Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 4] (Bukan Jalan Orang yang Sesat)

وَلَا الضَّالِّينَ

Dan bukan jalan orang yang sesat;

 

Mungkin ada yang kata dalam Al-Qur’an banyak ayat-ayat yang mengatakan Allah yang menyesatkan manusia. Kenapa begitu? Adakah Allah yang bersalah kerana Dia yang menyesatkan manusia?

Allah menyesatkan orang yang sesat itu kerana mereka sendiri yang menjauhkan diri dari kebenaran. Ini seperti yang Allah sebut dalam Baqarah:26

وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَيَقولونَ ماذا أَرادَ اللهُ بِهٰذا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثيرًا وَيَهدي بِهِ كَثيرًا ۚ وَما يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الفٰسِقينَ

dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;

Mereka sendiri yang fasik (keluar dari ketaatan) dan kerana itulah Allah buat keputusan untuk menyesatkan mereka. Bukannya Allah buat keputusan untuk jadikan mereka sesat dari mula lagi.

Contoh orang yang sesat yang dimaksudkan oleh ayat dalam Fatihah ini adalah penganut Kristian atau Nasara. Mereka ini dijadikan contoh supaya senang kita nak tahu sifat mereka dan senang untuk kita bandingkan diri kita.

Ini dalilnya dari ayat Surah Maidah, sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman-Nya:

قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيراً وَضَلُّوا عَنْ سَواءِ السَّبِيلِ

mereka telah sesat sebelum (kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus. (Al-Maidah: 77)

Dan telah sahih dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa baginda bersabda:

الْيَهُوْدُ مَغْضُوْبٌ عَلَيْهِمْ وَالنَّصَارَى ضَالُّوْنَ
“Yahudi itu dimurkai dan kaum Nasara adalah orang-orang yang sesat”.
(HR. Tirmidzi dari ‘Adi bin Hatim radhiyallahu ‘anhu, dishahihkan Al-Albani rahimahullahu dalam Shahih Al-Jami’ no 8202)

Mereka percaya Allah itu adalah Tuhan, Nabi Isa itu Rasul, Kitab Injil dari Tuhan. Tapi kerana silap faham tentang Tuhan sampai mereka puja Nabi Isa. Kerana mereka percaya Nabi Isa adalah ‘anak Tuhan’.

    1. Jadi tujuan mereka sudah salah kerana mereka bukannya menyembah Allah tapi menyembah triniti.
    2. Jalan mereka juga sesat. Sebagai contoh, mereka reka jalan kerahiban.
    3. Mereka bukan sahaja sesat, tapi mereka juga mengajak orang lain sesat bersama dengan mereka.

Fahaman mereka memang jauh dari kebenaran. Bayangkan sekarang ini ajaran agama mereka diambil dari rekaan seorang lelaki yang bernama Paul yang tidak pernah bertemu dengan Nabi Isa. Asalnya dia menentang ajaran Nasrani tapi tiba-tiba dia mendapat wahyu dari Nabi Isa (setelah baginda tiada).

Jadi agama Kristian sekarang ini adalah ajaran yang karut yang bukan berdasarkan ajaran yang benar yang diajar oleh Nabi Isa dan ada di dalam Injil (yang sebenar). Ianya adalah ajaran rekaan manusia dan telah bertukar-tukar mengikut zaman kerana ia diubah dan digubah oleh agamawan mereka.

Bayangkan penulis Bible itu (ia sebenarnya bukanlah Injil) tidak dikenali siapa mereka. Lalu bagaimana boleh dipercayai apa yang disampaikan di dalamnya? Bandingkan dengan ilmu periwayat Hadis dalam agama Islam dimana kita kenal mereka secara mendalam. Pengkaji Bible yang beragama Kristian sendiri sudah banyak yang mengatakan Bible itu bukannya kata-kata dari Tuhan.

Bagaimana pula dengan masyarakat kita? Sekarang kita bandingkan pula dengan fahaman dan akidah Nasrani ini. Ada ramai yang percaya Allah itu Tuhan, Nabi Muhammad itu Rasul, Al-Qur’an dari Allah, tapi ada silap faham tentang Allah, Nabi dan Al-Qur’an sampaikan ramai yang minta tolong kepada Nabi Muhammad. Ramai yang seru baginda dan memuja baginda sedangkan itu dilarang.

Maka kita kena tahu bagaimanakah sifat golongan Kristian ini supaya kita dapat mengelakkan diri kita dari mengikut cara-cara mereka. Kerana takut kalau kita sangka kita ini sudah di atas jalan yang lurus, tapi rupanya perangai dan amalan kita sama sahaja dengan golongan yang sesat. Jadi kita kena belajar bagaimana cara hidup dan fahaman agama mereka supaya kita dapat jauhi sifat mereka.

Kalau kita periksa betul-betul, kita akan dapat lihat bahawa masyarakat Islam kita pun ada persamaan dengan cara beragama mereka. Ini kerana tidak belajar dan hanya ikut sahaja apakah fahaman orang lain. Maka tidak patut betul kalau kita doa supaya kita dijauhkan dari cara orang yang sesat, tapi kita amalkan pula cara mereka. Maknanya mereka yang sebegitu tidak faham apa yang mereka sebut dalam Surah Al-Fatihah ini. Mereka hanya baca sahaja tanpa faham.

Ramai orang Islam yang hanya nampak dunia sahaja dan mereka nampak ada kelebihan kalau ikut cara hidup Yahudi dan Kristian itu. Malangnya cara hidup mereka itu banyak dapat diikuti di dalam media massa sekarang. Dan ia digambarkan seperti amat menarik sampaikan ramai yang tertarik kepada cara hidup dan fahaman mereka. Ini adalah kerana media massa memang pandai bermain dengan psikologi manusia dan dapat menarik minda manusia yang lemah.

 

Contoh Bandingan

Mungkin ramai yang rasa berat untuk mengatakan yang ‘dimurkai dan sesat’ itu adalah ‘Yahudi dan Kristian’. Kerana ramai yang rasa susah nak dakwah kalau terus mengatakan mereka itu sesat. Ini adalah cara berfikir yang salah. Kita tidak perlu takut untuk mengatakan yang mereka itu dua golongan yang memang sudah sesat. Kerana dalil kuat mengatakan memang itulah dua golongan yang dimurkai dan sesat itu.

Walaupun ianya memang keras, tapi itulah kebenaran. Dan penting untuk kita kata mereka itu sesat kerana itulah permulaan untuk mereka menerima kebenaran. Kerana kalau mereka tidak tahu yang mereka sesat, maka tidaklah ada keperluan untuk mereka masuk Islam, bukan? Jadi jangan takut untuk mengatakan kebenaran walaupun ianya pahit.

Begitu jugalah dengan masyarakat kita sekarang. Memang tidak boleh kita kata pada muka mereka: “awak sesat”. Tapi dalam masa yang sama, hendaklah kita sampaikan kepada mereka yang apa yang mereka amalkan itu adalah salah dan kena diperbaiki. Cuma kena digunakan kata-kata yang sesuai dan boleh diterima oleh mereka. Jangan gunakan kata-kata yang keras dan menghina.

 

Kepentingan Ilmu

Orang-orang Nasrani tidak memiliki ilmu agama. Kerana itu mereka ditimpakan dengan kesesatan. Tatkala mereka hendak menuju kepada sesuatu, mereka tidak memperoleh petunjuk kepada jalannya. Hal itu adalah kerana mereka tidak menempuhnya melalui jalan yang sebenarnya, iaitu jalan kebenaran.

Maka kita jangan lupa tentang kepentingan ilmu agama. Kerana apabila kita hendak beribadat kepada Allah dan menjadi hambaNya yang baik, maka kenalah berdasarkan ilmu. Setakat niat yang baik, tapi tidak berdasarkan ilmu yang benar, maka ia tidak diterima.

Kalau golongan Yahudi, masalah mereka adalah ‘niat’; masalah dengan golongan Nasara ini pula adalah ‘ilmu’. Ini kerana mereka tidak mementingkan ilmu. Atau, mereka mendapat ilmu dengan jalan yang salah.

Untuk faham agama memerlukan pembelajaran dan kerana itu kita memerlukan orang yang pandai (otak geliga) yang belajar agama dan kemudian belajar agama. Malangnya, selalu yang dihantar belajar agama adalah mereka yang tidak boleh jadi peguam atau jurutera sahaja. Kalau ibubapa ada ramai anak, mereka akan pilih: anak yang pandai belajar akademik jadi golongan professional, sedangkan anak yang agak lembab dihantar ke madrasah.

Maka kerana itulah kualiti pembelajaran agama kita lemah. Ada para ustaz yang mengajar ajaran yang salah dan beri nasihat yang salah kepada anak murid. Ini adalah mereka sendiri tidak dapat menggarapi maksud sebenar agama. Akal mereka memang asalnya lemah dan kerana itu mereka tidak faham-faham ilmu agama yang mereka belajar.

Maka percambahan ilmu ini amat penting. Umat Islam kena tingkatkan pembelajaran agama. Ilmu agama bukan untuk orang yang khusus belajar agama sahaja. Orang awam pun boleh belajar sekarang. Alhamdulillah kita ada para asatizah yang pandai dan hebat mengajar sunnah di negara ini. Mereka itulah yang menyampaikan ajara yang benar kepada masyarakat walaupun mereka ditohmah dan dihalang sampaikan tidak dapat tauliah di sesetengah negeri.

Peluang untuk belajar agama amat luas. Malangnya di negara kita ini, pembelajaran agama masih baru lagi. Ramai yang pakai ikut sahaja, tapi malas untuk belajar. Ramai yang sangka pembelajaran agama ini terhad kepada orang-orang tertentu sahaja (golongan ustaz dan pelajar agama sahaja). Maka kerana itu banyak salah faham dan amalan salah dalam agama. Tetapi kita boleh lihat ia semakin baik dari dahulu. Penggunaan media pun semakin membuka peluang kepada masyarakat untuk belajar agama tanpa perlu pergi ke kelas pengajian yang formal.

Untuk menjadi hamba yang baik dan sempurna, kemudian beribadah dengan cara yang terbaik, ini memerlukan ilmu. Kalau tidak ada ilmu, maka ada perkara yang salah yang kita lakukan kerana jahil. Maka, kalau kita tidak kisah dengan ilmu, itu bermakna kita pun tidak ada keinginan untuk menjadi hamba baik dan beribadah dengan cara yang baik kepada Allahlah maknanya.

Kita sekarang hidup di zaman yang amat mudah untuk mendapatkan ilmu agama. Boleh dikatakan ianya di hujung jari sahaja. Tinggal hendak belajar dan luangkan masa sahaja. Maka jangan lepaskan peluang ini.

Tapi mungkin ramai yang tidak suka dengan apa yang disampaikan oleh para ustaz sekarang di media atau di masjid dan surau kerana mereka sendiri tidak layak untuk mengajar atau tidak menarik. Ini adalah kerana lemah ilmu cara penyampaian agama sampai membosankan; atau ada yang mengajar ajaran yang salah yang menyebabkan orang awam pun susah nak terima. Sebagai contoh, ada yang mengajar kisah-kisah para wali yang karut marut seperti boleh terbang dan sebagainya.

Kerana kepentingan ilmu agama, maka orang awam kena banyak berkawan dan rapat dengan orang berilmu. Kerana mereka boleh mengajar dan memberi nasihat kepada kita. Maka kena cari mereka ini dan berdamping dengan mereka.

Malangnya orang kita ramai yang hanya mementingkan ilmu keduniaan sahaja. Ramai ibubapa yang berikan segala ilmu pengetahuan akademik kerana mereka kerana mereka mahu anak mereka jadi orang yang bekerja baik dan bergaji mahal. Dapatlah nanti mereka menumpang kesenangan anak itu.

Tak ramai yang mahu menghantar anak-anak mereka ke madrasah pengajian agama kerana takut anak mereka tidak dapat makan atau tidak dapat gaji tinggi dan tidak dapat tanggung mereka apabila tua nanti. Ini adalah fahaman yang amat merugikan. Amat rugi sekali kalau mementingkan ilmu keduniaan sahaja. Kerana ilmu dunia boleh dipakai di dunia sahaja tapi ilmu agama boleh dibawa sampai ke akhirat.

Kena yakin yang rezeki ini Allah yang berikan. Jangan nak bagi pengetahuan akademik sahaja kepada anak, tapi kenalah prihatin kepada pengetahuan agama anak. Berapa ramai yang menyesal apabila anak sudah dewasa tapi tidak hiraukan mereka lagi atau jadi orang yang jahat dan hanya pentingkan dunia sahaja.

Mereka berharap anak mereka yang jadi professional itu akan jaga mereka di hari tua nanti. Tapi ada anak yang tidak mengaku anak pun lagi kepada ibubapa mereka. Salah siapa? Bukankah salah mereka kerana tidak berikan pendidikan agama kepada anak mereka dari awal lagi? Apabila anak tidak ada pengetahuan agama, mereka tidak nampak kepentingan berbuat bakti kepada ibubapa mereka. Ini kerana mereka nampak dunia sahaja.

Jangan jadi orang yang hanya mementingkan ilmu dunia sahaja dan meninggalkan ilmu akhirat. Ini telah ditegur Allah dalam Najm:30

ذٰلِكَ مَبلَغُهُم مِّنَ العِلمِ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ وَهُوَ أَعلَمُ بِمَنِ اهتَدىٰ

(Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir dari pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Dan sumber ilmu agama yang paling penting adalah Al-Qur’an dan Sunnah. Maka kena belajar dua perkara ini dahulu. Kena mahirkan diri dengan dua sumber ini kerana kedua-duanya adalah wahyu dari Allah. Jadi kita bukan sahaja kena tahu baca Al-Qur’an dan hadis sahaja, tapi kena belajar tafsirnya sekali supaya kita dapat menggunakan maklumat dan ajaran di dalamnya. Maka kerana itu kita pentingkan sangat tafsir Al-Qur’an dan sunnah ini.

Tapi kita sedih kerana kita lihat sekarang ini dua ilmu ini tidak banyak dipelajari oleh masyarakat awam negara ini. Jangan kata orang awam, kelas pengajian agama pun tidak mementingkannya. Mereka banyak mementingkan pembelajaran kitab karangan manusia. Jadi Al-Qur’an dan hadis itu seolah-olah sesuatu yang amat asing sekali.

Ramai belajar dari segala macam kitab dan ilmu agama, tapi tidak disandarkan kepada pengetahuan kepada tafsir Al-Qur’an dan sunnah. Kerana tidak ada dasar dua ilmu ini, maka kerana itu banyak fahaman yang pelik dalam masyarakat kita.

Satu lagi ilmu yang kita kena ada adalah Sirah Nabi. Kita hendaklah menjadikan baginda sebagai contoh dan model kita. Dan kalau kita nak jadikan baginda sebagai model, maka kenalah kita tahu bagaimana sikap baginda dan sejarah hidup baginda. Kita kena tahu bagaimana baginda melayan isteri-isteri baginda, sahabat dan musuh baginda; kita kena tahu bagaimana cara dakwah baginda; kita kena tahu kesusahan yang baginda alami; dan macam-macam lagi tentang baginda.

Satu perkara lagi yang penting adalah mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Jangan belajar sahaja tapi tak amalkan. Manusia boleh dibahagikan kepada tiga dalam perkara ini:

1. Yang tahu ilmu dan mengamalkannya. Inilah mereka yang dapat nikmat dari Allah.
2. Tahu ilmu tapi tidak mengikutnya. Ini adalah contoh golongan Yahudi.
3. Tidak berilmu dan tidak mahu belajar. Ini adalah contoh dari Kristian.

Golongan yang tidak ada ilmu tapi tidak mahu belajar adalah seperti golongan tasawuf dan tarekat sekarang. Mereka belajar tapi belajar benda yang salah. Maka mereka buat perkara yang sesat. Niat mereka memang baik (kita tidak nafikan) tapi mereka tidak belajar dengan cara yang benar. Maka itulah golongan yang pergi ke kuburan dan minta tolong kepada ahli kubur.

Memang kena belajar dan terus belajar. Ada orang yang bodoh sampai kata kalau tahu banyak pun masalah, jadi elok kalau tidak tahu banyak sangat. Dari mana mereka dapat fahaman sesat ini kita tidak tahu. Mana mungkin ini fahaman yang benar kerana semakin banyak kita tahu, semakin kita selamat kerana ilmu itu dapat menyelamatkan kita.

Kita jangan sangka yang kejahilan boleh menjadi alasan di akhirat kelak. Ibnu Qayyim telah ingatkan yang Allah telah beri pancaindera kepada kita. Maka kita akan dipersoalkan nanti kalau kita jahil. Kerana kita mampu dapat ilmu, tapi kita sengaja tidak belajar. Kalau sudah belajar, tapi ada benda yang tidak tahu, maka ini bolehlah jadi alasan. Tapi kalau tak belajar langsung, apakah alasan kita? Kita buat apa selama hidup 50 tahun sampai tidak tahu apa-apa tentang agama?

Apabila manusia tidak ada ilmu, maka senanglah syaitan nak tipu. Dan syaitan akan tipu sampai memasukkan manusia itu ke dalam neraka. Syaitan akan bermati-matian menghalang manusia dari berilmu. Maka mereka akan bagi manusia malas untuk belajar agama. Kerana itulah kita tengok ramai yang ikut jejak langkah syaitan kerana mereka tidak ada ilmu. Mereka tidak tahu jalan yang lurus dan kerana itu mereka ikut jalan syaitan.

Kalau tidak ada ilmu asas dan hanya belajar begitu-begitu sahaja baca di internet, maka senang tertipu dengan ilmu yang salah dan ini adalah amat bahaya. Ramai yang sesat dengan cara begini. Kerana ada banyak sangat maklumat salah dalam internet sekarang. Jadi ilmu asas kena ada dan dipelajari dengan guru dengan cara berdepan. Bukanlah tidak boleh baca langsung maklumat pada internet, tapi kena ada ilmu asas dahulu.

Dan bila tidak ada ilmu, maka ramai yang ikut jalan ekstrem atau ghuluw di dalam agama. Mereka tidak mahu manakah had yang patut dijaga. Kerana itu ada yang taksub dengan guru mereka, buat amalan bidaah dalam agama dan macam-macam lagi.

Bagaimana nak buat ibadah kalau kita tidak ada ilmu? Apabila beribadah tanpa ilmulah yang menyebabkan ramai di kalangan kita yang buat amal bidaah.

Ilmu ada yang fardhu ain dan fardhu kifayah. Sekurang-kurangnya kena ada ilmu fardhu ain. Dan yang pertama sekali adalah ilmu tauhid. Bagaimana nak kenal Allah kalau tidak tahu tentang Allah? Maka ini kena dipelajari dan ini hanya dapat difahami dengan belajar tafsir Al-Qur’an.

Kalau kita ada ilmu, maka ibadah kita pun akan lebih berkualiti. Dan kita akan mendapat lebih manfaat dari ibadah kita itu. Sebagai contoh, kalau kita ada ilmu tentang solat, maka solat kita lebih bermakna dan kita akan dapat lebih banyak pahala dalam solat kita.

Syarat untuk mendapatkan ilmu adalah dengan niat yang benar. Iaitu niat belajar kerana hendak menjadi hamba Allah yang terbaik, hendak melakukan ibadah kepada Allah dengan cara yang baik. Maka niat mendapatkan ilmu ini kena ikhlas. Bukannya kerana hendak berbangga dan hendak berdebat dengan orang lain. Jadi kalau ada soalan: “ustaz, bagaimana  nak patahkan hujah dia?”, ini adalah ciri-ciri orang yang belajar kerana hendak berdebat.

Keduanya, kena amalkan ilmu yang kita telah ada itu. Jangan belajar sahaja tapi tak mahu nak amal. Jangan jadi macam orang Yahudi yang ada ilmu tapi tidak amalkan. Mereka niat mereka memang tidak mahu amalkan. Tapi kadangkala ada kalangan kita yang ada ilmu, tapi tak mampu lagi nak amalkan. Ini biasa sahaja dan tidaklah sama dengan golongan Yahudi itu. Dalam keadaan begini, kena usaha dan minta taufik dari Allah. Mungkin iman waktu itu masih lemah lagi. Maka kena tingkatkan iman sahaja.

 

Contoh kedua ‘orang yang sesat’ adalah golongan Munafik. Mereka ini dulu sembahyang belakang Nabi tapi masih tidak mahu terima Islam sepenuhnya. Mereka itu terdiri dari golongan Ansar. Tidak ada yang munafik dari golongan Muhajirin. Dan tidak ada golongan munafik semasa di Mekah (boleh dibincangkan lagi). Kerana mereka yang masuk Islam di Mekah itu adalah benar-benar ikhlas.

Tapi apabila Islam berkembang di Madinah, ada golongan Ansar yang masuk Islam kerana terpaksa sebab satu kampung atau satu puak mereka sudah masuk Islam.  Mereka hendak jaga kepentingan mereka dalam masyarakat. Mereka terpaksa masuk Islam dan dalam hati mereka tidak ikhlas. Contoh mereka yang sebegini adalah ahli politik yang banyak tolong orang semasa menjadi pemimpin.

Tapi lepas jadi pemimpin, sudah tidak ada pangkat, mereka tidak tolong orang lagi. Rupanya mereka tolong orang semasa jadi pemimpin itu adalah sebab kepentingan – mereka hendak meraih undi dan supaya mereka dikatakan sebagai pemurah. Mereka yang seperti itu ada sifat munafik. Mereka buat kebaikan itu bukan kerana Allah.

 

Ringkasan

Penerangan tentang orang Kristian ini ada disebut secara panjang lebar dalam Surah Ali Imran dan Surah Maryam.

Penerangan tentang orang Munafik ada dalam Surah an-Nisa dan Baqarah:8-20 dan banyak lagi surah-surah yang lain.

Walau bagaimanapun, keempat-empat surah itu mengandungi empat perkara penting dalam Al-Qur’an: Tauhid – Risalah – Infaq (sedekah) – Jihad. Selain itu tentang hukum hakam dan kisah-kisah.

Secara ringkasnya, apabila wahyu Allah iaitu Al-Qur’an dibaca kepada manusia, manusia akan terbahagi kepada lima puak:

    1. Yang beriman
    2. Yahudi
    3. Musyrikin
    4. Kristian/Nasara
    5. Munafik.

Selain dari mereka yang beriman, empat golongan yang lain itu akan masuk neraka. Kalau manusia yang kafir pun terbahagi kepada empat golongan itu juga.

‘Orang-orang yang sesat’ (ٱلضَّآلِّينَ), kurang sedikit salah mereka. Walaupun mereka masih salah, tapi kurang kalau dibandingkan dengan orang-orang yang dimurkai. Untuk membayangkannya, kita ambil contoh dua orang anak yang telah diberi arahan oleh ayahnya untuk tidak memakan makanan yang disediakan. Kerana ayahnya hendak keluar sebentar.

Ada anak yang besar, dan ada adiknya yang lebih muda. Tapi apabila ayahnya pulang, didapati makanan itu telah habis dimakan. Tentulah kemarahan ayahnya tidak sama kepada dua anak itu. Ayahnya lebih marah kepada anaknya yang besar daripada anak yang kecil. Kerana anak yang kecil itu hanya mengikut sahaja. Tapi anak yang besar itu sepatutnya lebih mengetahui.

Begitulah kita tahu bahawa Yahudi itu tahu kebenaran tapi mereka sombong untuk mengikutinya. Tapi orang Nasrani itu dalam kebingungan dan tidak tahu apa-apa. Itu bukanlah alasan untuk melarikan diri dari kesalahan, tapi kalau dibandingkan dengan kesalahan orang yang sepatutnya tahu kebenaran, ianya adalah kurang sedikit salahnya. Allahu a’lam.

 

Penutup: 

Maka kita kena kenal sifat-sifat dua golongan yang dimurkai dan sesat ini supaya kita dapat jauhkan diri dari sifat mereka. Kerana ianya adalah jalan yang bahaya untuk diikuti. Kita kena jauhkan diri dari dua jalan ini. Amat bahaya kalau kita tidak kenal dua jalan ini kerana takut-takut kita termasuk dalam golongan mereka.

Maka kita jangan dekatkan diri dengan cara hidup mereka. Jangan rapat dengan golongan Yahudi dan Kristian ini sampai kita ikut cara hidup mereka pula. Inilah yang dinamakan wala’ wal bara’. Kalau sesuatu itu tidak baik, maka kena tinggalkan dan jauhkan diri dari mereka.

Kita pun tahu bagaimana mereka menggunakan cara-cara yang kotor dan jahat untuk mengawal dunia. Mereka sudah tidak hiraukan agama dan akhlak, maka kerana itu mereka tidak kisah pun apa yang mereka buat, asalkan mereka dapat apa yang mereka hendak.

Tapi takut ada di kalangan kita yang mahukan dunia, maka mereka rasa kalau ikut cara hidup dua golongan Yahudi dan Kristian ini, maka hidup mereka akan senang di dunia. Tapi kalau setiap hari kita baca ayat dari Surah Al-Fatihah ini (dan tentunya kena faham maksudnya), maka kita diingatkan supaya menjauhkan diri dari cara hidup mereka.

Kita hidup di zaman globalisasi  yang dikawal oleh media. Kita rasa tertekan untuk ikut apa yang dilakukan oleh masyarakat yang ramai. Malangnya media dikawal oleh Yahudi dan Kristian. Jadi masyarakat kita pun terkesan dengan budaya dunia. Antaranya seks dinampakkan sebagai mudah sahaja dan tidak salah kalau ada perhubungan sejenis tanpa pernikahan. Budaya inilah yang sedang masuk ke dalam media kita dan kita termakan dengan suasana itu.

Malangnya, begitulah yang terjadi sekarang. Nabi sudah bagi amaran:

Daripada Abu Sa’id al Khudri RA, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat Muslim)

Maka, hadis ini memberitahu kita yang umat secara keseluruhan akan ikut dua golongan itu. Maka, kita kenalah cuba memastikan kita dan ahli keluarga kita tidak termasuk dalam golongan itu.

Golongan itu tidak suka kalau kita mengamalkan Islam. Kerana itu kalau duduk di negara yang jahat, mereka mahu cara hidup kita pun ikut cara hidup mereka. Mereka boleh ambil kewarganegaraan kalau tidak ikut cara hidup mereka. Maknanya tidak ada kebebasan nak amalkan cara hidup sendiri.

Tapi kita kena ingat yang kita tidak boleh ambil agama lain. Kalau tempat tinggal kita itu menghalang kita untuk mengamalkan agama dengan bebas, atau memaksa kita ikut agama mereka, maka kita kena tinggalkan. Kita wajib berhijrah pada waktu itu.

Antaranya, mereka akan paksa kita berpakaian seperti pakaian cara mereka. Sampaikan ada yang mengharamkan pemakaian purdah, pakai tudung dan sebagainya. Maka ini tidak boleh diikuti. Pakaian kita pun kenalah menunjukkan yang kita adalah orang Islam.

Jadi, kita kena pegang pengajaran di dalam Surah Al-Fatihah ini. Jangan kita termakan dengan budaya orang Yahudi dan Kristian. Kerana kita ada agama kita sendiri. Kita ada budaya kita sendiri. Pegangan kita adalah pegangan Islam. Dan kita pun sudah tahu yang fahaman dan akidah mereka salah. Maka tentulah cara hidup mereka pun salah juga. Maka tidak boleh diikuti cara mereka itu.

Jangan kerana takut ekonomi kita jatuh, atau kita tidak dapat makan, tidak dapat kerja, sampaikan kita sanggup gadai agama kita. Maka kena ada prinsip: mana yang boleh kita ikut mereka dan mana yang kita tidak boleh ikut. Kalau hal keduniaan dan tidak membahayakan agama, maka bolehlah kalau nak ikut.

Kita hormat ugama selain Islam tapi tidaklah kita sampai berlembut dengan mereka sampai kita kata agama mereka pun benar juga. Ini adalah fahaman liberal yang semakin diterima dalam masyarakat Muslim kita. Mereka kata: semua agama sama sahaja.

Mana boleh semua agama sama. Jangan kita campur agama mereka ke dalam agama kita. Kerana kita kena pegang yang agama mereka adalah agama yang sesat. Ini kerana ada yang hendak berlembut dalam dakwah, jadi mereka berlembut dengan orang Yahudi dan Kristian. Kerana mereka takut kalau ‘keras’ dengan mereka, mereka akan tolak kita.

Konon ada yang kata kita ini semua ikut ajaran Nabi Ibrahim. Maka ada yang nak cari persamaan antara ketiga-tiga agama ini. Kita kena sedar yang Yahudi dan Kristian tidak ada pada zaman Nabi Ibrahim. Itu semua adalah agama rekaan selepas wafatnya Nabi Ibrahim. Yahudi dan Kristian telah mengubah ajaran Nabi Ibrahim jauh sekali sampai tidak ada persamaan lagi.

Mereka sahaja mengaku Nabi Ibrahim sebagai Rasul mereka, tapi mereka tidak ikut ajaran baginda pun. Mereka telah merosakkan agama tauhid dan bukan untuk mereka sahaja, tapi kepada seluruh manusia. Maka kita berdoa kepada Allah dalam Surah Al-Fatihah ini supaya selamat dari kesesatan mereka.

Penyakit hati yang bahaya adalah penyakit niat dan penyakit ilmu.

Yahudi ada penyakit niat, dan
Kristian ada penyakit ilmu.

Kena baiki dahulu dua penyakit ini, penyakit yang lain akan mudah untuk dibersihkan.

Allahu a’lam. Sambung ke Ringkasan Daurah Surah Fatihah

Kemaskini: 13 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 4] (Bukan Jalan Orang yang Sesat)”

    1. Niat itu maksudnya ‘hati’ mereka. Hati mereka sendiri sudah tidak baik. walaupun sudah nampak kebenaran depan mata, mereka tetap menolak.

      orang Kristian pun tidak ada ilmu, atau ambil ilmu yang salah. Nak jadi baik, tapi silap ambil ilmu.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s