Tafsir Surah al-An’am Ayat 23 – 27 (Nak menipu di akhirat)

Ayat 23:

ثُمَّ لَم تَكُن فِتنَتُهُم إِلّا أَن قالوا وَاللهِ رَبِّنا ما كُنّا مُشرِكينَ

Sahih International

Then there will be no [excuse upon] examination except they will say, “By Allah , our Lord, we were not those who associated.”

Malay

Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

 

ثُمَّ لَمْ تَكُن فِتْنَتُهُمْ

Kemudian tiadalah jawapan alasan dari mereka,

Kalimah ثُمَّ digunakan untuk merujuk jawapan mereka selepas mereka ditanya mana dia entiti-entiti yang mereka syirik kan itu?

Perkataan فِتْنَتُهُمْ itu dari katadasar ف ت ن yang kita biasa faham sebagai fitan yang bermaksud ‘dugaan’. Ia juga bermaksud ‘alasan’ sepertimana yang digunakan dalam ayat ini. Iaitu selepas kita dituduh dengan sesuatu, kita beri alasan. Ini adalah kerana setiap soalan dan jawapan adalah dugaan sebenarnya. Kerana entah jawapan dan alasan kita itu diterima atau tidak.

Mereka tidak ada balasan kepada pertanyaan Allah itu.

 

إِلَّا أَن قَالُوا

kecuali mereka mengatakan:

Mereka tidak ada hujah. Mereka cuma boleh cakap sahaja. Ini adalah dakwaan kosong mereka sahaja.

 

وَاللهِ رَبِّنَا

“Demi Allah, Tuhan kami,

Tidak ada jawapan lain yang mereka boleh beri melainkan waktu itu mereka akan mengaku yang Allah adalah Tuhan mereka. Mereka dah nampak azab, maka mereka kena berbohong. Di dunia berbohong, di akhirat pun nak bohong.

 

مَا كُنَّا مُشْرِكِينَ

tiadalah kami mempersekutukan Allah”.

Ini sahaja jawapan yang mereka boleh bagi. Mereka tidak mengaku yang mereka telah buat syirik semasa di dunia dulu. Mereka akan kata mereka sembah dan buat ibadat kepada sembahan-sembahan mereka itu kerana hendak mendekatkan diri mereka dengan Allah sahaja. Iaitu mereka kata tujuan mereka sebenarnya baik.

Mereka waktu itu berdusta di hadapan Tuhan. Kerana mereka tak sangka yang amalan tawasul mereka itu adalah syirik. Mereka lalai dalam belajar agama sampai mereka tak tahu yang apa yang mereka buat dulu di dunia adalah salah.

Ataupun mereka tahu, tapi mereka buat juga amalan syirik mereka itu. Oleh itu, apabila Allah tanya mereka, mereka terpaksa menipu. Kerana mereka tidak ada jawapan lain. Mereka yang menipu di dunia akan menipu di akhirat juga nanti. Sebab dah selalu sangat menipu, ianya dah jadi perangai natural dia dah. Mereka menipu secara otomatik. Semoga kita tidak jadi begitu.

Dari sini juga kita tahu yang di akhirat nanti, ada manusia yang akan cuba menipu untuk melepaskan diri mereka. Tapi penipuan mereka tidak akan berjaya. Mungkin di dunia mereka boleh tipu manusia. Mereka akan beri macam-macam dalil dan hujah mereka untuk menghalalkan syirik dan tawasul yang mereka lakukan.

Abdur Razzaq mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ma’mar, dari seorang lelaki, dari Al-Minhal ibnu Amr, dari Sa’id ibnu Jubair yang menceritakan bahawa ada seorang lelaki datang kepada Ibnu Abbas, lalu bertanya banyak hal yang bertentangan di dalam Al-Qur’an menurut pendapatku. Ibnu Abbas berkata, “Cuba sebutkan yang mana, apakah engkau meragukan Al-Qur’an?” Lelaki itu berkata, “Tidak, tetapi aku bingung memahaminya.” Ibnu Abbas bertanya, “Apakah yang membingungkanmu di dalam Al-Qur’an itu?” Lelaki itu berkata bahawa Allah Swt. telah berfirman dalam suatu ayat, yaitu firman-Nya: Kemudian tiadalah fitnah mereka kecuali mengatakan, “Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah.” (Al-An’am: 23) Dalam ayat yang lainnya Allah Swt. telah berfirman: dan mereka tidak dapat menyembunyikan (dari Allah) sesuatu kejadian pun. (An-Nisa: 42) Ternyata dari pengertian tersebut mereka dapat menyembunyikan sesuatu dari Allah? Maka Ibnu Abbas menjawab bahawa mengenai firman-Nya: Kemudian tiadalah fitnah mereka kecuali mengatakan, “Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah.” (Al-An’am: 23) Sesungguhnya tatkala mereka menyaksikan di hari kiamat bahawa Allah tidak memberikan ampunan kecuali kepada pemeluk agama Islam, dan Allah mengampuni semua dosa betapapun besarnya kecuali dosa mempersekutukan Allah. Mereka bermaksud mengingkari hal tersebut. Untuk itu mereka mengatakan: Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah. (Al-An’am: 23) Mereka mengharapkan dengan hal ini agar Allah memberikan ampunan bagi mereka, tetapi Allah mengunci mulut mereka dan berbicaralah kedua tangan dan kedua kaki mereka tentang hal-hal yang mereka lakukan sebenarnya. Maka di saat itulah disebutkan di dalam firman-Nya: Di hari itu orang-orang kafir dan orang-orang yang mendurhakai rasul ingin supaya mereka disamaratakan dengan tanah, dan mereka tidak dapat menyembunyikan (dari Allah) sesuatu kejadian pun. (An-Nisa: 42)

Mereka akan kata itu dan ini bukan syirik tapi benda yang elok. Mereka akan kata bahawa tawasul itu bagus, dituntut dalam agama. Mereka akan beri dalil-dalil batil – iaitu dalil dari kitab, dalil akal, dalil ulama itu dan ini buat – macam-macam. Itu semua adalah tipu belaka. Tapi di akhirat nanti, mereka takkan selamat. Lihatlah ayat seterusnya.


 

Ayat 24:

انظُر كَيفَ كَذَبوا عَلىٰ أَنفُسِهِم ۚ وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

Sahih International

See how they will lie about themselves. And lost from them will be what they used to invent.

Malay

Lihatlah bagaimana mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri, dan bagaimana hilang lenyapnya dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu.

 

انظُرْ

Lihatlah

Allah suruh kita ‘lihat’. Seperti ianya sedang berlaku dan kita sedang menyaksikan kejadian itu. Padahal ianya bukan terjadi lagi kerana ini adalah kejadian hari Akhirat. Kenapa begitu?

Ini adalah salah satu dari lenggok bahasa Qur’an. Walaupun ianya belum berlaku lagi, tapi kerana ianya PASTI akan berlaku, maka Allah gunakan bahasa present tense macam ianya sedang berlaku di hadapan mata kita.

 

كَيْفَ كَذَبُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ

bagaimana mereka telah berdusta kepada diri mereka sendiri

Mereka sedang berdusta kepada Allah, tapi kenapa dikatakan mereka mendustakan diri sendiri? Kerana setiap kali seseorang itu menipu, dia adalah menyusahkan dirinya sendiri.

Ianya hanya membawa mudharat sahaja. Tidaklah pernah penipuan itu akan menguntungkan orang yang menipu. Sebab itulah Allah kata mereka ‘berdusta kepada diri mereka sendiri’.

Tambahan pula segala penipuan mereka itu akan dijadikan hujah terhadap mereka nanti. Mereka akan dibentangkan dengan apa yang mereka telah katakan, dan akan dijadikan sebagai dalil hujjah terhadap mereka nanti. Mereka lagi teruk kena.

 

وَضَلَّ عَنْهُم

dan hilanglah daripada mereka

Tidaklah ada yang dapat menolong mereka kerana apa yang mereka lakukan itu adalah sia-sia. Sembahan-sembahan mereka tidak ada nak menolong mereka.

 

مَّا كَانُوا يَفْتَرُونَ

sembahan-sembahan yang dahulu mereka ada-adakan.

Sembahan-sembahan itu adalah hanya rekaan sahaja. Tidaklah pernah Nabi Muhammad suruh beri fatihah kepadanya. Tidaklah malaikat suruh kita kita beri salam kepadanya.

Saya sendiri semasa belajar tarekat dulu diajar beri salam kepada sepuluh malaikat yang besar. Kononnya supaya malaikat-malaikat itu kenal kita dan boleh tolong bila diperlukan. Golongan silat pula banyak yang amal ‘Jibril di kananku, Mikail di kiriku….’ dan banyak lagi amalan lain yang mengarut.

Banyak guru-guru di Malaysia ini yang buat amalan mengarut. Sebagai contoh, ada guru di Kelantan yang apabila baca seribu wirid fi kulli lamhatin, pada seketul batu sungai, dia akan simpan. Apabila dia mati, dia wasiatkan kepada anak muridnya supaya dia ditanam dengan batu-batu itu. Kononnya, supaya batu itu jadi saksi untuknya nanti. Memang wirid dan zikir itu baik, tapi apabila dijadikan dalam bentuk yang tidak pernah diajar oleh Nabi, maka ianya jadi amalan karut. Cukuplah sahaja kita dengan amalan yang Nabi ajar kepada sahabat-sahabat baginda. Ikut itu sahaja pun belum tentu boleh habis lagi buat.

Ada kisah bagaimana ada guru yang buat majlis tahlil dengan mualaf yang baru masuk Islam. Tahlil itu pula untuk ibubapa para mualaf itu yang kafir dulu. Ustaz itu kata supaya dengan bacaan tahlil itu mudah-mudahan ibubapa mereka yang mati kafir dulu itu boleh masuk syurga! Ma sha Allah! Mana mungkin boleh jadi begitu? Sedangkan mereka itu mati tanpa pernah mengucap dua kalimah syahadah?! Itulah contoh-contoh amalan salah yang sekarang ini diamalkan oleh mereka yang jahil.

Oleh itu, apabila kita diberikan dengan sesuatu amalan oleh guru mana-mana, tanya kepada mereka: “dapat dari mana amalan ini, ustaz?” Kalau mereka beri dalil bahawa ianya adalah dari Nabi, maka barulah amalkan. Kalau dia kata selain dari itu, maka tinggalkan sahaja. Mungkin anda belum nampak lagi manakah salahnya amalan itu, tapi kalau amalan itu bukan dari Nabi sahaja, maka kemungkinan besar, ianya ada masalah.


 

Ayat 25: Ayat Zajrun. Allah menegur mereka yang walaupun telah duduk depan Nabi pun masih tidak faham.

وَمِنهُم مَّن يَستَمِعُ إِلَيكَ ۖ وَجَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي ءآذانِهِم وَقرًا ۚ وَإِن يَرَوا كُلَّ ءآيَةٍ لّا يُؤمِنوا بِها ۚ حَتّىٰ إِذا جاءوكَ يُجٰدِلونَكَ يَقولُ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

Sahih International

And among them are those who listen to you, but We have placed over their hearts coverings, lest they understand it, and in their ears deafness. And if they should see every sign, they will not believe in it. Even when they come to you arguing with you, those who disbelieve say, “This is not but legends of the former peoples.”

Malay

Dan di antara mereka ada yang mendengarkanmu (membaca Al-Qur’an), pada hal Kami telah jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, yang menghalang mereka daripada memahaminya, dan Kami jadikan pada telinga mereka penyumbat (yang menjadikan mereka pekak); dan kalaupun mereka melihat tiap-tiap keterangan (dan mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasul), mereka tidak juga akan beriman kepada keterangan itu; sehingga apabila mereka datang kepadamu, sambil membantahmu, berkatalah orang-orang yang kafir itu: “Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu”.

 

وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُ إِلَيْكَ

Dan di antara mereka ada orang yang mendengar (bacaan)mu,

Ada antara musyrikin Mekah itu yang datang dan dengar bacaan Qur’an Nabi Muhammad. Mereka memang mendengar betul-betul kerana perkataan يَسْتَمِعُ digunakan. Kalau سمع sahaja, itu baru ‘mendengar’ sahaja. Mereka dengar betul-betul sebab mereka suka nak dengar.

Sebab bacaan Qur’an itu memang sedap, tambahan pula Nabi yang baca, lagilah sedap didengari. Tapi pendengaran mereka itu tidak memberikan hasil kepada mereka. Mereka masih juga tidak mahu beriman.

Ayat ini juga menguatkan pengetahuan kita bahawa keindahan Qur’an memang hebat sampaikan orang kafir pun boleh jadi suka dan terpesona dengan bacaannya. Dari dulu sampai sekarang. Samada mereka suka dengar bacaan atau mereka kagum dengan keindahan bahasa yang digunakan. Dan ada yang mengkaji Qur’an dan mengaku bahawa maklumat yang diberikan dalam Qur’an adalah tepat sekali. Tapi mereka masih tidak mahu beriman.

Ayat ini mengisahkan bagaimana ada yang datang nak dengar-dengar sahaja kepada Nabi mengajar Qur’an. Tapi mereka bukan nak beriman. Dalam sirah, kita boleh tahu bahawa ayat ini berkenaan dengan tiga orang pemuka Quraish yang mendengar-dengar bacaan Qur’an dari Nabi semasa Nabi solat qiyamullail.

Mereka mendengar secara senyap-senyap. Mereka pergi sendiri-sendiri tapi akhirnya mereka telah bertembung sesama mereka. Mereka itu adalah Abu Jahal, Abu Sufyan dan Akhnaz bin Syuraikh. Ini boleh dibaca dalam blog lain.

Mereka itu antaranya adalah mereka yang ada kedudukan dalam agama. Atau dipandang orang sebagai ‘tahu agama’. Jadi mereka datang kononnya nak tengok betulkah ajaran itu. Macam zaman sekarang pun ada juga yang datang kelas tafsir cuma nak dengar-dengar sahaja. Bukan nak belajar betul-betul. Mungkin ada kawan atau keluarga mereka yang belajar tafsir dan mereka pun diajak juga, maka mereka ikut sama. Kononnya mereka nak ‘check’, betulkah ajaran itu.

Tapi hati mereka bukan mahukan kebenaran. Jadi apabila dalam kelas itu disebut perkara-perkara yang tak kena dengan faham mereka, dengan amalan mereka yang mereka amalkan selama ini, mereka tak mahu terima. Mereka kata guru yang mengajar tafsir itu pula yang salah.

Bukan semua macam begini. Ayat ini dimulakan dengan perkataan وَمِنْهُم – sebahagian dari kalangan mereka. Orang kafir berjenis-jenis. Ada yang sembah berhala dan ada yang sembah benda lain. Ada yang ketua dan ada yang ikut-ikut sahaja. Ada yang menentang Islam dan ada juga yang buat tak tahu sahaja. Ada juga yang kafir tapi mereka tolong juga orang Islam. Mereka tolong kerana hati mereka memang baik, cuma tidak terbuka lagi untuk terima Islam.

 

وَجَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً

padahal Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka

Kenapa selepas mereka mendengar Qur’an, mereka masih juga tidak mahu beriman? Kerana hati mereka telah tertutup kepada kebenaran. Mereka dari awal lagi tidak mahu beriman. Mereka telah ada prejudis sebelum dengar lagi tafsir Qur’an.

Kalimah أَكِنَّةً adalah halangan atau penutup yang tak dapat dipecahkan. Maka ada orang yang belajar tapi tidak faham. Maka jangan hairanlah kalau di dunia ini yang datang belajar tapi masih tidak faham.

 

أَن يَفْقَهُوهُ

(sehingga mereka tidak) memahaminya

Mereka dah dengar tapi mereka tak dapat faham. Kenapa sampai begitu? Kerana mereka datang bukan nak belajar tapi nak dengar dan mencari-cari kesalahan. Nak cari bukti bahawa apa yang Nabi ajar itu adalah ajaran salah. Mereka tidak dapat terima kerana kesombongan mereka.

Sama sahaja dengan mereka yang datang kelas yang mengajar sunnah, tapi mereka bukan nak cari kebenaran tapi mereka nak cari hujah untuk menentang sunnah.

Oleh kerana hati mereka memang tak mahu nak terima agama, Allah akan letakkan penutup itu atas hati mereka. Niat mereka sendiri sudah salah semasa mereka datang dengar bacaan Qur’an.

 

وَفِي ءآذَانِهِمْ وَقْرًا

dan (Kami letakkan) sumbatan di telinganya.

Kalimah وَقْرًا dari kata dasar و ق ر yang bermaksud ‘beban’. Seperti beban berat yang dibawa oleh keldai. وَقْرًا digunakan dalam ayat ini untuk menceritakan keberatan seseorang untuk mendengar. Dia bukan pekak, tapi berat nak dengar. Jadi ia adalah seperti sumbatan di telinga mereka.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa tidak semua mereka yang mendengar Qur’an itu akan mendapat manfaat. Mereka cuma dengar sahaja, tapi tidak masuk ajaran Qur’an itu dalam hati mereka. Kerana niat mereka dengar itu bukan nak belajar, bukan nak dapat faham agama.

Macam kebanyakan orang kita juga. Ramai yang baca Qur’an. Tapi mereka tak faham. Ramai yang baca Qu’ran, tapi gunakan Qur’an sebagai ‘azimat’. Baca potongan ayat sekian-sekian, untuk dapat sekian-sekian. Sebagai contoh, baca ayat Seribu Dinar sebab nak dapat rezeki. Itu semua mereka dapat dari ajaran guru-guru yang tak bertauliah. Yang dapat maklumat dari kitab-kitab karangan manusia.

Ini amat menakutkan kita. Takut kita pun tergolong dalam golongan yang baca dan dengar Qur’an tapi tidak mendapat manfaat dari Qur’an.

 

وَإِن يَرَوْا كُلَّ ءآيَةٍ

Dan jikapun mereka melihat segala tanda (kebenaran),

Kalau pun mereka lihat semua tanda kenabian Nabi, atau diberikan dengan berbagai-bagai dalil dan hujah.

 

لَّا يُؤْمِنُوا بِهَا

mereka tetap tidak mau beriman kepadanya.

Mereka masih juga tidak mahu beriman. Mereka akan kata: ini bukan ajaran tok guru kita. Apabila kita beri ayat Qur’an yang mengandungi ajaran tauhid, mereka tak terima. Mereka kata takkan tok guru mereka salah; takkan tok guru mereka nak masuk neraka?

Kalau ayat hukum hakam seperti solat dan sebagainya, mereka tiada masalah terima. Oleh kerana itu, kalau di surau-surau dan masjid-masjid, selalunya yang diajar adalah tentang fekah sahaja tak habis-habis. Yang tentang tauhid, tak diajar pun.

Ini memberitahu kepada kita, kalau seseorang itu sudah ada niat lain selain dari hendak mencari kebenaran, maka mereka tidak akan mendapat manfaat. Bukan dari Qur’an sahaja. Katakanlah seseorang itu berhujah, berbincang tentang hal agama, tapi dalam hatinya, bukan hendak mencari kebenaran tapi hendak menegakkan hujahnya sahaja, maka dia tidak akan mendapat kebenaran. Walaupun kebenaran itu betul-betul di hadapan matanya.

 

حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوكَ

hingga apabila mereka datang kepadamu

Iaitu apabila mereka datang berdepan.

 

يُجٰدِلُونَكَ

Mereka akan membantahmu,

Mereka nak melawan sahaja. Walaupun mereka tidak ada alasan nak tolak ayat-ayat Qur’an itu. Walaupun di sudut hati mereka, mereka tahu bahawa ianya adalah satu kebenaran.

Mereka tidak setuju dengan tafsir Qur’an yang diberikan kepada mereka. Oleh itu mereka membantah. Mereka tak boleh nak kata ayat Qur’an itu salah, jadi mereka akan kata ‘tafsir’ kita yang salah.

 

يَقُولُ الَّذِينَ كَفَرُوا

orang-orang kafir itu berkata:

Iaitu orang yang kafir degil. Mereka akan kata bagaimana?

 

إِنْ هَٰذَا إِلَّا أَسٰطِيرُ الْأَوَّلِينَ

“Al-Qur’an ini tidak lain hanyalah dongengan orang-orang dahulu”.

Kalimah أَسَاطِيرُ adalah kisah-kisah dongeng dahulukala. Ianya dari katadasar س ط ر iaitu kisah yang dibuat-buat. Macam kisah dongeng – ditambah-tambah dengan maklumat-maklumat yang merapu. Termasuk juga mitos. Iaitu ramai orang tahu tentangnya, tapi ianya tidak benar. Semua orang tahu ianya tidak benar, tapi manusia masih juga menceritakannya. Kerana walaupun ianya tidak benar, tapi manusia masih juga suka nak dengar.

Itulah mereka kata tentang Qur’an. Mereka beri hujah yang lemah. Mereka kata ianya adalah kisah dongeng sahaja. Mereka cakap begitu kerana mereka nak kata yang ianya bukan wahyu dari Allah tapi diambil dari kisah-kisah dahulu.

Mereka nak kata mereka suka dengar sahaja. Macam juga kalau mereka dengar kisah-kisah dongeng. Macam orang kita – suka dengar musabaqah Qur’an, tapi mereka tak faham pun apa yang dibaca.


 

Ayat 26: Bukan sahaja mereka tidak mahu terima, tapi mereka halang orang lain juga.

وَهُم يَنهَونَ عَنهُ وَيَنأَونَ عَنهُ ۖ وَإِن يُهلِكونَ إِلّا أَنفُسَهُم وَما يَشعُرونَ

Sahih International

And they prevent [others] from him and are [themselves] remote from him. And they do not destroy except themselves, but they perceive [it] not.

Malay

Dan mereka pula melarang orang ramai dari mendengar Al-Qur’an dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.

 

وَهُمْ يَنْهَوْنَ عَنْهُ

Dan mereka melarang (orang lain) dari Al-Qur’an

Pemuka-pemuka Musyrikin Mekah itu menghalang orang lain dari pergi kepada Nabi dan mendengar bacaan Qur’an dari baginda. Mereka tahu, kalau orang pergi dengar, ada kemungkinan yang mendengar itu akan masuk Islam.

Mereka kata tak perlu dengar sebab ianya hanyalah kisah-kisah dongeng sahaja, bukan boleh pakai untuk zaman sekarang.

Pada zaman sekarang, mereka ini adalah mereka yang larang orang lain belajar tafsir dengan ustaz yang mengajar tafsir Qur’an dengan ajaran tauhid. Mereka tuduh itu adalah ajaran salah.

Berbagai-bagai cara digunakan oleh manusia untuk menghalang manusia dari kebenaran. Antaranya mereka akan mengeluarkan penipuan, beri hujah yang batil dan sebagainya.

 

وَيَنْأَوْنَ عَنْهُ

dan mereka sendiri menjauhkan diri daripadanya,

Sudahlah mereka halang anak murid mereka dari belajar tafsir Qur’an, malah mereka sendiri pun tidak mahu belajar. وَيَنْأَوْنَ dari perkataan bermaksud ‘menjauhkan diri kerana sombong’. Mereka rasa mereka lagi pandai, mereka lagi benar.

 

وَإِن يُهْلِكُونَ إِلَّا أَنفُسَهُمْ

dan mereka tidaklah membinasakan sesiapa melainkan diri mereka sendiri,

Mereka membinasakan diri mereka kerana mereka tak tahu tentang tauhid. Oleh kerana itu mereka buat benda yang syirik kerana mereka tak tahu. Maka, amalan mereka dalam solat, puasa dan sebagainya tidak diterima. Tidak ada pahala langsung. Ianya hilang lenyap.

Kalau mereka tidak mahu kepada Qur’an, mereka tidak merosakkan sesiapa pun melainkan dirinya sendiri. Dia sendiri yang rugi.

 

وَمَا يَشْعُرُونَ

sedang mereka tidak menyedari.

Inilah yang menyedihkan. Mereka tak sedar pun yang mereka sebenarnya telah sesat. Mereka tidak sedar mereka sedang memasukkan diri mereka ke dalam neraka.


 

Ayat 27: Takhwif Ukhrawi. Ini adalah apa yang akan terjadi di akhirat kelak.

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلَى النّارِ فَقالوا يٰلَيتَنا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِئآيٰتِ رَبِّنا وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

Sahih International

If you could but see when they are made to stand before the Fire and will say, “Oh, would that we could be returned [to life on earth] and not deny the signs of our Lord and be among the believers.”

Malay

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.

 

وَلَوْ تَرَىٰ

Dan jika kamu (Muhammad) melihat

Kalaulah kamu boleh melihat keadaan mereka nanti. Ianya adalah sesuatu amat menakutkan sekali.

 

إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ

ketika mereka diberhentikan ke neraka,

Kalimah وُقِفُوا bermaksud berdiri di satu tempat. Seperti ‘wuquf’ di Arafah. Lebih tepat lagi, وُقِفُوا bermaksud mereka ‘diberhentikan’ oleh malaikat di situ. Bukanlah mereka suka-suka nak duduk di hadapan neraka pula. Tapi mereka akan dipaksa untuk berhenti.

Itulah mereka yang melarang orang belajar tafsir dan mereka sendiri tidak mahu belajar. Oleh itu, mereka buat salah dalam agama. Mereka tidak tahu tentang agama Islam. Oleh itu, apabila ada orang Syiah datang, mereka tak boleh lawan kerana akidah mereka dan Syiah itu sama sahaja.

Mereka sahaja yang tak tahu. Apabila mereka diajar dengan amalan yang salah, mereka tak tahu pun yang amalan itu adalah amalan yang salah.

 

فَقَالُوا يٰلَيْتَنَا

lalu mereka berkata: alangkah sesalnya kami, alangkah celakanya kami, 

Iaitu mereka waktu itu berharap. Berharap kepada sesuatu yang mereka takkan dapat. Apa yang mereka harapkan itu mereka tidak akan dapat.

 

نُرَدُّ

Kiranya kami dikembalikan (ke dunia)

Banyak sekali ayat sebegini dalam Qur’an. Mereka semua akan berharap semoga mereka dikembalikan ke dunia. Tidak ada disebut dalam Qur’an yang mereka itu minta ampun di akhirat kelak. Kerana mereka tahu yang istighfar mereka tidak akan diterima.

Maka, yang mereka minta adalah dikembalikan ke dunia semula supaya mereka boleh memperbetulkan kesalahan mereka dulu semasa mereka di dunia. Tapi malangnya tidak mungkin. Kerana dunia waktu itu pun dah dihancurkan pun.

 

وَلَا نُكَذِّبَ بِئآيٰتِ رَبِّنَا

dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami,

Baru mereka nak terima ayat Qur’an, kalau mereka boleh balik ke dunia. Semasa di dunia, mereka tidak mahu beriman, sekarang dah masuk neraka baru nak beriman.

Mereka mengaku yang dulu mereka telah mendustakan ayat-ayat Allah. Mereka di Mahsyar akan kata yang mereka takkan buat lagi.

 

وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

serta menjadi orang-orang yang beriman”,

Barulah mereka nak beriman. Bolehkah begitu? Akan dijawap dalam ayat seterusnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Ogos 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s