Tafsir Surah Taha Ayat 94 – 98 (Samiri dibuang daerah)

Ayat 94: Ayat ini menunjukkan sifat kemanusiaan Nabi Musa. Maka kerana itu baginda juga boleh jatuh marah. Tapi ia tidak menjatuhkan status kenabian baginda. Qur’an tak cakap apa yang dibuat oleh Nabi Musa. Tapi dari kata Nabi Harun ini, kita dapat tahu apa baginda buat.

قالَ يَا ابنَ أُمَّ لا تَأخُذ بِلِحيَتي وَلا بِرَأسي ۖ إِنّي خَشيتُ أَن تَقولَ فَرَّقتَ بَينَ بَني إِسرائيلَ وَلَم تَرقُب قَولي

Sahih International

[Aaron] said, “O son of my mother, do not seize [me] by my beard or by my head. Indeed, I feared that you would say, ‘You caused division among the Children of Israel, and you did not observe [or await] my word.’ ”

Malay

Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani Israil sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!’ ”

قَالَ يَا ابْنَ أُمَّ

Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku!

Kenapa tak sebut terus nama Nabi Musa? Sebab Nabi Harun hendak berlembut dengan adiknya. Nabi Harun amat menghormati Nabi Musa kerana itu dipanggil dengan panggilan yang manja. Kalau kita panggil seseorang dengan nama manja, atau menyebutkan pertalian persaudaraan mereka, tentu lebih mesra.

Kalau sebut nama sahaja, kadang-kadang boleh menyebabkan kemarahan juga. Katakanlah seseorang marah kita, dan kita jawab: “Ya <namanya>, apa dia?”, kadang-kadang itu boleh dianggap sebagai menjawab balik. Oleh itu Nabi Harun tidak sebut nama Nabi Musa pun sebab dia tak mahu konfrontasi. Dia hendak mengamankan suasana.

Dan Nabi Harun mengingatkan Nabi Musa tentang ibu mereka. Pertalian mereka yang kuat adalah ibu mereka. Ibu mereka seorang yang penyayang dan hebat kerana Qur’an pun sebut begitu. Kita pun tahu bagaimana dia telah menyelamatkan anaknya, sanggup menghanyutkan Nabi Musa yang masih bayi itu ke sungai. Dan kita pun boleh agak bagaimana dia pun telah melakukan perkara yang sama dengan Nabi Harun, kerana Nabi Harun pun selamat juga.

Dengan menyebut ibu mereka, ianya seperti Nabi Harun hendak mengatakan: “Apa mak kata kalau dia nampak kita macam ini?”

لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي

Janganlah engkau meragut janggutku

Maknanya, Nabi Musa memang tengah marah sangat sampai dia sudah ragut janggut Nabi Harun. Boleh kita anggap di sini bahawa Nabi Musa ini seorang yang panas baran rupanya. Nabi Harun dengan lembutnya suruh Nabi Musa bersabar dan lepaskan janggutnya.

وَلَا بِرَأْسِي

dan janganlah menarik (rambut) kepalaku;

Maknanya, semasa Nabi Musa tanya Nabi Harun, dia pegang janggut dan rambut Nabi Harun. Kadang-kadang, dengan adik beradik kita boleh lebih sikit. Janganlah kita beranggap teruk sangat Nabi Musa sampai buat begitu. Kita kena ingat bahawa mereka adalah adik beradik.

Kadang-kadang kita layan adik beradik lain sikit kerana sudah kenal lama dengan mereka. Kita boleh buat kasar lebih lagi dari biasa. Kadangkala bahasa yang kita gunakan dengan mereka pun lain. Kadang-kadang lebih keras dari orang lain. Kalau dengan orang lain, walaupun marah, kita boleh berbahasa lagi.

إِنِّي خَشِيتُ أَن تَقُولَ

Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `

Nabi Harun tak buat apa yang Nabi Musa suruh itu (meninggalkan kaum itu dan turut naik cari Nabi Musa) sebab dia takut nanti Nabi Musa salah anggap dengan dia.

فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri,

Dia takut Nabi Musa kata dia memecah belahkan kaum Bani Israil sepeninggalannya.

Nabi Harun beranggapan, kalau dia tinggalkan mereka untuk cari Nabi Musa dan beritahu baginda apa yang terjadi, mereka akan berkelahi sesama sendiri dan akan terus berpecah belah. Boleh jadi lagi teruk lagi dari apa yang terjadi waktu itu.

Yang menyembah anak patung itu hanya 70 orang sahaja. Kalau dia pergi, lagi berpecah mereka. Kalau nak naik ke Bukit Thursina itu, bukan dekat. Maknanya, kena tinggalkan mereka dalam masa yang lama. Dia pun sudah tahu, kalau Nabi Musa pulang nanti, mereka akan ikut cakap Nabi Musa kerana mereka lebih menghormati Nabi Musa.

Sekurang-kurangnya dia boleh mengawal keadaan jangan jadi lebih teruk menunggu kembalinya Nabi Musa. Oleh itu, apabila Nabi Musa pulang, tidaklah keadaan teruk sangat sampai tidak boleh diperbaiki lagi.

Atau, boleh jadi, maksud Nabi Harun, kalau dia cakap lebih kuat lagi dengan kaumnya itu, maka akan terjadi perkelahian yang teruk yang menyebabkan mereka berpecah belah lagi teruk.

وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي

dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ‘ “

Nabi Harun takut Nabi Musa akan kata yang Nabi Musa tak ikut pesan dia.

Ada isyarat dalam Qur’an bahawa apa yang Harun buat itu benar kerana Allah tidak betulkan kata-kata baginda. Dalam ayat lain, Nabi Musa ada berdoa semoga diampunkan dosa Nabi Harun. Untuk memahami kisah Nabi Musa itu, kena rujuk juga kepada ayat lain.

Banyak surah menyebut kisah Nabi Musa. Dan memang banyak kisah Nabi Musa dalam Qur’an. Ada banyak kisah itu adalah kerana banyak persamaan antara umat Nabi Musa dan umat Nabi Muhammad – sama-sama degil.

Ayat ini menunjukkan kepentingan perpaduan. Jangan pecah belahkan masyarakat. Kita kena berusaha supaya masyarakat bersatu padu dengan mencuba berbagai cara. Memanglah akan susah kerana akan ada sahaja yang tidak baik dan buat kesalahan. Tapi sekurang-kurangnya kita kawal mana yang boleh.


Ayat 95: Sekarang Musa bertanya dan marah kepada Samiri pula.

قالَ فَما خَطبُكَ يا سامِرِيُّ

Sahih International

[Moses] said, “And what is your case, O Samiri?”

Malay

(Sesudah itu Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: “Apa pula halmu, wahai Samiri?”

قَالَ فَمَا خَطْبُكَ يَا سَامِرِيُّ

Nabi Musa bertanya: “Apa pula halmu, wahai Samiri?”

“Apa masalah kamu sampai kamu buat rancangan macam ini? Apa alasan kau buat perkara itu, Samiri?” Itulah lebih kurang makna pertanyaan Musa kepada Samiri.

Apabila perkataan خَطْبُ digunakan, ianya bermaksud sesuatu perkara yang tidak kena. Maknanya, Nabi Musa sudah isyarat bahawa apa yang Samiri buat itu adalah salah.


Ayat 96: Tidak pasti apakah Samiri waktu ini telah menyesal atas perbuatannya atau dia masih lagi engkar dan hanya memberi alasan sahaja. Mufassir melihat kepada dua-dua kemungkinan.

قالَ بَصُرتُ بِما لَم يَبصُروا بِهِ فَقَبَضتُ قَبضَةً مِن أَثَرِ الرَّسولِ فَنَبَذتُها وَكَذٰلِكَ سَوَّلَت لي نَفسي

Sahih International

He said, “I saw what they did not see, so I took a handful [of dust] from the track of the messenger and threw it, and thus did my soul entice me.”

Malay

Dia menjawab:” Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku”.

قَالَ بَصُرْتُ بِمَا لَمْ يَبْصُرُوا بِهِ

Dia menjawab:” Aku melihat apa yang tidak dilihat oleh mereka,

Ada dua kemungkinan apa yang dia nampak itu. Sama ada dia maksudkan hanya dia sahaja yang dapat melihat Jibrail;

Atau dia bermaksud dia sahaja yang faham dengan apa yang dia nampak itu. Kerana ada orang yang nampak perkara yang sama tapi pemahaman berlainan.

فَقَبَضْتُ قَبْضَةً مِّنْ أَثَرِ الرَّسُولِ

lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu,

Rasul yang dimaksudkan adalah Jibril. Apabila Jibril datang kepadanya, dia perasan bahawa ada perubahan kepada bekas tanah yang dipijak oleh Jibril (atau kuda Jibrail). Jibril waktu itu datang menyerupai manusia dan kerana itu Samiri boleh nampak dia.

Atau ada riwayat yang kata dia nampak Jibrail semasa Jibrail datang di Laut Merah semasa Firaun ditenggelamkan. Waktu itu Jibrail menyumbat mulut Firaun supaya dia tidak boleh bertaubat.

Maka, dia telah ambil tanah bekas tapak kaki Jibril itu dan dia simpan. Masyarakat kita pun ramai macam ini – apabila ada jumpa benda yang pelik sikit, mereka akan ambil dan simpan. Tak tahu lagi nak buat apa dengannya, tapi mereka simpan dahulu. Mereka ambil itu dengan nak gunakan untuk sesuatu maksud. Maknanya sudah ada niat yang salah.

فَنَبَذْتُهَا

kemudian aku mencampakkannya;

Perkataan نَبَذْ bermaksud: ‘membuang sesuatu yang tidak bernilai’. Selepas dia menjadikan patung anak lembu dari emas itu, dia telah menaburkan tanah itu kepada patung itu. Mungkin kerana itulah yang menyebabkan patung boleh berbunyi.

Tentulah Allah yang membenarkan terjadinya perkara itu. Kerana nak sesat, maka Allah benarkan. Bukanlah bermaksud Allah redha dengan perbuatan itu. Kita jangan salah faham pula. Kerana ada yang berhujah, kalau Allah beri ianya terjadi, bermaksud Allah redha. Tidak begitu.

Janganlah kita hairan dengan kejadian aneh yang dilakukan manusia. Begitulah juga kita lihat kejadian aneh yang dapat dibuat oleh agama-agama lain. Macam orang Hindu boleh berjalan atas api, boleh cucuk badan sana sini. Allah benarkan tapi tidaklah bermakna Allah redha.

Begitu juga dengan orang Islam pun. Ada yang dinamakan ‘guru’ oleh pengikut mereka, boleh buat macam-macam. Boleh terbang, boleh hilang, boleh tahu apa yang kita buat di rumah dan sebagainya. Itu tidak bermaksud mereka dalam kebenaran. Ini kerana mereka ada mengamalkan sihir dengan amalan mereka yang salah. Macam kita lihat Samiri ini, dia boleh melakukan perkara yang ajaib. Tapi itu adalah sesat sama sekali.

Ada satu lagi penafsiran yang diberikan oleh ulama Tafsir. Yang dimaksudkan dengan genggaman itu adalah ‘segenggam dari ajaran Rasul’ iaitu Nabi Musa. Bermakna, Samiri menggenggam dan ‘membuang’ ajaran Nabi Musa.

وَكَذَٰلِكَ سَوَّلَتْ لِي نَفْسِي

dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku”.

Samiri kata nafsunya telah menjadikan perbuatannya itu nampak indah dan baik bagi dirinya.

Nampak dia jawab dengan jujur kerana seolah-olah dia sedang mengaku salah. Dia kata dia buat itu kerana ditipu oleh hawa nafsunya. Kerana ayat inilah, ada mufassir yang mengatakan bahawa dia telah insaf.

Tapi ada yang tidak menerimanya. Mereka berpendapat dia mungkin hanya memberi helah sahaja. Kita pun tidak tahu apakah dalam hatinya.


Ayat 97:

قالَ فَاذهَب فَإِنَّ لَكَ فِي الحَياةِ أَن تَقولَ لا مِساسَ ۖ وَإِنَّ لَكَ مَوعِدًا لَن تُخلَفَهُ ۖ وَانظُر إِلىٰ إِلٰهِكَ الَّذي ظَلتَ عَلَيهِ عاكِفًا ۖ لَنُحَرِّقَنَّهُ ثُمَّ لَنَنسِفَنَّهُ فِي اليَمِّ نَسفًا

Sahih International

[Moses] said, “Then go. And indeed, it is [decreed] for you in [this] life to say, ‘No contact.’ And indeed, you have an appointment [in the Hereafter] you will not fail to keep. And look at your ‘god’ to which you remained devoted. We will surely burn it and blow it into the sea with a blast.

Malay

Nabi Musa berkata kepada Samiri: “Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: `Jangan sentuh daku’, dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.

قَالَ فَاذْهَبْ

Nabi Musa berkata kepada Samiri: “Pergilah,

Samiri telah dihalau keluar dari puak Bani Israil. Hukuman yang dikenakan kepadanya adalah dibuang daerah. Dia tidak boleh lagi bersama dengan Bani Israil yang lain. Akhirnya dia mati keseorangan.

فَإِنَّ لَكَ فِي الحَياةِ أَن تَقولَ لا مِساسَ

kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: `Jangan sentuh daku’,

Hadis yang sampai kepada kita tak jelas tentang apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini. Kalau kita merujuk kepada kisah-kisah Israiliyat, ada mengatakan dia kena sejenis penyakit. Seperti satu penyakit kulit yang menyebabkan dia tidak boleh disentuh. Kalau orang sentuh, dia akan lagi sakit. Maka, dia tidak mahu orang datang dekat kepadanya kerana dia takut disentuh.

Atau ada pendapat yang mengatakan dia alergi kepada manusia. Tidak boleh duduk lagi dalam kalangan manusia. Sebelum ini, dia mahu menjadi orang terkenal seperti Nabi Musa, tapi sekarang orang tak boleh datang dekat kepadanya. Kalau dia disentuh, dia dan orang itu akan demam.

Atau dikatakan dia pergi menyendiri di tempat yang jauh dari manusia. Yang pasti adalah, dia tidak dibenarkan berada di kalangan manusia lagi sebab dia telah menyesatkan mereka.

Ada juga disebut bagaimana Nabi Musa nak bunuh dia pada mulanya. Tapi dia telah diselamatkan dari dibunuh oleh Allah kerana dia adalah seorang yang pemurah. Maknanya dia diselamatkan kerana ada kebaikan yang dia pernah lakukan. Oleh kerana itu, Allah membalas dengan Allah memberi hukuman yang kurang. Tapi tidaklah bermakna dia selama kerana kesalahan yang dilakukannya itu adalah amat berat.

Ayat ini mengajar kita bahawa mereka yang menyembah selain dari Allah ada penyakit dalam diri mereka. Oleh itu, kita jangan campur dan bergaul dengan mereka.

وَإِنَّ لَكَ مَوْعِدًا

dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu;

Jangan sangka dia dikenakan dengan hukuman itu sahaja. Dia ada lagi hukuman yang akan dikenakan kepadanya.

لَّن تُخْلَفَهُ

yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya.

Iaitu dia akan masuk dalam neraka kekal selama-lamanya. Dia tidak akan terlepas dari azab itu walaupun dia telah dikenakan dengan hukuman buang daerah.

Atau bermaksud hukuman tidak boleh bersama manusia itu dia tidak boleh tukar sampai bila-bila.

وَانظُرْ إِلَىٰ إِلَٰهِكَ الَّذِي ظَلْتَ عَلَيْهِ عَاكِفًا

Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama tekun menyembahnya,

Kalimah ظَلْتَ bermaksud seharian buat sesuatu. Itulah yang dilakukan oleh puak yang iktikaf di patung anak lembu itu. Mereka terus sahaja iktikaf berdekatannya. Maknanya, dia beribadat dengan bersungguh-sungguh kepada patung anak lembu itu.

Dalam Surah A’raf, ada disebut bagaimana mereka meminta kepada Nabi Musa berhala untuk mereka memfokuskan perhatian mereka dalam ibadat. Itu adalah salah dan perbuatan syirik. Begitulah juga yang dilakukan oleh orang-orang yang menyembah berhala zaman sekarang seperti orang Hindu.

Mereka menggunakan patung berhala mereka itu sebagai alat untuk memusatkan perhatian mereka. Kalau kita tanya kepada golongan yang pandai dari kalangan mereka, mereka akan kata yang patung itu bukanlah tuhan mereka. Yang mereka gunakan patung itu sebagai alat pemusatan minda sahaja. Yang mereka sembah adalah dewa di sebalik patung itu. Patung itu hanya wakil sahaja.

لَّنُحَرِّقَنَّهُ

sesungguhnya kami akan membakarnya

Patung itu dibakar sampai hancur. Bagaimana boleh bakar emas pula? Kalau selalunya, emas hanya jadi cair sahaja, bukan boleh bakar macam bakar kertas. Ada riwayat mengatakan itu adalah mukjizat Nabi Musa. Dia boleh bakar emas itu sampai jadi hancur.

Ada yang kata patung itu dijadikan oleh Allah menjadi anak lembu yang hidup dan kemudian disembelih dan kemudian dibakar.

Atau ada yang mengatakan patung emas itu dilebur dan kemudian dicampur dengan bahan lain yang kotor, jadi ia tidak lagi dalam bentuk yang elok. Kemudian baru dipecahkan.

Allahu a’lam.

ثُمَّ لَنَنسِفَنَّهُ فِي الْيَمِّ

kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut

Abu atau bekas dibakar itu akan dibuang ke laut.

نَسْفًا

sehingga hilang lenyap.

Tujuan dibuang ke laut itu adalah untuk menghilangkan langsung kesan, sudah tidak ada berbekas lagi. Ini penting kerana kalau ada kesan lagi, maka ada orang yang ada sifat syirik akan terus sembah juga atau buat perkara tidak elok dengan patung itu.

Kerana itulah kalau kita jumpa alat atau benda yang dipuja, seperti keris keramat, duit syiling keramat atau apa-apa sahaja, kita hancurkan supaya tidak ada kesan dan dibuang. Kerana takut orang akan jumpa dan buat benda tidak elok pula. Jangan disimpan untuk buat kenangan pula.

Ada satu teori yang menarik tentang kejadian dalam ayat ini. Kalau kita lihat, ada persamaan apa yang berlaku kepada Samiri ini dengan kasta Brahma Hindu. Mereka memuja lembu terutama yang berwarna emas, mereka tidak boleh disentuh dan sebagainya lagi. Adakah mereka itu sambungan dari ‘Lost tribes of Israel’?


Ayat 98: Selepas apa yang terjadi kepada kaumnya itu, Nabi Musa menekankan kepada mereka tentang tauhid. Iaitu Tuhan yang layak disembah hanyalah Allah.

إِنَّما إِلٰهُكُمُ اللَّهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۚ وَسِعَ كُلَّ شَيءٍ عِلمًا

Sahih International

Your god is only Allah , except for whom there is no deity. He has encompassed all things in knowledge.”

Malay

“Sesungguhnya Tuhan kamu hanya Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu”.

إِنَّمَا إِلَٰهُكُمُ اللَّهُ الَّذِي

“Sesungguhnya Tuhan yang dipuja untuk kamu hanyalah Allah,

Allah kembali memperkatakan tentang Tauhid, iaitu perkara utama yang disampaikan dalam Qur’an. Banyak ayat-ayat yang akan kembali memperkatakan tentang tauhid selepas panjang lebar memperkatakan tentang sesuatu perkara.

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

yang tidak ada Tuhan yang disembah dan diibadati melainkan Dia,

Dalam ayat ini ada nafi dan ithbat. Seperti juga kalimah syahadah yang ada nafi dan ithbat. Ayat ini mengingatkan kita bahawa semuanya adalah tentang Allah. Hanya Allah sahaja kita kena sibukkan diri. Hanya Allah sahaja tempat pengharapan hati kita. Kena faham konsep ilah baru boleh faham ayat ini.

وَسِعَ كُلَّ شَيْءٍ عِلْمًا

yang meliputi ilmu pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu”.

Tidak terlepas dari pengetahuanNya tentang apa sahaja yang terjadi. Dia mampu menghitung jumlah segala sesuatu, tidak ada yang terlepas mahupun sebesar biji sawi. Tidak ada satu daun pun yang jatuh melainkan Allah mengetahuinya dan tidak ada satu biji pun di dalam kegelapan malam, tidak ada yang basah atau kering melainkan semuanya telah tertulis dalam Lauh Mahfuz.

Habis sudah bahagian kisah  Nabi Musa. Kita akan masuk ke dalam kisah Nabi Adam pula dalam ayat-ayat selepas ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s