A’raf Ayat 39:
وَقالَت أولىٰهُم لِأُخرىٰهُم فَما كانَ لَكُم عَلَينا مِن فَضلٍ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكسِبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the first of them will say to the last of them, “Then you had not any favor over us, so taste the punishment for what you used to earn.”
MALAY
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): “Tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami”. (Allah berfirman): “Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan”.
وَقالَت أولىٰهُم لِأُخرىٰهُم فَما كانَ لَكُم عَلَينا مِن فَضلٍ
Dan berkatalah golongan pertama di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): “Tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami”.
Pembesar atau golongan yang awal (tok nenek) akan berkata kepada pengikut mereka: “Tidak ada kelebihan kamu atas kami untuk meringankan azab kamu, atau nak melebihkan azab atas kami. Sebab kamu pun buat dosa juga. Kamu tidak kurang salahnya daripada kami. Sebab kamu ikutlah yang menyebabkan kami ni sangka kami benar dulu. Kamu sekarang pun sudah masuk neraka sama-sama dengan kami.”
فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكسِبونَ
“Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan”.
Kemudian Allah ﷻ membalas: Kamu semua, sama ada pengikut atau pembesar, yang awal atau yang akhir, yang sudah masuk dalam neraka, rasakan azab yang kamu akan terima ini disebabkan oleh dosa yang kamu sendiri telah lakukan. Jangan sekarang hendak salahkan orang lain pula.
Habis Ruku’ 4 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.
A’raf Ayat 40: Ayat takhwif ukhrawi
إِنَّ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَاستَكبَروا عَنها لا تُفَتَّحُ لَهُم أَبوٰبُ السَّماءِ وَلا يَدخُلونَ الجَنَّةَ حَتّىٰ يَلِجَ الجَمَلُ في سَمِّ الخِياطِ ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُجرِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who deny Our verses and are arrogant toward them – the gates of Heaven will not be opened for them, nor will they enter Paradise until a camel enters into the eye of a needle [i.e., never]. And thus do We recompense the criminals.
MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan yang sombong (merasa dirinya lebih) untuk mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.
إِنَّ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami
Yang dimaksudkan dengan kalimah كَذَّبوا adalah mendustakan ayat-ayat akidah. Mereka tidak mahu menerima ayat-ayat wahyu yang memperkatakan tentang akidah itu. Mereka tolak mentah-mentah apabila ia disampaikan kepada mereka.
Semasa mereka tolak itu pun mereka tidak beri dalil untuk melawannya. Mereka tolak begitu sahaja. Malah mereka berkata orang yang membawakan dalil wahyu itu pula sebagai pendusta.
وَاستَكبَروا عَنها
dan yang sombong untuk mematuhinya,
Lafaz استَكبَروا (sombong) dalam ayat ini bermaksud mereka menolak untuk melakukan amal yang telah disampaikan dalam wahyu. Mereka berasa mereka lebih tinggi dan tidak perlu untuk mengamalkannya. Mereka juga berasa mereka lebih baik dan lebih faham daripada orang yang menyampaikan.
Apakah kesan kepada mereka?
لا تُفَتَّحُ لَهُم أَبوٰبُ السَّماءِ
tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit
Untuk mereka yang ada dua sifat di atas, tidak akan dibukakan pintu langit untuk mereka. Roh mereka tidak layak untuk naik tinggi. Roh ahli neraka hanya layak duduk di sijjin, iaitu di bawah perut bumi. Roh mereka tidak boleh naik ke langit kerana langit bukanlah tempat mereka dan mereka tidak layak duduk di situ.
Mereka hanya layak duduk di bawah bumi lapis ketujuh sahaja. Mereka tidak boleh menerobos pintu untuk naik ke atas itu. Jika roh mereka mahu naik, ia akan dilemparkan ke bawah.
Ada juga yang berpendapat, yang dimaksudkan tidak naik adalah doa untuk mereka. Juga ada yang mengatakan amal mereka pun tidak dapat naik dan menunggu mereka di akhirat. Namun pendapat yang lebih kuat adalah roh yang tidak dapat naik. Pendapat ini diperkuat oleh hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir:
Telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib. telah menceritakan kepada kami Abu Bakar ibnu Ayyasy, daripada Al-A’masy, daripada Al-Minhal (iaitu Ibnu Amr), daripada Zazan, daripada Al-Barra, bahawa Rasulullah ﷺ pernah menceritakan perihal pencabutan nyawa orang yang ahli maksiat. Lalu rohnya dibawa naik ke langit, dan mereka (para malaikat) yang membawanya tidak sekali-kali melewati segolongan malaikat, melainkan mereka yang dijumpai mengatakan, “Siapakah yang rohnya seburuk itu?” Maka para malaikat yang membawanya menjawab, “Rohnya si Jahat anu,” dengan menyebut nama jolokannya yang paling buruk ketika di dunia. Setelah mereka sampai di pintu langit dengan roh tersebut, mereka minta izin untuk dibukakan pintu bagi roh itu. Tetapi ternyata roh itu tidak diizinkan masuk, pintu langit tidak dibukakan untuknya. Kemudian Rasulullah ﷺ membacakan firman-Nya: sekali-kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit. (Al-A’raf: 40), hingga akhir ayat.
Demikianlah menurut riwayat Ibnu Jarir; dan hadith ini merupakan sebahagian daripada hadith aslinya yang cukup panjang, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Majah melalui berbagai jalur daripada Al-Minhal ibnu Amr dengan sanad yang sama.
وَلا يَدخُلونَ الجَنَّةَ حَتّىٰ يَلِجَ الجَمَلُ في سَمِّ
dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum
Mereka tidak akan dapat masuk syurga, sehinggalah unta boleh masuk lubang jarum. Dan itu adalah mustahil sama sekali kerana lubang jarum amat kecil dan unta adalah amat besar. Maka dapatlah difahami di sini, ini adalah perumpamaan untuk menunjukkan bahawa mereka tidak akan dapat masuk syurga langsung.
Inilah yang kita patut takutkan sangat-sangat: tidak dapat masuk syurga. Akan tetapi kita di dunia takut apa? Selalunya kalau tidak dapat manusia universiti, takut; tidak dapat keluar negeri kerana Covid pun resah. Sepatutnya yang kita patut takut adalah tidak dapat masuk syurga, bukan?
وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُجرِمينَ
dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.
Lafaz المُجرِمينَ adalah mereka yang berdosa dan dalam ayat ini, maksudnya musyrikin, tidak menerima dan mengamalkan akidah tauhid. Inilah balasan bagi mereka.
A’raf Ayat 41: Takhwif Ukhrawi
لَهُم مِّن جَهَنَّمَ مِهادٌ وَمِن فَوقِهِم غَواشٍ ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي الظّٰلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They will have from Hell a bed and over them coverings [of fire]. And thus do We recompense the wrongdoers.
MALAY
Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).
لَهُم مِّن جَهَنَّمَ مِهادٌ
Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan daripada api neraka,
Mereka akan mendapat alas tidur diperbuat daripada api neraka. Ini adalah kerana kalimah مِهادٌ asal sebenarnya bermaksud pelukan dan dukungan seorang ibu, tempat yang seorang bayi akan rasa paling selesa. Walau bagaimanapun di sini Allah ﷻ gunakan lafaz itu sebagai satu sindiran kerana alas daripada api neraka sudah pasti tidak akan memberikan keselesaan. Api neraka jahanam yang akan memeluk, merangkul dan tidak akan melepaskan mereka.
وَمِن فَوقِهِم غَواشٍ
dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup
Dan yang menutup mereka di atas pun adalah api neraka. Kalimah غَواشٍ boleh juga digunakan untuk selimut. Tilamnya api dan selimutnya api juga. Maknanya atas dan bawah adalah daripada api neraka yang panasnya berjuta kali lebih panas daripada api dunia. Dan dalam ayat lain, disebut yang sekeliling mereka adalah api neraka. Berlapis-lapis api neraka akan meliputi mereka.
Maknanya api yang panas akan sentiasa bersama mereka. Sudahlah pakaian tidak ada, kena api pula. Kita kalau panas sikit tidak ada aircond pun sudah terasa bahang sangat, tidak boleh tidur, cuba bayangkan keadaan api di neraka!
وَكَذٰلِكَ نَجزِي الظّٰلِمينَ
dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim
Begitulah balasan yang patut diberikan kepada mereka. Allah ﷻ tidak zalim – apa-apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada mereka adalah patut belaka, kerana kesalahan yang telah mereka lakukan semasa di dunia. Maksud orang zalim di sini juga adalah musyrikin.
A’raf Ayat 42: Ayat Tabshir Ukhrawi
وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لا نُكَلِّفُ نَفسًا إِلّا وُسعَها أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But those who believed and did righteous deeds – We charge no soul except [within] its capacity. Those are the companions of Paradise; they will abide therein eternally.
MALAY
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh – (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, – merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.
وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh
Ayat sebelum ini tentang mereka yang ingkar dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Sekarang tentang mereka yang beriman, iaitu beriman sempurna, tidak melakukan syirik.
Sementara itu, beramal soleh pula mestilah dengan amalan yang sunnah, bukan amalan yang bid’ah. Amalan bid’ah tidak ada pahala kerana tidak dijanjikan pahala oleh Allah ﷻ. Walau bagaimana ikhlas pun amalan itu dilakukan, ia mestilah mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.
Amalan soleh ini kita buat setakat yang kita mampu sahaja. Allah ﷻ juga menggunakan kalimah الصّٰلِحٰتِ yang bermaksud banyak, tetapi tidaklah terlalu banyak. Yang penting adalah istiqamah.
Memang selalu digandingkan iman dengan amal soleh kerana iman tanpa amal adalah cakap kosong sahaja. Iman perlu dizahirkan. Jangan kata beriman, tetapi arahan Allah ﷻ tidak pula diikuti. Seperti orang yang mengaku dirinya Muslim, tetapi auratnya tidak pula dijaga dan diambil berat.
Begitu juga amal tanpa iman pun sia-sia kerana tidak ada pahala. Ini seperti golongan munafik yang salat di belakang Rasulullah ﷺ tetapi tidak beriman. Sia-sia sahaja amal ibadah mereka. Tidak diterima langsung ibadah mereka kerana mereka sebut iman dengan mulut sahaja namun tidak di hati.
لا نُكَلِّفُ نَفسًا إِلّا وُسعَها
Kami tidak memberati diri seseorang melainkan sekadar yang terdaya olehnya,
Allah ﷻ tidak membebankan mana-mana jiwa untuk beramal melainkan semampunya. Sebagai contoh, lihatlah tentang salat, kalau seseorang itu sakit, dia boleh salat sekadar yang dia boleh, sama ada duduk atau berbaring. Kelegaan ini dinamakan rukhsah.
Begitu juga, dalam keadaan tertentu, walaupun sesuatu perkara itu ada yang haram, namun sekiranya terperangkap dalam keadaan darurat, maka yang haram itu dibolehkan. Sebagai contoh, dalam keadaan darurat dan tidak ada makanan lain, dan jika tidak makan boleh mengakibatkan kematian, maka makanan yang diharamkan seperti babi dibolehkan untuk memakannya.
Juga, ayat ini bermaksud tidak ada hukum yang Allah ﷻ telah berikan kepada manusia itu yang menjadi beban. Segala hukum yang Allah ﷻ berikan, seorang hamba itu memang boleh buat. Allah ﷻ tidak suruh kita buat perkara yang tidak mampu dilakukan oleh manusia. Kita boleh lakukan semampu kita. Jika mampu buat sedikit, maka buatlah sedikit sahaja. Bila sudah mampu, boleh buat amalan yang lebih lagi.
أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ
merekalah ahli Syurga,
Mereka yang menyempurnakan iman dan melakukan amal yang soleh, mereka akan menjadi pemilik geran syurga.
هُم فيها خٰلِدونَ
mereka kekal di dalamnya.
Mereka bukan duduk sekejap sahaja dalam syurga kerana kalau duduk sekejap sahaja, itu bukanlah nikmat yang sebenar. Oleh itu, mereka dijanjikan yang mereka akan kekal dalam syurga. Sesiapa yang masuk syurga, tidak akan keluar sampai bila-bila.
A’raf Ayat 43:
وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِّن غِلٍّ تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهٰرُ ۖ وَقالُوا الحَمدُ لِلَّهِ الَّذي هَدىٰنا لِهٰذا وَما كُنّا لِنَهتَدِيَ لَولا أَن هَدىٰنَا اللَّهُ ۖ لَقَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ ۖ وَنودوا أَن تِلكُمُ الجَنَّةُ أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We will have removed whatever is within their breasts of resentment,¹ [while] flowing beneath them are rivers. And they will say, “Praise to Allāh, who has guided us to this; and we would never have been guided if Allāh had not guided us. Certainly the messengers of our Lord had come with the truth.” And they will be called, “This is Paradise, which you have been made to inherit for what you used to do.”
- i.e., ill will or sense of injury for what was inflicted upon them during worldly life.
MALAY
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji yang khas bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.
وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِّن غِلٍّ
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka,
Allah ﷻ akan mencabut daripada hati mereka (bersihkan) segala perasaan hasad dengki yang memudarkan kehidupan di dunia dulu. Perasaan ini tidak boleh ada di dalam syurga kerana akan mengurangkan nikmat syurga, bukan?
Kalimah نزع bermaksud perbuatan mencabut hingga ke akar umbi. Maksudnya cabut habis. Kalimah ini juga digunakan oleh kita apabila kita kata seseorang itu dalam keadaan nazak. Maknanya dia sedang ditarik nyawanya oleh malaikat maut.
Perasaan ini dinamakan غِلٍّ iaitu perasaan tidak enak dalam hati kerana tidak selesai sesuatu perkara. Mereka tidak ada perasaan yang tidak elok. Ini kerana hidup dari segi fizikal senang, tetapi sekiranya dalam hati ada perasaan dengki, atau apa-apa sahaja perasaan yang tidak molek seperti sedih, geram, tidak puas hati dan sebagainya, itu maknanya tidak senang juga sebenarnya.
Lafaz غِلٍّ bermaksud perasaan hasad dengki yang rahsia terhadap seseorang. Ini termasuk perasaan benci terhadap seseorang. Kadang-kadang kalau kita benci sangat kepada seseorang, atau kita marah kepada seseorang, perasaan itu akan bermain-main dalam hati dan perasaan kita, yang menyebabkan kita tidak senang duduk dan hati tidak tenteram, bukan? Perasaan itu tidak ada di syurga nanti. Allah ﷻ akan hilangkan.
As-Saddi mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka; mengalir di bawah mereka sungai-sungai. (Al-A’raf: 43), hingga akhir ayat. Sesungguhnya ahli syurga itu apabila digiring masuk ke syurga, maka mereka menjumpai di dekat pintu syurga sebuah pohon yang pada akarnya terdapat dua mata air. Kemudian mereka minum dari salah satunya, maka tercabutlah (terhapuslah) daripada dada mereka semua dendam kesumat yang ada; minuman tersebut dinamakan ‘minuman kesucian’. Kemudian mereka mandi daripada mata air yang lainnya, maka mengalirlah ke dalam tubuh mereka kesegaran yang penuh dengan kenikmatan, sehingga diri mereka tidak awut-awutan dan tidak pucat lagi untuk selama-lamanya.
Satu pendapat mengatakan tempat ini adalah Qantharah. Di sinilah yang akan diselesaikan dendam kesumat antara sesama manusia sampai hilang perasaan tidak puas hati itu kerana telah diselesaikan. Mungkin ramai tidak pernah dengar tentang hal ini. Rasulullah ﷺ bersabda,
خْلُصُ الْمُؤْمِنُونَ مِنَ النَّارِ فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ فَيُقَصُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ مَظَالِمُ كَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الْجَنَّةِ، فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَأَحَدُهُمْ أَهْدَى بِمَنْزِلِهِ فِي الْجَنَّةِ مِنْهُ بِمَنْزِلِهِ كَانَ فِي الدُّنْيَا
“Orang-orang beriman yang telah selamat dari api neraka (telah melewati shirath/jambatan yang ada di atas punggung neraka, pent) akan tertahan di Qantharah (sebuah tempat di antara syurga dan neraka). Kemudian ditegakkanlah qisas terhadap sebahagian mereka akibat kezaliman yang terjadi di antara mereka di dunia. Setelah dibersihkan dan dibebaskan (dari kezaliman), barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh salah seorang di antara mereka lebih faham terhadap tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia.”
(Hadith Riwayat Al-Bukhari)
Juga disebutkan dalam beberapa kitab-kitab aqidah, salah satunya adalah Al-Aqidah Al-Wasithiyah karya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah رحمه الله, beliau berkata,
فمن مر على الصراط دخل الجنة. فإذا عبروا عليه وقفوا على قنطرة بين الجنة والنار فيقتص لبعضهم من بعض. فإذا هذبوا ونقوا أذن لهم دخول الجنة
“Barangsiapa yang melewati shirath akan masuk syurga. Jika mereka melewatinya, mereka akan berhenti di Qantharah antara syurga dan neraka. Maka mereka saling qisas satu sama lainnya. Jika mereka setelah dibersihkan dan dibebaskan (daripada kezaliman), barulah mereka diizinkan masuk syurga.”
Oleh itu, akan berjumpalah orang-orang yang tidak berpuas hati sesama sendiri. Kena bayar dendalah. Akan tetapi di sana bukan ada duit, maka yang digunakan sebagai barang tukaran adalah pahala dan dosa. Yang buat salah kena beri pahala dia kepada yang dizalimi dan kalau habis pahalanya, maka dia kena ambil dosa orang yang dizalimi itu.
Akan tetapi mungkin tidak semua perlu melalui perkara ini kerana ada pendapat yang mengatakan perasaan ghil itu boleh dihilangkan dengan ‘minuman kesucian’ sahaja. Bila minum sahaja, hilanglah perasaan tidak enak itu.
Di manakah Qantharah ini? Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin رحمه الله berkata,
واختلف العلماء في هذه القنطرة؛ هل هي طرف الجسر الذي على متن جهنم أو هي جسر مستقل؟! والصواب في هذا أ نقول : الله أعلم، وليس يعنينا شأنها، لكن الذي يعنينا أن الناس يوقفون عليها
“Ulama’ berselisih mengenai Qantharah, apakah ia merupakan hujung dari jambatan (shirath) yang berada di atas punggung Jahannam atau jambatan yang berdiri sendiri. Yang benar mengenai hal ini, kita katakan: “Allahu a’lam, Allah lebih mengetahui, tidak pasti perkaranya akan tetapi yang pasti manusia akan berhenti di sana.”
Oleh itu, di syurga nanti tidak ada perasaan غِلٍّ itu kerana ia sesuatu yang memang tidak menyenangkan. Maka di dunia ini juga kita sedaya upaya cuba untuk menghilangkannya. Kita kenalah berbaik dengan sesama Muslim. Akan tetapi kita memerlukan juga pertolongan Allah ﷻ kerana kita sendiri tidak mampu untuk menghilangkannya sendiri. Sebab itu Allah ﷻ ajar kita doa untuk menghilangkannya di dalam [ Hashr: 10 ]
وَلا تَجعَل في قُلوبِنا غِلًّا لِلَّذينَ آمَنوا
dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman
Semoga kita jangan ada dengki dan hasad sesama kita kerana ia hanya memakan diri kita sahaja. Tidak dapat dinafikan perasaan ini memang susah hendak dihilangkan. Kadangkala orang pandang kita lain macam, kita sudah terasa; orang marah kita, kita terasa. Ini kerana kita senang terkesan dengan perkataan manusia. Begitu juga, kalau orang lain dapat rezeki lebih pun kita terasa; orang lain naik pangkat, kita terasa; orang dapat anak pun hendak terasa juga…. macam-macam. Inilah antara punca manusia tidak bahagia di dunia.
Kita lupa yang semua itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ. Kita lupa yang hidup ini memang ujian yang kadangkala kita kena berhadapan dengan orang yang toksik sifat mereka. Kadang kita pun lupa yang kita sendiri yang ada masalah menyebabkan orang marah kita, tidak sukakan kita. Kita hendak orang layan kita macam kita raja, tetapi kita sedarkah siapa kita ini?
Kenapalah kita hendak layan perasaan tidak baik ini? Adakah apa-apa kelebihan kepada kita kalau kita ghil, dengki, hasad dengan orang lain? Tidak ada, bukan? Buat sakit hati kita sahaja. Kalau tidak ada perasaan itu semua, bukankah tenang-tenang sahaja hari-hari kita? Oleh itu, cubalah hilangkan perasaan itu, jangan tunggu di akhirat sahaja. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah رحمه الله, berkata, “Sesungguhnya di dunia terdapat syurga yang seperti (merupakan representasi) syurga akhirat. Barangsiapa yang memasuki syurga dunia itu maka dia kelak akan memasuki syurga akhirat, dan barangsiapa yang tidak memasuki syurga dunia tersebut nescaya dia tidak akan memasuki syurga akhirat.” [Ad-Dā` wad Dawā`, hal. 186; dan Madārij as-Sālikīn vol. I, hal. 454]
تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهٰرُ
yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing,
Syurga tidak dapat digambarkan kerana tidak ada perumpamaan sepertinya di dunia. Namun begitu Allah ﷻ beri sedikit isyarat dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Antara yang Allah ﷻ selalu beritahu adalah di setiap rumah tempat tinggal ahli syurga, akan mengalir sungai.
Ini adalah sebagai gambaran betapa indah dan mewahnya tempat tinggal di syurga nanti. Untuk memberi semangat kepada manusia untuk mendambakannya. Kebanyakan manusia memang suka dengan air. Kalau zaman sekarang pun, rumah atau hotel yang ada air di bawahnya, memang tempat yang mahal untuk diduduki.
Apakah pula perasaan mereka nanti?
وَقالُوا الحَمدُ لِلَّهِ الَّذي هَدىٰنا لِهٰذا
dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji yang khas bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini,
Perasaan mereka amat gembira dengan mereka sebut alhamdulillah. Sebutan alhamdulillah mereka itu tidaklah sama dengan sebutan alhamdulillah kita di dunia. Mereka akan sebut dengan satu perasaan yang tidak dapat digambarkan kerana suka sangat yang tidak kita alami semasa di dunia ini. Sebagai contoh, kalau kita hampir dilanggar kereta, tetapi kita telah selamat, sebutan alhamdulillah kita pun lain macam, bukan?
Mereka berasa amat bersyukur kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻlah yang memimpin (beri hidayah) mereka untuk masuk syurga itu. Hidayah itu ada dua jenis: hidayah ilmu dan hidayah amal (taufiq). Ada orang cuma dapat hidayah ilmu sahaja, semua benda dia sudah tahu. Akan tetapi dia tidak mendapat hidayah taufiq itu. Maka dia tidak amalkan. Taufiq adalah kekuatan untuk mengamalkan apa yang kita sudah tahu. Berapa ramai yang tahu tetapi tidak mengamalkan, bukan?
Yang dimaksudkan لِهٰذا itu adalah segala apa yang mereka telah dapati. Bukan hanya keindahan fizikal tetapi emosi sekali. Bayangkan, kita bukan dapat tempat tinggal yang baik, tetapi perasaan kita pun tenteram, tenang dan sedap. Segala perasaan buruk dihilangkan. Allah ﷻlah yang beri taufiq supaya mereka dapat sampai ke syurga.
Sesungguhnya interpretasi demikian berdasarkan apa yang disebutkan di dalam kitab Sahihain, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“وَاعْلَمُوا أَنَّ أَحَدَكُمْ لَنْ يُدْخِلَهُ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ”. قَالُوا: وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “وَلَا أَنَا، إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي الله برحمة منه وفضل”
Ketahuilah oleh kalian bahawa seseorang di antara kalian tidak dapat masuk syurga kerana amal perbuatannya. Mereka (para sahabat) bertanya, “Tidak juga engkau, wahai Rasulullah?” Rasulullah ﷺ bersabda: Begitu juga saya, terkecuali bila Allah ﷻ melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepada saya.
(HR. Muslim (2816))
وَما كُنّا لِنَهتَدِيَ لَولا أَن هَدىٰنَا اللَّهُ
padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami
Mereka mengaku yang mereka tidak akan temui jalan ke syurga kalau Allah ﷻ tidak pimpin mereka. Memang kita tidak dapat masuk syurga hanya dengan ikhtiar kita. Tidak mampu kita hendak membalas segala nikmat yang Allah ﷻ telah berikan dengan kita buat amal ibadat sepanjang hidup kita.
Namun begitu, dengan ikhtiar kita itu, Allah ﷻ memberikan rahmat-Nya yang amat besar sampai kita dapat masuk syurga. Kalau sudah dapat masuk syurga, itu adalah rahmat yang amat besar. Oleh itu, jangan kita rasa kita hebat, kita akan dapat masuk syurga kerana kelebihan kita, kerana usaha kita, kerana kealiman kita dan sebagainya. Buanglah segala perasaan itu daripada diri kita. Ini mengajar kita yang hidayah itu milik Allah ﷻ. Kalau bukan Allah ﷻ yang memimpin kita, kita tidak akan menjadi baik. Oleh itu, kenalah doa kepada Allah ﷻ supaya diberikan sifat ahli syurga kepada kita.
لَقَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ
sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”.
Salah satu cara Allah ﷻ bantu kita untuk masuk syurga adalah diberikan kepada kita, rasul-rasul dan penyebar tauhid yang memperkenalkan Allah ﷻ kepada kita. Mengajar kita tentang agama, tentang segala kebaikan yang patut kita lakukan. Kita tidak dapat berkomunikasi terus dengan Allah ﷻ, maka merekalah yang telah menyampaikan ajaran daripada Allahﷻ . Itu juga rahmat daripada Allah ﷻ.
وَنودوا أَن تِلكُمُ الجَنَّةُ أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.
Ahli syurga akan diseru, dipersilakan masuk oleh malaikat. Mereka kata, itulah dia syurga yang mereka pusakai daripada Nabi Adam عليه السلام kerana baginda dulu yang tinggal dalam syurga. Sekarang, mereka ambil semula tempat tinggal itu. Ini merupakan satu pendapat.
Satu lagi pendapat mengatakan kita mewarisi syurga itu daripada tuannya yang asal. Setiap manusia sebenarnya sudah ada tempat di dalam syurga. Apabila dia tidak masuk syurga, maka tempatnya diberikan kepada orang yang masuk syurga. Maka, ahli syurga itu bukan sahaja mendapat syurganya, tetapi syurga orang lain juga. Bagaimana kita tahu setiap orang telah ada tempatnya di dalam syurga? Lihat hadith ini:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لاَ يَدْخُلُ أَحَدٌ الجَنَّةَ إِلَّا أُرِيَ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ لَوْ أَسَاءَ، لِيَزْدَادَ شُكْرًا، وَلاَ يَدْخُلُ النَّارَ أَحَدٌ إِلَّا أُرِيَ مَقْعَدَهُ مِنَ الجَنَّةِ لَوْ أَحْسَنَ، لِيَكُونَ عَلَيْهِ حَسْرَةً». [صحيح] – [رواه البخاري]
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda, “Seseorang tidak akan masuk ke dalam syurga sehingga diperlihatkan kepadanya tempat duduknya di neraka, agar kalau dia berbuat buruk dapat menambah rasa syukurnya. Dan seseorang tidak akan masuk neraka sehingga diperlihatkan kepadanya tempat duduknya di syurga, agar kalau dia berbuat baik menjadi satu kerugian baginya.
(Sahih Bukhari (6084))
Cuma kenapakah digunakan kalimah kata-tunjuk تلكم (daripada تلك) yang memberi isyarat ia jauh? Satu pendapat mengatakan kerana belum masuk lagi syurga itu, baru ditunjukkan sahaja.
Satu lagi pendapat adalah kerana kalimah تلك digunakan untuk memberi isyarat kepada ketinggian sesuatu perkara itu. Ini sepertimana digunakan dalam Al- Baqarah: 2 yang menggunakan kalimah ذلك (juga bermaksud ‘itu’) untuk Al-Qur’an sebagai isyarat kepada ketinggian Al-Qur’an. Walaupun Al-Qur’an itu di depan mata kita, tetapi tetap digunakan kaliamah ذلك.
ذٰلِكَ الكِتٰبُ
Kitab Al-Qur’an ‘ini’
Malaikat kata mereka masuk dengan sebab amal mereka semasa di dunia dulu. Segala ikhtiar dan pengorbanan mereka sekarang dibalas oleh Allah ﷻ dengan syurga. Ini kita kena berikan penjelasan sedikit. Sebelum ini kita telah diberitahu yang kita tidak akan dapat masuk syurga atas perbuatan kita sendiri. Kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ, bukan? Namun kenapa pula dalam potongan ayat ini, disebut dapat masuk syurga kerana apa yang kita kerjakan di dunia dulu?
Kita tidak boleh kata yang amalan kita cukup untuk masuk syurga kerana memang tidak akan pernah cukup. Tetapi Allah ﷻ boleh tetapkan apakah pulangan yang dia mahu daripada kita. Kalau Dia kata segala amalan yang buat di dunia itu cukup untuk memasukkan kita ke dalam syurga, maka itu adalah hak Allah ﷻ. Namun begitu, ia bukanlah hak kita untuk mengatakan yang amalan kita cukup.
Sebagai perumpamaan: Katakanlah kita hendak membeli kereta. Kita ada wang beberapa ratus ringgit sahaja. Kita sendiri tahu yang wang sebanyak itu tidak cukup untuk beli kereta. Namun begitu jika penjual itu kata wang sebanyak itu sudah cukup, bolehlah dia kata begitu kerana kereta itu dia yang punya dan dia boleh buat pilihan sama ada mahu berikan kereta itu kepada kita ataupun tidak.
Begitu juga dengan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh sahaja tetapkan yang amalan kita itu cukup untuk kita masuk syurga, tetapi kita sendiri tidak boleh kata yang amalan kita sudah cukup untuk memasukkan kita ke dalam syurga.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 9 Sep 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Maariful Qur’an