Tahreem Ayat 6: Sekarang ayat ini ditujukan untuk semua orang pula. Ini adalah ayat yang berat dalam Al-Qur’an. Ayat 6 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ﷻ mengajar kita untuk mengambil perhatian kepada urusan ahli keluarga sebagaimana dia menjaga dirinya sendiri.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, protect yourselves and your families from a Fire whose fuel is people and stones, over which are [appointed] angels, harsh and severe; they do not disobey Allāh in what He commands them but do what they are commanded.
(MELAYU)
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang yang beriman,
Dengarlah semua wahai orang-orang yang mengaku beriman. Dengar dan amalkanlah.
قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا
peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka
Allah ﷻ mengajar kita dalam ayat ini yang setiap orang mempunyai tanggungjawab kepada orang lain. Sebelum ini kita telah belajar kisah rumahtangga Rasulullah ﷺ; tetapi kita juga ada rumahtangga kita sendiri, bukan? Kita bukanlah hanya bertanggungjawab ke atas diri kita sahaja, tetapi ada tanggungjawab ke atas orang lain, iaitu keluarga yang berada dalam jagaan kita. Maka, arahan ini ditujukan terutamanya kepada para suami dan bapa. Kita mestilah selamatkan mereka daripada api neraka dengan sedaya upaya kita.
Qatadah mengatakan bahawa engkau perintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan engkau cegah mereka daripada perbuatan derhaka terhadap-Nya. Dan hendaklah engkau tegakkan terhadap mereka perintah Allah dan engkau anjurkan mereka untuk mengerjakannya serta engkau bantu mereka untuk mengamalkannya.
Dan apabila engkau melihat dalam kalangan mereka terdapat suatu perbuatan maksiat terhadap Allah, maka engkau harus cegah mereka daripadanya dan engkau larang mereka melakukannya.
Hal yang sama telah dikatakan oleh Ad-Dahhak dan Muqatil, bahawa sudah merupakan suatu kewajipan bagi seorang Muslim mengajarkan kepada keluarganya—baik dalam kalangan kerabatnya ataupun budak-budaknya — hal-hal yang difardukan oleh Allah dan mengajarkan kepada mereka hal-hal yang dilarang oleh Allah yang harus mereka jauhi.
Semakna dengan ayat ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, dan Imam Turmuzi melalui hadith Abdul Malik ibnur Rabi’ ibnu Sabrah, daripada ayahnya, daripada datuknya yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلَاةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ، فَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا”
Perintahkanlah kepada anak untuk mengerjakan solat apabila usianya mencapai tujuh tahun; dan apabila usianya mencapai sepuluh tahun, maka pukullah dia kerana meninggalkannya.
Api neraka itu amat menakutkan. Maka lakukanlah semampu kita untuk menyelamatkan diri kita dan bukan sahaja untuk selamatkan diri sendiri sahaja, tetapi cubalah selamatkan ahli keluarga juga. Kita kena ada usaha.
Selalunya apabila kita disuruh untuk menyelamatkan diri daripada sesuatu, ia menunjukkan yang kita ada kemungkinan akan dikenakan dengan perkara tersebut. Di sini ia bermaksud kita orang Islam berkemungkinan juga akan dimasukkan ke dalam neraka. Akan tetapi ayat ini ditujukan kepada orang Islam dan bukannya kepada orang-orang kafir, bukan? Kenapakah ada nasihat tentang neraka pula?
Oleh sebab itu, ini memberi isyarat kepada kita bahawa orang-orang Islam belum tentu selamat lagi daripada api neraka. Jangan kita berangan yang apabila kita ini orang Islam, kita pasti selamat. Tidak sama sekali. Tidak ada sesiapa yang pasti selamat lagi. Maka kenalah ada usaha untuk menyelamatkan diri kita.
Ini meletakkan kita pada tempatnya (sedar diri sikit) iaitu kita kena sedar bahawa kita dan ahli keluarga kita belum tentu selamat lagi daripada api neraka. Oleh itu kita kena berusaha untuk menyelamatkan diri kita kerana jikalau kita tidak buat apa-apa, maka kita akan masuk ke dalam neraka.
Dan Allah ﷻ menyuruh kita menyelamatkan diri kita dahulu kerana jikalau kita tidak menyelamatkan diri kita maka tentu kita tidak boleh menyelamatkan ahli keluarga kita. Sebagaimana sebelum pesawat berlepas, kita sering diingatkan oleh kru kabin untuk mengenakan topeng oksigen untuk diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum mengenakannya kepada orang lain contohnya anak kita sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Selamatkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyelamatkan diri orang lain kerana kalau kita terus berikan topeng oksigen kepada anak kita kerana kita sayangkan dia tetapi kita tidak pula tidak cukup oksigen dan pengsan pula, bagaimana mahu selamatkan anak kita?
Malangnya kadang-kadang kita tahu ada ibu bapa yang menghantar anaknya ke Sekolah Agama supaya anaknya boleh menjadi baik dan kenal agama sedikit. Memang perbuatan itu elok tetapi dia sendiri tidak tahu apa-apa pun tentang agama. Ada yang hantar anak dan tunggu sahaja di luar. Bukan mahu mendengar apa yang diajar di dalam pun.
Maka di dalam hal ini kita kena pentingkan diri sendiri juga di mana kita kena pastikan yang kita selamat dahulu dan jangan sibuk tentang hal orang lain sahaja. Kerana kalau hal kita sendiri pun tidak selesai maka bagaimana kita hendak sibuk bagi nasihat kepada orang lain?
Para sahabat telah bertanya dengan Nabi ﷺ bagaimana cara untuk menyelamatkan diri daripada api neraka dan baginda menjawab dengan mengajar agama. Maka kita kena ajar agama kepada keluarga kita. Kita sendiri kenalah belajar agama terlebih dahulu. Menyelamatkan diri itu pertamanya dengan belajar agama dengan fahami wahyu.
Ibu bapa kena tahu tentang agama dan mahir menyampaikan kepada mereka sehingga boleh bercakap kepada anak-anaknya tentang agama dan memberi nasihat kepada mereka. Dan ini dimulai dengan seorang suami mengajar kepada isterinya. Dan perkara ini bukannya perlu dibuat di dalam bentuk ceramah kepada anak isteri tetapi hendaklah disebut dalam keadaan santai sahaja seperti ketika sedang makan ataupun tengah berjalan-jalan atau pun tengah bersembang-sembang. Selitkan pelajaran agama dalam kehidupan kita.
Maka ibu bapa hendaklah menjaga akhlak dan juga agama mereka kerana anak-anak bukannya tidak nampak apa yang mereka lakukan. Jikalau kita hanya memberi nasihat sahaja tetapi kita tidak mengamalkannya, maka ia akan menjadi sesuatu yang tidak bererti kepada anak-anak itu dan mereka pun tidak mahu ikut. Jika kita mahukan anak-anak suka membaca Al-Qur’an, maka kenalah kita sendiri selalu baca Al-Qur’an di hadapan mereka, bukan?
Nota: ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk melakukan Majlis Tahlil. Kononnya majlis sedekah pahala itu boleh menyelamatkan si mati dari neraka. Dalil yang sebenar memang tidak ada, maka mereka terpaksa cedok mana-mana ayat Al-Qur’an yang boleh dipusing menjadi dalil untuk membuat perkara bid’ah. Namun kita yang belajar wahyu ini tahu yang tidak ada dalil langsung untuk mengadakan Majlis Tahlil yang bid’ah itu.
Sebenarnya bagaimana hendak menyelamatkan diri kita dan ahli keluarga kita daripada api neraka? Ringkasnya adalah dengan mengikut arahan Allah ﷻ dan meninggalkan larangan Allah ﷻ semua sekali. Dan asasnya adalah ilmu. Maka kena belajar agama berlandaskan wahyu dan ajarkanlah wahyu kepada ahli keluarga.
وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ
yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;
Sekarang Allah ﷻ menakutkan kita dengan neraka pula. Allah ﷻ memberitahu kita serba sedikit gambaran neraka supaya kita boleh bayangkan sedikit.
Kita mahu supaya ahli keluarga kita selamat daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batu. Dan apabila Allah ﷻ sebut manusia dahulu sebelum disebut ‘batu’, maksudnya lebih banyak manusia daripada batu yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Maka ini amat menakutkan sekali.
Manusia dibakar dalam neraka seperti kita membakar sampah yang tidak ada harga dan nilai. Oleh kerana manusia juga menjadi bahan bakar dalam neraka, maka semakin ramai ahli dalam neraka, semakin panas keadaan dalam neraka. Kerana itu ahli neraka tidak suka apabila ada ahli neraka baru. Kerana lagi ramai, lagi panas.
{إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ}
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan Jahanam. [ Al-Anbiya: 98 ]
Apabila diberitahu yang batu itu menjadi bahan bakar, maka kita dapat tahu yang api itu sangatlah panas sampaikan batu pun boleh terbakar. Oleh itu, kita kena ada usaha untuk menyelamatkan anak isteri kita kerana kita tentu tidak mahu ahli keluarga kita dibakar dalam api neraka, bukan?
عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ
penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras,
Allah ﷻ takutkan kita lagi dengan memberitahu sifat malaikat-malaikat penjaga Neraka itu. Neraka itu dijaga oleh para malaikat yang garang dan mereka tidak ada perasaan belas kasihan kepada ahli neraka. Maka mereka tidak kisah untuk menyeksa ahli neraka itu dan kalau ahli neraka merayu apa saja pun mereka tidak akan terkesan.
Ini adalah kerana mereka lebih taat kepada Allah ﷻ. Mereka tidak boleh ada belas kasihan lagi kerana di dalam neraka itu adalah tempat azab. Dan tugas mereka adalah untuk mengazab ahli neraka maka takkan mereka akan tinggalkan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allah ﷻ itu?
لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم
dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka
Dan para malaikat itu taat kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ telah beri arahan kepada mereka untuk menyeksa ahli neraka, maka mereka pasti akan melakukannya tanpa lengah dan tanpa belas kasihan. Mereka tidak akan ingkar dengan arahan yang telah diberikan kepada mereka. Maka jangan harap ada sesiapa lagi yang akan kasihan kepada kita.
Kalau ada penjara di dunia, mungkin ada warden penjara yang agak-agak kasihan kepada banduan dalam penjara. Namun begitu jangan ada pengharapan ini di dalam neraka kerana kalau ada, maka akan jadi sia-sia sahaja. Maka untuk selamatkan diri kita adalah semasa di dunia lagi, bukannya mahu mencuba nasib di akhirat kelak.
وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.
Malaikat itu akan tetap menyeksa ahli neraka. Kalau seganas-ganas tentera yang paling ganas di dunia seperti Tentera Israel pun, masih ada yang tidak boleh terus menyeksa para tawanan kerana mereka masih ada sifat kemanusiaan lagi. Kerana itu kita selalu dengar ada tentera Israel yang membocorkan rahsia perbuatan kejam rejim Zionis.
Namun begitu jangan harap ada para malaikat itu ada sifat kemanusiaan kerana mereka bukan manusia pun. Mereka akan tetap jalankan tugas mereka menyeksa ahli neraka.
Tahreem Ayat 7: Ayat Takhwif Ukhrawi
يٰأَيُّهَا الَّذينَ كَفَروا لا تَعتَذِرُوا اليَومَ ۖ إِنَّما تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have disbelieved, make no excuses that Day. You will only be recompensed for what you used to do.
(MELAYU)
Hai orang-orang kafir, janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ كَفَروا
Hai orang-orang kafir,
Ini adalah satu-satunya ayat di dalam Al-Qur’an yang Allah ﷻ bercakap terus kepada orang-orang kafir. Tidak seperti di dalam ayat-ayat Al-Qur’an lain yang apabila bercakap kepada orang kafir, Allah ﷻ akan suruh Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang cakapkan.
Ini nampak seperti iltifad (perubahan orang yang dihadap bercakap) kerana ayat sebelumnya Allah ﷻ bercakap kepada orang beriman dan ayat selepasnya Allah ﷻ bercakap kepada orang beriman kembali dan tiba-tiba pada ayat ini ada penukaran di mana Allah ﷻ bercakap dengan orang kafir pula. Namun sebenarnya Allah ﷻ bercakap kepada orang yang sama sahaja. Cuma sekarang Allah ﷻ bercakap dengan keras kerana terus panggil mereka sebagai ‘orang kafir’ sahaja.
Maka mereka ini sebenarnya adalah orang Islam yang tidak berjaya melepaskan diri mereka daripada api neraka ataupun setelah diberikan nasihat mereka tetap juga tidak mengambil pengajaran. Mereka sekarang berada di dalam neraka dan waktu itu Allah ﷻ bercakap dengan mereka dengan gelaran ‘orang kafir’ terus. Kerana kalau sudah masuk di dalam neraka takkan hendak digelar orang beriman lagi?
Apa yang Allah ﷻ kata kepada mereka?
لا تَعتَذِرُوا اليَومَ
janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini.
Ayat ini dikatakan kepada orang-orang Islam yang dimasukkan ke dalam neraka dan waktu itu mereka supaya tidak dibenarkan untuk memberi alasan lagi. Mereka akan cuba untuk menyelamatkan diri mereka dengan memberi berbagai-bagai alasan dan hujah, tetapi Allah ﷻ beritahu yang waktu itu hujah dan alasan mereka tidak laku langsung.
Allah ﷻ menolak percubaan mereka untuk menyelamatkan diri dengan alasan. Allah ﷻ berkata: jangan buang masa beri alasan kamu.
إِنَّما تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ
Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.
Antara alasan yang cuba diberikan nanti adalah mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama di dunia itu salah. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ hendak memberitahu yang alasan itu tidak boleh diterimapakai kerana Allah ﷻ telah memberi nasihat di dalam Al-Qur’an dan telah diajar dalam sunnah.
Semua itu telah ada dan kalau ada manusia yang tidak mengamalkannya, itu adalah salah mereka kerana tidak belajar dan mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an. Maka ini adalah ancaman keras kepada manusia yang mengaku Muslim tetapi tidak mengamalkan amalan Islam seperti yang sepatutnya.
Di sini ditekankan yang kita hanya dikenakan balasan atas amalan yang kita buat sendiri, bukan atas amalan orang lain.
Habis Ruku’ 1 dari 2 ruku’ dalam surah ini.
Tahreem Ayat 8:
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا توبوا إِلَى اللَّهِ تَوبَةً نَّصوحًا عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُكَفِّرَ عَنكُم سَيِّئَاتِكُم وَيُدخِلَكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ يَومَ لا يُخزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ ۖ نورُهُم يَسعىٰ بَينَ أَيديهِم وَبِأَيمٰنِهِم يَقولونَ رَبَّنا أَتمِم لَنا نورَنا وَاغفِر لَنا ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, repent to Allāh with sincere repentance. Perhaps¹ your Lord will remove from you your misdeeds and admit you into gardens beneath which rivers flow [on] the Day when Allāh will not disgrace the Prophet and those who believed with him. Their light will proceed before them and on their right; they will say, “Our Lord, perfect for us our light and forgive us. Indeed, You are over all things competent.”
- i.e., it is expected or promised.
(MELAYU)
Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang yang beriman,
Di dalam ayat sebelum ini adalah ayat yang mengejutkan kerana orang-orang Islam yang tidak aktif menyelamatkan diri mereka daripada api neraka akan dimasukkan ke dalam neraka; dan mereka akan dipanggil dengan panggilan “orang-orang kafir!”.
Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ mengajar kepada mereka yang terkejut supaya bertaubat kepada-Nya dan hendaklah mengubah cara hidup mereka. Jangan terus berada dalam kegelapan kejahilan dan ditipu oleh kehidupan dunia sahaja. Bukankah kamu mengaku yang kamu sekarang orang beriman? Maka beramallah seperti orang beriman. Kena lihat apa yang perlu dilakukan kalau kamu betul-betul orang beriman.
توبوا إِلَى اللَّهِ تَوبَةً نَّصوحًا
bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya).
Sebentar tadi telah diseru orang beriman, dan sekarang disuruh bertaubat kepada Allah ﷻ. Ini mengajar kita yang orang beriman pun ada juga dosa, bukan tidak ada. Maka hendaklah selalu bertaubat kepada Allah ﷻ, iaitu dengan mengubah diri kita. Kalau dulu membuat dosa, tinggalkan dosa. Kalau dulu tidak belajar, maka hendaklah mula belajar.
Kita selalu dengar kalimat ‘Taubat Nasuha’ dan sekarang kita sudah jumpa ayat tentangnya. ‘Taubat Nasuha’ itu ringkasnya adalah ‘taubat yang ikhlas’. Kerana bukan semua taubat itu ikhlas, bukan? Ada yang dilakukan sambil lewa sahaja.
Dari segi bahasa, kalimah نصح bererti sesuatu yang bersih atau murni (tidak bercampur dengan sesuatu yang lain). Sesuatu disebut (الناصح) (an-naashih), jika sesuatu tersebut tidak bercampur atau tidak bercampur dengan sesuatu yang lain, misalnya madu murni atau sejenisnya. Di antara turunan kata نصح adalah النصيحة (an-nashiihah). (Lihat Lisaanul ‘Arab, 2/615-617).
Ada tiga syarat untuk mendapat Taubat Nasuha ini:
1. Betul-betul menyesal kerana telah melakukan kesalahan dosa sebelum itu. Mesti menyesali perbuatan itu kerana telah ingkar dengan Allah ﷻ. (bukan kerana perbuatan itu membuang masa dan membuang duit). Maknanya dia sudah menjadi benci kepada perbuatan dosa yang dulu dia suka lakukan.
2. Berazam tidak akan mengulangi sampai bila-bila lagi dosa-dosa itu kerana kalau ada lagi keinginan hendak buat lagi, maka itu taubat yang main-main sahaja.
3. Dari segi perbuatan, hendaklah terus berhenti serta-merta daripada membuat dosa-dosa itu lagi. Jangan lengahkan lagi. Jangan tunggu masa yang ‘sesuai’ kononnya.
Selain daripada tiga syarat ini, ditambah satu lagi syarat: jikalau dosa itu ada hubungan kesalahan dengan hamba yang lain, maka mesti minta maaf dengan orang itu. Dan kalau ada barang mereka yang telah diambil atau curi, maka kena pulangkan semula. Jika barang itu telah hilang atau telah dipakai/dimakan, maka hendaklah diganti.
Saidina Ali رضي الله عنه pula senaraikan 6 perkara untuk Tauba Nasuhat:
1. Menyesal dengan perbuatan dosa yang dahulu
2. Kembali taat dalam ibadah yang ditinggalkan
3. Memperbetulkan hak yang telah diambil
4. Meminta maaf kepada orang yang telah dizalimi
5. Berazam untuk meninggalkan dosa itu
6. Terus berada dalam taat kepada suruhan Allah ﷻ
Satu lagi sifat Taubat Nasuha ialah ia adalah satu perbuatan taubat yang mengubah diri seseorang. Ini kerana maksud ‘nasuha’ itu ada elemen ‘ikhlas’ di dalamnya. Kerana itulah maksud ‘nasihat’ sebenarnya adalah ‘ikhlas’.
Bagaimana pula ia membawa maksud ikhlas? Kita mungkin agak-agak faham maksud nasihat, bukan? Dan kita pun pernah dengar hadith yang berbunyi الدِّينُ النَّصِيحَةُ (agama itu adalah nasihat). Namun bagaimana pula dengan sambungan hadith tersebut: النَّصِيحَةُ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ (Agama itu ialah nasihat kepada Allah ﷻ, kepada Rasul-Nya, dan kepada pemimpin-pemimpin orang-orang Islam dan kepada orang awam). Kalau nasihat kepada pemimpin dan orang awam, kita boleh faham bab nasihat itu tetapi bagaimana ‘nasihat’ kepada Allah ﷻ dan Rasul pula? Itulah makna asal nasihah adalah ‘ikhlas’.
Maka Taubat Nasuha adalah taubat yang serius, bukan main-main. Oleh kerana itu satu lagi maksud ‘Taubat Nasuha’ adalah selepas kita bertaubat, kita membaiki diri kita menjadi lebih baik, sampaikan menjadi ‘nasihat’ kepada orang lain. Orang lain lihat kita pun mereka teringin mahu ikut menjadi baik.
Kita kena selalu bertaubat kepada Allah ﷻ kerana kita sebagai manusia memang akan ada membuat salah. Ini biasa sahaja tetapi pelaku kesilapan yang baik adalah mereka yang bertaubat. Rasulullah ﷺ bersabda:
كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
“Seluruh anak Adam berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat.”
(HR Ibnu Majah (4241), dihasankan oleh Syeikh Al-Albani)
عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُكَفِّرَ عَنكُم سَيِّئَاتِكُم
Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu
Selalulah bertaubat, mudah-mudahan Allah ﷻ akan memaafkan semua dosa kita. Dikatakan ‘mudah-mudahan’ kerana mungkin kita belum bertaubat lagi dan mungkin kita telah bertaubat tetapi taubat itu taubat yang tidak ikhlas dan main-main sahaja (maka tidak diterima lagi oleh Allah ﷻ). Allah ﷻ tidak wajib menerima taubat kita, ia terpulang kepada-Nya untuk terima atau tidak.
Atau mungkin ada orang yang walaupun telah bertaubat tetapi kemudian dia mengulang kembali dosa yang sama. (Dia memang berniat dan ikhlas bertaubat, tetapi malangnya dia gagal di kemudian hari). Maka kerana itu Allah ﷻ tidak berikan janji yang dosa itu akan pasti diampunkan. Kerana tidak semestinya semua taubat akan diterima. Ada yang masih lagi melakukan dosa yang sama (kerana kita ini sememangnya manusia yang lemah).
Namun jangan berputus asa dalam bertaubat. Walaupun masih melakukan dosa yang sama, jangan putus asa bertaubat. Jangan tertipu dengan syaitan dalam hal ini seperti ramai orang yang tertipu. Syaitan akan hasut kita (“Kamu asyik buat dosa yang sama sahaja, baik jangan bertaubat! Kau ingat Tuhan nak terima ke taubat kau yang banyak kali ni?”) Jangan termakan dengan hasutan syaitan ini, kerana syaitan memang tidak suka kita bertaubat.
Oleh hal yang demikian, tidaklah wajib Allah ﷻ mengampunkan dosa kita. Ia adalah hak Allah ﷻ. Maka, jangan buat dosa dan dalam hati kita berkata: “alaah… nanti aku taubat lah”. Ini bahaya kerana tidak pasti Allah ﷻ akan ampunkan.
Salah faham dalam sesetengah orang yang berkata: kalau bertaubat, Allah ﷻ pasti terima. Ini tidak benar kerana kita tidak pasti sama ada taubat kita diterima atau tidak. Maka kita kenalah selalu bertaubat dan selalu berharap Allah ﷻ terima taubat kita itu. Kena berharap betul-betul dan takut kalau-kalau Allah ﷻ tidak terima taubat kita. Jadi kita berharap dalam keadaan takut.
Jangan tinggalkan taubat walaupun kita melakukan dosa yang sama setiap kali. Jangan putus asa dengan rahmat Allah ﷻ. Jangan kita ragu-ragu dengan Allah ﷻ sampai kita tidak taubat pula.
Yang penting, kita teruskan bertaubat. Kalau bertaubat, mungkin Allah ﷻ terima dan mungkin tidak. Tetapi kalau tidak bertaubat langsung, memang langsung lah Allah ﷻ tidak terima, bukan?
وَيُدخِلَكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
dan memasukkanmu ke dalam taman yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,
Mudah-mudahan Allah ﷻ terima taubat kita dan kerana kita tidak ada dosa lagi, maka itu menyebabkan Allah ﷻ masukkan kita ke dalam syurga. Inilah motivasi bagi kita untuk bertaubat. Sebab kita kena takut sangat dengan neraka itu dan hendak sangat masuk syurga.
Dan sebagai motivasi lagi, Allah ﷻ berikan perumpamaan syurga itu. Akan ada sungai di bawah istana syurga. Dan ini adalah motivasi yang hebat dan selalu disebut dalam Al-Qur’an kerana manusia memang suka tinggal di kawasan ada air. Sebab itu ada yang suka duduk di kawasan pantai, di tasik; dan ramai yang suka pergi berkelah di sungai dan air terjun.
Tambah hebat lagi kalau rumah itu ada air di dalamnya (atau rumah di atas air). Maka Allah ﷻ beritahu yang rumah di syurga amat hebat sampaikan ada ‘sungai’ di dalamnya. Dan sungai-sungai itu berjenis-jenis pula sebagaimana disebut dalam ayat yang lain.
يَومَ لا يُخزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ
pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersamanya;
Allah ﷻ cerita lagi kelebihan di akhirat kelak bagi orang yang mukmin. Allah ﷻ beritahu yang di Mahsyar nanti Allah ﷻ tidak malukan Nabi ﷺ dan mereka yang bersama dengan baginda ﷺ. Dan yang ‘bersama’ dengan baginda ﷺ adalah mereka yang meneruskan tugas Nabi ﷺ iaitu menjalankan kerja dakwah.
Kalimah مع (bersama) digunakan di dalam ayat ini kerana ada orang yang mengaku beriman dengan agama Allah ﷻ dan beriman dengan Rasul, tetapi mereka tidak berterusan mengamalkan ajaran Rasulullah ﷺ maka mereka tidak termasuk dalam golongan ini. Mereka tidaklah ‘bersama’ dengan Rasulullah ﷺ. Kalau ingin bersama dengan Rasulullah ﷺ, maka hendaklah ada usaha untuk berdakwah dan menegakkan agama ini di atas muka bumi. Tentunya dengan menjalankan kerja dakwah.
Apabila Rasul dan pengikutnya tidak dihinakan, maka ini mengajar kita yang ada orang yang akan dihinakan iaitu golongan kafir dan golongan munafik. Namun apakah maksud dihinakan? Dihinakan itu adalah dengan dimasukkan ke dalam neraka dan diberikan azab. Kita telah lihat sebelum ini disebut mereka dibakar seperti sampah sahaja dalam neraka. Dimasukkan ke dalam neraka adalah satu penghinaan seperti disebut dalam Ali Imran: 192
رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya
نورُهُم يَسعىٰ بَينَ أَيديهِم وَبِأَيمٰنِهِم
cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka,
Allah ﷻ terus menceritakan keadaan di Titian Sirat nanti. Ia adalah satu tempat ujian yang amat hebat dan kita amat memerlukan bantuan semasa di Sirat itu.
Semasa berjalan di atas Sirat itu, waktu itu keadaan sangat gelap dan mereka yang ada cahaya sahaja boleh melintas. Sebagaimana dalam kegelapan malam, tentu kita susah untuk berjalan kerana kita tidak nampak jalan dan tidak nampak halangan. Di akhirat, tentu keadaan lebih gelap lagi. Maka tentu akan memerlukan ‘lampu suluh’. Oleh kerana itu kena ada cahaya di hadapan untuk menunjukkan jalan bagi kita.
Inilah yang diberikan kepada orang mukmin. Dan cahaya mereka itu bergantung kepada amal-amal mereka semasa di dunia. Semakin banyak amal, maka semakin bercahaya dan besar cahaya mereka itu. Kerana itu disebut ada cahaya di sebelah kanan, kerana ia memberi isyarat kepada amal kebaikan yang mereka lakukan. Ada juga pendapat yang mengatakan cahaya di kanan itu merujuk kepada pahala infaq. Ada juga pendapat yang mengatakan cahaya di kanan itu kerana kita menerima kitab amalan kita di tangan kanan.
Orang Islam akan diberikan cahaya tetapi orang munafik akan ditarik cahaya daripada mereka dan mereka akan berada dalam kegelapan. Namun mereka ada usaha hendak mendapatkan cahaya itu. Seperti disebut dalam Hadid: 13, mereka mengejar-ngejar orang mukmin untuk berkongsi cahaya orang mukmin itu, tetapi mereka akan ditinggalkan juga.
يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ لِلَّذينَ ءآمَنُوا انظُرونا نَقتَبِس مِن نّورِكُم قيلَ ارجِعوا وَراءَكُم فَالتَمِسوا نورًا فَضُرِبَ بَينَهُم بِسورٍ لَّهُ بابٌ باطِنُهُ فيهِ الرَّحمَةُ وَظٰهِرُهُ مِن قِبَلِهِ العَذابُ
Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian daripada cahayamu”. Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)”. Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada seksa.
Apabila orang mukmin nampak cahaya orang-orang munafik ditarik daripada mereka, maka mereka terus berdoa kepada Allah ﷻ:
يَقولونَ رَبَّنا أَتمِم لَنا نورَنا
sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami
Ini adalah doa orang mukmin yang sudah ada cahaya. Mereka telah ada cahaya tetapi mereka tetap berdoa kepada Allah ﷻ supaya cahaya itu diteruskan kepada mereka sampai mereka tiba ke syurga. Ini kerana mereka nampak yang cahaya orang-orang munafik ditarik daripada mereka. Orang beriman takut cahaya mereka ditarik seperti telah ditarik cahaya orang-orang munafik.
Atau, cahaya mereka itu sedikit sahaja kerana amal mereka tidak banyak semasa di dunia. Ya memang ada cahaya, tetapi sedikit sahaja. Sebagai contoh, hanya ada di kaki sahaja, jadi tidak nampak jalan di hadapan sangat.
وَاغفِر لَنا
dan ampunilah kami;
Dan mereka juga berdoa kepada Allah ﷻ semoga dosa-dosa mereka diampunkan kerana cahaya itu boleh dihilangkan kerana dosa yang mereka pernah lakukan. Dan jikalau Allah ﷻ ampunkan maka cahaya itu akan berterusan.
إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.
Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia hendak. Jadi kita mestilah mengiktiraf kekuasaan Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ hendak membuat apa-apa sahaja, kita tidak dapat hendak menghalangnya. Maka kita berharap kepada ehsan Allah ﷻ sahaja. Sentiasalah berdoa dan berharap kepada Allah ﷻ di dunia dan juga di akhirat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 15 Ogos 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an
Maulana Asri