Tafsir Surah al-A’raf Ayat 150 – 152 (Hukuman menyembah patung anak lembu)

Ayat 150:

وَلَمّا رَجَعَ موسىٰ إِلىٰ قَومِهِ غَضبانَ أَسِفًا قالَ بِئسَما خَلَفتُموني مِن بَعدي ۖ أَعَجِلتُم أَمرَ رَبِّكُم ۖ وَأَلقَى الأَلواحَ وَأَخَذَ بِرَأسِ أَخيهِ يَجُرُّهُ إِلَيهِ ۚ قالَ ابنَ أُمَّ إِنَّ القَومَ استَضعَفوني وَكادوا يَقتُلونَني فَلا تُشمِت بِيَ الأَعداءَ وَلا تَجعَلني مَعَ القَومِ الظّالِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Moses returned to his people, angry and grieved, he said, “How wretched is that by which you have replaced me after [my departure]. Were you impatient over the matter of your Lord?” And he threw down the tablets and seized his brother by [the hair of] his head, pulling him toward him. [Aaron] said, “O son of my mother, indeed the people oppressed me and were about to kill me, so let not the enemies rejoice over me¹ and do not place me among the wrongdoing people.”

  • i.e., over your humiliation of me.

MALAY

Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?” Dan ia meletakkan Lauh-lauh itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”.

وَلَمّا رَجَعَ موسىٰ إِلىٰ قَومِهِ غَضبانَ أَسِفًا

Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita,

Allah telah memberitahu apa yang telah dilakukan oleh kaumnya sepeninggalan baginda. Maka baginda telah balik dengan segera dalam keadaan marah dan sedih. Kisah ini ada disebut dalam Surah Taha.

Baginda telah pergi awal mengadap Allah dan kerana itu Allah telah memberi dugaan patung anak lembu itu kepada kaum baginda. Maka bayangkan perasaan baginda yang ada marah dan ada sedih yang amat sangat. Baginda memang terkesan sungguh dengan perkara itu.

قالَ بِئسَما خَلَفتُموني مِن بَعدي

berkatalah dia: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; 

Baginda terus memarahi kaumnya kerana perbuatan mereka itu. Baginda tinggalkan mereka sekejap sahaja, tapi bila baginda pergi, mereka telah ganti agama yang baginda ajar dengan perbuatan yang syirik. Ini tidak patut sama sekali. Maka memang patut kalau baginda marah sangat.

أَعَجِلتُم أَمرَ رَبِّكُم

mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?”

Baginda tanya adakah mereka sengaja henda mendahului perintah Tuhan mereka? Adakah mereka sengaja nak langgar perintah Tuhan? Tidakkah mereka boleh bersabar untuk menunggu baginda pulang dengan arahan dari Allah dalam bentuk Lauh itu?

Mereka tidak boleh tunggu sekejap kah? Kerana baginda sudah berjanji dengan mereka yang baginda akan pulang kepada mereka dengan bawa arahan dari Allah bagaimana untuk beribadat kepadaNya. Tapi mereka tidak dapat nak tunggu 40 hari pun.

Ada yang mengatakan, maksudnya adalah Nabi Musa kena tergesa-gesa kembali kepada kaumnya itu kerana perbuatan mereka. Lebih awal lagi dari masa yang sepatutnya.

وَأَلقَى الأَلواحَ

dan baginda meletakkan Lauh-lauh itu

Baginda waktu itu sedang memegang Lauh yang telah diberikan oleh Allah, maka baginda meletakkan dengan cepat. Bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘mencampak’ tapi tidak patut kalau kita kata baginda ‘campak’ Lauh itu.

Ada kisah tidak betul tentang ayat ini:

Diriwayatkan daripada Qatadah telah berkata: “Musa a.s. melihat kepada Taurat lalu berkata: Wahai Tuhanku, aku mendapati di dalam lembaran Taurat ini, satu umat yang merupakan sebaik-baik umat yang dilahirkan kepada manusia, mereka mengajak kepada makruf dan melarang daripada melakukan kemungkaran maka jadikanlah umat itu umatku.” Allah SWT berkata: Umat itu adalah umat Muhammad. Nabi Musa a.s. berkata: Wahai Tuhanku, aku dapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat yang merupakan umat yang terakhir (yang terakhir dijadikan) tetapi lebih dahulu memasuki syurga. Wahai Tuhanku, jadikan umat itu umatku. Allah SWT menjawab: Umat itu adalah umat Ahmad. Musa a.s. berkata: Wahai Tuhanku, aku dapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat, kitab mereka ada di dalam dada mereka yang mereka boleh baca sedangkan umat sebelum mereka membawa kitab mereka secara melihat hingga apabila mereka mengangkat kitab itu, mereka tidak menghafal dan mengetahui apa-apa daripadanya serta Allah SWT telah mengurniakan kepada umat itu daya hafalan yang tidak diberikan kepada sebarang umat lain. Musa a.s. berkata: Wahai Tuhanku, jadikanlah umat itu umatku. Allah SWT menjawab: Itu adalah umat Ahmad. Musa a.s. berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati di dalam Taurat ada satu umat yang beriman kepada kitab yang awal dan kitab yang akhir serta mereka memerangi orang yang melakukan kesesatan sehingga mereka memerangi pendusta yang melakukan kerosakan maka jadikanlah umat itu umatku. Allah SWT berkata: Itu adalah umat Ahmad. Musa a.s. berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku mendapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat memakan sedekah mereka di dalam perut mereka dan mengambil upah untuk mendapatkannya sedangkan umat sebelum mereka apabila bersedekah lalu sedekah itu diterima daripadanya maka Allah SWT akan mengutuskan api memakannya. Sekiranya sedekah itu tidak diterima, ia akan dibiarkan sahaja lalu dimakan oleh binatang liar dan burung. Allah SWT mengambil sedekah daripada orang kaya dari kalangan mereka dan memberikan kepada golongan fakir dari kalangan mereka. Musa a.s. berkata: Wahai Tuhanku, jadikanlah umat itu umatku. Allah SWT berkata: Itu adalah umat Ahmad. Musa a.s. berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku mendapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat apabila salah seorang daripada mereka mempunyai hasrat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya dicatatkan baginya satu pahala kebajikan, sekiranya dia melakukannya maka akan dicatatkan baginya sepuluh pahala kebaikan sehingga digandakan kepada tujuh ratus kali ganda. Wahai Tuhanku, jadikan itu sebagai umatku. Allah SWT berkata: Itu adalah umat Ahmad. Musa a.s. berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku mendapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat yang boleh memberi dan menerima syafaat, maka jadikanlah umat itu sebagai umatku. Allah SWT menjawab: Itu adalah umat Ahmad.”

Qatadah berkata: “Diceritakan kepada kami bahawa Nabi Allah Musa a.s. mencampakkan lembaran Taurat dan berkata: Ya Allah SWT, jadikanlah aku dari kalangan umat Muhammad.”

Tanda-tanda maudhu’ dan rekaan adalah jelas pada kisah ini dan sanadnya adalah dipertikaikan. Kisah ini asalnya diambil daripada al-Quran dan hadith-hadith, kemudian dijadikan dalam bentuk terperinci seperti ini serta dijadikan kata-kata itu dituturkan oleh Musa a.s. Sedangkan realiti dan zahirnya Nabi Musa a.s. mencampakkan lembaran Taurat kerana marah untuk menjaga agama Allah SWT dan marah kepada kesucian tauhid Allah SWT dicerobohi. Manakala kisah yang disebut oleh Qatadah itu adalah tidak dapat diterima.

Ada ulasan tentang hal ini yang diberikan oleh Ibnu Kathir di dalam tafsirnya. Beliau berkata: “Zahir laras bahasa menunjukkan bahawa Nabi Musa a.s. mencampakkan lembaran Taurat kerana marah kepada kaumnya. Ini adalah pendapat jumhur ulama Khalaf dan Salaf.” Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Qatadah berkenaan kisah ini merupakan satu pendapat yang ganjil dan tidak boleh disandarkan kepada kisah Qatadah. la telah ditolak oleh Ibnu Atiyah dan ramai dari kalangan ulama. Qatadah seolah-olah menerima kisah ini daripada beberapa orang Ahli Kitab, sedang dari kalangan mereka ada yang dusta, suka mencipta hadith dan golongan Zindiq.

Benarlah apa yang dikatakan oleh Ibnu Kathir. Beliau mengatakan bahawa kisah ini adalah daripada ciptaan golongan Zindiq Ahli Kitab supaya mereka dapat menggambarkan hubungan antara nabi dalam bentuk dengki mendengki dan bukannya dalam bentuk berkasih sayang dan bersaudara.

Imam Qurtubi berkata ketika menafsirkan firman Allah SWT ( وَأَلۡقَى ٱلۡأَلۡوَاحَ ) iaitu disebabkan oleh marah dan kecewa yang ada di dalam dirinya ketika dia bertemu dengan kaumnya ketika mereka sedang menyembah patung anak lembu serta kerana marah terhadap saudaranya yang lalai terhadap urusan mereka. Said bin Jabir juga berkata seperti ini. Oleh itu dikatakan: “Berita tidak sama dengan apa yang disaksikan.” Sekiranya apa yang diriwayatkan oleh Qatadah itu sahih, ia tetap tidak boleh diambil kira. Adalah tidak betul Nabi Musa a.s. mencampakkan lembaran Taurat kerana melihat kelebihan umat Muhammad SAW dan kemuliaan itu bukan menjadi milik umatnya. Ini adalah pendapat yang keji dan tidak sepatutnya disandarkan kepada Nabi Musa a.s.

وَأَخَذَ بِرَأسِ أَخيهِ يَجُرُّهُ إِلَيهِ

serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. 

Kerana marah, baginda juga telah memarahi Nabi Harun. Baginda telah memegang kepala Nabi Harun dengan tangan kanan dan pegang janggut Nabi Harun dengan tangan kiri baginda. Baginda tarik kepada baginda. Dari sejarah, kita tahu bahawa Nabi Musa ini adalah seorang yang panas baran. Dan kita pun tahu yang baginda telah terganggu emosinya, sampaikan baginda marah sangat.

Baginda telah memberikan tugas kepada Nabi Harun untuk menjaga dan mengawasi Bani Israil sepeninggalan baginda, jadi apabila ada masalah besar begini, tentulah antara orang yang dipersalahkan adalah Nabi Harun.

قالَ ابنَ أُمَّ إِنَّ القَومَ استَضعَفوني

Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah

Nabi Harun mempertahankan diri baginda. Baginda memanggil Nabi Musa dengan panggilan: “wahai anak emak” – ini untuk melahirkan sifat kasihan belas dan simpati. Nabi Harun mengingatkan Nabi Musa kepada emak mereka, kerana emak mereka tentu akan menenangkan mereka kalau ada perbezaan pendapat sebegitu. Kalau panggil “anak bapak”, itu supaya membangkitkan semangat berani.

Nabi Harun kata kaum mereka memandang baginda sebagai seorang yang lemah. Mereka tidak memandang baginda macam mereka memandang Nabi Musa. Mereka tidak takut kepada Nabi Harun, mereka hanya takut kepada Nabi Musa sahaja. Maka kerana itu baginda tidak dapat menghalang kaumnya dari melakukan syirik itu.

وَكادوا يَقتُلونَني

dan nyaris-nyaris mereka membunuhku

Nabi Harun beritahu yang baginda telah cuba menasihati mereka, tapi mereka tidak dengar dan hampir mereka nak bunuh baginda kerana mereka tak takut. Kalau baginda dibunuh, tentulah keadaan akan jadi lebih teruk, bukan? Jadi, tidaklah Nabi Harun bersalah dan Allah telah memberi isyarat bahawa memang Nabi Harun tidak bersalah.

فَلا تُشمِت بِيَ الأَعداءَ

janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku,

Dan Nabi Harun minta jangan pula perbuatan Nabi Musa itu nanti menggembirakan musuh, dengan menghukum baginda yang tidak bersalah. Yang betul-betul musuh adalah kaum yang menderhakai Allah, bukan Nabi Harun. Sekarang mereka sedang tengok sahaja apa Nabi Musa nak buat kepada Nabi Harun. Kalau Nabi Musa menghukum Nabi Harun, tentulah musuh akan gembira melihatnya kerana orang lain yang kena hukum. Mereka akan gelak sahaja nanti.

Nabi Harun memanggil mereka itu sebagai ‘musuh’, kerana apabila mereka melakukan syirik, terus mereka itu menjadi musuh bagi orang beriman.

وَلا تَجعَلني مَعَ القَومِ الظّالِمينَ

dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”.

Dan baginda merayu Nabi Musa supaya tidak jadikan baginda bersama kaum zalim itu, kerana baginda tidak melakukan syirik itu bersama mereka. Ini penting disebut dalam ayat ini kerana dalam kitab agama lain, ada disebut bagaimana mereka tuduh Nabi Harun pun terlibat sama, maka Allah sedang membersihkan nama baginda dengan ayat ini.

Dan baginda merayu supaya janganlah baginda dihukum sama dengan kaum yang zalim syirik itu. Hukumlah mereka sahaja kerana mereka yang bersalah.


Ayat 151: Nabi Musa percaya setelah mendengar penerangan dari abangnya itu.

قالَ رَبِّ اغفِر لي وَلِأَخي وَأَدخِلنا في رَحمَتِكَ ۖ وَأَنتَ أَرحَمُ الرّاحِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “My Lord, forgive me and my brother and admit us into Your mercy, for You are the most merciful of the merciful.”

MALAY

Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani”.

قالَ رَبِّ اغفِر لي وَلِأَخي

Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku,

Setelah sedar siapakah yang bersalah, baginda istighfar kepada Allah atas apa-apa kesalahan baginda dan Nabi Harun jikalau ada kekurangan pada tugas yang mereka telah dipertanggungjawabkan.

Lihatlah bagaimana baginda istighfar untuk diri mereka berdua sahaja. Bagaimana dengan kaumnya yang telah melakukan syirik itu? Mereka kena istighfar sendiri kerana baginda tidak boleh minta ampun bagi pihak mereka. Begitulah, dosa syirik itu kena minta ampun sendiri dengan Allah. Tidak boleh orang lain yang mintakan untuk diri kita.

Sebab itu, kita tidak boleh minta ampun untuk dosa syirik bagi pihak ibu bapa kita atau ahli keluarga kita yang telah meninggal. Mereka kena minta sendiri semasa mereka hidup.

Dan hukuman yang mereka perlu dilakukan oleh Bani Israil  yang menyembh anak patung itu adalah mereka kena berbunuhan sesama sendiri seperti yang telah dijelaskan di dalam Surah Baqarah:

{فَتُوبُوا إِلَى بَارِئِكُمْ فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ}

Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kalian, dan bunuhlah diri kalian. Hal itu adalah lebih baik bagi kalian pada sisi Tuhan yang menjadikan kalian; maka Allah akan menerima taubat kalian. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (Al-Baqarah: 54)

وَأَدخِلنا في رَحمَتِكَ

dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu,

Dan baginda memohon doa kepada Allah untuk memasukkan mereka berdua ke dalam rahmat Allah. Kerana kalau Allah tidak beri rahmat, tentu mereka akan kerugian. Kita sebagai manusia memang sangat-sangat memerlukan rahmat dari Allah.

وَأَنتَ أَرحَمُ الرّاحِمينَ

kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani”.

Dan kemudian baginda memuji Allah. Begitulah Allah mengajar kita cara berdoa dalam ayat ini. Apabila kita berdoa, hendaklah kita banyak memuji-muji Allah kerana Allah suka dipuji.

Habis Ruku’ 18 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


Ayat 152:

إِنَّ الَّذينَ اتَّخَذُوا العِجلَ سَيَنالُهُم غَضَبٌ مِن رَبِّهِم وَذِلَّةٌ فِي الحَياةِ الدُّنيا ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُفتَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who took the calf [for worship] will obtain anger from their Lord and humiliation in the life of this world, and thus do We recompense the inventors [of falsehood].

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan dari Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar.

إِنَّ الَّذينَ اتَّخَذُوا العِجلَ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, 

Ini adalah hukuman kepada mereka yang telah melakukan perkara syirik itu. Ini adalah tentang hukuman kepada mereka yang telah menjadikan anak lembu itu sebagai ilah.

سَيَنالُهُم غَضَبٌ مِن رَبِّهِم

akan ditimpa kemurkaan dari Tuhan mereka

Mereka akan mendapat kemurkaan dari Allah. Dan apabila Allah murka, tidak ada harapan lagi untuk mereka.

وَذِلَّةٌ فِي الحَياةِ الدُّنيا

dan kehinaan dalam kehidupan dunia. 

Mereka bukan sahaja akan mendapat azab di akhirat kelak, tapi mereka akan mendapat balasan kehinaan di dunia lagi.

وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُفتَرينَ

Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang mengada-adakan

Demikianlah balasan mereka yang menambah perkara baru dalam agama. Banyak sekali yang perkara baru yang dilakukan oleh manusia sekarang. Mereka menambah amalan-amalan yang tidak pernah dibuat oleh Nabi dan para sahabat.

Mereka senang sahaja buat alasan bahawa itu adalah perkara yang baik, sedangkan tidak ada dalil bagi hujah mereka itu. Mereka sampai menjadikan agama ini menjadi pelik. Maka, mereka yang sebegitu, akan mendapat balasan dari Allah nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s