Tafsir Surah Ali Imran Ayat 29 (Keluasan Ilmu Allah)

ILMU ALLAH YANG LUAS

Ali Imran Ayat 29: Sebelum ini telah diberi kebenaran taqiyyah di dalam keadaan yang memerlukan. Tapi jangan menipu kerana Allah tahu apa yang di dalam hati kita. Mungkin ada yang gunakan alasan dia bertaqiyyah, tapi sebenarnya tidak perlu pun.

قُل إِن تُخفوا ما في صُدورِكُم أَو تُبدوهُ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَيَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL Say, “Whether you conceal what is in your breasts or reveal it, Allah knows it. And He knows that which is in the heavens and that which is on the earth. And Allah is over all things competent.

MALAY Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

قُل إِن تُخفوا ما في صُدورِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu

Ayat ini bermula dengan قُلْ, yang bermaksud “Katakanlah”. Ini adalah perintah langsung dari Allah kepada Nabi untuk menyampaikan mesej penting ini kepada orang-orang beriman. Ia menunjukkan bahawa ini adalah ajaran yang perlu didengar dan difahami oleh setiap mukmin.

Sama sahaja pada Allah ‎ﷻ, apa sahaja yang kita lakukan dan rasa, Dia Maha Mengetahui. Sama ada muwallat, muwassat dan mudharat nampak pada luaran sama sahaja, namun apa yang ada di dalam dada kita, Allah ‎ﷻ tahu. Orang nampak kita layan seseorang itu sama sahaja, tetapi dalam hati kita, mereka tidak tahu dan yang dikira adalah pada dalaman kita iaitu apakah niat kita.

Begitu juga kepada orang kafir, Allah ingatkan yang Dia tahu apakah yang di dalam isi hati mereka. Segala perancangan mereka dan niat jahat mereka untuk menjatuhkan Islam, Allah tahu. Mereka mungkin buat rancangan secara rahsia sesama mereka, tapi ketahuilah pihak ketiganya adalah Allah.

Ayat ini menyentuh tentang psikologi dalaman kita. Ada kala kita melakukan sesuatu dosa itu, tapi kita cuba memberi rasional kepada perbuatan kita itu. “Aku buat kerana terpaksa…”, “Aku tak berniat buruk….”, “Aku cuma hendak berbaik sahaja dengan mereka…”, “Aku buat sikit sahaja….”, “Sekarang sahaja aku buat, nanti aku tak buat lagi…” dan berbagai alasan lagi. Tapi sekarang Allah ingatkan, Dia tahu apa yang di dalam hati kita, motivasi kita, apa niat kita sebenarnya. Tak payah menipu dan memberi alasanlah lagi.

Dan Allah bukan hanya hendak beritahu Dia tahu sahaja, tapi yang tersirat adalah, Dia akan balas di akhirat kelak akan segala kesalahan yang dilakukan, walaupun dilakukan dengan cara rahsia.

Balaghah: Perhatikan di dalam ayat ini Allah menggunakan istilah صُدور. Ia bermaksud dada. Di dalam bahasa Arab, dada adalah tempat bergolaknya emosi, kecenderungan rahsia, rasa cemas, dan was-was sebelum sesuatu perkara itu benar-benar mengakar menjadi ketetapan jiwa. Kalau perasaan kita bergelojak, bukankah ia terasa pada dada kita? Sama ada lapang, tenang, ketat, sendat dan segala macam rasa kita boleh lalui.

Kenapa tidak digunakan istilah hati (القلب)? Dalam uslub bahasa Al-Qur’an dan sastera Arab, dada (الصدر) diibaratkan sebagai bekas luaran yang luas (al-wi’ā’). Hati (القلب) berada di dalam dada, sebagaimana firman Allah di dalam Hajj:46,

فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ
Sebenarnya bukan mata kepala yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada

Apabila Allah menyebut “apa yang ada di dalam dada”, ia merangkumi lingkaran yang jauh lebih luas: lintasan hati (al-khawāṭir), keraguan awal, was-was, niat yang masih berlegar, dan rahsia batin sebelum ia menjadi tekad yang kukuh di dalam lubuk hati (القلب). Jika bekas yang luas itu pun semuanya dalam pengetahuan Allah, apatah lagi inti pati di dalamnya.

Mengapa Allah tidak menggunakan istilah ‘Akal’? Bukankah kita berfikir dengan akal? Ini kerana akal dalam Al-Qur’an adalah fungsi berfikir, bukan tempat menyimpan rahsia. Al-Qur’an tidak menggunakan kalimah ‘aql sebagai kata nama tempat (ism), sebaliknya sentiasa menggunakan kata kerja (seperti يعقلون, تعقلون – mereka/kamu memikirkan atau mena’akul). Sesuatu yang disembunyikan manusia daripada pengetahuan orang lain biasanya melibatkan emosi, kesetiaan, rasa takut, permusuhan, atau kecenderungan batin dan kesemuanya berpusat pada alam rasa dan kalbu (dada), bukan sekadar pertimbangan logik semata-mata.

 

أَو تُبدوهُ يَعلَمهُ اللَّهُ

atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; 

Sama sahaja kepada Allah ‎ﷻ, kerana Ilmu-Nya sempurna. Kalau dengan manusia, bolehlah hendak tipu, tapi dengan Allah, jangan diharap! Kalau dalam hati pun Allah ‎ﷻ tahu, tentulah Allah ﷻ juga tahu yang dilahirkan oleh mulut kita.

Pengajaran bagi kita adalah untuk membetulkan niat kita. Untuk selamat, bukan sahaja amalan kena betul, tapi niat pun kena betul juga. Kalau kita buat perkara yang benar, tapi niat tak betul, takkan selamat. Perhatikan satu hadis yang menakutkan ini,

ويقول عليه الصلاة والسلام: (إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ، رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ. قَالَ: كَذَبْتَ. وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ: جَرِيءٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ، وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ، وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ. قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ: عَالِمٌ، وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ: هُوَ قَارِئٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللهُ عَلَيْهِ، وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ. قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ: هُوَ جَوَادٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ، ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّار
Rasulullah bersabda, “Orang yang pertama kali diputuskan pada hari kiamat adalah seorang laki-laki yang mati syahid di jalan Allah. Lalu dia didatangkan, kemudian Allah memperlihatkan kepadanya nikmat-Nya, maka dia pun mengenalinya. Allah berkata, ‘Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat itu?’ Orang tersebut berkata, ‘Aku telah berperang di jalan-Mu sampai aku mati syahid.’ Lalu Allah SWT berkata, ‘Engkau dusta, akan tetapi engkau melakukan itu supaya disebut sebagai seorang pemberani dan ucapan itu telah dilontarkan.’ Kemudian diperintahkan agar orang tersebut dibawa, maka dia diseret dengan wajahnya (terjerembab di tanah), sampai dia pun dilemparkan di neraka. Kemudian ada orang yang belajar agama dan mengajarkannya, serta membaca Al-Qur’an. Lalu orang itu didatangkan, lalu Allah SWT memperlihatkan nikmat-Nya dan orang itu pun mengenalinya. Allah berkata, ‘Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat itu?’ Orang itu menjawab, ‘Aku telah belajar agama, mengajarkannya dan aku telah membaca Al-Qur’an.’ Allah berkata, ‘Engkau dusta, akan tetapi engkau belajar agama supaya disebut orang alim dan engkau membaca Al-Qur’an supaya disebut sebagai qari’ dan ucapan itu telah dilontarkan.’ Kemudian diperintahkan agar orang tersebut dibawa, maka dia pun diseret dengan wajahnya (terjerembab di tanah) sampai dia pun dilemparkan di neraka.’ Kemudian ada seorang laki-laki yang diberikan kelapangan oleh Allah dan menganugerahinya segala macam harta. Lalu dia pun didatangkan, lalu Allah memperlihatkan nikmat-Nya itu dan orang itu pun mengenalinya. Allah SWT berkata, ‘Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat itu?’ Orang itu mengatakan, ‘Aku tidak meninggalkan satu jalan pun sebagai peluang untuk berinfak melainkan aku berinfak di situ semata-mata kerana-Mu.’ Allah SWT berkata, ‘Kau bohong, kau melakukan seperti itu supaya disebut dermawan dan ucapan itu telah dilontarkan.’ Maka orang itu diperintahkan untuk dibawa, lalu dia pun diseret dengan wajahnya (terjerembab di tanah), kemudian dia dilemparkan di neraka.”

Sahih Muslim (1905)

Syarah: Perhatikan ketiga-tiga mereka telah melakukan perkara yang sangat-sangat baik sebagai seorang Muslim. Akan tetapi merekalah yang pertama sekali dimasukkan ke dalam neraka (sebelum orang lain) kerana niat mereka tidak betul. Mereka lakukan perkara kebaikan itu supaya dipandang tinggi oleh masyarakat. Perkara ini termasuk di dalam Syirik Khafi (Syirik Tersembunyi).

Dan kalau kita sematkan di dalam hati kita yang Allah tahu segala apa yang kita lakukan, tentu kita tidak akan berani buat dosa, bukan? Ada satu kisah. Kisah ini merupakan salah satu riwayat masyhur mengenai keadilan Khalifah Umar bin al-Khattab dan menjadi contoh unggul sifat muraqabah (merasakan pengawasan Allah). Riwayat ini dinukilkan oleh para ulama sirah dan tarikh, antaranya oleh Ibn al-Jauzi dalam Sifat al-Safwah dan Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah.

Pada suatu malam di kota Madinah, Khalifah Umar bin al-Khattab sedang melakukan rondaan rutin bersama pembantunya, Aslam, bagi memantau keadaan rakyat secara langsung. Apabila letih, Umar bersandar pada dinding sebuah rumah kecil untuk berehat seketika. Dari dalam rumah tersebut, Umar terdengar perbualan antara seorang ibu dan anak perempuannya yang bekerja sebagai penjual susu kambing:

Ibu: “Bangunlah anakku, campurkanlah sedikit air ke dalam susu itu (supaya kuantiti bertambah dan untung lebih).”

Anak: “Wahai ibu, tidakkah ibu tahu bahawa Amirul Mukminin (Umar) telah melarang perbuatan mencampurkan susu dengan air?“

Ibu: “Di manakah Umar sekarang? Umar tidak melihat kita di waktu malam begini.“

Anak: “Wahai ibu, sekiranya Umar tidak melihat kita, sesungguhnya Tuhan kepada Umar (Allah) Maha Melihat kita.”

Ayat ini juga mengingatkan kita untuk selarikan apa yang kita sebut dengan apa yang di dalam hati kita. Contohnya ketika kita solat, adakah hati kita sama dengan apa yang kita sebut? Ketika kita sebut AllahuAkbar…adakah hati kita sedang membesarkan Allah? Atau kita ketika itu khayal fikiran entah sampai ke Amerika gamaknya. Maka kena ingat yang Allah tahu yang hati kita sedang lakukan, sedang berkata apa, sedang fikirkan apa.

Dari segi psikologi, ini mengajar kita untuk selarikan apa yang di dalam hati kita dengan perbuatan kita. Tak akan berjaya kalau kita menipu Allah. Kalau manusia, kita boleh tipu lagi, tapi bagaimana kita hendak menipu Allah? Golongan Munafik ditegur di dalam ayat ini. Mereka kata beriman, tapi mereka mengutuk Islam di dalam kalangan mereka. Maka kita pun jangan jadi munafik. Jangan kita bermuka-muka dengan manusia, sedangkan Allah tahu. Yang paling penting adalah Allah, bukannya manusia. Kadangkala kita hendak melakukan sesuatu, tapi kita takut apa orang kata. Persetankan apa kata manusia! Buat sahaja kalau niat kita baik. Allah pasti tahu niat kita.

Dari sudut hati, pengetahuan ini mengubah diri kita. Kita akan sentiasa ingat kepada Allah di mana sahaja kita berada, apa sahaja yang kita sedang lakukan. Ini kerana kita sedar yang Allah sedang memerhatikan kita. Kita tidak pernah lekang dari ilmu Allah.

