Ayat 77: Sambungan dari kisah Nabi Nuh selepas baginda diselamatkan dari banjir besar.
وَجَعَلنا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الباقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We made his descendants those remaining [on the earth]
(MELAYU)
Dan Kami jadikan anak cucunya orang-orang yang melanjutkan keturunan.
Dari ayat ini kita dapat tahu bahawa walaupun ada orang lain yang naik dalam bahtera Nabi Nuh itu, tetapi keturunan manusia hanya berlangsung daripada keturunan baginda sahaja. Kerana kita lihat dhomir ه kepada baginda sahaja dalam kalimah ذُرِّيَّتَهُ.
Kerana itulah salah satu gelaran Nabi Nuh a.s. adalah ‘Adam Kedua’ kerana kita semua adalah anak cucu Nabi Nuh belaka. Kalau Nabi Adam, semua orang sudah tahu kita anak cucu Nabi Adam, bukan? Tapi mungkin tak ramai yang tahu bahawa kita semua juga adalah anak cucu Nabi Nuh a.s.
Walaupun kita tahu ada anak Nabi Nuh yang tidak beriman dan telah ditenggelamkan, tetapi ada lagi anak-anak baginda yang lain yang beriman. Dalam riwayat ada diberitahu bahawa ada tiga anak nabi Nuh iaitu Sam, Ham dan Yafith. Dari mereka inilah keturunan manusia bercambah dan berkembang biak ke seantero dunia.
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَهَّابِ، عَنْ سَعِيدٍ، عَنْ قَتَادَةَ، عَنِ الْحَسَنِ، عَنْ سَمُرَةَ؛ أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “سَامٌ أَبُو الْعَرَبِ، وَحَامٌ أَبُو الْحَبَشِ، وَيَافِثُ أَبُو الرُّومِ”Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdul Wahhab, dari Sa’id, dari Qatadah, dari Al-Hasan, dari Samurah r.a. yang telah mengatakan bahwa Nabi Saw. pernah bersabda: Sam menurunkan bangsa Arab, Ham menurunkan bangsa Habsyah, dan Yafith menurunkan bangsa Romawi.
Satu lagi tafsir bagi ayat ini adalah: keturunan mereka yang zalim dan menentang Nabi Nuh itu dimatikan semua sekali dan yang tinggal hanyalah keturunan mereka yang beriman dengan baginda (yang ada dalam bahtera). Tapi para mufassir banyak mengambil maksud yang pertama (keturunan Nabi Nuh sahaja yang hidup). Tapi kerana ayat ini tidak jelas mengatakan sedemikian, maka kita nukilkan juga pendapat kedua ini.
Ayat 78:
وَتَرَكنا عَلَيهِ فِي الآخِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And left for him [favorable mention] among later generations:
(MELAYU)
Dan Kami abadikan untuk Nuh itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian;
Allah tinggalkan kisah baginda untuk golongan selepas itu. Sampai sekarang kita mempelajari kisah baginda. Amat banyak pengajaran yang kita boleh ambil dari baginda. Terutama sekali tentang kesabaran baginda dalam berdakwah.
Bayangkan, baginda sabar selama 950 tahun berdakwah! Dan 950 tahun itu adalah zaman-zaman yang teruk. Maknanya baginda dakwah lebih lama dari itu. Maka kalau kita kata kita sudah berdakwah tapi orang tidak terima juga, maka kena kenanglah kisah Nabi Nuh a.s. ini.
Ayat 79:
سَلامٌ عَلىٰ نوحٍ فِي العٰلَمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
“Peace upon Noah among the worlds.”
(MELAYU)
“Kesejahteraan dilimpahkan atas Nuh di seluruh alam”.
Allah beri salam kepada Nabi Nuh a.s. sebagai penghormatan kepada baginda. Apabila kita beri salam, itu adalah doa supaya Allah beri kesejahteraan kepada orang yang kita beri salam itu. Tapi kalau Allah yang beri salam, maksudnya itu memang sudah pasti baginda dalam kesejahteraan.
Maknanya juga, sepanjang zaman orang berkata yang baik-baik sahaja tentang baginda dan tidak ada yang boleh memburukkan baginda.
Tapi ini bukanlah amalan bagi salam kepada Nabi Nuh pula. Jangan jadikan ayat ini sebagai dalil untuk bertawasul pula. Kita tidak boleh beri salam kepada Nabi Nuh kerana baginda sudah lama wafat dan tidak dengar salam kita.
Ayat 80:
إِنّا كَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, We thus reward the doers of good.
(MELAYU)
Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
Begitulah Allah balas amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia yang ikhlas. Maka kalau kita hendak dapat balasan baik, maka hendaklah kita buat amalan yang baik juga. Balasan baik tetap akan dibalas baik oleh Allah.
Ayat 81:
إِنَّهُ مِن عِبادِنَا المُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, he was of Our believing servants.
(MELAYU)
Sesungguhnya dia termasuk di antara hamba-hamba Kami yang beriman.
Allah memuji Nabi Nuh a.s. dengan mengatakan baginda termasuk hamba-hambaNya yang beriman. Alangkah hebatnya mendapat pujian dari Allah sendiri dan diletakkan di dalam Al-Qur’an dan dibaca zaman berzaman sampai Kiamat!
Ayat 82:
ثُمَّ أَغرَقنَا الآخَرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then We drowned the others [i.e., disbelievers].
(MELAYU)
Kemudian Kami tenggelamkan orang-orang yang lain.
Selain daripada Nabi Nuh a.s. dan pengikut baginda yang naik sekali dalam bahtera itu, mereka semuanya telah ditenggelamkan dalam banjir besar yang mengenai seluruh dunia. Maka kerana itu tidak ada keturunan lain selain dari keturunan baginda.
Maka ini juga menolak kisah karut yang mengatakan ada yang selamat. Malah ada kisah tidak benar yang mengatakan ada perempuan tua yang tidak tahu pun ada banjir! Ini tidak benar dan berlawanan dengan ayat ini.
Ayat 83: Sekarang Allah masuk ke dalam kisah Nabi Ibrahim pula. Maka ayat 83 – 111 adalah pujian dan ucapan salam kepada Ibrahim.
۞ وَإِنَّ مِن شيعَتِهِ لَإِبرٰهيمَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And indeed, among his kind was Abraham,
(MELAYU)
Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk golongannya (Nuh).
Nabi Ibrahim adalah dari keturunan Nabi Nuh iaitu daripada anak Nabi Nuh yang bernama Sam bin Nuh. Kita telah katakan sebelum ini yang keturunan selepas banjir besar itu hanya datang dari jalur Nabi Nuh sahaja.
Ayat 84:
إِذ جاءَ رَبَّهُ بِقَلبٍ سَليمٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
When he came to his Lord with a sound heart
(MELAYU)
(lngatlah) ketika dia datang kepada Tuhannya dengan hati yang suci:
Ini adalah kisah sebelum Nabi Ibrahim a.s. diangkat menjadi Rasul lagi. Baginda sudah merujuk kepada Allah kerana baginda sudah mempunyai hati yang bersih. Kerana baginda sejahtera dari syirik.
Kadang-kadang ada orang yang belum jumpa kebenaran lagi tetapi hati mereka sudah mahu kepada kebenaran dan kerana itu apabila kebenaran ditunjukkan kepada mereka, senang sahaja untuk mereka menerimanya kerana hati mereka telah beriman. Mereka cuma tidak tahu bagaimana caranya.
Kerana itu jikalau kita tanya kepada orang yang menerima kebenaran, kita tahu bahawa mereka itu telah berdoa kepada Allah untuk menunjukkan jalan kebenaran. Pernah ada satu ketika mereka berdoa supaya Allah tunjukkan mana yang benar. Kerana mereka pun tidak tahu mana satu yang benar. Satu ustaz kata begini dan satu ustaz kata begitu.
Jadi mereka keliru. Dan mereka serahkan kepada Allah untuk tunjukkan mana yang benar kepada mereka. Dan apabila mereka berkata begitu maka Allah akan membawa mereka ke jalan sunnah. Allah akan tarik mereka kepada jalan Sunnah.
Ayat 85:
إِذ قالَ لِأَبيهِ وَقَومِهِ ماذا تَعبُدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[And] when he said to his father and his people, “What do you worship?
(MELAYU)
(Ingatlah) ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah yang kamu sembah itu?
Ini adalah cara dakwah Nabi Ibrahim kepada bapa dan kaum baginda. Baginda gunakan dakwah dengan cara soalan. Baginda tanya mereka supaya mereka gunakan akal mereka untuk menilai balik, apakah perbuatan mereka itu benar atau tidak.
Walaupun baginda belum lagi mendapat wahyu, tapi baginda sudah nampak ada tidak kena dengan agama dan amalan kaumnya itu. Kerana itu baginda bertanya. Ini sama sahaja dengan agama-agama lain. Banyak kisah yang kita dapat orang yang masuk Islam itu telah bertanya kepada ibubapa mereka, atau ketua agama mereka, kenapa buat begitu dan begini? Ini kerana mereka guna akal mereka dan mereka nampak tak patut apa yang dilakukan oleh mereka.
Sebagai contoh, pernah dengar cerita seorang anak pembuat patung Hindu yang tanya ayah dia: “Ayah masukkan nyawa dalam patung tuhan itu… maka tentulah ayah lagi hebat dari tuhan… tidak begitu?”
Ayat 86:
أَئِفكًا ءآلِهَةً دونَ اللهِ تُريدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Is it falsehood [as] gods other than Allāh you desire?
(MELAYU)
Apakah kamu menghendaki sembahan-sembahan selain Allah dengan jalan berbohong?
Kalimah أَئِفكًا dari أ ف ك yang bermaksud penipuan, penukaran. Maksudnya Nabi Ibrahim tegur mereka: “tuhan tipukah yang kamu hendak” Kalau duit tentulah kita duit yang benar, bukan? Takkan kita nak duit tipu. Maka begitulah juga dengan Tuhan, tentu Tuhan yang benar yang kita hendak.
Baginda mempersoalkan perbuatan mereka yang menyembah selain Allah. Ini menunjukkan bahawa mereka itu kenal Allah, tapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga kepada selain Allah. Inilah sifat musyrik. Macam Musyrikin Mekah, bukannya mereka tidak kenal Allah dan sembah Allah. Mereka memang sembah Allah, cuma selain dari Alah, mereka ada sembah entiti lain juga. Itu yang mereka digelar ‘musyrik’.
Macam orang Islam kita juga, semua kenal Allah, tapi ada yang berdoa kepada selain Allah. Mereka berbohong dalam beramal itu kerana mereka amalkan perkara yang tidak ada dalil. Apabila amalan itu tidak ada dalil, maka ia adalah amalan bohong dan dusta.
Ayat 87:
فَما ظَنُّكُم بِرَبِّ العٰلَمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then what is your thought about the Lord of the worlds?”
(MELAYU)
Maka apakah anggapanmu terhadap Tuhan semesta alam?”
Nabi Ibrahim ajak mereka berfikir tentang Allah dan kedudukan Allah. Mereka pun sudah tahu bahawa Allah itu adalah Rabb yang mencipta dan mengurus alam ini.
Mungkin begini soalan baginda yang kita pun boleh tanya kepada penyembah selain Allah: “Adakah kamu rasa yang kamu boleh jadikan berhala-berhala dan ilah-ilah lain itu sebagai ganti kepadaNya? Adakah kamu sangka yang kamu boleh terselamat dari kemarahanNya dan azabNya?”
Ayat 88:
فَنَظَرَ نَظرَةً فِي النُّجومِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And he cast a look at the stars
(MELAYU)
Lalu dia memandang sekali pandang ke bintang-bintang.
Salah satu daripada sembahan kaum Nabi Ibrahim adalah kepada bintang. Mereka mengadakan majlis besar-besaran keluar untuk menyembah bintang dan baginda amat tidak suka dengan perbuatan mereka itu.
Kisah ini telah disebut dengan lebih mendalam dalam ayat dari Surah Al-Anbiya’: 71-73 dan Al-`Ankabut: 16-27
Kalimah نظر (melihat) itu adalah isyarat kepada bahasa kiasan iaitu Nabi Ibrahim berfikir panjang-panjang dan mendalam. Qatadah mengatakan bahawa orang-orang Arab menganggap orang yang sedang memandang ke arah langit itu adalah orang yang sedang berfikir atau merenungkan sesuatu.
Iaitu baginda berfikir sama ada baginda patut ikut kaumnya itu di majlis syirik mereka ataupun tidak. Baginda berfikir dengan mendalam dan kerana itu adalah maf’ul mutlaq نَظرَةً dalam ayat ini.
Ayat 89: Baginda dapat ilham bagaimana baginda boleh menyelamatkan diri baginda dari mengikut mereka.
فَقالَ إِنّي سَقيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And said, “Indeed, I am [about to be] ill.”
(MELAYU)
Kemudian dia berkata: “Sesungguhnya aku sakit”.
Ini adalah kisah apabila kaum baginda mengajak baginda untuk pergi meraikan majlis syirik mereka, dan baginda berfikir mencari helah untuk mengelak dan menyelamatkan diri baginda. Kerana baginda sudah sedar yang amalan yang mereka lakukan itu adalah amalan syirik. Maka baginda tidak mahu menyertai mereka dan baginda mendapat ilham untuk beritahu yang baginda sakit.
Ada yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim mengatakan alasan ini kerana baginda mahu untuk bersendirian dengan berhala-berhala kaumnya itu kerana ada sesuatu yang baginda hendak lakukan yang akan disebut selepas ini.
Dan baginda pun sebenarnya tidak berbohong kerana baginda ‘sakit hati’ dengan amalan syirik yang dilakukan oleh kaum baginda itu. Ini penting untuk difahami kerana ada pendapat yang mengatakan ini adalah salah satu dari tiga ‘penipuan’ yang baginda pernah lakukan dalam hidup baginda. Kita kena sedar yang baginda tidaklah menipu tapi ini adalah helah dari baginda sahaja. Helah ini pun ilham dari Allah.
حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْب، حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ، حَدَّثَنِي هِشَامٌ، عَنْ مُحَمَّدٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ، عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ، غَيْرَ ثَلَاثِ كَذْبَاتٍ: ثِنْتَيْنِ فِي ذَاتِ اللَّهِ، قَوْلُهُ: {إِنِّي سَقِيمٌ} ، وَقَوْلُهُ {بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا} [الْأَنْبِيَاءِ: 62] ، وَقَوْلُهُ فِي سَارَةَ: هِيَ أُخْتِي”telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah, telah menceritakan kepadaku Hisyam, dari Muhammad, dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Ibrahim a.s. tidak pernah berdusta kecuali dalam tiga perkara; dua di antaranya dalam membela Zat Allah, iaitu ucapannya, “Sesungguhnya aku sakit,” dan perkataannya, “Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya.” Dan perkataannya tentang Sarah, “Dia adalah saudara perempuanku.”
“إِنَّ [فِي] الْمَعَارِيضِ لَمَنْدُوحَةً عَنِ الْكَذِبِ”Sesungguhnya di dalam ungkapan-ungkapan sindiran benar-benar terdapat jalan untuk mengelak dari berkata dusta.
Ayat 90:
فَتَوَلَّوا عَنهُ مُدبِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So they turned away from him, departing.
(MELAYU)
Lalu mereka berpaling daripadanya dengan membelakang.
Jadi apabila Nabi Ibrahim kata baginda sakit, maka kaum baginda meninggalkan baginda dan waktu itu hanya baginda sahaja yang tinggal di bandar. Maknanya mereka terima alasan baginda itu. Maka bolehlah juga dikatakan yang alasan baginda itu ada asasnya. Mungkin baginda waktu itu memang ada sakit yang menyebabkan kaum baginda percaya kepada baginda.
Kerana kalau baginda nampak sihat sahaja, tentulah mereka tidak terima alasan baginda. Tapi apabila dikatakan kaum baginda meninggalkan baginda, ini bermakna yang mereka terima alasan Nabi Ibrahim itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 8 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi