2. Ilmu Al-Bayan (علم البيان). Ilmu ini mengkaji kepelbagaian cara untuk menyampaikan satu makna yang sama melalui gaya bahasa yang berbeza. Istilah Ilmu Bayan berasal daripada perkataan Arab (بان) yang bermaksud jelas, nyata, atau terang. Dalam bidang sastera Arab (Balaghah), ia dinamakan sedemikian kerana beberapa sebab utama:
-
- Menjelaskan Maksud dengan Pelbagai Cara: Ilmu ini membolehkan seseorang menyampaikan satu idea yang sama tetapi menggunakan gaya bahasa yang berbeza-beza tahap kejelasannya. Anda boleh memilih untuk bercakap secara terus terang atau menggunakan kiasan untuk kesan yang lebih mendalam.
- Memberikan Kejelasan (Al-Ibanah): Fungsi utama ilmu ini adalah untuk menyingkap maksud yang tersirat dalam hati supaya ia dapat difahami oleh pendengar dengan nyata dan terang.
- Keistimewaan Manusia: Merujuk kepada firman Allah dalam Surah Ar-Rahman (ayat 4): عَلَّمَهُ الْبَيَانَ (Dia mengajarnya (manusia) pandai berbicara). Ahli tafsir menyatakan Al-Bayan di sini merujuk kepada kemampuan manusia untuk menyatakan apa yang ada di fikiran mereka dengan jelas.
Fungsi: Menggunakan imaginasi dan perumpamaan supaya maksud lebih jelas atau lebih menyentuh perasaan. Ilmu Bayan ini kalau dalam bahasa kita adalah peribahasa, perumpamaan, tasybih. Jadi kita akan membincangkan apakah sesuatu ayat itu benar-benar hanya satu perumpamaan sahaja? Ataupun adakah ini majaz? Betulkah maksudnya? Mungkin bukan itu maksud sebenarnya, tapi ada kiasan. Maknanya ada kiasan di sebaliknya yang kita boleh katakan sebagai sindiran. Ini kita akan bincangkan apabila kita sampai pada ayatnya.
Ilmu Bayan terbahagi kepada 4 bahagian utama. Berikut adalah ringkasannya:
1. At-Tasybih (التشبيه) – Penyerupaan atau perbandingan. Menyamakan sesuatu perkara dengan perkara lain menggunakan alat penyerupaan (seperti: ك, كأنَّ, مثل). Mesti ada Musyabbah (perkara yang diserupakan) dan Musyabbah Bih (perkara yang menjadi rujukan).
Contoh: “Ilmu itu seperti cahaya.”
2. Al-Majaz (المجاز) – Penggunaan Kiasan. Menggunakan perkataan bukan pada makna asalnya kerana ada perkaitan tertentu. Ia terbahagi kepada dua cabang besar:
Majaz Mursal: Kiasan yang bukan penyerupaan (contoh: menyebut “tangan” tetapi maksudnya “nikmat/kuasa”).
Isti’arah: Kiasan yang bermaksud penyerupaan (inilah “pinjaman” yang kita akan bincangkan).
3. Al-Isti’arah (الاستعارة) – Pinjaman. Walaupun ia adalah sebahagian daripada Majaz, ulama’ selalunya meletakkannya sebagai bab khusus kerana kepentingannya. Ia adalah Tasybih yang dibuang salah satu rukun utamanya.
Contoh: “Aku melihat permata di dalam kelas” (Maksudnya pelajar yang bijak. Kita pinjam “permata”, buang “pelajar”).
4. Al-Kinayah (الكناية) – Sindiran Tersirat. Menyebutkan sesuatu lafaz tetapi yang dimaksudkan adalah kelaziman atau kesan daripada makna tersebut. Makna asalnya masih boleh diterima tetapi bukan itu tujuan utama.
Contoh: “Si fulan itu banyak abunya.” (Maksud tersirat: Dia seorang yang sangat pemurah kerana banyak memasak untuk tetamu).
3. Ilmu Al-Badi’ (علم البديع). Nama Ilmu Al-Badi’ (علم البديع) berasal daripada perkataan Arab (بدع) yang bermaksud mencipta sesuatu yang baharu, unik, atau indah tanpa mengikut contoh sedia ada. Ilmu ini mengkaji cara memperindahkan lagi kata-kata setelah maknanya sudah tepat. Ini adalah “hiasan” kepada ayat. Ini seperti kalau kita menghias makanan, susun atur pinggan itu, untuk mencantikkan dan menambah selera. Namanya plating, bukan? Rasa makanan kita tidak tahu lagi sedap atau tidak, tapi rupanya sudah menarik minat, bukan?
Fungsi: Memberikan keindahan bunyi, rima, atau keunikan makna. Jadi ia adalah tentang keindahan penggunaan bahasa. Apabila kita menggunakan bahasa yang berlawanan, ada tinggi rendah, hitam dan putih dalam ayat, kita menggunakan bandingan-bandingan sebegitu ataupun bunyi-bunyi di belakang yang seirama ataupun kita panggil ritma di belakang, itu dibahaskan dalam ilmu badi’. Perbuatan mencantikkan ayat Al-Qur’an dinamakan Muhassinat. Ia tidak mengandungi makna yang terlalu dalam.
Ilmu Badi’ secara umumnya terbahagi kepada dua bahagian besar. Fokus utama Ilmu Badi’ adalah untuk memperindahkan kalam (kata-kata) setelah aspek makna dan kejelasan penyampaiannya telah sempurna. Jadi ia adalah di dalam bentuk Muhassinat (المحسنات) yang bermaksud “memperelok” atau “memperindahkan”. Dalam ilmu Balaghah, Al-Muhassinat merujuk kepada unsur-unsur keindahan atau “hiasan” yang digunakan untuk mencantikkan sesuatu kalam (ucapan atau tulisan).
1. Al-Muhassinat al-Lafziyyah (المحسنات اللفظية)
Iaitu keindahan yang fokus pada lafaz atau bunyi kata-kata. Jika lafaznya diubah atau diganti dengan sinonim lain, keindahan sasteranya akan hilang walaupun maknanya tetap sama. Antara contoh yang masyhur:
1. Al-Jinas (الجناس): Ia dari kata جنس yang bermaksud ‘jenis’. Apabila disebut Jinas, ia membawa maksud “keserupaan” atau “dua perkara yang berasal daripada jenis yang sama. Maksud ‘sama jenis’ di sini merujuk kepada bunyi perkataan, bukannya makna. Di dalam Ilmu Balaghah, ia merujuk kepada penggunaan dua kata yang bunyinya sama (jinas tam) atau hampir sama (jinas naqis), tetapi maknanya berbeza. Contoh kita boleh lihat dalam Rum:55
وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُقْسِمُ الْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا غَيْرَ سَاعَةٍ
(Dan pada hari terjadinya kiamat, bersumpahlah orang-orang yang berdosa; “mereka tidak berdiam (dalam kubur) melainkan sesaat (saja)”)
Kata pertama: السَّاعَةُ (As-Sa’ah) bermaksud Hari Kiamat.
Kata kedua: سَاعَةٍ (Sa’ah) bermaksud saat/waktu yang sekejap (unit masa).
Keindahan: Walaupun sebutannya sama (jinas tam), ia menggambarkan betapa singkatnya dunia berbanding dahsyatnya kiamat.
Contoh kedua kita boleh lihat di dalam Naml:22
وَجِئْتُكَ مِن سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ
(dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’ suatu berita penting yang diyakini.)
Kata pertama: سَبَإٍ (Saba’) — Nama sebuah tempat/kerajaan.
Kata kedua: بِنَبَإٍ (Naba’) — Berita yang besar.
Perbezaan: Hanya pada huruf pertama (Sin vs Nun). Ini dipanggil Jinas Naqis.
Keindahan: Ia memberikan bunyi yang berima dan enak didengar, sekaligus menegaskan kaitan antara tempat tersebut dengan berita yang dibawa.
2. As-Saja’ (السجع): Persamaan rima atau bunyi huruf akhir pada hujung ayat (yang sering terdapat dalam ayat Al-Qur’an). Secara literal, As-Saja’ bermaksud “bunyi atau suara burung merpati” (Saja’at al-Hamamah). Mengapa burung merpati? Kerana burung merpati mengeluarkan suara yang berulang-ulang dengan rima dan nada yang sama secara konsisten. Bunyi tersebut kedengaran teratur dan merdu di telinga manusia. Istilah ini dipinjam ke dalam ilmu Balaghah kerana terdapat persamaan sifat:
- Burung Merpati: Mengulang-ulang suara yang sama nadanya.
- Prosa/Kalam: Mengulang-ulang huruf atau bunyi yang sama pada setiap penghujung ayat (rima akhir).
Contoh saja’ di dalam Al-Qur’an adalah seperti Surah al-Ikhlas yang setiap ayat dalam surah ini diakhiri dengan huruf Dal (د) yang mempunyai sifat Qalqalah, memberikan kesan bunyi yang tegas dan berulang.
قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدٌ (٤)
Kenapa Al-Qur’an Menggunakan Teknik Ini?
- Psikologi: Bunyi yang berima lebih mudah meresap ke dalam jiwa dan menggerakkan emosi.
- Muzikal: Al-Qur’an mempunyai irama dalaman (Internal Rhythm) yang menjadikannya mukjizat yang boleh dirasai walaupun oleh mereka yang tidak faham bahasa Arab. Sebab itu selalu kita dengar Non-Muslim pun rasa tenang bila dengar bacaan Al-Qur’an.
3. Al-Iqtibas (الاقتباس): Al-Iqtibas secara bahasanya bermaksud “mengambil api” atau “menyuluh cahaya”. Ia berlaku apabila memasukkan unsur Al-Qur’an atau Hadis ke dalam prosa atau syair tanpa menyatakan ia adalah petikan secara langsung. Tujuannya adalah untuk menguatkan hujah, mengambil keberkatan, atau menambah keindahan sastera dalam ucapan tersebut.
Perlu ditegaskan bahawa Al-Iqtibas tidak berlaku “di dalam” Al-Qur’an. Ini kerana Al-Qur’an adalah sumber asal. Iqtibas hanya berlaku apabila manusia (penyair atau pemidato) yang mengambil ayat-ayat Al-Qur’an dan memasukkannya ke dalam kata-kata mereka sendiri.
2. Al-Muhassinat al-Ma’nawiyyah (المحسنات المعنوية)
Iaitu keindahan yang fokus pada makna. Keindahan ini tetap kekal walaupun lafaznya ditukar kepada perkataan lain yang mempunyai makna yang sama. Antara contoh yang masyhur:
1. At-Tibaqu (الطباق) atau juga disebut Al-Mutabaqah berasal daripada perkataan Arab (طَبَقَ) yang membawa maksud bertemu, berpadu, atau menutupi sesuatu dengan pasangannya. Dalam Ilmu Badi’ (sastera Arab), ia merujuk kepada seni pertentangan makna. Ia dinamakan At-Tibaqu kerana ia “mempertemukan” dua perkataan yang berlawanan dalam satu ayat atau ungkapan. Ia menghimpunkan dua kata yang berlawanan makna dalam satu ayat (Contoh: “Mati” dan “Hidup”).
2. Al-Muqabalah (المقابلة): Seperti Tibaqu, tetapi melibatkan dua kumpulan kata yang berlawanan (Contoh: “Menyuruh kepada kebaikan” dan “Melarang daripada kemungkaran”).
Nama Al-Muqabalah (المقابلة) berasal daripada perkataan Arab (قابل) yang bermaksud berhadapan atau bersemuka. Dalam ilmu Balaghah, ia dinamakan sedemikian kerana teknik ini membawakan dua makna atau lebih, kemudian membawakan pula lawannya secara tertib (berturutan). Ia seolah-olah barisan makna pertama sedang “berhadapan” dengan barisan makna lawannya.
Perbezaan Antara Tibaqu dan Muqabalah: Walaupun kedua-duanya berasaskan konsep pertentangan (lawan kata), perbezaan utamanya terletak pada jumlah perkataan yang dipertentangkan.
3. At-Tauriyah (التورية): Nama At-Tauriyah (التورية) berasal daripada perkataan Arab (ورّى – يوري) yang bermaksud menyembunyikan, menutup, atau merahsiakan. Dalam ilmu Balaghah, ia dinamakan sedemikian kerana penutur menyembunyikan maksud sebenar yang diingini di sebalik satu perkataan yang mempunyai dua makna. Teknik ini menggunakan satu kata yang mempunyai dua makna; satu makna yang dekat (tetapi bukan itu yang dimaksudkan) dan satu makna yang jauh (itulah yang dimaksudkan).
Salah satu contoh yang paling masyhur adalah An’am:60
وَهُوَ الَّذي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيلِ وَيَعلَمُ ما جَرَحتُم بِالنَّهارِ
Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari
Penggunaan Teknik Tauriyah adalah pada kalimah (جَرَحْتُمْ):
Makna Dekat yang pembaca terus fikirkan: “Melakukan luka” atau “mencederakan”. Pendengar mungkin terfikir tentang luka fizikal kerana asal perkataan جرح adalah luka.
Makna Jauh (Maksud Sebenar yang hendak disampaikan): “Melakukan dosa” atau “melakukan usaha/amalan”. Dalam konteks ayat ini, Allah ingin menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui segala perbuatan dosa atau usaha yang dilakukan manusia pada siang hari.
Mengapa Belajar Ilmu Balaghah?
- Memahami Mukjizat Al-Qur’an: Al-Qur’an mencabar sasterawan Arab bukan dari segi nahu sahaja, tetapi dari segi Balaghah-Nya yang mustahil ditiru oleh manusia.
- Kesan dalam Dakwah: Membantu penyampai memilih ayat yang paling menyentuh hati audiens berdasarkan latar belakang mereka.
- Keindahan Komunikasi: Menjadikan seseorang lebih berseni dalam bertutur dan menulis, tidak hanya mendatar dan kaku.
Mungkin ada ramai yang beranggapan ini adalah ilmu yang berat dan tidak mungkin kita dapat menggapainya kerana ia lain dari bahasa kita. Tapi sekarang kita tanya balik: Kenapa tidak kita jinakkan ia?
Bila belajar balaghah Bahasa Arab, ia mengupas tentang ketinggian, kedalaman, kehalusan seni itu melalui bahasa. Bayangkan kita kalau belajar dalam bahasa kita sendiri pun, kalau kita buka buku-buku sastera yang tinggi, kita sendiri pun kadang-kadang terasa sukar memahaminya, walaupun itu bahasa kita sendiri. Apalagi dalam bahasa Arab. Dan kalau kita lihat contoh-contoh syair klasik bahasa Arab yang sangat tinggi, kita pun tak pasti kalau orang awam Arab sendiri akan faham kalau tanpa kupasan. Jadi, logiknya balaghah dianggap susah.
Tapi, kenapa tidak kita permudahkan dengan maksud balaghah dalam bahasa kita. Dan sebenarnya balaghah bukan dalam bahasa kita sahaja. Balaghah ada dalam semua bahasa. Dan balaghah dalam bahasa kita pun tinggi juga. Dan boleh dikatakan apa sahaja bab balaghah dalam bahasa Arab, tajuknya ada dalam perbahasan bahasa kita dan ada dalam percakapan harian kita. Cuma ia tidak dibukukan, tidak dibuat secara disusun secara struktur, tidak disusun secara sistematik, sehingga kita tak tahu bahawa penggunaan bahasa harian kita itu adalah balaghah sebenarnya. Ia sama dengan tajuk bab kitab yang tinggi. Perbahasan dalam kitab-kitab yang tinggi yang menggunakan syair-syair klasik sebenarnya merujuk kepada apa yang telah kita guna pun dalam bahasa kita seharian. Cuma oleh kerana balaghah kita tidak disusun secara berkitab, maka kita menganggap bahawa balaghah ini rahsia dalam bahasa Arab sahaja dan hanya ada dalam kitab-kitab balaghah sahaja. Maka di sini kita hendak menyahut cabaran untuk mempermudahkan balaghah tersebut. Kita akan gunakan contoh-contoh di dalam bahasa kita sendiri.
Begitu juga dengan syair-syair Arab, kita tukarkan kepada pantun-pantun Melayu; cuma kena cari pantun-pantun lama, pantun-pantun klasik. Ini dalam bahagian Ma’ani bukan bahagian bayan. Kalau bayan, seni dalam bahasa kita sudah mencukupi, tidak perlu pada perbahasan yang menggunakan syair-syair klasik Arab. Maka dengan ini kita boleh memudahkan pemahaman ilmu Balaghah ini. Jangan kita biarkan ini terus di dalam persepsi ya ia sangat susah sampai orang Melayu tidak boleh memahaminya. Ada cara untuk kita permudahkan ke dalam bahasa kita. Kalau dalam syair bahasa Arab ada ma’ani, kita juga ada ma’ani. Kalau dalam Bahasa Arab ada bayan, kita juga ada bayan. Kalau bahagian badi’, bahasa kita pun tinggi dalam badi’. Cuma mungkin dalam pembahagian ketiga-tiga bahagian ini, bab ma’ani mungkin agak lebih halus. Ianya boleh dikatakan sebagai teras kepada ilmu balaghah.
Perbincangan kita ini bolehlah dikaitkan sebagai tafsir. Cuma bukan seperti tafsir-tafsir yang lain, kita hanya memfokuskan tafsiran kita kepada sudut balaghah sahaja dan pada rangka awal ini kita hanya banyak bincangkan dari sudut ilmu ma’ani sahaja. Ini bukan bermaksud ilmu bayan ataupun perbahasan tentang badi’ dan bayan kita tak sentuh, kita juga sentuh tapi kita akan lebih fokus kepada ilmu ma’ani dahulu. Dan kita bincangkan tafsiran pun secara ringkas kerana kalau kita bahaskan tafsiran penuh, maka tentu ia memakan memakan masa yang terlalu panjang.
Asasnya ilmu ma’ani, ilmu badi’ dan ilmu bayan ini adalah tiga bahagian dari ilmu balaghah akan tetapi tidak semua ulama’ bersetuju bahawa ilmu badi’ itu dimasukkan dalam ilmu balaghah. Ada yang mengatakan bahawa ilmu balaghah sebenarnya adalah ilmu ma’ani dan ilmu bayan. Dan ada yang mengatakan ilmu balaghah sebenarnya berada dalam ilmu bayan dan ilmu bayan ini ada tiga pembahagian. Memang terdapat banyak pendapat kerana ilmu ini masih lagi dalam proses untuk memasak, jadi kerana itu ia masih diperbincangkan. Dan kerana itu kita akan berhadapan dengan banyak pandangan, contohnya dalam sesetengah ayat, ada yang memandang daripada sudut tajuk, ada yang mengatakan ini berkenaan tajuk itu pula. Contohnya dalam bab iltifat nanti yang kita akan belajar, ada yang mengatakan iltifat itu dalam ma’ani, ada yang kata ia di dalam bayan, ada yang kata ia di dalam badi’. Sebab itulah dalam sesetengah kitab, iltifat tidak dimasukkan dalam bab Ma’ani tapi dalam bayan.
Jadi, asasnya ilmu ma’ani ini adalah ilmu tentang makna-makna kalimah yang lebih halus. Kita akan fokus kepada perkataan, jumlah ataupun frasa.
Glosari Istilah Kunci
Al-Badi’: Ilmu yang mengkaji cara memperindahkan kata-kata (hiasan bahasa) setelah aspek makna dan kejelasan sempurna.
Al-Bayan: Ilmu untuk menyampaikan satu makna melalui pelbagai gaya bahasa (kiasan, perumpamaan) untuk kejelasan maksud.
Al-Ibanah: Fungsi menjelaskan atau menyingkap maksud tersirat dalam hati supaya dapat difahami dengan terang.
Al-Iqtibas: Teknik memasukkan petikan Al-Qur’an atau Hadis ke dalam prosa atau syair manusia untuk menguatkan hujah.
Al-Isti’arah: Teknik pinjaman di mana satu rukun penyerupaan dibuang untuk tujuan kiasan yang lebih mendalam.
Al-Jinas: Penggunaan dua kata yang bunyinya sama atau hampir sama tetapi membawa makna yang berbeza.
Al-Kinayah: Sindiran tersirat; menyebut sesuatu lafaz untuk menunjukkan kesan atau kelaziman daripada makna asal.
Al-Majaz: Penggunaan perkataan bukan pada makna asalnya kerana terdapat perkaitan atau kaitan tertentu.
Al-Muhassinat: Unsur-unsur keindahan atau hiasan yang digunakan untuk mencantikkan sesuatu ucapan atau tulisan.
Al-Muqabalah: Teknik mempertentangkan dua atau lebih kumpulan kata dengan lawan maknanya secara tertib.
As-Saja’: Persamaan rima atau bunyi huruf akhir pada hujung ayat, memberikan kesan muzikal dan teratur.
At-Tauriyah: Teknik menyembunyikan maksud sebenar di sebalik perkataan yang mempunyai dua makna (dekat dan jauh).
At-Tasybih: Penyerupaan atau perbandingan antara dua perkara menggunakan alat penyerupaan tertentu.
At-Tibaqu: Seni pertentangan makna yang menghimpunkan dua kata yang berlawanan dalam satu ayat.
Ilmu Ma’ani: Ilmu tentang makna-makna kalimah yang halus, memfokuskan kepada struktur perkataan, jumlah, atau frasa.
Musyabbah: Perkara yang diserupakan dalam teknik At-Tasybih.
Musyabbah Bih: Perkara yang menjadi rujukan atau bandingan dalam teknik At-Tasybih.
Sambung kepada perbincangan Surah Fatihah
Kemaskini: 12 Mei 2026




