Tafsir Surah al-Kaafiroon Ayat 1 (Deklarasi peperangan)

Pengenalan:

Surah ini sukar untuk ditafsirkan kerana walaupun ianya pendek sahaja, tapi ia mengandungi banyak pengajaran di dalamnya. Tidaklah nampak mudah sahaja. Tapi, kita cuba juga untuk mudahkan supaya kita dapat memahaminya sedikit sebanyak, in shaa Allah.

Surah ini adalah untuk memutuskan hubungan dengan orang kafir Mekah. Mereka memang ada agama, tapi agama yang salah. Tidak boleh hendak ikut apa yang mereka lakukan. Jadi, Allah ajar kita bagaimana berurusan dengan mereka – mereka mesti ikut kita dan kita tidak boleh ikut mereka. Kalau setelah dakwah mereka masih tidak mahu ikut, maka mestilah tinggalkan mereka dengan apa yang mereka lakukan itu. Tidak ada jalan tengah, tidak ada kompromi dengan mereka.

Sebelum itu, mari kita lihat kaitan surah ini dengan Surah al-Kauthar:

Dalam surah al-Kauthar, orang kafir telah menghina Nabi Muhammad SAW kerana baginda telah mengalami kematian anak lelakinya – mereka mengatakan keturunan baginda terputus. Allah jawab dalam surah itu bahawa mereka sebenarnya yang akan terputus, bukannya baginda.

Perbuatan mereka membenci Nabi itu adalah amat buruk sekali dan sekarang dalam surah al-Kaafiroon ini Allah memberitahu kita yang mereka membenci Nabi Muhammad SAW itu adalah kafir sebenarnya. Mereka berkata yang Nabi Muhammad SAW abtar, tapi Allah balas dengan berkata yang mereka itu kafir. Ada beberapa perkara tentang panggilan ini yang kita perlu bincangkan.

1) Penghinaan mereka terhadap Rasulullah itu tidak ada nilai kerana itu adalah kata-kata mereka sahaja. Mereka berkata bahawa ajaran baginda akan terputus kerana baginda tidak ada anak lelaki dan itu tidak terbukti – agama Islam terus berkembang.

Sedangkan panggilan ‘kafir’ kepada mereka itu datangnya daripada Allah dan itu adalah kebenaran. Kutuklah Nabi Muhammad SAW bagaimana juga, baginda tetap mulia.

2) Semasa mereka menghina baginda, ianya bukanlah atas akhlak buruk baginda kerana mereka memang tidak ada apa-apa hujah untuk mengutuk akhlak baginda kerana akhlak baginda adalah terbaik. Tapi, apabila Allah kutuk mereka dengan gelaran ‘kafir’ itu, ianya adalah berkait dengan sifat mereka yang buruk.

Itu memang kesalahan mereka yang mereka lakukan dan memang layak mereka diberikan dengan gelaran itu. Sedangkan yang mereka kutuk Nabi Muhammad SAW itu, itu bukanlah salah baginda.

3. Kaitan seterusnya dengan surah al-Kawthar, kita telah belajar bagaimana mereka yang memusuhi Nabi Muhammad SAW itu dikira sebagai شانِئَ dan ianya adalah jenis musuh yang paling teruk sekali. Allah telah memberitahu perangai mereka dan apa yang ada dalam hati mereka. Mereka itulah yang kufur sebenarnya.

Mereka telah didakwah bertahun-tahun dengan cara yang sebaik-baiknya, tapi mereka masih lagi tidak mahu beriman. Malah mereka menghina dan menyakitkan hati Nabi. Dalam Surah Al-Kawthar mereka digelar sebagai شانِئَ dan dalam surah al-Kaafiroon ini, mereka digelar sebagai ‘kafir’.

Tapi, mereka memang kuat dan berkuasa waktu itu kerana bilangan mereka yang ramai. Mereka hendak halang Nabi dan para sahabat dari berdakwah, nampaknya tidak berjaya. Maka, mereka menyangka yang dengan kedudukan mereka, mereka boleh buat kompromi dengan baginda.

Mereka tawarkan kepada baginda untuk berkongsi – tahun ini kita amalkan tauhid, tahun depan kita amalkan syirik pula, tukar-tukar. Dalam masa yang sama juga, mereka tawarkan kekayaan dan kedudukan kepada baginda asalkan baginda memberhentikan dakwah baginda. Itulah tawaran mereka yang terakhir sekali.

Mereka buat tawaran itu kerana mereka sudah agak yang baginda tidak akan meninggalkan dakwah baginda. Begitu juga dengan para sahabat yang lain. Jadi, mereka fikir dengan mendalam. Maka, itulah jalan penyelesaian yang mereka rasa boleh mereka ambil. Mereka cuba hendak mengambil hati Nabi. Dalam surah al-Qalam:9 Allah ada berfirman:

وَدّوا لَو تُدهِنُ فَيُدهِنونَ

Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).

Ini juga adalah taktik syaitan. Kalau syaitan tidak dapat mengkufurkan kita sepenuhnya, mereka akan cuba ubah kita supaya ambil sedikit perkara yang salah supaya tidak sepenuhnya Islam. Sedang Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah:208

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُواتِ الشَّيطانِ

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.

Kita hendaklah mengambil dan mengamalkan Islam 100%. Jangan termakan dengan bisikan syaitan – maka, jangan ada kompromi. Kalau kita sudah kompromi sikit, maka nanti syaitan akan bisikkan lagi untuk ambil lagi perkara lain – akhirnya boleh jadi kafir terus.

Oleh itu, ambil sebahagian sahaja hukum Islam adalah mengikut jejak langkah syaitan sebenarnya. Salah satu cara syaitan adalah supaya kita menolak sebahagian sahaja dari ajaran Islam – tidak perlu sepenuhnya. Inilah bahayanya kompromi yang kita harus jaga dan berhati-hati. Hendak kompromi boleh, tapi lihat terlebih dahulu dalam hal apa. Kalau dalam hal tauhid, langsung tidak boleh.

Ini seumpama empangan yang ada retak. Retak itu kecil sahaja, tapi lama-lama ia akan membesar dan menyebabkan keseluruhan empangan itu pecah. Adakah kita mahu jadi seperti itu?

Nabi Muhammad SAW tidak melayan langsung kompromi mereka itu. Dalam surah al-Kawthar sebelum ini, telah disebut dengan nikmat-nikmat yang diberikan dan dijanjikan kepada baginda. Maka dengan janji itu, tidak ada apa lagi yang Musyrikin Mekah itu boleh tawarkan kepada baginda. Baginda ada yang lebih baik lagi dari apa yang mereka dapat tawarkan. Jadi , baginda tidak melayan tawaran mereka itu. Baginda tidak boleh disogok langsung.

Tambahan pula, baginda telah dijanjikan dengan kejayaan. Allah beritahu dalam surah al-Kawthar itu juga yang orang musyrikin itulah nanti yang akan terputus. Maksudnya, mereka akan mengalami kekalahan nanti. Jadi, baginda tidak dapat diancam dengan apa-apa pun. Baginda sudah tahu yang baginda akan menang.

Oleh itu, baginda tidak ada masalah untuk memanggil mereka dengan gelaran al-Kaafiroon walaupun panggilan itu mengundang marah mereka. Baginda tidak perlu takut dengan reaksi mereka. Mereka mungkin mahu menyerang baginda selepas itu, tapi mereka tidak akan menang.


 

Ayat 1: Ini yang Allah ajar bagaimana hendak bercakap dengan orang kafir Mekah itu. Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi deklarasi daripada Nabi Muhammad SAW yang baginda tidak akan sembah tuhan-tuhan golongan musyrik.

قُل يا أَيُّهَا الكافِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Kāfirūn: The Disbelievers. The Prophet () mentioned that this sūrah is disassociation from shirk(worship of anything other than Allāh) for him who recites it. (Narrated by Aḥmad, Abū Dāwūd and at-Tirmidhī – ḥasan.)

Say, “O disbelievers,

(MALAY)

Katakanlah: “Hai orang-orang kafir,

 

Allah suruh Nabi Muhammad SAW panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ. Walaupun Musyrikin Mekah itu sanggup untuk kompromi (satu tahun amal tauhid dan satu tahun lagi amal syirik), tapi Allah tetap menggelar kan mereka dengan gelaran الكافِرونَ.

Panggilan yang Allah gunakan itu penting untuk kita ketahui. Ia menunjukkan kepada kita mereka yang menolak Al-Qur’an itu adalah الكافِرونَ dan Allah tidak mahu bercakap terus dengan mereka. Ini adalah kerana Allah murka kepada mereka. Mereka tidak layak ditegur oleh Allah dan dalam ayat surah ini juga, Allah tidak bercakap terus dengan mereka, tapi Allah menyuruh Nabi Muhammad SAW yang bercakap dengan mereka.

Kita hendaklah mengingat kembali siapakah Musyrikin Mekah ini. Mereka kenal Allah dan mereka terima Allah itu sebagai Tuhan dan Pencipta. Kalau ditanya siapakah yang mencipta langit dan bumi dan semua yang ada dalam alam ini, mereka tetap akan kata: Allah. Tapi, mereka tetap digelar الكافِرونَ juga dalam ayat ini.

Selalunya, mereka digelar ‘musyrikin’, tapi kali ini mereka digelar الكافِرونَ. Kalau pemahaman kita yang biasa, الكافِرونَ itu adalah mereka yang menolak kewujudan Allah, bukan? Sedangkan musyrik itu adalah mereka yang terima Allah sebagai Tuhan, tapi dalam masa yang sama mereka menyembah juga kepada selain Allah. Selalunya kita panggil Quraish itu sebagai ‘musyrikin’, tapi kenapa kali ini mereka dipanggil الكافِرونَ pula?

Dalam sejarah disebut yang tawaran kompromi itu datang dari  Aswad b. Abdil Muttalib, Umayyah b. Khalf, Waleed b. Mughirah dan para pemimpin Quraish yang lain.

Kadangkala kita boleh lihat persamaan antara dakwah dan menjual barangan. Kalau dalam jualan, penjual mengharapkan pembeli akan membeli dan  kerana itu penjual mesti memujuk dan kadangkala hendaklah mengurangkan harga barang, beri barangan tambahan dan sebagainya, hanya untuk membuat jualan. Keputusan ada di tangan pembeli. Jadi, kalau mereka tahu penjual begitu mengharap untuk menjual, mereka akan buat bermacam-macam permintaan kerana mereka tahu keputusan berada di tangan mereka, bukan?

Kita juga tahu bagaimana Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh berdakwah dan berharap supaya mereka masuk ke dalam agama Islam. Oleh kerana itu, mereka menyangka yang mereka berada di kedudukan di atas dan mereka boleh buat permintaan kerana mereka nampak Nabi Muhammad SAW beriya-iya sangat. Oleh kerana itu mereka telah menawarkan kompromi kepada baginda supaya mereka bertukar-tukar menyembah Allah dan menyembah juga sembahan lain di tahun seterusnya.

Mereka menyangka itu sudah menjadi satu tawaran yang bagus untuk baginda. Tapi Allah menyuruh Nabi menolak tawaran mereka itu dan bukan itu sahaja, Allah terus menyuruh panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ. Tidak perlu jawab apa yang mereka tawarkan itu, terus panggil sahaja mereka sebagai الكافِرونَ. Jadi, kenapa mereka digelar dengan gelaran yang keras itu?

Kalimah الكافِرونَ digunakan dalam bentuk isim iaitu isim fa’il (pembuat). Dari segi balaghah, ini lebih kuat lagi dari fi’il (kata kerja). Apabila digunakan dalam bentuk isim, ia memberi isyarat bahawa mereka itu sudah tenggelam dalam kekafiran mereka sama ada dulu, sekarang dan akan datang. Mereka itu tidak akan berubah sampai bila-bila. Allah juga tahu tentang perkara ini dan kerana itulah Allah menyuruh Nabi Muhammad SAW panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ itu kerana Allah sudah pasti – maksudnya bukan Nabi Muhammad SAW yang reka gelaran ini kerana Nabi tidak tahu hati mereka.

Oleh itu, penggunaan الكافِرونَ itu lain kalau Allah gunakan kalimat الذين كفروا (fi’il). Kerana kalau dalam bentuk fi’il sahaja, itu menunjukkan ada kemungkinan mereka akan berubah dari kekafiran itu. Tapi, apabila digunakan dalam bentuk isim, tidak ada lagi harapan itu. Nasib mereka telah diikat, hati mereka telah ditutup dari menerima hidayah (khatmul qalbi).

Jadi kita hendaklah berhati-hati – surah ini bukan tentang semua orang kafir – bukan semua Ah Chong dan Muniandy. Tapi, ianya tentang sekumpulan golongan yang telah diberi dengan segala dakwah dan peluang untuk beriman dan menerima agama Islam. Bayangkan Musyrikin Mekah itu telah menerima dakwah yang terbaik dari pendakwah yang terbaik dengan akhlak yang paling baik (Rasulullah SAW). Tidak ada lagi yang lebih baik daripada baginda.

Baginda telah memberikan sepenuh tenaga dan usaha untuk memperkenalkan Islam kepada mereka selama 13 tahun (3 tahun dakwah secara sembunyi dan 10 tahun dakwah secara terang), tapi mereka tetap menolak. Oleh itu, tiada gelaran yang lebih sesuai lagi untuk mereka, iaitu الكافِرونَ. Maka, janganlah kita memanggil jiran-jiran kita dengan gelaran الكافِرونَ kalau kita juga tidak pernah lagi berdakwah kepada mereka.

Ini penting untuk kita faham kerana kadang-kadang ada orang yang cuai dalam memahami Al-Qur’an dan cuai dalam cara berkomunikasi dengan orang lain. Ramai yang menggunakan kalimah ‘kafir’ ini kepada semua orang bukan Muslim (malah ada yang menggunakannya untuk orang Islam juga). Kita hendaklah tahu yang ianya tidak semudah itu. Jangan kita samakan semua orang bukan Muslim sebagai ‘kafir’ seperti dalam ayat ini.

Tapi, kenapa Musyrikin Mekah itu digelar الكافِرونَ dan bukan musyrikin? Kerana setelah sekian lama mereka tetap tidak mahu meninggalkan fahaman dan amalan syirik mereka itu, maka itu sendiri adalah perbuatan kufur.

Kebiasaannya apabila Allah menggunakan kalimah كفر, selalunya Allah akan sebut kufur dengan apa – kufur dengan Allah, dengan hari akhirat, kufur dengan nikmat dan sebagainya. Tapi dalam ayat ini, Allah tidak beritahu mereka kufur dengan apa – maksudnya mereka kufur dengan semua sekali.

Mereka menyangka yang mereka percaya dengan Allah dan menjadi penjaga Ka’bah, maka mereka sudah bagus, tapi tidak sama sekali. Mereka sebenarnya kufur dengan Rasulullah SAW dan menolak wahyu-Nya. Mereka juga telah menolak fitrah dalam diri mereka, iaitu fitrah keimanan seperti yang disebut dalam surah al-A’raf:172.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني آدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيامَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غافِلينَ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka: “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,

Mereka yang kafir itu telah menolak apa yang telah ada dalam hati mereka dan luaran mereka, maka mereka itu memang layak digelar sebagai الكافِرونَ. Mereka menutup isi hati mereka. Ini adalah kerana kata dasar ك ف ر bermaksud ‘menutup’.

Salah satu dari maksud kufur adalah ‘kufur nikmat’. Iaitu mereka yang telah mendapat nikmat, tapi tidak menghargai nikmat itu. Musyrikin Mekah itu telah mendapat banyak nikmat dari kerana doa Nabi Ibrahim a.s. yang mendoakan supaya Mekah itu Allah jadikan negeri yang aman dan banyak makanan. Kita juga sudah membaca banyak kelebihan yang mereka dapat dalam surah al-Quraish.

Dan dalam surah al-Feel, telah disebut bagaimana mereka telah diselamatkan dari serangan Tentera Abrahah. Tapi, dengan segala nikmat yang Allah berikan itu, mereka tetap bukan menyembah Allah sahaja, sebaliknya mereka menyembah juga benda lain seperti berhala. Maka, mereka itu memang kufur nikmat.

Seperti yang kita ketahui, Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang lembut dalam perwatakan baginda. Ini disebut dalam banyak ayat dalam Al-Qur’an selain dari hadis yang sahih. Sebagai contoh, dalam surah Ali Imran:159

فَبِما رَحمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم

(Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka)

Memang baginda juga disuruh untuk berdakwah dengan lembut seperti yang disebut dalam surah an-Nahl:125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجادِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ

(Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik).

Jadi, kalau daripada baginda sendiri, baginda tidak akan panggil mereka dengan gelaran yang kasar. Oleh itu, Allah yang suruh baginda panggil mereka dengan gelaran الكافِرونَ dengan arahan قُل (katakanlah). Maka, Nabi mesti berkata begitu juga. Baginda mesti berkata begitu kerana Allah menyuruh baginda berkata seperti itu. Selama hari itu, baginda tidak pernah menggunakan kata-kata yang kasar terhadap mereka walaupun mereka telah melakukan perkara yang amat teruk terhadap baginda dan para sahabat.

Ianya adalah kata pemutus/penamat daripada Allah dan Nabi. Maknanya, tidak ada dakwah lagi kepada mereka, kerana hati mereka memang telah tertutup. Mereka tidak akan beriman sampai bila-bila. Nabi juga tidak boleh tunjukkan kelembutan dan rahmah lagi kepada mereka. Kerana masa mereka telah habis.

Dari kalimah قُل itu sendiri ada banyak pengajaran. Ia menunjukkan bahawa bukan Nabi yang membuat keputusan mereka itu kafir, tapi Allah sendiri. Allah yang menyuruh baginda sampaikan kepada mereka. Maksudnya juga, Nabi tidak ada hak memutuskan untuk menerima kompromi mereka. Keputusan bukan di tangan Nabi. Nabi hanya menyampaikan dan itulah pangkat baginda Rasulullah SAW – sebagai pembawa risalah sahaja.

Bagaimanakah Rasulullah SAW menyampaikan surah ini kepada Musyrikin Mekah? Baginda datang berjumpa mereka ketika mereka sedang bermesyuarat dan baginda terus berjalan kepada mereka dan berkata: يا أَيُّهَا الكافِرونَ. Baginda tidak lagi panggil mereka dengan gelaran biasa: wahai orang Mekah, wahai Quraish dan sebagainya.

Oleh kerana mereka telah menolak baginda, maka baginda sedang menolak mereka. Apabila baginda memanggil mereka dengan gelaran itu, itu adalah tanda yang baginda sedang mengisytiharkan yang baginda sedang menanggalkan kerakyatan baginda dari Mekah. Ianya juga adalah satu perisytiharaan perang. Dan kita hendaklah ingat bahawa Allah yang menyuruh baginda berkata begitu.

Orang kafir Mekah itu tahu yang Nabi Muhammad SAW tidak menipu (walaupun mereka menuduh baginda penipu di khalayak ramai). Mereka juga tahu bagaimana baginda menggunakan bahasa yang paling baik dan paling lembut dengan sesiapa sahaja. Tapi, tentu mereka terkejut dengan penggunaan bahasa baginda sekarang. Ini menambahkan kepedihan di dalam ayat ini.

Maksudnya disini, mereka itu sangat teruk hinggakan seorang yang lembut dan berhati mulia juga memanggil mereka dengan gelaran yang teruk. Kalau orang yang biasa menggunakan bahasa yang kesat berkata, kita tidak kisah sangat, bukan? Tapi, kalau orang baik yang berkata, tentu menambahkan kesan.

Penggunaan kalimah يا أَيُّهَا juga perlu kita sentuh. Kalimah ini digunakan dalam suasana formal, bukan suasana biasa. Sebagai contoh, kita tidak gunakan untuk bercakap dengan budak-budak. Selalu kita lihat digunakan kepada Nabi Muhammad SAW (Yaa ayyuhaa- rasool atau yaa ayyuha an-nabi) sebagai penghormatan kepada baginda.

Keduanya, penggunaan يا أَيُّهَا memberi isyarat bahawa apa yang akan disebut selepas itu bukanlah cakap-cakap kosong tapi ianya adalah sesuatu yang penting, yang serius. Jadi ada elemen formal dan elemen serius – memberi isyarat yang ini bukanlah perbuatan yang mesra tapi ianya adalah perisytiharaan daripada baginda kepada Musyrikin Mekah itu.

Jadi, dari ayat pertama ini lagi sudah ada elemen yang memutuskan hubungan dengan Musyrikin Mekah itu. Orang selalu sangkakan yang ayat terakhir itu sahaja yang memutuskan hubungan – لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ.

Oleh itu, dalam ayat pertama ini sahaja sudah menunjukkan kemurkaan Allah kepada Musyrikin Mekah. Setelah mereka menawarkan kompromi kepada Rasulullah SAW, jawapan dari pada baginda bukan setakat ‘tidak’ sahaja, tapi Allah menyuruh baginda panggil mereka يا أَيُّهَا الكافِرونَ. Ianya seperti menyumpah mereka kerana Allah sangat murka kepada mereka. Jadi, kalau tahu tafsir ayat ini, barulah kita tahu yang ianya bukanlah ayat biasa sahaja.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s