Ini adalah Bahagian 2 dari Tafsir Ayat 1 Bahagian 1.
Kita telah senaraikan banyak nikmat-nikmat yang ulama tafsir senaraikan sebelum ini dalam bahagian 1. Sekarang ada lagi tambahan dari mufassir yang lain pula:
1. Allah telah menjadikan Nabi Muhammad SAW dengan akhlak yang amat mulia. Ini disebut dalam Qalam:4
وَإِنَّكَ لَعَلىٰ خُلُقٍ عَظيمٍ
Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.
Oleh itu, segala perbuatan Nabi adalah mulia dan dalam akhlak yang terbaik. Jadi kita tidak perlu malu dengan apa yang dilakukan oleh Nabi kita. Ini kita bercakap tentang hujah baginda kahwin banyak dan sebagainya lagi yang dibangkitkan oleh mereka yang benci pada Islam. Semua itu tidak ada masalah kerana apa yang dilakukan oleh baginda adalah yang terbaik. Ini adalah salah satu nikmat dari Allah kepada baginda.
2. Allah telah memberikan pangkat Nabuwwah dan Risaalah (pangkat kenabian dan sebagai pembawa Risalah dari Allah) – baginda telah diangkat sebagai pembawa Kitab yang terakhir sehinggalah ke Kiamat kelak. Tidak akan ada lagi Kitab dari Allah selepas Al-Qur’an.
3. Baginda dibangkitkan sebagai rahmat kepada sekalian alam. Allah sebut tentang perkara ini dalam Anbiya:107
وَما أَرسَلناكَ إِلّا رَحمَةً لِلعالَمينَ
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
Ramai yang mengutuk agama Islam dengan mengatakan agama Islam adalah agama pembenci dan menggalakkan keganasan. Ini kita tidak terima kerana kita yang faham tentang agama kita sendiri. Kalau tidak faham, kenalah fahami agama sendiri supaya tidak dimomokkan oleh orang lain.
Malangnya ramai yang tidak faham agama sendiri sampaikan apabila dibangkitkan isu-isu tertentu, ramai yang jadi gelabah tak tahu nak jawab apa. Sebagai contoh, satu perkara yang dibangkitkan oleh musuh Islam adalah tentang ayat-ayat dalam Surah Tawbah.
Mereka kata inilah bukti yang agama Islam ini adalah agama ganas yang sukakan peperangan dan agama Islam dikembangkan dengan pedang. Kalau kita sendiri tidak faham Al-Qur’an kita sendiri, maka memang ada masalah. Secara ringkas sekarang disebut bagaimana menjawab tuduhan ini:
Allah telah menghantar begitu banyak Rasul kepada kaum mereka. Dan kita pun tahu bagaimana banyak kisah bagaimana umat Rasul-rasul itu menolak mereka. Dan kita pun telah baca bagaimana kerana kedegilan mereka itu, mereka telah dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi (contohnya Firaun yang ditenggelamkan). Ini adalah kerana mereka itu menolak Rasul mereka secara ‘berhadapan’. Begitulah yang telah berlaku terhadap umat-umat terdahulu. Orang agama lain seperti Kristian dan Yahudi pun tahu tentang perkara ini.
Lalu bagaimana dengan kisah Nabi Muhammad SAW di dalam dakwah baginda? Tidakkah baginda juga ditolak secara berhadapan juga? Mereka tolak baginda dan macam-macam mereka cuba untuk menyakiti hati baginda (secara fizikal dan mental).
Bayangkanlah bagaimana baginda menghadapi Musyrikin Mekah itu selama 10 tahun di Mekah. Perkara yang mereka lakukan, kalau kaum dulu sudah kena azab, tapi lain dengan kaum Nabi Muhammad. Azab benda alam tidak dikenakan kepada mereka. Tapi adakah mereka layak untuk diazab di dunia lagi? Tentu, kerana kalau kaum sebelum itu layak diazab, begitu jugalah Musyrikin Mekah. Tapi tidak terjadi begitu, bukan?
Kembali kepada Surah Tawbah. Ini adalah selepas Islam telah mendapat kejayaan dan Islam telah dapat menakluk Mekah, tempat baginda dihalau dahulu. Mereka dulu menentang dan menyerang Nabi tapi adakah Rasulullah suruh mereka itu semua dibunuh?
Tidak, malah mereka diberi masa 4 bulan untuk berfikir sama ada untuk masuk Islam, lari menyelamatkan diri atau mereka bersedialah untuk berperang dengan Islam. 4 bulan…. adakah kaum-kaum lain sebelum kaum Nabi Muhammad SAW diberi dengan kesempatan ini? Tidak. Kalau ada pun, hanya beberapa hari sahaja.
Malah mereka diberi peluang untuk lihat dulu apakah agama Islam itu sebenarnya. Ini disebut dalam Tawbah:6
وَإِن أَحَدٌ مِنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبلِغهُ مَأمَنَهُ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لا يَعلَمونَ
Dan jika seorang diantara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.
Kalau zaman itu, mereka boleh datang ke Madinah dan mereka boleh lihat sendiri bagaimana Al-Qur’an itu diamalkan oleh para sahabat Nabi. Mereka boleh nilai sendiri sama ada Al-Qur’an itu adalah wahyu Allah atau tidak.
Lihatlah bagaimana lembutnya balasan kepada mereka yang dulunya menentang Nabi Muhammad SAW semasa mereka di Mekah. Inilah kelebihan yang diberikan kepada baginda. Mereka diberi peluang yang luas sekali yang tidak diberikan kepada umat-umat sebelum umat Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan dengan rahmat yang dibawa oleh baginda (Islam agama rahmat – rahmatan lil aalameen).
Akan tetapi, kalau mereka tetap tidak mahu beriman, mereka diberi masa 4 bulan. Mereka boleh pilih sama ada untuk lari jauh dari negara Islam atau mereka boleh bersedia untuk berperang dengan orang Islam selepas 4 bulan itu habis.
Dalam konteks inilah Surah Tawbah itu digunakan – iaitu kalau mereka tetap hendak berperang dengan orang Islam. Maka kita kena faham kisah ini dan hujah ini, kerana kalau tidak, kita mungkin termasuk mereka yang mengatakan Islam ini adalah agama yang ganas dan suka berperang pula.
Dan ada juga yang bodoh agama dan akalnya, boleh percaya pula kepada tafsiran orang gila yang mengajar untuk membunuh orang. Inilah bahaya kejahilan – senang ditipu oleh orang gila. Orang gila sepatutnya dimasukkan ke pusat rawatan, bukannya diagungkan dan diikut kata-kata mereka.
4. Baginda diberikan dengan Al-Qur’an – mukjizat yang terakhir
Nabi-nabi lain pun dapat mukjizat juga bukan? Akan tetapi apa bezanya dengan Al-Qur’an yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW yang berada di tangan kita sekarang? Memang ada bezanya kerana mukjizat para Nabi yang terdahulu itu hanya dapat dilihat pada masa mereka mengeluarkan mukjizat itu sahaja. Ianya tidak kekal seperti Al-Qur’an yang kekal sampai sekarang.
Mukjizat itu pada masa zaman mereka sahaja, dan selepas itu ia hanya tinggal jadi sejarah dan cerita sahaja. Contohnya, kalau ada yang melihat tongkat Nabi Musa jadi ular, mereka yang melihat sahaja yang nampak dan selepas itu mereka boleh sampaikan dalam bentuk cerita sahaja kepada orang lain, tak boleh nak tunjuk.
Akan tetapi untuk umat Nabi Muhammad SAW, Al-Qur’an itu kekal sebagai mukjizat sepanjang zaman dan untuk semua orang. Al-Qur’an itu dari dulu begitu, sekarang pun macam itu juga dan ia akan kekal sampai bila-bila. Kita boleh tunjuk kepada orang lain pada bila-bila masa sahaja kerana amat mudah untuk didapati.
5. Baginda diberikan al-Adl dan al-Fath (keadilan dan kejayaan).
Kedua perkara ini bergandingan tangan. Allah lantik Nabi untuk membawa keadilan yang didahagakan oleh setiap manusia. Dengan kekuasaan di tangan umat Islam, ianya adalah kerajaan yang:
-
- tiada diktator
- tidak memaksa orang lain menganut agama Islam
- rakyat boleh mempersoalkan pemerintah jikalau mereka ada melakukan kesilapan. Banyak sekali kisah yang sampai kepada kita tentang keterbukaan dialog dengan khalifah, terutama sekali Khulafa ur rasyidin. Pernah Saidina Umar dipersoalkan oleh rakyat beliau kerana beliau memakai baju yang cantik. Mereka persoal dari mana beliau dapat baju itu.
Kejayaan yang Allah janjikan kepada Nabi Muhammad SAW tidak dijanjikan kepada semua para Nabi yang lain. Sebagai contoh, Nabi Musa a.s. juga diarahkan untuk berperang bersama umat baginda. Tapi baginda tidak mendapat kejayaan kerana baginda wafat pun di luar Kota BaitulMaqdis semasa umat baginda masih sesat di Padang Tih. Akan tetapi, Nabi Muhammad SAW diberi kejayaan menguasai Kota Mekah tempat asal baginda dan tempat Ka’bah berada.
Dan kejayaan yang diberikan kepada Nabi Muhammad adalah amat menakjubkan sekali. Bayangkan dalam masa sesingkat 23 tahun baginda menjadi Rasul, baginda dapat mengubah geopolitik Arab itu dari pusat syirik sebagai pusat pengembangan tauhid. Ini tidak pernah terjadi dalam sejarah manusia mana-mana pun.
Ini amat hebat sekali kerana penukaran itu memang secara keseluruhan. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Kalau kita lihat pergerakan revolusi di mana-mana pun, ia tidak berlaku dalam masa yang sesingkat 23 tahun. Ianya mengambil masa yang lama.
Sebagai contoh, Revolusi Komunis itu asalnya dibayangkan oleh Karl Marx 60 tahun sebelum ianya terjadi. Dan dia tidak dapat lihat pun kejayaan revolusi yang dicadangkan olehnya. Tapi Nabi Muhammad dapat melihat kejayaan mengubah masyarakat Arab itu di depan mata baginda. Baginda sama-sama berperang dengan umat baginda untuk membawa kejayaan kepada Islam.
Dan perubahan revolusi hanya dapat kehidupan yang terhad sahaja – bukan secara keseluruhan. Tapi perubahan yang dibawa oleh Nabi Muhammad merangkumi seluruh aspek – kehidupan dan juga agama. Oleh kerana itu, apabila Micheal H. Hart menulis buku ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History‘, beliau sebenarnya tidak ada pilihan lain lagi selain meletakkan nama Nabi Muhammad SAW di tangga pertama kerana tidak ada sesiapa lagi yang layak mengambil tempat itu.
Ini adalah kerana kejayaan Nabi Muhammad mengubah dunia tidak ada tolok bandingnya. Oleh itu, Allah telah memberi kejayaan yang tidak pernah diberikan kepada orang lain dalam dunia ini.
6. Perubahan Qiblah dari MasjidilAqsa ke Ka’bah kerana baginda.
Nabi Ibrahim a.s telah mendirikan semula Ka’bah dan baginda berdoa supaya manusia akan datang kepadanya. Tapi semasa Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, qiblah waktu itu adalah BaitulMaqdis (kerana umat Islam sebelum itu adalah Bani Israil dan qiblah mereka adalah BaitulMaqdis).
Nabi Muhammad SAW amat berharap supaya qiblah ditukar ke Ka’bah, tapi baginda tidak sanggup meminta kepada Allah (tidak sampai hati). Akan tetapi, baginda mendongak sahaja kepala baginda ke langit dengan harapan di dalam hati baginda (baginda tidak suarakan). Ini disebut dalam Baqarah:144
قَد نَرىٰ تَقَلُّبَ وَجهِكَ فِي السَّماءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبلَةً تَرضاها
Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai.
Dari ayat ini, kita tahu bahawa qiblah itu ditukar kerana Nabi Muhammad SAW. Sudah lama qiblah umat Islam ke arah BaitulMaqdis (dan memang awal Islam, umat Nabi Muhammad pun mengadap ke BaitulMaqdis). Tapi ianya bertukar untuk selama-lamanya kerana Nabi Muhammad SAW.
7. Allah akan mengurniakan Maqaama Mahmooda مقام المحمود iaitu kedudukan yang khas kepada baginda. Ini disebut dalam Isra’:79
وَمِنَ اللَّيلِ فَتَهَجَّد بِهِ نافِلَةً لَكَ عَسىٰ أَن يَبعَثَكَ رَبُّكَ مَقامًا مَحمودًا
Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.
Ada perbincangan di kalangan ulama tentang apakah yang dimaksudkan dengan مقام المحمود. Kita lihat beberapa dalil yang ada.
فعَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( يُبْعَثُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَكُونُ أَنَا وَأُمَّتِي عَلَى تَلٍّ ، وَيَكْسُونِي رَبِّي تَبَارَكَ وَتَعَالَى حُلَّةً خَضْرَاءَ ، ثُمَّ يُؤْذَنُ لِي ، فَأَقُولُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ أَقُولَ ، فَذَاكَ الْمَقَامُ الْمَحْمُودُ (رواه أحمد في المسند (25/60) طبعة مؤسسة الرسالة)
“Dari Ka’b bin Malik radhillahu’anhu sesungguhnya Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam bersabda, “Manusia dibangkitkan pada hari kiamat. Maka aku dan umatku di atas bukit, dan Tuhanku Tabaroka Wata’ala memakaikanku mahkota hijau. Kemudian aku diberi izin. Maka aku mengatakan apa saja yang yang aku katakan. Itu adalah maqam mahmud (tempat yang terpuji).”
HR. Ahmad di Musnad, 25/60. Cetakan Muassasah Ar-Risalah) ‘Sanadnya sahih sesuai persyaratan Muslim, para perawinya terpercaya iaitu para perawi Bukhori Muslim kecuali Yazin bin Abdu Rabbi –beliau adalah Az-Zubaidi Al-Himsy- dari rawi Muslim.
Di antara atsar shahih mauquf (sampai ke sahabat) adalah perkataan Ibnu Umar radhiallahu’anhuma,
إِنَّ النَّاسَ يَصِيرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ جُثًا ، كُلُّ أُمَّةٍ تَتْبَعُ نَبِيَّهَا ، يَقُولُونَ يَا فُلاَنُ اشْفَعْ ، حَتَّى تَنْتَهِي الشَّفَاعَةُ إِلَى النَّبِي صلى الله عليه وسلم ، فَذَلِكَ يَوْمَ يَبْعَثُهُ اللَّهُ الْمَقَامَ الْمَحْمُودَ (رواه البخاري، رقم 4718)
“Sesungguhnya manusia berjalan merangkak pada hari kiamat. Setiap umat mengikuti nabinya. Mereka mengatakan, ‘Wahai si fulan berikanlah syafaat. Sampai syafaat selesai di Nabi sallallahu’alaihi wa sallam. Itu adalah hari di mana Allah membangkitkannya pada Maqam mahmud (tempat terpuji).’ (HR. Bukhari, 4718. Dan beliau membuat bab dengan menulis ‘Semoga Tuhanmu membangkitkanmu di tempat terpuji’ pilihan beliau dari penafsiran dari sisi ini.
Secara ringkasnya, kedudukan مقام المحمود adalah baginda akan diberikan penghormatan untuk memberikan syafaat. Ini adalah penghormatan dari Allah untuk baginda, tapi tidaklah ini bermakna baginda boleh menentukan siapa yang dapat syafaat atau tidak.
Maka maksud ‘syafaat’ hendaklah dibaca dengan ayat-ayat yang lain. Salah faham tentang perkara ini telah menyebabkan ramai yang berdoa terus kepada Nabi untuk meminta syafaat sedangkan ia bukanlah keputusan dari Nabi, tapi dari Allah sendiri. Maka, kalau hendak syafaat, kenalah minta dengan Allah.
8. Allah memberikan baginda dengan pengikut yang ramai dari kalangan manusia.
Dan pengikut baginda adalah orang yang hebat-hebat. Baginda tidak tinggalkan bangunan yang hebat dan besar, tapi baginda tinggalkan para sahabat yang hebat dan besar. Dengan usaha merekalah agama Islam ini tersebar luas ke serata dunia dan diteruskan sampai ke hari ini.
Dan sampai sekarang umat Islam semakin bertambah dan menambahkan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Kalau umat Nabi-nabi lain sudah tidak ada lagi, tapi umat Nabi Muhammad tetap berkembang dan bertambah sampailah ke hari kiamat. Ini adalah kerana agama Islam adalah agama yang praktikal dan agama yang benar. Yang menolak dan mempertikaikanlah ada orang yang degil sahaja.
9. Allah menjanjikan pertolonganNya kepada baginda – walaupun kalau tidak ada manusia yang membantu baginda. Ini disebut dalam Tawba:40
إِلّا تَنصُروهُ فَقَد نَصَرَهُ اللَّهُ
Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya
Ini bermakna, kalau tidak ada sahabat pun yang membantu baginda, Allah tetap tolong baginda dan beri kejayaan kepada baginda. Dalam ayat ini, Allah hendak beritahu kepada para sahabat, kalau mereka tidak tolong baginda pun, Dia tetap akan beri kejayaan kepada baginda. Tapi Allah beri peluang kepada para sahabat untuk berkhidmat kepada baginda dan kepada Islam, supaya mereka mendapat kebaikan. Allah sebenarnya tidak perlukan mereka.
10. Umat yang mengikuti baginda mengikut jalan wasatiyyah (jalan pertengahan). Inilah jalan terbaik. Ini disebut dalam Baqarah:143
وَكَذٰلِكَ جَعَلناكُم أُمَّةً وَسَطًا لِتَكونوا شُهَداءَ عَلَى النّاسِ وَيَكونَ الرَّسولُ عَلَيكُم شَهيدًا
Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang pertengahan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.
Kita ini adalah umat baginda dan kita mendapat kelebihan ini kerana kita adalah umat baginda.
11. Baginda akan mendapat pengikut yang paling ramai di Hari Pembalasan kelak.
Diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dari Abdullah bin Abbas ra, Rasulullah saw bersabda “Telah diperlihatkan kepadaku segala umat. Aku menyaksikan seorang Nabi lewat dan diikuti umatnya dan seorang Nabi lewat diikuti sekelompok orang dan seorang Nabi lainnya lagi hanya diikuti sepuluh orang saja. Ada pula seorang Nabi yang hanya diikuti lima orang, bahkan ada seorang Nabi yang berjalan sendirian tanpa umatnya. Tiba-tiba aku menyaksikan sekelompok orang banyak, lalu ada yang berkata, ‘Itulah umatmu!’ Tujuh puluh ribu orang di antara mereka ada di depan. Mereka tidak dihisab ataupun dihukum.’ Aku bertanya, ‘Mengapa ?’ Dia menjawab, ‘Mereka tidak pernah memuji diri sendiri, tidak pernah memakai mantra-mantra, tidak pernah meramal nasib buruk, dan hanya kepada Tuhan mereka berserah diri.’ Mendengar penjelasan itu, Ukasyah bin Muhshin berdiri seraya berujar, ‘Doakanlah kepada Allah agar menjadikan aku termasuk salah seorang dari mereka!’ Nabi lalu berdoa, ‘Ya Allah, jadikanlah Ukasyah termasuk bagian dari mereka!’ Tak lama kemudian berdiri pula lelaki lainnya seraya berkata ‘Doakanlah pula kepada Allah agar menjadikan aku termasuk salah seorang dari mereka!’ Namun Nabi berkata , ‘Kamu sudah didahului oleh Ukasyah.”
Ini pun adalah salah satu dari nikmat yang besar untuk baginda. Tentu baginda amat berbangga sekali.
12. Keluarga baginda dimuliakan
Ini jelas kerana dalam selawat kita pun ada diajar oleh Nabi untuk berselawat kepada baginda dan keluarga baginda sekali. Dalam riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.
Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat RA sebagai jawapan kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan lafaz ini sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.
Tentunya ‘keluarga’ yang dimaksudkan adalah keluarga baginda yang Muslim. Abu Lahab tidak termasuk.
13. Baginda akan diberikan dengan kedudukan memberi syafaat di akhirat kelak. Dalil tentang syafa’at ini dapat dilihat dalam hadits Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu yang panjang. Diringkaskan di sini:
إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ مَاجَ النَّاسُ فِي بَعْضٍ فَيَأْتُونَ آدَمَ فَيَقُولُونَ اشْفَعْ لَنَا إِلَى رَبِّكَ فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِإِبْرَاهِيمَ فَإِنَّهُ خَلِيلُ الرَّحْمَنِ فَيَأْتُونَ إِبْرَاهِيمَ فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِمُوسَى فَإِنَّهُ كَلِيمُ اللهِ فَيَأْتُونَ مُوسَى فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِعِيسَى فَإِنَّهُ رُوحُ اللهِ وَكَلِمَتُهُ فَيَأْتُونَ عِيسَى فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَأْتُونِي فَأَقُولُ أَنَا لَهَا فَأَسْتَأْذِنُ عَلَى رَبِّي فَيُؤْذَنُ لِي ….
“Ketika hari kiamat datang, manusia berduyun-duyun mendatangi nabi Adam dan mengatakan, “Berilah syafa’at kepada rabbmu!” Adam menjawab, “Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Ibrahim kerana dia adalah kekasih Allah Azza wa Jalla,” mereka mendatangi Nabi Ibrahim, Nabi Ibrahim berkata,” Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Musa kerana dia adalah kalimullah (orang yang diajak bicara langsung oleh Allah). mereka mendatangi Nabi Musa, Nabi Musa berkata,” Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Isa kerana dia adalah ruhullah dan kalimatNya,” Mereka mendatangi Nabi Isa, Nabi Isa berkata,” Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Muhammad.” Maka mereka mendatangiku, maka aku katakan, “Ya aku punya hak, maka aku minta idzin kepada Rabbku, maka Dia memberiku idzin ….”.
Hadis ini berkenaan keadaan di Mahsyar kelak. Waktu itu semua manusia mencari orang yang boleh mempercepatkan pengadilan kerana sudah tidak tahan begitu lama menunggu di Mahsyar. Hanya Nabi Muhammad sahaja yang dibenarkan untuk meminta kepada Allah untuk mempercepatkan pengadilan.
Dan kelebihan ini diberikan kepada baginda sahaja dan dalilnya seperti dalam hadis di atas. Dan semua manusia mendapat manfaat dari syafaat itu walaupun mereka orang kafir. Ini adalah kerana pengadilan dipercepatkan bagi semua orang.
14. Allah sentiasa memanggil Nabi Muhammad SAW dengan gelaran yang mulia dan mesra. Allah memanggil baginda dengan gelaran ‘Abd’ (hamba), Rasul, Nabi dan sebagainya.
Cara ini tidak digunakan dengan Nabi-nabi lain. Kerana kepada mereka, Allah memanggil mereka dengan nama mereka: Ya Musa, Ya Adam, Ya Dawud, Ya Zakariyyah, Ya Yahya!, Ya ‘Isa dan sebagainya. Nabi lain dipanggil dengan nama mereka, tapi dengan Rasulullah SAW, baginda dipanggil dengan gelaran baginda – dan ada banyak gelaran diberikan kepada baginda. Ini menunjukkan kemuliaan baginda dan bagaimana Allah memuliakan kedudukan baginda.
15. Apabila Allah mewajibkan solat kepada Nabi Muhammad SAW, selepas Nabi Muhammad SAW meminta dikurangkan solat dari 50 waktu hingga sampai ke 5 waktu, Allah memberitahu bahawa mereka yang mengerjakan solat 5 waktu itu tetap mendapat pahala seolah-olah mereka mengerjakan solat 50 waktu juga. Ini tersebut dalam Sahih Bukhari.
فَرَضَ خَمْسِينَ صَلَاةً قَالَ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَإِنَّ أُمَّتَكَ لَا تُطِيقُ ذَلِكَ فَرَاجَعْتُ فَوَضَعَ شَطْرَهَا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى قُلْتُ وَضَعَ شَطْرَهَا فَقَالَ رَاجِعْ رَبَّكَ فَإِنَّ أُمَّتَكَ لَا تُطِيقُ فَرَاجَعْتُ فَوَضَعَ شَطْرَهَا فَرَجَعْتُ إِلَيْهِ فَقَالَ ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَإِنَّ أُمَّتَكَ لَا تُطِيقُ ذَلِكَ فَرَاجَعْتُهُ فَقَالَ هِيَ خَمْسٌ وَهِيَ خَمْسُونَ لَا يُبَدَّلُ الْقَوْلُ لَدَيَّ فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ رَاجِعْ رَبَّكَ فَقُلْتُ اسْتَحْيَيْتُ مِنْ رَبِّي ثُمَّ انْطَلَقَ بِي حَتَّى انْتَهَى بِي إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَغَشِيَهَا أَلْوَانٌ لَا أَدْرِي مَا هِيَ ثُمَّ أُدْخِلْتُ الْجَنَّةَ فَإِذَا فِيهَا حَبَايِلُ اللُّؤْلُؤِ وَإِذَا تُرَابُهَا الْمِسْكُ
Ibnu Hazm dan Anas bin Malik menyebutkan, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka Allah ‘azza wajalla mewajibkan kepada ummatku salat sebanyak lima puluh kali. Maka aku pergi membawa perintah itu tetapi bila aku berjumpa dengan Musa, dia bertanya, ‘Apa yang Allah perintahkan buat umatmu? ‘ Aku jawab: ‘Salat lima puluh kali.’ Lalu dia berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu, kerana umatmu tidak akan mampu! ‘Maka aku kembali merayu kepada Tuhan dan Allah mengurangi sebahagiannya. Aku kemudian kembali menemui Musa dan aku katakan bahawa Allah telah mengurangi sebahagian daripadanya. Tapi dia berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu kerana umatmu tidak akan sanggup.’ Aku lalu kembali merayu menemui Allah dan Allah kemudian mengurangi sebahagian lagi.’ Kemudian aku kembali menemui Musa, dia lalu berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu, kerana umatmu tidak akan mampu.’ Maka aku kembali menemui merayu Allah Ta’ala, Allah lalu berfirman: ‘Itulah lima waktu sembahyang dan ia sebenarnya menyamai lima puluh waktu sembahyang. Keputusan ini tidak akan diubah disisiKu! ‘ Maka aku kembali menemui Musa dan dia tetap berkata, ‘Kembalilah kepada Rabb-Mu! ‘ Aku katakan, ‘Aku malu untuk merayu lagi kepada Rabb-ku.’ Jibril lantas membawaku hingga sampai di Sidratul Muntaha yang dikelubungi dengan warna-warni yang aku tidak tahu benda apakah hakikatnya. Kemudian aku dimasukkan ke dalam syurga, ternyata di dalamnya banyak kalung-kalung mutiara dan tanahnya pula dari kasturi.”
Nabi-nabi lain juga ada syariat solat tapi tidak sama dengan syariat kita. Kita tidak pasti bagaimanakah cara mereka solat. Mereka pun tidak pasti lagi kerana kitab wahyu mereka telah diubah sampaikan tidak dapat diamalkan lagi.
Tidak perlu tahu pun kerana semua manusia sekarang adalah umat Nabi Muhammad. Semua kena pakai syariat Nabi Muhammad sahaja, walaupun mereka Ahli Kitab. Memang mereka sepatutnya ada kitab wahyu, tapi ia tidak terpakai lagi. Ia hanya menjadi bahan sejarah sahaja.
Ada juga pendapat pelik di kalangan masyarakat kita yang kata Ahli Kitab oleh pakai syariat mereka lagi. Ini tidak benar kerana semua manusia kena pakai syariat Nabi Muhammad. Syariat sebelumnya telah mansukh:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلَا نَصْرَانِيٌّ ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَّا كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ. ( مسلم )
Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaanNya. tidak ada seseorang pun dari umat manusia ini sama ada Yahudi atau Nasrani, yang mendengar akan perihalku (menjadi utusan Allah), kemudian dia mati sedang dia tidak beriman dengan (agama Islam) yang aku diutuskan membawanya melainkan menjadilah dia dari ahli neraka”.
(Muslim)
16. Allah menjadikan Al-Qur’an iaitu wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah itu, senang untuk diingati – (Tayseer al Qur’an). Allah berfirman dalam Qamar:17 dan tiga ayat lain dalam surah yang sama:
وَلَقَد يَسَّرنَا القُرآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُدَّكِرٍ
Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Qur’an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?
Allah memang mudahkan supaya Al-Qur’an ini senang untuk dibaca dan dipelajari dan juga dihafal. Kita boleh tengok di mana-mana sekarang ada orang yang menghafal keseluruhan Al-Qur’an itu. Orang Islam pun, ramai yang walaupun tidak menghafal keseluruhan Al-Qur’an, tapi mereka ada menghafal beberapa surah juga.
Allah menjadikan wahyu yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu mudah untuk dihafal. Dan ini menolak dakwaan palsu orang kafir dari kalangan Orientalist yang mengatakan Al-Qur’an itu telah diubah dari yang asal. Mereka kata tidak mungkin satu kumpulan kalimah yang sama tanpa ada perubahan dapat bertahan selama lebih dari seribu tahun kerana akal mereka tidak dapat menerimanya.
Ini adalah kerana, pada mereka, kalau sesuatu itu disampaikan dari satu generasi ke satu generasi, mestilah melalui dua cara:
-
- Dengan cara ditulis dalam dokumen
- Dengan cara hafalan – diberitahu kepada generasi seterusnya dengan cara mulut.
Mengikut logik orang bukan Islam, pada mereka yang lebih selamat adalah dengan cara disampaikan melalui dokumen – ditulis sesuatu kisah itu dan disimpan di dalam arkib. Walaupun begitu, kedua-dua cara itu ada kelemahannya juga. Kalau cara disampaikan melalui mulut, tentu ada maklumat yang tertinggal atau ditambah, bukan? Ini kita pun tahu, bagaimana kisah asal yang berlalu dan apa yang diterima oleh orang yang ke sepuluh/ke seratus tentu jauh bezanya.
Sebagai contoh, kisah asal ‘Abdullah tumbuk Kasim’. Apabila sampai ke orang yang ke 50, mungkin sudah jadi: ‘Abdullah tumbuk dan patahkan kaki dan tangan Kasim dan selepas itu dia bakar pula rumah Kasim’.
Kalau penulisan dalam dokumen pun tidak terjamin. Kerana kalau seorang tulis, dan orang yang menyalinnya (kerana dulu tidak ada printer) tidak betul, ada ejaan yang salah dan sebagainya, boleh jadi sampai mengubah makna. Kemudian dokumen itu pula disampaikan kepada orang, juga mungkin menyalin tersilap lagi – jadi kesilapan mungkin bertambah-tambah. Terutama kalau menggunakan terjemahan bahasa yang menggunakan perkataan yang tidak sesuai.
Orang bukan Islam membanggakan penulisan dokumen dan mereka menganggap Al-Qur’an itu kalau diturunkan melalui penulisan, barulah boleh dikira sebagai sahih. Adakah begitu? Kita pun tahu bagaimana Al-Qur’an itu diturunkan dari Nabi ke sahabat dan sahabat ke tabien dan seterusnya kepada generasi seterusnya adalah dengan cara hafalan.
Di samping itu, ia juga dikuatkan lagi dengan cara penulisan kerana ada Al-Qur’an yang telah ditulis menjadi sebagai Al-Qur’an rujukan yang dinamakan dengan Umm (Al-Qur’an induk). Kepada orang Islam, pengajaran Al-Qur’an terjaga dari semenjak zaman Nabi Muhammad sampailah sekarang dan akan terpelihara sampai ke Hari Kiamat nanti.
Hujah kita amat kuat sekali. Kalau cara penyampaian Al-Qur’an ini ada kesilapan di mana-mana, tentu bacaan Al-Qur’an ini berbeza dari satu tempat ke satu tempat, bukan? Kalau ikut hujah mereka, tentu Al-Qur’an ini ada banyak versi (macam Bible), bukan? Akan tetapi, ini tidak berlaku. Satu dunia ini membaca Al-Qur’an yang sama.
Dan kalau yang baca salah, akan ada sahaja yang akan membetulkannya (kerana ramai yang hafal Al-Qur’an). Dan kalau ada syarikat pencetak Al-Qur’an yang cuba mengubah mana-mana ayat Al-Qur’an walaupun satu huruf (atau mereka tersilap cetak), ianya akan dapat dikesan dengan segera. Dan Al-Qur’an itu akan dihancurkan dan dibakar supaya tidak mengelirukan orang lain. Kita hanya simpan Al-Qur’an yang tepat dan telah disahkan sahaja.
Kita boleh sahaja buat eksperimen. Ambillah 4 orang budak muslim dari 4 benua dalam dunia dan minta mereka baca Al-Qur’an. Mereka mungkin menggunakan bahasa harian mereka berlainan, tapi mereka akan membacakan Al-Qur’an yang sama. Ini adalah sebagai bukti yang kukuh.
Semua ini hanya dapat berlaku kerana Allah telah berjanji untuk memudahkan Al-Qur’an ini untuk dihafal seperti dalam ayat Qamar:17 itu. Tidak ada tulisan lain yang mendapat janji Allah ini walaupun kitab wahyuNya yang sebelum Al-Qur’an. Dalam ayat lain juga, Allah telah berjanji untuk menjaga Al-Qur’an dan ini ada dalam Hijr:9
إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحافِظونَ
Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.
Lihatlah itu adalah janji Allah sendiri. Dan memang ada cubaan dari mereka yang jahat untuk mengubah penulisan Al-Qur’an, tapi mereka tidak berjaya. Akan ada sahaja umat Islam yang dapat mengesan cubaan itu. Maka, satu-satunya cara untuk menghilangkan Al-Qur’an dari mukabumi ini adalah dengan menghilangkan seluruh umat Islam sampai tidak ada seorang pun. Tapi tentulah ini tidak akan terjadi.
Janji Allah ini tidak ada kepada kitab-kitab yang lain. Kalau Bible pun, orang yang mengaji Bible sampai tahap PHD pun, akhirnya mereka akan kata yang Bible yang ada pada tangan manusia sekarang ini tidak asli. Lalu bagaimana nak amalkan agama mereka lagi, kalau sumber pun sudah tidak benar?
Oleh itu, penjagaan Al-Qur’an ini juga adalah satu lagi nikmat kepada Nabi Muhammad. Semasa baginda mula mendapat wahyu Al-Qur’an, baginda takut baginda tidak dapat menghafal Al-Qur’an itu kerana takut tidak dapat sampaikan Al-Qur’an itu kepada manusia, maka baginda akan terus menghafal wahyu itu semasa Jibril membacakannya kepada baginda. Allah melegakan hati baginda dengan menurunkan ayat Qiyamah:17
إِنَّ عَلَينا جَمعَهُ وَقُرآنَهُ
Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya.
Sekali lagi Allah berjanji yang Dia akan memastikan Al-Qur’an itu dapat diingati oleh baginda dan baginda dapat membaca Al-Qur’an itu dengan molek untuk disampaikan kepada ummat.
Kita telah membaca begitu banyak sekali nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Lalu persoalan sekarang, setelah mendapat segala ini, apakah yang baginda perlu lakukan untuk menunjukkan kesyukuran baginda kepada Allah?
Ini disebut dalam sambungan ayat seterusnya, di mana Allah mengajar baginda untuk mendirikan solat dan mengerjakan ibadat korban (sembelihan). Dan solat dan korban ini juga adalah sunnah Nabi Ibrahim a.s. juga dan memang Nabi Muhammad SAW meneruskan agama tauhid yang juga dianuti oleh Nabi Ibrahim, maka tidak hairanlah kalau ada persamaan antara kedua-dua Rasul Agung ini.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 29 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan