Tafsir Surah at-Takathur Ayat 5 – 8 (Segala nikmat akan ditanya)

Ayat 5:

كَلّا لَو تَعلَمونَ عِلمَ اليَقينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! If you only knew with knowledge of certainty…¹

  • The conclusion of this verse is estimated to be “…you would not have been distracted from preparing for the Hereafter.”

(MALAY)

Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin,

 

Kalimah كَلّا bermaksud: Janganlah begitu. Janganlah leka lagi.

Kalimah لَو bermaksud: kalaulah. Inilah adalah kalimah yang menunjukkan perasaan menyesal.

Kalimat لَو تَعلَمونَ bermaksud: Kalaulah kamu semua tahu. Kalau kamu tahu nanti, kamu akan menyesal yang sesangat menyesal. Waktu itu sudah rugi teramat rugi, sudah tidak boleh nak kembali ke dunia untuk memperbaiki diri mereka.

Kalimah عِلمَ اليَقينِ bermaksud: pengetahuan yang pasti.

Kalimah اليَقينِ dalam bahasa kita pun sudah dimasukkan perkataan ini – yakin/yaqin. Ianya tidak ada dalam bahasa Melayu kita asalnya kerana bahasa kita miskin. Oleh kerana tidak boleh diterjemahkan secara terus ke dalam bahasa kita, jadi kena dipinjam perkataan ini.

Ianya tidak sama dengan ‘percaya’ sahaja. Ianya adalah pengetahuan yang didapati setelah ada ilmu. Kerana percaya sahaja, boleh berlaku tanpa ilmu. Jadi, اليَقينِ itu adalah percaya sungguh-sungguh dan malah lebih kuat lagi dari iman. Macam kita pasti semalam telah berlaku. Dan bila kita yaqin, kita tidak fikirkan lagi sama ada ianya benar atau tidak lagi kerana dalam hati kita, kita tidak persoalkan lagi.  

Bagaimanakah penggunaan اليَقينِ dalam Al-Qur’an? Dalam Al-Qur’an, ianya digunakan untuk kematian (mawt.) Ini seperti yang digunakan dalam Hijr:99

وَاعبُد رَبَّكَ حَتّىٰ يَأتِيَكَ اليَقينُ
dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal)

Yaqin disamakan dengan mati kerana inilah perkara yang kita pasti ia akan berlaku ke atas kita. Benda lain kita tidak belum tentu lagi, tapi kematian, kita pun ia pasti akan berlaku. Oleh itu, ayat Hijr:99 ini bermaksud beribadatlah kepada Allah sampai mati. Selagi tak mati, kena kerjakan ibadat kepada Allah.

Kenapa digunakan اليَقينِ yang bermaksud mati dalam ayat ini? Ini adalah kerana orang Islam atau bukan Islam, mereka yaqin sesangat yaqin yang pasti itu mati. Kalau benda lain, belum tentu lagi, tapi kalau mati, semua orang akan mati. Katakanlah kita percaya seseorang itu akan berjaya – ini tidak boleh yaqin lagi kerana mungkin dia tidak akan berjaya – tapi kalau mati, dia pasti akan mati. Semua orang akan yaqin, tidak ada orang pun yang tidak akan terima.

nota: mereka yang jahil, termasuk ahli tarekat, mereka baca ayat Hijr:99 dengan maksud beribadat itu hanya sebelum yaqin dengan agama. Kalau sudah yaqin, sudah tidak perlu solat lagi. Jadi mereka akan solat pakai niat sahaja dan kalau kita tanya  mereka kenapa tak solat, mereka akan kata: “kami tak payah solat kerana kami dah yaqin”.

Ini adalah orang yang amat jahil yang senang sangat ditipu. Mereka itu sudahlah tidak belajar Al-Qur’an, agama pun tak belajar, senang pula ditipu dengan penipu (guru-guru sesat mereka). Yang sebenarnya ditipu oleh syaitan.

Kembali kepada perbincangan ayat ke 5 Surah Takathur ini, kita tahu yang ramai manusia boleh faham konsep Hari Akhirat, pengadilan di Mahsyar dan lain-lain lagi; tapi mereka tidak dapat menerimanya dengan mendalam dalam hati mereka – dalam ertikata lain, mereka tidak yaqin. Ini seperti yang disebut dalam al Jathiyah:32

وَإِذا قيلَ إِنَّ وَعدَ اللَّهِ حَقٌّ وَالسّاعَةُ لا رَيبَ فيها قُلتُم ما نَدري مَا السّاعَةُ إِن نَظُنُّ إِلّا ظَنًّا وَما نَحنُ بِمُستَيقِنينَ

Dan apabila dikatakan (kepadamu): “Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar dan hari berbangkit itu tidak ada keraguan padanya”, nescaya kamu menjawab: “Kami tidak tahu apakah hari kiamat itu, kami sekali-kali tidak lain hanyalah menduga-duga saja dan kami sekali-kali tidak meyakini(nya)”.

Kembali kepada perbincangan tentang kalimah اليَقينِ, ada 3 jenis اليَقينِ dan kita kena faham ketiga-tiga jenis اليَقينِ ini. Kalau sudah faham, baru faham ayat ini:

Peringkat Pertama – عِلْمُ الْيَقِينِ – keyakinan berdasarkan kepada pengetahuan – ilmu. Sebagai contoh, kalau kita melihat asap, kita yakin bahawa ada api walaupun kita tidak nampak lagi api itu; atau kita lihat rumput basah di padang, maka kita yakin yang sebelum itu telah turun hujan; maknanya kita yakin dengan melihat tanda sahaja.

Peringkat Kedua – عَيْنُ الْيَقِينِ – keyakinan berdasarkan kepada penglihatan. Kalau sebelum ini kita nampak asap, kemudian kita berjalan ke arah depan. Memang kita nampak api sedang membakar maka sekarang kita sudah pasti yang ianya memang api kerana kita nampak api itu sendiri dengan mata kita.

Peringkat Ketiga – حَقُّ الْيَقِينِ – keyakinan yang lengkap. Kalau sebelum ini nampak api itu, tapi kalau kita pegang api itu, lengkaplah keyakinan kita bahawa itu memang api.

Dari ketiga-tiga keyakinan ini, Allah beri kita dua darinya semasa di dunia lagi. Iaitu عِلْمُ الْيَقِينِ dan حَقُّ الْيَقِينِ. Ini adalah kerana Al-Qur’an ini adalah عِلْمُ الْيَقِينِ sebenarnya dari dalil-dalil yang ada yang diperkuatkan dengan kandungannya. Dan semakin kita kaji Al-Qur’an ini, kita akan pasti yang ianya tidak mungkin tulisan manusia, tapi ianya datang dari Allah dan kita akan mendapat حَقُّ الْيَقِينِ.

Tapi kita tidak akan dapat melihat Allah semasa kita di dunia, jadi kita tidak akan mendapat عَيْنُ الْيَقِينِ semasa di dunia. Kita juga tidak dapat lihat perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin, syurga dan neraka. Kerana itu Allah sebut dalam ayat yang lain:

وَإِنَّهُ لَحَقُّ اليَقينِ
Dan sesungguhnya Al Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini. [al Haqqah 69:51]

Oleh itu, kita boleh dapat حَقُّ الْيَقِينِ semasa di dunia. Oleh itu, boleh terus lompat dari peringkat عِلْمُ الْيَقِينِ ke حَقُّ الْيَقِينِ. Dan ini memang boleh berlaku; kadang-kadang kita dapatkan ilmu dengan kajian sains dan kajian empirikal. Akan tetapi kadang-kadang kita dapat rasakan terus dalam hati kita yang ini adalah kebenaran, bukan? Ini adalah ‘ihsan’ seperti dalam Hadis Jibril. Dalam hadis itu, apabila Nabi ditanya apakah maksud ihsan, baginda jawap:

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya. Kalaupun engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu.”

Syarah: Di dalam hadis ini, ada sebut ‘melihat’ Allah, tapi seperti yang kita telah jelaskan, kita tidak akan dapat lihat Allah, bukan? Jadi, maksud melihat ini menerangkan tentang حَقُّ الْيَقِينِ di mana kita dapat ‘rasa’ dalam hati kita.

Tapi masalah dengan orang kafir adalah: mereka tidak mahu hendak mendapatkan عِلْمُ الْيَقِينِ itu, tapi kononnya mereka hendak عَيْنُ الْيَقِينِ. Kononnya mereka sudah lihat di depan mata, baru mereka akan beriman. Mereka nak nampak dengan mata mereka, baru mereka nak beriman. Kononnya mereka itu orang sains, yang percaya apabila sesuatu itu boleh dilihat dan dikaji.

Ini tidak mungkin terjadi kerana Allah berikan عِلْمُ الْيَقِينِ, bukan عَيْنُ الْيَقِينِ semasa di dunia ini. Kerana kita ini adalah manusia yang ada akal untuk digunakan untuk berfikir dan mencapai keputusan yang benar. Kalau binatang, memang memerlukan عَيْنُ الْيَقِينِ baru mereka akan bertindak (kalau nampak api, baru mereka akan lari dari tempat duduk mereka), tapi kita adalah manusia.

Sebagai manusia, kita boleh mendapat ilmu dengan menggunakan akal kita, tidak perlu nak kena lihat sendiri. Sebagai contoh, kalau manusia diberi nasihat, dia sudah boleh bertindak untuk menyelamatkan diri dia, bukan? Oleh kerana Allah telah beri kita akal yang tinggi, maka hujah-hujah dari Allah adalah dalam bentuk yang tinggi juga (iaitu wahyu).

Maka alangkah baiknya kalau mereka ada عِلْمُ الْيَقِينِ itu yang boleh didapati dengan kajian dan memikirkan tentang wahyu ilahi. Jangan jadi seperti haiwan, yang bila tengok api barulah hendak lari. Jadi kalau masih juga hendak berpegang kepada عَيْنُ الْيَقِينِ sahaja, maka itu maknanya seseorang itu telah merendahkan fikirannya ke tahap binatang.


 

Ayat 6:

لَتَرَوُنَّ الجَحيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You will surely see the Hellfire.

(MALAY)

nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim,

 

Kalimah الجَحيمَ – ia bermaksud neraka jahannam yang akan menjadi tempat seksaan kepada ahlinya. Ia juga dari kalimah ج ح م yang bermaksud renungan mata. Kerana itu adalah yang mengatakan kalimah جحم juga merujuk kepada renungan singa semasa ia hendak menerkam mangsanya.

Tenungan tajam singa itu akan menyebabkan mangsanya itu ketakutan dan boleh menyebabkannya terpaku tidak dapat bergerak. Digunakan kalimah ini untuk menjelaskan tentang neraka kerana sifat neraka itu pun begitu juga. Ahli neraka akan berhadapan dengan renungan neraka nanti. Ia melihat sahaja ahli neraka dengan perasaan ‘lapar’.

Huruf ل dalam لَتَرَوُنَّ adalah lam taukid – penekanan. Selalunya digunakan untuk menjawap sumpah (qasm). Ia bermaksud ‘dengan pasti’; sebagai contoh: demi Allah, aku pasti akan buat …. memang lafaz qasm itu tidak disebut dalam ayat ini, tapi kerana ada ل, maka kita tahu yang qasm itu ada.

Kemudian, dalam kalimah لَتَرَوُنَّ itu, kita boleh lihat syaddah pada huruf ن itu, yang menunjukkan bahawa ada dua ن. Satu ن sudah bermaksud penekanan dan kalau dua ن digunakan, itu menunjukkan dua kali penekanan. Dan ditambah lagi dengan huruf ل sebelum ini, maka ada 3 penekanan dalam ayat ini!

Maknanya, ia bukan sahaja bermaksud “kamu pasti akan melihat”, tapi ia bermaksud “pastinya, kamu pasti, kamu pasti akan melihat”. Kamu pasti, pasti, pasti akan melihat neraka yang mahu menerkam kamu itu… Tapi adakah mereka yang leka itu sahaja yang akan melihat neraka itu?

وَإِن مِنكُم إِلّا وارِدُها ۚ كانَ عَلىٰ رَبِّكَ حَتمًا مَقضِيًّا

Dan tidak ada seorang pun dari padamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan.

ثُمَّ نُنَجِّي الَّذينَ اتَّقَوا وَنَذَرُ الظّالِمينَ فيها جِثِيًّا

Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut. [Maryam: 71-72]

Dari ayat dari Surah Maryam di atas ini, kita dapat tahu bahawa orang beriman yang menjadi ahli syurga juga nanti akan melalui neraka (semasa melalui Titian Sirat) dan mereka akan pasti akan melihat neraka itu!!! Selepas itulah baru mereka akan diselamatkan. Ini akan menambahkan lagi rasa syukur apabila masuk syurga kerana mereka akan nampak bagaimana malangnya kalau masuk neraka itu. Maka nikmat syurga semakin bertambah-tambah.

Tapi ada juga mufassir yang mengatakan, ayat ini adalah tentang mereka yang lalai seperti yang telah disebut dalam ayat 1. Pendapat ini mengatakan ia merujuk kepada mereka yang lalai dari agama.


 

Ayat 7:

ثُمَّ لَتَرَوُنَّها عَينَ اليَقينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then you will surely see it with the eye of certainty.¹

  • i.e., with actual eyesight.

(MALAY)

dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin.

 

Kalimah ثُمَّ selalunya diterjemahkan: ‘selepas itu’, tapi dalam ayat ini, ianya membawa maksud – ‘lebih-lebih lagi’. Kerana mereka yang melihat neraka itu dengan mata sendiri, akan lebih yakin lagi. Ini adalah kerana ini adalah peringkat عَينَ اليَقينِ. 

Oleh itu, kalau kamu mahu percaya kepada neraka itu hanya dengan melihatnya (sudah tengok baru kamu nak percaya), maka memang kamu pasti akan melihatnya. Waktu itu kamu akan percaya, tidak syak lagi. Tapi bila kamu sudah melihatnya, itu adalah kerana kamu akan masuk ke dalamnya!

Dan waktu itu sudah terlambat dah untuk berbuat apa-apa – sudah terlambat kalau baru nak beriman waktu itu. Dulu kamu kata kalau tengok baru kamu hendak beriman, bukan? Sekarang tengoklah!


 

Ayat 8:

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then you will surely be asked that Day about pleasure.¹

  • i.e., the comforts of worldly life and whether you were grateful to Allāh for His blessings.

(MALAY)

kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

 

Pada hari itu (Hari Akhirat itu) kamu pasti akan ditanya dengan segala nikmat yang kamu telah perolehi semasa kamu hidup di dunia dulu. Memang banyak nikmat yang kita telah diperolehi bukan? Semua itu akan ditanya satu persatu.

      • Huruf ل dalam لَتُسأَلُنَّ adalah satu penekanan.
      • Huruf ن dalam لَتُسأَلُنَّ juga adalah satu penekanan.
      • Ditambah lagi dengan satu lagi ن, (kerana ada syaddah) itu adalah penekanan lagi.

Oleh itu, ada tiga kali penekanan dalam ayat ini sebagai penguat. Kamu pasti, pasti, pasti akan ditanya! Allah beri penekanan sampai tiga kali kerana Allah sedang murka. Kerana penggunaan kalimah sebegini bukan cara bercakap normal. Kalimah sebegini selalunya digunakan kalau marah. Adakah kita hendak Allah tanya kita sebegini cara?

Kalimah النَّعيمِ – dari kata dasar ن ع م dan ditambah dengan huruf ي yang membawa masksud nikmat yang lebih dan berterusan.

Manusia akan ditanya: kamu dulu berada dalam kesenangan yang berterusan. Apa yang lakukan dengan kesenangan itu? Hidup kamu senang, macam-macam kamu dapat. Tapi adakah kamu bersyukur dengannya? Adakah kamu gunakan untuk kebaikan?

Tidak salah kita ada kesenangan ini semua. Memang tidak salah. Tapi cara bagaimana kita gunakan kesenangan itu yang akan ditanya.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Al-Husain ibnu Ali As-Sada’i, telah menceritakan kepada kami Al-Walid ibnul Qasim, dari Yazid ibnu Kaisan, dari Abu Hazim, dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa ketika Abu Bakar dan Umar sedang duduk, maka datanglah Nabi Saw. kepada keduanya, lalu baginda Saw. bertanya, “Apakah yang membuat kamu berdua duduk di sini?” keduanya menjawab, “Demi Tuhan Yang telah mengutus engkau dengan hak, tiada yang menyebabkan kami keluar melainkan rasa lapar.” Nabi Saw. bersabda; “Demi Allah yang telah mengutusku dengan hak, tidak ada yang mendorongku keluar selain dari alasan yang sama.” Lalu mereka pergi hingga sampai di rumah seorang lelaki dari kalangan Ansar, maka mereka disambut oleh seorang wanita, dan Nabi Saw. bertanya kepada wanita itu, “Ke manakah si Fulan (suaminya)?” Wanita itu menjawab bahawa suaminya sedang pergi untuk menyejukkan air minum buat dia dan keluarganya. Tidak lama kemudian datanglah orang yang dicari mereka dengan membawa qirbah wadah airnya, dan dia langsung berkata menyambut mereka, “Marhaban (selamat datang), tiada seorang tamu pun berkunjung kepada seseorang lebih afdal daripada Nabi yang hari ini datang berkunjung kepadaku.” Lalu dia menggantungkan qirbah wadah airnya ke pohon kurma dan dia pergi, kemudian datang lagi dengan membawa setandan buah kurma. Maka Nabi Saw. bersabda kepadanya, “Bukankah engkau telah memetik buah kurmamu?” Lelaki itu menjawab “Aku ingin menghormati kalian dengan menyajikan makanan yang masih segar menurut kesukaan kalian.” Kemudian dia mengambil pisau besar (untuk menyembelih kambing), maka Nabi Saw. bersabda, “Janganlah kamu sembelih kambing yang sedang menyusui.” Dia menyembelih kambing buat mereka di hari itu dan mereka makan makanan yang telah disajikan, lalu Nabi Saw. bersabda:

“لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ. أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمُ الْجُوعُ، فَلَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَبْتُمْ هَذَا، فَهَذَا مِنَ النَّعِيمِ”

Sungguh kamu akan ditanyai mengenai hal ini kelak di hari kiamat. Kamu keluar kerana terdorong oleh rasa lapar, dan sebelum pulang kamu telah mendapatkan semua ini, dan ini termasuk dari nikmat.

Imam Muslim meriwayatkannya melalui hadis Yazid ibnu Kaisan dengan sanad yang sama.

Aduh, bayangkan kata-kata Nabi itu dan bandingkan dengan segala nikmat yang kita sekarang sedang nikmati. Kita dapat banyak lagi nikmat dari itu dan bagaimanakah kita akan menjawapnya nanti? Kalau kita dapat banyak nikmat, lagi banyak soalan akan ditanya kepada kita nanti. Oleh itu kita kena bersedia untuk ditanya. Kita akan ditanya, dengan segala nikmat yang kita dapat itu, apa yang kita buat? Adakah kita taat kepada Allah? Adakah kita menjalankan perintahNya? Lihat satu lagi hadis:

قَالَ التِّرْمِذِيُّ: حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، حَدَّثَنَا شَبَابَةُ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْعَلَاءِ، عَنِ الضَّحَّاكِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَرْزَمٍ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ أَوَّلَ مَا يُسْأَلُ عَنْهُ -يَعْنِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ-الْعَبْدُ مِنَ النَّعِيمِ أَنْ يُقَالَ لَهُ: أَلَمْ نُصِحّ لك جسمك، ونُرْوكَ من الماء البارد؟ “

Imam Turmuzi mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdu ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Syababah, dari Abdullah ibnul Ala, dari Ad-Dahhak ibnu Abdur Rahman ibnu Arzab Al-Asy’ari yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Nabi Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya yang mula-mula ditanyakan kepada seorang hamba —yakni di hari kiamat nanti— mengenai kesenangan ialah dikatakan kepadanya: “Bukankah Kami telah menyehatkan tubuhmu dan memberimu minum dengan air yang sejuk?” Imam Turmuzi meriwayatkannya secara munfarid.

Maknanya, segala nikmat itu diberi kepada kita sebagai ‘hutang’. Kalau kita lakukan seperti yang Allah suruh, maka hutang itu terbayar, tapi kalau kita tidak lakukan seperti yang Allah kehendaki, maka malanglah kita nanti. Maka kena kenang segala nikmat yang kita dapat dan semoga ia tidak melekakan kita.

Di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sunan Turmuzi serta Sunan Nasai dan Sunan Ibnu Majah telah disebutkan melalui hadis Abdullah ibnu Sa’id ibnu Abu Hindun, dari ayahnya, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ”

Ada dua macam nikmat yang banyak memperdaya kebanyakan manusia, iaitu kesihatan dan waktu luang.

Syarah: Yang dimaksudkan dari hadis ini ialah bahawa mereka melalaikan mensyukuri kedua nikmat tersebut dan tidak mengerjakan apa yang seharusnya dilakukan terhadap keduanya. Dan barang siapa yang tidak menunaikan suatu hak yang diwajibkan atas dirinya, maka dia adalah orang yang terperdaya.

Segala kesenangan yang kita ada itu adalah ujian buat kita sebenarnya. Oleh itu, jangan kita sangka yang kalau kita banyak dapat kesenangan, kita disayangi oleh Allah. Ini adalah salah faham yang telah ada dalam agama Kristian. Mereka sangka, kalau mereka dapat kesenangan di dunia, itu tanda yang Tuhan sayang kepada mereka. Jadi mereka mengejar kesenangan semasa hidup di dunia.

Malangnya pemahaman ini pun ada dalam kalangan orang Islam juga. Ini adalah pandangan yang amat salah. Kita kena tahu bahawa dunia ini adalah ujian sahaja. Kalau hidup senang, itu adalah ujian kepada yang kaya dan kalau susah, itu juga adalah ujian kepada yang miskin. Dengan erti kata lain, susah dan senang itu kedua-duanya adalah ujian.

Tapi tidaklah kita katakan kesenangan itu buruk pula, tidak. Kesenangan, kekayaan dan kenikmatan itu tidaklah buruk sampai tidak boleh ada; tapi ianya tidaklah baik juga. Kena terima sebagai ujian dari Allah. Kalau kita hidup dengan senang, tapi kita bertaqwa, itu tidak menjadi masalah. Seperti sabda Nabi:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Amir alias Abdul Malik ibnu Amr, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Sulaiman, telah menceritakan kepada kami Mu’az ibnu Abdullah ibnu Habib, dari ayahnya, dari pamannya yang mengatakan bahawa kami berada di suatu majlis, lalu muncullah Nabi Saw., sedangkan di kepala baginda terdapat bekas air. Maka kami berkata, “Wahai Rasulullah, kami melihat engkau dalam keadaan senang.” Rasulullah Saw. menjawab, “Ya.” Kemudian orang-orang berbincang-bincang tentang kekayaan. Maka Rasulullah Saw. bersabda:

“لَا بَأْسَ بِالْغِنَى لِمَنِ اتَّقَى اللَّهَ، وَالصِّحَّةُ لِمَنِ اتَّقَى اللَّهَ خَيْرٌ مِنَ الْغِنَى، وَطِيبُ النَّفْسِ مِنَ النَّعِيمِ”

Tidak mengapa kekayaan itu bagi orang yang bertakwa kepada Allah, dan sihat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa kepada Allah daripada kekayaan, dan senang hati lebih baik daripada kesenangan.

Ibnu Majah meriwayatkannya dari Abu Bakar ibnu Abu Syaibah, dari Khalid ibnu Makhlad, dari Abdullah ibnu Sulaiman dengan sanad yang sama.

Kalimah النَّعيمِ itu bermaksud ‘nikmat yang berpanjangan’ kerana ada ي di dalamnya, bukan النَّعمِ sahaja. Dan itulah yang kita selalu dapat – makanan yang tidak putus, air yang sentiasa sahaja ada, kebolehan melihat, mendengar, bercakap dan macam-macam lagi. Itulah nikmat yang kita sentiasa sahaja dapat.

Dan ada banyak lagi kesenangan yang kita ada. Tapi kadang-kadang kita tidak puas lagi dengan apa yang kita ada. Kadang-kadang kita rasa, apa yang akan ditanya kepada kita, sedangkan bukan kita dapat banyak pun kenikmatan dunia kalau dibandingkan dengan orang lain? Tapi lihatlah apa kata Rasulullah SAW:

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Abdullah Az-Zahrani, telah menceritakan kepada kami Hafs ibnu Umar Al-Adni, dari Al-Hakam ibnu Aban, dari Ikrimah yang mengatakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, iaitu firman-Nya: kemudian kalian pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kalian megah-megahkan di dunia itu). (At-Takatsur: 8) Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, nikmat apakah yang kami dapatkan, sesungguhnya kami hanya makan roti gandum untuk mengganjal perut kami?” Maka Allah mewahyukan kepada Nabi-Nya: Katakanlah kepada mereka, “Bukankah kamu mengenakan terompah dan minum air yang sejuk? Itu adalah termasuk nikmat.”

 

Penutup:

Surah ini dimulakan dengan nikmat dunia yang melalaikan dan melekakan dari mengingat Allah dan dari agama dan persediaan kepada akhirat (Ayat 1). Dan surah ini diakhirkan (Ayat 8) dengan mengatakan bahawa kita akan ditanya dengan segala nikmat yang kita dapat semasa hidup di dunia.

Kalau kita dapat ingat bahawa segala nikmat itu akan ditanya nanti, maka segala apa yang kita ada dalam bentuk nikmat, sepatutnya mengingatkan kita kepada Allah dan kepada akhirat. Sebagai contoh, apabila kita dapat makan, maka ingatlah yang kita akan ditanya tentang makanan itu. Dan kerana kita selalu dapat makan, maka selalulah kita akan ingat kepada Allah dan kepada akhirat, bukan? Itulah maksudnya, nikmat-nikmat itu tidak sepatutnya menjadikan kita leka, tapi sebagai pemangkin untuk ingat kepada Allah dan akhirat.

Apabila dikatakan yang nikmat itu ‘diberi’ kepada kita, maksudnya ia pada asalnya bukanlah hak kita, bukan? Maka kenalah bersyukur kepada Allah atas segala nikmat itu. Dan kita pun patut tahu yang apa yang diberi boleh diambil balik. Termasuk dengan nyawa kita. Dan bila nyawa kita diambil, kita akan masuk ke dalam kubur (Ayat 2).

Antara nikmat yang kita dapat adalah Al-Qur’an ini dan Sunnah dari Rasulullah. Bukan semua manusia dapat nikmat ini, bukan? Oleh kerana itu, ilmu ini pun adalah nikmat juga, maka kita akan ditanya apa yang kita buat dengan dua nikmat utama ini? Apa yang kamu buat dengan nikmat Islam yang kamu ada itu? Ramai yang tidak dapat, tapi kita dapat, bukan? Maka adakah kita sampaikan nikmat itu kepada orang lain? Ini adalah perkara yang penting untuk kita ingat.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Asr.

Kemaskini: 18 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah at-Takathur Ayat 5 – 8 (Segala nikmat akan ditanya)”

  1. assalamualaikum ustaz, bolehkah saya mengambil isi blog ini berkenaan tafsir untuk saya ajarkan kepada jemaah ditempat saya?

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s