Tafsir Surah Taha Ayat 99 – 107 (Bumi jadi rata)

Ayat 99: Sekarang ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad. Ayat ini sehingga ke ayat 114 adalah Perenggan Makro Kelima berkenaan Hari Kiamat. Kaum Arab Makkah dikhabarkan tentang tiupan sangkakala sebagai semboyan kiamat. Dikhabarkan juga tentang Perhimpunan di padang yang rata luas. Waktu itu semua manusia tunduk tidak berani bersuara menunggu saat dihisab.

كَذٰلِكَ نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ ما قَد سَبَقَ ۚ وَقَد آتَيناكَ مِن لَدُنّا ذِكرًا

Sahih International

Thus, [O Muhammad], We relate to you from the news of what has preceded. And We have certainly given you from Us the Qur’an.

Malay

Demikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu; dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab Al-Qur’an yang menjadi) peringatan.

كَذَٰلِكَ

Demikianlah;

Apabila dikatakan ‘demikianlah’, ia hendak merujuk kepada segala yang telah disebut sebelum ini.

نَقُصُّ عَلَيْكَ

Kami ceritakan kepadamu;

Semua kisah sebelum ini telah disampaikan oleh Allah sendiri. Disampaikan kepada Nabi Muhammad untuk dibacakan kepada umat manusia. Kalimah نَقُصُّ (Kami kisahkan) bermaksud cerita yang diberitahu dengan tepat, tanpa penambahan dan pengurangan.

Dikisahkan kembali kisah-kisah yang dahulu kerana sejarah sentiasa berulang. Akan ada sahaja manusia yang berperangai seperti apa yang disebutkan dalam kisah-kisah Qur’an itu. Contohnya, akan ada sahaja manusia yang berperangai seperti Firaun di setiap zaman. Oleh itu, ada pengajaran yang boleh diambil dari kisah-kisah itu pada setiap zaman. Ianya bukan sahaja untuk kita suka-suka baca seperti kita baca novel atau buku sejarah sahaja, atau baca suratkhabar sahaja.

Allah kata Dia yang beritahu kepada Nabi Muhammad. Ini bermakna, kalau Allah tak beritahu, Nabi pun tidak tahu kerana ini adalah salah satu dari perkara ghaib. Oleh itu, jangan kita sangka Nabi Muhammad tahu semua perkara.

Segala apa yang Nabi tahu, ianya diberitahu oleh Allah kepadanya. Sedangkan Nabi Muhammad pun tidak begitu, tapi Syiah pula kata imam-imam mereka tahu perkara ghaib. Itu sudah lebih dari apa yang Nabi Muhammad tahu.

مِنْ أَنبَاءِ مَا قَدْ سَبَقَ

sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu;

Kalimah أَنبَاءِ bermaksud berita penting dan relevan dengan keadaan semasa. Itulah cara Qur’an memberi pengajaran kepada kita. Bukan untuk hiburan sahaja macam kita baca novel dan suratkhabar tapi ia kisah yang memberi makna dan kita kena perhatikan dan ambil tindakan.

Allah memberitahu ‘sebahagian’ kerana kalau nak dikisahkan semua kisah-kisah terdahulu, tentulah banyak. Tapi kisah-kisah yang telah disebut itu adalah kisah-kisah yang amat penting sekali, yang sudah cukup untuk kita jadikan sebagai panduan.

وَقَدْ آتَيْنَاكَ مِن لَّدُنَّا

dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami

Kalimah لَّدُنَّا (sisi Kami – Allah) digunakan sebagai hendak menekankan ianya adalah satu pemberian yang besar kerana ianya dari sisi Allah sendiri. Apa yang Allah sampaikan amat berharga sekali. Maka amat rugi kalau kita tidak perhatikan dengan belajar tafsir Qur’an supaya kita boleh faham.

ذِكْرًا

Qur’an sebagai peringatan.

Perkataan ذِكْرًا asalnya bermaksud ‘peringatan’. Tapi dalam Qur’an, ianya merujuk kepada Qur’an. Tapi perkataan yang digunakan kali ini adalah ذِكْرًا iaitu dalam bentuk umum. Tidak diletakkan alif lam sebelumnya. Kenapa dibuat begini?

Supaya boleh dipakai dengan banyak cara. Peringatan itu boleh diberikan kepada banyak orang dengan banyak cara kerana setiap orang dapat peringatan dengan berbagai cara. Kadang-kadang kita baca dengan orang lain baca, pemahaman yang tidak sama. Kadang-kadang kita baca pada hari lain, kita dapat satu pemahaman. Tapi apabila dibaca pada hari lain pula, kita dapat pemahaman yang lebih mendalam.

Atau kita dapat faham dari sudut yang berbeza pula. Begitulah indahnya Qur’an. Itulah mukjizat Qur’an yang ada di tangan kita sekarang yang tunggu dibaca dan difahami. Tapi ramai yang buat tak kisah sahaja dengan tafsir Qur’an ini. Ramai yang hormat Qur’an, tapi mereka ramai yang tidak mahu belajar apakah mesej yang disampaikan.

Dinamakan ذِكْرًا kerana Qur’an mengingatkan kita. Berbagai-bagai peringatan diberikan dalam Qur’an itu kepada mereka yang mahu mengambil tahu.

Dan ia adalah cara terbaik untuk ingat (zikr) kepada Allah. Inilah zikir yang paling bagus. Malangnya, ada  yang memang membaca Qur’an hari-hari dan menghafalnya, tapi mereka tidak memahami apa yang mereka baca dan hafal.

Dan ada pula yang hanya mempelajari makna ayat-ayat Quran tapi tidak melakukan usaha untuk menghafalnya. Sepatutnya dua-dua kena berjalan serentak.

Satu lagi malang, ada yang bertungkus lumus dengan zikr yang diberikan oleh guru ugama mereka, guru tarekat mereka yang bukan Qur’an, malah bukan juga tsabit dari agama, tapi mereka buat tak kisah dengan Qur’an. Mereka seperti tidak tahu bahawa zikir yang selalu diamalkan Nabi adalah Qur’an. Tidak ada zikir lain yang lebih baik dari Qur’an.

Malangnya, mereka sampai ada yang mengamalkan zikir-zikr lain sampai beribu kali dalam sehari, tapi tidak digunakan usaha yang sama dengan Qur’an. Begitulah syaitan menyibukkan mereka dengan amalan bidaah yang banyak dan tiada nilai, sampai tidak ada masa dengan Qur’an.


Ayat 100:

مَن أَعرَضَ عَنهُ فَإِنَّهُ يَحمِلُ يَومَ القِيامَةِ وِزرًا

Sahih International

Whoever turns away from it – then indeed, he will bear on the Day of Resurrection a burden,

Malay

Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan Al-Qur’an itu, maka sesungguhnya dia pada hari kiamat menanggung beban (dosa) yang berat.

مَّنْ أَعْرَضَ عَنْهُ

Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan Al-Qur’an itu,

‘Berpaling’ itu bermaksud mereka yang tidak mahu mengambil peringatan-peringatan yang Allah telah berikan dalam Qur’an itu. Ada di depan mata, tapi mereka tak ambil peringatan langsung. Bagaimana untuk kita boleh mengambil peringatan? Jawapannya, kenalah belajar tafsir Qur’an untuk memahami apakah yang Allah hendak sampaikan.

Maknanya, tidak belajar tafsir Qur’an itu adalah dosa besar. Tapi ramai yang bila diajak belajar, mereka akan berpaling. Ramai yang tidak tahu pun mereka kena belajar tafsir Qur’an. Kalau ada yang baik sikit, mereka akan belajar ‘membaca’ Qur’an dengan betul. Iaitu mereka akan belajar tajwid. Tapi selalunya, setakat itu sahaja.

Mereka sangka apabila mereka sudah boleh baca, sudah bagus. Tapi mereka pun tidak tahu apa yang mereka baca itu. Itulah sebabnya mereka buat juga larangan-larangan Allah dalam Qur’an itu. Sebab mereka pun tak tahu yang Allah larang mereka buat. Apabila mereka tidak tahu Allah larang, mereka akan buat. Jadi, apakah balasan kepada mereka?

Qur’an adalah satu beban untuk kita tanggung. Ia bukanlah satu kerja yang mudah. Kerana ada tanggungjawab yang perlu kita ikuti apabila kita sudah faham apa yang disampaikan dalam Qur’an. Tapi kalau kita tidak tanggung Qur’an ini semasa di dunia ini, maka kita kena tanggung di akhirat kelak. Dan tanggung di akhirat lagi berat.

يَحمِلُ يَومَ القِيامَةِ وِزرًا

maka sesungguhnya dia pada hari kiamat akan menanggung beban yang berat.

Mereka yang tidak mengendahkan peringatan dari Qur’an akan terpaksa menanggung beban dosa yang amat berat di Hari Kiamat nanti. Dosa itu akan dijadikan sebagai satu beban yang zahir yang mereka kena tanggung. Kalau dalam dunia, kita tahu berkenaan dosa itu. Tapi sebab ianya tidak zahir, kita buat tak kisah sahaja.

Bayangkan kalau kita buat dosa, dosa itu terzahir sebagai satu beban yang macam batu, tentulah kita tak berani nak buat dosa lagi. Tapi, di akhirat nanti, ianya memang akan terzahir dan mereka kena tanggung beban itu sampai bila-bila.


Ayat 101:

خالِدينَ فيهِ ۖ وَساءَ لَهُم يَومَ القِيامَةِ حِملًا

Sahih International

[Abiding] eternally therein, and evil it is for them on the Day of Resurrection as a load –

Malay

Mereka kekal di dalam (azab) dosa itu; dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada hari kiamat,

خَالِدِينَ فِيهِ

Mereka kekal di dalam (azab) dosa itu;

Kalimah فِيهِ (di dalamnya) merujuk kepada bebanan itu. Mereka akan menanggungnya kekal sampai bila-bila. Jadi mereka akan kekal dalam neraka sampai bila-bila.

Kenapa mereka akan kekal dalam neraka kerana tidak belajar tafsir Qur’an? Kerana kalau tak belajar tafsir Qur’an, mereka akan buat perkara syirik kerana mereka tidak tahu ianya adalah syirik. Dan Allah telah kata bahawa Dia tidak akan mengampunkan dosa syirik. Kalau dosa selain dosa syirik, mereka akan tanggung untuk satu jangka masa yang kita tidak tahu berapa lama. Bergantung kepada banyak mana dosa yang mereka lakukan. Tapi sesudah mereka menanggung beban dan azab entah berapa ribu tahun, mereka akan dibersihkan dari dosa mereka dan dimasukkan ke dalam syurga kalau mereka ada iman.

Tapi, kalaulah dosa yang mereka lakukan itu adalah dosa syirik, Allah tidak akan ampunkan sampai bila-bila. Mereka akan kekal abadi dalam neraka. Tidak akan ada peluang hendak keluar. Alangkah malangnya keadaan waktu itu.

وَساءَ لَهُم يَومَ القِيامَةِ حِملًا

dan amatlah buruknya bagi mereka pada hari kiamat, tanggungan itu

Kalimah حِمْلًا bermaksud bebanan yang dibawa itu. Ianya membawa maksud beban yang literal. Bukan dosa dalam bentuk yang abstrak. Memang dosa akan menjelma jadi zahir dan mereka kena tanggung di belakang mereka.

Kalimah حِمْلًا merujuk kepada beban yang paling berat. Ianya tidak sama dengan perkataan أَوْزَارًا yang bermaksud beban juga. Kalau أَوْزَارًا ianya beban yang masih boleh dibawa lagi. Tapi kalau digunakan kalimah حِمْلًا, ianya bermaksud beban yang sampai tak tertanggung.

Mereka akan ditambah dengan beban, ditambah lagi sampai beban itu akan menghempap mereka dan mematahkan badan mereka. Akhirnya mereka akan terjatuh. Tapi dalam ayat ke 74 surah ini, telah disebut bahawa mereka tidak akan mati di dalam neraka. Maka, mereka akan dibangkitkan kembali untuk kembali memikul beban itu.


Ayat 102: Apabila disebut tentang apakah yang mereka akan dapat kalau mereka mengingkari apa yang ada dalam Qur’an, maka diceritakan pula apakah hari kiamat itu.

يَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ ۚ وَنَحشُرُ المُجرِمينَ يَومَئِذٍ زُرقًا

Sahih International

The Day the Horn will be blown. And We will gather the criminals, that Day, blue-eyed.

Malay

(Iaitu) hari ditiup Sangkakala, dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan kelabu matanya.

يَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ

(Iaitu) hari ditiup Sangkakala,

Kita tahu bahawa malaikat yang meniup Sangkakala adalah Malaikat Israfil. Ayat ini bermaksud tiupan sangkakala yang pertama. Pasti ianya akan dibunyikan apabila Kiamat telah tiba.

Kenapakah disebut tiupan sangkakala? Kerana memang sifat kita akan terkejut apabila dengar bunyi kuat seperti bunyi hon kuat atau siren yang kuat. Kita akan tertanya-tanya apakah bunyi hon itu. Kenapa ianya dibunyikan? Begitu nanti bunyi sangkakala adalah bunyi yang paling menakutkan.

وَنَحْشُرُ الْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍ

dan Kami akan himpunkan orang-orang yang bersalah pada hari itu

Kalimah حشر bermaksud ‘kumpul dari banyak tempat’. Waktu itu makhluk akan berada merata-rata, tapi Allah akan kumpulkan semua sekali pada satu tempat.

Kalimah الْمُجْرِمِينَ bermaksud penjenayah yang telah sabit kesalahannya. Mereka yang telah banyak melakukan dosa.

زُرْقًا

dalam keadaan kelabu matanya.

Kalimah زُرْقًا boleh juga bermaksud muka yang berwarna biru. Kalau kita pucat, kadang-kadang kebiruan sedikit warna wajah kita. Itu adalah tanda sakit. Ini adalah kerana mereka mengalami ketakutan dan kerisauan yang hebat sampai mereka akan rasa sakit. Waktu itu mereka dalam keadaan yang panik.

Kenapa disebut ‘mata biru’? Itu mengisyaratkan yang anak mata sudah tiada. Mungkin waktu itu sudah buta. Itu adalah sebagai tanda takut yang amat sangat. Tanda bahawa perkara yang teruk telah berlaku. Ini adalah salah satu ekspresi dalam bahasa Arab klasik untuk membayangkan keadaan ketakutan yang amat sangat.


Ayat 103:

يَتَخافَتونَ بَينَهُم إِن لَبِثتُم إِلّا عَشرًا

Sahih International

They will murmur among themselves, “You remained not but ten [days in the world].”

Malay

Mereka berbisik-bisik sesama sendiri: “Kamu telah tinggal hanya sepuluh sahaja”.

يَتَخَافَتُونَ بَيْنَهُمْ

Mereka berbisik-bisik sesama sendiri:

Waktu itu mereka tidak berani berkata-kata melainkan dalam keadaan berbisik-bisik dalam keadaan takut. Tertanya-tanya sesama sendiri tentang apakah yang sedang terjadi. Mereka juga akan bertanya-tanya sesama sendiri tentang berapa lamakah mereka telah tinggal di situ.

إِن لَبِثتُم إِلّا عَشرًا

“Kamu telah tinggal tidak lain hanya sepuluh sahaja”.

Ada yang mengatakan mereka tinggal di situ hanya 10 hari sahaja. Maknanya, mereka sangka mereka berada dalam kubur hanya selama 10 hari sahaja. Atau mereka tinggal di dunia hanya selama 10 hari sahaja. Walaupun mungkin mereka telah tinggal berpuluh-puluh tahun di dunia. Itu adalah agak-agak mereka sahaja.

Kenapa mereka kata hanya 10 hari? Kerana terlalu lama masa mereka di Mahsyar itu, sampaikan kalau mereka nak bandingkan dengan kehidupan di dunia, kehidupan dunia hanya 10 hari sahaja.


Ayat 104: Sebenarnya, masa itu lebih pendek lagi.

نَحنُ أَعلَمُ بِما يَقولونَ إِذ يَقولُ أَمثَلُهُم طَريقَةً إِن لَبِثتُم إِلّا يَومًا

Sahih International

We are most knowing of what they say when the best of them in manner will say, “You remained not but one day.”

Malay

(Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: “Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat”.

نَّحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ

(Allah berfirman): Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan itu,

Semasa mereka berbisik-bisik sesama sendiri itu, Allah tahu apa yang mereka perkatakan.

إِذْ يَقُولُ أَمْثَلُهُمْ طَرِيقَةً

Tiba-tiba orang yang lebih tahu di antara mereka berkata pula:

Kalimat أَمْثَلُهُمْ طَرِيقَةً bermaksud orang yang lebih pandai di antara mereka itu. Dalam ramai-ramai itu, adalah yang lebih pandai sedikit. Apa kata mereka?

إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا يَوْمًا

“Tiadalah kamu tinggal melainkan sehari sahaja”.

Dia bermaksud berkata kepada orang yang cakap mereka telah tinggal selama 10 hari itu: “Kamu dulu bodoh semasa di dunia dan sekarang masih lagi bodoh hari ini. Sebenarnya tak sampai 10 hari pun kamu tinggal di dunia. Lebih kurang sehari sahaja.” Maknanya, kalau dibandingkan kehidupan mereka menunggu di Mahsyar itu, kehidupan dunia hanya sehari sahaja.

Kadangkala orang yang disangkakan konon merekalah yang pandai tapi merekalah yang paling bodoh. Pada zaman Nabi, ada yang memang pandai dalam dunia dan sangka mereka pandai tapi dalam hal agama mereka amat bodoh. Contohnya seperti Abu Jahal. Dia adalah seorang yang terkemuka dan seorang pemimpin dalam kaumnya. Tapi oleh kerana sombong, dia tidak mahu menerima kebenaran Islam.

Walaupun kehidupan kita hari demi hari di dunia ini terasa lama sekarang, tapi di akhirat nanti ianya akan terasa sangat pendek kerana dibandingkan dengan kehidupan di akhirat kelak. Oleh itu, hendaklah kita mengambil masa yang singkat ini untuk berbuat kebaikan dan hidup dalam kebenaran. Jangan kita lebihkan kehidupan dunia yang singkat sahaja ini. Kena buat persediaan lebih untuk akhirat.


Ayat 105: Ini adalah soalan yang ditanya oleh Musyrikin Mekah.

وَيَسأَلونَكَ عَنِ الجِبالِ فَقُل يَنسِفُها رَبّي نَسفًا

Sahih International

And they ask you about the mountains, so say, “My Lord will blow them away with a blast.

Malay

Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka jawablah: “Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.

وَيَسْأَلُونَكَ

Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad);

Banyak kali kalimat  يَسْأَلُونَكَ berlaku dalam Qur’an. Apabila digunakan يَسْأَلُونَكَ, bermaksud yang bertanya itu langsung tidak tahu tentang apakah yang mereka tanyakan itu. Kerana ada masanya, kita sudah tahu serba sedikit tentang sesuatu perkara, kita cuma nak tambah pengetahuan kita sahaja atau ada maklumat terperinci yang kita perlukan. Tapi kalau perkataan يَسْأَلُونَكَ digunakan, bermakna orang itu langsung tidak tahu sedikit habuk pun tentang perkara yang mereka tanya itu.

Oleh itu, kalau ada yang bertanya tentang fatwa sesuatu perkara, bermaksud yang bertanya itu adalah orang yang hendak mendapatkan maklumat tambahan atau cara yang terbaik dalam hukum.

Atau mereka yang bertanya itu hanya untuk mengejek. Dalam ayat ini, soalan yang ditanyakan kepada Nabi itu adalah dalam bentuk mengejek. Mereka bertanya kerana hendak mengenakan Nabi Muhammad sahaja.

Apabila kata يَسْأَلُونَكَ, menunjukkan ada interaksi antara mereka dan Nabi. Ini adalah kerana mereka selalu berinteraksi dengan Nabi kerana baginda akan mencari sahaja peluang untuk dakwah kepada mereka. Cuma mereka sahaja yang tidak mahu dengar.

عَنِ الْجِبَالِ

dari hal gunung-ganang;

Ini adalah soalan spesifik – mereka tanya tentang gunung ganang. Nabi sudah cakap tentang hari kiamat dan bagaimana dunia yang mereka kenal itu akan hancur. Tapi mereka tak dapat terima bahawa gunung ganang yang kuat itu akan hancur juga.

Orang Arab memang takjub dengan gunung. Mereka rasa gunung itu sudah kukuh habis dan tidak akan hancur. Sebab itu ada banyak disebutkan tentang gunung dalam Qur’an. Jadi mereka tidak dapat terima bahawa gunung yang kukuh itu akan hancur juga.

Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa akan ada sahaja yang akan susah nak faham kejadian Kiamat nanti. Akan ada yang tidak dapat terima ilmu dari agama. Kerana mereka menggunakan akal mereka sahaja. Kita tahu bahawa itu adalah maksudnya kerana perkataan وَيَسْأَلُونَكَ itu adalah dalam bentuk fiil mudhari’. Maknanya ianya telah berlaku dulu, dan akan terus berlaku dalam zaman sekarang pun. Dan akan terus berlaku sampai bila-bila.

فَقُلْ

maka jawablah:

Allah ajar Nabi bagaimana nak jawab.

Ada huruf فَ dalam perkataan فَقُلْ itu. Selalunya tidak ada. Selalunya ayat-ayat sebegini dalam bentuk قُلْ sahaja. Ini bermaksud ianya akan berlaku di masa hadapan. Kenapa begini? Sebab mungkin mereka tak tanya lagi – Allah sudah beritahu siap-siap apakah soalan mereka. Jadi kalau mereka tanya, jawab begini. Yang pastinya, mereka tentu akan tanya.

يَنسِفُها رَبّي نَسفًا

“Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.

Gunung yang mereka pandang kukuh itu akan hancur juga akhirnya. Hancur terus sampai tiada kesan.

Kenapa Allah menceritakan tentang perkara sebegini? Bukankah lebih baik kalau dibincangkan perkara yang lebih penting? Kita kena faham bagaimana Qur’an sedang mengajar manusia. Allah menggunakan banyak perumpamaan untuk beri semua pembaca pelbagai peringkat dapat faham. Kalau digunakan konsep analogi, manusia senang faham.

Dan satu lagi, ianya tidak ofensif. Tidak terus menyerang sesuatu individu itu secara peribadi. Kerana kalau begitu, mereka akan marah. Maka Allah juga mengajar kita cara berdakwah. Kita kena beri perumpamaan kepada mereka supaya mereka mudah faham.


Ayat 106: Apabila gunung-ganang telah hancur, bumi akan jadi rata.

فَيَذَرُها قاعًا صَفصَفًا

Sahih International

And He will leave the earth a level plain;

Malay

“Lalu Dia membiarkan tapak gunung-gunung itu (di bumi) rata lagi licin”.

فَيَذَرُها قاعًا

“Lalu Dia membiarkan bumi jadi rata

Bumi akan jadi rata yang bermaksud tidak akan apa-apa lagi pada bumi ini. Bumi akan bergegar dengan kuat dan segala yang ada di atas bumi akan hancur. Kalau gunung pun akan pecah dan jatuh ke bumi dan akhirnya bumi akan rata.

Mahsyar akan jadi rata kerana Allah akan kumpul semua makhluk untuk dibicarakan ramai-ramai. Kalau ada lekuk-lekuk dan tinggi, nanti akan tempat nak menyorok. Itu pun Allah tak benarkan. Semuanya akan terdampar di hadapan semua orang.

صَفْصَفًا

kosong”.

Tidak akan ada-apa atas bumi. Tidak ada binaan apa pun. Ada pengulangan dalam perkataan صَفْصَفًا itu – diulang kata saf itu – saf safa. Bermaksud kalau berjalan tak berhenti pun tidak akan jumpa apa-apa pun lubang atau tempat tinggi. Pengulangan itu untuk menguatkan maknanya.


Ayat 107:

لا تَرىٰ فيها عِوَجًا وَلا أَمتًا

Sahih International

You will not see therein a depression or an elevation.”

Malay

Engkau tidak akan melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi.

لا تَرىٰ فيها عِوَجًا

Engkau tidak akan melihat pada bumi itu tempat yang rendah;

Selepas Kiamat nanti dan di Mahsyar nanti, tidak ada lekuk langsung, tidak ada lopak pun. Maknanya tidak ada tempat nak masuk dalam untuk menyorok.

وَلَا أَمْتًا

atau yang tinggi;

Dan tidak ada bonggol satu pun. Tidak akan ada benda tinggi yang boleh dijadikan tempat menyorok. Semua nanti akan terbuka.

Ini tentunya mengejutkan Musyrikin Mekah. Mereka sangka bahawa gunung yang kukuh dan gagah itu tidak akan hancur. Bagaimana boleh hancur begitu? Itu yang mereka susah nak terima.

Pengajaran kepada kita adalah: kalau gunung yang besar dan kukuh itu pun boleh jadi macam itu, bagaimana dengan kamu wahai manusia? Jangan kamu rasa selamat. Jangan kamu sombong.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s