Tafsir Surah Qiyama Ayat 12 – 19 (Jangan kelam kabut belajar)

Ayat 12:

إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمُسْتَقَرُّ

Sahih International

To your Lord, that Day, is the [place of] permanence.

Malay

Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja tempat kembali.

 

Kita akan hanya pergi kepada Tuhan. Tidak ada tempat lain lagi. Tidak ada keselamatan kepada mereka pada hari berkenaan. Ini boleh dilihat dalam ayat Shura:47

اسْتَجِيبُوا لِرَبِّكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ يَوْمٌ لَّا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللَّهِ مَا لَكُم مِّن مَّلْجَإٍ يَوْمَئِذٍ وَمَا لَكُم مِّن نَّكِيرٍ

Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azabNya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan).

Maka hendaklah kita bersedia untuk hari itu. Jangan leka sangat dengan dunia ini. Belajarlah apa yang perlu kita tahu terutama sekali tentang Tauhid. Jangan buat amal sahaja, tapi tidak ada ilmu. Kerana apabila tidak ada ilmu, kita mungkin buat perkara yang salah. Apabila buat perkara yang salah, ianya akan menjadi dosa kepada kita.

Mahukah kita mengadap Allah dengan dosa-dosa amalan yang salah? Kita sangka kita sudah banyak amalan, tapi rupanya amalan bidaah yang tidak ada nilai – Selawat Syifa’, Qasidah dan sebagainya – itu bukan bagi pahala, tapi mengundang dosa sahaja!

Nota: Ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.


 

Ayat 13:

يُنَبَّأُ الْإِنسَانُ يَوْمَئِذٍ بِمَا قَدَّمَ وَأَخَّرَ

Sahih International

Man will be informed that Day of what he sent ahead and kept back.

Malay

Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang dia telah lakukan, dan apa yang dia telah tinggalkan.

 

Semua amalan manusia akan diberitahu. Yang lama dan terkini, semua akan dipaparkan kepada orang itu. Tidak kira sama ada ia perbuatan yang kecil atau besar. Setiap lafaz dan setiap langkah akan diulang semula. Ini seperti yang Allah sebut dalam Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

Jadi kita kena lihat apa kita lakukan. Berhati-hati dengan amalan kita. Kerana ianya akan dibentangkan kembali dan akan dinilai. Buat apa buat amalan yang tidak pasti benar atau tidak, sedangkan banyak lagi amalan-amalan yang pasti benar?

Ada beberapa pendapat tentang maksud perkataan قَدَّمَ وَأَخَّرَ:

1. Ada amalan yang kita buat dan amalan yang kita tinggalkan. Kita ada amalan yang kita buat, tapi ada banyak lagi amalan yang kita tinggalkan. Sama ada yang wajib dan sunat. Begitu juga, ada manusia yang lengahkan melakukan amalan yang baik. Kerana dia rasa dia ada masa banyak lagi nak buat amalan baik itu.

Jadi, mereka tinggalkan dulu buat amalan yang baik sebab mereka rasa mereka ada masa lagi. Bila lapang, baru nak buat; bila sudah tua nanti dan sudah pencen, baru dia kata dia nak buat; atau ada yang bila ada kawan baru nak buat sekali; macam-macam lagi alasan yang manusia guna untuk lengahkan melakukan amalan yang baik.

Kita kena tanya diri kita: Apa yang penting sangat sampai kita lengahkan buat amal kebaikan? Adakah penting sangat nak kena tengok wayang? Adakah penting sangat nak kena pergi ke merata dunia bercuti puas-puas? Adakah pengajian kita di universiti sibuk sangat sampai tidak ada masa nak beramal ibadat? Apakah politik penting sangat sampai siang dan malam dengan manusia sahaja sebab nak berkempen dan tunjuk muka sampai tidak ada masa untuk Allah? Apa yang penting sangat hal dunia ini?

2. Yang kita telah lakukan semasa hidup dan selepas kita mati. Yang dilakukan selepas kita mati atas perbuatan kita dahulu. Maknanya ada pahala yang terus mengalir kepada kita walaupun kita sudah mati. Kita yang mulakan dan diikuti oleh orang selepas kita.

Ada hadis bagaimana sesiapa yang memulakan perkara yang baik. Akan dapat pahala kalau disambung oleh orang lain. Hadith yang dimaksudkan ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.

Syarah: Hadis ini banyak sekali yang salah faham. Mereka sangka, inilah bidaah hasanah. Mereka sangka, kalau mereka reka amalan yang mereka ‘sangka’ baik, dan ianya diikuti oleh orang selepasnya, mereka akan dapat pahala. Ini adalah salah faham yang amat besar sekali, kerana tidak belajar dan tidak faham apakah maksud ‘sunnah yang baik’ yang disebut dalam hadis ini.

Untuk memendekkan tulisan ini, anda boleh rujuk di sini untuk pemahaman hadis ini. Semoga tidak lagi digunakan hadis ini sebagai hujah kepada ‘bidaah hasanah’. Dan kepada mereka yang baru dalam sunnah, harap boleh faham maksud hadis ini dan tidak keliru lagi tentangnya. Anda sudah boleh jawab kepada orang lain kalau mereka menggunakan hadis ini sebagai hujah.

Maka, buatlah sesuatu kebaikan yang boleh diambil oleh orang lain apabila kita sudah tiada. Sebab itulah saya berharap tulisan ini akan menjadi saham pahala buat saya selepas saya tiada. Apa yang anda boleh lakukan? Cari jalan bagaimana kita boleh meninggalkan sesuatu yang baik selepas kita tiada. Tapi pastikan yang ianya adalah sesuatu yang benar-benar baik.

Dalam pada itu, hendaklah kita ingat, bukan perkara yang baik sahaja yang akan memberi saham kepada kita, tetapi yang buruk pun. Kalau kita ajar anak-anak kita, pelajar-pelajar kita dengan perkara yang salah, dan mereka meneruskan amalan salah itu, kita pun akan dapat ‘saham’ buruk dari amalan mereka itu. Jadi, berhati-hati dengan apa yang kita ajar kepada orang lain.

3. Ada juga yang mengatakan maksud ayat ini adalah amalnya yang awal dan amalnya yang terakhir sekali. Maknanya, semua amalannya akan diambil kira. Amalan masa muda dan amalan semasa tua. Malangnya orang kita semasa muda malas nak beramal, mereka lewatkan dan baru nak buat bila sudah tua. Tapi bukankah susah kalau kita nak buat amal yang banyak apabila sudah tua?

Maka jangan kita berlengah dalam melakukan amal kebaikan. Takut nanti kita menyesal pada hari kiamat nanti.


 

Ayat 14:

بَلِ الْإِنسَانُ عَلَىٰ نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ

Sahih International

Rather, man, against himself, will be a witness,

Malay

Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,

 

‘Melihat’ itu bermaksud menjadi ‘saksi’. Kerana yang menjadi saksi itu bermaksud seorang yang melihat sendiri kejadian yang dibicarakan. Kalau dalam mahkamah, hakim akan pastikan yang saksi itu memang melihat sendiri kejadian yang dibicarakan. Kalau tidak nampak sendiri, maka tak layak nak jadi saksi. Dan setiap insan tentunya akan melihat sendiri perbuatannya semasa di dunia.

Setiap insan akan menjadi saksi terhadap dirinya sendiri. Walaupun dia hendak beri alasan. Maknanya alasan atau penafiannya tidak berguna. Sebab tubuh badannya sendiri akan jadi saksi. Nak tipu macam mana lagi? Allah berfirman dalam Nur:24

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.

Malah kulit akan bercakap jadi saksi. Lihatlah apa yang Allah firman dalam Fussilat 20-21.

حَتَّىٰ إِذَا مَا جَاءُوهَا شَهِدَ عَلَيْهِمْ سَمْعُهُمْ وَأَبْصَارُهُمْ وَجُلُودُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

وَقَالُوا لِجُلُودِهِمْ لِمَ شَهِدتُّمْ عَلَيْنَا قَالُوا أَنطَقَنَا اللَّهُ الَّذِي أَنطَقَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).

Pada hari Perbicaraan itu, manusia akan membaca sendiri buku amalannya seperti yang Allah sebut dalam Isra’:14

اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا

(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”.

Selepas baca sendiri apa yang tertulis tentang amalannya, dia sendiri akan tahu kedudukan dirinya, sama ada ahli syurga atau ahli neraka. Tak payah beritahu pun, orang itu sudah tahu sendiri. Bayangkan seorang pelajar yang melihat buku laporan sekolah dia, dan dia nampak merah sahaja, tentulah dia sudah tahu sama ada dia lulus peperiksaan tahun itu atau tidak, bukan? Aduh, entah apalah yang kita akan baca nanti.


 

Ayat 15:

وَلَوْ أَلْقَىٰ مَعَاذِيرَهُ

Sahih International

Even if he presents his excuses.

Malay

Walaupun dia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).

 

Walaupun dia berdebat untuk membela diri, dia tidak akan berjaya. Kerana tubuhnya sendiri yang menjadi saksi. Tidak diterima alasan-alasannya itu. Atau hujah-hujahnya tidak langsung didengari.

Lihatlah An’am:23 bagaimana mereka cuba berdalih dan menidakkan perbuatan mereka semasa di dunia.

ثُمَّ لَمْ تَكُن فِتْنَتُهُمْ إِلَّا أَن قَالُوا وَاللَّهِ رَبِّنَا مَا كُنَّا مُشْرِكِينَ

Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

 

Juga mereka diceritakan akan cuba berdalih dalam ayat Mujadila:18.

يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ جَمِيعًا فَيَحْلِفُونَ لَهُ كَمَا يَحْلِفُونَ لَكُمْ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ عَلَىٰ شَيْءٍ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْكَاذِبُونَ

(Setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.

Manusia memang ada banyak alasan. Di akhirat, mereka akan cuba berdalih, sebagaimana semasa mereka di dunia pun mereka beri berbagai-bagai alasan. Macam-macam alasan yang diberikan untuk tidak beramal. Sibuk dengan kerja tak siap lagi, kena hantar anak ke sekolah, tempat beribadat tidak ada, tak tahu macam mana nak buat amal, penat, dan macam-macam lagi.

Tapi, dalam masa yang sama, macam-macam hal keduniaan mereka mampu lakukan pula. Kalau tengok filem, berjam-jam pun tidak mengapa. Ada pula masa kalau nak bermain sukan, berjalan-jalan melancong dan sebagainya.

Alasan-alasan yang dilemparkan oleh manusia itu ada tiga jenis:

1. Mereka akan menidakkan perbuatan mereka. Mereka tak mengaku yang mereka pernah buat apa yang dikatakan kepada mereka itu.

2. Mereka beri alasan kenapa mereka melakukan perbuatan itu. Mereka akan beri sebab itu dan ini. Kalau dalam dunia, mereka kata: “ustaz tu pandai agama dan dia buat, takkan dia salah?”. Dan macam-macam lagi alasan batil.

3. Mereka akan minta maaf dan ampun dan berjanji tidak buat lagi.

Ketiga-tiga jenis alasan yang diberikan itu tidak akan diterima. Tidak ada harapan lagi untuk mereka. Alasan mereka sia-sia sahaja nanti. Sepatutnya kena mengaku salah semasa di dunia lagi. Belajarlah dari kisah Nabi Adam a.s. Apabila baginda telah melakukan kesalahan, baginda mengaku dan tidak memberi alasan. Lihatlah apa kata baginda dalam A’raf:23

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.


 

Ayat 16: Ayat 16 – 19 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia adalah pencelahan Ilahi tentang Nabi belajar Al-Qur’an dengan Jibril. Ayat ini dipanggil jenis Jumlah Mu’taridah. Di celah-celah ayat tentang hari kiamat, Allah menyebut tentang penurunan wahyu pula.

Mungkin tidak jelas kaitan ayat ini dengan ayat-ayat sebelum kalau tidak belajar. Kaitannya, sebagaimana Allah mampu nak kumpul semula manusia, Allah mampu untuk memberikan wahyu kepada Nabi. Maka tidak mustahil Allah boleh jadikan Hari Kiamat itu.

Pendapat lain mengatakan ianya masih tentang konsep ‘bersegera’. Musyrikin Mekah bersegera nak buat dosa sedangkan Nabi pun bersegera juga, tapi untuk buat kebaikan.

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ

Sahih International

Move not your tongue with it, [O Muhammad], to hasten with recitation of the Qur’an.

Malay

Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).

 

Ini adalah pengajaran Allah kepada rasulNya tentang penerimaan wahyu. Ayat ini adalah tentang cara terima ilmu dari malaikat.

Nabi nak cepat dapat bacaan Al-Qur’an dan menghafalnya. Kerana baginda takut terlepas atau lupa. Baginda terus hendak menghafal sampaikan mendahului bacaan Jibril. Belum habis dibacakan sesuatu ayat itu kepada baginda, baginda sudah potong sebab nak baca terus dan terus menghafal. Ini adalah kerana baginda rasa berat sekali tanggungjawab baginda untuk mengingati ayat-ayat Al-Qur’an itu. Dan kita kena ingat, waktu itu sudah banyak ayat yang disampaikan kepada baginda, di mana hendak disusun, duduk selepas ayat mana dan macam-macam lagi. Maka baginda sudah rasa terbeban.

Allah ajar Nabi untuk dengar sampai habis dahulu. Jangan cepat nak kejar dan jangan bimbang dan jangan gopoh gapah. Memang molek untuk bersegera dalam melakukan kebaikan, tapi kalau tidak kena caranya, akan jadi tak elok. Jangan sampai kita nak bersegera sampai kita jadi kelam kabut. Perbincangan ini lebih panjang dalam hadis berkenaan penuruhan wahyu.

–   حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ قَالَ حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ أَبِي عَائِشَةَ قَالَ حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ جُبَيْرٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ فِي قَوْلِهِ تَعَالَى ( لا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ ) قَالَ {كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَالِجُ مِنَ التَّنْزِيلِ شِدَّةً وَكَانَ مِمَّا يُحَرِّكُ شَفَتَيْهِ. فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ فَأَنَا أُحَرِّكُهُمَا لَكُمْ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَرِّكُهُمَا وَقَالَ سَعِيدٌ أَنَا أُحَرِّكُهُمَا كَمَا رَأَيْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ يُحَرِّكُهُمَا فَحَرَّكَ شَفَتَيْهِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى ( لا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ) قَالَ جَمْعُهُ لَكَ فِي صَدْرِكَ وَتَقْرَأَهُ ( فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ ) قَالَ فَاسْتَمِعْ لَهُ وَأَنْصِتْ ( ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ ) ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا أَنْ تَقْرَأَهُ فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ ذَلِكَ إِذَا أَتَاهُ جِبْرِيلُ اسْتَمَعَ فَإِذَا انْطَلَقَ جِبْرِيلُ قَرَأَهُ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا قَرَأَهُ

4- Musa bin Ismail telah menceritakan kepada kami: katanya Abu Awanah telah menceritakan kepada kami, katanya  Musa bin Abi `Aisyah telah menceritakan kepada kami, katanya Said bin Jubair telah menceritakan kepada kami dari Ibnu Abbas berhubung dengan Firman Allah: (maksudnya) “Janganlah engkau menggerakkan lidahmu untuk segera membaca al-Qur’an”. Rasulullah mengalami kepayahan kerana turunnya al-Qur’an, baginda sering kali menggerak-gerakkan bibir. Ibnu Abbas berkata: Aku  menggerak-gerakkan bibirku sebagaimana Rasulullah menggerak-gerakkan bibirnya.

Said berkata, “Aku mengerak-gerakkan kedua-duanya (bibirku) sebagaimana Ibnu Abbas menggerak-gerakkannya. Maka beliau menggerak-gerakkan kedua bibirnya. Lalu Allah pun menurunkan: “Janganlah engkau menggerakkan lidah engkau untuk membaca al-Qur’an itu untuk engkau segera mendapatkannya, sesungguhnya kami jamin akan mengumpulkannya dan membacakannya”.

Ibnu `Abbas berkata, “Allah akan mengumpulkannya di dalam dadamu memampukanmu membacanya”. Seterusnya Allah berfirman; “Bila Kami selesai membaca, maka ikutlah membacanya”. Ibnu Abbas berkata:  “(maksudnya) Dengarlah bacaan itu dan diamlah. Firman Allah seterusnya “Dan kewajipan Kami menerangkannya”. Maksudnya: Kami jamin engkau dapat membaca selepasnya. Setelah itu Rasulullah s.a.w apabila didatangi Jibril, Beliau mendengar saja dulu (apa yang dibacakan Jibril) dan apabila Jibril pergi Baginda SAW membacanya seperti yang dibaca oleh Jibril.

Memang kita digalakkan mempercepatkan ibadat. Macam solat, bantu orang lain, bermaaf-maafan dan sebagainya. Tapi kalau solat sebelum waktunya pun tidak boleh, bukan?

Apabila Allah tegur Nabi jangan kelam kabut untuk mengulang bacaan Al-Qur’an  yang disampaikan oleh Jibril, Allah jamin akan bantu baginda dalam tiga perkara:

1. Allah akan kumpulkan Al-Qur’an dalam dada Nabi.
2. Allah akan bantu baginda dalam pembacaan Al-Qur’an itu.
3. Allah akan bantu dalam tafsir dan penjelasan makna ayat-ayat Al-Qur’an itu.

Ayat ini mengajar kita dalam pembelajaran Al-Qur’an juga, bukan hanya kepada Nabi sahaja. Kita kena dengar, hafal, baca balik dan belajar tafsir. Jangan kelam kabut dalam belajar. Jangan nak cepat habis belajar tafsir Al-Qur’an 30 juzuk sampaikan tidak faham langsung.

Dalam Taha:114 Allah sebutkan juga perkara ini.

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰ إِلَيْكَ وَحْيُهُ وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”.

Ayat ini juga mengajar kita tentang adab kita dengan Al-Qur’an: kita kena senyap dan dengar dengan baik. Ini dikuatkan lagi dengan ayat al-A’raf:204

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila dibacakan al-Qur’an, maka hendaklah kamu semua mendengarnya dan diam, mudah-mudahan kamu semua beroleh rahmat.”

Perkataan فَاسْتَمِعُواْ itu bermaksud ‘dengar betul-betul’, bukan dengar biasa sahaja. Kalau dengar dengan baik, kita akan faham dan akan senang untuk ingat. Lagi satu, tidak boleh buat perkara lain semasa dengar ayat Al-Qur’an dibacakan. Macam kita dalam kelas, kalau buat benda lain, tentu kita tak faham apa yang disebut dan tidak ingat.

Sebab Nabi Muhammad kelam kabutlah yang menyebabkan baginda ditegur. Oleh itu, ada ulama’ berpendapat dari dalil ayat ini, tidak boleh kita sengaja pasang ayat Al-Qur’an tanpa mendengarnya dengan teliti. Ramai orang kita yang pasang MP3 bacaan Al-Qur’an dan biarkan sahaja ianya tanpa benar-benar mendengar. Mungkin niat mereka baik – daripada pasang lagu, baik pasang Al-Qur’an – tapi ini tidak kena dengan ayat ini. Kalau kita pasang bacaan Al-Qur’an, kita kena senyap dan dengar baik-baik bacaan ayat Al-Qur’an itu. Janganlah jadikan bacaan Al-Qur’an sebagai ‘background music’ sahaja. Itu maknanya tidak beradab dengan Al-Qur’an.

Ayat itu walaupun ditujukan kepada Nabi, tapi ianya juga mengajar kita untuk fokus dalam pembelajaran kita. Kalau guru di depan mengajar, jangan buat benda lain. Kerana kalau kita tidak fokus, kita tidak dapat faham apa yang diajar.


 

Ayat 17:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ

Sahih International

Indeed, upon Us is its collection [in your heart] and [to make possible] its recitation.

Malay

Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);

 

Allah berjanji akan menyimpan Al-Qur’an dalam dada Nabi dan akan bantu baginda dalam pembacaannya. Menyimpan Al-Qur’an itu bermaksud Allah akan membolehkan Nabi menghafal Al-Qur’an itu.

Dan menetapkan bacaan itu bermaksud Nabi tidak akan salah dalam pembacaan Al-Qur’an itu. Sebab itu baginda disuruh dengar dengan teliti tanpa kumat kamit membacanya dan kemudian nanti baginda bacakan seperti yang Jibril bacakan.

Allah telah berjanji untuk menjaga Al-Qur’an termasuklah bacaannya yang benar. Allah sebut dalam Hijr:9

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Maknanya Allah jaga Al-Qur’an itu dalam semua bentuk, seperti tulisan, ayat-ayatnya, termasuklah cara sebutan. Maka sebutan tajwid yang kita belajar dari kecil itu juga adalah dalam penjagaan Allah. Kita bukan sahaja mendapat teks Al-Qur’an yang terpelihara tapi bacaannya juga sama dari dulu sampai sekarang.

Allah juga telah berfirman dalam A’la:6

سَنُقْرِئُكَ فَلَا تَنسَىٰ

Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan Jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,

Oleh itu pengajarannya adalah tumpukan perhatian kepada pelajaran kita. Kita fokus semasa belajar atau buat apa-apa perkara pun.

Ada juga yang mengatakan ayat ini juga sebagai dalil kepada pengumpulan Al-Qur’an selepas Nabi wafat supaya kita boleh membacanya dengan lengkap. Maknanya, Allah sudah memberitahu yang Al-Qur’an itu akan dikumpulkan untuk memudahkan kita membacanya.


 

Ayat 18:

فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Sahih International

So when We have recited it [through Gabriel], then follow its recitation.

Malay

Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;

 

Nabi disuruh membaca Al-Qur’an selepas Jibril siap membacakan kepada baginda. Ikut sahaja sebagaimana yang telah dibacakan oleh Jibril. Baginda pasti akan dapat membacanya. Inilah janji Allah.

Ayat ini juga boleh bermaksud suruhan kepada kita untuk mengikut apa yang telah dibacakan. Bukan baca sahaja tapi ikutlah apakah ajaran-ajaran di dalamnya. Kerana ianya adalah kitab yang mengandungi ajaran yang perlu diikuti. Bukan hanya dibaca sahaja.

Ini bermaksud kita kena ulangkaji bacaan Al-Qur’an itu selepas kita sudah belajar. Ulangkaji akan menyebabkan kita akan ingat apakah bacaan Al-Qur’an itu. Inilah tertib pembelajaran – selepas belajar, ulangkaji. Jangan biarkan sahaja. Sebagaimana kita ulangkaji pelajaran di sekolah dan universiti, begitu juga dengan pelajaran Al-Qur’an.

Allah akan beri Nabi boleh bacakan balik Al-Qur’an itu kepada manusia. Kerana ini adalah tugas baginda. Selepas Jibril tinggalkan baginda, baginda akan dapat baca seperti Jibril bacakan. Selepas Jibril selesai membacakan ayat-ayat baru diturunkan, Nabi akan panggil penulis wahyu untuk menulisnya. Ada 42 penulis wahyu yang telah ditugaskan.


 

Ayat 19:

ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ

Sahih International

Then upon Us is its clarification [to you].

Malay

Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).

 

Tugas Allahlah untuk menjelaskan maksud Al-Qur’an itu kepada Nabi untuk disampaikan kepada manusia. Selepas penghafalan dan pembacaan Al-Qur’an, Allah akan terangkan apakah maksud ayat-ayat itu. Kerana pemahaman dan ambilan hukum dari Al-Qur’an itu adalah amat penting. Allah akan jelaskan apakah yang halal dan haram dalam ayat-ayat itu, apakah suruhan dan larangan, apakah pengajaran yang boleh diambil darinya. Maka, bacalah Al-Qu’ran dan selepas itu kenalah ikut hukum yang ada di dalamnya.

Nabi Muhammadlah yang paling faham Al-Qur’an. Oleh itu, tugas Nabi mengajar kepada kita apakah yang mesti dilakukan. Ayat-ayat Al-Qur’an itu dalam bentuk yang ringkas sahaja. Oleh itu, kita amat memerlukan ajaran dari Nabi. Kerana itulah pentingnya kita belajar hadis juga. Kita kena faham Al-Qur’an itu sebagaimana Nabi faham dan para sahabat yang belajar dengan Nabi, faham.

Ini amat penting kerana kalau tidak, banyaklah pemahaman yang salah dari ayat-ayat Al-Qur’an itu. Ini telah banyak berlaku. Kita boleh lihat bagaimana banyak sekali ajaran sesat dan salah yang timbul dari pemahaman Al-Qur’an yang tidak didasari dari pemahaman salaf.

Ayat ini mengajar kita yang Nabi Muhammad bukan sahaja diajar bagaimana membaca Al-Qur’an tetapi pemahaman Al-Qur’an itu juga. Allah sebut dalam Nahl:44

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Qur’an yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Januari 2020


Rujukan:

Ustaz Adli Yayasan Taalim

Taimiyyah Zubair

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s