Tafsir Surah Ali Imran Ayat 140 – 146 (Orang kafir takut kepada tentera Islam)

Ayat 140: Allah ‎ﷻ timpakan kekalahan kepada orang Islam sebagai pengajaran. Allah ‎ﷻ menggunakan para sahabat sebagai contoh, apa yang akan terjadi kalau orang Islam sendiri melakukan kesilapan. Memang ada antara para sahabat yang telah melakukan kesilapan semasa Perang Uhud itu.

Namun kita kena ingat, Allah ‎ﷻ sudah memaafkan mereka. Namun kalau orang seterusnya juga buat perkara yang sama, akan tetap berdosa. Kita kena ambil pengajaran daripada apa yang telah dilalui oleh para sahabat.

Begitulah istimewanya mereka, kerana Allah ‎ﷻ takdirkan mereka melakukan kesilapan, kemudian Allah ‎ﷻ maafkan mereka. Ini kerana kalau mereka tidak buat kesilapan, kita tidak tahu mana perbuatan yang salah supaya kita tidak buat.

إِن يَمسَسكُم قَرحٌ فَقَد مَسَّ القَومَ قَرحٌ مِّثلُهُ ۚ وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If a wound should touch you – there has already touched the [opposing] people a wound similar to it. And these days [of varying conditions] We alternate among the people so that Allāh may make evident those who believe and [may] take to Himself from among you martyrs – and Allāh does not like the wrongdoers –

MALAY

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

إِن يَمسَسكُم قَرحٌ

Jika kamu mendapat luka (tercedera),

Semua itu adalah salah satu perkara yang telah berlaku. Kalau berlaku kecederaan atau kekalahan dalam Uhud, ada hikmahnya yang tersirat, yang Allah ‎ﷻ gunakan para sahabat untuk ajar orang lain.

Memang para sahabat telah banyak mendapat kecederaan, malah ada 70 orang daripada mereka yang mati.

فَقَد مَسَّ القَومَ قَرحٌ مِّثلُهُ

sesungguhnya kaum (musyrik) itu telah mendapat luka yang sama

Allah ‎ﷻ mengingatkan para sahabat bahawa kekalahan seperti ini telah berlaku kepada orang Kafir Mekah pada tahun sebelumnya. Tahun ini orang Islam pula yang kena.

وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ

Dan demikian itulah keadaan hari-hari, Kami gilirkan antara sesama manusia

Hari-hari yang menang dan kalah itu Allah‎ ﷻ gilirkan antara manusia untuk menguji manusia. Tidaklah orang Islam sentiasa sahaja menang. Kadang-kadang orang Islam menang, kadang-kadang kalah. Ini perkara biasa. Seperti kata pepatah: hidup umpama roda, kadangkala duduk di atas, kadangkala duduk di bawah.

وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا

dan supaya nyata bagi Allah, siapa yang sebenarnya beriman

Tujuannya, untuk Allah ‎ﷻ bezakan siapa yang betul-betul beriman dan teguh menjaga hukum. Allah ‎ﷻ memang sudah tahu siapa beriman dan tidak, tetapi Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan kepada manusia.

Jangan kita salah faham dengan ayat ini, dengan mengatakan Allah ‎ﷻ buat begitu untuk Allah ‎ﷻ tahu siapa yang beriman. Ini kerana Allah ‎ﷻ sudah tahu siapa yang beriman dan tidak. Cuma Allah ‎ﷻ hendak zahirkan kepada manusia yang lain. Allah ‎ﷻ hendak zahirkan kepada orang mukmin, siapakah di antara orang yang mengaku Muslim itu yang benar-benar mukmin atau munafik.

وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ

dan juga supaya Allah mengambil sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. 

Dengan mati itulah baru Allah‎ ﷻ boleh jadikan ada Muslim yang mati syahid. Kalau tidak mati-mati, pergi perang asyik menang sahaja, nanti tidak ada yang mati syahid pula, bukan?

Mati syahid sepatutnya menjadi cita-cita setiap orang Islam kerana ia adalah pengakhiran kehidupan yang amat hebat. Orang yang mati syahid, boleh terus masuk ke syurga. Mereka tidak perlu tunggu di Mahsyar sebagaimana orang-orang yang biasa. Tunggu di Mahsyar itu pun sudah satu azab juga sebenarnya, kerana menunggu dalam keadaan yang tidak selesa dan entah berapa lama.

Sedangkan kalau mati syahid, terus masuk syurga dan menikmati nikmat dalam syurga itu. Orang lain sedang tunggu di Mahsyar, para syuhada’ sedang sedap-sedap di syurga. Apabila mahkamah pengadilan Allah ‎ﷻ ditegakkan setelah entah berapa puluh ribu tahu di Mahsyar, barulah dikeluarkan sekejap para syuhada’ itu untuk dibacakan amalan mereka. Kemudian akan dimasukkan semula ke dalam syurga. Bukankah  ini yang sepatutnya kita inginkan?

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Allah ‎ﷻ tidak suka golongan zalim. Orang kafir adalah orang yang melakukan kezaliman yang paling tinggi, iaitu mereka syirik kepada Allah ‎ﷻ. Maksud ‘zalim’ adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mana lagi berat daripada tidak meletakkan Allah ‎ﷻ di tempat yang tertinggi dalam kehidupan kita?

Allah ‎ﷻ memang tidak suka kepada orang yang zalim. Bukanlah Allah ‎ﷻ beri kemenangan kepada golongan kuffar itu kerana Allah ‎ﷻ suka kepada mereka, tidak langsung. Jadi Allah ‎ﷻ tidak mahu kita salah anggap. Allah ‎ﷻ tetap sayang dan kasih kepada orang mukmin dan orang Islam. Namun Allah ‎ﷻ jadikan Muslim kadangkala menang dan kadangkala kalah kerana sebab-sebab yang telah disebut di atas dan selepas ini.


Ayat 141:

وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَيَمحَقَ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that Allāh may purify the believers [through trials] and destroy the disbelievers.

MALAY

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang yang kafir.

وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman

Tujuan kekalahan dalam peperangan juga adalah untuk Allah ‎ﷻ bersihkan orang Mukmin daripada orang munafik. Bila ada ujian berat seperti ini, barulah nampak siapa beriman dan siapa yang munafik. Orang munafik yang sebelum ini menyembunyikan kekafiran mereka, sampaikan sahabat tidak tahu siapakah yang munafik.

Oleh kerana tidak tahu, maka sahabat yang mukmin bercampur gaul dengan golongan munafik itu kerana sangka orang-orang munafik itu beriman juga. Maka Allah ‎ﷻ jadikan apa yang terjadi dalam peperangan Uhud itu supaya umat Islam yang mukmin nampak siapakah yang munafik.

Makna ayat ini akan lebih jelas dalam Surah Ar-Ra’d. Konsep ini dipanggil tamhis – untuk membersihkan orang beriman.

وَيَمحَقَ الكٰفِرينَ

dan membinasakan orang-orang yang kafir.

Allah ‎ﷻ jadikan ujian ini untuk menghancurkan orang kafir dengan cara melemahkan mereka. Walaupun mereka nampak menang dari segi fizikal, tetapi mereka sebenarnya menuju kehancuran. Mungkin mereka tidak terus hancur, tapi lama kelamaan mereka akan dihancurkan oleh Allah ﷻ kerana mereka telah menentang umat Islam secara berdepan.


Ayat 142: Allah ﷻ ingatkan kita supaya jangan mudah mengalah dan berhenti daripada berjihad kalau sekali sekala kalah. Jihad ini adalah syari’at yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

Kita kena sedar pentingnya untuk jihad fisabillah dijalankan, untuk agama dikenali dan diikuti oleh manusia. Kalau tidak ada jihad, orang Islam tidak jadi kuat. Orang luar Islam juga mungkin tidak akan masuk agama Islam.

Jadi jihad adalah proses berterusan yang harus dijalankan. Kalau tidak dijalankan, orang Islam akan lemah dan orang kafir pula yang menjadi kuat. Jangan jadikan sebab kekalahan itu untuk berhenti berjihad. Oleh itu, Allah ‎ﷻ berikan teguran kepada mereka yang hendak berhenti berjihad.

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do you think that you will enter Paradise while Allāh has not yet made evident those of you who fight in His cause and made evident those who are steadfast?

MALAY

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga

Adakah kamu sangka kamu boleh masuk syurga dengan mudah, tanpa jihad? Tanpa susah payah? Penghuni syurga sebenarnya adalah mereka yang bersusah payah dan berkorban dalam menegakkan dan mengamalkan agama. Syurga itu sebenarnya untuk pejuang. Kalau bukan pejuang, tidak akan masuk syurga kerana harga syurga itu mahal sebenarnya. Tidak ada yang masuk syurga dengan percuma. Ia dibayar dengan perjuangan yang bukan senang.

وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم

padahal belum lagi nyata kepada Allah orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu

Sedangkan belum nyata kepada Allah ‎ﷻ golongan pejuang dalam kalangan kamu. Allah ‎ﷻ hendak menyatakan siapakah golongan pejuang. Allah ‎ﷻ sudah tahu siapakah yang berjiwa pejuang. Jangan sangka Allah ‎ﷻ buat peperangan dan ujian sebab Allah ‎ﷻ hendak tahu, kerana Allah ‎ﷻ sudah sedia tahu tetapi Allah ‎ﷻ hendak berikan ujian kepada mereka.

وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ

dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar

Dan supaya Allah ‎ﷻ boleh nyatakan siapakah yang bersabar dalam berjihad sampai ke akhir hayat. Kerana dalam berjihad memerlukan kesabaran.

Cuma sekarang kita sedang belajar tentang jihad qital (jihad perang). Zaman sekarang sedang tidak ada jihad perang lagi, maka nanti ada ayat-ayat tentang jihad lisan (jihad dakwah menggunakan mulut). Maknanya, tetap juga ada jihad, cuma cara berbeza.


Ayat 143: Apabila para sahabat mendengar ayat-ayat jihad, mereka terdorong sangat untuk menjalankannya kerana diberitahu kalau mati syahid, masuk syurga terus.

Memang semua hendak berjihad, tetapi masa hendak mengamalkannya, ada yang menghadapi masalah. Sudah tentu ada keberatan kerana jiwa tidak suka kepada kesusahan. Sahabat pun begitu juga.

وَلَقَد كُنتُم تَمَنَّونَ المَوتَ مِن قَبلِ أَن تَلقَوهُ فَقَد رَأَيتُموهُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you had certainly wished for death [i.e., martyrdom] before you encountered it, and you have [now] seen it [before you] while you were looking on.

MALAY

Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telah pun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).

وَلَقَد كُنتُم تَمَنَّونَ المَوتَ

Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati

Yang dimaksudkan mati dalam ayat ini adalah ‘Mati Syahid’. Para sahabat pernah bercita-cita untuk mati syahid, kerana mereka sudah tahu, dengan cara mati syahid boleh masuk syurga terus.

Kalimah تَمَنَّونَ daripada kata dasar منو yang bermaksud ‘mahukan sesuatu yang kita tidak pasti apakah ia’. Iaitu apabila kita tidak tahu apakah kesan daripada kemahuan itu. Bukan mereka sahaja teringin, kita yang telah membaca ayat-ayat jihad ini pun, rasa terbangkit untuk berjihad (dan mati syahid), namun adakah kita tahu apakah hakikat jihad itu?

مِن قَبلِ أَن تَلقَوهُ

sebelum kamu menghadapinya. 

Itu sebelum mereka menghadapi kematian, mereka amat teringin nak mati syahid dan terus melakukan jihad. Itu sebelum mereka tengok dengan mata mereka sendiri, kematian yang banyak di medan jihad. Bila mereka sudah lihat suasana sebenarnya, tentu mereka ada yang sudah takut mati.

فَقَد رَأَيتُموهُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telah pun menyaksikannya dan kamu sedang merenungnya

Sekarang kamu sudah nampak sebab untuk mati syahid itu sudah ada di hadapan mata (nak mati syahid, kena sanggup berperang). Bukankah sebelum ini kamu sudah mahukannya? Allah ‎ﷻ berfirman dalam ayat ini, kerana para sahabat ada yang terkejut dan merenung lama suasana perang itu kerana terkejut.

Itulah maksud dibandingkan نظر dengan رأي. Kalau kalimah رأي sahaja yang digunakan, ia hanya merujuk kepada perbuatan melihat biasa sahaja. Perkataanنظر bermaksud ‘staring’ atau ‘merenung’ lama dan jauh.

Ini adalah tentang para sahabat yang masih muda dan tidak menyertai Perang Badr dahulu. Mereka telah mendengar kisah kemenangan semasa di Perang Badr itu. Apabila datang berita akan berlaku lagi peperangan dengan puak Musyrikin Mekah lagi, mereka sudah bersemangat untuk berperang. Mereka sangka tentu mereka akan menang besar lagi.

Semasa sampai berita yang tentera musyrikin Mekah akan menyerang Madinah, Nabi ﷺ telah bertanya kepada sahabat sama ada mereka akan keluar bertemu tentera musuh di luar kota atau mempertahankan di dalam kota sahaja. Abu Bakr رضي الله عنه adalah antara yang berpendapat mereka patut bertahan sahaja di kota. Nabi ﷺ pun rasa begitu juga. Termasuk yang mahu mereka bertahan di kota sahaja adalah puak munafik.

Namun begitu, mereka yang muda merasakan mereka kuat sebab tentera Islam baru sahaja menang besar di Badr, dan mereka bersemangat untuk mati syahid kononnya. Mereka kata kalau bertahan di kota, akan membahayakan wanita dan kanak-kanak pula. Nabi ﷺ telah mengikut pendapat mereka walaupun baginda lebih suka untuk bertahan di kota sahaja. Ini kerana mereka nampak bersemangat sekali.

Namun begitu, apabila mereka nampak peperangan di hadapan mata mereka yang sedang benar-benar terjadi, baru mereka terkejut melihatnya. Baru mereka sedar apa yang mereka ingin-inginkan dahulu bukannya semudah yang mereka sangkakan.

Selalunya kita kalau kata hendak jihad, atau buat sesuatu yang besar, kita mulanya semangat membara tetapi apabila sudah tahu apakah yang harus dibuat, mulalah kita fikir balik. Begitulah yang selalu terjadi kepada golongan muda itu. Kalau orang yang ada pengalaman, mereka lain sedikit, kerana mereka sudah tahu hakikat perang yang sebenar.


Ayat 144: Semasa dalam Perang Uhud itu, ada sampai berita kepada para sahabat yang sedang berperang itu bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah terbunuh. Begitulah, dari dulu lagi sudah ada berita palsu yang disampaikan manusia. Jadi jangan terus gelabah kalau dengar berita dalam media sosial terutamanya. Kebanyakan berita adalah tidak benar.

Namun orang kita kebanyakannya kelam kabut, terus sahaja hendak forward mesej sehingga menyebabkan kecoh dalam masyarakat. Sedangkan itu adalah perkara dosa (menyampaikan perkara yang belum pasti). Apabila kita tanya dan tegur mereka yang bodoh akan jawab: “Aku forward jer.. kot-kot betul….”. Semua ingin menjadi ‘Raja Forward’.

Apabila mereka dengar yang Nabi ﷺ sudah wafat, maka peritlah rasa hati para sahabat. Ia lebih perit daripada kalah dalam peperangan sehinggakan ada dalam kalangan orang Islam yang munafik berkata: “Sudah habislah agama Islam”. Mereka sebenarnya suka kerana mereka hendak kembali keadaan asal sebelum kedatangan Islam. Sehinggalah Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan manusia, kalau Nabi ﷺ wafat pun, ingatlah yang baginda itu pun manusia (yang tetap akan mati akhirnya). Allah ‎ﷻ mengingatkan yang agama Islam ini hak Allah ‎ﷻ, bukan hak Nabi. Tuan kepada agama ini tidak mati pun. Maka Allah ‎ﷻ menegur mereka. Takkan kalau Nabi ﷺ‎ wafat, kamu mahu menjadi murtad pula?

Walaupun berita Nabi ﷺ‎ wafat itu tidak benar, tetapi Allah ‎ﷻ turunkan juga ayat ini kerana berita itu telah menggugat hati para sahabat. Ingatlah yang dalam agama Islam ini, kita tidak bergantung kepada sesiapa, tetapi kita bergantung hanya kepada Allah ‎ﷻ.

وَما مُحَمَّدٌ إِلّا رَسولٌ قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مّاتَ أَو قُتِلَ انقَلَبتُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم ۚ وَمَن يَنقَلِب عَلىٰ عَقِبَيهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيئًا ۗ وَسَيَجزِي اللَّهُ الشّٰكِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Muḥammad is not but a messenger. [Other] messengers have passed on before him. So if he was to die or be killed, would you turn back on your heels [to unbelief]? And he who turns back on his heels will never harm Allāh at all; but Allāh will reward the grateful.

MALAY

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

وَما مُحَمَّدٌ إِلّا رَسولٌ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Nabi Muhammad ﷺ itu hanyalah seorang Rasul, bukannya Tuhan. Memang baginda pasti akan mati sebab baginda merupakan seorang manusia.

Ini juga tempelak kepada golongan yang menjadikan Nabi Muhammad ﷺ sebagai tuhan. Jangan terkejut kerana memang ada golongan ini di dalam masyarakat Muslim di Malaysia dan negara-negara lain. Sebagaimana umat dahulu menjadikan Rasul dan Nabi mereka sebagai Tuhan, dalam kalangan umat Islam pun ada juga begitu, iaitu mereka yang jauh daripada wahyu.

قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ

yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul 

Telah ada sebelum ini rasul-rasul lain. Mereka pun wafat juga. Kalau namanya manusia, memang akan tetap mati. Nabi Khidr عليه السلام pun wafat juga dan inilah pandangan yang rajih. Golongan yang termakan dengan diayah Syiah sahaja yang mengatakan Nabi Khidr عليه السلام masih hidup.

أَفَإِن مّاتَ أَو قُتِلَ انقَلَبتُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم

kalau ia mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik atas tumit kamu?

Kalau Nabi wafat biasa (ماتَ) atau wafat dibunuh (قُتِلَ), adakah kamu akan murtad daripada agama Allah ‎ﷻ dan kembali kepada agama kamu dahulu? Kalau begitu, amat bodoh sekali kamu.

وَمَن يَنقَلِب عَلىٰ عَقِبَيهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيئًا

Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; 

Sesiapa yang murtad, tidak akan membahayakan Allah ‎ﷻ sedikit pun kerana Allah ‎ﷻ tidak memerlukan iman dan amal kita. Tidaklah Allah ‎ﷻ menjadi lemah kalau sedikit sahaja yang menyembah-Nya. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan iman kita pun. Namun mereka kena tahu bahawa mereka telah membahayakan diri mereka sendiri.

وَسَيَجزِي اللَّهُ الشّٰكِرينَ

Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur

Allah ‎ﷻ akan membalas sesiapa yang bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Antaranya, bersyukur dengan nikmat dimasukkan ke dalam agama Islam – ini adalah nikmat yang tidak ada tandingannya.

Ada riwayat yang mengatakan bagaimana apabila tersebar berita yang Nabi Muhammad ﷺ telah wafat dalam Perang Uhud, Saidina Umar رضي الله عنه telah terduduk kerana beliau sangat terkesan dengan berita itu dan beliau tidak boleh meneruskan lagi untuk berperang.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ benar-benar telah wafat, sekali lagi Saidina Umar رضي الله عنه tidak dapat menerima kenyataan itu dan menghunuskan pedang dan hendak memenggal sesiapa yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ telah wafat. Saidina Abu Bakr رضي الله عنه telah membacakan ayat ini kepada beliau dan barulah beliau redha. Beliau berkata apabila Saidina Abu Bakr رضي الله عنه membacakan ayat ini, ia seolah-olah seperti baru pertama kali mendengarnya. Ini adalah kerana Saidina Umar رضي الله عنه sangat cintakan baginda.


Ayat 145: Memang kematian itu akan ditempuh oleh semua orang. Kalau tidak mati semasa berjihad, boleh mati dengan cara yang lain. Yang kita kena fikirkan adalah bagaimana untuk menggunakan nyawa ini untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ kerana mati memang tetap akan mati, hanya menunggu masa sahaja.

Kalau kita gunakan masa hidup kita ini untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ, semoga kita akan dapat mati syahid. Sebab itulah para sahabat menghabiskan harta dan nyawa untuk agama kerana mereka diberi kefahaman yang mendalam tentang agama. Mereka takut mati mereka sia-sia sahaja.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini, kalau manusia mati semasa dalam jihad, itu adalah mati yang terbaik sekali. Jadi jangan takut mati dalam jihad. Hati kita kena ada harap kepada jihad.

وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تَموتَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ كِتٰبًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَن يُرِد ثَوابَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها وَمَن يُرِد ثَوابَ الآخِرَةِ نُؤتِهِ مِنها ۚ وَسَنَجزِي الشّٰكِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is not [possible] for one to die except by permission of Allāh at a decree determined. And whoever desires the reward of this world – We will give him thereof; and whoever desires the reward of the Hereafter – We will give him thereof. And We will reward the grateful.

MALAY

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تَموتَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, 

Mati itu terjadi hanya dengan izin Allah ‎ﷻ sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ yang menentukan bilakah seseorang itu mati. Kalau semua orang hendak membunuh satu-satu makhluk, tetapi tidak akan terjadi jika Allah ‎ﷻ tidak izinkan. Ramai yang hendak bunuh diri pun tidak mati-mati sebab bukan masa yang Allah ‎ﷻ tentukan.

كِتٰبًا مُّؤَجَّلًا

iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya

Bilakah terjadinya kematian itu adalah keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Bila sampai masa, akan mati juga, tidak akan tertangguh lagi walau sesaat. Kita tidak boleh hendak tahu, jadi kena bersedia sahaja. Ada orang pergi melawat orang sedang nazak di hospital, tetapi bukan orang yang nazak itu yang mati, namun dia pula yang mati.

وَمَن يُرِد ثَوابَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها

Dan sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari dunia itu

Sesiapa yang hendak pulangan dunia sahaja, Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri. Kalau orang yang berusaha gigih hanya kepada dunia, Allah ‎ﷻ akan beri berdasarkan usahanya. Sebab itu kita lihat orang kafir banyak yang kaya raya, kerana mereka memang berusaha untuk dunia sahaja, mereka tidak memikirkan akhirat. Segala usaha dan fikiran mereka untuk dunia, mereka menggunakan segala jenis teknik, maka Allah ‎ﷻ berikan kekayaan kepada mereka.

وَمَن يُرِد ثَوابَ الآخِرَةِ نُؤتِهِ مِنها

dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu;

Namun bagi sesiapa yang hendakkan pulangan di akhirat, Allah ‎ﷻ akan beri juga iaitu yang berusaha dan beramal untuk mendapat pulangan di akhirat. Fikiran mereka sentiasa ingatkan akhirat. Inilah yang paling bagus untuk difikirkan kerana untuk menjadi kaya belum tentu, tetapi jumpa akhirat sudah tentu.

وَسَنَجزِي الشّٰكِرينَ

dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

Allah ‎ﷻ akan beri balasan tambahan kepada mereka yang pandai bersyukur atas nikmat Allah ‎ﷻ. Maknanya, kita ada pilihan sama ada hanya hendakkan dunia sahaja atau hendakkan akhirat sekali. Allah ‎ﷻ suka kepada mereka yang mahu kepada akhirat. Janganlah kita hanya hendakkan kepada dunia sahaja.

Namun harus diingatkan, kita bukannya menolak terus dunia, tetapi kita sebagai mukmin, harus melebihkan akhirat daripada dunia. Dunia ini tempat kita hidup dan  mencari pahala, maka tentulah kita kena kisah juga. Namun apa sahaja yang buat di dunia ini, kena timbang dengan kesannya di akhirat kelak.


Ayat 146: Kalau tidak berjuang bersama Nabi Muhammad ﷺ, tidak ada Nabi lain lagi yang akan datang selepas itu. Maka, kenalah ambil peluang untuk berjuang bersama-sama dengan baginda kerana penyokong-penyokong Nabi terdahulu, mereka berjuang bersama dengan Nabi mereka.

Allah ‎ﷻ sebut sifat-sifat mereka dalam ayat ini. Maka kita pun kenalah ikut mereka juga dengan mempunyai sifat-sifat sebegini.

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قٰتَلَ مَعَهُ رِبِّيّونَ كَثيرٌ فَما وَهَنوا لِما أَصابَهُم في سَبيلِ اللَّهِ وَما ضَعُفوا وَمَا استَكانوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصّٰبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a prophet [fought and] with him fought many religious scholars. But they never lost assurance due to what afflicted them in the cause of Allāh, nor did they weaken or submit. And Allāh loves the steadfast.

MALAY

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قٰتَلَ مَعَهُ رِبِّيّونَ كَثيرٌ

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada orang-orang Mukmin, entah berapa banyak Nabi dahulu yang berjuang bersama mereka itu penyokong-penyokong mereka yang ramai yang berhubungan dengan Allah ‎ﷻ – mereka digelar Rabbaniyyun. Mereka itu semua berjuang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

Nabi mereka telah ditugaskan untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ, dan mereka membantu nabi-nabi mereka. Mereka tidak melarikan diri, mereka tidak berpeluk tubuh. Mereka tidak seperti orang-orang Munafik yang meninggalkan medan peperangan seperti yang berlaku semasa Perang Uhud itu.

فَما وَهَنوا لِما أَصابَهُم في سَبيلِ اللَّهِ

mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah

Mereka tidak berasa lemah semangat atas musibah yang menimpa mereka ketika mereka berjuang di jalan Allah ‎ﷻ. Musibah dan kesusahan adalah perkara biasa, kerana perjuangan adalah ujian. Kalau sudah dinamakan ujian, tentunya perkara yang susah. Mereka terima segala kesusahan dan ujian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka.

Malangnya kita yang dituduh Wahabi pun sudah mula takut untuk buka mulut untuk menyampaikan dakwah. Bila dakwah orang tidak terima pun, patah semangat. Sedangkan bukannya ancaman nyawa pun diberikan kepada kita sekarang.

وَما ضَعُفوا

dan mereka juga tidak lemah tenaga

Dan tubuh badan mereka tidak berasa lemah semasa berjuang. Tidaklah mereka mengadu sakit badan, tidak jadi hendak pergi berperang. Tidaklah mengadu demam, asthma dan sebagainya. Tidaklah penat dan hendak berehat bersama anak bini sahaja.

وَمَا استَكانوا

dan tidak pula mahu tunduk

Dan tidak sekali-kali tunduk kepada orang kafir. Maksudnya mereka tidak biarkan sahaja orang kafir hendak berbuat apa yang mereka suka. Ini kerana kalau dibiarkan sahaja, tentulah orang kafir itu akan menjadi lebih zalim, sebab mereka sudah rasa kalau mereka buat apa-apa sahaja, mereka tidak akan dapat kesan apa-apa pun. Maka mereka itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Orang-orang Mukmin itu tidak takut dengan ancaman daripada orang kafir kerana mereka lebih takut dengan ancaman Allah ‎ﷻ. Tidaklah seperti kita sekarang, hendak tegur Amerika pun takut kalau Amerika tidak bagi bisnes kepada kita.

Dalam masyarakat pula, takut sangat hendak tegur kerana takut dipulau. Kalau ada majlis bid’ah seperti majlis tahlil, bila tidak pergi pun rasa berpeluh satu badan. Padahal tidak pergi sahaja pun, bukannya menegur. Sepatutnya kena tegur, tetapi tegur tidak, hendak tahan diri daripada pergi pun takut.

وَاللَّهُ يُحِبُّ الصّٰبِرينَ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

Allah ‎ﷻ amat suka kepada hamba-hamba yang ada sifat sabar seperti ini. Sifat sabar amat penting. Sabar itu hanya ada pada mereka yang redha sahaja dengan ketentuan Allah ‎ﷻ. Ini bagi mereka yang sedar, bahawa diri ini hanya hamba sahaja, dan Allah ‎ﷻ itu Rabb kita, tuan kita, Tuhan kita. Dia boleh buat apa-apa sahaja kepada kita. Kita tidak layak untuk mempersoalkan apa sahaja yang Allah ‎ﷻ hendak kita buat.

Sabar itu maksudnya sabar dalam taat. Ini kerana untuk terus taat, memerlukan kesabaran yang tinggi, kerana ia tentu tidak senang. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi dan perlu menempuh ranjau sepanjang jalan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Januari 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s