Tafsir Surah Jumuah Ayat 1 – 4 (Siapakah goyim?)

Pengenalan:

Di dalam Surah Saff sebelum ini telah diberitahu bahawa tugas Nabi dibangkitkan adalah untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Dan dalam Surah Jumuah ini akan memberi tahu bagaimana cara ianya dapat dijalankan.

Maka kita sebagai umat baginda dan ditugaskan untuk meneruskan tugas baginda, kenalah tahu perkara ini dan menjalankan tanggungjawab ini. Maka kena ikut cara yang Allah ajar dalam surah ini.

Tema utama surah ini terdapat di dalam ayat kedua tetapi dihujung surah ini akan diberitahu tentang solat Jumaat. Ini menunjukkan kepentingan solat Jumaat ini di dalam menegakkan agama Allah. Maka kita akan dapat belajar nanti.

Surah Jumuah ini juga adalah permulaan kepada rentetan surah-surah berkenaan infak di dalam surah-surah musabbihat. Sebelum ini kita dah belajar rentetan surah-surah berkenaan jihad.

Surah ini mengajar dan sentuh tentang pembelajaran ilmu. Tamadun Islam akan berkembang apabila pembelajaran ilmu dijalankan. 

Kita boleh lihat masalah salah faham agama dalam masyarakat kita sekarang ini adalah kerana budaya ilmu amat lemah. Semua perkara agama diserahkan kepada para ustaz dan semua pakai percaya sahaja.

Sampaikan bila para ustaz itu mengajar perkara yang karut pun, terus dipercayai. Tapi sekarang ilmu semakin mudah untuk didapati, dan kerana itu rakyat semakin celik agama. 


Ayat 1:

يُسَبِّحُ ِللَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ المَلِكِ القُدّوسِ العَزيزِ الحَكيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Jumu‘ah: Friday.

Whatever is in the heavens and whatever is on the earth is exalting Allāh,¹ the Sovereign, the Pure, the Exalted in Might, the Wise.

  • See footnote to 57:1.

(MELAYU)

Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

يُسَبِّحُ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.

Sekali lagi disebut tentang tasbih di dalam ayat ini di mana diberitahu yang seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi ini bertasbih kepada Allah. Dan ada banyak lagi makhluk yang kita tidak tahu maka kerana itu digunakan kalimah ما kerana jikalau kita tahu kalimah ataupun benda yang dimaksudkan maka kalimah الّذي yang digunakan. Jadi kerana kita tidak tahu, kita gunakan kata tunjuk dalam bentuk umum sahaja, iaitu ما.

Sama ada kamu tahu atau pun tidak tahu jenis makhluk Allah yang bertasbih itu, ketahuilah yang mereka bertasbih kepada Allah. Dan ini adalah perli Allah kepada manusia – makhluk semua bertasbih kepada Allah, kamu pula bagaimana, wahai manusia?

Surah ini juga di mulai dengan tasbih kerana hendak mengingatkan manusia bahawa tujuan melakukan infaq dan juga jihad adalah untuk membersih dan menyucikan nama Allah di dalam diri manusia. Iaitu tujuan jihad adalah Tauhid dan tasbih adalah kalimah tauhid. Kalau tidak faham perkara ini, maka sia-sia sahaja berjihad kerana akan masuk neraka juga akhirnya. 

Permulaan ayat ini juga hendak menolak fahaman Yahudi yang menolak kerasulan Nabi Muhammad hanya kerana baginda bukan dari Bani Israil. Mereka sudah nampak yang Nabi Muhammad itu adalah memang betul seorang Nabi, tapi mereka masuk juga menolak. Mereka sangka yang hanya bangsa mereka sahaja yang layak jadi Nabi kerana mereka itu ‘umat pilihan’.

Maka Allah suruh kita bertasbih membersihkanNya dari sifat pilih kasih. Allah tidak pilih kasih dalam memberi nikmat kepada manusia. Allah beri rahmatNya kepada semua makhluk. Allah tidak zalim dengan menahan rahmat dari mana-mana bangsa.

Ayat ini agak unik kerana ada 4 fawaasil (jamak kepada faasilah). Iaitu nama-nama sifat Allah yang selalu disebut di hujung ayat. Selalunya kita biasa lihat di penghujung ayat hanya ada dua faasilah sahaja.

المَلِكِ

Raja, 

Allah adalah Raja segala raja. Ini adalah pemerintahan Allah secara makro (secara keseluruhan).

Apabila ada raja di dalam satu-satu kerajaan maka mereka mahu ditunjukkan ketaatan kepada rajanya itu. Ini sebagaimana pada zaman sekarang setiap pejabat ataupun kedai ada gambar raja. Mereka hendak meletakkan tanda raja itu ada di segenap tempat. (Saya tidaklah menggalakkan gambar digantung pula). 

Jadi apabila kita terima yang kita ada Raja iaitu Allah, maka kita kenalah menunjukkan ketaatan kita kepada Raja itu. Maka kita hendaklah menjadi hambaNya, taat kepadaNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Apabila seorang Raja itu perlu ditaati, maka tentulah Raja Segala Raja kena ditaati juga. Jadi kalau puak Yahudi masih nak melawan lagi keputusan Allah melantik Rasul dari bangsa Arab, maka mereka tentu akan dikenakan dengan balasan buruk – lagi teruk dari balasan seorang rakyat yang menentang rajanya.

القُدّوسِ

Yang Maha Suci,

Faasilah kedua yang disebut di dalam ayat ini adalah al-Quddus. Qudus dari segi bahasa bermaksud suci dari bercampur dengan bahan-bahan. Ia bermaksud suci dari asal lagi.

Dan ini berbeza dengan kalimah zakah (yang juga bermaksud suci) kerana ia bermaksud kesucian yang datang kemudian iaitu setelah dibersihkan. Kalau zakah digunakan, ia bermaksud sebelum itu tidak bersih tetapi setelah melakukan sesuatu, maka ia jadi bersih.

Tapi quds bermaksud suci dari asal lagi. Jadi apabila kita melakukan taqdis (penyebutan penyucian), bukanlah kita menyucikan sesuatu tetapi kita menyebut tentang kesucian sesuatu itu.

Kalimah Quddus pula adalah dalam bentuk mubalaghah (bersangatan, ekstrem). Maknanya, Allah bukan sahaja suci, tapi Dia menjadi sumber kepada semua kesucian di dalam alam. Jadi apabila kita melakukan taqdis kepada Allah, maka kesannya adalah ia akan menyucikan diri kita.

Allah suci dari melakukan kesilapan. Jadi segala perbuatan Allah tidak pernah salah. Manusia memang buat banyak kesilapan dan kesalahan, tapi Allah tidak sama sekali. Maka janganlah Yahudi kata Allah salah pilih Nabi Muhammad sebagai Rasul pula. Itu menghina Allah namanya.

العَزيزِ

Yang Maha Perkasa 

Kalimah al Aziz mempunyai dua makna didalamnya: iaitu hormat dan kuasa. Ianya selalu diterjemahkan dengan ‘Maha Perkasa’ atau ‘Maha Kuat’ dan ini tidak berapa tepat lagi kerana kalau begitu, kalimah yang digunakan adalah al Qawi. 

Jadi dua elemen hormat dan kuasa ini penting kerana ada orang yang dihormati tetapi dia tidak ada kuasa dan ada orang yang ada kuasa tetapi dia tidak dihormati tetapi al-aziz ada kedua-dua elemen. Maka Allah ditaati dan juga dihormati. 

Kerana kedudukan Allah sebagai al-Aziz, maka Allah boleh buat sahaja ikut kehendakNya. Kalau Allah nak azab hamba yang engkar, Allah boleh buat bila-bila masa sahaja kerana Dia ada kuasa itu. Tidak ada sesiapa yang boleh halang atau persoalkan sekali pun.

الحَكيمِ

lagi Maha Bijaksana.

Allah boleh beri hukuman bila-bila masa sahaja tapi Allah juga bersifat al-Hakeem. Yang mempunyai kebijaksanaan dan juga yang membuat hukum. Segala undang-undang yang Allah berikan kepada kita adalah atas kebijaksaanNya, maka ianya amat sesuai kepada kita. Tidak rugi kalau kita ikut dan taat kepada segala hukum yang Allah telah buat itu. 

Dan kerana kebijaksaan Allah, Allah tidak terus hukum kita dengan azab walaupun hamba itu telah meakukan kesalahan. Ini kerana Allah bijaksana dan memberi tangguh kepada hamba itu untuk memperbetulkan dirinya. Jadi kerana sifat inilah kita ada peluang untuk menjadi ahli syurga. Kalaulah kita buat salah sahaja terus kena azab, maka tidaklah ada manusia di atas mukabumi ini.

Sekian penerangan ringkas tentang sifat-sifat Allah itu. Jadi ayat pertama ini adalah ayat yang memperkenalkan Allah.


Ayat 2: Sekarang Allah memberitahu tugas kenabian dan kemudian ianya menjadi tugas ulamak setelah baginda tiada. 

هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِهِ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلاٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who has sent among the unlettered [Arabs] a Messenger from themselves reciting to them His verses and purifying them and teaching them the Book [i.e., the Qur’ān] and wisdom [i.e., the sunnah] – although they were before in clear error –

(MELAYU)

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,

هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf, seorang Rasul dari kalangan mereka

Di dalam surah-surah musabbihat sebelum ini Allah telah memulakan surah-surah itu dengan menegur manusia tetapi tidak di dalam surah ini. Di dalam surah ini, selepas Allah menyebut tentang DiriNya dan memuji DiriNya, Allah menyebut tentang Rasulullah.

Allah beritahu dengan jelas sekali dalam ayat ini yang Dialah yang memilih Nabi Muhammad, Dialah yang membangkitkan baginda dari kalangan bangsa Arab. Bukanlah baginda itu bangkit dan hidup sendiri menjadi Nabi. Tapi ianya adalah pilihan Allah. Maka Yahudi atau sesiapa sahaja janganlah hendak mempersoalkan keputusan Allah pula dalam perlantikan itu. Tidak selamat kalau mempersoalkan keputusan Allah!

Dalam ayat ini, Allah menyebut yang Rasulullah itu adalah seorang ummiy kerana kaumnya juga ummiy. Kalimah الأُمِّيّينَ ini dari kalimah أ م م yang bermaksud ‘ibu’ (umm). Oleh itu, kalimah ummiy bermaksud seseorang yang tidak tahu membaca sebagaimana dia baru sahaja keluar daripada perut ibu. Kerana seseorang yang keluar dari perut ibunya, tentu tidak tahu apa-apa, bukan? 

Memang sudah terkenal yang orang-orang Arab ini kebanyakan dari mereka adalah buta huruf kalau dibandingkan dengan golongan ahli kitab. Kerana mereka tidak ada kitab dalam sejarah mereka. Kerana itu mereka dipandang rendah oleh golongan ahli kitab. Mereka gelar golongan yang tidak tahu kitab itu sebagai goyim dan dalam Bible telah ditulis sebagai gentiles. Ia merujuk kepada mereka yang bukan dari kalangan Bani Israil. 

Mereka memang memandang rendah goyim ini seolah-olah goyim ini sub-human (bawah dari manusia). Pada mereka, goyim ini kotor, tidak beragama, tidak bertamadun dan dibenci sangat-sangat. Pada mereka goyim tidak boleh dijadikan teman dalam musafir dan kalau sedang kelemasan dalam air, tidak boleh dibantu! Dan pada mereka, Messiah akan turun dan membunuh semua goyim. Begitulah teruknya layanan dan pandangan mereka terhadap orang yang bukan Bani Israil.

Dan memang surah ini nanti ada menyentuh tentang golongan ahli kitab dan salah satu daripada penolakan mereka kepada Rasulullah adalah kerana baginda seorang ummiy dan mereka rasa itu adalah sesuatu yang memalukan. Akan tetapi Allah hendak memberitahu bahawa ianya adalah satu penghormatan kepada baginda dan Allah janjikan perkara ini dalam bentuk ayat Qur’an. Nanti kita akan jelaskan.

Kalimah ummiy ini ada juga disebut di tempat-tempat yang lain seperti:
Ali Imran:20
Baqarah:78
Ali Imran:75

Jadi, Allah telah bangkitkan Nabi Muhammad dari kalangan bangsa yang ummiy. Apakah tujuan atau tugas baginda dibangkitkan?

يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِهِ

yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka,

Tadi Allah sebut yang Nabi Muhammad tidak tahu membaca tapi sekarang Allah sebut yang baginda ‘membacakan’ ayat-ayat Qur’an kepada manusia pula. Jadi ini ada satu mukjizat kepada Rasulullah kerana baginda boleh membacakan Qur’an kepada manusia walaupun asalnya baginda tidak boleh membaca.

Maksud ‘bacakan’ ayat-ayat Qur’an itu kepada manusia adalah tanpa tambah dan tanpa kurangkan apa sahaja yang sampai dalam bentuk wahyu. Apa sahaja ayat Qur’an yang baginda dapat dari Allah, baginda kena sampaikan. Baginda tidak tambah dan tidaklah baginda membuang mana-mana ayat Qur’an walaupun ianya berat bagi baginda. 

Dan kita kena faham bahawa ‘membacakan’ dan ‘bercakap’ tidak sama kerana jikalau kita bacakan sesuatu kepada orang, maka orang itu akan tahu yang kita sedang membacakan tulisan orang lain kepada mereka. Ini adalah kerana bahasa yang digunakan adalah lain antara ‘baca’ dan ‘cakap’. Memang kita dapat bezakan orang yang bercakap dan orang yang membaca. Kalau kita baca kisah dari buku kepada anak kita, tentu anak kita tahu kerana bahasa kita bercakap dan baca adalah berlainan sama sekali. 

Maka apabila Rasulullah membacakan ayat-ayat Qur’an kepada umat baginda, maka mereka yang mendengar itu tahu bahawa apa yang baginda bacakan itu bukan dari kata-kata baginda kerana bentuk bahasa dan kata-kata baginda itu lain daripada percakapan baginda.

Mereka amat tahu kerana mereka memang telah kenal baginda lama kerana baginda tinggal dengan mereka selama 40 tahun. Jadi apabila mereka kata Nabi Muhammad reka ayat-ayat Qur’an itu, itu adalah tuduhan yang melampau sebenarnya.

Jadi tugas pertama Nabi yang disebut di dalam ayat ini adalah untuk membacakan ayat-ayat Allah kepada manusia. Tujuannya adalah untuk mengajak manusia beriman kepada Allah. Jadi maksud ’tilawah’ adalah baca dalam rangka untuk mengajak orang ataupun berdakwah.

Kerana itu dalam dakwah kita, kita kena bacakan Qur’an kepada mereka. Kerana Qur’an ini ada mukjizat dan dapat membuka hati manusia. Kita tidak tahu mana satu ayat yang akan menyebabkan mereka terkesan, maka kita kena bacakan banyak ayat kepada mereka.

وَيُزَكّيهِم

dan mensucikan mereka

Dengan membaca Qur’an dapat membersihkan pemahaman cerita tentang dunia dan alam ini; tentang apa yang kita patut lakukan dan apa yang kita tidak patut lakukan. Maka ianya memerlukan pembelajaran yang berterusan iaitu dengan belajar tafsir dimana kita kena memahami satu persatu ayat-ayat yang disampaikan di dalam Qur’an ini dan mengetahui apakah kehendak Allah.

Yang paling penting adalah membersihkan manusia dari fahaman syirik. Ini penting kerana mereka yang jauh dari wahyu akan senang terpengaruh dengan fahaman-fahaman syirik. Dan fahaman mereka hanya boleh dibersihkan dengan belajar tafsir dengan cara yang benar. Kerana perkara utama yang diajar dalam Qur’an adalah tauhid dan larangan syirik. Dan diperjelaskan apakah syirik itu satu persatu. Jadi kalau tak belajar tafsir, memang tidak akan tahu perkara ini.

Itu adalah pada peringkat intelektual di mana kita sudah tahu tetapi satu peringkat lagi kita hendaklah membersihkan pemahaman kita dari segi rohani. Ini adalah satu perkara yang hebat sekali sampaikan kadangkala ada manusia yang menangis apabila membaca ayat-ayat Qur’an kerana kerana mereka terkesan dengan apa yang disampaikan di dalam Qur’an. Hati mereka tersentuh dengan apa yang disampaikan dalam Qur’an itu.

Itu terjadi kepada mereka yang mengisi kekosongan dalam diri mereka dengan Qur’an seperti yang sepatutnya. Kita kena rapat dengan Qur’an dan selalu baca Qur’an dan tadabbur Qur’an. Hidup kita kena seharian dengan Qur’an. Tetapi jikalau otak dan jiwa kita diisi dengan benda lain seperti filem, sukan, permainan, politik, keluarga dan benda-benda lain sahaja, maka mereka tidak terkesan langsung dengan Qur’an. Kalau kita bacakan kepada mereka yang sebegitu, mereka tidak tersentuh sangat pun. Tapi kita kena cubalah juga. 

Dan apabila manusia tidak dekat dengan Qur’an maka yang mahu pengalaman kerohanian akan melakukan perkara-perkara lain seperti zikir yang direka-reka dan juga nanyi-nyanyian seperti nasyid dan Qasidah. Ketahuilah yang itu semua telah lari daripada kehendak Qur’an kerana Qur’an ini adalah amalan yang paling tinggi.

Mereka yang mencari-cari perkara sebegitu adalah kerana mereka belum mengisi diri mereka dengan pemahaman Qur’an. Kerana jikalau mereka sudah dekat dengan Qur’an maka mereka akan tahu kedudukan perkara lain yang rendah kalau dibandingkan dengan Qur’an yang tidak ada tandingnya. 

Jadi tugas Nabi yang kedua adalah untuk membersihkan umat manusia daripada fahaman-fahaman syirik dan fahaman-fahaman yang salah tentang agama. 

وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتٰبَ

dan mengajarkan mereka al-Kitab 

‘Ajar kitab’ itu bermaksud mengajar tentang hukum hakam. Iaitu tentang perkara yang boleh buat dan yang tidak boleh buat. Makanan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan dan sebagainya. Apabila manusia sudah terima Qur’an dan terima tauhid, maka teruskan dengan mengajar hukum kepada mereka.

Dalam kitab wahyu juga mengajar tentang perhubungan sesama masyarakat, pergaulan di dalam keluarga, nikah dan cerai dan lain-lain lagi. Maka ini semua kenalah dipelajari untuk menjalani kehidupan yang baik di dunia. Kerana kita memerlukan peraturan dan undang-undang untuk mengawal keluarga, masyarakat dan negara. 

Tanpa peraturan hidup di dunia ini, maka manusia akan jadi kacau bilau dan mengganggu kehidupan. Kalau kehidupan terganggu, maka susahlah untuk hidup dengan tenang dan memikirkan agama. Kerja-kerja dakwah tidak dapat dijalankan dengan baik.

Maka telah disebut tiga perkara utama: Tilawah – Tazkiyah – Taklim. Nabi kena jalankan tiga-tiga perkara ini. Dan kita sebagai penyambung tugas Nabi juga kena jalankan tiga-tiga perkara ini.

Akan tetapi untuk dapat menerima hukum-hukum yang Allah berikan ini maka manusia itu perlu membersihkan inteleknya dan juga rohaninya dengan menggunakan Qur’an dahulu. Kerana hanya setelah itu berlaku barulah mereka boleh taat kepada hukum Allah ini. Kalau tidak, ia tidak akan terjadi kerana mereka tidak lalui proses tazkiyah lagi. 

Kerana itu ramai yang tidak kisah pun dengan hukum hakam Allah kerana perkara utama mereka tidak terima lagi. Mereka tidak terima Qur’an dan kepentingan taat kepada arahan Qur’an itu, maka tentulah mereka tidak kisah pun dengan hukum hakam dalam Qur’an ini. 

Maka kita kena sampaikan Qur’an kepada manusia kerana Qur’an ini ada mukjizat. Tentulah nasihat dari akal kita tidak laku dengan manusia. Kita tidak boleh berhujah dan mengubah perangai manusia sebagaimana yang boleh dilakukan oleh Qur’an. Qur’an boleh mengubah manusia yang lalai menjadi insan yang baik.

Ini sebagaimana yang terjadi kepada Umar seorang gangster sebelum itu. Beliau sampai hendak membunuh Nabi tapi apabila dibacakan ayat Qur’an kepadanya, dia telah berubah. Begitu juga puak Aus dan Khazraj di Yathrib: mereka telah beratus tahun berperang; tapi apabila disampaikan Qur’an kepada mereka dan mereka terima, mereka telah bersatu dan menjadi penyokong kuat agama Islam sampailah Islam tertegak di Madinah.

وَالحِكمَةَ

dan al-Hikmah

Dan selepas ketiga-tiga perkara di atas itu telah dijalankan, barulah seseorang itu mendapat ‘hikmah’; dan apakah hikmah itu?

Ia bermaksud ilmu yang bermanfaat dan beramal dengannya. Oleh itu jikalau kita sudah ada ilmu tentang benda yang betul tapi kita tidak beramal dengannya, maka itu bukannya hikmah. Oleh itu jikalau seseorang yang tahu hukum sesuatu perkara dalam agama tetapi dia tidak mengamalkan dalam kehidupannya, maka dia tidak ada hikmah. 

Macam seorang yang tahu api itu membakar tapi dia pegang juga. Tentulah orang itu tidak ada hikmahnya. Maka samalah juga kalau dah tahu solat itu wajib, tapi tidak mengerjakannya. Tentulah tidak ada hikmah.

Ada juga pendapat yang bermaksud ‘hikmah’ itu adalah ‘sunnah’ iaitu bagaimana Nabi Muhammad mempraktikkan ajaran-ajaran di dalam Qur’an. Ini kerana kalau kita baca sendiri Qur’an, tentu kita tidak tahu bagaimana untuk aplikasi ayat-ayat Qur’an itu. Maka kenalah Nabi Muhammad menunjukkannya kepada kita. Inilah yang terdapat dalam Sunnah. 

Ada juga yang menafsirkan maksud al-kitab sebagai unsur-unsur akidah dan al-hikmah adalah cara-cara untuk beramal ibadat. Ini pun boleh juga kerana memang ada banyak pemahaman tentang perkara ini. 

Empat sifat Nabi Muhammad ini disebut dalam ayat-ayat lain:
Baqarah:129
Baqarah:151
Ali Imran:164

وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلاٰلٍ مُّبينٍ

Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,

Keempat-empat perkara yang disebut ini telah diberikan kepada Nabi Muhammad untuk digunakan untuk mengubah manusia. Dan itulah sumber yang telah digunakan oleh Nabi Muhammad untuk mengubah penduduk Mekah yang asalnya memang orang yang paling teruk dalam dunia kepada insan yang  mulia yang disebut-sebut sampai ke hari ini.

Dan dengan formula yang hebat ini maka Islam telah mengubah kaum yang dulunya memang menunggu untuk mati sahaja untuk dimasukkan ke dalam neraka. Kerana kesesatan mereka itu amat jelas dan bukan samar-samar lagi.

Mereka itu jelas dalam sesat kerana mereka tidak ada kitab wahyu dan tidak ada Rasul. Tapi apabila mereka diberikan dengan wahyu dan Rasul dan mereka taat kepada keduanya, maka mereka telah selamat dari neraka. Maka orang kita pun kenalah diselamatkan dari neraka juga dengan disampaikan ajaran Qur’an dan Sunnah ini.  

Ini juga menjadi dalil bagi puak Bani Israil. Mereka sendiri melihat bagaimana keadaan bangsa Arab itu dahulu, dan hinanya mereka dalam mengamalkan syirik dan tanpa undang-undang. Tapi mereka sendiri lihat bagaimana dalam beberapa tahun sahaja selepas menerima dakwah Nabi Muhammad, bangsa Arab itu telah bertukar menjadi satu bangsa yang hebat. Takkan mereka tidak nampak di hadapan mata mereka sendiri? Maka mengapa mereka masih menolak lagi?


Ayat 3: Nabi Muhammad bukan sahaja dibangkitkan untuk penduduk Mekah sahaja tetapi untuk orang-orang yang lain juga. Baginda diutuskan kepada semua umat manusia di seluruh dunia. 

وَءآخَرينَ مِنهُم لَمّا يَلحَقوا بِهِم ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [to] others of them who have not yet joined them. And He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

وَءآخَرينَ مِنهُم لَمّا يَلحَقوا بِهِم

dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka.

Kalau ayat tadi sebut Arab Mekah, sekarang ini menyebut tentang orang-orang yang lain seperti orang Ansar dan kita juga. Maka ayat ini membuka hidayah kepada semua manusia jadi ini bertentangan dengan fahaman Bani Israil yang mengatakan yang mereka sahaja yang terselamat, mereka sahaja umat pilihan.

Yang belum lagi menyertai penduduk Mekah itu adalah mereka yang belum menerima dakwah agama Islam. Tetapi dakwah akan tetap sampai kepada mereka dan mereka akan beriman. Islam itu berkembang dari Mekah dan kemudian dari Madinah. Kemudian ia dikembangkan lagi pada zaman Nabi dan kemudian pada zaman sahabat. Akhirnya Islam telah dikenali di seluruh dunia zaman berzaman sampailah ianya telah sampai kepada kita. 

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa Nabi Muhammad adalah Nabi akhir zaman untuk manusia dan jin sampailah hari kiamat nanti. Tidak ada Nabi yang lain.

‘Menyertai’ itu bukan sahaja bermaksud menyertai mereka beriman dengan agama Islam semasa di dunia ini sahaja, tetapi juga boleh bermaksud ‘menyertai mereka’ di syurga. Iaitu masuk dan duduk bersama mereka dalam syurga. Waktu itu kita boleh berkenalan dengan mereka dan tahu apakah dugaan dan perjuangan orang-orang terdahulu sebelum kita.

Inilah salah satu dari nikmat di syurga nanti. Kerana kita akan berjumpa dengan semua penghuni syurga dan dapat bersembang dengan mereka. 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Kepada mereka yang enggan untuk beriman, Allah akan bersifat al-Aziz dengan mereka. Allah akan kenakan azab kepada mereka dan mereka tidak dapat menghalang azab itu.

Tapi Allah tidak terus mengenakan azab kepada mereka yang engkar. Kerana atas sifat kebijaksaanNya, Allah beri tangguh kepada manusia untuk mengubah sikap dan pegangan mereka. Kalaulah Allah tidak beri tangguh, maka tidaklah ada makhluk yang hidup di atas muka bumi ini kerana ada sahaja salah dan silap kita.


Ayat 4:

ذٰلِكَ فَضلُ اللَّهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is the bounty of Allāh, which He gives to whom He wills, and Allāh is the possessor of great bounty.

(MELAYU)

Demikianlah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

ذٰلِكَ فَضلُ اللَّهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ

Demikianlah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya; 

Makna yang dimaksud ialah pemberian yang dianugerahkan Allah kepada Muhammad Saw. berupa kenabian yang besar dan apa yang diberikan oleh Allah secara khusus kepada umatnya, yaitu diutus-Nya Nabi Muhammad Saw. kepada mereka.

Itulah kurnia iman yang Allah berikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan bukannya diberikan kepada kaum-kaum dan puak-puak tertentu sahaja. Maka kalau ada orang yang sangka mereka sahaja yang layak masuk syurga (seperti golongan Yahudi), mereka itu telah salah sama sekali. 

Maka pengetahuan agama Islam ini terbuka untuk semua manusia dan bukan kepada golongan ulama atau golongan-golongan ustaz sahaja, tetapi semua boleh belajar. Dan ini berlainan dengan fahaman agama-agama lain sebelum Islam di mana mereka berpendapat bahawa pengetahuan agama itu hanya kepada ahli-ahli agama sahaja. 

Jadi setiap orang Islam sebenarnya kena tahu tafsir Qur’an dan bukan ianya hanya perlu ada pada golongan ustaz sahaja. Jangan jadi seperti agama Yahudi dan Kristian yang golongan agama sahaja yang boleh baca kitab Taurat dan Injil dan orang-orang bawahan tidak tahu apa-apa. Maka jangan kita outsource pengetahuan agama ini pada orang tertentu sahaja.

Kita pun kena tahu agama ini secara mendalam. Mungkin tidaklah ke tahap para ustaz dan ulama, tapi kita kena tahu asasnya. Kerana kita nak masuk syurga dan orang berilmu sahaja yang masuk syurga. Kalau orang yang tidak berilmu, senang ditipu oleh manusia yang jahat dan senang ditipu oleh syaitan. Kerana itu kalau tidak berilmu agama, tempatnya di neraka. 

وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Allah ada banyak pemberian kurnia lagi kepada manusia. Asalkan manusia itu mahu mempelajari agama dan kenal dengan wahyu itu. Ilmu agama ini penting dan kerana itu Khalifah Umar selalu memeriksa masjid-masjid supaya ada pengajian tafsir Qur’an yang dijalankan di masjid-masjid itu kerana ianya amat penting. 

Maka kita pun kena jalankan dan hidupkan suasana ilmu di negara kita. Mulakan dengan keluarga kita dan kemudian dalam masyarakat kita. Dan kemudian jadikan pembelajaran agama ini terutama tafsir Qur’an ini di seluruh negara. Kerana ianya perkara yang amat-amat penting. Sebelum belajar perkara-perkara agama yang lain, kena faham tafsir Qur’an dahulu.

Malangnya ada manusia yang jahil mengatakan orang awam tidak layak untuk belajar tafsir Qur’an. Mereka kata golongan ulama sahaja yang boleh faham. Maka kerana itulah manusia ramai yang jahil dan senang ditipu. Ini adalah kerana ilmu asas pun mereka tidak tahu. Maka janganlah kita jadi begitu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 27 April 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s