Tafsir Surah Taha Ayat 88 – 93 (Nabi Musa marah Nabi Harun)

Ayat 88:

فَأَخرَجَ لَهُم عِجلًا جَسَدًا لَهُ خُوارٌ فَقالوا هٰذا إِلٰهُكُم وَإِلٰهُ موسىٰ فَنَسِيَ

Sahih International

And he extracted for them [the statue of] a calf which had a lowing sound, and they said, “This is your god and the god of Moses, but he forgot.”

Malay

“Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!”

فَأَخْرَجَ لَهُمْ عِجْلًا

Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu;

Qur’an kata dia hanya ‘mengeluarkan’ sahaja. Allah tak kata dia ‘buat’. Sebab bukan dia buat pun. Dia hanya ambil dari leburan barang-barang kemas itu dan dia telah membentuk patung anak lembu.

جَسَدًا

yang bertubuh;

Patung itu bukan jadi anak lembu betul pun, tapi dalam bentuk anak lembu sahaja. Apabila digunakan perkataan ‘jasad’, tidaklah bermaksud ianya hidup. Kerana tubuh yang kosong di dalamnya pun dipanggil jasad juga.

Dalam riwayat, ada dikatakan lembu itu dalam keadaan duduk.

Tapi ada juga tafsir yang mengatakan patung itu ada daging dan darah. Dan ia jadi begitu kerana Samiri telah mencampurkan tanah yang dikutipnya dari bekas tapak kaki kuda Jibrail. Allahu a’lam.

لَّهُ خُوَارٌ

ianya bersuara;

Ada yang mengatakan bukan suara pun, tapi Samiri buat patung itu ada lubang, jadi apabila angin bertiup melaluinya, ada bunyi yang keluar. Ini adalah kerana Samiri adalah seorang yang pandai mengukir. Manusia yang bodoh dan sudah ada kecondongan kepada syirik dalam diri mereka, telah melihat ini sebagai satu benda yang menakjubkan, sebagai satu perkara keramat dan sebagainya, maka mereka akan menyembah.

Walaupun begitu, ada juga yang mengatakan bahawa keluar juga suara dari patung itu yang berbunyi seperti lembu. Tapi tentunya itu adalah kerana sihir, bukanlah patung itu hidup. Allahu a’lam.

Orang yang ada kecendurangan syirik dalam diri mereka akan mudah terpedaya dengan perkara-perkara ajaib seperti ini. Kalau ada bunyi sikit pun mereka sudah terpedaya dan mula percaya. Sebab itu banyak yang melakukan syirik apabila dipersembahkan kepada mereka dengan perkara-perkara sebegini. Kalau ada guru sesat boleh buat sesuatu yang hebat pun, mereka sudah percaya.

Janganlah kita jadi macam orang Hindu. Orang Hindu, kalau mereka lihat ada benda yang pelik, mereka akan sembah. Seperti contoh, kalau ada pokok yang besar lain macam, mereka akan sembah. Sebab itu mereka sembah lembu kerana lembu beri mereka macam-macam. Adakah kita macam itu juga? Adakah kita nak jadi orang Hindu juga?

فَقَالُوا هَٰذَا إِلَٰهُكُمْ وَإِلَٰهُ مُوسَىٰ

lalu mereka berkata: “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa;

Yang berkata itu adalah orang-orang yang memuja patung anak lembu itu. Mereka itu yang telah terpedaya dengan Samiri.

فَنَسِيَ

tetapi (Musa) telah lupa!;

Mereka kata Musa lupa tuhannya sendiri sampai panjat bukit nak jumpa Tuhan, padahal tuhannya adalah patung itu. Begitulah sesatnya mereka sampai sanggup mereka kata begitu kepada Nabi Musa yang telah menyelamatkan mereka.

Atau, satu lagi pemahaman adalah: orang yang ‘lupa’ dalam ayat ini adalah Samiri sendiri dan mereka yang mengikutinya. Dia telah lupa tentang ajaran Nabi Musa. Sebab itu dia sanggup buat perkara syirik itu. Kerana tidak jelas dalam ayat ini yang mengatakan yang lupa itu adalah Nabi Musa. Jadi ia boleh juga bermaksud orang lain.

Yang masih memuja lembu pada zaman sekarang adalah agama Hindu. Jadi, memuja lembu itu adalah ajaran sesat dari dulu lagi. Golongan Yahudi pun ada masalah dengan lembu dan ini boleh rujuk Surah Baqarah.

Lihatlah bagaimana mudahnya kaum Bani Israil jadi sesat. Nak bina mereka bukan mudah dan mengambil masa yang lama, tapi mereka nak jadi syirik sekejap sahaja. Begitulah manusia, nak belajar jadi orang Islam mengambil masa, tapi kalau nak sesat sekejap sahaja. Kerana itu kalau umat Islam dibiarkan begitu sahaja tanpa diberikan panduan, ajakan dakwah, teguran, mereka akan senang sesat.

Ini adalah kerana dalam hati sudah ada kecenderungan untuk sesat. Mereka cenderung kepada kesesatan dan ditambah pula dengan bisikan syaitan yang senang menipu mereka yang jahil. Mereka senang terpengaruh dengan anasir tidak baik. Ini adalah kerana suasana kesyirikan yang sudah ada dalam masyarakat. Iaitu diajar takut kepada hantu, jin, semangat dan lain-lain lagi. Suasana inilah yang mengganggu fahaman akidah kebanyakan dari kita. Kita manusia senang terkesan dengan orang lain.

Sebagai contoh katakanlah dalam satu kelas, pelajar-pelajarnya baik-baik belaka. Tapi kalau dimasukkan seorang sahaja pelajar yang mungkin datang dari pengajaran tidak baik, yang liar, kita boleh lihat bagaimana tidak lama selepas itu, satu kelas itu akan berubah perangainya.

Kenapa ramai manusia yang suka memuja selain dari Allah? Termasuk orang Islam pun? Kita pun memang hairan kenapa mereka sampai sanggup menyembah patung-patung yang mereka jadikan sendiri. Ulama membincangkan perkara ini.

Jawapan yang mereka sebut adalah: manusia suka yang senang. Kalau dengan Allah, kena buat macam-macam – kena solat, puasa, tolong orang lain dan sebagainya. Jadi mereka tak suka kerana nampak macam susah. Tapi kalau memuja selain Allah, senang. Tak suruh buat yang yang susah, cuma kena sembah sahaja. Atau beri duit, atau beri makan sahaja. Kemudian mereka yang buat begitu dijanjikan dengan berbagai-bagai pahala dan kemudahan yang hebat-hebat. Jadi pemuja selain Allah akan rasa inilah agama yang senang.


Ayat 89:

أَفَلا يَرَونَ أَلّا يَرجِعُ إِلَيهِم قَولًا وَلا يَملِكُ لَهُم ضَرًّا وَلا نَفعًا

Sahih International

Did they not see that it could not return to them any speech and that it did not possess for them any harm or benefit?

Malay

Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?

أَفَلَا يَرَوْنَ

Apakah mereka tidak nampak;

Apakah mereka tidak faham? Apakah mereka tidak dapat memikirkan?

Lihatlah penggunaan nahu bahasa yang digunakan dalam ayat ini. Walaupun ianya menceritakan tentang kejadian kaum Bani Israil di zaman Nabi Musa, tapi bahasa yang digunakan adalah dalam present tense. Kerana ia memberi isyarat bahawa kaum Musyrikin Mekah pun sedang melakukannya juga. Dan bukan waktu itu sahaja, waktu zaman kita sekarang pun masih lagi dilakukan oleh kaum-kaum yang sesat.

أَلَّا يَرْجِعُ إِلَيْهِمْ قَوْلًا

bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka;

Kalau mereka cakap dengan lembu itu, lembu itu tidak boleh balas pun percakapan mereka. Patung itu bukan boleh bercakap pun, cuma ada bunyi sahaja. Mereka akan bertanya macam-macam kepada patung itu: contohnya, mereka tanya boleh tak mereka buat begini, begitu? Patung itu keluar bunyi, maka mereka terima itu sebagai ya, dan mereka akan lakukan apa yang mereka hendak lakukan.

Padahal, itu adalah satu bunyi sahaja, yang berkemungkinan dibawa angin sahaja. Tapi kerana mereka amat bodoh sekali, sampai mereka tidak dapat berfikir lagi, mereka telah menerimanya sebagai satu kebenaran.

Ia pun tidak faham apa yang mereka katakan kerana patung itu tidak bernyawa. Itu pun mereka sudah puja. Kalau manusia yang mahu sesat, senang sangat untuk mereka jadi sesat. Manusia, kalau kita biarkan mereka tanpa dakwah, mereka akan pergi kepada kesesatan. Senang sangat mereka hendak jadi sesat.

Sebagai contoh, lihatlah berapa ramai yang pergi kepada Perigi Hang Tuah di Melaka kerana mereka mengharapkan supaya dengan mereka mandi air dari perigi itu, hajat mereka akan tercapai – antaranya hajat untuk mendapatkan anak. Itu adalah amalan yang syirik. Sampai sekarang, masih banyak lagi yang pergi ke tempat itu.

Itu tidak dikira tempat-tempat lain yang menggunakan kaedah yang sama. Siapakah yang memberi peringatan kepada mereka bahawa apa yang mereka buat itu adalah syirik? Di mana ustaz dan mufti negeri itu dan tempat-tempat lain?

وَلَا يَمْلِكُ لَهُمْ ضَرًّا

dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya (mudharat) kepada mereka;

Kalau mereka tak sembah anak patung itu, anak patung itu tidak boleh beri mudharat kepada mereka pun. Sama juga dengan patung Hindu, kalau tak puja pun, tidak jadi apa-apa pun kepada puak Hindu itu. Kalau dengan manusia, bolehlah juga kita memikirkan bagaimana ia boleh menyakitkan kita kalau kita tidak buat apa yang dia suruh. Tapi ini adalah patung yang tidak bernyawa.

Orang-orang yang memuja benda-benda yang syirik, ada rasa takut dalam hati mereka yang kalau mereka tak terus puja berhala itu, berhala itu akan marah dan mereka akan ditimpa kecelakaan. Itu hanyalah perasaan mereka sahaja.

وَلَا نَفْعًا

atau memberi manfaat kepada mereka?;

Kalau mereka puja pun, patung itu bukan boleh beri apa-apa pun kebaikan kepada mereka. Maka sia-sia sahaja apabila mereka sembah patung itu apa-apa sahaja selain dari Allah. Kerana yang memberi mudharat dan manfaat hanyalah Allah sahaja.

Allah sebut ‘mudharat’ dahulu sebelum disebut ‘manfaat’. Lain dengan cara yang biasa – selalunya dalam ayat sebegini, Allah akan sebut ‘manfaat’ dahulu. Ada makna dalam cara susunan ayat-ayat dalam Qur’an. Apakah pemahaman yang kita boleh ambil?

Sebagai manusia kita akan takut dengan sesuatu dan kadang-kadang itu akan menjadikan kita ikut arahan dari seseorang yang kita takuti itu. Contohnya kita takut seseorang yang boleh memudaratkan kita maka kita akan ikut cakapnya walaupun kita tak mahu. Ketakutan lebih kuat sebagai pendorong daripada mahukan sesuatu.

Sebagai contoh, kita tahu kalau kita bekerja keras, kita akan berjaya. Tapi ramai manusia yang tidak bekerja keras. Tapi kalau mereka tidak bekerja, mereka akan mati, maka itu akan mendorong mereka. Itu adalah lumrah manusia.

Musa nak kata dalam ayat ini, bahawa benda itu tidak memudharatkan mereka pun. Kalau mereka takut dengan anak patung itu, boleh juga dia nak faham kenapa mereka buat syirik itu. Walaupun syirik tetap salah, tapi sekurang-kurangnya baginda faham.

Tapi tidak ada pun ketakutan dengan anak patung itu. Sebab patung itu tidak boleh buat apa-apa pun. Sebab itulah perkataan ‘mudharat’ diletakkan sebelum perkataan ‘manfaat’. Sebagai penekanan bahawa mudharat pun tidak ada kalau mereka tidak menyembah anak patung itu.


Ayat 90: Semasa Nabi Musa tiada, Nabi Harun lah yang bertanggungjawab memimpin Bani Israil. Dalam Injil, ada mengatakan yang Nabi Harun bersalah dalam hal kaumnya menyembah patung itu. Mereka kata baginda pula yang mula menyembah anak patung itu. Maka Qur’an membersihkan nama baginda dalam ayat ini. Iaitu hendak mengatakan bahawa Nabi Harun tidak bersalah.

Nabi Musa sekarang tengah marah. Selepas dia bertanya kepada kaumnya, maka dia telah berjumpa dan marah Nabi Harun pula. Allah sedang beritahu kita bahawa Nabi Harun tidak bersalah.

وَلَقَد قالَ لَهُم هارونُ مِن قَبلُ يا قَومِ إِنَّما فُتِنتُم بِهِ ۖ وَإِنَّ رَبَّكُمُ الرَّحمٰنُ فَاتَّبِعوني وَأَطيعوا أَمري

Sahih International

And Aaron had already told them before [the return of Moses], “O my people, you are only being tested by it, and indeed, your Lord is the Most Merciful, so follow me and obey my order.”

Malay

Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telah pun berkata kepada mereka sebelum itu: “Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku”.

وَلَقَدْ قَالَ لَهُمْ هَارُونُ

Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telah pun berkata kepada mereka:

Bukanlah Nabi Harun senyap tengok sahaja tanpa buat apa-apa. Nabi Harun telah menasihati mereka. Nabi Harun telah menegur kesalahan besar yang mereka telah lakukan.

 

مِن قَبْلُ

sebelum itu:

Ayat ini menolak pendapat yang kata Harun bersalah dalam hal ini. Sebenarnya dari mula lagi Nabi Harun sudah cuba halang mereka. Dalam ayat ini, Allah telah melepaskan Nabi Harun dari kesalahan syirik yang dilakukan oleh kaumnya. Allah hendak mengatakan bahawa Nabi Harun tidak bersalah.

Ayat ini keluar sebelum ayat yang menceritakan kemarahan Nabi Musa kepada Nabi Harun. Allah melepaskan Nabi Harun dulu supaya apabila kita baca kisah Nabi Musa memarahi Nabi Harun, kita sudah tahu bahawa Nabi Harun tidak bersalah. Supaya tidak timbul langsung dalam hati kita bahawa Nabi Harun bersalah langsung. Kalau tak, kita mungkin ingat Nabi Harun mungkin bersalah.

Begitulah sayangnya Allah kepada Nabi Harun. Sebelum ada orang yang meraguinya lagi, Allah telah lepaskan baginda.

يَا قَوْمِ إِنَّمَا فُتِنتُم بِهِ

“Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya dicuba dengan patung itu;

Nabi Harun memberitahu mereka yang mereka telah diduga keimanan mereka dengan anak patung itu. Apabila mereka telah menyembahnya, maka mereka telah kalah dalam ujian itu.

وَإِنَّ رَبَّكُمُ الرَّحْمَٰنُ

dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Tuhan ar-Rahman;

Baginda mengingatkan mereka tentang sifat belas kasihan dan rahmat Allah. Ada kelembutan dalam kata-kata Harun ini. Walaupun mereka telah buat syirik, tapi baginda masih tetap bercakap dengan baik. Dengan harapan mereka mahu mendengar.

Kenapa Nabi Harun menggunakan nama Allah ar-Rahman, dan tidak menggunakan perkataan ‘Allah’? Kerana mengingatkan mereka bahawa Tuhan bersifat Maha Pemurah, Maha Pengasih. Ini adalah kerana ada pemikiran dalam hati masyarakat waktu itu, Allah itu bersifat bengis. Sikit-sikit nak hukum, sikit-sikit nak hukum. Tapi tuhan yang mereka buat itu tidak garang, tidak minta buat itu ini. Bagi gula-gula, bagi limau sudah cukup nak puaskan hati tuhan mereka itu.

Ini mengajar kita, dalam kita mengajak orang yang sesat, hendaklah kita mengingatkan kembali kepada mereka betapa pemurahnya Allah kepada makhlukNya. Lihatlah betapa banyak yang Allah telah berikan kepada kita semua. Jangan kita lupa segala pemberian Allah.

Kita ingatkan begitu kepada manusia. Dan jangan hanya ingatkan mereka kepada hukuman-hukuman Allah sahaja. Ia memang benar, Allah akan hukum kita kalau kita buat salah dan dosa. Tapi janganlah hanya menakutkan manusia sahaja. Kenalah kita timbangkan dengan sifat Allah yang lain.

 

فَاتَّبِعُونِي

oleh itu, ikutlah daku;

Selepas Nabi Harun mengingatkan mereka kepada Allah, barulah dia ajak mereka untuk ikut. Ini menunjukkan kepentingan ilmu tauhid kepada manusia. Mulakan ajar mereka dengan mengenal Allah dahulu.

Ikut itu bermaksud ikut sunnah Nabi. Kalimah ittiba’ bermaksud ikut dengan rapat. Maka sesiapa yang reka amalan bidaah yang bukan dari ajaran Nabi, itu adalah perbuatan kufur kerana mereka-reka dalam hal agama. Dan sesiapa yang mengamalkan amalan bidaah, amalan itu tidak diterima.

Oleh itu, kita boleh lihat bahawa ada dua peringkat dalam agama: Pertama, kena ikut. Itu yang paling mudah. Ikut langkah demi langkah. Perkataan اتَّبِعُ itu bermaksud kita letak kaki atas tapak orang sebelum itu. Katakanlah kita berjalan di pantai. Orang di hadapan kita meninggalkan kesan tapak kakinya. Kita ikut dengan letak kaki kita atas bekas tapak kaki orang itu. Itulah maksud اتَّبِعُ.

Persoalan yang kita kena tanya diri kita adalah: Adakah kita ikut cara hidup Nabi? Macam sahabat ikut Nabi setiap langkah? Para sahabat amat teliti dalam melihat apakah amalan dan perbuatan Nabi dan mereka akan ikut sunnah yang ditinggalkan baginda.

وَأَطِيعُوا أَمْرِي

dan taatlah akan perintahku”;

Dan yang kedua, kena taat kepada perintah. Apabila dikatakan ikut perintah, itu lebih mendalam lagi maknanya. Kadang-kadang kalau kita ikut sahaja, itu bermakna kita hanya dapat ikut apa yang dia buat. Tapi kalau kita ikut perintah, itu termasuk kita meninggalkan apakah yang dilarang oleh Allah.


 

Ayat 91: Bani Israil tetap berdegil tidak mahu ikut nasihat Nabi Harun.

قالوا لَن نَبرَحَ عَلَيهِ عاكِفينَ حَتّىٰ يَرجِعَ إِلَينا موسىٰ

Sahih International

They said, “We will never cease being devoted to the calf until Moses returns to us.”

Malay

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami”.

قَالُوا لَن نَّبْرَحَ

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan memberhentikan penyembahan patung ini,

Kalimah برح bermaksud ‘berhenti’. Mereka itu bangsa yang amat degil. Dengan Nabi Harun pun mereka tidak mahu dengar.

عَلَيْهِ عَاكِفِينَ

kami akan tetap menyembahnya;

Maksudnya mereka akan terus iktikaf berdekatan patung itu. Maksud ‘iktikaf’ adalah duduk berdekatannya dan beribadat kepadanya. Mereka tidak mahu bergerak dari tempat penyembahan mereka itu.

Iktikaf itu adalah perbuatan beribadat yang melupakan hal dunia. Seperti apabila kita beriktikaf, kita hanya ingat untuk ibadat sahaja dan melupakan seketika hal dunia. Dalam maksud ayat ini, mereka betul-betul beribadat kepada patung itu.

حَتَّىٰ يَرْجِعَ إِلَيْنَا مُوسَىٰ

hingga Nabi Musa kembali kepada kami”.

Mereka kononnya tidak mahu dengar nasihat dari Nabi Harun tapi nak dengar dari Nabi Musa sahaja. Bani Israil terpecah kepada tiga golongan waktu itu:

1. Menerima Harun sebagai Nabi juga. Dan dia yang bertanggungjawab sekarang mengganti Nabi Musa semasa ketiadaannya. Memang patut kerana Nabi Harun juga seorang Nabi mereka. Maka golongan pertama ini mengikut nasihat baginda.

2. Ada yang melakukan syirik tapi mereka hanya menerima Nabi Musa sahaja sebagai Rasul mereka. Kalau Nabi Musa balik, mereka akan berhenti dari menyembah anak patung itu.

3. Secara keseluruhannya sudah terima syirik sebagai cara hidup. Ini golongan yang paling teruk. Kalau ada Nabi Musa ada pun, mereka tetap akan buat syirik juga.

Ayat ini memberi isyarat kepada kita jangan taksub kepada seseorang individu. Itu adalah perbuatan yang mengundang kesalahan. Kadang-kadang apabila kita pegang sesuatu ulama itu, kita hanya terima kata-katanya sahaja. Begitulah yang terjadi kepada Bani Israil. Mereka hanya nak dengar dari Nabi Musa sahaja. Padahal, Nabi Harun pun Nabi mereka juga.

Maka, kita jangan jadi begitu. Kita bukan memandang kepada individu, tapi kita mencari mana yang benar. Kalau ada ulama yang berikan hujah yang lebih kuat dan dengan nas yang sahih, kita terima walaupun bukan datangnya dari ulama kita, bukan dari ustaz yang kita sudah biasa.

Kita kena ingat bahawa kalau namanya manusia, tentunya terbuka kepada melakukan kesalahan. Zaman manusia tidak buat salah sudah berlalu – iaitu zaman Nabi-nabi. Hanya para Nabi sahaja yang maksum. Jangan kita jadi macam Syiah yang mengatakan Imam-Imam mereka semuanya maksum.

Ini penting sekali, kerana sekarang ini kita lihat umat Islam ada guru yang mereka pegang tak lepas. Kalau guru itu kata, semuanya betul tanpa mereka periksa lagi. Kalau orang lain yang bertentangan dengan pendapat guru mereka, semua salah. Itu sudah taksub dan bodoh sangat. Walaupun guru mereka tidak beri hujah dengan menggunakan nas yang sahih, mereka masih tak mahu terima. Semoga kita tidak begitu.

Maka, dalam ayat ini menunjukkan mereka telah melanggar perintah Nabi Harun dan malah ada disebut dalam ayat lain, mereka cuba juga untuk membunuh Nabi Harun. Begitulah teruknya mereka.


Ayat 92: Nabi Musa sedang marah kepada Nabi Harun kerana kaumnya sudah buat syirik. Itu kesalahan yang besar kerana telah jelas syirik yang mereka lakukan itu.

قالَ يا هارونُ ما مَنَعَكَ إِذ رَأَيتَهُم ضَلّوا

Sahih International

[Moses] said, “O Aaron, what prevented you, when you saw them going astray,

Malay

(Sekembalinya), Nabi Musa berkata: “Wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,

قالَ يا هارونُ

Nabi Musa berkata: “Wahai Harun,

Nabi Musa pula rasa Nabi Harun tidak menjalankan tanggungjawab mengganti baginda sepeninggalan baginda naik ke Bukit Thur.

ما مَنَعَكَ إِذ رَأَيتَهُم ضَلّوا

apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,

Menghalang dari buat apa? Kita akan lihat apakah yang dimaksudkan oleh Nabi Musa dalam ayat yang seterusnya. Nabi Musa menegur Nabi Harun kerana seolah-olah Nabi Harun tidak menghalang pun kaumnya menyembah patung itu.


Ayat 93:

أَلّا تَتَّبِعَنِ ۖ أَفَعَصَيتَ أَمري

Sahih International

From following me? Then have you disobeyed my order?”

Malay

“Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”

أَلَّا تَتَّبِعَنِ

“Daripada menurutku?;

Turut apakah yang dimaksudkan? Iaitu menurut apa yang baginda telah ajar kepada Nabi Harun. Sebelum itu baginda sudah ajar Nabi Harun apakah yang kena buat semasa baginda tiada.

Atau, ada makna kedua: kalau mereka tak mahu dengar kata-katamu, kenapa tak turut datang kepadaku? Kenapa tak datang cari aku di Bukit Thursina?

Tapi bilakah masa yang sepatutnya Nabi Harun meninggalkan mereka? Seperti yang kita tahu, seorang Nabi akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyedarkan kaumnya. Dia tentunya akan terus memujuk mereka untuk meninggalkan perbuatan syirik yang mereka buat itu.

Tapi satu pendapat mengatakan, kata-kata Nabi Musa ini menunjukkan bahawa Nabi Harun sepatutnya meninggalkan mereka yang menyembah anak patung itu. Kerana dengan dia ada di situ, memberi hujah kepada orang yang salah. Mereka boleh kata: “Nabi Harun pun ada di sini, takkan salah?”  Walaupun Nabi Harun tidak pernah kata boleh sembah anak patung itu, tapi dengan dia ada di situ sudah cukup untuk dijadikan hujah oleh orang yang jahil.

Begitulah juga kita yang ada ilmu. Jangan bercampur dengan orang yang buat maksiat. Sebab kalau kita dipandang sebagai ‘orang agama’ dan kita ada bersama mereka, mereka akan sangka bahawa perbuatan mereka itu tidak salah (“ustaz tengok tak tengur pun…. takkan salah?”). Maka, kalau ada yang buat maksiat atau buat dosa, kita kena tinggalkan mereka.

 أَفَعَصَيْتَ أَمْرِي

Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”

Sekarang kita boleh nampak yang Nabi Musa sudah beremosi. Sebab baginda juga manusia. Dalam riwayat hadis juga ada mengatakan bahawa baginda seorang yang panas baran. Dalam surah Taha ini pun, kita telah belajar bagaimana baginda dalam kemarahan baginda, telah memukul seorang bangsa Qibti dan telah menyebabkan kematiannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment