Asr Ayat 2: Duduk di dunia ini kita duduk dalam kerugian yang amat besar, kalau kita tidak bersedia untuk akhirat.
إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, mankind is in loss,
(MALAY)
Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,
Kalimah إِنَّ – Sesungguhnya, tidak syak lagi. Kalimah penekanan ini digunakan apabila bercakap dengan orang yang mungkin tidak percaya dengan apa yang kita akan katakan, maka kita tambah dengan kalimah إِنَّ untuk beri penekanan lagi supaya mereka beri perhatian.
Ayat ini mulanya disampaikan kepada Musyrikin Mekah dan kerana mereka tidak yakin dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ, maka Allah ﷻ berikan penekanan dalam ayatNya ini. Sememangnya ramai manusia yang apabila baca atau dengar ayat ini, mereka tidak percaya sangat pun.
Namun ayat ini bukanlah ditujukan kepada Musyrikin Mekah sahaja, bukan kepada orang kafir sahaja, tetapi ia ditujukan kepada semua manusia. Jangan mengada-ngada sangka kamu yang sudah beragama Islam, ayat ini tidak kena kepada kamu pula.
Bagaimana kita tahu yang ayat ini bersifat universal (umum) dan dikenakan kepada semua orang? Ini kerana dalam ayat seterusnya, Allah ﷻ meletakkan pengecualian, bukan? Jadi ayat ini merujuk kepada semua manusia. Pengecualian hanya kepada mereka yang melakukan empat perkara yang akan disebut dalam ayat seterusnya nanti. Kamu yang sudah bernama Muslim ini, adakah kamu sudah buat empat perkara itu?
Dalam ayat ini, kalimah yang digunakan untuk merujuk kepada manusia adalah الإِنسانَ – ia adalah diambil daripada kalimah Nisyaan – bermaksud pelupa. Ini kerana memang manusia itu bersifat pelupa. Sebab itu selalu manusia itu kena diingatkan yang mereka sedang menuju kepada kebinasaan, yang mereka sedang lalai, yang mereka sedang alpa dan macam-macam lagi peringatan yang perlu diberi ingat kepada manusia, kerana memang insan itu bersifat pelupa.
Kalimah الإِنسانَ ini memang sesuai digunakan dalam ayat ini, walaupun ada lagi kalimah lain lagi yang boleh digunakan kalau hendak merujuk kepada manusia seperti:
al Fard الفرد
an-Nafs النفس
an-Naas الناس
Memang ada kalimah-kalimah lain tetapi Allah ﷻ pasti menggunakan kalimah yang sesuai digunakan pada tempatnya. Kalimah الإِنسانَ ini memang sesuai digunakan di sini kerana ia bukan sahaja merujuk kepada setiap manusia, tetapi merujuk kepada setiap seorang, bukannya secara umum. Apabila dikatakan الإِنسانَ, setiap seorang akan kena dan mereka kena ambil perhatian.
Ini penting, kerana psikologi manusia, kalau diberi nasihat secara umum sahaja, mereka akan sangka yang orang yang dinasihati itu merujuk kepada orang lain, bukan diri dia. Mereka akan rasa: “Ah, ini bukan nasihat untuk aku, tapi orang lain ni…”. Oleh itu, kalau kita sebut nama orang itu, atau kita tujukan kepada orang tertentu, baru dia terasa dan terkesan dengan kata-kata itu.
Oleh itu, kalau Allah ﷻ menggunakan kalimah الناس, ia merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Namun apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah الإِنسانَ, ia merujuk kepada keseluruhan dan setiap manusia. Oleh itu, apabila manusia baca ayat ini, dia kena ingat yang ayat ini ditujukan khas kepada dia juga.
Manusia nanti memang akan kisahkan tentang hal dia sahaja, terutama di hari akhirat nanti. Kita boleh lihat dalam Ma’arij:11-14 bagaimana manusia tidak hiraukan orang lain pun.
يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ. وَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ. وَفَصيلَتِهِ الَّتي تُؤويهِ. وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ يُنجيهِ
Orang kafir ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya, dan isterinya dan saudaranya, dan kaum familinya yang melindunginya (di dunia). Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya.
Maknanya, manusia terutamanya mereka yang berdosa akan lari daripada saudara mara dan kenalan mereka yang mereka sayang semasa di dunia dahulu. Ini adalah kerana mereka takut dengan apa yang akan dikenakan kepada mereka. Jadi mereka tidak mahu menolong orang lain.
Malah kalau boleh, mereka hendak gunakan ahli keluarga dan kenalan mereka sebagai bayaran untuk melepaskan mereka daripada hukuman hari akhirat. Padahal mereka itu rapat dengan mereka, malah berkasih sayang dengan mereka semasa di dunia. Namun dek kerana teruknya azab di neraka itu dan mereka pun sudah tahu yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka.
Oleh itu, Allah ﷻ menyuruh kita menjaga diri kita semasa kita di dunia sekarang, kerana amat malang kalau mengharapkan orang lain membantu kita nanti di akhirat. Ini kerana tidak akan ada yang akan membantu – tidak kira betapa baik sekali pun dengan mereka – malah ibubapa atau anak sendiri pun tidak akan tolong! Maka jangan berharap sangat kepada syafaat orang.
Kita waktu itu hanya mengharapkan amalan baik semasa di dunia sahaja untuk menyelamatkan kita. Namun kita kenalah ingat yang masa kita di dunia ini tidak banyak. Kita pun tidak tahu berapa lama lagi masa kita di dunia ini untuk bersedia kerana masa sudah suntuk sangat. Kita kena ambil peluang dan jangan lengahkan masa.
Kalimat لَفي خُسرٍ – (benar-benar dalam kerugian). Dalam bahasa Arab, sesuatu perkataan itu boleh diperkuatkan dengan menggunakan kaedah-kaedah bahasa Arab yang dipanggil Balagha. Ada banyak cara yang digunakan dalam Al-Qur’an. Dari balagha ayat ini, ia dalam bentuk yang paling kuat dalam Al-Qur’an.
-
- Selalunya, ayat dalam bahasa Arab menggunakan kaedah fi’il yang dinamakan jumlah fi’liah – apabila ayat itu dimulai dengan kata-kerja (fi’il) tetapi ada juga ayat-ayat yang dimulai dengan isim dan ayat jenis ini dikenali sebagai Jumlah ismiyyah seperti yang digunakan dalam ayat ini. Apabila jumlah ismiyyah digunakan, ia memberi lebih penekanan lagi kerana ia memberi isyarat sesuatu itu sudah tetap.
- Apabila digunakan kalimah إِنَّ seperti yang kita telah beritahu, ini sendiri sudah satu kalimah penekanan.
- Kita juga telah sebutkan tentang kalimah الإِنسانَ, ia adalah lebih kuat kalau digunakan kalimah النّاس yang bersifat umum. Kalimah الإِنسانَ itu merujuk kepada setiap satu manusia, maka ini lebih kuat lagi.
- Huruf ل yang digunakan dalam kalimah juga adalah kalimah penekanan juga. Ia digunakan untuk menguatkan sumpah.
- Kalimat في خُسرٍ juga adalah satu penekanan juga kerana daripada segi bahasa Arab, boleh sahaja digunakan لخاسر atau لقد خسر yang juga sudah kuat. Namun digunakan في خُسرٍ memberikan isyarat bahawa mereka itu ‘tenggelam’ dalam kerugian itu. Kalau sudah tenggelam, itu sudah teruk.
- Kalimah خُسرٍ juga di dalam bentuk isim dan bukan dalam bentuk fi’il. Kalau digunakan bentuk isim, ia lebih kuat lagi daripada fi’il.
- Apabila ada tanwin dalam kalimah خُسرٍ, ia adalah dalam bentuk kuat kerana tambahan bunyi ن (dipanggil nun tanwin) adalah untuk menguatkan lagi kalimah itu.
- Akhir sekali, surah ini telah dimulai dengan sumpah وَالعَصرِ, yang memberi isyarat bahawa sesuatu yang berat akan disebutkan. Maka ayat ini adalah jawabul qosm, yang menjadi subjek yang hendak disampaikan dengan adanya sumpah itu. Allah ﷻ bersumpah sebab hendak beritahu perkara inilah.
Ada 3 cara penggunaan khusr (rugi) dalam Al-Qur’an: Khusr / Khassaara / Khusraan.
Khusraan خسران – adalah kerugian yang paling teruk sekali kerana ada penambahan ن di hujung kalimah. Ini seperti yang digunakan dalam Hajj:11
وَمِنَ النّاسِ مَن يَعبُدُ اللَّهَ عَلىٰ حَرفٍ ۖ فَإِن أَصابَهُ خَيرٌ اطمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِن أَصابَتهُ فِتنَةٌ انقَلَبَ عَلىٰ وَجهِهِ خَسِرَ الدُّنيا وَالآخِرَةَ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الخُسرانُ المُبينُ
Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika dia memperoleh kebajikan, tetaplah dia dalam keadaan itu, dan jika dia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah dia ke belakang. Rugilah dia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.
Khassaar خسار – digunakan apabila seseorang itu sudah dalam masalah dan dia tambah lagi masalah dia. Ini seperti yang Allah ﷻ gunakan dalam Nuh:21
قالَ نوحٌ رَبِّ إِنَّهُم عَصَوني وَاتَّبَعوا مَن لَم يَزِدهُ مالُهُ وَوَلَدُهُ إِلّا خَسارًا
Nuh عليه السلام berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menderhakaiku dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka,
Lihatlah bagaimana mereka sudah dalam masalah, dan mereka tambah lagi masalah mereka, bagi lagi teruk lagi.
Namun dalam surah ini, digunakan kalimah Khusr خسر – ia adalah dalam bentuk yang umum – menunjukkan bahawa secara umum, manusia itu semuanya dalam keadaan yang rugi.
Kalimah خسر bukan sahaja bermakna orang itu rugi tidak untung, tetapi lebih lagi daripada itu – dengan modal pun habis sekali. Jadi ini adalah malang sekali.
Ia juga bermaksud ‘ditipu’ – yang menyebabkan orang itu rugi. Oleh itu ada elemen penipuan dalam kalimah خسر – dan memang manusia menipu diri mereka sendiri yang menyebabkan mereka kerugian yang besar.
Mereka juga ditipu oleh syaitan yang menyebabkan mereka kerugian di dunia dan akhirat. Mereka juga ditipu oleh dunia seperti yang kita telah belajar dalam Surah Takathur. Mereka sibuk kejar dunia sahaja, melupakan persediaan untuk akhirat.
Walaupun kita telah sebut yang kalimah الإِنسانَ merujuk kepada setiap manusia (secara individu), tetapi ada juga pendapat mufassir yang mengatakan ia merujuk khusus kepada orang kafir.
Manusia memang kebanyakannya jauh daripada kebenaran. Ibn Taymiyyah رحمه الله mengatakan yang manusia menjauhkan diri mereka daripada kebenaran kerana dua perkara:
1 – Shubuhaat (Keraguan)
2 – Shahawaat (Godaan Nafsu)
Salah satu atau kedua-dua perkara inilah yang menjauhkan manusia daripada kebenaran dan membawa mereka kepada kesesatan. Kita telah sebut bagaimana manusia kena ada ‘iman’ dan ‘amal’. Namun dua perkara yang disebut oleh Ibn Taymiyyah رحمه الله adalah dua perkara yang berlawanan dengan ‘iman’ dan ‘amal’ itu.
Apabila kita ajak seseorang kepada Islam, mereka kena tinggalkan banyak perkara yang mereka suka buat. Jadi bukan senang hendak meninggalkan perkara yang mereka suka dan biasa buat. Shubuhaat dan Shahawaat itu akan sentiasa menghalang mereka.
Bagaimana Shubuhaat boleh menghalang? Kita selalu lihat bagaimana ada yang sudah hampir percaya Islam itu benar, tetapi masih ada keraguan lagi dalam hati mereka, jadi mereka tidak terima Islam sepenuhnya. Dalam hati mereka, mereka rasa: “Bagaimana kalau aku terima Islam ini sepenuhnya, tetapi sebenarnya ada fahaman lain yang benar?”
Atau kalau mereka sudah Muslim tetapi susah untuk tinggalkan amalan bid’ah mereka. Mungkin dalam hati mereka berkata: “Bagaimana aku nak tinggalkan amalan yang sudah lama aku amalkan kerana diajar oleh guru-guru aku dulu… takkan salah amalan itu? Takkan mereka tidak tahu yang amalan mereka salah? Takkan mereka nak masuk neraka pula?”
Bagaimana pula Shahawaat menghalang? Ada antara manusia yang sudah yakin yang Islam itu benar, tetapi mereka ada keinginan nafsu yang kuat lagi, maka mereka tidak mahu mengamalkan Islam dengan sempurna. Sebagai contoh, ada yang masih tidak dapat hendak meninggalkan minum arak atau berzina.
Oleh itu, kita boleh nampak bagaimana salah satu daripada dua perkara itu boleh menyebabkan manusia rosak. Ini adalah kerana mereka jahil dan tidak mahu mendalami agama. Kalau mereka dapat mendalami agama, dekatkan diri dengan pemahaman wahyu Al-Qur’an, mereka akan dapat keyakinan yang tinggi dan dengan keyakinan yang tinggi, mereka dapat tinggalkan shahawaat mereka itu.
Oleh kerana jauh daripada fahaman agama yang sebenar, manusia sibuk dengan masalah peribadi mereka. Mereka rasa masalah peribadi mereka tidak habis-habis. Apabila mereka tenggelam dan nampak masalah peribadi mereka sahaja, mereka akan rasa besar sangat masalah mereka itu. Mereka hanya nampak masalah mereka di dunia sahaja. Mereka tentunya juga tidak mahu rugi di dunia.
Namun kalau mereka faham surah ini, mereka akan sedar bahawa masalah dunia mereka itu tidak ada apa-apa kalau dibandingkan dengan masalah mereka dengan Tuhan. Kalau faham surah ini, mereka akan sedar bahawa kalau mereka tidak memperbaiki diri dan iman dan amal mereka, mereka akan ada masalah yang lebih besar lagi, di mana mereka bukan sahaja rugi di dunia, tetapi mereka akan rugi di akhirat.
Cuma masalah dengan manusia, apabila mereka asyik fikir masalah sendiri, mereka rasa masalah mereka sudah besar sangat (kerana mereka nampak dunia sahaja di hadapan mata). Namun kalaulah mereka buka telinga dan mata mereka untuk lihat dan dengar masalah orang lain, ada sahaja yang lebih besar masalah mereka.
Oleh itu, kita kena buka mata dan buka hati kita, kita kena tengok masalah kita dalam dunia ini dan bandingkan dengan Al-Qur’an; sebagai contoh, kalau masalah kerja, masalah duit, masalah sakit, masalah sosial, semua itu tidak sama dengan masalah iman. Ini kerana kalau iman tidak ada, tauhid tidak ada, maka semua masalah yang ada itu tidak penting kerana mereka sebenarnya sudah rugi sangat.
Mereka tidak sedar bahawa peluang untuk beriman semasa hidup sahaja dan berapa banyak kaum terdahulu yang telah hilang peluang mereka untuk beriman. Orang yang telah mati itu, masa mereka sudah tidak ada lagi, tertinggal terus. Oleh itu, kita kena kenang orang-orang yang telah tiada – bacalah kisah-kisah tentang kaum yang telah dihancurkan kerana mereka meninggalkan agama dan menolak kebenaran – seperti Kaum Aad, Tsamud, Firaun dan sebagainya.
Apabila kita sibuk dengan hal dunia, kita terlupa hendak tengok Al-Qur’an untuk tengok apa yang Al-Qur’an kata, apa hadith beritahu. Oleh kerana jauh daripada ilmu, mereka asyik sibuk dengan kerja, dengan keluarga. Mereka tidak pandang pun Al-Qur’an ini sedangkan Al-Qur’an ini memberikan solusi untuk masalah kita semasa di dunia lagi. Malah yang hebatnya, ia bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah kita di akhirat kelak, tetapi di dunia juga pun ada diberikan jalan penyelesaian juga.
Setelah memberitahu tentang masalah manusia, Allah ﷻ akan memberikan jalan penyelesaian dan arahan untuk dilakukan oleh manusia dalam satu ayat selepas ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 21 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi