Tafsir Surah al-Qamar Ayat 16 – 27 (Qur’an itu mudah)

Ayat 16: Ini sambungan dari kisah bagaimana kaum Nabi Nuh telah diberikan azab Banjir Besar.

فَكَيفَ كانَ عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

And how [severe] were My punishment and warning.

Malay

Oleh itu, perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu.

 

فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ

Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.

Allah mengingatkan kita kepada betapa dahsyatnya azab yang Allah berikan kepada kaum Nabi Nuh itu. Mereka telah dimatikan semua sekali dalam banjir besar itu.

Allah juga mengingatkan kita kepada ‘ancaman’ yang telah diberikan kepada mereka itu. Bukan untuk kita baca sebagai bahan sejarah sahaja. Mereka telah diberi ancaman oleh Nabi Nuh sebelum dikenakan dengan banjir itu selama 950 tahun tapi mereka tidak mahu dengar.

Kesannya mereka semua telah menerima azab di dunia. Dan mereka akan menerima azab yang lebih keras lagi di akhirat kelak. Kalau kita pun engkar juga, kita pun boleh dikenakan dengan azab dunia dan tentunya azab akhirat.

Amaran yang diberikan kepada mereka adalah jelas. Begitulah juga amaran yang diberikan kepada kita. Entah berapa banyak ayat Qur’an dan hadis yang mengingatkan kita tentang azab-azab itu. Tidak ada alasan lagi untuk kita kata kita tidak tahu.

Ayat ini untuk menakutkan kita dengan azab Allah. Jangan ambil mudah dengan amaranNya. Jangan kita baca ayat ini dengan senang lenang sahaja. Jangan kita sangka yang ianya tidak akan terjadi kepada kita. Kalau Allah boleh kenakan kepada umat terdahulu kerana keengkaran mereka, Allah boleh sahaja kenakan kepada kita juga.


 

Ayat 17: Ayat ini diulang sebanyak lima kali dalam surah ini. Maka ia adalah ayat yang amat penting. Maka kena perhatian berkenaan ayat ini.

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

 

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْءآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Qur’an untuk diambil peringatan,

Qur’an ini mudah sahaja untuk dipelajari kepada mereka yang mahu belajar. Iaitu kepada mereka yang mahu mencari kebenaran. Tafsir Qur’an ini lebih mudah untuk difahami dari belajar subjek peperiksaan SPM pun. Tidak perlu untuk jadi ulama untuk faham Qur’an ini.

‘Mudah’ itu bukanlah bermaksud senang sampaikan baca sekali sahaja sudah boleh faham. Bukanlah mudah sangat sampaikan pelajar sekolah rendah pun boleh faham. Ianya masih lagi memerlukan intelek untuk memahaminya. Tapi tidaklah sampai kena belajar tinggi berpuluh tahun baru boleh faham.

Kita memang tidak akan dapat faham keseluruhan kandungan Qur’an ini kerana ianya adalah Kalam Allah. Allah sahaja yang tahu keseluruhan maknanya. Tapi sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk memahaminya sedikit.

‘Mudah’ bermaksud Allah telah memberikan keperluan dan alat-alat untuk kita memahami Qur’an ini. Kalau kita luangkan masa untuk berusaha memahaminya, kita akan berjaya. Kerana Allah telah beri segala keperluan kepada kita untuk memahami ayat-ayatNya.

Ulama-ulama tafsir telah mengkaji Qur’an ini dan menulis kitab-kitab tafsir untuk dipelajari oleh kita. Mereka telah mengupas ayat-ayat Qur’an itu satu persatu. Dan ramai guru-guru yang boleh menyampaikan maksud Qur’an ini kepada kita.

Jangan pula kita sangka bahawa ayat-ayat Qur’an ini ‘mudah’ kerana ayat-ayat Qur’an ini adalah kalam Allah dan ianya mempunyai kehebatan yang amat tinggi. Ia adalah kata-kata yang disampaikan di dalam lenggok bahasa yang amat tinggi dan indah.

Oleh itu kalau kita terjemahkan يَسَّرْ sebagai ‘mudah’, itu adalah tidak sesuai. Oleh itu maksud يَسَّرْ  adalah ‘dipermudahkan’ yang bermaksud Qur’an itu mampu dipelajari. Atau dalam Inggeris bermaksud ‘possible’. Maknanya kita sebagai manusia biasa ini mampu untuk memahami apa yang Allah hendak sampaikan.

Malangnya, ada puak agama yang mengajar orang awam bahawa Qur’an ini hanya untuk dibaca sahaja dan tidak boleh difahami. Mereka kata yang boleh faham adalah para ulama sahaja. Sampaikan pernah ada negeri yang melarang tafsir Qur’an diajar di masjid dan surau kerana ‘takut masyarakat keliru’.

Ada juga meletakkan syarat kena tahu ‘ilmu-ilmu Alat’, baru boleh faham Qur’an. Sampai berbelas-belas cabang ilmu kena mahir dahulu sebelum boleh faham tafsir Qur’an. Contohnya mereka kata kena pandai bahasa Arab, tahu ilmu qiraat, ilmu nahu dan sarf, ulum al-qur’an, ilmu usuluddin, usul fiqh dan ilmu-ilmu lain seperti ilmu sosiologi dan antropologi, zoologi dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan maklumat umum seperti sejarah, geografi, saikologi dan sebagainya. Itu dinamakan ‘Ilmu Alat’, kata mereka. Kena tahu semua itu baru boleh tafsir Qur’an, kata mereka.

Kalau itulah keperluan untuk mengetahui Qur’an, maka tidaklah ‘dipermudahkan’ Qur’an itu untuk dipelajari. Dah jadi sukar pula. Dan sampai bila baru boleh kita mendapat pengajaran dari Qur’an itu? Kebanyakan orang akan sampai bila-bila tidak akan dapat mendalami ‘Ilmu-ilmu Alat’ itu.

Maka, sampai bila-bilalah dia tidak akan faham arahan Allah. Kerana syarat-syarat yang diletakkan inilah yang menyebabkan ramai masyarakat kita tidak mencuba pun belajar tafsir. Hasilnya, ramai mereka yang mengamalkan syirik tanpa sedar.

Memang ilmu-ilmu itu perlu untuk mentafsir Qur’an. Iaitu untuk tafsir sendiri seperti yang dilakukan oleh ulama-ulama tafsir. Tapi apa yang kita lakukan sekarang adalah hanya mempelajari tafsir yang telah dikupas oleh ulama-ulama itu.

Maka, tidaklah perlu sampai kita mengetahui segala macam ilmu yang disebut di atas untuk memahami Qur’an. Asalkan kita ada kehendak untuk mengetahui kalam Allah, Allah akan bantu kita untuk memahaminya. Dan itu bergantung kepada tahap ilmu kita.

Dan jangan terikut dengan salah faham yang terlalu memudahkan pula: kerana ada yang kata ayat ini kata Qur’an ini mudah sahaja, maka ada yang sampai tafsir sendiri ayat Qur’an ikut pemahaman mereka. Ini adalah salah. Tafsir Qur’an perlu dipelajari dan ditafsir mengikut cara yang telah digariskan oleh ulama. Jangan pandai-pandai nak tafsir sendiri.

Maksud ذِكْر dalam ayat ini membawa maksud Qur’an itu memberi kita ingat balik perkara yang kita tahu. Kerana itulah banyak peringatan yang menakutkan dalam Qur’an itu. Supaya kita ingat balik. Kita bukannya tidak tahu, kerana kita sudah belajar lama dah.

Dan memang telah ditanamkan fitrah dalam diri manusia yang sudah kenal Tuhan, kenal mana baik dan buruk sebelum dilahir pun lagi. Tapi kerana kita adalah manusia yang mudah lupa, maka kita perlu selalu diingatkan dari masa ke semasa.

Perkataanذِكْر juga bermaksud ‘hafalan’. Ia membawa maksud, Qur’an itu senang dihafal. Kerana lenggok bahasa yang digunakan itu amat indah, maka ianya senang dihafal. Banyak perkataan juga diulang-ulang dan itu memudahkan kita untuk menghafalnya.

Kerana itu, Qur’an adalah satu-satunya kitab agama dalam dunia ini yang banyak dihafal oleh penganutnya. Tidak ada kitab lain dalam dunia yang sebegini. Sampaikan kalaulah semua kitab Qur’an dalam dunia ini hilang, dalam masa sehari sahaja Qur’an baru boleh dikeluarkan kerana amat ramai sekali yang menghafalnya.

Qur’an ini mudah dihafal sampaikan banyak sekolah tahfiz dalam dunia ini. Mereka yang dapat menghafal 30 juzuk itu pun ada yang tidak faham pun apa yang mereka hafal itu. Tapi kerana Qur’an itu mudah dihafal, maka ianya boleh dilakukan walaupun tidak faham. Oleh itu, jangan kita kata yang susah untuk hafal Qur’an kerana Allah telah mudahkan. Maka, hendaklah kita mulakan proses menghafal ayat-ayat Allah ini sedikit demi sedikit.

Oleh kerana Allah dah kata Qur’an itu sudah dipermudahkan, maka kita tidak boleh kata Qur’an itu susah pula. Yang kata Qur’an itu susah adalah bohong sahaja.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Diulang ayat ini kerana ianya penting. Itulah juga salah satu teknik yang digunakan oleh Qur’aan untuk memudahkan kita mengambil pelajaran Allah dengan mengulang-ulang ingatan yang sama kepada pembacanya.

Ada juga banyak topik-topik yang di ulang-ulang dalam Qur’an tetapi dipersembahkan dengan berbagai-bagai cara yang berbeza. Ini dinamakan konsep Tasrif. Kadang-kadang apabila satu perkara diberitahu kepada kita, kita tidak faham tetapi apabila diberitahu dengan cara lain baru kita faham.

Sebagai contoh, perjelasan tentang tawassul amat banyak di dalam Qur’an dan diberikan penerangan dengan berbagai-bagai cara. Ini adalah kerana ianya adalah perkara yang amat penting untuk difahami.

Serba sedikit penerangan tentang asal perkataan مُّدَّكِرٍ. Katadasarnya adalah ذكر seperti yang kita telah sebut sebelum ini. Dari perkataan itu, terjadilah perkataan مُذْتَكِر yang bermaksud ‘seseorang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil peringatan dari sesuatu’.

Tetapi, perkataan مُذْتَكِر susah disebut. Dalam bahasa Arab, sesuatu perkataan itu kalau susah disebut, akan dipermudahkan penyebutannya. Maka, perkataan مُذْتَكِر telah ditukar kepada مُذَّكِر. Tapi, itu pun ditukar lagi kerana huruf د lebih mudah disebut dari huruf ذ. Oleh itu, perkataan مُذَّكِر telah diubah kepada perkataan مُّدَّكِرٍ untuk memudahkan kita menyebutnya.

Terdapat satu isyarat di dalam pemudahan perkataan مُّدَّكِرٍ itu. Allah telah memudahkan Qur’an ini untuk dipelajari, dibaca, dihafal dan diambil pelajaran. Asalnya kita berikan usaha yang sedikit pun, kita sudah boleh mendapat hasil darinya. Kalau kita beri lebih lagi usaha, tentulah kita akan mendapat lebih lagi ilmu.

Satu lagi tafsir ayat ini: Qur’an ini adalah peringatan yang lebih mudah kalau dibandingkan dengan peringatan dengan cara azab yang Allah telah berikan kepada kaum terdahulu. Segala azab musibah itu juga adalah peringatan, tapi itu dengan cara yang keras. Maka adakah tidak lebih baik kalau gunakan peringatan yang sudah ada dalam Qur’an ini dan ambil peringatan darinya? Jangan tunggu dah kena azab baru nak beriman.


 

Ayat 18: Sebelum ini telah disebut kisah Kaum Nabi Nuh. Sekarang kisah Kaum Aad pula.

كَذَّبَت عادٌ فَكَيفَ كانَ عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

‘Aad denied; and how [severe] were My punishment and warning.

Malay

(Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabku dan kesan amaran-amaranKu!

 

كَذَّبَتْ عَادٌ

Kaum ‘Aad pun mendustakan (pula)

Bukan kaum Nabi Nuh dan puak musyrikin Mekah sahaja yang mendustakan Nabi mereka, tapi kaum Aad juga mendustakan Rasul mereka, iaitu Hud a.s. Perkataan ‘mendustakan’ itu bermaksud ‘menolak’. Kerana apabila tidak menerima apa yang dibawa oleh Rasul, maka dalam ertikata lain, mereka nak kata bahawa apa yang dibawa oleh para Rasul itu adalah dusta sahaja.

Iaitu mereka kata apa yang Rasul mereka bawa kepada mereka itu adalah dusta. Kerana mereka tidak mahu terima ajakan tauhid itu, mereka kata Nabi mereka berbohong dengan membawa ajaran yang salah.

Ini sama sahaja apabila masyarakat menolak ajaran Sunnah: kerana mereka sangka pendakwah sunnah itu bawa ajaran salah.

 

فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ

Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.

Penolakan mereka itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Mereka dibalas semasa mereka di dunia lagi. Ayat ini pertama sekali dibacakan kepada musyrikin Mekah. Ianya sebagai amaran kepada mereka.

Mereka diingatkan kepada apa yang terjadi kepada kaum Aad kerana mereka kenal kaum Aad itu dan tahu apakah yang terjadi kepada kaum Aad itu. Mereka melalui kawasan penempatan kaum Aad itu dalam musafir mereka. Jadi Allah cuma ingatkan sahaja kepada mereka.

Dan sekarang, kita pula membaca ayat ini, maka ayat ini menjadi peringatan kepada kita juga. Kenanglah apa yang terjadi kepada kaum Aad itu yang menolak ajakan tauhid itu dan apakah yang terjadi kepada mereka. Jangan kita jadi seperti mereka.


 

Ayat 19:

إِنّا أَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا صَرصَرًا في يَومِ نَحسٍ مُّستَمِرٍّ

Sahih International

Indeed, We sent upon them a screaming wind on a day of continuous misfortune,

Malay

Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang berlanjutan; –

 

إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا

Sesungguhnya Kami telah menghembuskan kepada mereka angin yang sangat kencang

Kalimah صَرْصَرًا bermaksud ‘sangat sejuk’, ‘sangat bising’ dan ‘sangat laju’. Angin itu sejuk sangat sampaikan mereka beku. Lagi satu sifatnya, ia mempunyai suara/bunyi yang amat menakutkan.

 

فِي يَوْمِ نَحْسٍ مُّسْتَمِرٍّ

pada hari yang penuh celaka yang terus menerus,

Bermaksud, apabila angin itu sudah mula dikenakan kepada mereka, ianya memberi kecelakaan kepada mereka tanpa henti. Dalam Haqqah:7 telah diberitahu yang angin sejuk itu bertiup menghancurkan mereka selama 8 hari dan 7 malam.

Ada dikatakan yang hari pertama angin itu adalah hari Rabu. Dan kerana itu ada fahaman khurafat yang kata hari Rabu adalah hari celaka. Dan fahaman ini termasuk dalam masyarakat Islam kita juga, sampaikan bila Pilihanraya dibuat hari Rabu pun keluarlah hadis-hadis tidak sahih tentang kecelakaan hari Rabu.

Oleh itu mengatakan hari Rabu sial adalah fahaman sesat. Kerana semua hari adalah milik Allah dan Allah tidak tentukan mana-mana hari sebagai sesat. Yang sial seperti dalam ayat ini adalah hari-hari yang angin bertiup menghancurkan kaum Aad itu sahaja.

Dan kecelakaan itu tidak berhenti apabila mereka mati saja kerana ianya berterusan di dalam kubur di Mahsyar dan di neraka nanti.


 

Ayat 20:

تَنزِعُ النّاسَ كَأَنَّهُم أَعجازُ نَخلٍ مُّنقَعِرٍ

Sahih International

Extracting the people as if they were trunks of palm trees uprooted.

Malay

Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang terbongkar.

 

تَنزِعُ النَّاسَ

yang memetik manusia

Kalimah تَنزِعُ dari katadasar نزع yang bermaksud ‘menarik sesuatu dari tempatnya’. Apabila angin itu mula bertiup, mereka mula mencari tempat perlindungan dan cuba berpegang dengan sesuatu, tetapi angin itu tetap menarik mereka dari tempat mereka. Mereka ditumbangkan dari tempat mereka berdiri.

 

كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ مُّنقَعِرٍ

seakan-akan mereka pokok kurma yang ditumbangkan.

Allah memberi perumpamaan bagaimana kuatnya angin itu, sampaikan dapat menarik dan merebahkan pokok kurma. Bayangkan pokok kurma yang dicabut dengan akar-akarnya sekali.

Seperti kita tahu, pokok kurma adalah pokok yang kuat yang akarnya masuk dalam tanah. Kaum Aad ini diumpamakan sebagai pokok kurma kerana mereka bertubuh besar dan gagah sekali. Seperti yang disebut dalam ayat Fussilat:15

فَأَمَّا عَادٌ فَاسْتَكْبَرُوا فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَقَالُوا مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Adapun kaum ‘Aad maka mereka menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar dan berkata: “Siapakah yang lebih besar kekuatannya dari kami?” Dan apakah mereka itu tidak memperhatikan bahawa Allah Yang menciptakan mereka adalah lebih besar kekuatan-Nya daripada mereka? Dan adalah mereka mengingkari tanda-tanda (kekuatan) Kami.

Jadi ini ayat ini memberitahu kepada kita yang walaupun tubuh badan kaum Aad itu besar dan gagah, tetapi angin itu lebih kuat lagi sampaikan boleh menjatuhkan dan menarik mereka.


 

Ayat 21:

فَكَيفَ كانَ عَذابي وَنُذُرِ

Sahih International

And how [severe] were My punishment and warning.

Malay

Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!

 

Allah menarik perhatian kita kepada dahsyatnya azab yang diberikan kepada kaum Aad yang engkar itu. Jangan kita jadi macam itu. Jangan kita menolak ajaran Nabi kita. Jangan kita amalkan syirik dan amalan bidaah.

Belajarlah tafsir Qur’an dan amalan-amalan sahih dari Nabi supaya kita tidak terbuat amalan yang bidaah kerana terikut-ikut dengan amalan orang lain yang jahil.


 

Ayat 22: Allah ulang lagi ayat yang telah disebut sebelum ini. Berkali-kali ayat ini diulang dalam surah Qamar ini. Kerana pentingnya ayat ini, maka hendaklah kita mengambil perhatian.

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have certainly made the Qur’an easy for remembrance, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

 

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْءآنَ لِلذِّكْرِ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur’an untuk dipelajari,

Qur’an ini boleh dipelajari dan difahami jadi jangan kata ianya susah dan tidak dapat dipelajari. Maka jangan putus asa untuk belajar. Memanglah pada awal semua perkara susah tapi lama kelamaan ini akan jadi mudah dan pelajar akan mula faham sedikit demi sedikit.

Allah yang akan kefahaman asalkan kita mahu berusaha. Lain orang lain pemahamannya berdasarkan kepada usaha dan kehendak Allah terhadap kita.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Allah pujuk manusia untuk ambil pelajaran dari Qur’an. Benda dah mudah, maka pelajarilah. Jangan lupa untuk ambil pelajaran dari Qur’an ini.

Habis Ruku’ 1 dari 3 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 23: Sekarang disebut pula kisah kaum Tsamud.

كَذَّبَت ثَمودُ بِالنُّذُرِ

Sahih International

Thamud denied the warning

Malay

(Demikian juga) kaum Thamud telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasul mereka, Nabi Soleh).

 

Kepada kaum Tsamud, telah diutuskan Nabi Saleh a.s. kepada mereka. Kaum Tsamud telah menolak Nabi Saleh dan mengatakan baginda berdusta sahaja dalam ajakan dan dakwah baginda.

Kalimah النُّذُرِ dalam sighah jamak walaupun Kaum Tsamud itu tolak Rasul mereka sahaja, Nabi Saleh a.s. Tapi kenapa digunakan sighah jamak seolah-olah seperti mereka menolak semua Rasul pula?

Ini adalah kerana kalau tolak satu Rasul sahaja sudah dikira tolak semua Rasul kerana semua Rasul itu bawa perkara dan ajaran wahyu yang sama sahaja.


 

Ayat 24: Mari kita lihat apakah hujah penolakan yang digunakan oleh kaum Tsamud.

فَقالوا أَبَشَرًا مِّنّا وٰحِدًا نَّتَّبِعُهُ إِنّا إِذًا لَّفي ضَلٰلٍ وَسُعُرٍ

Sahih International

And said, “Is it one human being among us that we should follow? Indeed, we would then be in error and madness.

Malay

Lalu mereka berkata: Patutkah kita menurut manusia dari jenis kita, lagi yang berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila!

 

فَقَالُوا أَبَشَرًا مِّنَّا وٰحِدًا نَّتَّبِعُهُ

Maka mereka berkata: “Adakah patut kita mengikuti seorang manusia (biasa) di antara kita?”

Mereka mempersoalkan kenapa mereka perlu ikut seorang manusia sahaja. Nabi Saleh seorang diri sahaja tanpa pengikut yang ramai dan tentera yang mengiringinya.

Oleh kerana itu, mereka pandang rendah kepada Nabi Saleh dan tidak mahu mengikut baginda. Mereka juga mengatakan yang Nabi Saleh itu adalah seorang manusia yang sama sahaja seperti mereka, jadi tidak perlu nak diikuti.

Jadi ini adalah satu ‘hijab rasmi’ namanya. Iaitu ramai sangat yang buat sampaikan semua sangka ianya benar. Mereka meletakkan kebenaran pada orang ramai. Mereka sangka kalau ramai yang percaya tentulah itu yang benar.

Maka kerana itu juga ramai masyarakat kita menolak ajaran Sunnah kerana mereka lihat tak ramai yang amalkan ajaran sunnah. Ramai yang amalkan ajaran bidaah dan kerana itu mereka sangka itulah ajaran dan amalan yang benar. Maka kita perlu keluar dari kepompong salah faham ini.

Kena sedar yang kebenaran bukannya kalau ramai orang amalkan. Kerana agama ini bukannya ikut majoriti. Tapi kebenaran itu adalah ajaran yang berlandaskan dalil dari Qur’an dan juga hadis yang sahih.

 

إِنَّا إِذًا لَّفِي ضَلٰلٍ وَسُعُرٍ

Sesungguhnya kalau kita begitu, benar-benar kita berada dalam keadaan sesat dan gila”.

Mereka kata sesama mereka yang kalau mereka mengikut dakwah Nabi Saleh itu, merekalah yang akan sesat dan gila. Mereka kata orang yang beriman dengan Nabi Saleh itu yang gila kerana ikut ajaran seorang manusia biasa sahaja. Itulah bahana hijab rasmi itu kalau sudah menular dalam masyarakat.

Ringkasnya, ada tiga hujah yang digunakan oleh kaum Tsamud untuk menolak Nabi Saleh a.s. Dan hujah yang sama juga digunakan oleh Musyrikin Mekah untuk menolak Nabi Muhammad ﷺ.

1. Nabi Saleh manusia biasa sahaja, bukan luar biasa. Makan dan minum macam mereka juga.
2. Nabi Saleh orang tempatan, asal dan duduk dari mereka. Oleh itu mereka lihat tiada istimewanya baginda kalau dibandingkan dengan mereka.
3. Dia seorang sahaja dan bukanlah dari kalangan orang yang ada kedudukan. Bukan ketua kaum atau orang yang kaya dan berpengaruh dari kalangan mereka.


 

Ayat 25: Ini adalah ejekan mereka kepada Nabi Saleh a.s.

أَءُلقِيَ الذِّكرُ عَلَيهِ مِن بَينِنا بَل هُوَ كَذّابٌ أَشِرٌ

Sahih International

Has the message been sent down upon him from among us? Rather, he is an insolent liar.”

Malay

Tidaklah patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di antara kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong angkuh.

 

أَءُلْقِيَ الذِّكْرُ عَلَيْهِ مِن بَيْنِنَا

Apakah wahyu itu diturunkan kepadanya di antara kita?

Mereka mempersoalkan kebenaran wahyu yang diberikan kepada Nabi Saleh. Mereka nak kata dalam banyak-banyak orang, kenapa pula wahyu diberikan kepada Nabi Saleh? Tidak ada orang lain lagikah?

Mereka nak kata, ada lagi orang lain yang lebih layak untuk diberikan wahyu itu. Adakah mereka pula yang lebih pandai dari Allah? Adakah mereka lebih tahu siapakah yang layak diberikan dengan wahyu?

 

بَلْ هُوَ كَذَّابٌ أَشِرٌ

Sebenarnya dia adalah seorang yang amat pendusta lagi sombong.

Kerana mereka tidak percaya kepada Nabi Saleh, maka mereka tuduh baginda seorang pendusta. Ini adalah kata-kata tuduhan tanpa hujah dan bukti. Mereka kata ikut sedap mulut sahaja.

Perkataan أَشِرٌ bermaksud ‘sombong’ tetapi bukan sombong yang biasa, tetapi sombong yang peringkat tertinggi sekali. Iaitu mereka yang menegaskan di mana-mana tempat bahawa mereka hebat.

Mereka tuduh Nabi Saleh sombong kerana tidak ikut kehendak mereka. Begitulah manusia akan mengatakan orang lain sombong kalau tidak ikut mereka. Oleh kerana ini disebut dalam Qur’an, maka ia akan tetap ada sahaja dalam masyarakat dalam setiap zaman. Kerana itu yang bawa kebenaran pula yang dikatakan sombong.

Kalau zaman sekarang, orang yang hendak bawa ajaran sunnah pula yang dikatakan sombong. Padahal sombong itu mengikut definisi Allah adalah orang yang menolak kebenaran apabila telah sampai kepada mereka. Tapi kerana masyarakat telah jahil, maka mereka telah terbalik fahaman mereka.


 

Ayat 26: Ayat tasliah (pujukan) dari Allah. Ini adalah jawapan Allah kepada hujah-hujah mereka tadi.

سَيَعلَمونَ غَدًا مَّنِ الكَذّابُ الأَشِرُ

Sahih International

They will know tomorrow who is the insolent liar.

Malay

Mereka akan mengetahui kelak siapakah orangnya yang pendusta, lagi sombong angkuh itu.

 

Kalimah غَدًا ‘esok’ boleh bermaksud ‘Hari Pembalasan’ ataupun apabila mereka dikenakan dengan azab nanti (di dunia lagi).

Mereka tuduh Nabi Saleh itu berdusta dan sombong, tapi itu adalah bohong sahaja. Nanti, mereka akan mengetahui siapakah yang sebenarnya yang berdusta dan sombong – iaitu mereka sendiri.


 

Ayat 27:

إِنّا مُرسِلُو النّاقَةِ فِتنَةً لَّهُم فَارتَقِبهُم وَاصطَبِر

Sahih International

Indeed, We are sending the she-camel as trial for them, so watch them and be patient.

Malay

Sesungguhnya Kami menghantarkan unta betina (yang menjadi mukjizat) sebagai satu ujian bagi mereka. Lalu (Kami perintahkan Rasul Kami): Tunggulah (apakah yang mereka akan lakukan) serta bersabarlah (terhadap tentangan mereka).

 

إِنَّا مُرْسِلُو النَّاقَةِ

Sesungguhnya Kami mengirimkan unta betina

Kaum Nabi Saleh telah mencabar baginda untuk buktikan kenabian baginda dengan mengeluarkan satu mukjizat. Sebagaimana juga puak musyrikin Mekah minta mukjizat daripada Nabi Muhammad, begitulah juga kaum Nabi Saleh. Seperti di awal surah ini, telah disebut bagaimana mereka minta Nabi tunjukkan mukjizat dan bagaimana Allah telah memberi mukjizat Pembelahan Bulan kepada baginda.

Kaum Tsamud telah cabar Nabi Saleh untuk mengeluarkan seekor unta dari bukit batu. Unta itu pula mestilah unta betina. Unta itu juga mestilah berwarna merah. Bukan itu sahaja, mereka kata unta itu mesti bunting bila dikeluarkan dari batu. Dan unta itu hendaklah melahirkan unta yang betina juga dan anak unta itu juga mestilah unta merah juga.

Itulah syarat-syarat yang mereka keluarkan kepada Nabi Saleh. Kalau dikirakan secara logik akal, tentulah syarat-syarat itu adalah syarat-syarat yang mustahil. Tetapi Allah telah mengeluarkan seperti mana yang mereka minta. Mudah sahaja bagi Allah.

 

فِتْنَةً لَّهُمْ

sebagai cubaan bagi mereka,

Unta itu dikatakan sebagai ‘ujian’ kepada mereka kerana bila unta itu diberikan kepada mereka, ini akan membuka ruang kepada mereka untuk melakukan dosa. Mereka mungkin berlaku zalim kepada unta itu ataupun mereka boleh membunuh unta itu.

Kerana bila unta itu diberikan, ianya datang dengan syarat-syarat dari Allah. Mereka tidak boleh menganiaya unta itu mereka, dan mereka mesti membiarkan unta itu tanpa gangguan. Mereka juga perlu berkongsi air dengan untuk itu.

Dan ini adalah ujian yang amat berat. Kerana mereka minta mukjizat dan Allah berikan. Bila dah diberikan dengan mukjizat yang diminta tapi masih lagi degil menolak, maka azab yang akan dikenakan lebih teruk dari mereka yang tidak diberikan mukjizat.

Mereka minta mukjizat ditunjukkan kepada mereka, tanpa mereka sedari yang permintaan mereka itu adalah ujian kepada mereka yang akan menyusahkan mereka. Ini juga ingatan dan amaran kepada musyrikin Mekah yang selalu meminta-minta mukjizat dari Nabi Muhammad.

 

فَارْتَقِبْهُمْ وَاصْطَبِرْ

maka tunggulah (tindakan) mereka dan bersabarlah.

Lihatlah apa yang mereka akan lakukan. Adakah mereka akan beriman atau tidak. Nabi Saleh disuruh bersedia sahaja. Allah dah tahu apa yang mereka akan lakukan.

Bersabarlah dengan mereka dan apa yang mereka akan lakukan. Itu memerlukan kesabaran yang lebih tinggi dari biasa. Sebab itu perkataan وَاصْطَبِرْ yang digunakan. Kalau sabar, perkataan وَاصْبِرْ boleh digunakan. Dalam bahasa Arab, kalau perkataan itu dipanjangkan dan ditambah dengan huruf, ianya bermaksud ada sesuatu yang lebih yang dimaksudkan. Apabila huruf ط dimasukkan dalam وَاصْطَبِرْ, ianya hendak memberitahu kepada Nabi Saleh bahawa baginda perlu bersabar lebih dari biasa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Jun 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s