Tafsir Surah al-Asr Ayat 1 (Masa sudah suntuk!)

Pengenalan:

Surah ini adalah Surah Makkiyah dan ia mengandungi hanya tiga ayat sahaja. Ia adalah salah satu daripada surah yang terpendek dalam Al-Qur’an, tetapi walaupun ia pendek, ia mengandungi banyak sekali pengajaran di dalamnya, sampaikan kita akan mengambil masa juga untuk mentafsir surah ini.

Dalam Surah Takathur yang kita baru belajar sebelum surah ini, Allah ‎ﷻ telah memberitahu yang manusia akan ditanya dengan segala nikmat yang mereka telah rasai semasa mereka di dunia; dan surah ini bermula dengan nikmat yang amat besar – masa.

Seperti yang kita semua tahu, semua orang dapat masa yang sama, tidak lebih dan tidak kurang semua akan akan mendapat 24 jam sahaja sehari semalam. Nikmat masa inilah yang akan ditanya di akhirat kelak – “bagaimana kamu habiskan masa kamu?”. Ia adalah amat penting sampaikan ia akan ditanya nanti, namun kebanyakan daripada kita tidak menghargai pun masa ini. Kita buang begitu sahaja, bukan?

Sememangnya dalam Surah Takathur, Allah ‎ﷻ telah menyebut tentang manusia yang leka dengan dunia. Mereka hanya sibuk dengan benda yang tidak penting sampaikan mereka tidak mengambil peluang kehidupan mereka di dunia ini untuk mengisinya dengan pahala dan membuat persediaan untuk menghadapi akhirat nanti.

Akan tetapi dalam surah itu tidak disebut apakah yang menyebabkan kita leka itu. Juga tidak disebut kita dilekakan daripada apa? Itu semua tidak disebut tetapi kita telah tafsirkan juga apakah yang melekakan kita dan kita dilekakan daripada apa. Walaupun tidak disebut dalam surah sebelum ini, dalam surah al-Asr ini akan disebut yang kita dilekakan daripada memberi peringatan kepada manusia. Itu adalah salah satu daripada perkara yang kita leka dan lalai untuk lakukan.

Di dalam Surah Takathur, Allah ‎ﷻ telah sebut bagaimana kita hendak banyak dan banyak lagi, tidak cukup dan puas-puas dengan apa yang ada. Dalam surah ini pula, Allah ‎ﷻ akan bercakap tentang khusr – rugi. Ia adalah kerugian yang amat berat, bukan sahaja tidak untung, malah modal perniagaan pun habis. Itulah jenis kerugian yang dinamakan ‘khusur’.

Dalam Surah Takathur sebelum ini telah disebut bagaimana manusia yang mahu dapat banyak dan banyak lagi tetapi dalam surah ini Allah ‎ﷻ beritahu yang sebenarnya mereka bukan dapat banyak, malah mereka akan rugi lagi. Begitulah, mereka sangka mereka untung, tetapi mereka rugi sebenarnya.

Kita telah sebutkan bagaimana kaitan antara empat surah sebelum ini dan sekarang dalam Surah al-Asr ini, ia seolah-olah sebagai konklusi dari pada kesemua surah-surah itu.

Kita telah belajar Surah Teen dan ada persamaan ayat Surah Asr ini dengan Surah Teen – إِلَّا الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ فَلَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنونٍ. Cuma Surah Teen lebih berbunyi positif dan ada tabshir di dalamnya. Sedangkan dalam Surah Asr ini tidak disebut tentang balasan baik pun. Ia hendak menegur manusia yang lalai leka.

Ada empat perkara yang akan disebut dalam surah ini dan semua itu perlu dilakukan – dan itu bukanlah pencapaian yang cemerlang, cuma setakat ‘cukup makan’ sahaja, maka memang kena dilakukan oleh semua orang kalau mahu selamat. Kalau mahu selamat di akhirat, maka kena lakukan keempat-empat perkara itu. Sebab itu tidak disebut balasan baik kalau melakukan keempat-empat perkara ini – kerana ia adalah perbuatan minimal yang perlu dilakukan.

Dalam surah ini nanti kita akan belajar bagaimana Allah ‎ﷻ sebut dua amalan yang manusia selalu tertinggal untuk melakukannya: iaitu mengajak orang ke arah kebaikan dan mengajak ke arah kesabaran. Ini amat penting untuk kita lakukan. Akan tetapi malangnya ramai orang terlupa atau tidak sanggup untuk melakukannya. Sedangkan kalau ibadat lain seperti solat dan puasa, ramai sudah buat.

Ramai juga yang tidak tahu pun yang mereka kena ajak dan dakwah orang lain. Mereka sangka itu adalah kerja orang lain, bukan kerja mereka. Maka amat malangnya mereka. Perkara ini amat penting untuk diketahui dan dilakukan kerana agama ini bukan hanya untuk diri sendiri sahaja. Kita kena ajak orang lain juga untuk bersama-sama dengan kita berpegang kepada agama tauhid ini. Oleh itu dakwah adalah perkara yang harus dilakukan dan surah ini adalah dalilnya.

Dalam surah ini, disebut bagaimana semua manusia dalam kerugian, ‘kecuali’ kalau mereka melakukan empat perkara. Apabila Allah ‎ﷻ menggunakan ‘pengecualian’, itu maknanya yang majoriti daripada manusia memang sudah dalam kerugian. Ini amat menakutkan sekali kerana maknanya kebanyakan daripada manusia tidak selamat dan takut kalau-kalau kita termasuk dalam golongan mereka. Jadi kita kena terima kenyataan berdasarkan ayat ini yang kebanyakan manusia adalah dalam kerugian.

Begitulah pentingnya maklumat dan peringatan yang disampaikan dalam surah ini sampaikan para sahabat رضي الله عنهم sebelum berpisah sesama mereka, mereka akan bacakan surah ini untuk mengingatkan yang lain. Dari amalan para sahabat رضي الله عنهم itulah yang ramai daripada kalangan orang Melayu yang membacakan surah ini apabila mereka selesai dari majlis perjumpamaan mereka.

Dari Abu Madinah Ad-Darimi رحمه الله, beliau berkata,

كَانَ الرَّجُلانِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا الْتَقَيَا لَمْ يَفْتَرِقَا حَتَّى يَقْرَأَ أَحَدُهُمَا عَلَى الآخَرِ : ” وَالْعَصْرِ إِنَّ الإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ ” ، ثُمَّ يُسَلِّمَ أَحَدُهُمَا عَلَى الآخَرِ

Jika dua orang sahabat Nabi ﷺ itu bertemu, mereka tidaklah berpisah sampai salah satu di antara keduanya membaca ‘wal ‘asr innal insana lafii khusr …’. Lalu salah satu dari keduanya mengucapkan salam untuk lainnya.” (HR. Abu Daud dalam Az-Zuhd, no. 417; Ath-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Awsath, 5: 215; Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman, 6: 501. Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadith ini sahih. Lihat Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, no. 2648)

Allah ‎ﷻ sedang menyebutkan bahawa kejayaan dunia bukanlah tanda kejayaan. Kita sebagai manusia selalunya melihat kejayaan itu dengan kejayaan keduniaan (banyak duit, banyak harta, banyak tanah dan sebagainya), tetapi Allah ‎ﷻ meletakkan kayu ukur yang lain dalam surah. Jadi kita kena betulkan semula fahaman kita tentang kejayaan yang telah banyak salah, kerana asyik kita lihat kejayaan di dunia sahaja.

Antara punca masalah ini adalah kerana media massa sekarang cuba membasuh fikiran kita dengan memberitahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘kejayaan’ yang bukannya kejayaan pun. Mereka tunjukkan kesenangan orang lain dan seolah-olah suruh jadi seperti mereka.

Kita bukan hendak mengatakan yang dunia ini semuanya buruk, jahat, tidaklah begitu. Kita tidak boleh kata begitu kerana memang dunia ini dijadikan untuk kita gunakan. Oleh itu, kalau kita dapat menikmati dunia ini, ia tidaklah salah. Akan tetapi dalam masa yang sama, janganlah kata ia adalah ‘kejayaan’ kerana kejayaan dunia bukanlah boleh dikira sebagai kejayaan yang sebenar. Ia adalah sebagai ujian sahaja (kesusahan adalah ujian, dan kesenangan pun adalah ujian juga).

Jadi, surah ini kenalah selalu dibaca dan diingatkan kepada kita berkali-kali tentang apakah kejayaan yang sebenarnya. Kita juga kena bangkit dari fahaman yang salah selama hari ini. Sekarang bayangkan kita sedang lemas dan tidak sedarkan diri. Kalau kita terus tidak sedarkan diri, sudah tentu kita akan mati lemas. Manakala keadaan waktu itu amat bahaya kerana tentu tidak ada masa untuk menyelamatkan diri kita. Ini adalah kerana antara masa kita tidak sedarkan diri itu dan terus lemas dalam air, tidak panjang. Tidak lama lagi, masa akan habis dan itulah maksud ‘al-asr’ – masa singkat yang sudah hendak habis (macam waktu Asar yang pendek sahaja).

Kalau dalam keadaan hampir lemas itu tentu untuk selamatkan diri, kenalah perlu sedar terlebih dahulu, bukan? Ini kerana kalau terus tidak sedar, tentu akan mati. Mungkin pada waktu itu orang yang sedang hampir lemas itu dia sedang bermimpi indah, tetapi apabila dia disedarkan, secara tiba-tiba dia akan tahu apa yang dia sedang hadapi (yang dia hampir lemas) supaya dia terus dapat selamatkan dirinya dengan berenang atau pegang pada sesuatu yang kukuh. Namun kalau dia tidak mahu menerima kenyataan, hendak terus tidur lena menikmati mimpi indah, apa yang kita panggil tentang orang yang seperti itu?

Tentu kita panggil orang itu orang gila. Kita sudah cuba sedarkan dia, dia marah pula dan hendak terus tidur. Tentu kita tidak mahu jadi orang seperti itu, bukan? Oleh itu sepatutnya kita kena sedar daripada tidur kita dan cuba selamatkan diri kita. Kita kena berenang ke tepian atau berpegang kepada sesuatu yang kukuh.

Kalau kita sudah sedar itu, dalam kita hendak berenang ke tepian, baru kita perasan yang ada ahli keluarga dan kawan-kawan kita yang sedang tidur lena dan hampir lemas juga, apa yang kita patut lakukan? Tentu kita akan kejutkan mereka daripada tidur itu, bukan? Ini kerana kita kasihan dan sayang kepada mereka dan kita tidak mahu mereka terus tertidur.

Maka begitu juga kita dengan orang yang berdekatan dengan kita, kita sedarkan mereka daripada masalah mereka yang tidak sedar yang mereka di dalam kerugian itu. Itulah kita kena sampaikan ajaran agama ini kepada mereka.

Oleh itu, daripada analogi yang kita baru sampaikan ini, pertama sekali yang kita disuruh faham adalah percaya bahawa kita sedang tidak sedarkan diri dan kita hampir lemas dan kita akan terus lemas kalau kita tidak sedar dan lakukan sesuatu untuk menyelamatkan diri kita.

Sekali lagi ini adalah satu lagi surah yang bermula dengan sumpah. Kita telah belajar banyak ayat-ayat tentang sumpah. Antara sebab sumpah digunakan dalam Al-Qur’an adalah:

– Menunjukkan ketinggian sesuatu perkara itu. Allah ‎ﷻ memberi isyarat pentingnya perkara yang dijadikan sebagai objek sumpah itu. Dalam surah ini, ‘masa’ dijadikan sebagai sumpah. Memang masa itu amat penting, bukan?

– Mengaitkan antara objek sumpah dan subjek sumpah itu. Dalam surah ini, object sumpah adalah ‘masa’ dan subjek sumpah adalah ‘manusia dalam kerugian’. Manusia dalam kerugian kerana tidak menjaga masa.

– Objek sumpah dijadikan sebagai saksi kepada subjek. Masa sentiasa berlalu dan melihat sahaja bagaimana manusia merugikannya. Apabila masa itu berlalu, sudah tidak boleh diambil lagi. Begitulah ruginya kita kerana perkara itu tidak dapat diambil kembali apabila sudah tiada.

– Perkara yang dijadikan sumpah itu memang sesuatu yang amat penting. Tahukah kita hakikat ‘masa’? Mungkin susah untuk kita bayangkan dengan sepenuhnya. Namun Nabi Muhammad ﷺ telah bersabda tentang masa:

Dalam Sahih Muslim, dibawakan Bab ’larangan mencela waktu (ad-dahr)’. Di antaranya terdapat hadith dari Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يُؤْذِينِى ابْنُ آدَمَ يَسُبُّ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

Allah ’Azza wa Jalla berfirman,’Aku disakiti oleh anak Adam. Dia mencela waktu, padahal Aku adalah (pengatur) waktu, Akulah yang membolak-balikkan malam dan siang.” (HR. Muslim no. 6000)

Maksud hadith ini, Allah ‎ﷻlah yang menguruskan masa. Maka, kalau kita kutuk atau hina masa, maka kita mengutuk dan menghina Allah ‎ﷻ, nauzubillah min zalik! Jadi, jangan kita sambil lewa sahaja berkata: “Ini tahun yang teruk”, “Ini zaman yang teruk”, “Hari ini hari sial” dan sebagainya. Kita tidak boleh cakap macam itu dan daripada hadith ini, kita tahu yang Nabi ﷺ sudah larang kita melakukannya.


 

Ayat 1: Surah ini walaupun pendek, tetapi boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 2 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia menyuruh kita bersegeralah berada di atas jalan yang benar kerana ajal tidak diketahui waktu datangnya.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ bersumpah dengan masa. Maka akan ada perbincangan yang panjang tentang masa.

وَالعَصرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-‘Aṣr: Time.

By time,¹

  • An oath in which Allāh swears by time throughout the ages.

(MALAY)

Demi masa.

 

Allah ‎ﷻ bersumpah dengan ‘masa’, yang ada kaitan dengan الدَّهْرَ yang disebut dalam hadith di atas. Kalimah الدَّهْرَ juga ada digunakan dalam Al-Qur’an dalam Insaan:1

هَل أَتىٰ عَلَى الإِنسانِ حينٌ مِنَ الدَّهرِ لَم يَكُن شَيئًا مَذكورًا

Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?

Apabila Allah ‎ﷻ bersumpah dengan masa, ini memberi isyarat:

1 – Allah ‎ﷻ menyuruh kita berfikir tentang masa yang sentiasa berlalu meninggalkan kita.

2 – Manusia di dalam kerugian (seperti yang disebut dalam ayat 2 nanti), dan dalilnya adalah ‘masa’, kerana masa itu sentiasa bergerak ke hadapan dan manusia tidak dapat mendapatkan kembali masa yang telah berlalu itu. Kalau terlepas, sudah rugi.

Kita ada banyak peluang untuk menggunakan masa untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Namun malangnya ramai yang tidak mengambil kesempatan itu. Kalau kita sudah tahu yang kita telah rugi masa yang lepas, kita kena jadikan sesalan itu sebagai pemangkin untuk kita mengambil kesempatan di masa hadapan pula.

Jangan terus sesal sahaja, tetapi hendaklah mengambil peluang di masa hadapan. Kalau rasa sesal sahaja dan tidak ambil tindakan, itu sudah termasuk Talbis Iblis. Syaitan bagi rasa ‘sudah selamat’ apabila sudah menyesal; tetapi syaitan tidak bagi manusia itu ambil tindakan apa-apa.

3 – العَصرِ boleh bermaksud kehidupan manusia zaman berzaman, dari satu periode ke satu periode. Ada kerajaan yang bangun dan ada kerajaan yang naik.

4 – Ia juga boleh menjadi objek yang dijadikan sebagai saksi bagi subjek. Oleh itu, Allah ‎ﷻ mengambil masa sebagai saksi. Iaitu saksi bahawa betullah manusia itu dalam kerugian.

5 – Manusia tidak menghargai masa singkat mereka di dunia ini. Mereka banyak yang mengejar kepentingan keduniaan sampai mereka lupa untuk bersedia untuk akhirat. Ini kita boleh lihat dalam tafsir Surah at-Takathur.

Dalam surah itu, kita telah sebut bagaimana manusia sepanjang zaman mengejar harta, kemewahan, kebendaaan, kekuasaan dan lain-lain lagi. Mereka mengejar semua itu kerana mereka sangka itu akan memberi kejayaan kepada mereka, dan akhirnya mereka mati dalam keadaan sentiasa mengejar dunia itu.

Proses yang sama berulang-ulang dalam setiap zaman, generasi demi generasi, selama ribuan tahun; ada satu makhluk Allah ‎ﷻ yang sentiasa memerhati dan menyaksikan kejadian ini – العَصرِ (masa). 

Mari kita lihat dari segi bahasa (etymology) pula. Kalimah العَصرِ bermaksud ‘masa yang hampir habis’. Inilah waktu Asar. Kalau kita lihat Solat Asar pun, bukankah ia di hujung-hujung siang hari dan tidak lama lagi malam akan datang? Ia juga adalah solat yang terakhir pada siang hari itu.

Juga daripada segi penggunaan bahasa Arab, ia adalah waktu di mana peniaga dan pengembara akan bergegas untuk menjual dan pengembara akan bergegas untuk sampai ke tujuan mereka bagi hari itu kerana masa siang sudah hampir tamat dan selepas itu adalah malam dan tidak ada orang datang membeli dan pengembara mesti mencari tempat berehat untuk hari itu kerana malam bahaya untuk bergerak.

Tentu ada sebab Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah العَصرِ untuk memberi isyarat kepada waktu walaupun ada kalimah-kalimah lain untuk ‘masa’ dan digunakan juga di dalam Al-Qur’an:

Muddaththir:34 وَالصُّبحِ إِذا أَسفَرَ – dan subuh apabila mulai terang.

Fajr:1 وَالفَجرِ – Demi fajar

Dhuha:1 وَالضُّحىٰ – Demi waktu matahari sepenggalahan naik,

Layl:2 وَالنَّهارِ إِذا تَجَلّىٰ – dan siang apabila terang benderang,

Ada banyak pendapat mufassir tentang apakah yang dimaksudkan dengan العَصرِ itu. Ada yang kata ia merujuk kepada seluruh masa dan ada yang mengatakan ia adalah waktu-waktu tertentu sahaja.

Kita boleh lihat bagaimana ada banyak lagi kalimat yang boleh digunakan untuk memberi isyarat kepada ‘masa’ tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah العَصرِ kerana ia ada kaitan dengan masa yang hampir habis, jadi kena cepat lakukan sesuatu. Oleh itu, ia memberi kesan kepada kita yang membaca surah ini.

Kita tahu yang apa yang Allah ‎ﷻ hendak beritahu selepas ini adalah penting kerana sudah masuk ke dalam masa tambahan/masa kecederaan (analogi bolasepak). Masa tidak ada banyak lagi untuk memperbetulkan diri kita. Masa sudah hampir senja jadi jangan lengahkan lagi. Bangunlah daripada igauan kehidupan yang leka dari agama. Apa yang kita kena buat (akan diberitahu selepas ini), kena buat dengan cepat dan jangan berlengah lagi.

Kalau kita berikan lagi perumpamaan, ia seperti peniaga ais yang menjual aisnya. Dia kena cepat menjual aisnya kerana barangnya itu tidak tahan lama. (waktu dahulu, tidak ada peti ais untuk simpan ais itu). Kalau dia berlengah untuk jual, ia akan menjadi air dan dia tidak dapat jual langsung dan dia akan rugi masa sahaja menyediakan ais itu. Dia kena jual sebanyak mungkin sebelum semua aisnya itu cair menjadi air.

Allah ‎ﷻ akan beritahu selepas ini, untuk selamat daripada rugi yang telah disebut, ada empat perkara yang manusia kena jaga. Daripada empat perkara itu, ia bertitik tolak dari ‘iman’. Iman amat penting kerana kalau tiga perkara itu tidak dapat dilakukan, ia adalah kerana tiada iman. Jikalau ada iman, tiga perkara lagi itu akan senang untuk ada.

Dalam dunia ini, kalau ada masalah yang perlu diselesaikan, kita akan periksa dan cari apa punca masalah itu. Kita akan cari dan tanya sesiapa yang kita boleh tanya, untuk mendapat tahu apa yang terjadi. Akhirnya mungkin kita akan dapat tahu apakah puncanya bila sudah tahu apakah fakta penyebab itu, maka barulah boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat yang kita sudah dapat.

Katakanlah kita sudah tahu fakta dan tahu apa yang perlu dilakukan, adakah patut kalau kita tidak ambil tindakan? Kalau kita sudah tahu punca masalah, tetapi tidak membuat keputusan dan tindakan berdasarkan fakta yang ada, itu adalah salah sama sekali. Ini adalah perkara asas dan orang bukan Islam pun tahu perkara ini.

Jadi, selepas ini, kita akan sentuh apakah perkara yang perlu dilakukan oleh manusia untuk selamat di akhirat dan kalau tidak mahu ambil juga tindakan dan keputusan yang tepat berdasarkan ayat Al-Qur’an, maka itu adalah orang yang amat bodoh sekali dan memang layak untuk dikenakan tindakan di akhirat kelak.

Salah satu perkara yang kita kena lakukan adalah menyampaikan ajaran agama ini kepada orang lain, tegur mereka kalau mereka buat salah dan beri nasihat kepada mereka. Ini amat susah untuk dilakukan oleh kebanyakan orang. Memang ramai yang ada pengetahuan agama tetapi mereka akan berat mulut untuk menegur orang lain.

Ini adalah kerana kita telah diajar dalam kes orang lain, kita tidak boleh jaga tepi kain orang lain. Kita diajar untuk biar sahaja apa orang lain hendak buat dengan hidup mereka. Aku buat hal dan jaga hal aku dan orang lain jaga hal mereka sendiri. Ada yang lagi bodoh kata: “kubur masing-masing”. Ketahuilah yang ini bukan sunnah dalam agama.

Bayangkan, kalaulah kita tidak boleh jaga tepi kain orang lain, tentu Nabi ﷺ buat amal baginda sendiri sahaja. Lagi senang hidup baginda kalau begitu, buat amal sendiri sahaja dan jangan tegur langsung amalan Musyrikin Mekah. Akan tetapi kita pun tahu yang Nabi ﷺ tidak begitu dan banyak ayat Al-Qur’an yang suruh kita beri nasihat dan tegur orang lain kalau mereka buat kesilapan dan kesalahan.

Begitulah, kalau orang buat salah, kita sekurang-kurangnya kena tegur. Inilah perkara yang kita kena lakukan kerana tidak cukup kalau kita sahaja yang baik, tetapi buat tidak tahu kalau orang lain buat salah. Kita kena menegakkan agama ini di dalam masyarakat kita. Jangan buat tidak tahu sahaja.

Sememangnya kita tidak nafikan, ramai yang takut hendak cakap sebab ingin menjaga diri mereka. Namun kena tahu yang itu adalah orang yang pengecut dan tidak kuat agama mereka. Mereka juga tidak berapa yakin dengan agama mereka kerana kalau orang yang yakin, mereka akan lakukan apa yang mereka percaya. Kita lihatlah bagaimana orang-orang yang kuat dalam ‘human rights movement’ – mereka berani bercakap tentang apa yang mereka percaya dan mereka sanggup susah kerananya. Kadang-kadang mereka kena pukul, kena tangkap oleh pihak berkuasa, tetapi mereka tetap lakukan kerana dalam hati mereka, mereka percaya sungguh-sungguh yang mereka itu benar dan mereka menegakkan kebenaran.

Itu semua asalnya adalah daripada kepercayaan yang yakin dan sampai mereka sanggup mati kerananya. Walaupun mereka ditangkap atau dicederakan, mereka dipanggil hero oleh masyarakat kerana mereka telah mempertahankan kepercayaan mereka itu dan apa yang mereka lakukan adalah kebaikan dan kebenaran.

Ini perkara logik dan memang boleh dan selalu terjadi. Sekarang ini kita hendak kaitkan dengan agama Islam ini pula. Kalau orang bukan Islam pun sanggup mempertahankan apa yang mereka percayai, apa lagi kita yang orang Islam dalam mempertahankan Islam, dalam menyampaikan fahaman agama yang benar ini? Tentunya kita kena semangatlah sedikit, malah kena lebih kuat lagi daripada mereka.

Kita kena lakukan dengan segera kerana kita kena prihatin dengan masa. Seperti yang kita telah sebut, masa sudah suntuk dan tidak boleh rugi dalam melihat masa berlalu begitu sahaja tanpa kita melakukan sesuatu yang kita patut lakukan.

Akhir sekali, dari segi bahasa, العَصرِ adalah satu masa yang kita tidak melakukan sesuatu yang kita patut lakukan dalam waktu itu. Ini memang sesuai digunakan dalam surah ini kerana kebanyakan manusia tidak melakukan perkara yang sepatutnya mereka lakukan dan kerana itu mereka akan kerugian yang besar.

Kita akan belajar bagaimana dalam masa yang terhad semasa kita hidup di dunia ini, kita ada empat perkara yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya. Itu semua adalah tanggungjawab kita yang perlu kita penuhi kerana ia adalah arahan dari Allah ‎ﷻ.

Katakanlah di tempat kerja kita, bos kita suruh kita buat empat perkara. Dalam empat perkara itu, ada dua perkara yang kita suka dan pandai buat, tetapi lagi dua kita tidak pandai buat dan kerana itu kita tidak suka melakukannya. Arahan telah diberikan oleh bos kita untuk lakukan empat perkara, tetapi bolehkah kita buat dua sahaja dan tidak buat lagi dua itu?

Katakanlah kita pandai-pandai buat dua perkara sahaja dan apabila kita hanya buat dua sahaja, kita rasa kita telah buat yang terbaik? Tentu bos kita marah dan bolehkah kita bagi alasan: “Walaupun saya tidak buat semua empat perkara itu, tetapi saya telah lakukan dua perkara itu dengan terbaik sekali?” Agaknya adakah bos kita suka mendengar alasan sebegitu?

Tentu dia tidak suka dan tentu tidak lama lagi kita kena buang kerja, bukan? Begitulah kita dengan Allah ‎ﷻ – Allah ‎ﷻ suruh kita buat empat perkara, dan tidak bolehlah kita hendak buat dua sahaja dan rasa sudah cukup kita buat dua perkara itu sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s