Tafsir Surah Hud Ayat 33 – 37 (Bahtera Nabi Nuh)

Ayat 33: Dalam ayat sebelum ini, puak kafir minta Nabi Nuh segerakan azab yang dijanjikan kepada mereka.

قالَ إِنَّما يَأتيكُم بِهِ اللَّهُ إِن شاءَ وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ

Sahih International

He said, ” Allah will only bring it to you if He wills, and you will not cause [Him] failure.

Malay

Nabi Nuh menjawab: “Sesungguhnya Allah jualah yang akan mendatangkan azabNya itu kepada kamu jika Dia kehendaki, dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melemahkan kuasa Allah!

 

قَالَ

Nabi Nuh menjawab:

Ini adalah jawapan baginda kepada umatnya yang kufur seperti dalam ayat sebelum ini, yang meminta supaya disegerakan azab yang dijanjikan.

Mereka minta disegerakan azab itu kerana hendak mengejek dakwah Nabi Nuh a.s. Mereka tidak percaya kepada azab yang dijanjikan itu. Sebab itulah mereka berani minta disegerakan azab itu. Kalau mereka percaya, tentulah mereka tidak berani nak minta begitu. Ini adalah satu permintaan yang amat buruk sekali.

 

إِنَّمَا يَأْتِيكُم بِهِ اللَّهُ

“Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang akan mendatangkan azabNya itu

Nabi Nuh jawab, keputusan untuk turunkan azab itu bukan dari dia, tapi dari Allah. Allah sahaja yang boleh tentukan. Tidak ada sesiapa yang dapat menentukan bilakah azab itu akan diberikan kepada manusia.

Kita tahu *hanya* Allah sahaja yang menentukan azab itu dari perkataan إِنَّمَا dalam ayat ini. Dan tidak ada sesiapa yang boleh paksa Allah. Ikut Allah apa yang Dia hendak buat. Jadi, apabila mereka minta disegerakan azab itu, Nabi Nuh tidak dapat memberikan azab itu.

 

إِن شَاءَ

jika Dia kehendaki,

Ikut Allah sama ada Allah nak beri bala atau tidak. Allah sahaja yang tentukan bila azab itu akan diberikan. Ada sahaja mereka yang buat mungkar tapi Allah biarkan sahaja mereka di dunia kerana Allah hendak mengazab mereka di akhirat kelak.

Ini menunjukkan keikhlasan Nabi Nuh dan para Rasul lain dalam berdakwah. Bukan mereka yang menentukan balasan azab kepada mereka yang menentang. Kalau mereka yang boleh tentukan azab, tentu mereka akan kenakan azab kepada musuh-musuh mereka yang menentang.

 

وَمَا أَنتُم بِمُعْجِزِينَ

dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri!

Kalau Allah turunkan bala kepada mereka, mereka tidak akan dapat melepaskan diri. مُعْجِزِ bermaksud ‘melemahkan’. Maksudnya, kalau ada sesiapa yang hendak menyakiti kita, ada masanya kita boleh lemahkan usaha mereka itu. Maka kita dapat melepaskan diri dalam keadaan itu.

Itu dengan manusia, tapi dengan Allah, tidak ada sesiapa pun yang dapat melemahkan Allah. Tidak ada sesiapa yang dapat melepaskan diri dari Allah. Mereka yang kufur itu minta disegerakan azab kepada mereka. Tapi mereka tidak sedar, apabila azab itu datang, mereka tidak dapat melepaskan diri langsung.


 

Ayat 34:

وَلا يَنفَعُكُم نُصحي إِن أَرَدتُ أَن أَنصَحَ لَكُم إِن كانَ اللَّهُ يُريدُ أَن يُغوِيَكُم ۚ هُوَ رَبُّكُم وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

And my advice will not benefit you – although I wished to advise you – If Allah should intend to put you in error. He is your Lord, and to Him you will be returned.”

Malay

Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku hendak menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia lah Tuhan kamu dan kepadaNya kamu akan kembali”.

 

وَلَا يَنفَعُكُمْ نُصْحِي

Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu,

Perkataan نُصْحِي adalah satu perkataan yang lebih kuat lagi dari ‘naseha’ – dalam bahasa kita dipanggil ‘nasihat’. Kita akan memberikan nasihat kepada seseorang yang kita mahukan kebaikan untuk mereka. نُصْحِي itu lebih kuat lagi.

 

إِنْ أَرَدتُّ أَنْ أَنصَحَ لَكُمْ

jika aku hendak menasihati kamu,

Entah berapa ramai orang-orang di kalangan kita, yang kita mahu untuk mereka mendapat hidayah. Begitulah juga dengan Nabi Nuh a.s. Sebagaimana juga Nabi Muhammad SAW mahu semua umatnya beriman, lebih-lebih lagi bapa saudaranya Abu Talib. Tapi itu adalah kehendak kita sahaja. Kalau kehendak kita tidak sama dengan kehendak Allah, ianya tidak akan terjadi.

Iman tidak boleh dipaksa kepada sesiapa pun. Untuk sesiapa menerima iman, orang itu sendiri kena ada keinginan dalam dirinya untuk beriman. Iaitu ada keinginan dalam dirinya kepada kebenaran. Tidak kisahlah kalau dia itu lahir dalam agama Islam atau kafir. Kalau ada dalam hatinya hendak kepada kebenaran, dia akan menerima Islam.

Itulah sebabnya kita selalu dengar bagaimana walaupun sami Hindu, Paderi Kristian pun boleh beriman lagi apabila mereka membuka hati mereka kepada Islam.

 

إِن كَانَ اللَّهُ يُرِيدُ أَن يُغْوِيَكُمْ

kalau Allah hendak menyesatkan kamu;

Kalimah يُغْوِيَكُمْ dari perkataan ‘أغوى’ – lebih kurang sama dengan ‘أضل’ –  ‘menyesatkan’. Cuma ia lebih kuat lagi. Kalau ‘أضل’, masih ada harapan untuk orang itu pulang ke pangkal jalan. Tapi kalau ‘أغوى’ digunakan, ianya bermaksud seseorang itu dibawa ke jalan yang amat jauh dari kebenaran sampaikan mereka semakin menjauh dan menjauh dan tidak ada harapan untuk pulang lagi.

Apabila Allah telah taqdirkan seseorang itu akan sesat, tidak berguna nasihat yang kita berikan kepada mereka. Mereka tidak akan terima sampai bila-bila walau bagaimana cara pun mereka dinasihati.

Tapi kita kena dakwah juga. Kerana kita tak tahu siapakah yang Allah telah taqdirkan akan sesat. Jadi, kita kena dakwah sahaja seolah-olah kita tidak tahu (kerana memang kita tidak tahu pun). Macam orang kafir Hindu sekarang contohnya, kita tidak tahu sama ada Allah telah taqdirkan dia sesat sampai bila-bila atau tidak. Maka, kita kena dakwah kepada dia.

Sekarang memang dia kafir, tapi kita tidak tahu penghujungnya. Kita tidak tahu masa depan. Begitu juga dengan orang yang kita lihat buat maksiat sahaja sepanjang hidupnya. Kita kena nasihat dan dakwah kepada dia kerana kita tidak tahu sama ada dia akan terus sesat atau tidak.

Kita bukanlah boleh senang-senang sahaja mengatakan seseorang itu kufur atau tidak, masih ada harapan untuk beriman atau tidak. Tapi kalau memang dia tengah buat perbuatan salah dan syirik, memang kita boleh kata mereka tengah kufur. Sebab memang jelas mereka sedang kufur sekarang. Memang kita tidak tahu masa hadapan, mungkin dia akan beriman, tapi masa sekarang sudah jelas nampak dengan perbuatan mereka.

Takkan apabila kita tengok seseorang sedang sembah berhala, kita nak kata: “jangan kata dia kafir, kita tak tahu lagi dia akan masuk Islam atau tidak nanti….”. Memang kita tidak tahu hujung hayatnya macam mana. Tapi waktu itu, memang dia telah jelas buat sesuatu yang kufur maka tidak salah kalau kita kata dia kufur. Kita nilai dia berdasarkan waktu itu.

Bukanlah ayat ini boleh digunakan sebagai dalil untuk menyalahkan Allah pula. Janganlah kita gunakan ayat ini untuk kita mengatakan yang Allah mahu sesiapa jadi kufur. Ingatlah bahawa Allah tidak paksa kekufuran kepada sesiapa. Mereka yang kufur itu adalah kerana mereka sendiri yang hendak jadi kufur. Kalau mereka mahu jadi kufur sangat, Allah akan beri lagi peluang kepada mereka untuk buat salah lagi.  Supaya nanti mereka akan dibalas dengan azab yang lebih lagi di akhirat kelak.

Kufur yang tidak ada peluang untuk menerima hidayah lagi adalah kufur peringkat keempat. Ini dinamakan Khatmul Qalbi – iaitu apabila hati mereka terus ditutup oleh Allah untuk menerima hidayah. Apabila sudah sampai ke tahap itu, walau bagaimana nasihat pun, walau bagaimana dakwah, beri hujah apa sahaja, mereka tidak akan terima kerana Allah telah tutup hati mereka.

Tapi ini setelah mereka melalui tiga peringkat kufur sebelum itu. Kalau mereka terus menolak dan menentang apa yang disampaikan oleh penyebar tauhid, barulah Allah akan tutup hati mereka. Bukanlah Allah terus tetapkan seseorang untuk jadi kafir dari awal lagi.

 

هُوَ رَبُّكُمْ

Dia lah Tuhan kamu

‘Rabb’ bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara dan menjaga semua makhluk. Allah yang menentukan segalanya buat kita. Kalau Dia hendak menghidupkan, Dia akan hidupkan. Kalau Dia hendak mematikan, Dia akan mematikan. Kalau Allah berkehendak kepada sesuatu, ianya akan terjadi dan tidak ada sesiapa pun yang boleh halang.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepadaNya kamu akan kembali”.

Sama ada kamu taat atau derhaka kepada Allah, kamu akan kembali berjumpa dengan Allah. Sama ada kita jumpa Allah dalam keadaan Allah redha dengan kita atau dalam keadaan Allah murka dengan kita.


 

Ayat 35:

أَم يَقولونَ افتَراهُ ۖ قُل إِنِ افتَرَيتُهُ فَعَلَيَّ إِجرامي وَأَنا بَريءٌ مِمّا تُجرِمونَ

Sahih International

Or do they say [about Prophet Muhammad], “He invented it”? Say, “If I have invented it, then upon me is [the consequence of] my crime; but I am innocent of what [crimes] you commit.”

Malay

(Mereka terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Nabi Nuh diperintahkan menjawab dengan berkata: “Kalau aku yang mereka-reka wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku”.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ

Adakah mereka menuduh dia mengada-adakan dusta:

Mereka pula kata Nabi Nuh mengadakan dusta terhadap Allah. Mereka kata apa yang Nabi Nuh itu bawa hanyalah dusta belaka, mengaku Nabi pula.

Mereka bukanlah tidak tahu tentang ‘Tuhan yang satu’. Tapi mereka menggunakan patung wali-wali itu sebagai perantaraan kepada Allah. Mereka menggunakan tawasul untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah.

Wali-wali itu memang orang-orang yang baik semasa mereka hidup. Tapi selepas mereka mati, mereka dijadikan sebagai perantaraan doa kepada Allah. Mula-mula mereka buat patung untuk mengingati mereka. Tapi lama-lama mereka sembah kerana syaitan ambil peluang untuk sesatkan mereka.

Bagaimana dengan masyarakat kita? Pun ada dari kalangan masyarakat Islam kita yang puja tok wali. Ada yang beri salam kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani lah, Tok Kenali lah. Dan macam-macam lagi amalan-amalan yang sesat sebegitu. Ada sekolah tahfiz yang ajar anak murid mereka untuk berdoa kepada Tok Kenali supaya mereka senang hafal Qur’an.

Jadi, yang engkar dari kalangan umat Nabi Nuh kata baginda tipu dan reka sahaja wahyu yang disampaikan. Mereka kata sebenarnya tidak ada larangan untuk bertawasul kepada tok-tok wali itu, cuma Nabi Nuh sahaja yang reka kata Tuhan tak suka. Mereka juga kata, sebenarnya Allah suka mereka buat macam itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ‘dia’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad. Iaitu Musyrikin Mekah mengatakan yang kisah Nabi Nuh yang baginda sampaikan ini adalah rekaan Nabi Muhammad sahaja. Ini memberitahu kepada mereka bahawa kisah yang Nabi bawakan ini adalah kebenaran dan bukan rekaan baginda.

 

قُلْ إِنِ افْتَرَيْتُهُ

Katakanlah: “Kalau betul aku telah mereka-reka wahyu itu

Nabi Nuh (atau Nabi Muhammad) diperintahkan menjawab kepada mereka yang kata kalau baginda berkata sebegitu,

 

فَعَلَيَّ إِجْرَامِي

maka akulah yang akan menanggung dosa itu,

Perkataan إِجْرَامِي bermaksud sesuatu yang telah dimandatkan kepada kita untuk melakukannya tapi kita tidak melakukannya. Jadi ini adalah satu kesalahan atau dosa. Nabi Nuh a.s. mengatakan bahawa kalau baginda menipu, tentulah baginda akan menerima azab dari kesalahan dosa baginda itu.

 

وَأَنَا بَرِيءٌ مِّمَّا تُجْرِمُونَ

dan aku berlepas diri dari perbuatan dosa kamu itu”.

Nabi Nuh a.s. berlepas diri dari perbuatan tawasul mereka itu kepada lima wali itu. Nabi Nuh tidak mahu ada kena mengena dengan mereka. Baginda tidak akan mengiktiraf amalan sesat dan kufur itu. Kerana itulah kita juga tidak boleh nak terima amalan syirik khurafat masyarakat kita. Tidak perlu kita nak jaga hati mereka dengan mengatakan perbuatan itu boleh dilakukan.


 

Ayat 36: Selepas diberitahu tentang keadaan mereka ini, barulah Nabi Nuh angkat tangan berdoa kepada Allah untuk membantu baginda. Doa baginda itu ada dalam Nuh:26

وَأوحِيَ إِلىٰ نوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤمِنَ مِن قَومِكَ إِلّا مَن قَد آمَنَ فَلا تَبتَئِس بِما كانوا يَفعَلونَ

Sahih International

And it was revealed to Noah that, “No one will believe from your people except those who have already believed, so do not be distressed by what they have been doing.

Malay

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

 

وَأُوحِيَ إِلَىٰ نُوحٍ

Dan diwahyukan kepada Nabi Nuh:

Allah memberitahu kepada Nabi Nuh a.s. satu perkara yang baginda tidak akan dapat tahu kalau Allah tak beritahu. Kerana baginda tidak boleh baca hati manusia, lalu tentu baginda tidak tahu perkara ghaib. Salah satu perkara ghaib adalah sama ada seseorang itu beriman atau tidak.

Dan baginda tidak tahu masa hadapan; entah akan ada orang yang akan beriman atau tidak; jadi perkara ini kena Allah sendiri yang beritahu kerana Allah tahu apa dalam hati manusia dan Allah tahu apakah yang akan terjadi di masa hadapan.

 

أَنَّهُ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ

“Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu

Waktu itu baginda telah mengajar dan berdakwah selama 950 tahun kepada umat baginda. Semua tidak beriman kecuali hanya segelintir sahaja. Walaupun baginda telah berdakwah dengan berbagai-bagai cara dan begitu lama. Ini ada disebut dalam Nuh:5-9

قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا

Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا

“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا

“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا

“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا

“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

Maka, Allah beritahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman selepas itu. Walau apapun yang Nabi Nuh dakwah dan beri hujah selepas itu, tidak akan ada sesiapa lagi yang akan beriman. Jadi, tidak perlulah Nabi Nuh buang masa kalau begitu; tidak perlu nak berdakwah lagi.

إِلَّا مَن قَدْ آمَنَ

melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.

Hanya mereka yang telah beriman sahaja dengan baginda yang akan terus beriman. Yang selain dari itu, tidak akan beriman sampai bila-bila pun.

Bayangkan kesedihan yang Nabi Nuh rasa apabila diberitakan dengan berita ini. Setelah sekian lama dia berdakwah, hanya sedikit sahaja yang beriman. Dan Allah beritahu kepadanya bahawa yang lain tidak akan beriman lagi sampai bila-bila. Tentu amat menyedihkan.

 

فَلَا تَبْتَئِسْ

Oleh itu, janganlah engkau berdukacita

Allah tahu yang Nabi Nuh akan bersedih, maka Allah telah memujuk baginda.

Perkataan تَبْتَئِسْ lebih kurang sama maksudnya dengan لا تَحزَن (jangan berdukacita). Perkataan تَبْتَئِسْ diambil dari perkataan بِئسٌ yang bermaksud ‘tidak selesa’. Perkataan تَبْتَئِسْ bermaksud kedukaan yang amat sangat yang menyebabkan rasa tidak selesa.

Iaitu, apabila dikatakan kepada Nabi Nuh bahawa tidak akan ada lagi yang akan beriman dengan baginda, ianya telah memberikan rasa tidak selesa kepada baginda, sampaikan baginda tidak boleh tidur malam. Oleh itu, Allah hendak memujuk baginda supaya jangan jadi begitu.

Ianya telah ditakdirkan menjadi begitu, bukan salah baginda. Ini kerana, kalau baginda sedih sangat, ianya akan menyusahkan baginda. Nanti sampai tidak boleh nak buat kerja lain, nak mengajar pun sudah tidak mampu.

 

بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

Ayat ini menunjukkan akhlak seorang pendakwah. Kena ada kelembutan dalam hati pendakwah. Kena ada rasa belas kasihan untuk mereka yang didakwah. Kalau tak, takkan berjaya nak dakwah.

Macam anak kita yang degil, kita sanggup nak ajar mereka lagi kerana kita sayang dan ada belas kasihan dengan mereka. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh telah berusaha dakwah dengan susah payah dan dalam jangka masa yang amat lama. Itu menunjukkan betapa baginda begitu mengambil berat tentang hal kaumnya.

Doa yang dilafazkan oleh Nabi Nuh itu ada tertulis dalam Qur’an:

{رَبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الأرْضِ مِنَ الْكَافِرِينَ دَيَّارًا}

Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. (Nuh: 26)


 

Ayat 37: Hanya selepas baginda diberitahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman, barulah Nabi Nuh berdoa kepada Allah supaya melakukan sesuatu terhadap kaumnya Selepas Nabi Nuh berdoa kepada Allah untuk membantu baginda, Allah telah membalas doa baginda.

وَاصنَعِ الفُلكَ بِأَعيُنِنا وَوَحيِنا وَلا تُخاطِبني فِي الَّذينَ ظَلَموا ۚ إِنَّهُم مُغرَقونَ

Sahih International

And construct the ship under Our observation and Our inspiration and do not address Me concerning those who have wronged; indeed, they are [to be] drowned.”

Malay

Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.

 

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ

Dan buatlah bahtera

Cukuplah dengan berdakwah itu, tak perlu berdakwah lagi kepada umat baginda sebab baginda sudah diberitahu yang mereka takkan beriman lagi. Sekarang ada kerja lain yang nak kena buat – buat bahtera.

Allah arahkan baginda untuk membina satu kapal yang besar – bukan perahu atau bot yang kecil. Waktu itu tidak pernah ada manusia yang pernah buat kapal. Mereka tak tahu yang manusia boleh mengembara dengan kapal di lautan.

Selepas ada contoh bahtera Nabi Nuh ini, barulah manusia tahu dan banyak bahtera, kapal dan macam-macam alat pengangkutan laut direka oleh manusia. Jadi asalnya pembinaan kapal adalah dengan Nabi Nuh. Macam Nabi Daud, baginda menjadi peneraju kepada penggunaan besi.

Dalam riwayat Israiliyat, ada disebut pembahagian bahtera itu. Bahtera itu dibahagikan kepada tiga bahagian:

  • Bahagian bawah untuk binatang
  • Bahagian tengah untuk manusia
  • Bahagian atas burung supaya mereka senang untuk terbang dan mendarat

Bahtera itu ada penutup di sebelah atas sebab hujan masih ada lagi. Ini adalah kisah Israiliyat. Maka kita kena terima sahaja tanpa mengatakan ianya benar atau ianya salah.

Ayat ini memberitahu kita bahawa Nabi Nuh sendiri kena buat bahtera itu. Bukanlah malaikat yang membinanya. Bukan juga dia arahkan orang lain orang lain buat dan dia tengok sahaja. Maknanya mereka yang berdakwah, kena berusaha. Bukan tengok sahaja.

 

بِأَعْيُنِنَا

dengan pengawasan Kami,

Bagaimanakah agaknya seorang lelaki yang tidak pernah pergi ke laut, yang tinggal dalam kalangan masyarakat yang kehidupan mereka bukan berdekatan dengan laut, tahu bagaimana hendak membina satu bahtera? Tentulah tidak boleh kalau tanpa bantuan dari Allah. Allah akan memberi bantuan dan penerangan tentang bagaimana hendak melakukannya.

Bahtera itu akan digunakan untuk melayari lautan yang luas. Bukan dia sahaja yang akan naik, tapi ramai lagi yang beriman yang akan naik dengan baginda. Dan bukan itu sahaja, binatang-binatang pun akan naik juga. Jadi, bahtera ini bukan bahtera yang kecil, tapi yang besar.

Apabila dikatakan yang bahtera itu dibuat di bawah pengawasan Allah, itu bermakna Allah melihat apa yang baginda lakukan. Allah akan pastikan yang baginda buat dengan betul. Kita kadangkala memerlukan bantuan dan pengawasan sebegini. Untuk pastikan apa yang kita buat adalah perkara yang betul. Supaya tak sia-sia apa yang kita buat. Terutamanya, kalau itu adalah pertama kali kita lakukan. Walaupun kita sudah ada manual.

Sebagai contoh, katakanlah kita sudah ada resipi bagaimana memasak satu-satu jenis masakan. Walaupun kita ada resipi, tapi ianya lebih baik kalau kita ada orang yang sudah biasa memasak masakan itu untuk melihat kita dan memastikan bahawa apa yang kita lakukan ada betul.

‘Dengan pengawasan’ juga bermaksud dengan ‘perlindungan Allah’ juga. Tentunya ada yang hendak khianat kepada kerja Nabi Nuh itu, tapi Allah memberitahu bahawa Dia akan memberi pengawasan kepada baginda sepanjang proses pembinaan kapal itu.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

وَوَحْيِنَا

dan dengan panduan wahyu Kami;

Allah akan menghantar malaikat untuk mengajar Nabi Nuh bagaimana untuk buat bahtera itu. Kiranya, Allah hantar arkitek dan engineer kepada baginda. Kerana kalau tidak diajar sebegitu, tidak akan jadi bahtera itu kerana Nabi Nuh tidak ada ilmu bagaimana hendak membuat bahtera.

 

وَلَا تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا

dan janganlah engkau merayu kepadaKu terhadap mereka yang zalim itu,

Perkataan تُخَاطِبْنِي dari katadasar خ ط ب yang bermaksud sejenis percakapan dimana seorang bercakap kepada orang lain (macam khatib yang memberi khutbah). Ianya adalah percakapan satu hala sahaja dan bukan dialog. Macam khutbah Jumaat, bukannya perbincangan antara khatib dan jemaah. Khatib bercakap dan yang lain mendengar sahaja.

Semasa baginda membina bahtera itu, timbullah perasaan berat hati dalam Nabi Nuh, tentang nasib kaumnya yang akan mati nanti dalam banjir itu. Tentulah baginda rasa sedih kerana bila baginda tengok mereka, baginda sudah tahu bahawa mereka itu semuanya akan mati.

Maka, Nabi Nuh terdetik dalam hatinya hendak memohon kepada Allah supaya ditambah orang beriman kepada Allah. Tapi sebelum sempat baginda minta, Allah telah beri kata dua: tidak boleh mendoakan bagi pihak mereka.

Allah pesan supaya jangan minta tolong untuk mereka. Walaupun ahli keluarga baginda sekalipun. Allah sudah siap-siap bagi peringatan. Nabi Nuh tidak ada apa-apa lagi yang baginda boleh buat melainkan terima sahaja. Sudahlah baginda kena sabar dengan apa yang dilakukan oleh kaumnya kepada baginda, tapi baginda juga kena sabar dengan ketetapan Allah.

 

إِنَّهُم مُّغْرَقُونَ

kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan”.

Penggunaan perkataan مُّغْرَقُونَ dalam isim maf’ul yang mengisyaratkan bahawa mereka itu tetap dan pasti akan ditenggelamkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Mac 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s