A’raf Ayat 145:
وَكَتَبنا لَهُ فِي الأَلواحِ مِن كُلِّ شَيءٍ مَّوعِظَةً وَتَفصيلًا لِّكُلِّ شَيءٍ فَخُذها بِقُوَّةٍ وَأمُر قَومَكَ يَأخُذوا بِأَحسَنِها ۚ سَأُريكُم دارَ الفٰسِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We wrote for him on the tablets [something] of all things – instruction and explanation for all things, [saying], “Take them with determination and order your people to take the best of it. I will show you the home of the defiantly disobedient.”¹
- This is a severe warning from Allāh against rebellion.
MALAY
Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik – derhaka”.
وَكَتَبنا لَهُ فِي الأَلواحِ مِن كُلِّ شَيءٍ
Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh itu, semua perkara
Menurut suatu pendapat, lauh-lauh itu diberikan kepada Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ sebelum baginda menerima kitab Taurat. Akan tetapi pendapat yang selalu disebut adalah ia merujuk kepada Kitab Taurat. Lauh itu maksudnya ‘tablet’; iaitu batu yang dipahat. Ada juga yang mengatakan ia bermaksud papan-papan. Bagaimana rupanya, kita tidak tahu tetapi di sini kita tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ mendapat kitab Taurat siap bertulis.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘semua perkara’ itu? Takkanlah semua perkara tentang dunia ini ditulis pula. Maksudnya adalah untuk semua perkara yang berhajat kepada agama. Semua perkara yang perlu diketahui tentang agama. Menurut suatu pendapat, bahawa Allah ﷻ menuliskan di dalamnya semua pelajaran dan hukum-hukum yang terperinci menerangkan tentang halal dan haram.
Sebagaimana dalam Al-Qur’an, semua perkara tentang agama telah disentuh. Namun tidaklah diperjelaskan satu persatu – kerana itu kita memerlukan kepada hadith.
مَّوعِظَةً وَتَفصيلًا لِّكُلِّ شَيءٍ
daripada pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu
Dijelaskan dalam Taurat itu tentang perkara yang penting dalam agama, sebagai nasihat dan huraian bagi keperluan hukum syariat. Begitulah juga dengan Al-Qur’an yang ada pada kita ini.
Ada juga tafsiran israeliyyat mengenai firman Allah ﷻ ini dan kita beritahu di sini untuk membangkangnya:
( مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْعِظَةً وَتَفْصِيلاً لِّكُلِّ شَيْءٍ ) ini. Dikatakan Bani Israel telah menjadikan Taurat sebagai kitab yang merangkumi semua yang telah berlaku dan semua yang akan berlaku.
Ini adalah antara yang tidak masuk akal dan tidak boleh dipercayai. Antaranya lagi ialah tafsir yang disebut oleh Imam al-Alusi di dalam tafsirnya, beliau berkata: “Hadith yang diriwayatkan oleh Tabrani dan Baihaqi di dalam Al-Dalail daripada Muhammad bin Yazid al-Thaqafi telah berkata: Aku telah menemani Qias bin Khursyah dan Kaab bin Ahbar hingga keduanya sampai ke Siffin. Kaab telah berhenti kemudian memerhati beberapa ketika dan terus berkata: Tempat ini akan ditumpahi darah Orang Muslimin dengan jumlah yang tidak pernah berlaku di mana-mana bumi lain sepertinya.”
Qais berkata: “Mana engkau tahu, kerana ini adalah antara perkara ghaib yang hanya Allah ﷻ sahaja yang mengetahuinya.” Maka Kaab berkata: “Tidak ada sejengkal bumi pun melainkan telah tercatat di dalam Taurat yang telah diturunkan oleh Allah ﷻ kepada Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ termasuk apa sahaja yang berlaku dan yang keluar dari tempat itu hingga ke hari kiamat.”
Kisah seperti ini adalah termasuk dalam berlebihan tokok tambah cerita yang tidak boleh kita percayai. Kemungkinan ia adalah merupakan pendustaan yang diperolehi oleh sahabat, Muawiyah bin Abu Sufyan رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ sebagaimana yang telah pernah juga berlaku sebelum ini. Langsung tidak masuk akal di dalam Taurat terkandung semua peristiwa dunia sehingga hari kiamat.
Muhaqqiqin dalam kalangan Mufassirin sama ada Khalaf atau Salaf sepakat mengatakan bahawa maksudnya ( تَفْصِيلاً لِّكُلِّ شَيْءٍ ) ialah perkara halal dan haram yang mereka perlukan serta perkara baik dan perkara keji yang menepati syariat Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ pada zamannya. Sekiranya bukan begitu maksudnya, bagaimana pula Al-Quran yang telah datang dengan hukum-hukum, adab dan akhlak yang tidak terdapat di dalam Taurat?
فَخُذها بِقُوَّةٍ
Oleh itu, peganglah ia dengan bersungguh-sungguh,
Setelah baginda tahu bahawa segala penjelasan yang penting ada dalam Taurat itu, maka baginda disuruh untuk berpeganglah dengan kuat bersungguh-sungguh. Begitu juga, kita disuruh untuk berpegang dengan Al-Qur’an.
Maksud ‘berpegang’ itu, kenalah belajar dan amalkan dengan bersungguh-sungguh. Jangan main-main, jangan hanya menggunakan mana yang kita suka sahaja dan meninggalkan mana yang kita tidak mahu buat. Itu bukan bersungguh-sungguh namanya.
Maksud ayat ini dijelaskan lagi di dalam Baqarah: 121
الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan, mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
Apakah maksud حَقَّ تِلاوَتِهِ? Ia bermaksud baca dengan betul, faham dan amalkan. Kemudian hendaklah disampaikan kepada manusia. Ini juga nasihat bagi kita yang sekarang ada Al-Qur’an di tangan kita.
وَأمُر قَومَكَ يَأخُذوا بِأَحسَنِها
dan suruhlah kaummu berpegang yang sebaik-baiknya
Wahyu Taurat itu bukan sahaja untuk baginda, tetapi untuk kaum baginda juga maka Allah ﷻ suruh Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ sampaikan kepada kaumnya. Begitulah juga kita yang sudah belajar wahyu Allah ﷻ ini, kenalah sampaikan wahyu kepada manusia. Ramai yang masih tidak tahu tentang apa yang ada di dalam Al-Qur’an ini.
Kena lakukan ‘sebaik-baiknya’ bermaksud kena amalkan dulu amalan yang boleh mendapat ganjaran yang paling banyak. Juga bermaksud amal yang berbentuk keutamaan yang tinggi. Antaranya kena amalkan yang fardhu, kemudian yang wajib, kemudian baru yang sunat. Jangan terus buat sunat, namun tertinggal pula yang fardhu.
Ia juga disebut di dalam Zumar: 18
الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya;
Ia juga bermaksud kena usaha untuk buat sehabis baik. Kena ada usaha dan bukannya sambil lewa sahaja. Dalam agama, kita kena gerakkan diri kita untuk belajar, untuk beribadat dan kena cari masa. Bukannya hanya belajar dan beribadat apabila ada masa luang sahaja. Kalau begitu, tentu akan ada sahaja perkara lain yang lebih penting yang menyebabkan amal ibadat kita ditolak ke tepi.
Syaitan akan sibukkan kita dengan perkara-perkara lain. Malangnya, begitulah yang sering dihadapi oleh masyarakat kita. Kalau kita ajak belajar, ramai yang akan beri alasan dia tengah sibuk dengan anak, dengan kerja, dengan rumah, dengan hobi dia dan sebagainya. Sehinggalah ke usia tua dia menjadi manusia yang jahil tentang agama.
سَأُريكُم دارَ الفٰسِقينَ
Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik”.
Maksudnya Allah ﷻ akan memperlihatkan kepada mereka semua, daerah bumi Baitulmuqaddis yang waktu itu sedang diduduki oleh orang-orang fasik. Begitulah, apabila mereka sanggup melakukan perkara yang besar, maka mereka diberikan dengan dugaan yang lebih besar dan pulangan yang lebih besar, iaitu memasuki Baitulmuqaddis. Mereka akan mewarisi tempat orang-orang fasik yang dahulu itu.
Akan tetapi semuanya bermula dengan perkara yang kecil-kecil terlebih dahulu. Belajar dan amalkan mana yang kita sudah belajar itu. Kemudian pastikan kita belajar dan mengamalkan perkara yang sunnah. Amal ibadat yang bukan sunnah adalah sia-sia, tidak mendatangkan pahala.
Satu lagi tafsir bagi ayat ini adalah: Kalau tidak berpegang dengan Taurat itu, Allah ﷻ akan masukkan mereka ke negeri orang-orang fasik (maksudnya neraka). Ini adalah keadaan di akhirat kelak. Allah ﷻ akan tunjukkan bagaimana mereka akan dihancurkan nanti.
A’raf Ayat 146:
سَأَصرِفُ عَن ءآيٰتِيَ الَّذينَ يَتَكَبَّرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَإِن يَرَوا كُلَّ ءآيَةٍ لّا يُؤمِنوا بِها وَإِن يَرَوا سَبيلَ الرُّشدِ لا يَتَّخِذوهُ سَبيلًا وَإِن يَرَوا سَبيلَ الغَيِّ يَتَّخِذوهُ سَبيلًا ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَكانوا عَنها غٰفِلينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
I will turn away from My signs those who are arrogant upon the earth without right; and if they should see every sign, they will not believe in it. And if they see the way of consciousness,¹ they will not adopt it as a way; but if they see the way of error, they will adopt it as a way. That is because they have denied Our signs and they were heedless of them.
- i.e., reason and integrity.
MALAY
Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
سَأَصرِفُ عَن ءآيٰتِيَ الَّذينَ يَتَكَبَّرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ
Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar daripada (memahami) ayat-ayatKu
Allah ﷻ akan palingkan mereka yang sombong daripada memahami ayat-ayat-Nya. Siapa yang akan dipalingkan? Itulah mereka yang sombong daripada menerima kebenaran, tanpa alasan. Sekiranya mereka tolak kerana ada alasan, bolehlah dibincangkan, tetapi mereka tolak begitu sahaja. Maknanya mereka tidak berhak pun untuk menjadi sombong. Sombong sememangnya merupakan masalah besar yang ada dalam hati manusia.
Allah ﷻ akan tolak mereka daripada memahami ayat-ayat Allah ﷻ kerana mereka tidak layak. Mereka sendiri yang tidak mahu kepada kebenaran. Maka jangan sombong untuk mendengar penjelasan daripada orang yang menyampaikan wahyu kepada kita. Kenalah buka telinga dan dengar dahulu apa yang hendak disampaikan itu.
Sombong itu ada dua jenis seperti yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda,
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah ﷻ itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“
(Hadith Riwayat Muslim (91))
Sombong yang di dalam ayat ini adalah jenis sombong yang menolak kebenaran. Mereka sangka mereka telah pandai dan tidak memerlukan nasihat lagi daripada sesiapa. Oleh kerana mereka tolak, maka Allah ﷻ telah menutup hati mereka. Apabila Allah ﷻ tutup hati mereka, itu dinamakan Khatmul Qalbi (Penutupan Hati). Kasihan kepada orang-orang yang sebegitu seperti yang Allah ﷻ sebutkan juga di dalam Isra’: 45-46
وَإِذا قَرَأتَ القُرآنَ جَعَلنا بَينَكَ وَبَينَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ حِجابًا مَستورًا
Dan apabila kamu membaca Al Qur’an nescaya Kami adakan antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, suatu dinding yang tertutup,
وَجَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي آذانِهِم وَقرًا ۚ وَإِذا ذَكَرتَ رَبَّكَ فِي القُرآنِ وَحدَهُ وَلَّوا عَلىٰ أَدبارِهِم نُفورًا
dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. Dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam Al Qur’an, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana benci,
Adakah Allah ﷻ zalim kerana menutup hati mereka dan memalingkan mereka daripada memahami wahyu Allah ﷻ? Tidak, kerana Allah ﷻ memalingkan mereka itu kerana mereka sendiri yang tidak mahu menerima dan mereka yang mula-mula berpaling seperti yang disebut dalam Saff: 5. Allah ﷻ palingkan umat Nabi Musa عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ kerana mereka dahulu yang berpaling. Allah ﷻ tidak zalim dalam hal ini.
وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم ۖ فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ayat-ayat Allah ﷻ‘? Ia boleh jadi dalam bentuk wahyu seperti Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Itu adalah jenis-jenis ayat-ayat Allah ﷻ yang dibaca. Namun ada juga ayat-ayat Allah ﷻ pada alam ini yang boleh dilihat di bumi dan di langit. Ini juga tanda-tanda daripada Allah ﷻ yang diberikan kepada kita untuk berfikir.
Orang yang ada akal yang sihat akan melihat alam ini dan tentu hendak mencari Tuhan yang menciptanya. Akan tetapi orang yang sombong daripada kebenaran, mereka tidak akan nampak tanda-tanda ini kerana Allah ﷻ telah palingkan mereka daripada memahaminya.
Cuma di dalam ayat ini ada disebut يَتَكَبَّرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ (sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar). Adakah ini bermaksud ada ketikanya boleh berlaku sombong kepada orang lain? Ini juga menjadi perbincangan.
Terdapat satu kata-kata yang disandarkan kepada Nabi ﷺ yang berbunyi:
التَّكَبُّرُ علَى المُتَكَبِّرِ صَدَقَةٌ
Bersikap sombong terhadap orang yang sombong merupakan satu sedekah.
Kata-kata ini tersebar dan masyhur dalam kalangan kita, namun ia bukanlah hadith.
Syeikh Mulla Ali al-Qari رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ telah memasukkan riwayat ini dalam kategori hadith palsu, namun mengakui bahawa perkataan tersebut pernah diucapkan oleh para ulama’ dengan maksud yang sama. (Rujuk Al-Asrar al-Marfu’ah fi al-Akhbar al-Maudhu’ah, hlm, 163)
Terdapat juga riwayat lain yang berbunyi:
إِذا رَأَيْتُمْ المتواضعين من أمتِي فتواضعوا لَهُم وَإِذا رَأَيْتُمْ المتكبرين فتكبروا عَلَيْهِم
Apabila kami dapati kalangan yang tawadhu dalam kalangan umatku, maka berlakulah tawadhu terhadap mereka; dan apabila kamu dapati golongan yang sombong, berlakulah sombong terhadap mereka.
Riwayat ini disebut oleh Imam al-Ghazali رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ dalam Ihyaa’ Ulum al-Din, namun Imam Tajuddin al-Subki رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ menyatakan bahawa beliau tidak menjumpai sanad bagi riwayat ini. (Rujuk Tobaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra 6/354)
Abu Sa’id al-Khadimi رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ sewaktu mengulas riwayat ini menyatakan bahawa secara asalnya, sikap sombong adalah diharamkan. Namun kita dibenarkan bersikap sombong terhadap orang yang sombong, dan ia sebenarnya adalah sedekah dan perbuatan baik, kerana jika kita bersikap tawaduk di hadapan orang sombong, maka itu akan menyebabkan dirinya terus-menerus berada dalam kesesatan. Namun, jika kita bersikap sombong, dia akan tersedar daripada sikapnya itu.
Ini sesuai dengan nasihat Imam Syafi’iy رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ, di mana terdapat riwayat bahawa beliau pernah berkata: “bersikaplah sombong kepada orang sombong”. Imam Al-Zuhri رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ pula pernah mengatakan: “Bersikap sombong kepada pecinta dunia merupakan satu ikatan Islam yang kukuh”. Imam Yahya bin Mu’adz رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ pula mengatakan, “Bersikap sombong kepada orang yang bersikap sombong kepadamu dengan hartanya, merupakan satu bentuk kerendahan diri.”
Kerana itulah dikatakan juga bahawa menzahirkan sikap sombong untuk menyedarkan orang yang sombong (bukan dengan niat berbangga diri) merupakan satu sikap terpuji, contohnya sikap sombong di hadapan orang jahil dan orang kaya yang sombong dengan hartanya. (Rujuk Bariqah Mahmudiyyah fi Syarh Tariqah Muhammadiyah, 2/186)
Selain itu, Imam al-Munawi رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ memasukkan sikap sombong terhadap orang yang sombong ini sebagai salah satu amalan-amalan yang baik. (Rujuk Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir 3/386)
وَإِن يَرَوا كُلَّ ءآيَةٍ لّا يُؤمِنوا بِها
dan jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya,
Orang-orang yang telah ditutup hati mereka, walaupun mereka nampak setiap dalil, mereka tetap tidak akan beriman. Inilah jenis orang-orang yang kalau kita beri ayat Al-Qur’an pun, mereka buat tidak kisah, tidak mahu mengubah sikap mereka. Seolah-olah ayat Al-Qur’an itu tidak ada makna apa-apa pun pada mereka. Ini adalah kerana hati mereka telah keras.
وَإِن يَرَوا سَبيلَ الرُّشدِ لا يَتَّخِذوهُ سَبيلًا
dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui.
Sekiranya mereka nampak jalan menuju kebenaran, mereka tidak mahu mengambil jalan itu. Maksudnya mereka tidak mahu mengambil manhaj sunnah. Yang mereka pegang adalah jalan yang ramai diamalkan oleh ramai orang, walaupun jalan itu tidak semestinya benar. Kalau kita kata sesuatu amalan dan pendapat itu salah, mereka balas: “Aik, takkan salah? Ramai orang yang buat macam ini!”
وَإِن يَرَوا سَبيلَ الغَيِّ يَتَّخِذوهُ سَبيلًا
Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui.
Sebaliknya, jika mereka nampak jalan sesat, mereka terus menjadikan jalan itu tempat laluan mereka. Mereka suka pula menggunakan jalan yang salah. Ini adalah kerana mereka sudah tidak tahu mana satu jalan yang benar kerana mereka telah menolak wahyu.
Apabila mereka menolak wahyu, mereka sudah tidak ada kayu ukur untuk memastikan mana jalan yang benar dan mana jalan yang tidak. Oleh itu, ramai yang sangka mereka beriman, mereka sudah alim, mereka ahli ibadat, tetapi mereka beriman yang salah, mereka alim dalam ilmu yang salah dan mereka buat ibadat yang tidak benar, ibadat yang bid’ah.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِئآيٰتِنا
Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami
Mereka jadi begitu kerana mereka menolak ayat-ayat Allah ﷻ daripada dibaca dan dijelaskan kepada mereka. Kalau kita beritahu, mereka kata itu adalah ‘dusta’. Atau, mereka tidak cakap, tetapi mereka tolak kerana dalam hati mereka, ia adalah dusta, tidak benar. Sebab itu mereka tidak ikut kerana kalau mereka terima ia sebagai benar, tentu mereka akan ikut, bukan?
وَكانوا عَنها غٰفِلينَ
dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
Kenapakah mereka sampai sanggup mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ? Ini kerana mereka tidak menghiraukan wahyu daripada Allah ﷻ kerana asalnya mereka lalai daripada mempelajarinya. Mereka buat tidak kisah kepada ayat-ayat Allah ﷻ. Sebagaimana orang kita yang rajin belajar pelajaran lain, tetapi tafsir Al-Qur’an mereka tidak belajar.
Mereka tidak buat usaha pun untuk mengetahui apakah maksud ayat-ayat Al-Qur’an itu. Mereka lalai daripada mempelajari tentang Al-Qur’an. Ilmu feqah, ilmu hadith, mereka belajar, tetapi tidak belajar pula tafsir Al-Qur’an, maka tiada gunanya juga.
A’raf Ayat 147: Natijah di akhirat kelak.
وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَلِقاءِ الآخِرَةِ حَبِطَت أَعمٰلُهُم ۚ هَل يُجزَونَ إِلّا ما كانوا يَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those who denied Our signs and the meeting of the Hereafter – their deeds have become worthless. Are they recompensed except for what they used to do?
MALAY
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat).
وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَلِقاءِ الآخِرَةِ حَبِطَت أَعمٰلُهُم
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka
Akan gugur lenyap habis kosong amalan baik mereka. Mereka mungkin ada buat perbuatan yang baik seperti bantu orang lain dan sebagainya. Namun begitu, walaupun ia adalah amalan yang baik, akan tetapi ia tidak akan dibalas di akhirat kelak. Maknanya, orang yang kafir pun ada amalan yang baik juga. Namun amalan mereka itu tidak berguna untuk mereka di akhirat kelak.
هَل يُجزَونَ إِلّا ما كانوا يَعمَلونَ
Mereka tidak diberikan balasan melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan
Sebaliknya, yang mereka dibalas adalah daripada perbuatan buruk mereka iaitu amal kufur dan syirik yang mereka lakukan. Sudahlah amalan baik mereka tidak dikira, amalan jahat pula yang dikira. Ini adalah kerana mereka tidak beriman dengan wahyu dan tidak percaya kepada kebangkitan semula.
Habis Ruku’ 17 dari 24 ruku’ dalam surah ini.
A’raf Ayat 148:
وَاتَّخَذَ قَومُ موسىٰ مِن بَعدِهِ مِن حُلِيِّهِم عِجلًا جَسَدًا لَّهُ خُوارٌ ۚ أَلَم يَرَوا أَنَّهُ لا يُكَلِّمُهُم وَلا يَهديهِم سَبيلًا ۘ اتَّخَذوهُ وَكانوا ظٰلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the people of Moses made, after [his departure], from their ornaments a calf – an image having a lowing sound. Did they not see that it could neither speak to them nor guide them to a way? They took it [for worship], and they were wrongdoers.
MALAY
Dan kaum Nabi Musa, sesudah dia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat dari barang-barang emas perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah berfirman): “Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman”.
وَاتَّخَذَ قَومُ موسىٰ مِن بَعدِهِ مِن حُلِيِّهِم عِجلًا جَسَدًا
Dan kaum Nabi Musa, sesudah dia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat daripada barang-barang emas perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang bertubuh
Selepas pemergian Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan baginda bermunajat selama 40 hari, umat Bani Israel menjadi tidak tentu arah. Ini kerana Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ memaklumkan sebelum itu yang baginda akan pergi bermunajat selama 30 hari. Namun apabila ditambah 10 hari lagi, mereka telah fikir macam-macam. Seorang lelaki bernama Samiri telah mengambil peluang ini.
Dia memang seorang lelaki yang sudah terkenal dalam kalangan Bani Israel. Dia dihormati dan dipandang tinggi. Namun begitu selagi ada Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, dia tidak menyinar. Kali ini peluang untuk dia pula. Dia telah menyuruh umat Bani Israel untuk mengumpul barang perhiasan yang ada pada mereka, dan dia telah leburkan dan menjadikan daripadanya satu patung anak lembu. Digunakan kalimah جسدا (jasad) yang bermaksud ada tubuh tetapi tidak ada roh.
Perhiasan emas itu asal mulanya mereka pinjam daripada orang-orang Qibti di negeri Mesir, yang kemudian mereka bawa menyeberang semasa menyelamatkan diri. Maka Samiri berhujah kata mereka tidak boleh memegang barang yang bukan milik mereka. Kemudian dia suruh mereka kumpul dan dia sendiri meleburnya dan menjadikannya patung anak lembu.
Kemudian dia ajar mereka untuk sembah patung anak lembu itu. Dia kata Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ sibuk pergi naik ke Gunung Thur cari Tuhan, tetapi sebenarnya tuhan sudah datang dalam bentuk patung anak lembu itu. Memang hujah yang karut tetapi ada pula yang percaya. Namun tidak menghairankan kerana orang Melayu pun ramai yang boleh percaya benda-benda karut seperti ini. Sebab itu ajaran sesat boleh bercambah kerana ramai yang bodoh-bodoh belaka.
Cara mereka menyembah patung itu adalah seperti orang Yahudi di Wailing Wall sekarang ini. Iaitu mereka hangguk-hangguk di situ.
Kerana itu tidak elok sebenarnya budak-budak sekarang semasa menghafal Al-Qur’an, mereka terhangguk-hangguk. Kerana seperti meniru golongan ini. Jadi untuk halang dari perkara itu terjadi, sepatutnya orang yang pergi bergerak, kena berdiri dan berjalan kalau perlu. Janganlah terus terhangguk-hangguk lagi.
لَّهُ خُوارٌ
dan bersuara
Lembu itu boleh bersuara (atau berbunyi). Al-khuwar ialah suara lembu. Ini adalah kerana Samiri telah memasukkan debu daripada bekas tapak kaki kuda Malaikat Jibril ke dalam leburan emas itu sehingga jadilah sebuah patung yang berbentuk dan bersuara.
Semasa kecil, Samiri dijaga oleh Malaikat Jibril. Dia pernah mengambil bekas tapak kaki kuda Jibril dan dia menyimpannya. Maka adalah serba sedikit magis yang berlaku. Kisah ini ada disebut dalam Taha: 96
قالَ بَصُرتُ بِما لَم يَبصُروا بِهِ فَقَبَضتُ قَبضَةً مِن أَثَرِ الرَّسولِ فَنَبَذتُها وَكَذٰلِكَ سَوَّلَت لي نَفسي
Dia menjawab:” Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam daripada kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku”.
Atau ada pendapat yang mengatakan ia hanyalah bunyi angin yang terkena pada lubang-lubang pada patung itu maka ia menyebabkan keluarnya bunyi.
Hal ini terjadi setelah pemergian Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ untuk memenuhi janji Tuhannya. Maka Allah ﷻ memberitahukan hal tersebut kepada Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ketika Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ berada di Bukit Thur.
Yang menyebabkan mereka boleh tertipu itu adalah kerana patung itu ada suara lembu. Kita kena tahu, yang ia adalah jasad patung sahaja, bukan menjadi lembu sebenar. Akan tetapi kerana kepandaian teknik Samiri, apabila angin masuk melalui tubuh lembu itu, ia mengeluarkan bunyi lembu. Itu pun umat itu sudah kelam kabut percaya, padahal tidaklah hebat sangat.
Ia bukanlah sesuatu yang patut dipuja tetapi kerana mereka itu jahil dan degil, maka mereka puja juga. Ini adalah kerana ada kelemahan dalam diri mereka. Mereka tidak suka mendengar nasihat Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan suka menggunakan nasihat yang datang dari luar. Oleh itu mereka mudah dihasut bisikan syaitan. Padahal Nabi Harun عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ada bersama mereka, tetapi mereka tidak dengar nasihat baginda.
Oleh itu sekiranya orang kita pun percaya kepada benda-benda khurafat, maka tidak jauh bezanya dengan kaum Bani Israel yang memuja patung anak lembu itu. Ada dalam kalangan orang kita yang kalau lihat keris dapat berdiri, sudah kelam kabut buat benda-benda syirik dan khurafat dengan keris itu.
Sampai zaman sekarang, patung lembu digunakan dalam banyak perkara-perkara sesat. Kita boleh lihat bagaimana agama Hindu itu pun suka menggunakan patung. Ada dalam kalangan manusia yang mengamalkan ajaran sesat syaitan, menggunakan patung kepala lembu juga. Mereka memandang tinggi lembu itu padahal lembu itu hanyalah binatang sahaja. Begitulah syaitan menggunakan modal yang sama sahaja. Maka, mungkin ada kaitan serba sedikit, Allahu a’lam.
أَلَم يَرَوا أَنَّهُ لا يُكَلِّمُهُم وَلا يَهديهِم سَبيلًا
Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka?
Tidakkah mereka guna akal mereka? Tidakkah mereka sedar yang patung itu bukan boleh bercakap dengan mereka pun? Bukan boleh ajar mereka apa-apa pun. Setakat mengeluarkan bunyi yang tidak boleh difahami apa-apa pun daripadanya. Kalau tidak boleh bercakap, bagaimana hendak menjadi tuhan? Bagaimana hendak beri arahan itu dan ini?
Lihatlah bagaimana senang sahaja syaitan menyesatkan orang yang jahil. Mereka memilih binatang pun pilih binatang yang bodoh seperti lembu. Bukankah orang kita kalau maki ada sebut: “Bodoh macam lembu!”. Tidak ada pun yang kata: “Bodoh macam harimau!”, bukan? Sebab memang lembu itu binatang yang bodoh. Allah ﷻ menghina mereka dengan membiarkan mereka memilih jenis binatang yang bodoh sebab mereka sendiri orang yang bodoh.
Itulah bahaya kalau tidak ada ilmu dan akal. Sebab itulah kalau kita lihat masyarakat kita yang terjebak dengan ajaran sesat, dengan tarekat dan jalan kesufian, selalunya mereka yang jahil dan tidak ada ilmu agama. Orang sebegini senang ditipu. Bagilah apa sahaja idea karut kepada mereka, mereka akan terima bulat-bulat.
اتَّخَذوهُ وَكانوا ظٰلِمينَ
Mereka menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman
Walaupun tidak ada apa-apa dengan patung itu, tetapi mereka telah mengambil patung anak lembu itu sebagai tempat pujaan. Allah ﷻ katakan itu adalah perbuatan ‘zalim’ kerana membuat sesuatu yang syirik. Kerana itulah dikatakan lafaz ‘zalim’ dalam Al-Qur’an selalunya bermaksud syirik. Bukan semua, tetapi kebanyakan daripadanya.
Allahu a’lam. Sambungan ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 18 Januari 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
“Kemudian Samiri memasukkan debu dari bekas tapak kaki kuda Malaikat Jibril (yang menjaganya semasa kecil) ke dalam leburan emas itu sehingga jadilah sebuah patung yang berbentuk dan bersuara“
Al-A’raf: 148
Tepatkah perenggan ini? Atau ada yg tertinggal atau tersilap? Terutama part Malaikat Jibril itu.
Apapun macam tak complete penjelasannya.
LikeLike
Terima kasih, saya sudah tambah background story sedikit sebagai penjelasan tambahan.
LikeLike