Tafsir Surah Ankabut Ayat 15 – 18 (Syirik satu industri)

Ayat 15: Sambungan kisah Nabi Nuh a.s.

فَأَنجَينٰهُ وَأَصحٰبَ السَّفينَةِ وَجَعَلنٰها آيَةً لِّلعٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But We saved him and the companions of the ship, and We made it¹ a sign for the worlds.

  • i.e., the ship, the event or the story.

(MELAYU)

Maka Kami selamatkan Nuh dan penumpang-penumpang bahtera itu dan Kami jadikan peristiwa itu pelajaran bagi semua umat manusia.

 

فَأَنجَينٰهُ وَأَصحٰبَ السَّفينَةِ

Maka Kami selamatkan Nuh dan penumpang-penumpang bahtera itu

Apabila banjir besar berlaku, Allah menyelamatkan Nabi Nuh bersama-sama dengan para sahabatnya dan ahli keluarganya yang berada di dalam bahtera.

Walaupun Allah memusnahkan kaum yang menentang Rasul mereka, tapi Allah tetap menyelamatkan orang beriman. Allah akan keluarkan mereka dari kawasan yang akan dikenakan dengan azab itu supaya mereka dapat menyelamatkan diri mereka.

 

وَجَعَلنٰها آيَةً لِّلعٰلَمينَ

dan Kami jadikan peristiwa itu pelajaran bagi semua umat manusia.

Dan Allah jadikan mereka dan peristiwa itu sebagai pengajaran kepada manusia. Supaya jangan melawan para Rasul dan menolak ajakan dan amalan tauhid. Banyak pengajaran yang terdapat dalam kisah Nabi Nuh ini.

Ada yang mengatakan maksud ayat ini adalah suatu hari nanti bahtera Nabi Nuh itu akan ditemui dan menjadi tanda benarnya berlaku peristiwa itu. Ini ada disentuh dalam Qamar:15

وَلَقَد تَرَكناها آيَةً فَهَل مِن مُدَّكِرٍ

Dan sesungguhnya telah Kami jadikan kapal itu sebagai pelajaran, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?

Ada juga yang mengatakan telah dijumpai sesuatu yang seperti rupa bahtera di Bukti Judi dan ada juga yang kata di Bukit Ararat. Allahu a’lam.

Tetapi ada juga yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah kisah mereka itu yang menjadi pengajaran kepada manusia. Tidak perlu nak lihat tinggalan bahtera itu. Dengan baca kisah itu sahaja sudah cukup menjadi pengajaran. Jadi tanpa melihat kesan bahtera itu pun manusia boleh lagi mengambil pengajaran dari mereka. Jangan jadi orang yang kena lihat bukti dengan mata kepala, baru nak percaya.

Sekian kisah ujian Nabi Nuh.


 

Ayat 16: Sekarang masuk kepada kisah Nabi Ibrahim pula sebagai kisah yang kedua. Ayat 16 – 27 adalah Perenggan Makro 3b iaitu diceritakan pula ujian yang dikenakan kepada Nabi Ibrahim pula. Supaya kita tahu yang memang orang beriman akan dikenakan dengan ujian.

وَإِبرٰهيمَ إِذ قالَ لِقَومِهِ اعبُدُوا اللهَ وَاتَّقوهُ ۖ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We sent] Abraham, when he said to his people, “Worship Allāh and fear Him. That is best for you, if you should know.

(MELAYU)

Dan (ingatlah) Ibrahim, ketika dia berkata kepada kaumnya: “Sembahlah olehmu Allah dan bertakwalah kepada-Nya. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

 

وَإِبرٰهيمَ إِذ قالَ لِقَومِهِ اعبُدُوا اللهَ وَاتَّقوهُ

Dan (ingatlah) Ibrahim, ketika dia berkata kepada kaumnya: “Sembahlah olehmu Allah dan bertakwalah kepada-Nya

Allah bawa kisah Nabi Ibrahim a.s. kerana baginda adalah Nabi kepada Arab Mekah juga. Mereka kenal dengan baginda dan mengaku yang baginda adalah Nabi mereka dan mereka kononnya ikut ajaran dari Nabi Ibrahim. Tapi adakah sama apa yang mereka lakukan itu? Sekarang bandingkan.

Seperti biasa, seorang Nabi itu akan mengajak tauhid kepada Allah. Maka kena sembah dan menghambakan diri kepada Allah sahaja. Iaitu tauhid dalam ibadat juga dalam doa. Adakah Arab Mekah buat begitu? Bukankah mereka mengamalkan fahaman dan akidah syirik? Memang mereka kenal Allah dan puja Allah, tapi dalam masa yang sama, mereka juga sembah dan puja ilah-ilah yang lain. Ini salah dan syirik.

Dan taqwa maksudnya taat dengan arahan dari Allah. Adakah Musyrikin Mekah taat kepada Allah?

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Kalaulah mereka mengetahui bahawa tauhid kepada Allah itulah kebaikan bagi seorang hamba dan mereka amalkan, tentu baik bagi mereka. Dan kalaulah mereka taat kepada arahan Allah, mereka akan selamat. Mereka akan selamat dunia dan akhirat.

Tapi malangnya Musyrikin Mekah tidak tahu perkara ini, dan kebanyakan manusia tidak tahu tentang tauhid kerana amat jauh dari wahyu. Nak belajar tauhid, kena belajar dari wahyu dan manusia tidak belajar wahyu, selalunya. Ramai yang masih tidak belajar tafsir Al-Qur’an lagi.


 

Ayat 17: Kemudian Nabi Ibrahim menegur kaum baginda yang menyembah selain Allah.

إِنَّما تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ أَوثٰنًا وَتَخلُقونَ إِفكًا ۚ إِنَّ الَّذينَ تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ لا يَملِكونَ لَكُم رِزقًا فَابتَغوا عِندَ اللهِ الرِّزقَ وَاعبُدوهُ وَاشكُروا لَهُ ۖ إِلَيهِ تُرجَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You only worship, besides Allāh, idols, and you produce a falsehood. Indeed, those you worship besides Allāh do not possess for you [the power of] provision. So seek from Allāh provision and worship Him and be grateful to Him. To Him you will be returned.”

(MELAYU)

Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala, dan kamu membuat dusta. Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu; maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya-lah kamu akan dikembalikan.

 

إِنَّما تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ أَوثٰنًا

Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala,

Kalimah أَوثانًا adalah jenis berhala yang duduk di sesuatu tempat untuk masa yang lama dan bentuknya pun tidak kemas kerana ianya lama sangat. Kalau kita tengok gambar-gambar patung yang amat lama, kita tengok bentuk ia pun tidak seperti manusia sangat.

Ia kemek sana sini dan tak tahu jantan atau betina, bukan? Ianya tidaklah macam patung zaman sekarang. Ianya dari kalimah و ث ن yang bermaksud tetap di satu tempat. Ini adalah kerana ia besar dan tidak boleh digerakkan lagi. Ada berhala jenis besar dan ada berhala jenis kecil.

 

وَتَخلُقونَ إِفكًا

dan kamu membuat dusta. 

Dan Nabi Ibrahim menegur mereka yang reka benda-benda bohong dan dusta, iaitu reka amalan-amalan palsu. Mereka reka dan kata perbuatan mereka itu Allah suka. Ini sama sahaja dengan apa yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan juga golongan musyrik sekarang. Inilah bahayanya reka amalan bidaah yang baru kerana lama kelamaan ia akan menjadi syirik.

Mereka juga reka kisah-kisah tentang berhala-berhala itu, tentang ilah-ilah itu, ada berhala yang bagi rezeki, ada yang bagi anak, ada yang jaga tumbuhan, ada yang jaga peperangan dan sebagainya. Ini sama seperti agama Hindu yang reka dewa itu dan dewi ini.

Dan sama juga orang Islam yang reka wali-wali tertentu – wali itu jaga kawasan ini, wali ini boleh tolong bagi ini, wali itu boleh selamatkan dari hutan kalau sesat di hutan, Syaikh Qadir jaga masa, dan macam-macam lagi rekaan manusia yang pelik. Ini semua rekaan sahaja dari khayalan manusia yang sesat dan jahil. Yang melakukan perkara ini selalunya adalah kumpulan tarekat sufi.

 

إِنَّ الَّذينَ تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ لا يَملِكونَ لَكُم رِزقًا

Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu; 

Nabi Ibrahim berhujah dengan mereka yang berhala-berhala sembahan mereka itu bukan ada kuasa untuk memberi rezeki kepada mereka pun. Maka buang masa sahaja mereka sembah dan minta macam-macam kepada berhala mereka itu.

Takkan berhala-berhala itu pula boleh beri mereka rezeki, sedangkan mereka sendiri yang buat berhala batu itu? Takkan benda yang mereka buat boleh bagi keperluan hidup mereka? Tak masuk akal langsung.

 

فَابتَغوا عِندَ اللهِ الرِّزقَ

maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, 

Sebaliknya baginda suruh mereka carilah rezeki dengan meminta kepada Allah sahaja kerana Allah sahaja yang boleh beri rezeki. Jangan cari dan minta rezeki daripada perantara-perantara, dari berhala-berhala, dari ilah-ilah lain.

Tetapi dalam masa yang sama sebenarnya penyembahan berhala dan ajaran syirik yang seperti ini menjadi sumber pendapatan bagi mereka yang menjadi penganjurnya. Apabila penjaga-penjaga berhala itu meletakkan berhala, maka penyembah-penyembah yang datang akan meletakkan duit dan penjaga itulah yang akan kaut duit-duit itu.

Jadi, ia sudah menjadi satu industri. Menipu manusia sudah jadi industri. Dan ini masih lagi terjadi zaman sekarang, termasuklah dalam masyarakat Islam pun. Teringat satu kisah bagaimana ada yang melawat tempat yang dikatakan sebagai lubang Imam Mahdi akan keluar. Tempat itu berjaga dan penjaganya dapat duit kerana orang yang datang akan lemparkan duit ke dalam lubang itu kerana mereka berdoa kepada Imam Mahdi sebagai wasilah mereka. Macam-macam mereka minta.

Maka, orang yang melawat itu tanya kepada penjaga itu, bagaimana kalau Imam Mahdi benar-benar keluar dari lubang itu, apa yang dia akan buat? Orang itu jawab, dia akan ketuk dulu kepada Imam Mahdi itu kerana kalaulah Imam Mahdi benar-benar keluar, maka hilanglah punca pendapatannya!

Maka penipuan dalam agama memang boleh buat duit. Begitu jugalah yang sekarang ini terjadi apabila bomoh-bomoh dan penganjur-penganjur ajaran sesat termasuklah guru guru tarekat. Menjadi guru tarekat memang menguntungkan dari segi kewangan kerana mereka mendapat pemberian wang daripada anak-anak murid mereka yang jahil.

Kerana itu banyak kita lihat guru-guru tarekat kaya raya sedangkan anak-anak murid mereka miskin atau biasa-biasa sahaja. Kalau guru tarekat dapat anak murid yang kaya, senanglah hidup mereka.

Dan kita juga boleh lihat bagaimana golongan Habib pun senang sekarang kerana mereka popular. Mereka anjurkan majlis-majlis bidaah dan mereka dibayar untuk hadir dan jadi tekong dalam majlis itu. Bukan sedikit bayaran yang diberikan kepada mereka. Padahal majlis itu buat dosa sahaja, tapi mereka boleh dapat duit yang dibayar oleh orang-orang yang bodoh.

Dan begitu jugalah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah di Kaabah yang mengandungi banyak berhala-berhala dan kedatangan masyarakat Arab dari segenap tempat membawa bersama mereka sumber kewangan yang menguntungkan bagi penjaga-penjaga Kaabah itu.

Maka kerana itu mereka amat marah dengan ajaran tauhid Nabi Muhammad kerana kalau dibiarkan, maka tidak ada lagilah penyembah berhala datang ke Kaabah dan punca pendapatan mereka yang lumayan akan hilang.

Dan kerana kedudukan mereka sebagai penjaga Kaabah juga menyebabkan mereka mudah untuk berkelana mencari rezeki untuk berniaga ke tempat lain. Ini kerana mereka tidak dikacau kerana puak-puak Arab di tempat lain itu tidak berani ganggu mereka kerana berhala mereka ada dekat Kaabah. Kalau mereka ganggu orang Mekah maka berhala mereka boleh dirosakkan.

Maka kalau mereka tahu kafilah itu adalah kafilah dari Mekah, perompak dan penyamun lain tidak kacau. Jadi kalau umat manusia tidak lagi sembah berhala, maka tidaklah ada lagi kedudukan Arab Mekah di mata masyarakat Arab.

 

وَاعبُدوهُ وَاشكُروا لَهُ

dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. 

Maka Nabi Ibrahim mengingatkan mereka untuk sembah dan puja Allah sahaja. Dan bersyukurlah kepada Allah di atas segala pemberian rezeki. Kerana rezeki yang mereka dapat bukanlah berhala dan ilah-ilah mereka itu tapi dari Allah.

 

إِلَيهِ تُرجَعونَ

Hanya kepada-Nya-lah kamu akan dikembalikan.

Dan Allah ingatkan mereka bahawa mereka akan kembali bertemu Allah. Bagaimana nasib mereka nanti kalau mereka bawa amalan syirik dan bidaah? Tidakkah itu memurkakan Allah dan nanti kena mengadap Allah?

Maka kita sebagai umat Islam, kenalah ingat perkara ini. Bagaimana nanti kita nak jawab kalau Allah tanya, kenapa buat amalan-amalan yang Dia dan RasulNya tidak ajar? Nak jawab waktu itu?

Maka ini menolak fahaman manusia yang mereka tidak terus bertemu Allah apabila mati nanti tapi akan bertemu dengan sembahan dan ilah mereka. Kerana itu penganut Buddha berakidah yang mereka akan bertemu dengan Gautama Buddha dan dialah nanti yang akan mempertahankan kes mereka di hadapan Tuhan.

Dan orang Islam yang sesat pula sangka yang wali-wali sembahan mereka nanti akan berjumpa dengan wali mereka di akhirat dan akan jadi peguam untuk selamatkan mereka di hadapan Allah nanti. Allah tolak semua fahaman sesat ini dengan kata: manusia semua akan bertemu dengan Allah, tidak ada transit di mana-mana.


 

Ayat 18: 

وَإِن تُكَذِّبوا فَقَد كَذَّبَ أُمَمٌ مِّن قَبلِكُم ۖ وَما عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you [people] deny [the message] – already nations before you have denied. And there is not upon the Messenger except [the duty of] clear notification.¹

  • Commentators have differed over this verse – whether it is a continuation of the words of Prophet Abraham or words of comfort given by Allāh to Prophet Muḥammad (ṣ), which according to context seems more likely.

(MELAYU)

Dan jika kamu (orang kafir) mendustakan, maka umat yang sebelum kamu juga telah mendustakan. Dan kewajipan rasul itu, tidak lain hanyalah menyampaikan (agama Allah) dengan seterang-terangnya”.

 

وَإِن تُكَذِّبوا فَقَد كَذَّبَ أُمَمٌ مِّن قَبلِكُم

Dan jika kamu mendustakan, maka umat yang sebelum kamu juga telah mendustakan.

Ulama tidak sepakat tentang siapakah yang berkata dalam ayat ini. Adakah sambungan dari kalam Nabi Ibrahim atau sekarang sudah masuk kalam Allah?

Kalau ianya kalam Allah, maka ia bermaksud Allah hendak mengingatkan bahawa manusia zaman berzaman memang telah banyak yang mendustakan kebenaran. Bukan umat Nabi Ibrahim sahaja, bukan Musyrikin Mekah sahaja, bukan umat kita sahaja. Memang dari dulu zaman berzaman.

Atau kalau ini adalah kalam dari Nabi Ibrahim, baginda mengingatkan mereka bahawa umat-umat sebelum kaumnya itu pun telah menolak ajakan tauhid, dan lihatlah apa yang telah terjadi kepada mereka? Ada yang telah dihancurkan semasa di dunia lagi, bukan?

 

وَما عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

Dan kewajipan rasul itu, tidak lain hanyalah menyampaikan (agama Allah) dengan seterang-terangnya”.

Ayat ini juga adalah tasliah. Memang umat manusia ramai yang mendustakan kebenaran dan Rasul mereka. Dan Allah ingatkan yang tugas Rasul hanyalah menyampaikan sahaja. Bukanlah Rasul kena menjaga hati umat mereka. Tidaklah kewajipan Rasul untuk menjadikan semua umat mereka beriman. Maka janganlah sedih kalau umat tidak beriman.

Maka kita pun kenalah fahami ayat ini. Kadangkala kita berdakwah kepada manusia, mereka tidak mahu ikut. Maka ingatlah pesanan Allah ini: kita hanya boleh sampaikan sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s