Ayat 24: Setelah Nabi Nuh عليه السلام berdakwah kepada kaumnya, lihatlah apakah balasan dari kaumnya itu:
فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً مّا سَمِعنا بِهٰذا في آبائِنَا الأَوَّلينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But the eminent among those who disbelieved from his people said, “This is not but a man like yourselves who wishes to take precedence over you; and if Allāh had willed [to send a messenger], He would have sent down angels. We have not heard of this among our forefathers.
(MELAYU)
Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab: “Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi dari kamu. Dan kalau Allah ﷻ menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.
فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ
Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab:
Kalimah mala’ asalnya bermaksud ‘memenuhi’. Digunakan untuk pemuka-pemuka kaum kerana mereka ‘memenuhi’ majlis raja. Selalu ada tempat perkumpulan mereka, bukan? Maka dialog ini terjadi di tempat perhimpunan pemimpin masyarakat itu.
Ini jenis pemimpin yang kufur. Kerana ada sahaja yang tidak kufur. Mereka menentang apa yang disampaikan oleh Nabi Nuh عليه السلام itu. Mari kita lihat apakah kata mereka:
ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم
“Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu,
Sekarang mereka mengeluarkan pendapat dan hujah mereka. Mereka kata tidak payah hendak ikut Nabi Nuh عليه السلام kerana Nabi Nuh عليه السلام itu manusia biasa sahaja. Mereka berhujah: macam mana dia boleh mengaku terima wahyu sedangkan kamu tidak terima pula?
Perkara yang sama juga dikatakan kepada Nabi Muhammad dan kerana itu disebut apa yang terjadi kepada Nabi Nuh ini sebagai pujukan kepada baginda. Allah nak beritahu, Nabi Nuh pun kena tohmahan yang sama.
يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم
yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi dari kamu.
Mereka menuduh Nabi Nuh عليه السلام hendak melebihkan dirinya ke atas mereka semua sahaja. Iaitu dengan berkata “dia betul dan mereka sesat”. Nabi Nuh dituduh hendak melebihkan dirinya ke atas umat masyarakat. Mereka kata kerana itu Nabi Nuh buat seolah-olah Nabi Nuh عليه السلام lebih baik daripada mereka.
وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً
Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus malaikat.
Mereka berhujah lagi, takkan hendak ikut cakap manusia pula. Kalau Allah ﷻ hendak sampaikan apa-apa, sepatutnya Allah ﷻ akan turunkan malaikat sahaja, tak perlu turunkan manusia.
Inilah juga hujah yang digunakan oleh Musyrikin Mekah. Mereka kata Nabi Muhammad ﷺ itu manusia sahaja dan kenapa Allah ﷻ tidak turunkan malaikat sahaja?
Maka dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memujuk hati Nabi Muhammad ﷺ – bukan umat baginda sahaja yang menuduh dan berhujah begitu, tetapi bermula seawal-awal umat Nabi Nuh عليه السلام lagi sudah ada tuduhan dan hujah bodoh yang sama. Ini kerana umat Nabi Nuh عليه السلام ini adalah umat yang awal. Maknanya dari awal sejarah manusia lagi sudah menggunakan hujah begitu. Maka janganlah Nabi terasa sangat kalau baginda kena tuduh sebegitu kerana memang zaman berzaman akan ada manusia bodoh yang akan kata begitu.
Kita juga kena sedar yang manusia yang menentang akan menggunakan berbagai-bagai hujah. Kadangkala hujah mereka itu memang tidak masuk akal. Tapi sekarang kita sudah faham kenapa. Mereka terdesak sampaikan mereka akan keluarkan berbagai hujah yang bodoh-bodoh pun ada.
مّا سَمِعنا بِهٰذا في آبائِنَا الأَوَّلينَ
Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.
Hujah mereka yang seterusnya adalah dengan mengatakan yang Nabi Nuh عليه السلام ini membuat benda bid’ah (benda baru). Kerana mereka dahulu tidak ada pun diberitahu oleh tok nenek mereka ajaran yang sebegitu.
Maka ini membuka pemahaman kepada kita: memang manusia dari dahulu lagi akan membandingkan amalan semasa dengan ajaran tok nenek. Mereka selalunya akan pakai sahaja ajaran tok nenek tanpa peduli sama ada benar atau tidak. Pada mereka, kalau ianya sudah lama diamalkan, tentulah ianya benar. Kerana itulah banyak ajaran pelik-pelik di negara kita. Apabila ditanya dari mana datangnya, mereka akan menjawab ia ‘sudah lama diamalkan’.
Dan kalau kita bawa pula ajaran sunnah, yang mereka tidak tahu (kerana tidak belajar), maka mereka akan berasa pelik pula dengan kita dan mereka kata kita pula yang bawa ajaran baru. Sebagai contoh, ada orang hairan dengan cara angkat takbiratulihram setakat bahu sahaja. Mereka kata itu cara takbir Wahabi. Padahal ianya ada di dalam kitab-kitab hadis. Tetapi kerana mereka tidak belajar hadis, mereka kata ianya ajaran salah pula.
Kalau masyarakat awam yang kata, kita faham juga. Tetapi apabila yang menegur perkara ini adalah mereka yang bertanggungjawab memberikan tauliah mengajar di negeri, maka kita hairan dengan tahap ilmu mereka. Bayangkan kalau yang diberi tauliah pun berfahaman begitu, bagaimana pula dengan mereka yang tidak diberi tauliah? Bagaimana pula dengan masyarakat awam yang belajar dengan mereka?
Ayat 25: Lagi tuduhan dari golongan penentang.
إِن هُوَ إِلّا رَجُلٌ بِهِ جِنَّةٌ فَتَرَبَّصوا بِهِ حَتّىٰ حينٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He is not but a man possessed with madness, so wait concerning him for a time.”
(MELAYU)
Dia tidak lain hanyalah seorang laki-laki yang berpenyakit gila, maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu”.
إِن هُوَ إِلّا رَجُلٌ بِهِ جِنَّةٌ
Dia tidak lain hanyalah seorang laki-laki yang berpenyakit gila,
Mereka berhujah pula dengan hujah yang karut. Apabila mereka tidak dapat menolak hujah Nabi Nuh عليه السلام secara ilmiah, maka mereka menuduh yang baginda kena sampuk jin agaknya sehingga menjadi gila. Gila sampai mengaku Tuhan ﷻ bercakap dengannya.
Atau mereka berkata baginda عليه السلام gila kerana menyebut benda yang sama sahaja tidak berhenti-henti. Kalau duduk dekat dengan baginda عليه السلام akan disebut benda yang sama sahaja setiap kali. Sentiasa sahaja menceritakan tentang tauhid. Macam tiada benda lain hendak diperkatakan lagi. Kalau orang gila, kita tengok dia akan bercakap benda yang sama sahaja berulang-ulang, bukan?
Memanglah Nabi Nuh عليه السلام bercakap benda yang sama sahaja iaitu ajaran dari wahyu kerana ianya adalah perkara yang amat penting. Kerana perkara penting memang perlu diulang-ulang sampai melekat dalam hati dan akal.
Macam juga dengan kita yang sudah sayang kepada ilmu tafsir Qur’an ini, kita akan sentiasa bercakap tentangnya. Sampaikan ada yang sudah bosan mendengarnya. Tapi begitulah dengan para sahabat, mereka tidak habis-habis akan bercakap tentang Qur’an dan Qur’an.
فَتَرَبَّصوا بِهِ حَتّىٰ حينٍ
maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu”.
Akhirnya mereka hendak membiarkan sahaja dakwah Nabi Nuh عليه السلام itu. Jangan dilayan dia. Mereka fikir, nanti lama-lama dia akan mati dan hilanglah apa yang diperkatakan oleh baginda itu. Mereka beritahu kepada pengikut mereka: perkara ini sekejap sahaja, maka janganlah masuk Islam.
Maksudnya, mereka nak kata ini adalah ajaran rekaan Nabi Nuh عليه السلام sahaja dan ia akan mati dengan matinya baginda عليه السلام. Sedangkan ini bukanlah ajaran baginda عليه السلام tetapi datang daripada Allah ﷻ. Kalau Nabi Nuh عليه السلام mati sekalipun, agama ini tidak akan mati kerana Allah ﷻ tidak mati-mati.
Inilah juga hujah yang digunakan kepada Nabi Muhammad ﷻ semasa di Mekah. Musyrikin Mekah kata nanti Muhammad mati, maka akan matilah sekali ajaran yang Muhammad bawa.
Ayat 26: Setelah 950 tahun berdakwah dan baginda telah diberitahu oleh Allah yang tidak akan ada lagi orang yang akan beriman, maka Nabi Nuh عليه السلام telah berdoa kepada Allah untuk membantu baginda.
قالَ رَبِّ انصُرني بِما كَذَّبونِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Noah] said, “My Lord, support me because they have denied me.”
(MELAYU)
Nuh berdoa: “Ya Tuhanku, tolonglah aku, kerana mereka mendustakan aku”.
Dalam ayat yang lain disebut doa baginda عليه السلام ini:
{فَدَعَا رَبَّهُ أَنِّي مَغْلُوبٌ فَانْتَصِرْ}
Maka dia mengadu kepada Tuhannya, bahawasanya aku ini adalah orang yang dikalahkan. Oleh sebab itu, menangkanlah (aku). (Al-Qamar: 10)
Maka Nabi Nuh عليه السلام berdoa dan ini setelah baginda عليه السلام diserang di khalayak ramai. Maka baginda عليه السلام berdoa supaya umatnya itu diazab dengan azab yang mereka sendiri dustakan. Mereka tidak percaya yang mereka boleh dikenakan dengan azab, maka baginda عليه السلام meminta supaya mereka dikenakan dengan azab.
Maka kalau kita diserang dalam media, di khalayak ramai, maka doa sahaja kepada Allah ﷻ. Dan kemudian serahkan kepada Allah ﷻ bagaimana Dia hendak buat.
Ayat 27:
فَأَوحَينا إِلَيهِ أَنِ اصنَعِ الفُلكَ بِأَعيُنِنا وَوَحيِنا فَإِذا جاءَ أَمرُنا وَفارَ التَّنّورُ ۙ فَاسلُك فيها مِن كُلٍّ زَوجَينِ اثنَينِ وَأَهلَكَ إِلّا مَن سَبَقَ عَلَيهِ القَولُ مِنهُم ۖ وَلا تُخٰطِبني فِي الَّذينَ ظَلَموا ۖ إِنَّهُم مُّغرَقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So We inspired to him, “Construct the ship under Our observation and Our inspiration, and when Our command comes and the oven overflows,¹ put into it [i.e., the ship] from each [creature] two mates and your family, except those for whom the decree [of destruction] has proceeded. And do not address Me concerning those who have wronged; indeed, they are to be drowned.
- See footnote to 11:40.
(MELAYU)
Lalu Kami wahyukan kepadanya: “Buatlah bahtera di bawah penilikan dan petunjuk Kami, maka apabila perintah Kami telah datang dan tanur telah memancarkan air, maka masukkanlah ke dalam bahtera itu sepasang dari tiap-tiap (jenis), dan (juga) keluargamu, kecuali orang yang telah lebih dahulu ditetapkan (akan ditimpa azab) di antara mereka. Dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim, kerana sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.
فَأَوحَينا إِلَيهِ أَنِ اصنَعِ الفُلكَ بِأَعيُنِنا وَوَحيِنا
Lalu Kami wahyukan kepadanya: “Buatlah bahtera di bawah penilikan dan petunjuk Kami,
Maka Allah ﷻ menyuruh baginda membina bahtera. Tetapi bukanlah baginda keseorangan kerana Allah ﷻ mengajar bagaimana cara hendak membuat kapal. Allah ﷻ juga akan mengawasi pembuatan bahtera itu. Dan Allah ﷻ memberi ilham kepada baginda macam mana hendak membuatnya kerana Nabi Nuh عليه السلام tentu tidak dapat membuatnya sendiri.
Memang susah kalau hendak membuat kapal apatah lagi kalau tidak pernah melihatnya. Kerana sebelum itu tidak pernah ada kapal di mana-mana pun. Jadi bahtera Nabi Nuh itu adalah kapal pertama di dalam sejarah. Maka kalau Allah ﷻ tidak membantu dan memberi ilham, maka kapal itu tidak akan siap atau rosaklah kapal itu nanti kerana tidak tahan.
Tambahan pula ia akan berlayar di lautan yang luas kerana bumi keseluruhan akan banjir. Tiada tempat yang boleh mendarat waktu itu, maka kena kapal yang kuat dan tahan.
Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).
Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.
فَإِذا جاءَ أَمرُنا وَفارَ التَّنّورُ
maka apabila perintah Kami telah datang dan tanur telah memancarkan air,
Ini adalah apabila keputusan dari Allah ﷻ sudah sampai untuk membanjirkan dunia. Apabila التَّنّورُ (dapur) telah menggelegak dan air membuak keluar. Dapur yang dimaksudkan adalah tempat membakar roti (boleh lihat bagaimana Mamak membuat Roti Nan).
Cuma dapur umat Nabi Nuh عليه السلام itu dibuat di dalam tanah. Dan apabila air sudah naik ke daratan, akan nampak dapur itu mengeluarkan air. Maknanya air sudah tinggi sampai sudah meresap dari dalam tanah dan sudah mula keluar.

Juga ianya adalah perumpamaan yang digunakan apabila seseorang marah sangat macam air yang menggelegak. Seolah-olah kalau periuk ditutup dengan tudung pun akan keluar juga air yang menggelegak. Maka ini juga adalah isyarat yang Allah ﷻ telah marah kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام itu.
Ini kerana sudah lama Nabi Nuh عليه السلام berdakwah kepada mereka tetapi mereka tetap menentang. Sudah cukup masa yang diberikan kepada mereka. Jadi sekarang tibalah masa untuk menghancurkan mereka pula.
Juga sebagai isyarat kepada masa yang Nabi Nuh عليه السلام kena tengok. Kerana tempat tinggal mereka itu seperti dapur. Apabila air laut atau air dari bumi sudah naik dan sampai air masuk ke dalam dapur, maka masa untuk menaiki kapal sudah sampai. Jika tunggu lama lagi akan terlalu lambat kerana banjir sudah bermula.
فَاسلُك فيها مِن كُلٍّ زَوجَينِ اثنَينِ وَأَهلَكَ
maka masukkanlah ke dalam bahtera itu sepasang dari tiap-tiap (jenis), dan (juga) keluargamu,
Maka masukkanlah siapa yang sepatutnya selamat ke dalamnya. Maksudnya kapal itu besar kerana tak pakai kalimah ‘atasnya’ tetapi digunakan ‘dalamnya’. Maknanya ada kawasan luas di dalam kapal itu. Ada bahagian-bahagian tertentu. Ada untuk manusia dan ada untuk binatang.
Dalam riwayat ada disebut baginda masukkan binatang dahulu. Ini adalah kerana pasangan binatang itu perlu kerana nanti akan dibiakkan. Kalau semua binatang mati dan tidak ada baka, nanti mereka nak makan apa?
إِلّا مَن سَبَقَ عَلَيهِ القَولُ مِنهُم
kecuali orang yang telah lebih dahulu ditetapkan di antara mereka.
Tetapi ada dari ahli keluarga baginda sendiri yang tidak dibenarkan masuk. Kerana mereka telah ditetapkan akan menerima azab. Kerana mereka telah menentang ajaran Nabi Nuh عليه السلام. Yang kita tahu adalah isteri dan anak kandung baginda sendiri.
وَلا تُخٰطِبني فِي الَّذينَ ظَلَموا
Dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim,
Allah beritahu Nabi Nuh عليه السلام supaya jangan hendak bercakap tentang mereka yang akan dimusnahkan. Baginda tidak dibenarkan bertanya pun kenapa mereka tidak diselamatkan. Mereka telah ditetapkan akan dilemaskan. Tiada pintu taubat untuk mereka lagi.
Allah ﷻ menyebut tentang perkara ini kerana Nabi Nuh عليه السلام meminta untuk memasukkan anaknya ke dalam kapal. Ini kerana apabila hujan sudah lebat, timbullah kesedihan dan kesayangan di hati Nabi Nuh عليه السلام terhadap anaknya itu. Tetapi Allah ﷻ tidak membenarkan orang yang kafir untuk masuk.
إِنَّهُم مُّغرَقونَ
kerana sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.
Telah ditetapkan yang mereka akan dilemaskan di dalam banjir besar itu. Kalau Allah ﷻ telah menetapkan, maka ianya pasti akan berlaku. Tidak ada patah balik lagi.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 23 Mei 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
One thought on “Tafsir Surah Mukminoon Ayat 24 – 27 (Pembinaan bahtera)”