 

وَيَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam dada kita, segala yang terjadi di langit dan bumi pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Ini adalah penggunaan kaedah كْر العامِّ بعد الخاصِّ (penyebutan hal yang umum setelah hal yang khusus). Tidak ada perkara yang berlaku tanpa pengetahuan-Nya. Malah apa sahaja yang berlaku adalah kerana izin-Nya. Kalau isi langit dan bumi pun Allah tahu, maka apatah lagi kalau dalam isi hati manusia?

Allah mengulang tema yang sama seperti yang telah disebut di dalam Ayat 5, sebagai penekanan dan mengingatkan kita akan hal yang sama,

إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ
Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Bukan sahaja ilmu Allah‎ ﷻ sempurna, kuasa Allah ‎ﷻ juga sempurna. Dia boleh buat apa sahaja yang Dia mahu dan kita tidak dapat halang langsung, tidak dapat persoal langsung. Maka ini mengingatkan kita yang Allah bukan sahaja mengancam kita, tapi Dia boleh menjalankan ancaman-Nya! Dia boleh azab dan hukum kita semahu-Nya.

Kalimah قَديرٌ boleh bermaksud kuasa dan keupayaan. Dia ia juga bermaksud kadar masa. Tidak semestinya Allah terus mengenakan azab di atas kesalahan manusia, kerana Allah boleh tangguhkan kadar masa hukuman itu. Ini adalah dari hikmah Allah. Ia memberi peluang kepada manusia untuk berubah dan kembali ke jalan yang benar. Kalaulah Allah terus hukum kita di atas kesalahan yang kita baru lakukan, entah apalah jadi kepada kita ini semua!

Ia juga mengingatkan kita untuk bersabar. Kerana setiap sesuatu telah ditentukan kadar masanya oleh Allah. Kerana itu kalau usaha kita tidak berjaya, kita tenang-tenang sahaja kerana belum sampai masanya lagi. Kalau kita lihat orang yang berbuat dosa seperti tidak ada apa-apa tindakbalas Allah kepada mereka, sabarlah juga. Nanti akan tiba masanya.

Semuanya di tangan Allah kerana Allah yang menentukan. Kadang kita sudah berusaha bersungguh-sungguh dengan melakukan segala strategi apa semua, akan tetapi tetap juga tidak berhasil. Ini kerana semuanya di tangan Allah. Usaha kita tidak memberi bekas kalau Allah tidak izinkan. Maka jangan kita kecewa dalam berusaha. Maka kita sebagai manusia kena belajar redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Apa sahaja yang berlaku, terimalah ia sebagai ujian daripada Allah ﷻ. Katakan pada diri: “Oh, Allah nak uji aku begini hari ini.. “.

Apabila kita mengetahui yang Allah maha berkuasa dan mampu buat apa sahaja, jadi apa yang menghalang kita dari meminta kepada-Nya dalam apa-apa hal dan hajat kita? Kita tahu Allah boleh beri dan buatkan untuk kita, bukan? Jadi minta apa sahaja kehendak kita kepada-Nya. Ini mengingatkan kita untuk terus sentiasa berdoa kepada Allah di dalam segenap keadaan dan ketika.

Balaghah: di dalam frasa ini وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ jelas menyebut nama Allah dan bukannya وهو على كلِّ شيء قديرٌ. Dari segi bahasa, boleh sahaja digunakan dhomir هو (Dia) kerana nama Allah telah disebut sebelum ini. Ia bertujuan untuk menanamkan rasa segan dan gentar dalam diri manusia, juga untuk menggambarkan keagungan/kedahsyatan balasan kalau kita tidak ikut perintah Allah.

 

Frasa “وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ menjadi asas bagi perbincangan berikutnya dalam surah ini nanti:

    • Kuasa Allah untuk memberikan kemenangan atau membenarkan kekalahan (seperti dalam Badr dan Uhud)
    • Kuasa Allah untuk menghidup dan mematikan
    • Kuasa Allah untuk mengatur rezeki
    • Kuasa Allah untuk mengampuni atau menghukum

Kalau Allah berkuasa, maka kita boleh bergantung harap kepada Allah. Kita tidak perlukan orang kafir sebagai kawan dan wali kita. Kita sepatutnya rasa cukup dengan Allah seperti firman-Nya di dalam Nisa’:45

وَاللهُ أَعلَمُ بِأَعدائِكُم ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ وَلِيًّا وَكَفىٰ بِاللهِ نَصيرًا
Dan Allah lebih mengetahui berkenaan dengan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal yang melindungi, dan cukuplah Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara mereka).

Di dalam ayat ini disebut dua sifat Allah. Yang pertama tadi sifat Tahu dan sekarang disebut sifat Berkuasa. Gandingan sifat Maha Mengetahui (al-‘Ilm) dan Maha Berkuasa (al-Qudrah) mempunyai kepentingan tauhid dan praktikal yang sangat mendalam:

1. Menegakkan Hujah Keadilan dan Hisab

Keadilan yang mutlak hanya wujud apabila pihak yang menghakimi memiliki kedua-dua sifat ini secara serentak:

    • Tahu tanpa kuasa: Jika seseorang mengetahui kesalahan orang lain tetapi tidak mempunyai kuasa untuk bertindak, keadilan tidak dapat ditegakkan.
    • Kuasa tanpa ilmu: Jika pihak berkuasa mempunyai kekuatan tetapi jahil tentang fakta sebenar, tindakannya boleh membawa kepada kezaliman atau salah tangkap.
    • Gandingan keduanya: Allah mengetahui hakikat setiap niat dan amalan tanpa ada yang tersembunyi, dan pada masa yang sama memiliki kuasa penuh untuk membalas, menghukum, atau memberi ganjaran tanpa ada sesiapa pun yang dapat menghalang-Nya.

2. Melahirkan Muraqabah (Rasa Diawasi) dan Integriti Hakiki

Apabila seseorang menyakini bahawa Allah mengetahui rahsia yang paling terselindung di dalam dadanya dan Allah juga berkuasa sepenuhnya ke atas nasib dan nyawanya:

    • Lahir rasa takut untuk melakukan maksiat secara rahsia.
    • Tiada lagi ruang untuk berpura-pura atau bermuka-muka (nifaq), kerana kepura-puraan hanya berkesan di hadapan manusia yang jahil tentang isi batin, bukan di hadapan Zat yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

3. Peringatan bagi Pihak yang Khianat atau Bersubahat

Konteks ayat ini berkait rapat dengan larangan mengambil musuh agama sebagai teman rapat secara rahsia seperti disebut di dalam Ayat 28:

    • Orang yang bersubahat mungkin menyangka perancangan sulit mereka selamat daripada pengetahuan manusia.
    • Ayat ini menegaskan: Allah tahu pakatan tersebut (al-‘Ilm), dan Allah berkuasa membongkarnya, menggagalkannya, serta menimpakan azab ke atas pelakunya di dunia mahupun di akhirat (al-Qudrah).

4. Sumber Ketenangan (Raja’) bagi Orang Beriman

Bagi mereka yang ikhlas dan istiqamah:

    • Ilmu Allah memberi jaminan bahawa segala pengorbanan, kesabaran, dan niat baik yang tidak dihargai atau tidak dilihat oleh manusia tetap diketahui sepenuhnya oleh Allah.
    • Kuasa Allah memberi keyakinan bahawa Allah berupaya menolong mereka daripada ancaman musuh, melimpahkan ganjaran yang meluas, serta mengubah apa jua keadaan yang sukar.

Apakah pengajaran bagi kita? Kita pun kena berusaha supaya ada dua-dua sekali. Kita hendaklah bertindak dengan ilmu. Jangan tahu sahaja tapi tak buat apa. Jangan bertindak semberono tapi tanpa ilmu. Belajar dan amalkan apa yang telah dipelajari.

Ayat-ayat di dalam Al-Qur’an berkait sebenarnya. Ayat 29 ini melengkapkan bahagian utama kedua surah (huraian orang-orang kafir dan hubungan orang-orang yang beriman kepada mereka). Bahagian seterusnya akan beralih kepada menggambarkan Hari Penghakiman dan akauntabiliti individu.

Sekian Ruku’ 3 dari 20 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Oktober 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Dorar.net

Maani.tech

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply