Tafsir Surah al-A’raf Ayat 34 – 38 (Marah kepada orang dahulu)

A’raf Ayat 34: Perbuatan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, itu adalah perbuatan dosa yang menyebabkan pelakunya dikenakan dengan azab. Ada pula manusia jahil yang bertanya kepada Nabi ﷺ, bila azab yang telah dijanjikan itu akan diturunkan? Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini.

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذا جاءَ أَجَلُهُم لا يَستَأخِرونَ ساعَةً ۖ وَلا يَستَقدِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for every nation is a [specified] term. So when their time has come, they will not remain behind an hour, nor will they precede [it].

(MALAY)

Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya.

 

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ

Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu;

Bagi setiap umat ada tempoh yang mereka akan terima azab masing-masing. Kalau buat salah, memang akan kena, tetapi bila akan dikenakan dengan azab itu, Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu.

Malangnya ramai manusia berterusan melakukan dosa kerana mereka tidak terus dikenakan azab. Maka mereka rasa tidak mengapalah, buat dosa pun tidak ada apa-apa pun. Oleh sebab itu, Allah ‎ﷻ hendak beritahu, Allah‎ ﷻ telah menetapkan azab, cuma belum sekarang. Jadi jangan hendak suka sangat.

 

فَإِذا جاءَ أَجَلُهُم لا يَستَأخِرونَ ساعَةً

maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun

Dan apabila datang kepada mereka ajal azab mereka, mereka tidak boleh lewatkan sesaat pun. Tidak boleh minta tangguh lagi.

 

وَلا يَستَقدِمونَ

dan tidak dapat (pula) memajukannya.

Bukan sahaja kita tidak boleh lambatkan ajal dan azab, mahu cepatkan pun tidak boleh, walaupun satu saat. Contohnya, kita mahu mempercepatkan azab kepada orang lain, sebab kita nampak dia sudah teruk sangat buat salah, itu pun tidak boleh. Allah ‎ﷻ sahaja yang menentukan bila azab akan dikenakan, bukan kita. Azab dan rahmat bukan di tangan kita.


 

A’raf Ayat 35: Ini adalah nasihat keempat dan terakhir yang dimulai dengan kalimah Wahai Anak-anak Adam! Selepas Nabi Adam عليه السلام diturunkan, Allah ‎ﷻ meninggalkan pesanan kepadanya dan anak cucunya.

يٰبَني ءآدَمَ إِمّا يَأتِيَنَّكُم رُسُلٌ مِّنكُم يَقُصّونَ عَلَيكُم ءآيٰتي ۙ فَمَنِ اتَّقىٰ وَأَصلَحَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O children of Adam, if there come to you messengers from among you relating to you My verses [i.e., scriptures and laws], then whoever fears Allāh and reforms – there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

(MALAY)

Hai anak-anak Adam, jika datang kepadamu rasul-rasul daripada kalangan kamu yang menceritakan kepadamu ayat-ayat-Ku, maka barangsiapa yang bertakwa dan mengadakan perbaikan, tidaklah ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

 

يٰبَني ءآدَمَ إِمّا يَأتِيَنَّكُم رُسُلٌ مِّنكُم يَقُصّونَ عَلَيكُم ءآيٰتي

Hai anak-anak Adam, jika datang kepadamu rasul-rasul dalam kalangan kamu yang menceritakan kepadamu ayat-ayat-Ku,

ِAllah ‎ﷻ memanggil kita dengan manja sebagai anak-anak Adam, keturunan Adam عليه السلام kerana hendak mengingatkan kita. Mengingatkan kita kepada bapa kita yang mulia. Dalam Al-Qur’an juga digunakan panggilan wahai Bani Israel. Juga sebagai peringatan kepada datuk mereka yang mulia itu.

Maka ikutlah agama dan akhlak bapa kita Nabi Adam عليه السلام. Sekiranya datang rasul dalam kalangan manusia pasti mereka akan menceritakan tentang wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan bahawa akan ada rasul yang akan dibangkitkan dalam kalangan manusia (bukan malaikat atau bangsa lain). Sekiranya dibangkitkan Rasul dalam kalangan malaikat, tentu kita tidak boleh hendak ikut mereka kerana mereka tidak makan dan minum, tidak bernafsu segala-galanya berlainan dengan manusia.

Dan bukan sahaja dalam kalangan manusia, tetapi kebanyakan Rasul itu dibangkitkan dalam kalangan umat mereka, keturunan mereka, duduk membesar di tempat mereka itu. Ini penting supaya Rasul itu tahu segala-gala tentang penduduk itu, maka senanglah untuk dia berdakwah dan sepatutnya senanglah umat itu terima kerana kalangan mereka juga.

Mereka pula akan bawa wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Maka ini menunjukkan kita kena pastikan bahawa apa yang mereka sampaikan itu adalah wahyu daripada Allah ‎ﷻ, bukannya daripada pendapat manusia. Kita kena berpegang dengan nas daripada wahyu kerana itulah pegangan yang benar.

Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah يَقُصّونَ (mereka mengisahkan) bermaksud mereka menyampaikan ajaran wahyu kepada manusia dalam bentuk kisah/cerita. Ini adalah kerana manusia suka dengan cerita. Ini adalah salah satu daripada teknik penyampaian dakwah iaitu sampaikan dengan cara yang suka didengar oleh manusia.

Rasulullah ﷺ telah sampaikan kepada kita umat Islam menyampaikan wahyu Allah ‎ﷻ kepada kita. Dan walaupun kita tidak dengar sendiri daripada Nabi ﷺ, akan tetapi sudah ramai penyebar tauhid dan para pendakwah yang telah menyampaikan kepada kita. Jadi jangan kata pula tidak tahu.

 

فَمَنِ اتَّقىٰ وَأَصلَحَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

maka barangsiapa yang bertaqwa dan mengadakan perbaikan, tidaklah ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

Ini dinamakan Ayat Tabshir (berita gembira). Maka kalau dapat terima dan jaga wahyu yang disampaikan oleh para Rasul itu dengan mengamalkannya, dan memperbaiki amalan dengan melakukan taat, maka mereka tidak akan ada ketakutan dan tidak berdukacita.

Taqwa dalam ayat ini bermaksud meninggalkan syirik dan mengamalkan agama dengan sebenarnya. Manakala أصلح itu bermaksud memperbaiki agamanya dengan mengikut wahyu.

Bagi mereka diberikan berita baik kepada mereka. Mereka tidak akan takut untuk menghadapi akhirat kerana dia akan selamat. Mereka akan menuju ke tempat yang penuh nikmat. Kalau di akhirat nampak nikmat, takkan hendak takut lagi, bukan?

Mereka juga tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia dengan segala keindahannya, kerana tempat yang akan dituju adalah lebih baik lagi daripada dunia yang ditinggalkan.

Kalimat فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ ini amat penting sampaikan Allah ‎ﷻ menyebutnya sebanyak 14 kali di dalam Al-Qur’an. Ia merupakan ‘upah’ daripada Allah ‎ﷻ kepada kita, setelah kita taat kepada-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Ini kerana aman daripada takut dan sedih ini adalah perkara yang amat dikehendaki oleh manusia. Kita buat banyak perkara dalam dunia, seperti bekerja, jaga kesihatan, berkawan, bersosial dan sebagainya adalah kerana hendak elak daripada berasa takut dan sedih, bukan? Maka itulah yang Allah ‎ﷻ akan berikan kepada hamba-Nya yang taat.

Namun begitu ada perbincangan sedikit tentang nahu bahasa Arab. Jika diperhatikan, kalimah خَوفٌ adalah dalam bentuk katanama sedangkan kalimah يَحزَنونَ pula dalam bentuk katakerja. Kenapa pula begitu? Kena tidak sama sahaja?

Ini kerana ia tidak sama. Kalimah خَوفٌ bermaksud tidak ada ketakutan ke ‘atas’ mereka. Akan tetapi mereka sendiri mungkin sahaja takut kerana memang ada takut yang disyariatkan, seperti takut kepada Allah ‎ﷻ, takut membuat dosa dan sebagainya. Apakah pula maksud tiada takut ke atas mereka?

Mari kita buat perbandingan. Katakanlah seorang bayi didatangi ular. Dia tidak takut ular itu kerana dia tidak kenal ular. Tetapi siapa yang akan takut? Tentulah kita ibubapa yang takut! Itulah maksud takut ke atas mereka. Kita yang takut akan hal mereka. Maka Allah ‎ﷻ hendak beritahu di sini, kita tidak perlu takut ke atas orang yang taat kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka akan menerima nikmat yang amat banyak daripada Allah ‎ﷻ. Mereka akan diselamatkan oleh Allah ‎ﷻ.

Bilakah hadiah daripada Allah ‎ﷻ ini diberikan? Adakah semasa di dunia atau di akhirat? Ada pendapat yang mengatakan ini semasa di dunia lagi. Sebab itulah ada orang yang tidak terkesan sangat dengan dugaan dunia ini. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan mereka selamat daripada ketakutan dan kesedihan semasa di dunia lagi. Apatah lagi di akhirat.

Sebaliknya orang yang menentang kebenaran, di dunia lagi mereka tidak tenang sahaja hidup mereka. Apatah lagi di akhirat mereka akan diberikan dengan segala azab yang berat-berat kepada mereka.


 

A’raf Ayat 36: Selepas diberikan ayat tabshir, sekarang ayat takhwif ukhrawi (ancaman azab di akhirat) pula.

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَاستَكبَروا عَنها أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the ones who deny Our verses and are arrogant toward them – those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally.

(MALAY)

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.

 

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami 

Iaitu mereka yang menolak ayat-ayat Allah ‎ﷻ, dengan mengatakan orang yang membawanya dusta. Yang paling penting adalah ayat-ayat dari segi akidah kerana ia melibatkan iman.

Mendustakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ itu boleh dilakukan sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Mungkin seseorang itu berkata-kata menentang ayat-ayat Allah ‎ﷻ, tetapi kita dapat lihat daripada perbuatannya.

Ayat-ayat Allah ‎ﷻ itu terbahagi kepada dua. Sama ada dalam bentuk ayat Al-Qur’an atau ayat-ayat Allah ‎ﷻ di alam ini. Kerana maksud ‘ayat’ adalah ‘tanda’ dan alam ini adalah tanda-tanda bagi kewujudan Allah ‎ﷻ. Ayat jenis ini digelar ‘ayat takwini’.

Orang yang mendustai ayat-ayat Allah ‎ﷻ, kita senang faham. Bagaimana yang mendustakan ayat-ayat takwini Allah ‎ﷻ? Itulah orang yang menidakkan kuasa Allah ‎ﷻ di alam ini. Contohnya ada yang kata gempa bumi, tsunami dan sebagainya terjadi secara semulajadi. Padahal kita tahu yang itu adalah takdir dan keizinan Allah ‎ﷻ, bukan?

 

وَاستَكبَروا عَنها

dan menyombongkan diri terhadapnya, 

Dan kemudian mereka sombong, iaitu sombong untuk mengamalkan ajaran wahyu yang telah diperdengarkan kepada mereka. Mereka sombong untuk menerima kerana mereka rasa mereka lebih baik. Jika ada yang menyampaikan kepada mereka pun mereka buat tidak tahu sahaja.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

mereka itu penghuni-penghuni neraka;

Oleh kerana kesalahan mereka menolak wahyu, maka mereka akan dimasukkan ke dalam neraka disebabkan oleh kejahilan mereka dalam menerima wahyu. Apabila jahil wahyu maka mereka akan membuat perkara yang syirik. Syaitan akan sesatkan mereka terutama sekali dalam hal tauhid. Dan bila buat perkara yang syirik, maka mereka akan kekal dalam neraka. Itulah balasan yang layak bagi mereka kerana ini semua salah mereka sendiri.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Mereka akan kekal dalam neraka kerana ayat-ayat yang mereka tolak itu adalah ayat-ayat tentang tauhid. Tiada maaf untuk mereka yang menolak ayat-ayat tauhid. Dan yang kekal itu pun boleh jadi orang Muslim juga. Ini kerana jika Muslim yang buat perkara syirik, mereka akan kekal dalam neraka juga.


 

A’raf Ayat 37: Ayat Zajrun (teguran daripada Allah ‎ﷻ).

فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَو كَذَّبَ بِئآيٰتِهِ ۚ أُولٰئِكَ يَنالُهُم نَصيبُهُم مِّنَ الكِتٰبِ ۖ حَتّىٰ إِذا جاءَتهُم رُسُلُنا يَتَوَفَّونَهُم قالوا أَينَ ما كُنتُم تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ ۖ قالوا ضَلّوا عَنّا وَشَهِدوا عَلىٰ أَنفُسِهِم أَنَّهُم كانوا كٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is more unjust than one who invents about Allāh a lie or denies His verses? Those will attain their portion of the decree¹ until, when Our messengers [i.e., angels] come to them to take them in death, they will say, “Where are those you used to invoke besides Allāh?” They will say, “They have departed from us,” and will bear witness against themselves that they were disbelievers.

  • What is decreed for them.

MALAY

Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) dari apa yang telah tersurat (bagi mereka), hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka, bertanyalah malaikat itu (kepada mereka): “Manakah (makhluk-makhluk dan benda-benda) yang kamu sembah selain Allah?” Mereka menjawab: “Semuanya itu telah hilang lenyap daripada kami”, dan mereka pula menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.

 

فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah

Ini adalah tentang mereka mengadakan pembohongan terhadap Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak pernah ajar tentang sesuatu perkara yang mereka reka dalam agama, tetapi mereka kata itu adalah daripada Allah ‎ﷻ.

Tidak ada lagi perbuatan yang lebih zalim daripada itu kerana jika kita berdusta atas nama orang lain sudah tentu orang itu marah. Sebagai contoh, ada orang kata kalau datang ke rumah saya, saya akan bagi seratus ringgit sebagai duit raya. Tapi saya tidak pernah cakap pun. Jadi orang yang mengatakan begitu telah berbohong atas nama saya.

Bagaimana pula kalau berbohong tentang Allah ‎ﷻ? Bagaimana kalau ada yang kata buat sekian dan sekian dapat pahala sedangkan Allah (dan Rasulullah ﷺ) tidak pernah berjanji nak beri pahala dan amalan itu sendiri memang amalan bid’ah. Itu adalah berbohong atas nama Allah juga, bukan?

 

أَو كَذَّبَ بِئآيٰتِهِ

atau yang mendustakan ayat-ayatNya. 

Atau, mereka mendustakan ayat Allah ‎ﷻ. Maksud ‘mendustakan’ itu adalah ‘menolak’. Mereka tidak mahu terima. Mereka tolak kerana mereka kata orang yang bawa dan ajar wahyu itu berdusta. Atau mereka tidak endahkan, buat tidak tahu sahaja. Ini pun termasuk mendustakan.

 

أُولٰئِكَ يَنالُهُم نَصيبُهُم مِّنَ الكِتٰبِ

Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) daripada apa yang telah tersurat

Mereka itu akan ditimpa bahagian mereka daripada takdir yang telah ditetapkan untuk mereka semasa mereka di dunia. Kitab yang dimaksudkan adalah Lauh Mahfuz di mana segala qada’ dan qadar telah ditulis. Allah ‎ﷻ telah menetapkan ada orang yang akan senang, ada yang menjalani kehidupan yang susah. Itu semua adalah ketentuan yang Allah ‎ﷻtelah tetapkan dalam kitab di Lauh Mahfuz, dan mereka pasti akan dapat.

Dan ada kemungkinan, walaupun mereka menolak agama yang benar, mereka mungkin hidup dengan senang sampai mati. Kita boleh lihat dalam dunia ini, ramai orang yang melakukan syirik tetapi mereka itu hidup senang sahaja di dunia. Akan tetapi ingatlah, itu adalah hanya di dunia, di akhirat nanti mereka akan menerima nasib yang lain. Allah ‎ﷻ boleh memberikan kesenangan kepada manusia semasa hidup mereka di dunia, dan itu bukanlah tanda yang Allah ‎ﷻ redha dengan mereka.

Ayat lain yang semakna dengan ayat ini ialah firman Allah ‎ﷻ:

{إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ* مَتَاعٌ فِي الدُّنْيَا ثُمَّ إِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ ثُمَّ نُذِيقُهُمُ الْعَذَابَ الشَّدِيدَ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ}

Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung. (Bagi mereka) kesenangan (sementara) di dunia, kemudian kepada Kamilah mereka kembali, kemudian Kami rasakan kepada mereka seksa yang berat, disebab­kan kekafiran mereka.

[ Yunus: 69-70 ]

Tidak ada masalah pun bagi Allah ‎ﷻ untuk memberikan rezeki mereka di dunia, malah lagi banyak daripada orang yang mukmin. Ini kerana dunia ini tidak ada nilai pun, sebab itu Allah ‎ﷻ senang sahaja memberikan kepada mereka. Apa-apa perkara yang tiada nilai memang kita tidak ada masalah untuk beri kepada sesiapapun, bukan? Sememangnya mereka akan mendapat rezeki dan kesenangan di dunia ini, namun sampai bila?

 

حَتّىٰ إِذا جاءَتهُم رُسُلُنا يَتَوَفَّونَهُم

hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka,

Sampai masa, mereka pasti akan mati, iaitu mereka mungkin hidup susah atau senang, sehinggalah datang rasul Allah ‎ﷻ, iaitu malaikat yang akan mematikan mereka.

Oleh sebab itu, jelaslah di sini jika mereka hidup senang pun di dunia ini tidaklah lama dan sementara sahaja. ‘Rasul’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah para malaikat kerana para malaikat pun utusan Allah‎ ﷻ juga. Kena ingat yang utusan Allah ‎ﷻ ada yang dalam kalangan manusia dan ada dalam kalangan malaikat.

Dalam ayat ini menyebut ramai pula yang datang mencabut nyawa manusia. Namun begitu, bukankah yang mencabut nyawa itu namanya Malaikat Maut (bukan Izrail ya, itu tidak ada dalilnya). Maka, ada satu malaikat sahaja yang kerjanya mencabut nyawa seperti disebut dalam [ Sajdah: 11 ]

قُل يَتَوَفّٰكُم مَّلَكُ المَوتِ الَّذي وُكِّلَ بِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu. 

Tidak ada percanggahan antara dua ayat ini. Memang ramai malaikat yang terlibat dalam proses menarik nyawa manusia itu. Apabila nyawa sudah sampai ke halqum, proses itu diserahkan kepada Malaikat Maut, yang akan mengambil nyawa manusia itu.

 

قالوا أَينَ ما كُنتُم تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ

bertanyalah malaikat: “Manakah yang kamu sembah selain Allah?”

Apabila sudah mati, para malaikat akan tanya mereka dengan nada sinis: “Mana dia makhluk yang kamu seru sebelum ini selain Allah? Kenapa tidak ada yang datang tolong kamu sekarang?”

Ini adalah seksaan sebagai mainan perasaan mereka, untuk menambahkan azab mereka. Waktu itu mereka tentu sudah tahu, perkara yang mereka dustakan di dunia selama ini adalah benar belaka. Sudah tentu mereka menyesal dan takut tetapi Allah ‎ﷻ suruh malaikat tambah lagi ketakutan mereka, tambah kesedihan dan sesalan mereka itu dengan tanya soalan-soalan yang memedihkan hati.

Malaikat tanya mana dia Nabi, wali, malaikat dan jin yang mereka seru selama mereka hidup di dunia dulu? Kenapa tiada yang datang membantu? Dulu bukan main rapat lagi kamu dengan mereka, segala macam kamu lakukan untuk mereka, tetapi di manakah mereka sekarang ketika kamu memerlukan mereka?

Empat perkara ini adalah makhluk yang selalu dipuja oleh manusia (Nabi, wali, malaikat dan jin). Sekiranya mereka secara zahirnya memuja berhala atau objek yang tidak bernyawa, kebiasaannya itu adalah sebagai wakil kepada empat makhluk ini juga: Nabi, wali, malaikat dan jin. Ini kerana bagi manusia yang mempunyai akal, tentu tahu yang batu itu tidak ada sebarang kuasa. Tetapi mereka memuja makhluk yang ada dalam batu itu, atau mereka menjadikan batu itu sebagai kiblat tawajuh (tempat fokus) mereka untuk menumpukan perhatian mereka sahaja.

 

قالوا ضَلّوا عَنّا

Mereka menjawab: “Semuanya itu telah hilang lenyap daripada kami”,

Manusia yang telah melakukan syirik semasa di dunia, menyembah dan menyeru Nabi, jin, wali dan malaikat semasa di dunia, mereka akan jawab: “Semua yang kami sembah dan itu telah hilang lenyap daripada membantu kami. Dulu kami sangka mereka akan datang tolong kami, teman kami, beri syafaat kepada kami. Sebab itu kami buat macam-macam untuk mereka, sembah mereka, seru mereka setiap hari, tapi nampaknya mereka tidak datang pun tolong kami pada hari ini.”

 

وَشَهِدوا عَلىٰ أَنفُسِهِم أَنَّهُم كانوا كٰفِرينَ

dan mereka pula menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.

Pada waktu itu, pengamal syirik itu sudah tahu kedudukan mereka, dan mereka terpaksa mengaku dan bersaksi ke atas diri mereka sememangnya mereka ingkar dan melakukan syirik semasa hidup di dunia. Allah ‎ﷻ memang tunggu mereka mengaku pun.


 

A’raf Ayat 38:

قالَ ادخُلوا في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِكُم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ فِي النّارِ ۖ كُلَّما دَخَلَت أُمَّةٌ لَّعَنَت أُختَها ۖ حَتّىٰ إِذَا ادّارَكوا فيها جَميعًا قالَت أُخرىٰهُم لِأولىٰهُم رَبَّنا هٰؤُلاءِ أَضَلّونا فَئآتِهِم عَذابًا ضِعفًا مِّنَ النّارِ ۖ قالَ لِكُلٍّ ضِعفٌ وَلٰكِن لّا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] will say, “Enter among nations which had passed on before you of jinn and mankind into the Fire.” Every time a nation enters, it will curse its sister¹ until, when they have all overtaken one another therein, the last of them² will say about the first of them,³ “Our Lord, these had misled us, so give them a double punishment of the Fire.” He will say, “For each is double, but you do not know.”

  • The nation preceding it.
  • The followers of evil leaders.
  • Their leaders.

MALAY

Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka”. Allah berfirman: “Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui”.

 

قالَ ادخُلوا في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِكُم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ فِي النّارِ

Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, daripada jin dan manusia. 

Oleh kerana kekafiran mereka semasa di dunia, Allah ‎ﷻ mengarahkan mereka untuk masuk ke dalam neraka dan menyertai umat-umat lain sebelum mereka yang seperti mereka, iaitu keturunan mereka dahulu yang sudah membuat kesalahan semasa di dunia. Oleh itu, dari sini tahulah kita yang ahli neraka tidaklah dimasukkan sekaligus, tetapi dimasukkan secara berperingkat-peringkat.

Ada keturunan lama dan ada keturunan baru, mereka sama-sama akan masuk terperosok sekali dalam neraka. Yang baru masuk akan bertemu dengan golongan datuk nenek yang di atas daripada mereka, yang amalan mereka diikuti. Manusia akan menerima nasib itu, begitu juga dengan jin.

Siapakah mereka ini? Mereka ini jenis orang yang mengikut sahaja amalan nenek moyang mereka tanpa soal. Mereka tidak berfikir dan periksa sama ada amalan itu benar atau tidak. Dan apabila mereka ditegur oleh pendakwah, mereka jawab: Benda ini orang dulu dah lama buat, kenapa tiba-tiba kau kata salah pula?”

 

كُلَّما دَخَلَت أُمَّةٌ لَّعَنَت أُختَها

Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya

Setiap kali mana-mana kumpulan baru masuk neraka, mereka akan melaknat kumpulan yang lain dalam neraka. Iaitu kumpulan yang baru akan mengutuk dan melaknat kumpulan yang lama – iaitu datuk nenek mereka. Mereka itu disebut أحت (bersaudara) kerana sebagaimana orang mukmin bersaudara, ahli neraka pun bersaudara juga.

Mereka akan marah kepada datuk nenek mereka kerana datuk nenek itulah yang mula-mula membuat amalan bid’ah dan syirik itu, dan golongan yang baru itu ikut sahaja. Pada waktu itu memang mereka benci habis kepada datuk nenek mereka. Akan tetapi ketika di dunia, kalau kita tegur amalan datuk nenek mereka yang salah, mereka cepat sangat pula mempertahankan amalan tersebut. Biasa sahaja mereka menjerkah: “Habis, tok nenek kita semua ahli nerakalah kau nak cakap?!” Marah betul kepada kita yang menegur ini.

Sudah banyak disebut tentang manusia yang mengikut amalan salah datuk nenek. Yang marah itu sebab tidak membaca dan memahami maksud ayat-ayat dalam Al-Qur’an. Contohnya ayat ini semakna dengan firman-Nya:

{إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الأسْبَابُ * وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا مِنَّا كَذَلِكَ يُرِيهِمُ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ حَسَرَاتٍ عَلَيْهِمْ وَمَا هُمْ بِخَارِجِينَ مِنَ النَّارِ}

ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat seksa, dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah orang-orang yang mengikut, “Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami.” Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.

[ Al-Baqarah: 166-167 ]

 

إِذَا ادّارَكوا فيها جَميعًا قالَت أُخرىٰهُم لِأولىٰهُم

hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: 

Apabila mereka semua sudah masuk neraka, bercampur antara satu sama lain, maka berlakulah pertengkaran sesama mereka. Sudah ada tuduh menuduh, maki memaki. Memang banyak kali disebut dalam Al-Qur’an tentang pertengkaran dalam neraka ini antara dua golongan itu. Ia adalah pertengkaran antara pemimpin dan pengikut, golongan terdahulu dan golongan yang terkemudian. Ada golongan pengikut dan ada golongan yang diikuti.

 

رَبَّنا هٰؤُلاءِ أَضَلّونا

“Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami;

Pada waktu itu, orang yang mengikut akan mengadu kepada Allah ‎ﷻ tentang orang-orang yang mereka ikut itu: “Mereka inilah yang telah menyesatkan kami semasa di dunia!”

Ketika itu, mereka tidak mempertahankan lagi golongan sebelum mereka yang mereka ikut; mereka sudah tidak mempertahankan lagi tok guru mereka yang mereka sanjung dulu. Dulu kalau ditegur ajaran guru mereka, marah betul mereka.

Namun sekarang mereka menyalahkan datuk nenek dan guru mereka pula. Perangai ini sama sahaja seperti perangai Iblis. Bukankah Iblis juga tidak menyalahkan diri sendiri, tetapi salahkan Allah ‎ﷻ kerana menyesatkan dia? Bandingkan dengan Nabi Adam عليه السلام yang terus mengaku salah dan meminta ampun apabila sedar baginda telah melakukan kesalahan.

 

فَئآتِهِم عَذابًا ضِعفًا مِّنَ النّارِ

oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka”. 

Disebabkan terlalu marah kepada golongan yang diikuti itu, mereka mahukan orang yang telah menyesatkan mereka itu dikenakan dua kali ganda daripada azab yang mereka kena.

Ini terjadi kerana marah punya pasal. Mereka tahu mereka pun kena azab juga, tetapi mereka mahu golongan yang menyebabkan mereka sesat itu kena dua kali ganda, lebih teruk daripada mereka.

 

قالَ لِكُلٍّ ضِعفٌ وَلٰكِن لّا تَعلَمونَ

Allah berfirman: “Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui”.

Allah ‎ﷻ berfirman yang setiap daripada mereka akan mendapat bahagian masing-masing. Mereka sahaja yang tidak mengetahui. Tidak perlu beritahu Allah ‎ﷻ siapa yang salah dan siapa yang tidak. Allah ‎ﷻ lagi tahu bagaimana untuk memberi azab. Setiap orang akan mendapat apa yang mereka layak, tidak lebih dan tidak kurang.

Yang mula-mula buat dan yang ikut pun akan mendapat gandaan. Bagaimana gandaan itu, tahulah Allah ‎ﷻ bagaimana hendak nilaikan. Kita tidak tahu bagaimana Allah ‎ﷻ tentukan. Kenapa pula yang mengikut pun akan mendapat gandaan? Kerana mereka mengikut sahaja ajaran tok guru yang sesat itu dengan sangkaan yang tok guru itu adalah benar (“Ramai ikut ni…. agaknya betullah apa aku ajar ni kot….”). Sekiranya tok guru sesat itu tidak ada pengikut, adakah dia akan terus mengajar?

Tidakkah mereka tahu yang apabila golongan baru mengamalkan ajaran salah yang diambil daripada golongan sebelum mereka, mereka sudah menambah dosa kepada golongan yang mengajar ajaran salah itu? Kita kena ingat yang kalau kita ada ajar ajaran salah kepada orang, apabila orang itu mengamalkan ajaran salah itu, kita pun akan mendapat dosa.

Inilah bahayanya kalau buat amalan yang salah. Tambah teruk lagi kalau ajar kepada orang lain. Sudahlah kena tanggung dosa amalan salah sendiri, kena tanggung dosa daripada orang yang mengamalkan ajaran salah kita pula.

Sekarang kita mahu bertanya kepada orang yang membuat amalan bid’ah itu, berbaloikah segala amalan bid’ah mereka itu? Tidak takutkah mereka menanggung dosa amalan itu? Kemudian diajar pula kepada anak-anak, kepada anak murid? Fikirkanlah sikit apa yang akan terjadi di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Sep 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

 

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s