An’am Ayat 109: Ayat ini dalam bentuk Zajrun (teguran) dan Syikayah (rungutan) tentang golongan yang degil.
وَأَقسَمُواْ بِٱللَّهِ جَهدَ أَيمَـٰنِہِم لَٮِٕن جَآءَتہُم ءَايَةٌ لَّيُؤمِنُنَّ بِہَاۚ قُل إِنَّمَا ٱلأَيَـٰتُ عِندَ ٱللَّهِۖ وَمَا يُشعِرُكُم أَنَّهَآ إِذَا جَآءَت لَا يُؤمِنُونَ
And they swear by Allah their strongest oaths that if a sign came to them, they would surely believe in it. Say, “The signs are only with Allah .” And what will make you perceive that even if a sign came, they would not believe.
Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
وَأَقسَمُواْ بِٱللَّهِ جَهدَ أَيمَـٰنِہِم
Mereka bersumpah dengan nama Allah dengan segala kesungguhan,
Yang dimaksudkan bersumpah dalam ayat ini adalah Musyrikin Mekah dan mereka yang berperangai seperti mereka. Apabila mereka bersumpah, mereka akan bersumpah bersungguh-sungguh sehinggakan mereka sanggup bersumpah atas nama Allah ﷻ kerana mereka memang kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan.
Kalimah جَهْدَ bermaksud bersungguh-sungguh dan menggunakan tenaga maksima untuk melakukan sesuatu perkara. Maknanya orang musyrikin itu bersungguh-sungguh bersumpah.
لَئِن جَاءَتْهُمْ ءآيَةٌ
bahawa sungguh jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat,
Inilah lafaz sumpah mereka. Musyrikin Mekah telah meminta beberapa mukjizat daripada Nabi ﷺ. Bermacam-macam permintaan mukjizat mereka kepada Nabi ﷺ. Sebagai contoh, lihat Isra: 90-93:
وَقَالُوا لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنبُوعًا
Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga engkau memancarkan mata air dan bumi untuk kami,
أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْأَنْهَارَ خِلَالَهَا تَفْجِيرًا
atau engkau mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu engkau alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya,
أَوْ تُسْقِطَ السَّمَاءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِيَ بِاللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ قَبِيلًا
atau engkau jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana engkau katakan atau engkau datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.
أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِّن زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَىٰ فِي السَّمَاءِ وَلَن نُّؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَّقْرَؤُهُ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًا رَّسُولًا
Atau engkau mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau engkau naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga engkau turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca”. Katakanlah: “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?”
Kaum-kaum terdahulu ada juga yang minta mukjizat daripada Nabi ﷺ mereka. Seperti kaum Nabi Saleh عليه السلام yang meminta diberikan kepada mereka unta yang keluar daripada batu, barulah mereka hendak beriman. Akan tetapi setelah diberi dengan permintaan mereka itu, mereka tetap berdegil juga.
Kalau zaman sekarang, ramai yang meminta bukti dahulu barulah hendak beriman. Sebagai contoh, mereka kata, kalau mereka dapat sesuatu, dapat projek, barulah hendak datang belajar tafsir Al-Qur’an.
لَّيُؤْمِنُنَّ بِهَا
pastilah mereka beriman kepada-Nya.
Mereka bersumpah jikalau mereka ditunjukkan dengan mukjizat-mukjizat itu barulah mereka akan beriman. Namun, mereka tidak akan beriman walaupun mereka diberikan dengan mukjizat-mukjizat itu. Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka.
Kerana itu, kalau ada yang meletakkan syarat baru mahu belajar agama, baru mahu beriman, mereka itu jenis yang tidak akan beriman. Syarat-syarat yang mereka nyatakan itu sebagai alasan sahaja.
قُل إِنَّمَا ٱلأَيَـٰتُ عِندَ ٱللَّهِۖ
Katakanlah: “Sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu hanya berada di sisi Allah”.
Allah ﷻ suruh jawab sumpah mereka itu: Mukjizat itu berada di dalam kekuasaan Allah ﷻ. Segalanya bergantung kepada Allah ﷻ sama ada Allah ﷻ hendak memberikan mukjizat itu ataupun tidak. Nabi ﷺ diberitahu di dalam ayat ini bahawa baginda sendiri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan mukjizat itu dengan kehendak baginda. Kalau baginda hendak buat pun, tidak boleh.
Kita kena faham bahawa mukjizat yang diberikan kepada semua Nabi itu adalah anugerah. Bukanlah mereka boleh suka-suka hendak buat. Sebagai contoh, bukanlah Nabi Musa عليه السلام boleh menggunakan tongkat baginda sesuka hati untuk membelah laut. Hanya apabila Allah ﷻ suruh ketuk, barulah terjadi. Kalau baginda ketuk sendiri, tidak akan ada apa-apa terjadi.
Begitu juga dengan karaomah pada para wali. Mereka juga tidak boleh hendak buat sesuka hati mereka. Maka kalau ada ‘guru’ yang boleh membuat karomah sesuka hati apabila mereka hendak, itu bukan karomah, tetapi itu adalah ‘sihir’. Dan sihir merupakan dosa besar.
Kena tahu juga tentang perkara-perkara ini kerana jahil tentang perkara inilah yang menyebabkan menularnya ajaran-ajaran sesat di dunia dan negara kita. Apabila ada yang boleh tunjuk kelebihan sikit, mereka yang jahil itu mudah percaya dan mereka ikut orang itu. Mereka sangka itu adalah Karomah atau Maunah, tetapi sebenarnya itu adalah sihir.
Sebagai contoh, kalau ada guru yang boleh terbang, ramai pengikut yang sudah sangka yang orang itu adalah wali. Padahal, itu adalah sihir hasil daripada amalan karut mereka. Dan hasil darpada amalan karut mereka, mereka telah dibantu oleh jin syaitan untuk membolehkan mereka terbang.
وَمَا يُشعِرُكُم أَنَّهَآ إِذَا جَآءَت لَا يُؤمِنُونَ
Dan apakah yang boleh memberitahukan kepadamu bahawa apabila mukjizat datang, mereka tidak akan beriman.
Potongan ayat ini ditujukan kepada orang Islam. Ia untuk menyedarkan mereka tentang perangai orang-orang musyrik. Bahasa ayat ini berbunyi seperti begini: “Kenapa kamu tak faham-faham lagi? Apa benda lagi yang boleh membuatkan kamu faham?”
Allah ﷻ hendak beritahu kepada orang Islam bahawa walaupun mukjizat-mukjizat itu ditunjukkan kepada orang-orang musyrik itu, mereka masih tidak akan beriman. Mungkin ada orang-orang Islam yang sangka jikalau ditunjukkan segala mukjizat yang mereka minta itu, mungkin yang musyrik itu akan beriman. Tetapi Allah ﷻ beritahu kepada golongan mukmin bahawa mereka tidak akan beriman. Mereka itu hanya hendak melemahkan Nabi ﷺ. Nanti apabila Nabi ﷺ tidak boleh beri mukjizat yang mereka minta itu, mereka akan kata yang mereka telah menang.
Allah ﷻ boleh cakap begini kerana Dia tahu isi hati golongan musyrik itu. Permintaan dan sumpah mereka itu bukanlah bermakna yang mereka hendak beriman. Hati mereka sebenarnya tidak mahu beriman akan tetapi mereka gunakan alasan mukjizat itu kerana hendak mempermain-mainkan Nabi Muhammad ﷺ sahaja.
Orang yang meletakkan syarat untuk beriman, mereka tidak akan beriman. Mukjizat-mukjizat dan tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ yang mereka minta itu sebenarnya sudah banyak kelihatan di alam ini. Mereka sahaja yang tidak mahu membuka hati mereka untuk melihatnya. Itu adalah kerana hati dan mata mereka telah dipalingkan daripada nampak tanda-tanda itu. Ini kerana mereka telah buat keputusan tidak mahu beriman. Oleh kerana itu, datanglah apa sahaja dalil dan hujah kepada mereka, mereka tidak akan beriman.
An’am Ayat 110: Ayat ini menerangkan kepada kita kenapa mereka tidak boleh lagi nampak kebesaran dan tanda-tanda kewujudan Allah ﷻ dalam dunia ini.
وَنُقَلِّبُ أَفـِٔدَتَہُم وَأَبصَـٰرَهُم كَمَا لَم يُؤمِنُواْ بِهِۦۤ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَنَذَرُهُم فِى طُغيَـٰنِهِم يَعمَهُونَ
And We will turn away their hearts and their eyes just as they refused to believe in it the first time. And We will leave them in their transgression, wandering blindly.
Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.
وَنُقَلِّبُ أَفْئِدَتَهُمْ
Dan Kami membolak-balikkan hati mereka
Allah ﷻ memalingkan hati mereka daripada memahami kebenaran. Hati mereka langsung tidak tersentuh dengan kebenaran yang ada di depan mata mereka. Ia sentiasa berbolak balik tidak keruan. Allah ﷻ buat begini kerana mereka telah membuat keputusan untuk tidak mahukan kebenaran. Ia dinamakan khatmul qalbi (penutupan hati).
Perkataan أَفْئِدَتَهُمْ adalah daripada katadasar ف أ د yang bermaksud ‘hati yang merasa’. Bukan bermaksud ‘hati’ sahaja, kerana kalau hati, perkataan قَلبٌ yang digunakan. Kalau hati yang sedang merasa, sedang terkesan dengan emosi, ia dipanggil أفئدة. Sebagai contoh, hati yang tersentuh dengan keindahan alam, tersentuh dengan ayat-ayat Al-Qur’an.
Malang sekali kerana ramai yang membaca ayat Al-Qur’an tetapi tidak berasa apa-apa. Mereka membaca ayat Al-Qur’an bagaikan membaca novel sahaja. Hati mereka tidak tersentuh langsung.
وَأَبْصٰرَهُمْ
dan penglihatan mereka
Allah ﷻ juga boleh memalingkan dan membolak balikkan penglihatan mereka. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, أبصار itu berasal daripada perkataan بصيرة yang bermaksud ‘penglihatan dengan pemahaman’. Bukan hanya bermaksud melihat sahaja.
Apabila hati dan penglihatan mereka dipalingkan, ia bermaksud mereka akan dihalang untuk beriman. Walaupun mereka melihat tanda-tanda Allah ﷻ pada alam, tetapi mereka tidak dapat melihatnya dan tidak dapat merasanya di dalam hati mereka. Lihatlah bagaimana kadang-kadang ada orang yang hatinya mudah tersentuh tetapi ada orang yang keras hatinya.
Allah ﷻ juga memalingkan sesetengah hati manusia daripada memahami Al-Qur’an. Kita berikan ayat Al-Qur’an sebagai hujah kepada mereka tetapi mereka tidak memahaminya. Atau mereka sudah pergi pun ke kelas tafsir, tetapi mereka tidak faham. Ini kerana Allah ﷻ tidak beri faham kepada mereka.
Tetapi kenapakah Allah ﷻ buat begitu kepada mereka?
كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوا بِهِ أَوَّلَ مَرَّةٍ
Kerana mereka tidak beriman kepadanya pada permulaannya,
Hati dan penglihatan mereka telah ditutup daripada beriman kerana mereka tidak beriman apabila mukjizat telah ditunjukkan kepada mereka pada kali pertama.
Ini bermaksud Musyrikin Mekah pernah ditunjukkan dengan mukjizat sebelum itu. Mereka selalu meminta diberikan mukjizat kononnya supaya mereka beriman. Tetapi, mereka sebenarnya telah pernah ditunjuk dengan mukjizat sebenarnya pun. Apakah mukjizat itu? Ia merujuk kepada peristiwa pembelahan bulan. Ini disebut dalam surah Al-Qamar.
Apabila pembelahan bulan ditunjukkan kepada mereka, mereka kata itu adalah sihir Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tidak mahu beriman juga rupanya. Mereka tetap hendak tolak juga apabila kebenaran telah ditunjukkan di hadapan mata mereka.
Ini bermakna, apabila seseorang itu tidak mengambil peluang yang Allah ﷻ telah berikan, mereka tidak akan diberi dengan peluang itu lagi. Orang yang degil tidak akan mendapat peluang. Ini terjadi apabila mereka berkali-kali menolak kebenaran.
Ia juga bermaksud hati dan penglihatan mereka telah menjadi lemah kerana mereka asyik tidak menghiraukan hati dan penglihatan mereka itu .Hati dan penglihatan adalah seperti otot kita juga. Kalau sudah lama tidak digunakan ia menjadi lemah. Bayangkan seorang lelaki yang terpaksa berbaring di katil hospital selama enam bulan. Selepas enam bulan tentu dia menghadapi masalah untuk berjalan kerana otot-ototnya telah lemah.
Begitu juga dengan hati dan penglihatan manusia. Apabila berkali-kali ditunjukkan dengan ayat-ayat dan tanda-tanda Allah ﷻ, tetapi mereka tidak menghiraukan bisikan hati dan pandangan mereka, maka Allah ﷻ akan palingkan mereka daripada merasa dan melihat kebenaran lagi kerana mereka tidak menggunakan ‘otot’ hati dan penglihatan mereka. Alangkah takutnya kita kalau kita pun terjadi sebegini juga.
Atau, hati mereka memang awal-awal lagi tidak mahu percaya. Sebagai contoh, mereka datang ke kelas tafsir, tetapi mereka sekadar mahu ‘tengok-tengok’ sahaja, bukan mahukan kebenaran. Sepatutnya kita pergi ke kelas tafsir atau kelas agama untuk mendapat ilmu dan untuk mencari kebenaran. Oleh itu, kenalah datang dengan hati dan minda yang terbuka.
Tetapi kalau mereka memang datang bukan untuk belajar, maka Allah ﷻ tidak buka hati dan pandangan mereka untuk melihat kebenaran. Sebab itu kita ada berjumpa dengan mereka yang hanya datang ke kelas tafsir sekali, dua kali atau tiga kali sahaja sebab mereka tidak nampak kepentingan memahami ayat Al-Qur’an.
وَنَذَرُهُمْ فِي طُغْيٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ
dan Kami biarkan mereka bergelumang dalam kesesatannya teraba-raba.
Perkataan يَعْمَهُونَ berasal daripada perkataan ع م ه yang bermaksud berjalan tetapi tidak nampak. Seperti teraba-raba dalam kegelapan. Mereka tidak dapat keluar daripada kesesatan mereka. Sebelum ini telah disebut dalam surah ini tentang mereka yang ‘buta’ mata hatinya. Maknanya mereka kebingungan, tidak tahu hendak beriman atau tidak.
Habis Ruku’ 13 dari 20 ruku’ dalam surah ini.
SEKIAN JUZUK 7
An’am Ayat 111: Ayat sebelum ini telah diceritakan bagaimana mereka minta ditunjukkan mukjizat, baru mereka hendak beriman. Kali ini disebut bagaimana mereka memminta malaikat diturunkan dan orang mati dihidupkan semula supaya malaikat itu membenarkan apa yang Nabi ﷺ katakan dan supaya orang mati yang hidup balik itu boleh cakap apakah yang terjadi selepas mereka mati.
وَلَو أَنَّنَا نَزَّلنَآ إِلَيہِمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةَ وَكَلَّمَهُمُ ٱلمَوتَىٰ وَحَشَرنَا عَلَيہِم كُلَّ شَىءٍ قُبُلاً مَّا كَانُواْ لِيُؤمِنُوٓاْ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ وَلَـٰكِنَّ أَڪثَرَهُمۡ يَجهَلُونَ
And even if We had sent down to them the angels [with the message] and the dead spoke to them [of it] and We gathered together every [created] thing in front of them, they would not believe unless Allah should will. But most of them, [of that], are ignorant.
Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).
وَلَو أَنَّنَا نَزَّلنَآ إِلَيہِمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةَ
Kalau sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka,
Musyrikin Mekah kata, kenapalah Allah ﷻ turunkan manusia untuk memberi peringatan kepada mereka? Mereka kata sepatutnya malaikatlah yang diturunkan. Maka, Allahﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, kalau Allah ﷻ turunkan malaikat kepada mereka pun, mereka tidak beriman juga.
Mereka hendak malaikat diturunkan supaya malaikat itu memberitahu kepada mereka bahawa apa yang Nabi Muhammad ﷺ katakan itu adalah benar belaka. Kononnya, baru mereka hendak percaya.
Ayat ini adalah ayat rungutan Allah ﷻ tetapi bukan rungutan Allah ﷻ kepada mereka sahaja. Musyirikin Mekah itu adalah sebagai contoh kerana mereka adalah penerima wahyu yang awal sekali. Tetapi, seperti kita tahu, ayat Al-Qur’an ini adalah untuk setiap zaman.
Maka ia juga ditujukan kepada semua manusia yang tidak mahu menerima kebenaran. Jangan kita sangka kita sudah selamat daripada rungutan Allah ﷻ ini. Ini kerana masalah yang dihadapi oleh manusia sama sahaja dari dulu sampai sekarang. Ada manusia-manusia zaman sekarang yang seperti Musyrikin Mekah juga.
Kepada mereka itu, walaupun Allah ﷻ turunkan malaikat untuk memberitahu kebenaran mereka pun tidak akan diterima kerana mereka memang degil. Hati mereka telah tertutup daripada kebenaran.
وَكَلَّمَهُمُ الْمَوْتَىٰ
dan orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka
Musyrikin Mekah juga kata, kalau apa yang dikatakan oleh Nabi ﷺ itu benar, maka hidupkanlah kembali orang yang mati dalam kalangan datuk nenek mereka, supaya orang yang sudah mati itu boleh bercakap-cakap dengan mereka. Supaya orang mati beritahu sendiri, memang ada kehidupan selepas mati.
Itu adalah permintaan yang tidak patut. Lihatlah macam-macam benda yang mereka minta. Ada puak yang sesat pula berhujah, kalaulah amalan yang mereka lakukan itu salah, maka tentunya Allah ﷻ telah memberitahu mereka dengan menghantar malaikat untuk beritahu ataupun menghidupkan kembali orang yang mati untuk beritahu kepada mereka.
Bukan begitu cara Allah ﷻ memberi peringatan kepada manusia. Allah ﷻ berikan hujah-hujah kebenaran dengan cara yang lain. Allah ﷻ suruh kita gunakan akal dan rujuk kepada ayat-ayat-Nya.
وَحَشَرْنَا عَلَيْهِمْ كُلَّ شَيْءٍ قُبُلًا
dan Kami kumpulkan (pula) segala sesuatu ke hadapan mereka,
Dan kalaulah Allah ﷻ menghidupkan kembali semua orang yang telah mati, semua malaikat yang ada dan letakkan di hadapan mereka, adakah mereka akan beriman? Tidak juga.
Atau, ‘segala sesuatu’ itu bermaksud segala rahsia alam langit dan bumi diletakkan di hadapan mereka. Segala apa yang telah dicipta diletakkan di hadapan mereka. Perkataan قُبُلًا bermaksud ‘berhadapan’ dengan mereka. Adakah mereka akan beriman?
مَّا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا
nescaya mereka tidak (juga) akan beriman,
Mereka tidak akan beriman juga walaupun diberikan tiga perkara yang disebut di atas tadi. Ini adalah kerana mereka itu jenis orang yang degil. Allah ﷻ boleh sahaja meletakkan semua orang yang telah mati di hadapan mereka dan segala malaikat, dan segala rahsia langit dan bumi, tetapi Allah hendak beritahu kepada kita bahawa semua itu tidak akan menyebabkan mereka beriman. Ini adalah kerana hati mereka tidak mahu beriman.
إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ
kecuali jika Allah menghendaki,
Allah ﷻ boleh menjadikan semua makhluk-Nya beriman dan percaya. Allah ﷻ boleh memaksa sesiapa sahaja untuk beriman. Memang Allah ﷻ boleh buat. Itu adalah dalam kuasa Allah ﷻ. Namun bukan begitu cara Allah ﷻ.
Ada juga mereka yang asalnya tidak beriman tetapi akhirnya diberikan hidayah keimanan. Berapa ramai daripada Musyrikin Mekah yang asalnya menentang Nabi, namun kemudian mereka telah beriman? Lihatlah kepada Abu Sufyan, Khalid al Walid dan sebagainya. Mereka menerima Islam akhirnya dan menjadi Muslim yang hebat.
Berapa ramai juga yang asalnya menentang jalan Sunnah, kata orang-orang sunnah itu sesat, wahabi dan sebagainya, tetapi setelah mereka membuka hati mereka kepada kebenaran, mereka akhirnya dapat terima.
وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُونَ
tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Kebanyakan manusia adalah jahil. Mereka jahil tentang kuasa Allah ﷻ untuk memaksa sesiapa sahaja untuk beriman. Mereka menidakkan kuasa Allah ﷻ untuk memberi hidayah kepada manusia. Mereka juga jahil tentang cara beriman di mana sebenarnya telah cukup bukti-bukti nyata yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka, tetapi mereka tidak tahu hendak gunakan segala bukti itu.
Maka, mereka yang degil memang tidak akan beriman sampai bila-bila. Tetapi jangan salah sangka pula dengan ayat ini. Disebabkan salah faham tentang ayat ini, kadang-kadang ada yang berkata: “Dia itu memang sudah sesat, tentu takkan beriman.” Tetapi siapa kita yang boleh tentukan sama ada seseorang itu akan beriman atau tidak? Maka jangan silap faham pula tentang hal ini. Kita tetap kena berdakwah kepada semua orang, kerana kita tidak tahu siapa yang Allah ﷻ telah tutup pintu hati.
Sebenarnya untuk dapat hidayah, kena ada iradah (keinginan) dalam hati untuk mahukan kebenaran. Ini adalah inabah (condong) kepada kebenaran. Kalau tidak mahu, Allah ﷻ tidak bawa orang itu kepada kebenaran.
Ayat ini juga bermaksud orang-orang yang ingkar itu jahil tentang kebenaran dan tentang tauhid kepada Allah ﷻ. Mereka menjadi jahil kerana mereka sombong untuk menerima kebenaran. Setelah diberikan dengan segala tanda dan ditunjukkan segala bukti, mereka masih lagi tidak mahu beriman. Oleh kerana itu, Allah ﷻ tutup hati mereka.
Begitulah juga dengan kebanyakan masyarakat Islam di negara ini. Mereka memang sudah jahil dengan agama kerana malangnya ibubapa kita tidak mementingkan pelajaran agama.
Ataupun mereka telah belajar agama, tetapi mereka belajar daripada guru-guru yang mengajar ajaran bid’ah dan ajaran salah. Dan apabila kita berikan bukti dan dalil kepada mereka, mereka sombong untuk menerimanya. Mereka balas dengan hujah-hujah bathil dan lemah. Mereka tidak mahu mengaku yang mereka kurang ajaran agama.
Atau mereka akan mempertahankan ajaran yang mereka telah belajar. Antaranya, mereka akan beri ayat Al-Qur’an, beri hadith, beri hujah akal dan sebagainya yang memang menunjukkan mereka tidak mahir tentang dalil-dalil itu. Contohnya, memang mereka beri ayat Al-Qur’an, tetapi mereka tidak faham apakah maksud ayat itu. Mereka hanya ikut apa yang orang lain buat dan kata.
Tidak mengapa kalau mereka jahil, tetapi hendaklah mereka menerima yang mereka tidak tahu dan menerima hujah sah yang diberikan. Namun malangnya ramai yang degil dan sombong. Sudahlah jahil, sombong pula hendak belajar.
Kenapa boleh jadi sampai begini? Kerana mereka menolak kebenaran yang sampai kepada mereka pada mulanya. Oleh sebab itu hati mereka sudah menjadi keras tidak nampak lagi. Mereka tolak mentah-mentah.
Sepatutnya kalau mereka tidak terima pun, sekurang-kurangnya mereka kena fikirkan. Jangan terus tolak. Jangan terus kata apa yang kita katakan ini sebagai salah terus. Kena dengar terlebih dahulu apakah hujah yang kita ada.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 20 Februari 2022
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair