Tafsir Surah Mukminoon Ayat 28 – 33 (Penurunan yang berkat)

Ayat 28: Sambungan kisah bahtera Nabi Nuh عليه السلام. Ini adalah setelah mereka mula berlayar di dalam bahtera itu.

فَإِذَا استَوَيتَ أَنتَ وَمَن مَّعَكَ عَلَى الفُلكِ فَقُلِ الحَمدُ ِللهِ الَّذي نَجّٰنا مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you have boarded the ship, you and those with you, then say, ‘Praise to Allāh who has saved us from the wrongdoing people.’

(MELAYU)

Apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu, maka ucapkanlah: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kami dari orang-orang yang zalim”.

 

فَإِذَا استَوَيتَ أَنتَ وَمَن مَّعَكَ عَلَى الفُلكِ

Apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu,

Apabila mereka telah boleh duduk teguh di dalam kapal itu. Itulah maksud istiwa. Ini adalah apabila keadaan sudah lega, semua sudah selamat dari banjir besar itu. Apabila Nabi Nuh عليه السلام dan sesiapa di dalam bahtera itu telah selamat dari banjir dan hujan lebat.

 

فَقُلِ الحَمدُ ِللهِ الَّذي نَجّٰنا مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

maka ucapkanlah: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kami dari orang-orang yang zalim”.

Apabila sudah selamat, maka kena puji Allah ﷻ kerana telah diselamatkan dari musibah. Maka Allah ﷻ mengajar supaya baca zikir ini.

Allah ﷻ mengingatkan bahawa Dia yang menyelamatkan mereka, bukan kapal itu. Begitulah setiap zikir yang kita ucapkan sebenarnya hendak mengingatkan kita kepada Allah ﷻ. Maka untuk kita amalkan dalam kehidupan seharian kita, kita kena memuji Allah ﷻ bila naik kenderaan kita sebelum ke mana-mana. Ingat, kita kena memuji Allah  ﷻ dan bukan memuji kereta.

Begitulah kelebihan zikir masnoon (yang sunnah dari Nabi) yang diajar oleh Nabi ‎ﷺ. Ianya adalah zikir untuk sepanjang masa dalam setiap keadaan. Nabi ‎ﷺ mengajar zikir-zikir itu untuk ingatkan manusia kepada Allah. Zikir itu selalunya dibaca pada masa-masa yang manusia selalu lalai. Maka kalau kita amalkan, kita akan kembali ingat kepada Allah ﷻ. Antara kitab yang bagus dalam bab ini adalah Kitab Hisnul Muslim yang senang sahaja untuk didapati.

Maka Nabi Nuh عليه السلام dan sahabatnya telah memuji Allah ﷻ yang selamatkan mereka dari orang zalim dan dari banjir besar. Masa mereka membuat kapal itu, mereka telah dikutuk dengan hebat sekali. Ini kerana mereka membuat kapal itu di bukit dan di tanah yang kering. Dan mereka bangsa yang tidak pernah membuat kapal dan tidak ada keperluan untuk merentas laut. Walaupun mereka kena kutuk, tetapi Nabi Nuh عليه السلام tetap juga membuatnya.


 

Ayat 29: Ini pula doa apabila hendak turun setelah mereka sekian lama belayar di dalam kapal dan banjir pun sudah surut.

وَقُل رَّبِّ أَنزِلني مُنزَلًا مُّبارَكًا وَأَنتَ خَيرُ المُنزِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, ‘My Lord, let me land at a blessed landing place, and You are the best to accommodate [us].’ “

(MELAYU)

Dan berdoalah: Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik Yang memberi tempat”.

 

وَقُل رَّبِّ أَنزِلني مُنزَلًا مُّبارَكًا

Dan berdoalah: Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati,

Allah mengajar mereka: Doalah supaya Allah ﷻ memberi tempat mendarat yang berkah. Allah mengajar untuk meminta berkah dari Allah ﷻ kerana semua berkat itu hanya dari Allah ﷻ. Mereka disuruh untuk meminta tempat turun yang baik dan yang memberi kebaikan. Supaya di dunia mereka dapat bahagia dan kebaikan itu dapat membawa mereka sampai ke syurga.

Kita juga boleh membaca doa ini apabila sampai di tempat tinggal baru. Mungkin kita berpindah ke tempat yang baru, maka doalah dengan doa yang Allah  ﷻ ajar ini.

 

وَأَنتَ خَيرُ المُنزِلينَ

dan Engkau adalah sebaik-baik Yang memberi tempat”.

Dulu Nabi Adam عليه السلام telah turun dari syurga ke dunia. Dan Nabi Nuh عليه السلام digelar ‘Adam kedua’ kerana keturunan manusia bermula untuk kali kedua dengannya. Dikatakan bahawa keturunan manusia bersambung dengan baginda sahaja kerana sahabat yang lain tidak ada zuriat melainkan Nabi Nuh عليه السلام sahaja. Maka keturunan kita ini semuanya bersambung dengan Nabi Nuh عليه السلام.

Keturunan manusia pertama kali turun dari syurga ke dunia dan kali ini diturunkan keturunan manusia dari kapal pula. Waktu itu air semakin surut maka Nabi Nuh عليه السلام diajar untuk berdoa supaya diturunkan mereka dengan cara yang baik dan diturunkan ke tempat yang baik iaitu tempat yang ada berkah.

Tambahan pula waktu itu hanya ada kawasan pergunungan sahaja (tempat lain masih diliputi dengan air yang sedang menyurut) yang mereka boleh mendarat dan jika tidak diturunkan di tempat yang sesuai, ia akan menyusahkan mereka. Nanti susah pula mencari kehidupan kalau tempat tidak sesuai.

Ada pendapat yang mengatakan nama tempat mereka mendarat itu adalah Bukit Judi. Sampai sekarang tempat itu dicari-cari dan para pengkaji ada sahaja teori tentang hal ini. Tapi kita tidak mahu nak bincangkan di sini.


 

Ayat 30:

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ وَإِن كُنّا لَمُبتَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed in that are signs, and indeed, We are ever testing [Our servants].

(MELAYU)

Sesungguhnya pada (kejadian) itu benar-benar terdapat beberapa tanda (kebesaran Allah), dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi ujian.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ

Sesungguhnya pada (kejadian) itu benar-benar terdapat beberapa tanda

Segala kejadian yang Allah ﷻ jadikan, segala takhwif duniawi yang Allah ﷻ ceritakan kepada kita dalam Qur’an ini adalah tanda-tanda yang Allah ﷻ berikan kepada kita untuk beringat. Kita diingatkan supaya janganlah mengamalkan syirik dan hendaklah mengikut ajaran Rasul. Balasan jika tidak mengikut ajaran Rasul adalah amat bahaya.

 

وَإِن كُنّا لَمُبتَلينَ

dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi ujian.

Allah ﷻ memang memberikan ujian-ujian  yang besar-besar terutama kepada para Nabi dan RasulNya. Bayangkan Nabi Nuh عليه السلام itu sudah diuji berdakwah kepada kaumnya terus menerus selama 950 tahun dan kemudiannya diuji dengan arahan membina kapal, kemudian menghadapi banjir dan sekarang untuk mendarat pun masih ada ujian lagi.

Begitu jugalah dengan kita sebagai Muslim dan lebih-lebih lagi sebagai pendakwah, memang kena sabar menerima ujian. Maka Allah ﷻ beritahu yang para pendakwah memang akan kena ujian, maka janganlah berputus asa apabila diuji. Jangan patah semangat. Terima sahaja ujian itu. Tapi ingatlah yang balasannya amat tinggi. Bila kita sedar perkara ini maka tidaklah kita rasa lelah sangat dengan ujian yang diberikan.


 

Ayat 31: 

ثُمَّ أَنشَأنا مِن بَعدِهِم قَرنًا ءآخَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We produced after them a generation of others.

(MELAYU)

Kemudian, Kami jadikan sesudah mereka umat yang lain.

 

Setelah umat Nabi Nuh عليه السلام dibinasakan (yang tidak ada di atas kapal), maka yang tinggal adalah Nabi Nuh عليه السلام, sahabat yang bersama baginda dan keturunannya. Mereka waktu itu memang mengamalkan tauhid kerana masih segar lagi kisah penghancuran umat kalau menentang ajaran Allah ﷻ.

Tetapi lama kelamaan manusia telah kembali terpesong setelah lama tiada Rasul yang mengingatkan mereka. Maka selepas ini Allah ﷻ menceritakan tentang salah satu kaum yang mengamalkan syirik iaitu Kaum Aad.


 

Ayat 32: Dalil Naqli yang kedua. Iaitu kisah Nabi Hud dan Kaum Aad pula.

فَأَرسَلنا فيهِم رَسولًا مِّنهُم أَنِ اعبُدُوا اللهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ أَفَلا تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We sent among them a messenger¹ from themselves, [saying], “Worship Allāh; you have no deity other than Him; then will you not fear Him?”

  • Prophet Hūd, who was sent to the tribe of ‘Aad.

(MELAYU)

Lalu Kami utus kepada mereka, seorang rasul dari kalangan mereka sendiri (yang berkata): “Sembahlah Allah oleh kamu sekalian, sekali-kali tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya).

 

فَأَرسَلنا فيهِم رَسولًا مِّنهُم

Lalu Kami utus kepada mereka, seorang rasul dari kalangan mereka sendiri

Tidak ada disebutkan nama Rasul selepas Nabi Nuh عليه السلام  dan ini kerana Allah ﷻ hendak memberi isyarat bahawa perkara ini berulang-ulang dan bukan satu Rasul sahaja yang diutus kepada manusia. Sebab kalau disebut nama secara spesifik, maka itu sudah hadkan kisah ini kepada kaum itu sahaja.

Tetapi berkemungkinan besar yang dimaksudkan adalah Kaum Aad dan Rasul mereka adalah Nabi Hud عليه السلام. Baginda dibangkitkan dari kalangan kaum itu sendiri.

 

أَنِ اعبُدُوا اللهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

(yang berkata): “Sembahlah Allah oleh kamu sekalian, sekali-kali tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. 

Sama sahaja dakwah baginda kalau dibandingkan dengan para Rasul yang lain. Berkali-kali ayat sebegini disebut di dalam Qur’an. Dan begitu jugalah yang disebut oleh Nabi Muhammad ‎ﷺ. Dan begitulah yang kita kena sampaikan kepada manusia sebagai seorang pendakwah Muslim.

Memang banyak ajaran dan pesanan dari para Rasul tetapi yang paling utama adalah ajakan kepada umat untuk menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja. Ini kerana tidak ada ilah lain selain Allah. Maka kena sembah Allah ﷻ sahaja dan berdoa kepada Allah ﷻ  sahaja.

 

أَفَلا تَتَّقونَ

Maka mengapa kamu tidak bertakwa

Maka oleh kerana ilah itu hanya Allah ﷻ sahaja, maka kenapakah ramai manusia tidak mahu beriman dan bertaqwa kepada Allah ﷻ sahaja? Ini termasuklah kaum Aad.

Rasul yang disebut dalam ayat-ayat ini bukan sahaja menyeru umat baginda untuk beriman, tetapi  baginda juga mengajak mereka bertaqwa. Dan maksud taqwa itu adalah menjaga hukum Allah ﷻ dalam setiap masa. Maka ini merangkumi banyak perkara.

Antaranya untuk taat kepada hukum Allah ﷻ, maka kenalah tahu apakah arahan dan kehendak Allah ﷻ. Dan perkara ini hanya boleh diketahui dengan belajar wahyu. Maka kerana itulah kita tekankan kepentingan untuk belajar tafsir Qur’an ini. Dan kena ditambah dengan belajar hadis supaya dapat tahu syariat. Ilmu agama ini bukanlah boleh duduk diam sahaja dan jadi pandai. Ia memerlukan usaha dan masa.


 

Ayat 33:

وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ الَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِلِقاءِ الآخِرَةِ وَأَترَفنٰهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يَأكُلُ مِمّا تَأكُلونَ مِنهُ وَيَشرَبُ مِمّا تَشرَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the eminent among his people who disbelieved and denied the meeting of the Hereafter while We had given them luxury in the worldly life said, “This is not but a man like yourselves. He eats of that from which you eat and drinks of what you drink.

(MELAYU)

Dan berkatalah pemuka-pemuka yang kafir di antara kaumnya dan yang mendustakan akan menemui hari akhirat (kelak) dan yang telah Kami mewahkan mereka dalam kehidupan di dunia: “(Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, dia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.

 

وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ

Dan berkatalah pemuka-pemuka antara kaumnya

Pemuka dan pemimpin masyarakat juga yang selalunya akan menentang pembaharuan yang menggugat kedudukan mereka. Begitulah juga dengan Kaum Aad itu. Dan sudah berkali-kali pemuka-pemuka kaum yang menentang Rasul mereka disebut dalam Qur’an.

Perkara ini terjadi zaman berzaman dan bukan hanya kaum selepas Nabi Nuh عليه السلام itu sahaja. Zaman Nabi Muhammad ﷻ begitulah terjadi dan zaman sekarang pun begitulah juga.

 

الَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِلِقاءِ الآخِرَةِ

yang kafir dan mendustakan akan menemui hari akhirat

Salah satu sifat mereka yang menentang itu adalah selalunya mereka itu adalah orang-orang yang Allah ﷻ telah berikan kemewahan dan kedudukan dalam masyarakat kepada mereka. Selalunya apabila Allah ﷻ sudah berikan kekayaan, orang itu akan kurang berfikir tentang agama.

Kalau orang yang hidupnya susah, mereka sudah rasa susah di dunia maka mereka memikirkan cara bagaimana mereka nak senang di akhirat pula. Mereka fikir: Kalau susah di dunia janganlah pula susah di akhirat juga. Maka orang yang susah hidupnya, selalunya senang hendak diajak kepada agama. Tetapi orang yang kaya selalunya susah.

Kerana itu para pemimpin selalunya adalah mereka yang kaya raya juga dan mereka itu menjadi pemimpin kerana hendak menjadi kaya ataupun mereka yang telah kaya dan menjadi pemimpin kerana hendak menjaga kekayaan dan kepentingan mereka. Mereka itu kerana kaya raya, tidak dapat merasa masalah orang-orang miskin dan kerana itu kedudukan mereka itu mereka gunakan untuk menjaga kepentingan orang-orang kaya sahaja.

Begitulah yang terjadi zaman berzaman di dalam dunia ini. Bezakan dengan cara pemerintahan Islam di mana apabila Sayidina Umar رضي الله عنه melantik para pemimpin,  beliau akan mengadakan audit harta-benda mereka sebelum mereka menjadi pemimpin. Dan kemudian setelah mereka tidak menjadi pemimpin akan diaudit sekali lagi harta-benda mereka kerana hendak memastikan mereka tidak mengambil peluang untuk menjadi kaya dengan kedudukan mereka.

Ini kerana Sayidina Umar hendak memastikan mereka ada sama sahaja harta dan tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menambah harta. Kerana mereka duduk di kedudukan mereka adalah kerana mereka berkhidmat untuk manusia, bukannya untuk menambah kekayaan dan harta.

 

ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم

“(Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu,

Ini adalah propaganda yang dikeluarkan oleh golongan yang kaya dan berkuasa itu. Beginilah cara pemuka masyarakat yang kufur itu menentang para Rasul. Mereka kata Rasul itu adalah manusia biasa sahaja, tidak lebih dari mereka. Ada kulit sama macam manusia sahaja, maka tidaklah perlu diikuti.

 

يَأكُلُ مِمّا تَأكُلونَ مِنهُ وَيَشرَبُ مِمّا تَشرَبونَ

dia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.

Mereka berhujah yang Rasul itu makan sama macam manusia biasa juga. Minum pun macam manusia sahaja. Maka kenapa mereka jadi Rasul pula? Kalau benar mereka Rasul, takkan sama sahaja dengan kita? Kalau benar mereka itu Rasul, patut kenalah lain dari kita, bukan?

Jadi begitulah manusia yang menentang kebenaran apabila disampaikan kepada mereka dan mereka tidak boleh terima. Mereka akan melihat kepada siapa yang menyampaikan, bukan lihat pada mesej yang dibawa.

Kalau zaman sekarang, mereka akan melihat kepada pendakwah dan kutuk pendakwah itu kerana manusia biasa sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 September 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Mukminoon Ayat 28 – 33 (Penurunan yang berkat)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s