Ayat 49: Bermula dari ayat seterusnya ini, Allah ﷻ akan menceritakan sejarah Bani Israil. Tetapi bukan dalam susunan kejadian ia terjadi. Kerana Al-Qur’an bukanlah satu buku sejarah yang menceritakan satu persatu kejadian dengan tertib kejadiannya (bukan secara kronologi).
Yang penting dalam Al-Qur’an adalah pengajaran yang perlu diambil. Memanglah kita kalau hendak tahu akan satu-satu cerita, kita mahukan susunan kejadian tersebut tetapi logik Al-Qur’an bukan mengikut logik akal kita. Al-Qur’an menyusun kisah tentang Bani Israil ini mengikut kepentingan perkara yang hendak disampaikan.
Ayat 49 – 79 adalah senarai kurniaan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israil dan penderhakaan mereka. Inilah punca Bani Israil hilang kelayakan sebagai khalifah. Allah pindahkan kemuliaan itu kepada Bani Ismail.
Allah ﷻ mengingatkan nikmat-nikmat yang Dia telah berikan kepada Bani Israil, moga-moga mereka insaf dan mahu mengikut agama islam. Ada 8 jenis nikmat yang disebutkan. Dan ada 2 bentuk hukuman yang pernah Allah ﷻ kenakan kepada tok nenek mereka supaya mereka mahu berfikir. Supaya mereka beringat dan berjaga-jaga. Itulah cara Allah ﷻ untuk menyedarkan hamba-Nya.
Ayat-ayat ini khitab (ditujukan) kepada Bani Israil. Sebelum ini ayat-ayat telah diberikan secara umum kepada manusia. Tetapi sekarang diberikan kepada Bani Israil secara khusus kerana mereka merupakan golongan yang ada kitab. Ada ramai yang ada kitab wahyu tetapi yang paling masyhur adalah Bani Israil. Mereka telah mendapat Kitab Taurat, Zabur dan Injil. Memang mereka ada banyak kitab kalau dibandingkan dengan golongan lain. Umat yang lain pun ada juga kitab tetapi kitab-kitab mereka tidak masyhur.
Jadi Bani Israil ini telah mendapat kitab dan ajaran wahyu tetapi masalahnya mereka sendiri tidak mengikut ajaran kitab mereka sendiri. Memang majoriti dari mereka tidak mengikut kitab. Maka Allah ﷻ ingin mengingatkan kita supaya jangan jadi seperti mereka. Iaitu ada kitab tetapi tidak ikut.
Masyhur sahaja umat Islam ada Al-Qur’an tetapi umat Islam tidak pakai pun. Dan memang ramai dari masyarakat kita pun begitu juga. Jadi apabila membaca kisah-kisah tentang Bani Israil ini, jangan lupa kaitkan dengan diri dan masyarakat kita. Ini kerana tidak banyak perbezaan di antara Yahudi dan orang kita, sebenarnya.
Tidak diajarkan ilmu tauhid dalam ayat-ayat ini kerana umumnya Yahudi pada waktu itu masih lagi mentauhidkan Allah ﷻ. Tetapi oleh kerana mereka menolak Nabi Muhammad ﷺ, maka, mereka dikira sebagai kafir juga. Oleh itu kalau ada manusia yang engkar hadis, mereka juga sudah kafir. Ada orang Islam yang kononnya pakar pakai Al-Qur’an sahaja (golongan Quranist), tetapi sebenarnya mereka tidak belajar Al-Qur’an itu dengan betul, kalau tidak, mereka tidak akan menolak hadis.
Masalah mereka adalah mereka membaca Al-Qur’an sendiri dan membuat pemahaman sendiri sahaja. Mereka sangka mereka pandai, tetapi mereka sebenarnya amat jahil. Kalau Nabi ﷺ tidak sampaikan Al-Qur’an kepada kita, bagaimana kita boleh terima Al-Qur’an? Lalu bagaimana kita boleh menolak Nabi ﷺ dan menolak Hadis? Kalau belajar Al-Qur’an dengan betul, kita akan menerima hadis juga.
Oleh itu, golongan Yahudi Madinah itu kebanyakannya masih lagi ada kefahaman Tauhid. Tidak seperti dengan Musyrikin Mekah yang memang telah punah Tauhid mereka.
Orang yang pertama mendengar ayat-ayat Al-Qur’an tentang orang Yahudi adalah orang-orang Arab Madinah, iaitu mereka yang duduk belajar dengan Nabi ﷺ. Dari sahabat Nabi ﷺ itulah yang akan menyampaikan ayat-ayat itu kepada golongan Yahudi. Dan dari situ, orang yang dahulunya jahil itulah yang kemudiannya akan menyampaikan agama yang benar kepada golongan Yahudi yang sebelum itu terkenal dengan kehebatan ilmu agama mereka.
Dari ayat-ayat itu, maka terbongkarlah rahsia-rahsia mereka. Bayangkan perasaan mereka waktu itu, satu demi satu rahsia mereka terbongkar, tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia adalah kebenaran. Benda yang mereka sorokkan Allah ﷻ telah keluarkan satu persatu. Ini termasuklah sejarah tok nenek mereka. Begitu juga perangai mereka zaman itu pun ada disebut sekali. Semua Yahudi di Madinah kehairanan bagaimana Nabi Muhammad ﷺ boleh tahu hal mereka satu persatu?
Untuk kita yang mempelajari tafsir ini, dan kemudian sudah mengetahui sifat-sifat mereka itu, hendaklah kita melindungi diri kita daripada mempunyai sifat-sifat tersebut. Itulah yang pertama sekali kita kena lakukan. Bukanlah kita membaca ayat-ayat ini untuk kita mengutuk mereka tetapi Allah ﷻ hendak kita faham setiap kesalahan mereka dan jangan mengulanginya.
Kerana yang Allah ﷻ murka adalah dengan sifat mereka, bukannya kaum Yahudi itu. Allah ﷻ tidak memandang kaum kerana bagi Allah ﷻ , semua kaum sama sahaja. Tidak ada kaum yang istimewa kalau dibandingkan dengan kaum lain.
Ringkasnya jasa-jasa Allah ﷻ kepada Yahudi dalam ayat-ayat ini:
Ayat 49: jasa pertama (mereka diselamatkan dari Firaun)
Ayat 50: jasa kedua (laut dibelah dan Firaun dimatikan bersama tenteranya)
Ayat 51-52: jasa ketiga (mereka diampunkan walaupun telah menyembah patung sapi)
Ayat 53: jasa keempat (mereka diberikan dengan Kitab Taurat)
Ayat 54: jasa kelima (mereka diampunkan setelah berbuat syirik)
Ayat 55-56: jasa keenam (mereka dihidupkan kembali setelah dimatikan kerana minta untuk melihat Allah ﷻ)
Ayat 57: jasa ketujuh (mereka dinaungi dengan awan dan diberi makan Manna dan Salwa)
Ayat 60: jasa kelapan (mereka diberi minum dari air dalam batu)
Jadi, ada lapan jasa yang Allah ﷻ sebut dalam bahagian ini. Dan jasa ini ada diulang-ulang dalam surah-surah lain. Dalam surah-surah lain pula, ada disebut jasa-jasa lain pula.
Dan bahagian hukuman pula:
Ayat 58-59: hukuman pertama
Ayat 61: hukuman kedua
Mari kita baca jasa yang pertama:
وَإِذ نَجَّينَـٰڪُم مِّن ءَالِ فِرعَونَ يَسُومُونَكُم سُوٓءَ ٱلعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبنَآءَكُم وَيَستَحيُونَ نِسَآءَكُمۡ وَفِى ذَٲلِكُم بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُم عَظِيمٌ
And [recall] when We saved your forefathers from the people of Pharaoh, who afflicted you with the worst torment, slaughtering your [newborn] sons and keeping your females alive. And in that was a great trial from your Lord.
Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
وَإِذ نَجَّينَـٰڪُم
Dan ingatlah ketika Kami selamatkan kamu;
Perkataan yang digunakan dalam wazan begini bermaksud ‘berkali-kali Allah ﷻ telah selamatkan mereka’. Bukan hanya sekali sahaja. Ini adalah kerana keluarga Firaun mempunyai peluang untuk menghapuskan bangsa Israil banyak kali tetapi Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka setiap kali.
مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ
daripada keluarga Firaun;
Ini adalah jasa pertama iaitu ketika Allah ﷻ menyelamatkan mereka dari golongan Firaun. Mereka telah menimpakan ke atas Bani Israil azab yang sangat dahsyat. Mereka membunuh anak-anak lelaki Bani Israil dan membiarkan wanita-wanita mereka hidup untuk menjadi hamba abdi. Akhirnya Allah ﷻ menyelamatkan Bani Israil dari kezaliman itu.
Kerajaan Firaun memerintah dan menindas bangsa Israil selama 400 tahun. ‘Firaun’ bukanlah nama seorang individu tetapi ia adalah satu pangkat keturunan. Selepas mati satu Firaun, akan diganti oleh Firaun yang lain.
Firaun adalah dari keturunan bangsa Qibti. Cara pemerintahan Firaun adalah dengan menggunakan dinasti kekeluargaan. Sebab itu Allah ﷻ menggunakan kalimat ‘keluarga Firaun’. Maknanya, ini bukan Firaun seorang sahaja yang memerintah mereka dan menindas mereka.
Semua pangkat tinggi diberikan kepada anak beranak dari keluarganya sahaja. Oleh itu, kalau kerajaan mana-mana negara sekarang menggunakan dinasti keluarga, maka ia adalah sama dengan cara Firaun memerintah.
يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ
Mereka telah mengenakan kamu ke dalam azab yang teruk;
Sudahlah keluarga Firaun itu menjadikan mereka sebagai hamba abdi, malah mereka buat lebih teruk lagi. Berbagai-bagai penindasan telah dikenakan kepada Bani Israil zaman berzaman. Bermakna keluarga Firaun menjadikan mereka sebagai satu bangsa yang hina.
يُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ
Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu;
Memang mereka telah melakukan kezaliman yang amat teruk. Firaun telah mengarahkan penyembelihan anak-anak lelaki mereka. Hal ini disebabkan ramalan tukang tenung bahawa akan ada seorang anak lelaki kelahiran Bani Israil yang akan menjadi penyebab lenyapnya kerajaan Firaun itu.
Tetapi Firaun hanya dapat buat sekali sahaja walaupun perintah yang Firaun keluarkan adalah sebanyak dua kali. Pada kali yang kedua, tidak sempat kerana dia telah ditenggelamkan dalam air laut yang terbelah.
Perkataan yang Allah ﷻ gunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present tense’. Dari segi balaghah ia bermaksud ia boleh lagi terjadi dalam zaman ini. Bukan kejadian sebegini terjadi pada zaman Firaun sahaja. Kalau dalam bentuk ‘past tense’, maka ia bermaksud Firaun sahaja yang buat.
Maka ini mengajar kita yang masih ada lagi orang yang bersifat seperti Firaun yang akan melakukan perkara yang sama. Kerana sentiasa sahaja ada orang yang bersifat seperti Firaun dalam dunia ini zaman berzaman. Mungkin tidak seteruk Firaun yang di dalam Al-Qur’an ini tapi ada ciri-cirinya.
وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ
dan membiarkan hidup perempuan-perempuan kamu;
Maknanya, mereka membiarkan anak-anak perempuan Bani Israil hidup. Tapi ia hanya untuk menghina Bani Israil itu. Supaya tiada lagi lelaki dari Bani Israil. Mereka akan mengambil perempuan-perempuan Bani Israil itu sebagai hak mereka (merogol) dan yang lahir nanti selepas itu adalah bangsa dari keturunan Qibti belaka.
Ini adalah satu penghinaan yang paling teruk yang boleh dikenakan kepada satu-satu bangsa. Zaman sekarang ini pun masih lagi dilakukan oleh bangsa-bangsa tertentu yang hendak menghina satu bangsa lain. Ia dipanggil “ethnic cleansing” (pembersihan etnik).
Perkataan yang Allah ﷻ gunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present tense’. Bermaksud ia boleh lagi terjadi dalam zaman ini.
Keturunan Firaun ini adalah keturunan Qibti ataupun dalam bahasa Inggeris sekarang dikenali sebagai Coptic Christian. Kerana keturunan mereka itu kemudiannya telah masuk agama Kristian.
وَفِي ذَٰلِكُمْ
Dan pada yang demikian untuk kamu
Allah sedang berkata-kata kepada Bani Israil zaman Nabi Muhammad: Dalam apa yang terjadi kepada kaum kamu itu.
بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُم عَظِيمٌ
adalah ujian besar dari Tuhan kamu yang Maha Agung;
Pada demikian itu, suatu nikmat yang sangat besar – iaitu penyelamatan anak-anak lelaki dari dibunuh dan perempuan-perempuan mereka dari dijadikan hamba abdi. Ini adalah terjemahan pertama bagi lafaz وَفي ذٰلِكُم.
Terjemahan kedua bagi lafaz وَفي ذٰلِكُم, merujuk kepada kejadian anak-anak lelaki dibunuh dan perempuan-perempuan mereka dijadikan hamba abdi, itu adalah ‘bala bencana’ dari Allah ﷻ. Ada dua pendapat kerana lafaz بَلاءٌ boleh jadi ‘nikmat’ atau ‘bala’. Satu kalimah yang mempunyai dua makna yang berlawanan.
Sebenarnya, semua ujian yang ada adalah dari Allah ﷻ belaka. Allah ﷻ hendak menguji kita dalam kehidupan dunia kita ini. Kita pun ada juga mendapat ujian dari masa ke semasa. Kita juga mungkin boleh terkena dengan ujian yang telah dikenakan kepada Bani Israil ini. Kerana akan sentiasa ada jenis seperti Firaun dalam setiap zaman. Semoga Allah ﷻ selamatkan kita.
Ayat 50: Ini adalah jasa yang kedua yang Allah ﷻ telah berikan kepada Bani Israil. Ini ketika Laut Khulzum (atau Laut Merah) dibelah untuk mereka jadikan laluan untuk lari dari Firaun. Dan telah ditenggelamkan pengikut Firaun dan Firaun sendiri ke dalam laut.
Dan Allah ingatkan kepada Bani Israil yang mereka waktu itu boleh lihat sendiri golongan Firaun itu ditenggelami dalam air. Mereka boleh nampak sendiri bagaimana air yang dibelah itu dicantumkan dan semua pengikut Firaun dan Firaun sendiri mati kesemuanya.
وَإِذ فَرَقنَا بِكُمُ ٱلبَحرَ فَأَنجَينَـٰڪُم وَأَغرَقنَآ ءَالَ فِرعَونَ وَأَنتُم تَنظُرُونَ
And [recall] when We parted the sea for you and saved you and drowned the people of Pharaoh while you were looking on.
Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
وَإِذ فَرَقنَا بِكُمُ ٱلبَحرَ
Dan ingatlah ketika Kami belahkan laut untuk kamu;
Perkataan ‘بِكُمُ‘ dalam ayat ini menunjukkan laut itu dibelah hanya untuk mereka sahaja. Selepas itu tidak ada laut yang dibelah lagi sampai sekarang. Ianya tidak akan berlaku lagi sampai bila-bila.
Seperti yang kita tahu dari kisah sejarah para Nabi yang kita biasa dengar, Nabi Musa عليه السلام yang mengetuk laut itu dengan tongkat, tetapi Allah ﷻ berkata dalam ayat ini bahawa Dia yang belahkan. Maknanya, Allah ﷻ yang sebenarnya membelah laut itu, bukan Nabi Musa عليه السلام. Nabi Musa عليه السلام tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk mengeluarkan mukjizat.
Begitu juga, Tok wali juga tidak ada kuasa untuk mengeluarkan keramat. Keramat itu seperti mukjizat juga, tidak boleh berulang-ulang dilakukan mengikut niat pembuatnya. Hanya sekali sahaja dapat dilakukan dengan izin Allah ﷻ. Seperti juga Nabi Musa عليه السلام membelah laut itu, sekali sahaja dilakukan. Tidak ada cerita yang mengatakan, kalau baginda hendak menyeberang laut lagi, maka baginda membelah lagi laut ataupun sungai.
Jadi, keramat pun kalau terjadi, hanya sekali sahaja boleh dilakukan. Kalau keramat berlaku berulang kali, bermakna itu bukanlah keramat, tetapi adalah sihir. Sihir sahaja yang terjadi dengan kehendak orang itu dan boleh terjadi banyak kali.
Banyak orang yang boleh berbuat sihir. Kalau ada kuasa untuk melakukan sesuatu berulang kali, itu adalah sihir dan sihir adalah perbuatan kufur kepada Allah ﷻ. Mereka yang boleh membuat sihir itu adalah kerana mereka beramal dengan sesuatu amalan yang salah. Jadi, banyaklah orang yang mengamalkan wirid-wirid pelik dan “ilmu rahsia”.
Dalam pengajian sesat mereka itu, ilmu itu hanya boleh diberikan kepada orang tertentu sahaja. Kononnya kalau belum sampai tempoh atau tahap tertentu, tidak boleh pakai lagi. Dan ini amatlah bahaya kerana kalau mengamalkan sesuatu wirid tertentu, mesti ada mengamalkan tawasul di permulaannya.
فَأَنجَينَـٰڪُم
Maka Kami selamatkan kamu;
Allah ﷻ menyelamatkan mereka daripada ditenggelami laut dan daripada keluarga Firaun. Inilah nikmat yang amat besar yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka dan disebut zaman berzaman tentang kisah ini.
وَأَغْرَقْنَا آلَ فِرْعَوْنَ
Dan Kami tenggelamkan keluarga Firaun;
Keluarga Firaun telah ditenggelamkan dan dengan Firaun sekali. Bukanlah keluarganya sahaja tetapi berserta tentera dan pengikutnya sekali.
Dalam surah yang lain ada disebut, semasa dia lemas itu, barulah Firaun mahu beriman. Dia telah mengucap sebenarnya tetapi tidak diterima syahadahnya pada waktu itu. Ini adalah kerana iman waktu itu sudah terlambat. Kalau baru mahu beriman semasa menghadapi suasana yang menyebabkan kita mati, maka tidak diterima iman orang itu.
Contohnya, kalau kita kemalangan, dan waktu itu baru mahu beriman, ia tidak akan diterima. Kalau dia telah pernah melakukan syirik kepada Allah ﷻ, maka taubatnya pada waktu itu tidak diterima. Ini adalah kerana nyawanya sudah di kerongkong. Kalau dosanya jenis yang bukan syirik, in sha Allah masih lagi diterima.
Seluruh keluarga Firaun telah mati dalam laut. Tidak ada lagi yang meneruskan pemerintahannya selepas itu.
وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ
Sedangkan kamu waktu itu, sedang melihat;
Golongan Bani Israil yang ada pada waktu itu memang nampak sendiri dengan mata mereka bahawa memang betul Firaun mati lemas dalam Laut Merah. Mereka sendiri nampak bagaimana laut boleh terbelah dan mereka diberikan laluan kering di tengah-tengah laut itu. Dan mereka kemudian nampak laut itu menghempap Firaun dan pengikutnya.
Ini adalah nikmat kerana kaum lain tidak nampak azab yang dikenakan terhadap musuh mereka. Macam kaum Luth, mereka telah diarahkan untuk meninggalkan kaum mereka yang dan mereka tidak boleh toleh ke belakang pun melihat apa yang terjadi.
Kalau boleh nampak azab yang dikenakan kepada penentang, itu lebih seronok sebenarnya kerana boleh tengok sendiri. Dan Nabi Muhammad ﷺ telah diberikan kelebihan yang lebih lagi kerana baginda dapat balas dengan tangan sendiri untuk mengalahkan musuh baginda di dalam peperangan demi peperangan.
Jadi, walaupun Bani Israil itu dapat melihat Firaun dan tenteranya ditenggelamkan, tetapi mereka tidak berani lagi selagi mereka tidak melihat jasad Firaun. Takut-takut nanti timbul pula di tempat lain. Begitulah takutnya mereka dengan Firaun.
Maka, mereka telah mencari jasad Firaun sampai mereka jumpa. Ini adalah kerana telah ada kepercayaan di kalangan mereka bahawa Firaun tidak boleh mati. Kerana ada juga yang percaya bahawa Firaun adalah tuhan dan mereka hendak memastikan betul-betul bahawa Firaun telah mati. Maka ada disebut yang Allah ﷻ telah memuntahkan kembali jasad Firaun ke luar supaya mereka nampak yang memang Firaun benar-benar telah mati. Dan jasad mumia itulah yang kita dapat lihat sampai sekarang.
Jadi, Allah ﷻ sedang mengingatkan Bani Israil tentang jasa Allah ﷻ kepada mereka. Begitu juga Allah ﷻ katakan kepada kita, mengingatkan yang dulu kita pernah juga mengamalkan syirik kerana kita tidak tahu bahawa perbuatan syirik itu salah.
Atau dahulu kita miskin, dan Allah ﷻ telah berikan kekayaan. Allah ﷻ ingin mengingatkan kita tentang nikmat-nikmat yang Dia telah berikan kepada kita. Tentu banyak nikmat yang telah Allah ﷻ berikan.
Ayat 51: Ini adalah jasa ketiga yang Allah ﷻ ingatkan kepada mereka.
وَإِذ وٰعَدنا موسىٰ أَربَعينَ لَيلَةً ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظٰلِمونَ
And [recall] when We made an appointment with Moses for forty nights. Then you took [for worship] the calf after him, while you were wrongdoers.
Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).
وَإِذْ وٰعَدْنَا مُوسَىٰ
Dan ingatlah ketika Kami ambil perjanjian dengan Nabi Musa;
Kejadian ini berlaku setelah mereka selamat dari dikejar oleh Firaun dan selepas kisah belahan laut itu. Sepatutnya, selepas kejadian yang besar itu, bangsa Bani Israil sepatutnya telah menerima Nabi Musa عليه السلام sebagai Nabi mereka dan mereka sepatutnya taat kepada baginda tanpa soal lagi. Tetapi kita lihatlah apa yang terjadi.
أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
selama 40 hari;
Nabi Musa عليه السلام telah bertapa (bermunajat) di bukit Thursina untuk terima kitab Taurat. Nabi Musa عليه السلام pada waktu itu diperintahkan untuk membawa 70 ribu umatnya ke Bukit Thursina untuk menerima Kitab Taurat. Nabi Musa عليه السلام naik dahulu seorang diri. Sepatutnya dia bawa semua sekali naik bersamanya.
Jadi disebabkan itulah ujian diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام dan kaumnya. Asalnya adalah 30 malam, dan Allah ﷻ suruh tambah lagi 10 malam. Dalam tempoh itu, kaumnya yang menunggu berita di bawah telah menyembah patung anak sapi yang dibuat dari emas. Sebab bukan semua dibawa naik ke atas, ada yang ditinggalkan di bawah bukit Thursina. Yang menyembah patung sapi itu adalah mereka yang menunggu di bawah.
ثُمَّ اتَّخَذْتُمُ الْعِجْلَ
Kemudian kamu ambil anak lembu sebagai pujaan kamu
Kemudian mereka yang tidak pergi dengan Nabi Musa عليه السلام telah menjadikan patung anak lembu sebagai ilah pemujaan, dan mereka minta macam-macam kepadanya, selepas pemergian Nabi Musa عليه السلام pergi bertapa. Mereka puja anak lembu itu.
مِنْ بَعْدِهِ
selepas pemergian Nabi Musa
Iaitu selepas Nabi Musa عليه السلام naik ke Bukit Thursina. Bayangkan ini berlaku selepas segala apa yang telah terjadi dan segala apa yang mereka telah saksikan. Setelah Nabi Musa عليه السلام menyelamatkan mereka dan selepas Allah ﷻ telah belahkan laut untuk mereka. Mereka masih lagi melakukan perkara syirik. Maka amat berat sekali dosa yang telah mereka lakukan.
وَأَنْتُمْ ظٰلمُونَ
dan kamu waktu itu zalim;
Makna ‘zalim’ dalam ayat ini bermaksud syirik. Ada di kalangan umat Nabi Musa عليه السلام yang telah menyembah patung anak sapi. Orang-orang lain tidak berani melarang, kerana yang buat itu adalah orang-orang yang gagah. Nabi Harun pun tidak berani hendak melarang mereka kerana telah dibentak oleh mereka. Kalau baginda teruskan juga, maka baginda mungkin dibunuh.
Yang menjadi kepalanya adalah Musa Samiri. Allah ﷻ hendak menekankan bahawa yang zalim sebenarnya adalah mereka. Kerana bangsa Bani Israil ini adalah jenis yang menyalahkan orang lain dalam kesalahan mereka. Sampai Allah ﷻ pun mereka salahkan apabila mereka telah melakukan kesalahan. Jadi Allah ﷻ ingin menekankan bahawa merekalah sebenarnya yang bersalah, bukannya orang lain, bukannya Allah ﷻ.
Ayat 52: Ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini. Inilah nikmat yang diberikan kepada mereka. Sebelum ini disebut kesyirikan yang mereka lakukan.
ثُمَّ عَفَونا عَنكُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Then We forgave you after that so perhaps you would be grateful.
Kemudian sesudah itu Kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
ثُمَّ عَفَوْنَا عَنْكُمْ
Kemudian Kami ampunkan kamu;
Iaitu mereka tidak terus dihancurkan kerana kesyirikan mereka itu. Maknanya tidak dihancurkan semua umat mereka sampai tidak ada baka. Sebahagian sahaja dibunuh, iaitu mereka yang melakukan syirik itu.
Sedangkan dalam sejarah, ada kaum yang dimusnahkan semua sekali keturunan mereka walaupun bukan semua yang berbuat salah. Mereka itu dimusnahkan kerana mereka tidak menegur golongan yang membuat salah itu.
Makna عَفَ adalah memaafkan dalam keadaan sayang. Kerana kita boleh juga maafkan seseorang tetapi kita marah dalam kepadanya. Tetapi Allah ﷻ menggunakan perkataan yang menunjukkan Dia masih sayangkan mereka. Inilah nikmat dan jasa yang Allah ﷻ maksudkan.
Lagi satu makna عَفَ adalah Allah telah hapuskan rekod dosa itu. Tidak ada dalam rekod lagi, semua telah dibersihkan (expunge). Jadi dalam hal ini, kalimah عَفَ lebih kuat dari غفر kerana kalau غفر bermaksud telah maafkan, tapi rekod ada lagi.
Allah ﷻ memaafkan semua sekali dosa mereka. Bukanlah dengan Allah ﷻ memaafkan itu hendak mengatakan yang perbuatan mereka itu betul, tetapi maaf itu dengan makna Allah ﷻ telah menerima taubat mereka. Taubat mereka itu pula dengan hukum bunuh. Sesiapa yang sembah anak lembu dikenakan bertaubat dan untuk taubat, kenalah dibunuh. Itulah syariat Nabi Musa عليه السلام waktu itu.
Dan satu lagi nikmat Allah ﷻ kepada mereka: walaupun mereka sembah anak lembu itu, Allah ﷻ tidak turunkan azab ke atas mereka yang boleh menghapuskan seluruh keturunan mereka itu. Sampai sekarang Bani Israil itu masih ada lagi.
Yang tidak sembah anak lembu itu dibiarkan hidup seperti biasa, dan yang sembah sahaja dikenakan hukum bunuh. Jadi ada dua nikmat yang Allah ﷻ telah berikan.
مِّنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ
selepas kamu sembah anak lembu itu;
Selepas kejadian mereka menyembah anak sapi itu, mereka telah diarahkan untuk bertaubat. Dan taubat mereka telah diterima Allah ﷻ. Cara mereka bertaubat adalah: mereka kena saling bunuh membunuh sesama mereka. Iaitu mereka yang tidak menyembah anak patung itu disuruh membunuh mereka yang telah menyembah.
Waktu itu Allah ﷻ turunkan kabus supaya tidak nampak siapakah yang mereka bunuh. Mujurlah syariat kita tidak macam itu lagi, iaitu tidak perlu bunuh diri. Cukup sekadar taubat sahaja kalau pernah melakukan syirik. Kalau tidak, banyaklah yang kena bunuh kerana banyak sangat amalan syirik yang kita buat sebenarnya tanpa kita sedari.
لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Mudah-mudahan kamu bersyukur;
Tujuannya mereka diampunkan adalah supaya mereka boleh bersyukur kepada Allah ﷻ dengan melakukan ketaatan. Maknanya syukur itu kenalah ditunjukkan dengan melakukan taat kepada perintah dan larangan Allah ﷻ. Mereka sepatutnya bersyukur kerana lepas membuat syirik itu, Allah ﷻ masih mahu mengampunkan lagi kesalahan syirik mereka.
Syarat untuk taubat kita diterima, kita kenalah hidup lagi. Kalau sudah mati, tidak ada harapan untuk diterima taubat. Kita kenalah meminta ampun selagi kita masih hidup. Kalau kita sudah mati, tidak ada sesiapa yang boleh memohon ampun dosa syirik kita.
Kalau dosa selain syirik, masih boleh lagi sanak saudara atau orang Islam yang lain mohon mengampunkan dosa untuk kita. Tetapi untuk dosa kesalahan syirik, pembuat syirik itu kenalah meminta ampun sendiri. Dan ini kenalah dilakukan sebelum mati.
Ayat 53: Ini adalah nikmat keempat.
وَإِذ آتَينا موسَى الكِتٰبَ وَالفُرقانَ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ
And [recall] when We gave Moses the Scripture and criterion that perhaps you would be guided.
Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
وَإِذْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتٰبَ
Dan ingatlah ketika Kami beri kepada Nabi Musa Kitab Taurat;
Kitab yang dimaksudkan adalah Kitab Taurat. Kitab itu bermaksud mereka telah diberikan dengan hukum yang mereka kena ikuti.
وَالْفُرْقَانَ
sebagai pembeza;
Iaitu pembeza antara hak dan batil. Kalau buat begini, syirik; kalau begitu, tidak. Al-Qur’an pun sama juga menjelaskan apakah syirik supaya kita dapat membezakannya. Kerana itu Al-Qur’an juga dikenali sebagai al-Furqan. Dari segi akidah, serupa sahaja ajaran Al-Qur’an dengan kitab-kitab yang lain. Yang berbeza, adalah dari segi syariat.
Kalimah الفرقان di dalam ayat ini mempunyai dua tafsiran:
1. Sebagai penjelasan bagi sifat Kitab Taurat. Iaitu Kitab Taurat itu menjadi pembahagi, penerang, pembeza antara benar dan batil.
2. Oleh kerana ada huruf و (dan) sebelum kalimah الفرقان itu, jadi ia memberi indikasi bahawa ia adalah perkara yang lain. Jadi ada tafsir yang mengatakan kalimah الفرقان (pembeza) itu merujuk kepada mukjizat-mukjizat yang telah diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام sebagai tanda kebenaran baginda.
لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
supaya kamu mendapat petunjuk;
Mereka sepatutnya menggunakan Kitab Taurat itu sebagai panduan petunjuk mereka. Sebagai manusia kita semua kenalah ada usaha untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah. Dan Allah ﷻ sudah menlong dengan beri Kitab kepada mereka.
Tetapi kitab itu kenalah dipelajari dan diikuti. Bukanlah kalau sudah ada Kitab dari Allah ﷻ, terus selamat. Yang menerimanya kena belajar dan berpegang dengannya. Perumpamaannya, Allah ﷻ sudah membuat jalan untuk mereka, sekarang mereka kena mengikut sahaja jalan itu.
Begitulah jugalah kita dengan Al-Qur’an ini, perlu dipelajari. Jangan setakat berbangga sahaja ada Al-Qur’an tetapi tidak faham apakah yang Al-Qur’an sampaikan. Majoriti dari masyarakat kita hanya tahu baca sahaja Al-Qur’an itu tapi tidak tahu apakah yang disampaikan oleh Al-Qur’an. Maka amat malang sekali.
Maka banyak sangat nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israil itu. Kalau diikutkan begitu kurang ajarnya mereka, sudah tentu mereka itu tidak layak untuk mendapat nikmat lagi. Namun Allah ﷻ tetap berikan juga Kitab Taurat kepada mereka. Mudah-mudahan dengan kitab itu mereka terpimpin.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 23 Oktober 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain