Tafsir Surah Ali Imran Ayat 154 – 162 (Sifat seorang pemimpin)

Ayat 154:

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيكُم مِن بَعدِ الغَمِّ أَمَنَةً نُعاسًا يَغشىٰ طائِفَةً مِنكُم ۖ وَطائِفَةٌ قَد أَهَمَّتهُم أَنفُسُهُم يَظُنّونَ بِاللَّهِ غَيرَ الحَقِّ ظَنَّ الجاهِلِيَّةِ ۖ يَقولونَ هَل لَنا مِنَ الأَمرِ مِن شَيءٍ ۗ قُل إِنَّ الأَمرَ كُلَّهُ لِلَّهِ ۗ يُخفونَ في أَنفُسِهِم ما لا يُبدونَ لَكَ ۖ يَقولونَ لَو كانَ لَنا مِنَ الأَمرِ شَيءٌ ما قُتِلنا هاهُنا ۗ قُل لَو كُنتُم في بُيوتِكُم لَبَرَزَ الَّذينَ كُتِبَ عَلَيهِمُ القَتلُ إِلىٰ مَضاجِعِهِم ۖ وَلِيَبتَلِيَ اللَّهُ ما في صُدورِكُم وَلِيُمَحِّصَ ما في قُلوبِكُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then after distress, He sent down upon you security [in the form of] drowsiness, overcoming a faction of you, while another faction worried about themselves, thinking of Allāh other than the truth – the thought of ignorance, saying, “Is there anything for us [to have done] in this matter?” Say, “Indeed, the matter belongs completely to Allāh.” They conceal within themselves what they will not reveal to you. They say, “If there was anything we could have done in the matter, we [i.e., some of us] would not have been killed right here.” Say, “Even if you had been inside your houses, those decreed to be killed would have come out to their death beds.” [It was] so that Allāh might test what is in your breasts and purify what is in your hearts. And Allāh is Knowing of that within the breasts.

MALAY

Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya)”. Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?” katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”. Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيكُم مِن بَعدِ الغَمِّ أَمَنَةً نُعاسًا يَغشىٰ طائِفَةً مِنكُم

Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Dia menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu

Selepas kesedihan dan penyesalan mereka itu, Allah tukar perasaan mereka dengan أَمَنَةً – ketenangan. Ini adalah pemberian Allah kepada tentera mukmin dalam peperangan. Perasaan ketenangan itu berbentuk نُعاسًا – rasa mengantuk. نُعاسًا adalah peringkat awal untuk tidur. Waktu itu mata mula nak katup dan badan pun dah mula lemah. Dengan cara itu, Allah hilangkan perasaan sedih, perasaan takut dari hati mereka yang dalam peperangan itu. Bayangkan, dalam suasana perang yang selalunya kacau bilau, selepas diserang balas dengan teruk oleh tentera musuh, Allah bagi rasa tenang seketika, dalam bentuk mengantuk. Kesannya selepas itu, mereka akan rasa segar dan boleh berfikir dengan tajam. Ia boleh dikatakan sebagai Power Nap.

Bukan semua orang dapat. طائِفَةً مِنكُم – segolongan dari kamu sahaja. Hanya orang mukmin sahaja yang dapat perasaan itu.

وَطائِفَةٌ قَد أَهَمَّتهُم أَنفُسُهُم يَظُنّونَ بِاللَّهِ غَيرَ الحَقِّ

sedang segolongan yang lain yang rasa cemas pada diri mereka, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, 

Orang-orang munafik tidak mendapat ketenangan itu. Memang sudah ada 300 munafik yang sudah awal-awal lagi tinggalkan medan perang. Tapi masih ada lagi dalam kalangan tentera Islam yang 700 orang itu yang munafik. Mereka tidak pergi balik di awal-awal peperangan itu dan mereka seumpama terperangkap dalam kalangan tentera Mukminin itu. Oleh kerana mereka ada sifat munafik, mereka tidak dapat ketenangan yang disebut itu.

Mereka dicemaskan dengan perasaan bimbang kerana mereka buat kesilapan. Dan mereka masih dalam ketakutan kerana takut diserang musuh bertubi-tubi.

ظَنَّ الجاهِلِيَّةِ

seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. 

Mereka sangka yang tidak benar kepada Allah macam sangkaan orang jahiliyah. Padahal mereka sepatutnya sudah tinggalkan fahaman jahiliyah mereka kerana mereka sepatutnya sudah kenal Allah, ayat-ayat Quran pun telah banyak dibacakaan kepada mereka. Hanya mereka yang tidak kenal Allah sepertimana yang diajar dari dalam Quran sahaja yang akan berkata begitu. Apakah sangkaan jahiliah mereka itu? Mereka sangka Allah tidak bantu orang Islam.

يَقولونَ هَل لَنا مِنَ الأَمرِ مِن شَيءٍ

Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari perkara ini?

Ini adalah kata-kata mereka. Mereka bertanya: adakah hak bagi mereka untuk campur tangan dalam urusan peperangan itu sedikit sebanyak? Ini merujuk kepada kejadian awal semasa cadangan untuk berperang dibentangkan kepada para sahabat. Puak munafik telah memberi cadangan untuk bertahan di Kota Madinah sahaja. Tetapi ada kalangan golongan yang muda seperti mendesak Nabi untuk berperang di luar. Mereka sedang bersemangat kerana mengenangkan kemenangan tentera Islam di Badr di mana mereka tidak berpeluang menyertainya. Mereka beri hujah, kalau bertahan di kota, kalaulah mereka kalah, nanti akan membahayakan wanita dan kanak-kanak pula.

Sedangkan golongan yang tua seperti Saidina Abu Bakr termasuk juga puak munafik berpendapat supaya mereka bertahan di Kota Madinah sahaja. Cara perang begitu pun tidak salah. Cuma orang munafik mahu mereka terus di kota sebab senanglah mereka nak curi tulang tak ikut berperang. Mereka boleh menyorok di rumah, dan kalau ditanya mereka di mana semasa peperangan, mereka boleh kata masa tu mereka sedang pertahan dekat tempat sana, tempat sini… Walaupun cadangan mereka dan golongan seperti Abu Bakr sama, tapi niat mereka tidak sama.

Jadi, potongan ayat ini adalah tentang persoalan mereka kepada Nabi kerana mereka rasa pendapat mereka tidak didengari. Mereka suarakan balik kepada Nabi.

قُل إِنَّ الأَمرَ كُلَّهُ لِلَّهِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara itu semuanya ditentukan oleh Allah,

Allah jawap bahawa segala urusan peperangan itu ditentukan oleh Allah.

يُخفونَ في أَنفُسِهِم ما لا يُبدونَ لَكَ

Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. 

Mereka menyembunyikan apa yang dalam hati mereka, iaitu mereka sebenarnya menentang Islam. Yang mereka zahirkan, kononnya nak beri cadangan.

يَقولونَ لَو كانَ لَنا مِنَ الأَمرِ شَيءٌ ما قُتِلنا هاهُنا

Mereka berkata: “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari perkara itu, tentulah kita tidak terbunuh di tempat ini”

Golongan munafik kata, kalaulah cadangan mereka diambil kira dulu, niscaya mereka tidak akan kalah di medan Uhud. Kerana mereka kata kalau pertahan di Kota Madinah, mereka lebih tahu selok belok kawasan itu. Jadi mereka akan ada kelebihan atas pihak musuh.

Ini mengajar kita, kalau keputusan mesyuarat telah dijalankan, dan mesyuarat itu telah dijalankan dengan cara yang sepatutnya, hasil daripada mesyuarat itu tidak boleh diungkit. Selepas keputusan dibuat dan usaha telah dijalankan, yang perlu dilakukan ada tawakal kepada Allah sahaja. Kalau ungkit, itu adalah tanda munafik.

قُل لَو كُنتُم في بُيوتِكُم لَبَرَزَ الَّذينَ كُتِبَ عَلَيهِمُ القَتلُ إِلىٰ مَضاجِعِهِم

katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun, nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”.

Allah kata kalau mereka duduk di rumah mereka pun, mereka akan keluar ke tempat mati mereka juga. Maknanya, kalau mereka bertahan di Madinah pun, tentu mereka akan bertemu dengan orang yang telah ditakdirkan untuk membunuh mereka. Samada orang yang ditakdirkan akan bunuh mereka itu datang kepada mereka, atau mereka sendiri akan keluar bertemu dengan orang yang ditakdirkan akan membunuh mereka.

وَلِيَبتَلِيَ اللَّهُ ما في صُدورِكُم

untuk Allah menguji apa yang ada dalam dada kamu,

Ada jumlah muqaddar di sini: Allah jadikan kejadian yang telah terjadi di Perang Uhud itu kerana banyak sebab untuk diambil pengajaran.

Allah nak uji apa yang ada dalam hati mereka. Selepas diuji, baru jelas siapa yang mukmin dan siapa yang munafik.

وَلِيُمَحِّصَ ما في قُلوبِكُم

dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. 

Dan supaya Allah hilangkan was-was dalam hati mereka dari bisikan syaitan. Membersihkan apa yang dalam hati mereka.

وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Dan Allah mengetahui segala yang ada di dalam dada

Allah tahu apa yang dalam hati manusia. Samada mereka ada sifat nifak atau tidak.

Nota: ayat ini menggunakan kesemua 28 huruf hijaiyah di dalamnya.


 

Ayat 155:

إِنَّ الَّذينَ تَوَلَّوا مِنكُم يَومَ التَقَى الجَمعانِ إِنَّمَا استَزَلَّهُمُ الشَّيطانُ بِبَعضِ ما كَسَبوا ۖ وَلَقَد عَفَا اللَّهُ عَنهُم ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those of you who turned back on the day the two armies met [at Uḥud] – it was Satan who caused them to slip because of some [blame] they had earned. But Allāh has already forgiven them. Indeed, Allāh is Forgiving and Forbearing.

MALAY

Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka cuba untuk digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

إِنَّ الَّذينَ تَوَلَّوا مِنكُم يَومَ التَقَى الجَمعانِ

Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera

Sebelum ini telah disebutkan tentang dua kumpulan yang hendak meninggalkan medan perang. Satu dari puak Aus dan satu lagi dari puak Khazraj.

Dua kumpulan bertembung yang dimaksudkan adalah tentera Islam dan musyrikin Mekah.

إِنَّمَا استَزَلَّهُمُ الشَّيطانُ بِبَعضِ ما كَسَبوا

sesungguhnya mereka cuba untuk digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan

Mereka ‘cuba’ digelincirkan oleh bisikan syaitan. Kerana itu mereka balik semasa perang masih berlangsung. Lafaz استَزَلَّهُمُ yang digunakan memberi isyarat bahawa syaitan cuba untuk gelincirkan mereka tetapi tidak berhasil. Boleh baca serba sedikit tentang kejadian itu di sini.

Disebabkan kesalahan yang mereka lakukan dulu, iaitu akidah tidak percaya kepada Nabi. Apabila ada masalah macam itu, ianya membuka jalan kepada syaitan untuk memasukkan was-was dalam hati kita. Begitulah, dosa boleh menyebabkan syaitan menggelincirkan kita. Oleh itu, kalau kita hendak selamat, maka hendaklah kita kawal diri kita dari melakukan dosa.

وَلَقَد عَفَا اللَّهُ عَنهُم

sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, 

Allah telah maafkan kesalahan mereka dengan menjadikan mereka mukmin yang sebenar selepas itu. Kalau Allah dah maafkan, siapa kita nak kritik mereka? Maka kita kena berhati-hati dalam menceritakan kisah ini. Jangan lupa cakap bahawa mereka itu telah dimaafkan oleh Allah. Allah pilih mereka untuk melakukan kesilapan itu supaya kita dapat tahu apakah perkara yang kita tidak boleh buat, dan apakah kesan kalau kita buat kesilapan itu. Kalau semua sahabat tidak buat salah, macam mana kita nak belajar?

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyabar. حَليمٌ bermaksud Dia tahu apa yang kita lalui. Oleh itu, Dia tidak terus beri azab kepada kita atas kesalahan kita.


Ayat 156: Ini adalah satu lagi perangai orang munafik.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَكونوا كَالَّذينَ كَفَروا وَقالوا لِإِخوانِهِم إِذا ضَرَبوا فِي الأَرضِ أَو كانوا غُزًّى لَو كانوا عِندَنا ما ماتوا وَما قُتِلوا لِيَجعَلَ اللَّهُ ذٰلِكَ حَسرَةً في قُلوبِهِم ۗ وَاللَّهُ يُحيي وَيُميتُ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not be like those who disbelieved and said about their brothers when they traveled through the land or went out to fight, “If they had been with us, they would not have died or have been killed,” so Allāh makes that [misconception] a regret within their hearts. And it is Allāh who gives life and causes death, and Allāh is Seeing of what you do.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): “Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh”. (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَكونوا كَالَّذينَ كَفَروا

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur

Jangan jadi macam orang munafik. Kufur yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang Munafik. Walaupun zahir mereka nampak Muslim, tapi batin mereka kufur. Allah pesan jangan jadi macam mereka. Oleh itu, kita kena tahu sifat mereka supaya kita boleh elak dari melakukan sifat-sifat itu.

وَقالوا لِإِخوانِهِم إِذا ضَرَبوا فِي الأَرضِ

berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi,

Apakah sifat mereka? Mereka berkata kepada saudara seagama mereka ketika mereka keluar untuk apa-apa urusan agama. Antara terpenting yang dilakukan dalam urusan agama adalah keluar berdakwah. Kerana dakwah perlu dijalankan. Memang para sahabat amat kuat melakukan dakwah ke segenap dunia. Sebab itu ada banyak kubur para sahabat yang letaknya berjauhan dari Tanah Arab, sampaikan ada yang ada di China. Ini adalah kerana mereka tahu mereka kena sampaikan agama itu dan mereka sanggup menghabiskan masa, tenaga, wang dan nyawa mereka untuk menjalankan kerja dakwah. Kita bagaimana?

أَو كانوا غُزًّى

atau keluar berperang

Dan mereka juga berkata sesuatu kepada para sahabat yang mukmin yang keluar berjihad di jalan Allah. Telah banyak kita belajar tentang ayat-ayat Jihad dalam surah Baqarah sebelum ini dan surah ini juga, maka kita sudah tahu kepentingan dijalankan jihad itu. Ianya memerlukan banyak pengorbadan dan tentunya salah satu dari pengorbanan itu adalah jiwa sendiri. Kalau keluar berjihad, tentunya ada yang cedera dan ada ramai yang mati.

Apa kata puak-puak Munafik itu?

لَو كانوا عِندَنا ما ماتوا وَما قُتِلوا

“Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh”.

Inilah kata-kata yang keluar dari mulut mereka: Kalaulah mereka itu duduk-duduk di sisi kami sahaja. Iaitu tidak keluar berdakwah, tidak keluar berjihad, tentu mereka tidak akan dibunuh.

Inilah kata-kata orang kafir. Bila mereka berkata begitu, zahirlah sifat munafik mereka. Sifat munafik itu adalah dalam diri manusia, kita tidak tahu kalau lihat luaran sahaja. Tapi kalau mereka sudah sebut dari mulut mereka sendiri, kita sudah dapat pengenalan sifat kekufuran mereka. Maka, kalau kita sudah tahu, maka kita kena berhati-hati dengan mereka. Kerana mereka itu tidak boleh dibuat kira untuk bersama dengan kita menjalankan kerja-kerja agama.

 لِيَجعَلَ اللَّهُ ذٰلِكَ حَسرَةً في قُلوبِهِم

Allah jadikan yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka

Allah jadikan kata-kata mereka itu sebagai penyesalan dalam hati kepada mereka. Mereka akan menyesal kerana mereka telah berkata begitu.

وَاللَّهُ يُحيي وَيُميتُ

Allah yang menghidupkan dan yang mematikan,

Hidup mati bukan kerana musafir atau jihad, tapi ditentukan oleh Allah. Ada yang pergi berjihad tapi tidak mati; ada yang tidak berjihad tapi mati juga. Adakah kalau mereka duduk-duduk di rumah dengan anak bini, mereka boleh yakin dan pastikan yang mereka tidak akan mati? Tentu tidak, bukan?

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.

Apa sahaja yang kita lakukan dari kebaikan, Allah tahu dan Allah akan balas; begitu juga kalau kita lakukan keburukan, Allah tahu dan Allah akan balas.


Ayat 157: Ini adalah jawapan kedua kenapa kadang-kadang Allah beri kekalahan kepada orang Mukmin dalam peperangan dan ianya adalah ayat tabshir kepada mukminin.

وَلَئِن قُتِلتُم في سَبيلِ اللَّهِ أَو مُتُّم لَمَغفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرَحمَةٌ خَيرٌ مِمّا يَجمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you are killed in the cause of Allāh or die – then forgiveness from Allāh and mercy are better than whatever they accumulate [in this world].

MALAY

Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa – semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup).

وَلَئِن قُتِلتُم في سَبيلِ اللَّهِ

Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah

Sekiranya kamu mati pada jalan Allah, iaitu semasa menjalankan kerja-kerja dakwah atau berjihad fisabilillah.

 أَو مُتُّم

atau kamu mati

atau kamu mati dengan cara biasa. Tapi mati dalam menyempurnakan hukum Allah.

لَمَغفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ

sesungguhnya keampunan dari Allah

Maka kamu akan mendapat pengampunan dari Allah. Inilah yang amat-amat kita harapkan. Kita berharap sangat supaya segala dosa kita dihapuskan. Kerana kalau kita beriman, tapi ada juga dosa-dosa kita, kita akan dimasukkan ke dalam neraka juga untuk membersihkan dosa kita. Selepas dosa dah bersih, barulah kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Masalahnya, kita tidak tahu berapa lama kita akan berada di neraka itu. Maka, kita minta ampunlah sahaja kepada Allah supaya segala dosa kita diampunkan. Kerana itu, hendaklah kita berjuang fisabilillah dan mati semasa menyempurnakan hukum Allah. Jangan mati katak sahaja.

وَرَحمَةٌ

Dan rahmat.

Kita memang mengharapkan rahmat dari Allah kerana dengan rahmatNya sahaja kita boleh masuk syurga. Dari hadis yang sahih, Nabi telah beritahu kita bahawa tidak ada sesiapa, termasuk baginda sendiri yang masuk ke dalam syurga hasil dari amal ibadat yang dilakukan semasa di dunia. Kita hanya dapat masuk dengan rahmat Allah sahaja. Kerana segala amal ibadat kita, tidak kira berapa banyak, tidak cukup untuk membalas segala nikmat yang Allah berikan kepada kita.

خَيرٌ مِمّا يَجمَعونَ

adalah lebih baik dari apa yang mereka itu himpunkan

Pengampunan dari Allah dan rahmatNya itu lebih baik dari apa yang dikumpulkan oleh orang-orang munafik itu. Mereka tidak mahu berjuang di jalan Allah, dan tentunya tidak mahu infak atau berkorban apa-apa sahaja. Mereka nak kumpul kekayaan dunia. Tapi apa yang mereka kumpulkan itu, tidak langsung dapat dibandingkan dengan apa yang akan diberikan oleh Allah kepada orang mukmin yang mati di jalanNya.


 

Ayat 158: Dalam ayat sebelum ini, disebut bahawa kalau sesiapa yang mati semasa berjihad di jalan Allah, atau mati biasa semasa mengerjakan suruhan Allah, Allah akan membalas dengan keampunan dan rahmat dariNya.

وَلَئِن مُتُّم أَو قُتِلتُم لَإِلَى اللَّهِ تُحشَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whether you die or are killed, unto Allāh you will be gathered.

MALAY

Demi sesungguhnya! jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan (untuk menerima balasan).

 

وَلَئِن مُتُّم أَو قُتِلتُم

Demi sesungguhnya! jika kamu mati atau terbunuh, 

Samada mati biasa atau mati berjihad.

 

لَإِلَى اللَّهِ تُحشَرونَ

sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan

Kepada Allah akan dikumpulkan semua sekali. Tidak pergi ke mana. Maka, apakah yang kita akan persembahkan kepada Allah? Adakah dengan dosa atau dengan pahala?


 

Ayat 159: Walaupun para sahabat ada yang melakukan kesalahan, tapi Nabi tak hukum mereka. Mereka masih boleh duduk-duduk bersama majlis Nabi. Nabi kata semua yang terjadi itu adalah takdir Allah. Cuma Nabi berilah nasihat supaya perkara itu jangan bagi terjadi lagi. Nabi boleh bersabar dengan mereka kerana Nabi telah diberikan dengan sifat tabah. Itu menunjukkan betapa untungnya sahabat Nabi, kerana mendapat seorang pemimpin seperti Nabi Muhammad. Jadi ayat ini adalah tasliah kepada sahabat Nabi.

فَبِما رَحمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ ۖ فَاعفُ عَنهُم وَاستَغفِر لَهُم وَشاوِرهُم فِي الأَمرِ ۖ فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So by mercy from Allāh, [O Muḥammad], you were lenient with them. And if you had been rude [in speech] and harsh in heart, they would have disbanded from about you. So pardon them and ask forgiveness for them and consult them in the matter. And when you have decided, then rely upon Allāh. Indeed, Allāh loves those who rely [upon Him].

MALAY

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

 

فَبِما رَحمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka

Dengan sebab rahmat yang Allah telah beri kepada Nabi, Nabi masih dapat berlembut dengan mereka. Allah ingatkan bahwasanya sifat berlembut itu datangnya dari Allah. Allah mahu supaya Nabi berlembut kepada umatnya kerana baginda mewakili rahmat Allah. Walaupun kesalahan mereka berat, sampai ramai mati, mereka boleh duduk-duduk dengan Nabi kerana Nabi tidak marah mereka. Ini adalah sifat pemimpin yang baik dan Nabi ada sifat ini. Kita juga kena ambil pengajaran dari sifat ini.

 

وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ

dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. 

Allah beritahu yang kalau Nabi berlidah tajam فَظًّا (cakap yang menikam hati), atau غَليظَ القَلبِ – hati keras tidak mudah maafkan orang, niscaya sahabat-sahabat yang berjuang bersama baginda itu akan lari dari baginda. Tapi kerana sifat baginda yang lembut terhadap mereka, mereka tidak lari. Mereka tahu mereka salah tapi mereka masih boleh duduk dengan baginda, kerana Nabi masih melayan mereka dengan baik. Ini mengajar kita tentang kepemimpinan.

Kita kena berlembut dengan orang bawahan kita. Kerana kena jaga emosi mereka. Bayangkanlah para sahabat itu bukan calang-calang manusia. Mereka sanggup bermatian kerana Islam dan kerana Nabi Muhammad itu Rasulullah. Tapi kalau mereka pun kena maki dengan Nabi, mereka pun akan lari juga dari sisi baginda. Jadi kalau kita berada dalam kedudukan tinggi dalam keluarga, dalam kelas pengajian, dalam persatuan, dalam halaqah dan sebagainya, kena ambil tahu perkara ini. Walaupun sama-sama belajar, tapi kalau pemimpin atau ustaz itu jenis kaki maki, tuduh anak murid tanpa usul periksa, anak murid pun boleh lari. Bukannya anak murid itu tidak mahu belajar, tolak Islam atau munafik, tapi perangai ustaz itu yang menjauhkan anak murid. Janganlah bila anak murid dah tak datang kelas pengajian, tuduh anak murid ‘dah rasa pandai’… dan macam-macam tuduhan lagi. Kena tengok kepada diri sendiri dahulu, apa kesalahan yang kita dah buat. Sama jugalah dengan pemimpin dalam persatuan dan apa-apa perkumpulan pun. Walaupun perkumpulan itu tentang menegakkan agama Islam. Bukannya mereka sudah tidak mahu tolong agama Islam, tapi mereka sudah tidak sesuai dengan pemimpin yang memimpin persatuan itu.

Kita jangan pula kata: Nabi bolehlah maafkan mereka sebab baginda itu Nabi. Kita kena ingat yang akhlak Nabi itu adalah contoh ikutan kita. Kerana Nabi bukan memainkan peranan sebagai Rasul sahaja, tapi sebagai ayah, sebagai ketua, sebagai sahabat, dan macam-macam lagi. Kerana Nabi pakai banyak ‘topi’ dan kita kena peka perlakuan Nabi. Kalau bukan akhlak dan contoh Nabi yang kita ikut, contoh siapa lagi?

 

فَاعفُ عَنهُم

Oleh itu maafkanlah mereka

Maaf sahajalah kesilapan mereka. Semua manusia akan melakukan kesilapan. Mereka telah belajar dari kesilapan mereka. Dan Allah pun sudah maafkan mereka.

 

وَاستَغفِر لَهُم

dan pohonkanlah ampun bagi mereka, 

Nabi disuruh minta ampun kepada Allah bagi pihak mereka.

 

وَشاوِرهُم فِي الأَمرِ

dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan

Dan sentiasa minta cadangan mereka dalam urusan-urusan khas. Tunjuk yang pandangan mereka dipandang. Tentu perasaan mereka akan lebih lega. Jangan sisihkan mereka. Kalau kita tak marah kepada mereka, tapi pendapat mereka tidak didengari lagi, tentulah mereka akan terasa juga, bukan? Ayat ini mengajar pemimpin untuk dengar pendapat orang bawahan. Betul-betul dengar. Bukan menunjuk macam dengar sahaja.

 

فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ

Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah, 

Cuma dalam mesyuarat, tidak tengok majoriti atau minoriti. Kalau dah nekad kepada satu keputusan, maka peganglah keputusan itu. Apa sahaja yang berlaku, bukanlah disebabkan oleh mesyuarat itu. Hendaklah serah kepada Allah dan tawakal. Apa yang berlaku adalah keputusan Allah. Buat mesyuarat adalah dasar ikhtiar. Serah  kepada Allah. Kejayaan atau kegagalan di tangan Allah.

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ

sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Allah mahu kita bertawakal dan menyerah kepada Allah sahaja. Ali Imran 149-159


 

Ayat 160:

إِن يَنصُركُمُ اللَّهُ فَلا غالِبَ لَكُم ۖ وَإِن يَخذُلكُم فَمَن ذَا الَّذي يَنصُرُكُم مِن بَعدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If Allāh should aid you, no one can overcome you; but if He should forsake you, who is there that can aid you after Him? And upon Allāh let the believers rely.

MALAY

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia meninggalkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

 

إِن يَنصُركُمُ اللَّهُ فَلا غالِبَ لَكُم

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu;

Orang mukmin sedar yang pertolongan Allah akan diberi kepada mukminin yang jaga syarat (antaranya kena bertaqwa dan taat kepada pemimpin perang). Dan kita kena sedar yang kita amat memerlukan pertolongan Allah. Kalau Allah tolong, tidak akan kuasa lain yang dapat mengalahkan kita. غالِبَ adalah apabila ada kuasa yang lebih kuat dari kita yang paksa kita melakukan sesuatu. Tidak kira apa yang mereka ada. Bukankah sudah banyak contoh peperangan yang tentera Islam bilangannya sedikit, tapi mereka tetap menang?

 

وَإِن يَخذُلكُم فَمَن ذَا الَّذي يَنصُرُكُم مِن بَعدِهِ

dan jika Ia meninggalkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah?

Kalau Allah sudah tinggalkan kita, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita langsung. Walaupun satu dunia nak tolong kita. Perkataan يَخذُلكُم berasal dari خدل yang bermaksud kawan yang meninggalkan kawannya semasa kawannya itu amat memerlukan pertolongan. Kita memang amat memerlukan pertolongan Allah, bukan? Tapi kalau Allah tinggalkan kita? Maka, hendaklah kita jaga syariat.

Lafaz خدل bermaksud meninggalkan kawan semasa kawan itu memerlukan pertolongan. Inilah yang telah dilakukan oleh puak munafik apabila 300 dari mereka meninggalkan Nabi dan para sahabat di medan Uhud. Sekarang Allah kata, kalau Dia tinggalkan kita sewaktu kita memerlukanNya, bagaimana? Jika Allah biarkan kita kerana akidah kita salah atau kita tidak jaga hukum, tidak ada sesiapa yang akan dapat kita.

 

وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

Maka orang yang beriman, kena tawakal kepada Allah. Kena jaga hukum Tuhan.


 

Ayat 161: Orang munafik hanya pandang kepentingan dunia sahaja. Mereka tidak fikir tentang akhirat. Pernah dalam satu peperangan, ada harta rampasan perang yang hilang. Puak munafik tuduh Nabi Muhammad yang ambil. Allah turunkan ayat ini.

وَما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ ۚ وَمَن يَغلُل يَأتِ بِما غَلَّ يَومَ القِيامَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ ما كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not [attributable] to any prophet that he would act unfaithfully [in regard to war booty]. And whoever betrays, [taking unlawfully], will come with what he took on the Day of Resurrection. Then will every soul be [fully] compensated for what it earned, and they will not be wronged.

MALAY

Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).

 

وَما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ

Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu berkhianat

Tidak layak seorang Nabi curi harta rampasan. Tujuan Nabi berperang bukanlah kerana mahukan harta. Tuduhan mereka itu memang tidak patut. Mereka tuduh begitu kerana mereka sendiri yang mementingkan harta benda.

 

وَمَن يَغلُل يَأتِ بِما غَلَّ يَومَ القِيامَةِ

dan sesiapa yang berkhianat, dia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu;

Dalam hukum peperangan, harta rampasan tidak boleh diambil sebelum dibahagikan oleh pemimpin. Memang ada bahagian yang akan diberikan kepada mereka yang menyertai perang itu, tapi hanya boleh diambil selepas dibahagikan. Kalau ada yang ambil juga, di akhirat nanti dia akan bawa harta itu dan kena tunjuk untuk diadili oleh Allah.

 

ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ ما كَسَبَت

kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, 

Setiap orang akan dibalas mengikut apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka tidak akan dizalimi.

Dan mereka tidak akan dizalimi. Allah tidak akan melakukan kezaliman. Maksudnya, apa-apa sahaja yang telah dilakukan dari kebaikan akan dibalas, tidak ada yang tertinggal. Malah akan dibalas dengan lebih lagi dari apa kebaikan yang dilakukan; dan kalau ada melakukan kesalahan, akan dibalas dengan yang sama juga – tidak dibalas dengan lebih buruk dari yang dilakukan. Dan tidak akan kena azab kalau tidak melakukannya. Kalau di dunia, kadang-kadang ada orang yang kena hukum walaupun dia tidak melakukan kesalahan, kerana mungkin hakim tidak adil, atau ada orang yang khianat dan bagi bukti yang salah. Tapi ini semua tidak akan terjadi di akhirat nanti.


 

Ayat 162:

أَفَمَنِ اتَّبَعَ رِضوانَ اللَّهِ كَمَن باءَ بِسَخَطٍ مِنَ اللَّهِ وَمَأواهُ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So is one who pursues the pleasure of Allāh like one who brings upon himself the anger of Allāh and whose refuge is Hell? And wretched is the destination.

MALAY

Adakah orang yang menurut keredaan Allah itu sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan dari Allah? Sedang tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

 

أَفَمَنِ اتَّبَعَ رِضوانَ اللَّهِ

Adakah orang yang menurut keredaan Allah itu sama

Adakah sama orang yang mencari redha Allah dengan yang tidak? Cari redha Allah itu adalah dengan taat kepada hukum Allah. Nabi itu seorang yang taat kepada Allah. Perkataan رِضوانَ adalah redha dalam isim mubalaghah. Maksudnya, Nabi Muhammad bukan sahaja mahu Allah redha, tapi baginda mahu Allah sangat sangat redha.

 

كَمَن باءَ بِسَخَطٍ مِنَ اللَّهِ

sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan dari Allah?

Adakah sama dengan orang yang pulang ke akhirat dengan bawa kemurkaan سَخَطٍ dari Allah? Inilah perbandingan yang Allah hendak jelaskan. Sebelum ini disebut tentang ada yang mengatakan Nabi telah mengambil harta rampasan perang. Orang yang mengambil harta rampasan perang adalah yang mendapat murka atau kemarahan dari Allah. Oleh itu, Allah hendak bandingkan sifat Nabi dengan sifat seorang yang mendapat murka Allah. Adakah sama? Tentu tidak. Lafaz سَخَطٍ bermaksud ‘marah’ tetapi digunakan khusus apabila yang orang yang berada di kedudukan yang atas marah kepada orang bawahannya. Contohnya guru marah kepada anak murid dipanggil سَخَطٍ. Kalau anak murid yang marah kepada guru, tidaklah boleh digunakan lafaz سَخَطٍ.

 

وَمَأواهُ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المَصيرُ

tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Tempat mereka yang mendapat kemurkaan dari Allah adalah neraka jahannam. Lafaz المَصيرُ bermaksud destinasi akhir. Ianya adalah tempat yang terakhir yang akan pergi. Katakanlah kita akan pergi merata-rata tempat dalam dunia ini, tapi akhirnya kita akan pergi ke tempat yang kita akan tinggal tetap juga akhirnya, bukan? Allah beri perumpamaan bahawa Neraka itu adalah tempat tinggal yang tetap bagi mereka. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang munafik.


 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s