A’raf Ayat 149: Akhirnya mereka sedar kesalahan syirik yang mereka lakukan itu.
وَلَمّا سُقِطَ في أَيديهِم وَرَأَوا أَنَّهُم قَد ضَلّوا قالوا لَئِن لَّم يَرحَمنا رَبُّنا وَيَغفِر لَنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when regret overcame them¹ and they saw that they had gone astray, they said, “If our Lord does not have mercy upon us and forgive us, we will surely be among the losers.”
- Literally, “When their hands had been descended upon,” i.e., bitten by them out of severe regret.
MALAY
Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat, berkatalah mereka: “Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.
وَلَمّا سُقِطَ في أَيديهِم وَرَأَوا أَنَّهُم قَد ضَلّوا
Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat,
Setelah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kembali kepada mereka dan memarahi mereka di atas perbuatan mereka itu, barulah mereka sedar dan menyesal di atas kesalahan mereka. Mereka nampak ( رَأَوا ) iaitu mereka sedar yang mereka benar-benar telah melakukan kesilapan yang besar.
Lafaz سُقِطَ asalnya bermaksud ‘jatuh’. Kalimat سُقِطَ في أَيديهِم (secara literal bermaksud ‘jatuh di atas tangan mereka’) digunakan dalam bentuk kiasan atau perumpamaan Arab apabila manusia sedar yang mereka telah melakukan kesalahan dan menyesal sungguh.
Di dalam Furqan: 27 disebut lagi penyesalan di akhirat yang lebih teruk, iaitu sehingga mereka menggigit tangan mereka sendiri.
وَيَومَ يَعَضُّ الظّالِمُ عَلىٰ يَدَيهِ يَقولُ يٰلَيتَنِي اتَّخَذتُ مَعَ الرَّسولِ سَبيلًا
Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: “Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul”.
Dari segi susunan kejadian kronologi, ayat 149 ini sepatutnya selepas ayat 150 iaitu selepas Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertemu dan memarahi mereka. Akan tetapi ayat-ayat Al-Qur’an tidak selalunya di dalam susunan kronologi. Allah ﷻ lebih mengutamakan pengajaran. Pengajaran di sini adalah jika sesiapa membuat dosa, maka nanti dia akan menyesal. Maka janganlah buat perkara yang tidak diajar dalam agama.
قالوا لَئِن لَّم يَرحَمنا رَبُّنا وَيَغفِر لَنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
berkatalah mereka: “Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami daripada orang-orang yang rugi”.
Mereka sedar bahawa harapan mereka dengan Allah ﷻ sahaja kerana mereka telah melakukan kesalahan yang besar. Maka mereka bertaubat dan ini adalah lafaz taubat mereka. Cuma mazhab mereka pada waktu itu, untuk bertaubat daripada syirik, dikenakan dengan hukum bunuh.
Alhamdulillah untuk zaman kita ini, sekiranya telah melakukan syirik dan setelah sedar, hanya bertaubat sahaja dan tidak perlu membunuh diri dan tidak dijatuhkan hukuman bunuh. Kalau tidak, entah berapa keratlah tinggal manusia di dunia ini.
Mereka jadi begitu kerana mereka lemah akidah. Bila lemah akidah, senang sahaja tergelincir disebabkan bisikan syaitan. Sebab itu penting untuk belajar akidah sebelum mempelajari perkara lain dalam agama. Mestilah mantapkan pemahaman akidah dulu dalam diri kita.
A’raf Ayat 150:
وَلَمّا رَجَعَ موسىٰ إِلىٰ قَومِهِ غَضبٰنَ أَسِفًا قالَ بِئسَما خَلَفتُموني مِن بَعدي ۖ أَعَجِلتُم أَمرَ رَبِّكُم ۖ وَأَلقَى الأَلواحَ وَأَخَذَ بِرَأسِ أَخيهِ يَجُرُّهُ إِلَيهِ ۚ قالَ ابنَ أُمَّ إِنَّ القَومَ استَضعَفوني وَكادوا يَقتُلونَني فَلا تُشمِت بِيَ الأَعداءَ وَلا تَجعَلني مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when Moses returned to his people, angry and grieved, he said, “How wretched is that by which you have replaced me after [my departure]. Were you impatient over the matter of your Lord?” And he threw down the tablets and seized his brother by [the hair of] his head, pulling him toward him. [Aaron] said, “O son of my mother, indeed the people oppressed me and were about to kill me, so let not the enemies rejoice over me¹ and do not place me among the wrongdoing people.”
- i.e., over your humiliation of me.
MALAY
Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah dia: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?” Dan dia meletakkan Lauh-lauh itu serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”.
وَلَمّا رَجَعَ موسىٰ إِلىٰ قَومِهِ غَضبٰنَ أَسِفًا
Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita,
Allah ﷻ telah memberitahu apa yang telah dilakukan oleh kaumnya sepeninggalan baginda. Maka baginda telah pulang dengan segera dalam keadaan marah dan sedih. Kisah ini ada disebut dalam Taha: 85
قالَ فَإِنّا قَد فَتَنّا قَومَكَ مِن بَعدِكَ وَأَضَلَّهُمُ السّامِرِيُّ
Maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri”
Baginda telah pergi awal untuk mengadap Allah ﷻ (meninggalkan kaum baginda di belakang) dan kerana itu Allah ﷻ telah memberi dugaan patung anak lembu itu kepada kaum baginda. Maka bayangkan perasaan baginda yang marah dan sedih yang amat sangat. Baginda memang terkesan sungguh dengan perkara itu.
Memang Allah ﷻ telah memaklumkan kepada baginda semasa baginda di Gunung Sinai lagi tentang hal itu. Namun apabila melihat perkara itu dengan matanya sendiri telah menyebabkan baginda sangat marah dan berdukacita. Begitulah tidak sama kalau dengar dan melihat sendiri. Sebagai contoh, kita mungkin dengar isteri kita khalwat dengan orang lain dan ini menyebabkan kita naik darah, bukan? Akan tetapi kalau melihat dengan mata kita sendiri, ia akan menimbulkan perasaan yang lain pula. Inilah apa yang terjadi kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam sebuah hadith:
عن ابن عباس قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ليس الخبر كالمعاينة إن الله عز وجل أخبر موسى بما صنع قومه في العجل فلم يلق الألواح فلما عاين ما صنعوا ألقى الألواح فانكسرت
Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Khabar itu tidak seperti yang disaksikan. Sesungguhnya Allah ‘عَزَّ وَجَلَّ telah mengabarkan kepada Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang apa yang diperbuat oleh kaumnya terhadap patung anak sapi. Saat itu Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak melemparkan lembaran-lembaran itu, namun ketika menyaksikan sendiri apa yang mereka perbuat, serta merta Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melemparkan lembaran-lembaran bertulisan hingga pecah.
(Musnad Ahmad (2320) disahihkan oleh Syu’aib al-Arna’uth رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ)
Semasa Allah ﷻ memberitahu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang apa yang terjadi, baginda tidaklah sampai membaling Kitab Taurat. Walaupun waktu itu tentulah baginda yakin dengan apa yang diberitahu oleh Allah ﷻ, bukan? Akan tetapi apabila melihat sendiri, baginda tidak dapat menahan perasaan lagi. Begitulah beza antara ilmul yaqin dan ainul yaqin. Semasa Allah ﷻ beritahu, itu baru ilmul yaqin. Akan tetapi setelah melihat sendiri, itu sudah termasuk ainul yaqin dan ia lebih tinggi kedudukan lagi.
قالَ بِئسَما خَلَفتُموني مِن بَعدي
berkatalah dia: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku;
Baginda terus memarahi kaumnya kerana perbuatan mereka itu. Baginda tinggalkan mereka sekejap sahaja, namun ketika baginda pergi, mereka telah menggantikan agama yang baginda ajar dengan perbuatan yang syirik. Ini tidak patut sama sekali kerana amalan syirik adalah amalan yang terlalu buruk. Maka memang patut kalau baginda marah sangat.
أَعَجِلتُم أَمرَ رَبِّكُم
mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?”
Baginda tanya adakah mereka sengaja hendak mendahului perintah Tuhan mereka? Adakah mereka sengaja mahu langgar perintah Tuhan? Tidakkah mereka boleh bersabar untuk menunggu baginda pulang dengan arahan daripada Allah ﷻ dalam bentuk Lauh itu?
Mereka tidak boleh tunggu sekejapkah? Kisahnya baginda sudah berjanji dengan mereka yang baginda akan pulang kepada mereka dengan membawa arahan daripada Allah ﷻ dengan cara untuk beribadat kepada-Nya. Namun mereka tidak dapat menunggu 40 hari pun. Mereka cepat sahaja membuat sangkaan yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mati atau pergi entah ke mana.
Kalimah عجل tidak sama dengan سرع yang bermaksud bersegera. Kalimah عجل digunakan apabila tergesa-gesa buat sesuatu yang sebelum waktunya. Kalau سرع (bersegera) untuk salat, maka itu adalah bagus sebab hendak bersegera untuk beribadat. Manakala kalimah عجل itu pula bermaksud salat sebelum masuk waktunya.
Ada yang mengatakan, maksudnya adalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mesti tergesa-gesa kembali kepada kaumnya itu kerana perbuatan mereka. Lebih awal lagi dari masa yang sepatutnya. Ini kerana, pada asalnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingin terus lagi bermunajat kepada Allah ﷻ. Akan tetapi setelah baginda dimaklumkan dengan perbuatan mereka itu, maka baginda telah terpaksa menghentikan kehendaknya itu dan kembali segera kepada kaumnya.
وَأَلقَى الأَلواحَ
dan baginda meletakkan Lauh-lauh itu
Baginda ketika itu sedang memegang Lauh (kitab Taurat) yang telah diberikan oleh Allah ﷻ, maka baginda meletakkan dengan cepat. Ini kerana baginda hendak menggunakan kedua-dua tangannya (untuk memegang Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘mencampak’ tetapi tidak patut pula kalau kita katakan baginda ‘campak’ Lauh itu. Walaupun begitu, kita juga ada lihat seperti hadith di atas yang memang menyebut Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencampaknya sehingga ia pecah.
Ada kisah tidak benar tentang ayat ini:
Diriwayatkan daripada Qatadah dia telah berkata: “Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihat kepada Taurat lalu berkata: Wahai Tuhanku, aku mendapati di dalam lembaran Taurat ini, satu umat yang merupakan sebaik-baik umat yang dilahirkan kepada manusia, mereka mengajak kepada makruf dan melarang daripada melakukan kemungkaran maka jadikanlah umat itu umatku.” Allah ﷻ berkata: Umat itu adalah umat Muhammad ﷺ. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, aku dapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat yang merupakan umat yang terakhir (yang terakhir dijadikan) tetapi lebih dahulu memasuki syurga. Wahai Tuhanku, jadikan umat itu umatku. Allah ﷻ menjawab: Umat itu adalah umat Ahmad. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, aku dapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat, kitab mereka ada di dalam dada mereka yang mereka boleh baca sedangkan umat sebelum mereka membawa kitab mereka secara melihat hingga apabila mereka mengangkat kitab itu, mereka tidak menghafal dan mengetahui apa-apa daripadanya serta Allah ﷻ telah mengurniakan kepada umat itu daya hafalan yang tidak diberikan kepada sebarang umat lain. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, jadikanlah umat itu umatku. Allah ﷻ menjawab: Itu adalah umat Ahmad. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati di dalam Taurat ada satu umat yang beriman kepada kitab yang awal dan kitab yang akhir serta mereka memerangi orang yang melakukan kesesatan sehingga mereka memerangi pendusta yang melakukan kerosakan maka jadikanlah umat itu umatku. Allah ﷻ berkata: Itu adalah umat Ahmad. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku mendapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat memakan sedekah mereka di dalam perut mereka dan mengambil upah untuk mendapatkannya sedangkan umat sebelum mereka apabila bersedekah lalu sedekah itu diterima daripadanya maka Allah ﷻ akan mengutuskan api memakannya. Sekiranya sedekah itu tidak diterima, ia akan dibiarkan sahaja lalu dimakan oleh binatang liar dan burung. Allah ﷻ mengambil sedekah daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan memberikan kepada golongan fakir dalam kalangan mereka. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, jadikanlah umat itu umatku. Allah ﷻ berkata: Itu adalah umat Ahmad. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku mendapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat apabila salah seorang daripada mereka mempunyai hasrat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya dicatatkan baginya satu pahala kebajikan, sekiranya dia melakukannya maka akan dicatatkan baginya sepuluh pahala kebaikan sehingga digandakan kepada tujuh ratus kali ganda. Wahai Tuhanku, jadikan itu sebagai umatku. Allah ﷻ berkata: Itu adalah umat Ahmad. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku mendapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat yang boleh memberi dan menerima syafaat, maka jadikanlah umat itu sebagai umatku. Allah ﷻ menjawab: Itu adalah umat Ahmad.”
Qatadah berkata: “Diceritakan kepada kami bahawa Nabi Allah Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencampakkan lembaran Taurat dan berkata: Ya Allah ﷻ, jadikanlah aku daripada kalangan umat Muhammad.”
Tanda-tanda maudhu’ (kepalsuan) dan rekaan adalah jelas pada kisah ini dan sanadnya adalah dipertikaikan. Kisah ini asalnya diambil daripada Al-Qur’an dan hadith-hadith, kemudian dijadikan dalam bentuk terperinci seperti ini serta dijadikan kata-kata itu dituturkan oleh Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan realiti dan zahirnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencampakkan lembaran Taurat kerana marah untuk menjaga agama Allah ﷻ dan marah kepada kesucian tauhid Allah ﷻ dicerobohi. Manakala kisah yang disebut oleh Qatadah itu adalah tidak dapat diterima.
Ada ulasan tentang hal ini yang diberikan oleh Ibnu Kathir رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ di dalam tafsirnya. Beliau berkata: “Zahir laras bahasa menunjukkan bahawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencampakkan lembaran Taurat kerana marah kepada kaumnya. Ini adalah pendapat jumhur ulama’ Khalaf dan Salaf.” Ibnu Jarir رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ meriwayatkan daripada Qatadah berkenaan kisah ini merupakan satu pendapat yang ganjil dan tidak boleh disandarkan kepada kisah Qatadah. Ia telah ditolak oleh Ibnu Atiyah رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ dan ramai dalam kalangan ulama’. Qatadah seolah-olah menerima kisah ini daripada beberapa orang Ahli Kitab, sedang dalam kalangan mereka ada yang berdusta, suka mencipta hadith dan golongan Zindiq.
Benarlah apa yang dikatakan oleh Ibnu Kathir رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ. Beliau mengatakan bahawa kisah ini adalah daripada ciptaan golongan Zindiq Ahli Kitab supaya mereka dapat menggambarkan hubungan antara nabi dalam bentuk dengki mendengki dan bukannya dalam bentuk berkasih sayang dan bersaudara.
Imam Qurtubi رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ berkata ketika menafsirkan firman Allah SWT ( وَأَلۡقَى ٱلۡأَلۡوَاحَ ) iaitu disebabkan oleh marah dan kecewa yang ada di dalam dirinya ketika baginda bertemu dengan kaumnya ketika mereka sedang menyembah patung anak lembu serta kerana marah terhadap saudaranya yang lalai terhadap urusan mereka.
Said bin Jabir juga berkata seperti ini. Oleh itu dikatakan: “Berita tidak sama dengan apa yang disaksikan.” Sekiranya apa yang diriwayatkan oleh Qatadah itu sahih, ia tetap tidak boleh diambil kira. Adalah tidak betul Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencampakkan lembaran Taurat kerana melihat kelebihan umat Muhammad ﷺ dan kemuliaan itu bukan menjadi milik umatnya. Ini adalah pendapat yang keji dan tidak sepatutnya disandarkan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
وَأَخَذَ بِرَأسِ أَخيهِ يَجُرُّهُ إِلَيهِ
serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya.
Oleh kerana marah, baginda juga telah memarahi Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sampaikan ditariknya rambut Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di dalam Taha: 94 disebut yang baginda telah memegang kepala Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tangan kanan manakala janggut Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tangan kiri baginda.
قالَ يَا ابنَ أُمَّ لا تَأخُذ بِلِحيَتي وَلا بِرَأسي
Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku.
Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menarik Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada dirinya. Daripada sejarah, kita tahu bahawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah seorang yang panas baran. Kita juga tahu yang baginda telah terganggu emosinya, sampaikan baginda marah sangat.
Baginda marah kerana baginda telah memberikan tugas kepada Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menjaga dan mengawasi Bani Israel sepeninggalan baginda, maka apabila ada masalah besar begini, tentulah antara orang yang pertama dipersalahkan adalah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Bukankah perbuatan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu kurang ajar? Lebih-lebih lagi memandangkan yang Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah abangnya? Mungkin kita fikir begitu, tetapi Allah ﷻ tidak menegur pun perbuatan baginda itu. Maknanya ia tidak dikira sebagai kesalahan. Ini kerana apa yang baginda lakukan itu ketika sedang marah. Perbuatan ketika sedang sangat marah dimaafkan.
Namun bukankah perbuatan marah tidak bagus? Sampaikan Rasulullah ﷺ pernah menasihati seseorang dengan berulang-ulang supaya tidak marah.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ, bahawa seorang laki-laki berkata kepada Nabi ﷺ,“Berilah wasiat kepadaku.” Nabi ﷺ menjawab,“Janganlah engkau marah.” Laki-laki tadi mengulangi perkataannya berulang kali, baginda (tetap) bersabda,“Janganlah engkau marah.”
(Hadith Riwayat Bukhari (6116))
Akan tetapi bukanlah semua marah dilarang. Ada kemarahan yang terpuji iaitu apabila agama dilanggar. Begitulah yang terjadi kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda marah sangat kerana mereka telah melakukan kesalahan yang amat besar iaitu syirik. Marah yang terpuji adalah kemarahan kerana Allah ﷻ, dan untuk membela agama-Nya. Khususnya ketika perkara-perkara yang diharamkan Allah ﷻ dilanggar.
Imam Ibnu Rajab Al Hambali رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ berkata, “Kewajipan ke atas seorang mukmin agar syahwatnya (kesenangannya) terbatas untuk mencari apa yang dibolehkan oleh Allah ﷻ baginya. Hendaklah meraih syahwat yang dibolehkan dengan niat yang baik, sehingga mendapatkan pahala. Dan hendaknya kemarahan seorang mukmin itu untuk menolak gangguan dalam agama yang menimpanya atau menimpa orang lain dan untuk menghukum orang-orang yang bermaksiat kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya.”
Oleh sebab itu, bermakna bukanlah tidak boleh marah langsung. Kalau langsung tidak marah, itu bukan manusia, tetapi lembu. Bagaimana hendak berjihad jikalau tidak ada sifat marah langsung? Sedangkan Allah ﷻ berfirman,
قَاتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ اللهُ بِأَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُّؤْمِنِينَ وَيُذْهِبَ غَيْظَ قُلُوبِهِمْ
Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kamu terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman, dan menghilangkan panas hati orang-orang mu’min.
[Taubah: 14-15].”
Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah menarik rambut Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi kenapakah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menarik janggut Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kerana Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada janggut. Memang semua para Nabi ada janggut dan janggut adalah sunnah para Rasul yang sepatutnya dijaga oleh semua para lelaki. Ia adalah sunnah yang boleh dilakukan setiap masa (tidur, jalan, mandi, dan sebagainya). Tidak dinafikan, lelaki yang ada janggut adalah ganteng. Kalau tidak ada janggut, apa bezanya dengan perempuan?
قالَ ابنَ أُمَّ إِنَّ القَومَ استَضعَفوني
Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israel) memandangku lemah
Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempertahankan diri baginda. Baginda memanggil Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan panggilan: “wahai anak emak” – ini untuk melahirkan sifat kasihan belas dan simpati. Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada emak mereka, kerana emak mereka tentu akan menenangkan mereka kalau ada perbezaan pendapat sebegitu. Kalau panggil “anak bapak”, itu supaya membangkitkan semangat berani. Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak mengingatkan yang baginda bukan orang lain, tetapi adik beradik dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sepatutnya dengan adik beradik kita kenalah berlembut sikit.
Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kaum mereka memandang baginda sebagai seorang yang lemah. Mereka tidak memandang baginda sebagaimana mereka memandang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka tidak takut kepada Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka hanya takut kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Maka kerana itu baginda tidak dapat menghalang kaumnya daripada melakukan syirik itu.
Maka kita boleh lihat yang Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang yang lembut jika dibandingkan dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebab kaumnya tidak takut langsung, sampai sanggup membuat syirik di hadapan seorang Nabi! Ini mengajar kita kadangkala dengan orang yang degil teruk, kekerasan sahaja yang mereka kenal. Kalau berlembut dengan mereka, tiada kesan apa-apa kerana mereka adalah golongan yang amat degil. Maka, bukan dalam semua hal kita kena berlembut. Kena dilihat kepada keadaan. Kalau perlu keras, maka keraskanlah.
وَكادوا يَقتُلونَني
dan nyaris-nyaris mereka membunuhku
Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu yang baginda telah cuba menasihati mereka, namun mereka tidak mendengar dan hampir mereka mahu membunuh baginda kerana mereka tidak takut. Ini bermaksud bahawa sekiranya baginda tidak berhenti menegur, mereka akan bunuh baginda. Jika baginda dibunuh, tentulah keadaan akan menjadi lebih teruk, bukan?
Oleh itu, haram menegur jikalau ia akan menyebabkan kemungkaran yang lebih besar. Sekiranya Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibunuh, maka mudharat akan lebih besar lagi. Oleh kerana itulah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhenti daripada menegur mereka. Maka, tidaklah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersalah dan Allah ﷻ telah memberi isyarat bahawa memang Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah. Kerana itulah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dikecam di dalam mana-mana ayat Al-Qur’an.
فَلا تُشمِت بِيَ الأَعداءَ
janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku,
Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ minta jangan pula perbuatan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu nanti menggembirakan musuh, dengan menghukum baginda yang tidak bersalah. Janganlah jadikan baginda sebagai bahan ketawa mereka. Sebab nanti golongan sesat akan mentertawakan baginda.
Yang betul-betul musuh adalah kaum yang menderhakai Allah ﷻ, dan bukanlah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang mereka sedang melihat sahaja apa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mahu buat kepada Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalau Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghukum Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tentulah musuh akan gembira melihatnya kerana orang lain yang dihukum. Mereka akan gelak sahaja nanti.
Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memanggil mereka itu sebagai ‘musuh’, kerana apabila mereka melakukan syirik, terus mereka itu menjadi musuh bagi orang beriman.
وَلا تَجعَلني مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ
dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”.
Baginda juga merayu agar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya tidak menjadikan baginda bersama kaum zalim itu, kerana baginda tidak melakukan syirik itu bersama mereka. Jangan pula masukkan baginda sekali dengan golongan kaumnya yang sesat itu. Ini penting disebut dalam ayat ini kerana dalam kitab agama lain, ada disebut bagaimana mereka menuduh Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turut terlibat sama, maka Allah ﷻ sedang membersihkan nama baginda dengan ayat ini.
Baginda juga merayu supaya janganlah baginda dihukum sama dengan kaum yang zalim syirik itu. Hukumlah mereka sahaja kerana mereka yang bersalah.
A’raf Ayat 151: Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ percaya setelah mendengar penerangan daripada abangnya itu.
قالَ رَبِّ اغفِر لي وَلِأَخي وَأَدخِلنا في رَحمَتِكَ ۖ وَأَنتَ أَرحَمُ الرّٰحِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Moses] said, “My Lord, forgive me and my brother and admit us into Your mercy, for You are the most merciful of the merciful.”
MALAY
Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani”.
قالَ رَبِّ اغفِر لي وَلِأَخي
Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku,
Setelah sedar siapakah yang bersalah, baginda istighfar kepada Allah ﷻ di atas apa-apa kesalahan baginda dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jikalau ada kekurangan pada tugas yang mereka telah dipertanggungjawabkan. Ini kerana mungkin Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menjalankan kewajipan menjaga kaumnya dengan baik.
Untuk diri baginda sendiri, mungkin kerana meletakkan Kitab Taurat dengan segera dan seperti tidak menghormatinya (atau, membalingnya). Mungkin juga kerana baginda telah bersangka buruk terhadap abangnya Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan telah berlaku kasar sehingga menarik rambut dan janggut Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Atau, ia untuk mengajar adab dalam meminta ampun: iaitu jangan lupa meminta ampun bagi diri sendiri walaupun sedang meminta ampun bagi orang lain. Mengajar kita jangan perasan yang kita ini selamat, sampai tidak perlu meminta ampun. Kerana itu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan dengan meminta ampun untuk diri baginda sendiri. Maka kita pun belajar cara istighfar di sini.
Ayat ini juga mengajar kita yang para Nabi juga ada membuat salah dan ada juga berdosa. Cuma bezanya dosa mereka telah diampunkan dari awal lagi. Ini kerana sifat mereka yang maksum (tidak berdosa). Mereka hanya melakukan dosa-dosa kecil sahaja. Mereka tidak pernah melakukan dosa besar, semasa menjadi Nabi atau pun sebelum.
Lihatlah bagaimana baginda istighfar untuk diri mereka berdua sahaja. Bagaimana dengan kaumnya yang telah melakukan syirik itu? Mereka hendaklah istighfar sendiri kerana baginda tidak boleh meminta ampun bagi pihak mereka. Begitulah, dosa syirik itu hendaklah meminta ampun sendiri dengan Allah ﷻ. Tidak boleh orang lain yang memintakan untuk diri kita.
Sebab itu, kita tidak boleh meminta ampun untuk dosa syirik bagi pihak ibu bapa kita atau ahli keluarga kita yang telah meninggal. Mereka mestilah meminta sendiri ketika mereka hidup. Juga mengajar kita, jangan sesekali membuat dosa syirik. Kalau kita meninggal tanpa sempat meminta ampun, anak beranak kita pun tidak dapat tolong langsung!
Sementara itu, hukuman yang mereka perlu dilakukan oleh Bani Israel yang menyembah anak patung itu adalah mereka hendaklah berbunuhan sesama sendiri seperti yang telah dijelaskan di dalam Surah Baqarah:
{فَتُوبُوا إِلَى بَارِئِكُمْ فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ}
Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kalian, dan bunuhlah diri kalian. Hal itu adalah lebih baik bagi kalian pada sisi Tuhan yang menjadikan kalian; maka Allah akan menerima taubat kalian. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.
وَأَدخِلنا في رَحمَتِكَ
dan masukkanlah kami ke dalam rahmat-Mu,
Baginda memohon doa kepada Allah ﷻ untuk memasukkan mereka berdua ke dalam rahmat Allah ﷻ kerana kalau Allah ﷻ tidak memberi rahmat, tentu mereka akan kerugian. Kita sebagai manusia memang sangat-sangat memerlukan rahmat daripada Allah ﷻ.
Amat hebat doa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Baginda tidak minta diberikan rahmat, tetapi minta ‘dimasukkan’ ke dalam rahmat. Ini kerana kalau sudah berada dalam rahmat, maka rahmat itu akan meliputi diri seseorang itu dari semua arah. Maka ini lebih hebat daripada hanya minta diberikan rahmat.
وَأَنتَ أَرحَمُ الرّٰحِمينَ
kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain mengasihani”.
Kemudian baginda memuji Allah ﷻ. Begitulah Allah ﷻ mengajar kita cara berdoa dalam ayat ini. Apabila kita berdoa, hendaklah kita banyak memuji-muji Allah ﷻ kerana Allah ﷻ suka dipuji.
Kita memang mengharapkan rahmat daripada semua, termasuk daripada makhluk. Kerana rahmatlah, seorang ibu sanggup mengandung dan bersusah payah melahirkan anak, menjaga dan menyusuinya. Akan tetapi rahmat kasih sayang Allah ﷻ adalah lebih hebat daripada kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Betapa hebatnya jasa ibu kepada anak, ia tidak akan sama dengan jasa dan keperluan kita kepada rahmat Allah ﷻ. Kerana itu kita kenalah lebih mengharap rahmat daripada Allah ﷻ. Sesungguhnya Allah ﷻ lebih baik dalam memberi rahmat kerana rahmat adalah milik-Nya.
Oleh sebab itu, ini adalah doa yang hebat dan bagus untuk kita amalkan. Maka boleh hafal dan sesuaikan dalam doa-doa kita. Tambahan pula kerana doa ini doa seorang Nabi dan Allah ﷻ ulang di dalam Al-Qur’an untuk kita mempelajarinya. Maka ada isyarat untuk kita amalkan.
Habis Ruku’ 18 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 19 Januari 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan