kumpulan penentang di Libya berserta beberapa negara Arab meminta campur tangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) — yang dianggotai kuasa Barat bukan-Muslim. Jet tempur dan peluru berpandu NATO digunakan untuk membedil kedudukan tentera rejim Gaddafi, yang akhirnya membawa kepada kejatuhan rejim dan pembunuhan Gaddafi. Dan ada banyak kali kes-kes yang sebegini. Amat menyedihkan.
Ayat ini juga mengajar kita supaya cinta kepada sesama Mukmin. Allah telah memberikan segalanya kepada kita, maka kewajipan kita untuk menyembah-Nya sahaja. Dan menyembah Allah itu antara lain, kena ada cinta kepada Allah. Ibadah mesti kerana cinta. Apabila kita cinta kepada Allah, maka kita kena cinta kepada Rasulullah. Apabila kita cinta kepada Rasulullah, maka kita juga kena cinta kepada mereka yang mengikuti ajaran baginda. Maka kerana itu kita kena cinta sesama Mukmin. Kalau tidak ada cinta dengan Mukmin, maka cinta kepada Allah dan Rasul itu pun tidak suci lah maknanya.
Asbabun Nuzul: Ayat ini awal sekali diterima oleh para sahabat. Pada zaman sahabat, tentunya mereka banyak bersahabat dengan rakan mereka yang sama-sama musyrik dengan mereka dahulu. Arab Madinah pula sudah lama berbaik dengan puak Yahudi. Tentu susah hendak meninggalkan kawan-kawan musyrik mereka itu sebab sudah lama kenal dan berkawan dengan mereka. Islam beritahu yang boleh kawan biasa sahaja dengan mereka tetapi jangan jadikan mereka sebagai wali.
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Sa’id bin Jubair atau ‘Ikrimah, yang bersumber daripada Ibnu ‘Abbas: Beberapa tokoh Yahudi Madinah, antaranya Al-Hajjaj bin ‘Amr (sekutu Ka’ab bin al-Asyraf), Ibn Abi al-Huqaiq, dan Qais bin Zaid, sentiasa cuba mendekati dan bersahabat rapat dengan beberapa orang sahabat Ansar. Tujuan mereka adalah untuk menggoyahkan iktikad dan memalingkan orang-orang beriman daripada agama Islam. Melihat keadaan tersebut, Rifa’ah bin al-Mundhir, ‘Abdullah bin Jubair, dan Sa’id bin Khaitsamah mengingatkan sahabat-sahabat mereka dengan berkata:
“Jauhilah orang-orang Yahudi ini dan berhati-hatilah daripada bersahabat rapat dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu daripada agama kamu.”
Namun, sebahagian sahabat tetap meneruskan hubungan akrab tersebut. Maka Allah menurunkan ayat Ali Imran:28 ini sebagai larangan tegas agar tidak menjadikan orang-orang kafir sebagai teman setia atau pelindung (wali) dengan membelakangkan orang-orang beriman.
Apakah contoh-contoh mengambil orang kafir sebagai ‘Wali’ (Yang Dilarang)? Ulama membahagikan bentuk kesetiaan (muwalat) yang dilarang kepada beberapa contoh nyata:
A. Mengkhianati Rahsia Umat Islam demi Kepentingan Mereka
Contoh: Membocorkan maklumat sulit, strategi pertahanan, atau rahsia tentera/umat Islam kepada musuh kafir untuk membunuh atau menindas saudara seIslam.
Kisah Pengajaran: Sahabat Nabi, Hatib bin Abi Balta’ah RA, pernah cuba menghantar surat membocorkan strategi Pembukaan Makkah (Fath Makkah) kepada musyrikin Quraisy untuk melindungi keluarganya di Makkah (Mumtahanah: 1 turun disebabkan peristiwa ini).
B. Mengutamakan Kesetiaan Agama Mereka dan Membelakangkan Syariat Islam
Contoh: Menyokong dasar atau gerakan luar yang secara terang-terangan menindas dan menghina hukum Islam, sambil memusuhi umat Islam yang cuba menegakkan agama.
C. Redha dan Menyukai Kekufuran / Agama Mereka
Contoh: Menjadikan mereka sebagai tempat pergantungan dengan ikatan perasaan yang mengabaikan kebenaran akidah, atau meredhai ajaran kekufuran mereka melebihi Islam.
Kisah Pengajaran: Baru-baru ini kecoh tentang seorang pemuda yang bernama Alif Daniel yang pergi ke kuil Hindu dan mengamalkan cara ibadah mereka. Ini adalah perbuatan kufur. Kita umat Islam mengiktiraf hak agama lain untuk wujud di dunia ini, akan tetapi kita tidak boleh mengiktiraf agama mereka. Jauh lagi untuk menyertai atau mengamalkan cara ibadah mereka.
Jangan kita salah faham pula ayat ini. Islam tidaklah melarang berkenalan dan berbaik dengan non-Muslim. Tapi untuk hidup berkawan, ada cara-caranya yang diajar dalam Islam. Ini kita boleh perhatikan di dalam urusan Rasulullah, para Khalifah, para sahabat dan ulama’ Islam.
Pertama, berkawan atas dasar sahabat sesama Muslim iaitu mereka yang sama akidah dan mengamalkan syari’at yang sama dengan kita. Ini adalah persahabatan yang terbaik. Ia adalah hubungan yang datang hati yang kasih dan sayang, hubungan yang sangat rapat. Perhubungan ini dinamakan muwallat – tunjuk baik di luar dan di dalam hati.
Kedua, yang dinamakan muwaasat, iaitu kita berhubungan dengan orang lain atas dasar untuk tolong orang susah. Tidak semestinya yang ditolong itu akidahnya kena betul baru kita kena tolong. Jadi kalau kita hendak menolong orang kafir, sama-sama buat kebaikan dengan mereka, ini tidak mengapa. Islam tidak melarang dalam hal ini, malah Islam menganjurkan.
Ketiga, dinamakan mudharat. Ini adalah apabila luaran kita tunjuk baik dengan orang yang berlainan akidah, tetapi dalam hati kita, kita marah kerana dalam keadaan tertentu kena tunjuk baik walaupun kita tidak suka. Ini juga penting untuk dilakukan supaya suatu hari nanti, kita dapat dekatkan dia dengan agama.
Terutama sekali jikalau mereka lebih kuat dan berkuasa dari kita, maka kita kena mengambil hati mereka. Sebentar lagi kita akan lihat firman Allah: إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً (kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka). Dan ini tidak salah dan perhatikan apa firman Allah tentang hal ini di dalam Mumtahanah:8-9
لَّا يَنهَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَم يُقَـٰتِلُوكُم فِى ٱلدِّينِ وَلَم يُخرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُم أَن تَبَرُّوهُم وَتُقسِطُوٓاْ إِلَيہِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلمُقسِطِينَ (٨) إِنَّمَا يَنہَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَـٰتَلُوكُم فِى ٱلدِّينِ وَأَخرَجُوڪُم مِّن دِيَـٰرِكُم وَظَـٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخرَاجِكُم أَن تَوَلَّوهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ (٩)
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)
Maka Non-Muslim sepatutnya tidak ada masalah berhubungan dengan kita. Kita tetap sahaja tunjuk baik kepada orang yang baik. Kalau mereka berbuat baik dengan kita, kita berbuatlah baik dengan mereka. Jangan sampai Non-Muslim lihat kita ini kasar dengan mereka, sombong dengan mereka pula.
Namun begitu, janganlah kita ikut dia buat maksiat pula. Janganlah sampai begitu. Patutnya kita boleh tegur dia atas kesalahan dia, tetapi kita tangguhkan teguran itu kerana kita simpan teguran itu pada satu masa lain yang sesuai. Tegur tetap kena tegur, cuma kita tangguhkan sahaja. Ini kerana hendak menegur waktu itu mungkin tidak sesuai kerana susah hendak faham, terutama apabila memerlukan masa yang lama untuk menjelaskan sesuatu permasalahan agama.
Contohnya hendak jelaskan tentang konsep syirik dan bid’ah, tentu memakan masa kalau hendak beritahu kepada mereka yang tidak faham lagi. Kita tidak boleh menegur pada waktu itu kerana hati mungkin tengah marah dan kita tidak redha dengan apa yang orang itu lakukan.
Lainlah kalau kesalahan itu jelas sangat, maka kena tegur pada waktu itu juga. Contohnya, kalau dia sedang berzina atau mencuri, maka tidak boleh ditunggu lagi, hendaklah ditegur terus sebab sudah jelas kesalahan itu.
Keempat dinamakan Muamalat, iaitu hubungan transaksi seperti perniagaan, sosial dan sebagainya antara sesama manusia. Ini pun tidak ada masalah. Kita hidup di dunia ini bukannya semua orang Muslim, bukan? Jadi mesti akan ada hubungan transaksi setiap hari dengan mereka. Kecuali jikalau hubungan transaksi itu membahayakan umat Islam seperti menjual senjata kepada musuh orang Islam.
Oleh itu, berbuat baik dan bersahabat yang sepatutnya adalah sesama Mukmin, bukan dengan orang kafir kecuali kalau keadaan mudharat, iaitu kalau kita tidak berbaik dengan dia, maka boleh menyusahkan kita.
Kalau dengan non-Muslim, kita berkawan biasa-biasa sahaja. Bukanlah kita sentiasa berkepit dengan dia ke mana-mana dan kita menceritakan segala rahsia dan kesusahan kita kepadanya. Itu kita lakukan kepada orang Mukmin kerana mereka boleh beri nasihat berdasarkan agama, bukannya nafsu semata-mata seperti non-Muslim.
Nabi Muhammad menunjukkan contoh akhlak yang sangat mulia (uswah hasanah) dalam berinteraksi dengan masyarakat non-Muslim (orang kafir), sama ada dalam kalangan jiran, tetamu, musuh perang, mahupun tawanan. Berikut adalah contoh-contoh konkrit kebaikan dan keadilan Baginda SAW secara ringkas:
1. Ziarah dan Mendoakan Anak Muda Yahudi yang Sakit
Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Anas bin Malik RA, seorang anak muda Yahudi yang pernah berkhidmat dengan Nabi SAW telah jatuh sakit. Nabi SAW pergi menziarahinya di rumahnya, duduk di sebelah kepalanya, lalu mengajak anak muda itu kepada Islam. Anak muda itu memandang bapanya, dan bapanya berkata: “Taatilah Abul Qasim (panggilan Nabi SAW).” Anak muda itu pun memeluk Islam sebelum meninggal dunia. Baginda keluar sambil bersyukur kerana Allah menyelamatkannya daripada api neraka.
2. Memuliakan Jenazah Orang Yahudi
Diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim, ketika satu rombongan membawa jenazah seorang Yahudi lalu di hadapan Nabi SAW, Baginda berdiri sebagai tanda hormat. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, itu ialah jenazah orang Yahudi.” Nabi SAW menjawab: “Bukankah dia juga satu jiwa (manusia)?”
3. Mengiktiraf dan Menerima Tetamu Kafir di Masjid
Apabila utusan Kristian dari Najran (sebuah wilayah di Selatan Arab) datang ke Madinah untuk berbincang dengan Baginda, Nabi SAW menyambut mereka dengan penuh penghormatan di dalam Masjid Nabawi. Baginda membenarkan mereka menginap di dalam masjid dan membenarkan mereka bersembahyang mengikut kiblat mereka (ke arah timur) di dalam satu bahagian masjid tersebut.
4. Melayan Tawanan Perang Badr dengan Ihsan
Selepas Perang Badr, Nabi SAW memerintahkan para sahabat untuk melayan tawanan perang (orang musyrik Quraisy) dengan baik. Salah seorang tawanan, Abu ‘Aziz (saudara Mus’ab bin ‘Umair), menceritakan bahawa para sahabat menawarkannya roti (makanan mewah pada waktu itu) manakala mereka sendiri hanya makan kurma, semata-mata kerana mematuhi pesanan Nabi SAW: “Layanlah tawanan perang dengan kebaikan.”
5. Keadilan dalam Urusan Jual Beli dan Hutang
Nabi SAW bermuamalat secara adil dengan ahli kitab tanpa menganiaya mereka. Sehinggakan ketika Nabi SAW wafat, baju besi baginda masih berada dalam gadaian seorang Yahudi di Madinah sebagai cagaran bagi pinjaman gandum untuk keperluan keluarga baginda.
6. Pemaafan Teragung: Pembukaan Kota Mekah
Semasa Pembukaan Kota Mekah, pemimpin dan penduduk musyrik Quraisy yang pernah menyeksa, membunuh ahli keluarga, dan mengusir baginda berada di bawah kekuasaan Islam sepenuhnya. Baginda bertanya: “Apakah yang kamu sangka aku akan lakukan kepada kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan, wahai saudara yang mulia.” Nabi SAW lalu bersabda: “Pergilah, kamu semua bebas!” (Tiada dendam atau pembalasan dendam).
7. Memulangkan Harta Amanah Musuh (Malam Hijrah)
Walaupun pemuka Quraisy memusuhi dan merancang untuk membunuh Nabi SAW, mereka tetap mengakui sifat jujur baginda (mereka gelar baginda Al-Amin – yang dipercayai) dan menyerahkan harta simpanan mereka untuk dijaga oleh baginda. Pada malam Hijrah ke Madinah, Nabi SAW menugaskan Ali bin Abi Talib RA untuk tinggal di Mekah semata-mata untuk memulangkan semula semua barang amanah kepunyaan musyrik Quraisy tersebut kepada pemiliknya.
وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ
Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia daripada Allah dalam sesuatu apapun
Yang tidak boleh adalah muwalat – berbaik luar dan dalam dengan orang kafir. Jadi ini adalah dalil berdosa besar berwalikan kepada orang kafir. Muwalat itu kita berbaik dengan orang dan dalam hati pun kasih juga kerana sesama Muslim dan sama akidah dan sama-sama mengikut sunnah. Zahir dan batin kita muliakan dia. Dengan orang kafir tidak boleh kerana kalau kita buat, dikutuk oleh Allah ﷻ.
Sesiapa yang buat begitu, فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ (tiadalah dia daripada Allah dalam sesuatu apapun) yang bermaksud Allah tidak akan menjadi wali dia lagi. Kamu bukan orang beriman kerana orang beriman takkan ambil orang kafir sebagai wali dan meninggalkan orang mukmin. Kamu sudah ambil orang kafir sebagai wali, maka ambillah mereka, lupakan sahaja Allah.
Pada kalimah شَيءٍ adalah elemen mengecilkan / menghinakan. Kemudian ia bermaksud “sedikit pun tiada nilai”, “bukan dalam sekelumit pun urusan agama”, atau “langsung terputus daripada naungan Allah”. Ini kerana berwala’ kepada dua entiti yang bertentangan secara hakiki (iaitu antara iman dan kufur, atau pihak Allah dan musuh Allah) tidak boleh berhimpun dalam satu hati yang ikhlas, ia ibarat mengumpulkan api dan air.
Apa maksudnya ancaman ini? Ia bermaksud dia tidak ada dalam agama Allah ﷻ walau sedikit pun. Allah sudah tidak hiraukan dia lagi, lantaklah dia. Allah sudah berlepas diri dari orang itu. Bagi mereka yang buat begitu, Allah akan meninggalkannya dan membiarkannya. Akan putus dari pimpinan Allah. Ini kerana dia dikira redha kepada kekufuran yang dilakukan oleh kawan mereka yang kufar itu. Padahal apabila kita rapat dengan seseorang, kita kena tegur dan ajak dia ke arah kebaikan. Namun adakah kita lakukan begitu dengan orang bukan Islam?
Perhatikan di dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah ذٰلِكَ (itu) yang memberi isyarat perbuatan mengambil orang kafir itu adalah perbuatan yang jauh dari kebenaran, perbuatan yang tidak patut dilakukan. Ini kerana kalimah ذٰلِكَ digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang jauh.
Tapi kalimah فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ boleh dikatakan tidak lengkap. Sebab ancaman pun tidak disebut seperti kena bakar, kena kecam, kena laknat, masuk neraka dan sebagainya. Kesannya adalah ia lebih menakutkan kerana tak tahu apa yang Allah akan buat terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini.
Selain tidak disebut ancaman, kalimat فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ ini seperti tidak lengkap pula. Sepatutnya ada tambahan له (kepadanya). Iaitu Allah akan melupakan orang itu, buat tidak tahu dan tidak beri rahmat kepadanya. Akan tetapi apabila kalimah له pun tidak ada, dari segi balaghahnya, bermaksud Allah sudah melupakannya, sampai tidak sebut pun dia. Jadi ini amat menakutkan.
Tapi mungkin timbul persoalan: kenapa Allah tidak membenarkan kita orang Mukmin mengambil orang kafir sebagai wali? Sampai diberikan dengan ancaman yang keras di dalam ayat ini?
Kerana manusia hidup di dunia ini bukannya untuk lahir, membesar, kerja, beranak dan kemudian mati begitu sahaja. Manusia ada tujuan hidup dan ini telah digariskan dengan jelas di dalam Al-Qur’an antaranya seperti disebut di dalam An’am:162,
قُل إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Jadi kalau manusia tidak menyembah Allah dan menghambakan diri kepada Allah, maka mereka telah gagal untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai manusia. Mereka telah meninggalkan dakwah dan ajaran para Nabi, sebaliknya mereka telah ikut bisikan syaitan yang menyesatkan mereka. Maka mereka ini tidak layak dibuat kawan baik, dijadikan wali, diambil sebagai pemimpin. Kita membenci mereka dan tidak menjadikan mereka sebagai kawan rapat kerana ia adalah arahan Allah dan ini adalah kewajipan kita seperti sabda Rasulullah, di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Al-Bahili RA,
مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ، وَأَبْغَضَ لِلَّهِ، وَأَعْطَى لِلَّهِ، وَمَنَعَ لِلَّهِ، فَقَدِ اسْتَكْمَلَ الإِيمَانَ
“Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan tidak memberi (menahan) kerana Allah, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan imannya.”
Sunan Abi Daud (Hadis No. 4681), Sunan At-Tirmidzi (Hadis No. 2521). Status Hadis: Hadis ini dinilai Sahih oleh Sheikh Al-Albani.
إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً
kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka
Ini adalah pengecualian bagi mereka yang terpaksa. Tidak boleh berwalikan kepada orang kafir melainkan jika mudharat untuk melindungi diri daripada bahaya mereka iaitu perkara itu tidak dapat dielakkan. Islam adalah agama yang praktikal, keadaan semasa juga diperhatikan. Tidaklah kita disuruh membahayakan diri kita. Nyawa dan keselamatan kita perlu dipelihara dan diperhatikan. Jangan kita melawan tak tentu pasal pula.
Contohnya kalau kita tinggal di negara Non-Muslim. Dan orang kafir itu adalah pemimpin, ketua kita di negara, negeri, wilayah tempat kita tinggal, tempat kerja, rakan sekerja kita dan sebagainya. Mereka itu tidak boleh dijadikan sebagai pelindung kita, tetapi bolehlah ada hubungan dengan mereka. Kita boleh bermuka-muka dengan mereka menunjukkan kita berkawan dan ikut cakap mereka, tapi di dalam hati, kita tidak redha dengan mereka kalau mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan agama.
Akan tetapi apabila ada tambahan تُقٰةً di dalam bentuk مفعل مطلق (maf’ul mutlaq) ia menguatkan makna itu. Iaitu perlindungan itu betul-betul diperlukan kerana ia memang ada. Janganlah kita segala mengambil hati orang kafir itu untuk mendapat keuntungan sedangkan ancaman tidak ada pun.
Asalnya, jikalau kita tinggal di negara, negeri atau wilayah yang tidak membenarkan kita mengamalkan agama Islam dengan bebas, kita perlu meninggalkan tempat itu. Akan tetapi ada pengecualian kepada mereka yang tidak mampu meninggalkan tempat itu, seperti yang diberikan di dalam Ayat 28 ini. Ini juga termaktub di dalam Nisa’:97-98,
إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّٮٰهُمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِہِم قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡۖ قَالُواْ كُنَّا مُستَضعَفِينَ فِى ٱلأَرضِۚ قَالُوٓاْ أَلَم تَكُن أَرضُ ٱللَّهِ وٰسِعَةً فَتُہَاجِرُواْ فِيہَاۚ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَأوَٮٰهُم جَهَنَّمُۖ وَسَآءَت مَصِيرًا (٩٧) إِلَّا ٱلمُستَضعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلوِلدٰنِ لَا يَستَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَہتَدُونَ سَبِيلاً (٩٨)
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahanam dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (97) Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). (98)
Ini amat relevan zaman sekarang kerana umat Islam sedang lemah. Maka kita terpaksa bersikap lunak kepada orang kafir yang lebih kuat dari kita. Inilah yang dinamakan Taqiyah. Kita terpaksa angguk dan tunduk kepada orang kafir yang lebih kuat untuk menyelamatkan diri kita. Supaya mereka sangka kita berpihak kepada mereka, akan tetapi hati kita tidak, sebenarnya. Maka kalau kerajaan Islam adakan “peace treaty” dengan Amerika adalah dibolehkan, tetapi jangan jadikan Amerika sebagai pelindung kita. Jangan berkawan rapat sangat dengan mereka sampai kita dipijak mereka dan diperkotak-katikkan oleh mereka!
Mungkin ada terkejut saya gunakan istilah ‘taqiyyah’ ini kerana ia sinonim dengan ajaran Syiah yang sesat itu. Istilah taqiyah memang ada dan dibenarkan, tapi tidaklah seperti yang digunakan oleh golongan Syiah itu. Mereka menggunakan taqiyah untuk menipu, termasuk menipu orang Islam. Mereka bukanlah taqiyah kerana lemah tapi kerana hendak merahsiakan akidah dan rancangan jahat mereka. Ini adalah taqiyyah yang salah. Tidak ada ancaman pun kepada mereka, tapi mereka yang gunakan taqiyyah ini untuk menipu orang lain.
Begitu juga di dalam negara kita, ada yang non-Muslim menjadi pemimpin negara. Kita tetap kena hormati mereka sebagai pemimpin yang dilantik. Namun begitu, kalau boleh, janganlah kita pula melantik mereka kerana pemimpin sepatutnya adalah dalam kalangan orang Islam. Maka kerana itu kalau mengundi itu kenalah undi orang Islam. Maka dalam pilihanraya, kita kena pilih pemimpin yang Muslim, tidak kira dari mana parti politiknya. Kerana mana-mana parti politik, sebenarnya sama sahaja.
Ayat ini sama sekali tidak mengajar atau membimbing kita menjadi munafik. Sebaliknya, ayat ini memberikan rukhsah (kelonggaran/kemudahan) serta panduan Syariat untuk menyelamatkan nyawa dan keselamatan diri apabila orang beriman berada dalam keadaan darurat, terancam, atau tertindas. Konsep yang dimaksudkan dalam ayat ini dipanggil sebagai Taqiyyah (تَقِيَّة) atau Tuqah (تُقَاة). Ibnu ‘Abbas RA menjelaskan maksud Tuqah dalam ayat ini: “Taqiyyah itu hanyalah pada ucapan lidah. Apabila seseorang dipaksa mengucapkan sesuatu yang merupakan maksiat/kekufuran sedangkan hatinya tetap tenang dengan iman, maka hal itu tidak memudaratkannya.”
Imam Bukhari meriwayatkan kata-kata Abu Ad-Darda’,
إِنَّا لَنَشِرُّ فِي وُجُوهِ أَقْوَامٍ وَإِنَّ قُلُوبَنَا لَتَلْعَنُهُمْ
“Sesungguhnya kami bermuka manis/tersenyum di hadapan sesetengah kaum, sedangkan hati kami melaknati (membenci perbuatan) mereka.”
Sahih Al-Bukhari Hadis No. 6131
Kenapa kita dibenarkan bermuka-muka untuk menyelamatkan nyawa dan diri kita? Kenapa kita tidak disuruh untuk mengorbankan sahaja nyawa kita demi mempertahankan prinsip Islam? Kerana kalau kita semua korbankan diri kita, siapa yang akan menganut agama Islam lagi? Habis semua sudah mati? Maka kita bertaqiyyah demi masa depan aqidah Islam. Semoga anak cucu kita dapat meneruskan perjuangan ini.
Konsep ini juga disentuh di dalam Hadis #39 Arbain Nawawiyah, iaitu rukhsah yang diberikan apabila kita dipaksa atau terpaksa.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ قَال: إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي: الخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ketika dia tidak sengaja, lupa, dan dipaksa.”
(Hadis hasan, Riwayat Ibnu Majah no. 2045, Al-Baihaqi, dan selainnya)
وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ
Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap diri-Nya
Allah ﷻ ajar supaya kenal Dia dan kenal sifat-Nya. Kena ambil tahu tentang Allah ﷻ. Kena letak Allah ﷻ di hadapan dalam membuat keputusan. Jadi kena pegang hukum yang Allah ﷻ letak. Kena takut Allah ﷻ lebih daripada takut kepada makhluk.
Kena ingat yang Allah mempunyai neraka yang akan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Akan tetapi ‘seksa’ tidak disebut pun di dalam ayat ini. Tapi kita boleh faham dari kata-kata yang digunakan. Ia menambah ketakutan lagi kerana kita tidak tahu apa yang Allah akan lakukan.
Mengapa Allah menyebut “Diri-Nya” secara langsung, bukannya sekadar menyebut “azab-Nya” atau “kemurkaan-Nya”? Para ulama tafsir menjelaskan dua hikmah utama di sebalik gaya bahasa ini:
1. Menegaskan Ancaman Datang daripada Kuasa Mutlak
Apabila amaran itu disandarkan terus kepada Diri (Zat) Allah, ia memberi kefahaman jelas bahawa ancaman tersebut datang secara langsung daripada Rabb sekalian alam. Dialah yang memiliki kuasa penuh untuk melaksanakannya pada bila-bila masa. Tiada satu pun makhluk, perisai, mahupun kuasa di alam semesta ini yang mampu menghalang atau melemahkan ketetapan-Nya.
2. Menutup Ruang “Sangka Baik yang Tersasar”
Mengaitkan amaran terus kepada Zat Allah memberi impak yang jauh lebih menyeluruh berbanding menyebut sifat tertentu. Sekiranya ayat itu sekadar berbunyi “Allah memperingatkan kamu terhadap kemurkaan-Nya”, manusia mungkin terpedaya dengan membuat andaian: “Allah kan Maha Pengasih dan Pemaaf, mungkin dosa sengaja melanggar larangan ini tidak mendatangkan mudarat yang besar.”
Mengikut kaedah bahasa Arab, apabila sesuatu amaran itu dikaitkan terus dengan Diri/Zat, ia merangkumi seluruh keadaan tanpa pengecualian. Ia memberi amaran tegas agar manusia tidak mengambil mudah atau berani sengaja melanggar perintah-Nya hanya kerana bergantung kepada sifat pemaaf Allah.
Penggunaan perkataan “Diri-Nya” bertujuan menanam rasa takut dan gerun yang sebenar di dalam hati hamba. Ia mengingatkan kita bahawa apabila berhadapan dengan larangan Allah, tiada ruang untuk berasa selamat atau bermain-main dengan sengaja melanggar batas-batas-Nya.
Jadi terdapat ancaman Allah di dalam ayat ini? Akan tetapi kepada siapa? Kerana ia tidak disebut pun secara jelas. Jadi ia boleh jadi,
1. Kepada orang beriman akan tetap berwalikan orang kafir.
2. Kepada orang kafir yang mengancam umat Islam.
3. Orang bertaqiyyah akan tetapi tidak kena pada tempatnya. Ketika tidak boleh bertaqiyyah, dia gunakan juga.
4. Sesiapa sahaja yang melanggar perintah Allah secara umum.
Ayat ini memberi anjakan kepada orang Mukmin untuk memilih dengan tepat. Ya bukan mudah meninggalkan suku, kawan dan keluarga sendiri yang kafir. Apa nanti mereka kata? Bagaimana nasib aku kalau dipinggirkan oleh mereka? Dan berbagai lagi yang bermain dalam fikiran mereka. Akan tetapi Allah mudahkan mereka untuk buat keputusan. Kerana antara takut dengan manusia dengan takut dengan Allah, mana lagi lagi besar? Tentulah Allah!
Dalam ancaman ini ada cinta. Ia datang dari perasaan cinta. Kalau kita sayang kepada seseorang, dan kita nampak dia melakukan kesalahan, tentu kita tegur, bukan? Dan kita beri ancaman kalau benda itu memang teruk. Contohnya kita ancam akan rotan anak kita kalau dia tidak mahu pergi ke sekolah. Maka begitulah Allah sayang kepada kita, maka Dia mahu kita selamat. Berwali kepada orang kafir itu akan membahayakan diri kita juga, bukannya membahayakan Allah. Maka ancaman Allah ini kita kena baca yang ia datang cinta.
وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ
Dan kepada Allah jualah tempat kembali.
Kalimah المصير adalah tempat akhir kita. Setelah pergi merata-rata, akhirnya pergi ke satu tempat sebagai destinasi akhir kita. Maka ingatlah yang akhirnya kita akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kita. Apa yang kita hendak jawab kalau perbuatan kita tidak taat kepada-Nya?
Di dunia kita memang memerlukan bantuan dari suku dan manusia. Akan tetapi dunia ini sekejap sahaja. Semua suku-suku itu pun akan mati akhirnya. Tapi selepas itu ke mana, kita? Tentulah kepada Allah dan kita akan menghadapi satu kehidupan di alam lain yang kekal abadi. Alam ini dan semua yang di dalamnya tidak kekal, kecuali Allah. Jadi ini memudahkan untuk buat keputusan bagi umat Islam. Iaitu kita pilih keselamatan di akhirat dari senang dan selamat di dunia.
Bukanlah kita disuruh untuk lupakan keluarga kita, suku kita, tempat tinggal kita dan orang sekeliling kita pula. Tapi kita kena pandai menilai mana satu yang perlu diutamakan.
Apabila ditaqdimkan (didahulukan) kalimah إِلَى اللَّهِ, ia membawa maksud eksklusif. Iaitu hanya kepada Allah sahaja kita akan kembali. Kena menjawab dengan Allah. Tidaklah ada yang akan jadi peguam kita sambut kita dan selamatkan kita nanti. Kita nanti kena jawab dengan Allah.
Ayat ini sebagai permulaan yang membuka perbincangan lanjut selepas ini. Ayat ini memperkenalkan tema yang akan dihuraikan di seluruh surah selepas ini iaitu:
• Kesetiaan yang tidak tetap kukuh akan dilihat kesannya di dalam Pertempuran Uhud
• Orang-orang munafik akan didedahkan melalui kesetiaan mereka yang bertentangan
• Hubungan yang betul dengan golongan Ahli Kitab akan diperjelaskan
• Sifat iman sebenar akan dibezakan dengan mereka yang hanya bermuka-muka
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 20 Oktober 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

