Ayat 38: Allah ﷻ memberitahu ada dua golongan kelak. Ayat ini hingga ke hujung surah ini adalah Perenggan Makro Ketujuh. Allah ﷻ menceritakan balasan baik dan buruk yang akan diberikan kepada manusia.
وُجوهٌ يَومَئِذٍ مُسفِرَةٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Some] faces, that Day, will be bright –
(MALAY)
Ada muka pada hari itu berseri-seri,
Ini adalah keadaan muka beberapa orang iaitu mukminin. Muka orang-orang beriman pada hari itu akan tersenyum kegembiraan.
Maksud سفِرَةٌ (safarah) adalah ‘dibuka’, ‘ditunjukkan’. Iaitu sesuatu yang tertutup, kemudian dibuka. Maknanya merujuk kepada senyuman orang-orang beriman itu yang ‘dibuka’. Mungkin semasa di dunia kehidupan mereka hidup dalam keadaan yang payah dan senyuman mereka ‘tertutup’.
Tetapi pada hari pembalasan ini senyuman mereka dibuka. Allah ﷻ ‘buka’ kesusahan mereka itu. Tidak ada kesusahan di akhirat untuk mereka, hanya nikmat sahaja.
Tentu kita mahu sekali supaya wajah kita pun bergembira pada hari itu, bukan? Kalau begitu, hendaklah kita menjalani kehidupan kita seperti orang mukmin juga. Barulah dapat kelebihan itu.
Ayat 39:
ضاحِكَةٌ مُستَبشِرَةٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Laughing, rejoicing at good news.
(MALAY)
tertawa dan bergembira ria,
Kalimah ضاحِكَةٌ bermaksud ketawa yang tidak terkawal, sampai gigi gusi pun nampak, siap berbunyi lagi. Mukminin akan tertawa lagi bersukaria dengan berita gembira yang diberikan kepada mereka yang mereka akan dimasukkan dalam syurga.
Mereka gembira sangat kerana mereka mendapat balasan yang baik. Kegembiraan mereka terserlah pada wajah mereka. Alangkah beruntungnya mereka! Semoga kita termasuk dalam golongan ini hendaknya… aameen.
Kalimah مُستَبشِرَةٌ maksudnya penuh gembira kerana berita gembira yang diberikan kepada seseorang. Kalimat مُستَبشِرَةٌ berasal dari kalimat بشِرَ yang bermaksud ‘kulit’. Oleh itu, kalimat istibshar bermaksud gembira sangat sampai nampak kegembiraan pada kulitnya (terutama kulit muka).
Ayat 40: Tadi tentang orang mukmin, sekarang tentang mereka yang kafir dan fasik.
وَوُجوهٌ يَومَئِذٍ عَلَيها غَبَرَةٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [other] faces, that Day, will have upon them dust.
(MALAY)
dan banyak (pula) muka pada hari itu tertutup debu,
Kalimah غَبَرَةٌ bermaksud debu yang terbang di angin dan akhirnya melekat pada sesuatu dan susah untuk dibersihkan. Sebagai contoh, kalau melekat pada rambut, wajah dan baju kita, susah untuk dibersihkan.
Oleh itu, ada orang yang muka mereka penuh berdebu, maksudnya isyarat yang muka mereka nampak kotor tidak berseri. Ini kerana mereka telah mendengar berita buruk yang diberikan kepada mereka. Tentunya muka orang yang berdebu tidak menarik langsung. Mereka kesedihan yang amat sangat kerana kesusahan pada hari itu dan ketakutan yang mereka sedang alami.
Digunakan isyarat muka dalam ayat ini kerana kalau hina pada muka adalah penghinaan yang paling besar dalam Bahasa Arab dan Allah ﷻ gunakan cara itu untuk mereka. Supaya Musyrikin Mekah tahu betapa hinanya mereka nanti di akhirat kalau mereka tidak ubah perangai mereka dan masih menentang dakwah tauhid.
Ayat 41:
تَرهَقُها قَتَرَةٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Blackness will cover them.
(MALAY)
dan ditutup lagi oleh kegelapan.
Mereka juga akan diliputi pula dengan hitam legam dan gelap gelita. رهَقُ bermaksud sesuatu yang membayangi sesuatu dengan cara kuat. Maknanya kegelapan itu akan menguasai mereka. Mereka tidak boleh buat apa-apa lagi.
Sementara قَتَرَةٌ pula bermaksud asap yang di atas kayu yang terbakar. Ianya adalah asap yang hitam. Mereka akan dinaungi dan diselubungi oleh asap hitam itu.
Ayat 42: Siapakah mereka yang akan menghadapi nasib malang ini?
أُولٰئِكَ هُمُ الكَفَرَةُ الفَجَرَةُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those are the disbelievers, the wicked ones.
(MALAY)
Mereka itulah orang-orang kafir lagi durhaka.
Mereka yang kena itu adalah orang yang kufur dan kufur itu pula dengan nyata. الفَجَرَةُ bermaksud ‘terang terangan’. Mereka kufur dengan cara yang ganas. Seperti fajar yang memecah kegelapan malam. Maknanya mereka bukan sahaja berbuat dosa, tetapi buat dengan terang-terangan.
Kerana ada juga orang yang buat dosa, tetapi buat senyap-senyap. Maknanya golongan الفَجَرَةُ itu adalah jenis tidak malu dan tidak takut pun dengan buat dosa. Macam juga puak Habib yang buat Majlis Maulid yang bid’ah itu terang-terangan, menyeru-nyeru Nabi ﷺ terang-terangan, sampai penuh stadium. Mereka terkinja-kinja buat perangai yang tidak elok, memalukan umat Islam. Kalau kita tegur, lagi besar mereka buat. Mereka tidak takut buat perkara bidaah itu kerana mereka tidak sangka yang ianya salah.
Mereka yang dahulunya rasa cukup di dunia ini akan merasa takut dan sedih. Tetapi mereka yang takut kepada Allah ﷻ dan ingat hari akhirat, mereka akan bergembira.
Allahu a’lam. TAMAT SURAH ABASA. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Takweer.
Kemaskini: 25 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain