Tafsir Surah al-Falaq Ayat 1 – 2 (Berlindung dengan Allah)

Muqaddimah

Surah ini adalah salah satu dari dua surah yang dikenali Muawwizatain (dua yang melindung). Surah An-Naas dan Surah Al-Falaq merupakan dua surah yang mengandungi permohonan perlindungan (‘Al-Mu’awwizataini’). Oleh kerana itu, kedua-dua surah ini mempunyai kedudukan yang tinggi di antara surah-surah yang lain.

Surah al-Falaq diturunkan selepas surah al-Fiil dan diletakkan selepas surah al-Ikhlas dalam susunan mushaf Al-Qur’an. Hampir kesemua orang Islam menghafal surah ini, maka ada baiknya kalau kita melihat apakah makna ayat-ayat dalam surah ini, supaya apabila kita membacanya, kita memahami apakah kesan dan harapan kita semasa membacanya.

Seperti yang kita ketahui, surah ini mempunyai permohonan perlindungan kepada Allah. Di dalam surah ini, kita meminta perlindungan kepada Allah daripada empat keburukan iaitu:
1. Keburukan daripada semua ciptaan Allah (makhluk).
2. Keburukan yang ada pada malam.
3. Keburukan Sihir.
4. Keburukan Hasad Dengki.

Semasa kita membaca surah ini, kita memohon kepada Allah supaya menjauhkan kita dari semua kejahatan yang datang dalam empat perkara ini. Kita memohon supaya semuanya itu terlindung daripada kita dan kerana itu, kita memerlukan pertolongan daripada Allah.

Dan satu persamaan keempat-empat perkara ini adalah: ianya adalah perkara yang kita tidak dapat kawal langsung. Dibandingkan dengan satu lagi Surah Muawwizaat (Surah an-Naas), ianya tentang sesuatu yang kita ada kawalan – syaitan. Kerana syaitan hanya boleh membisikkan was-was kepada kita, jadi kita ada pilihan sama ada hendak ikut ataupun tidak.

Lihat kembali susunan 4 perkara itu. Ianya adalah susunan dari yang umum kepada yang lebih khusus. Inilah yang hebatnya susunan Al-Qur’an dalam surah ini (dan tentunya surah-surah yang lain).

1. Segala keburukan yang boleh datang daripada ciptaan Allah (makhluk) – ini memang betul-betul dalam bentuk yang umum. Ianya boleh merangkumi apa-apa sahaja dan segala benda, bukan?

2. Kemudian keburukan malam lebih khusus lagi dari segi waktu. Merujuk kepada waktu malam.

3. Kemudian tentang sihir pula. Lebih khusus lagi dari segi perbuatan jahat itu, tapi ia masih dalam bentuk jamak.

4. Yang paling khusus adalah tentang mereka yang hasad dan melakukan sesuatu dari sebab hasad dengki mereka itu.

Antara kelebihan surah ini adalah ianya dapat melindungi kita daripada sihir yang hendak dikenakan kepada kita. Ada riwayat yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad telah disihir. Maka sihir ini memang benar-benar ada dan boleh terjadi kepada kita. Ini ada disebut di dalam Sahih Bukhari.

٥٣٢٣ – حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عُيَيْنَةَ يَقُولُ أَوَّلُ مَنْ حَدَّثَنَا بِهِ ابْنُ جُرَيْجٍ يَقُولُ حَدَّثَنِي آلُ عُرْوَةَ عَنْ عُرْوَةَ فَسَأَلْتُ هِشَامًا عَنْهُ فَحَدَّثَنَا عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُحِرَ حَتَّى كَانَ يَرَى أَنَّهُ يَأْتِي النِّسَاءَ وَلَا يَأْتِيهِنَّ قَالَ سُفْيَانُ وَهَذَا أَشَدُّ مَا يَكُونُ مِنْ السِّحْرِ إِذَا كَانَ كَذَا فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَعَلِمْتِ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَفْتَانِي فِيمَا اسْتَفْتَيْتُهُ فِيهِ أَتَانِي رَجُلَانِ فَقَعَدَ أَحَدُهُمَا عِنْدَ رَأْسِي وَالْآخَرُ عِنْدَ رِجْلَيَّ فَقَالَ الَّذِي عِنْدَ رَأْسِي لِلْآخَرِ مَا بَالُ الرَّجُلِ قَالَ مَطْبُوبٌ قَالَ وَمَنْ طَبَّهُ قَالَ لَبِيدُ بْنُ أَعْصَمَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي زُرَيْقٍ حَلِيفٌ لِيَهُودَ كَانَ مُنَافِقًا قَالَ وَفِيمَ قَالَ فِي مُشْطٍ وَمُشَاقَةٍ قَالَ وَأَيْنَ قَالَ فِي جُفِّ طَلْعَةٍ ذَكَرٍ تَحْتَ رَاعُوفَةٍ فِي بِئْرِ ذَرْوَانَ قَالَتْ فَأَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبِئْرَ حَتَّى اسْتَخْرَجَهُ فَقَالَ هَذِهِ الْبِئْرُ الَّتِي أُرِيتُهَا وَكَأَنَّ مَاءَهَا نُقَاعَةُ الْحِنَّاءِ وَكَأَنَّ نَخْلَهَا رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ قَالَ فَاسْتُخْرِجَ قَالَتْ فَقُلْتُ أَفَلَا أَيْ تَنَشَّرْتَ فَقَالَ أَمَّا اللَّهُ فَقَدْ شَفَانِي وَأَكْرَهُ أَنْ أُثِيرَ عَلَى أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ شَرًّا

5323. Telah menceritakan kepadaku Abdullah bin Muhammad dia berkata; saya mendengar Ibnu ‘Uyainah berkata; orang yang pertama kali menceritakan kepada kami adalah Ibnu Juraij, dia berkata; telah menceritakan kepadaku keluarga ‘Urwah dari ‘Urwah, lalu aku bertanya kepada Hisyam tentang haditsnya, maka dia menceritakannya kepada kami dari ayahnya dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anha dia berkata; bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah disihir hingga seakan-akan beliau telah mendatangi para isterinya, padahal baginda tidak mendatanginya, -Sufyan mengatakan; “Bahawa keadaan seperti ini termasuk sihir yang paling berat- kemudian baginda bersabda: “Wahai Aisyah, apakah kamu mengetahui bahawa Allah telah memberikan fatwa (menghukumi) dengan apa yang telah aku fatwakan (hukumi)? Dua orang laki-laki telah datang kepadaku, lalu salah seorang dari keduanya duduk di atas kepalaku dan satunya lagi di kakiku. Kemudian seorang yang berada di kepalaku berkata kepada yang satunya; “Kenapa laki-laki ini?” Temannya menjawab; “Terkena sihir.’ Salah seorang darinya bertanya; “Siapakah yang menyihirnya?” Temannya menjawab; “Lubid bin Al A’sham, laki-laki dari Bani Zuraiq, seorang munafik dan menjadi sekutu orang-orang Yahudi.” Salah seorang darinya bertanya; “Dengan benda apakah dia menyihir?” Temannya menjawab; “Dengan rambut yang terjatuh ketika disisir.” Salah seorang darinya bertanya; “Di manakah benda itu diletakkan?” temannya menjawab; “Di mayang kurma yang diletakkan di bawah batu dalam sumur Dzarwan.” Aisyah berkata; “Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mendatangi sumur tersebut hingga beliau dapat mengeluarkan barang tersebut, lalu beliau bersabda: “Ini adalah sumur yang diperlihatkan padaku, seakan-akan airnya berubah bagaikan rendaman pohon inai dan seakan-akan pohon kurmanya bagaikan kepala syaitan.” Abu Hisyam berkata; “apakah beliau meminta barangnya dikeluarkan?” Aisyah berkata; Lalu aku bertanya; “Apakah anda tidak meruqyahnya?” beliau bersabda: “Tidak, sesungguhnya Allah telah menyembuhkanku dan aku hanya tidak suka memberikan kesan buruk kepada orang lain dari peristiwa itu.”

Pada bungkusan tersebut terdapat sebelas simpulan bersama sikat rambut, gigi sikatnya dan sebelas jarum. Kemudian, Rasulullah membaca ‘Surah Mu’awwizataini’ iaitu dua surah yang diturunkan kepada baginda dalam mimpi semalam.

Setiap kali dibaca satu ayat dari kedua-dua surah tersebut, terurailah satu ikatan, sehinggalah terurai kesemua simpulannya. Maka dengan takdir-Nya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dapat berdiri dan seakan-akan baru terungkai dan terlepas dari belenggu ikatan. Apabila dicabut pula satu persatu jarum tersebut, terasa sakit dalam tubuh baginda yang beransur hilang.

Disebabkan riwayat itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa surah ini adalah Surah Madaniyyah. Tapi yang menolaknya mengatakan surah ini Makkiah, cuma malaikat mengingatkan Nabi bahawa dua surah itu boleh digunakan sebagai ruqyah.

Nabi juga pernah bersabda lagi tentang kelebihan surah ini:

Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Telah diturunkan kepadaku ayat-ayat yang tidak sepertinya iaitu ‘Al-Mu’awwizataini’ (Surah An-Naas dan surah Al-Falaq).” (HR Muslim no. 814, At Tirmidzi no. 2827, An Naasa’i no. 944)

Ada satu pendapat yang dipegang oleh ibn Mas’ud adalah dua surah ini bukan sebahagian dari Al-Qur’an tapi ianya adalah Doa Ruqyah sahaja. Ini adalah pendapat minoriti sahaja dan ditolak kerana ijmak sahabat yang lain mengatakan bahawa dua surah ini adalah sebahagian dari Al-Qur’an dan dimasukkan ke dalam mushaf. Tambahan pula ada riwayat yang mengatakan Nabi ada membaca dua surah ini di dalam solat, maka tentulah ianya adalah sebahagian dari Al-Qur’an.

Uqba bin Amar RA meriwayatkan “Muhammad SAW berkata kepadaku di dalam suatu perjalanan, ‘Mahukah kamu belajar dua surah yang luar biasa.’ Aku menjawab ‘ya, ajarkanlah padaku.’ Nabi mengajarku Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas . Dia mengulang surah-surah yang sama ketika solat Maghrib hari itu. Lalu dia berkata kepadaku, ‘Kamu harus membaca kedua surah ini ketika hendak berangkat tidur mahupun ketika baru bangun tidur.’” (Thirmidhi, Abu Dawud, & Nasai)

Selesai solat dianjurkan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas, setiap satunya sekali. Daripada Uqbah bin Amir, katanya;

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقْرَأَ الْمُعَوِّذَاتِ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kepadaku untuk membaca Muawwizaat  di akhir solat (sesudah salam).” (HR. An Nasai no. 1336 dan Abu Daud no. 1523. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadith ini shahih).

 

Uqbah bin ‘Amir membawakan hadith daripada Rasulullah shalallahu’ alaihi wasallam, bahawa Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam berkata:

اقْرَأُوا الْمُعَوِّذَاتِ فِيْ دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ

“Bacalah Al-Muawwizat pada setiap kali selepas solat.” (HR. Abu Dawud no. 1523, disahihkan oleh Asy Syaikh Al Albani dalam Ash Shahihah no. 1514)


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Setiap satu ayatnya adalah perenggan makro. Ayat 1 ini adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi arahan untuk memohon perlindungan dan keselamatan kepada Tuhan sebagai Rabb dari segala bentuk kejahatan dari makhluk.

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ

Say: I seek refuge with the Lord of the Dawn

Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan waktu pagi,

 

Terdapat arahan dari Allah untuk kita baca surah ini kerana ada kalimah قل (katakanlah).

Perkataan أَعُوذُ (aku berlindung) adalah istiaazah iaitu meminta perlindungan dan berharap dan setelah itu tidak meninggalkan sedikit pun perlindungan itu. Maksudnya berharap terus dengan perlindungan itu. Kerana kalau kita tinggalkan, kita akan susah.

Kita mengucapkan istiaazah apabila kita meminta perlindungan Allah dari sesuatu yang tidak dapat dilihat. Apabila kita mengucapkannya, bermaksud kita menyerahkan diri kita dalam perlindungan Allah semata-mata. Kerana tidak ada selain Allah yang dapat menyelamatkan dan memberi perlindungan kepada kita. Kerana itu kita berharap hanya kepada Allah.

Ada mufassir mengatakan yang kita bukan lagi ‘meminta’ perlindungan kepada Allah, tapi kita ‘meletakkan’ diri kita di dalam perlindungan-Nya – bukan hendak meminta-minta lagi. Sebagai contoh, kalau kita sedang lapar hingga hampir mati, tiba-tiba kita terjumpa orang yang ada kemampuan untuk memberikan kita makan. Adakah kita meminta-minta sahaja, atau kita terus meminta sampai orang itu memberi kita makan?

Tentu kita akan terus merayu dan meminta, bukan? Begitulah kita dengan Allah. Jangan kita minta main-main sahaja (kalau bagi bagus, kalau tidak bagi tidak mengapa), tapi hendaklah kita tahu bahawa kita sedang meminta kepada yang boleh menolong dan memberi perlindungan kepada kita dan kita tidak ada harapan lain lagi selain kepada Allah. Bukannya kita boleh minta kepada selain Allah, bukan? Maka letakkan terus diri kita dalam perlindungan-Nya.

Kalimah الْفَلَقِ berasal dari kata dasar ف ل ق yang bermaksud ‘membelah sesuatu’. Ada beberapa pendapat dari maksud perkataan ini.

1. Ianya bermaksud ‘waktu pagi‘ kerana waktu itu seperti langit dibelah. Apabila langit dibelah, maka masuklah cahaya matahari dan kegelapan malam dihilangkan.

Konsep ‘gelap’ pun banyak digunakan di dalam surah ini – kegelapan malam, ahli sihir yang melakukan kerja sihir mereka di dalam gelap, kegelapan syirik mereka yang mengamalkan sihir dan kegelapan niat manusia yang hasad kepada kita.

2. Juga digunakan untuk isyarat kepada semua makhluk. Kerana setiap kejadian memerlukan ‘belahan’. Macam telur pecah, biji benih pecah, sel badan kita pecah dan darinya kita dijadikan. Jadi semuanya akan pecah terbelah dan kejadian baru akan terjadi.

Oleh itu, ayat ini mengingatkan kita yang Allah jua yang menjadikan siang. Allah jua yang menukar malam kepada siang. Allah menukarkan gelap kepada cahaya. Dalam masa yang sama, kita berdoa kepada Allah: “Berilah cahaya kepada kami. Jangan biarkan kami di dalam kegelapan.”

Juga daripada kelahiran siang dan kelahiran segala makhluk, ia mengingatkan kita bahawa Allah adalah Tuhan Kelahiran. Dalam surah al-Ikhlas sebelum ini, Allah mengatakan yang Dia tidak melahirkan anak dan tidak dilahirkan. Sebaliknya, dalam ayat ini, kita diberitahu yang Allah adalah Tuhan kepada kelahiran. Semua kelahiran adalah kerana-Nya. Maksudnya, ada kaitan dengan surah sebelum ini.

Satu lagi kaitan dengan surah al-Ikhlas: dalam surah al-Ikhlas, Allah dikatakan sebagai الصَّمَدُ – Dia tidak memerlukan sesiapa sebaliknya semua makhluk memerlukan-Nya. Dan bukankah dalam ayat ini menekankan lagi yang kita amat memerlukan Allah? Kita meletakkan diri kita dalam perlindungan-Nya kerana tidak ada tempat lain lagi untuk kita berharap melainkan kepada-Nya.

Jadi dalam surah al-Ikhlas, disebutkan konsep pengharapan dan dalam surah al-Falaq ini, konsep itu dipraktikkan. Allah mengajar kita bagaimana cara untuk berdoa kepada-Nya. Maksudnya, cara doa juga Allah ajar. Kalau Allah tidak ajar, kita pasti tidak tahu.

3. Al-Falaq juga dikatakan adalah satu penjara dalam neraka. Yang apabila pintunya dibuka, akan menyebabkan api neraka lebih menyala-nyala. Ini isyarat kepada kita bahawa mereka yang mengamalkan kejahatan sihir dan hasad, mereka akan dimasukkan ke dalam al-Falaq ini. Kerana Allah adalah Tuhan kepada al-Falaq.

Kenapakah Allah menggunakan perkataan قُلْ (katakanlah) di awal surah ini? Ianya kerana Allah hendak kita iklankan kelemahan kita dengan lidah kita sendiri. Sebut dan mengakulah yang kita ini lemah dan mengharapkan pertolongan Allah. Allah hendak kita merendahkan diri. Allah hendak kita berdoa dengan cara zahir kepada-Nya. Bukannya setakat di dalam hati sahaja.

Allah hendak kita buang segala ketinggian diri kita dan merendahkan diri kita di hadapan-Nya. Buang semua ego kita iaitu mengatakan dengan jahar yang kita memerlukan pertolongan daripada Allah. Jangan sombong untuk meminta kepada Allah. Allah hendak kita ikhlas kepada-Nya. Dan bukankah surah sebelum ini adalah al-Ikhlas?

Apabila kita kata seperti yang Allah suruh ini menunjukkan kita taat kepada suruhan Allah. Allah suruh kita berdoa dan kita terus berdoa. Bukankah doa akan makbul apabila kita taat kepada Allah? Jadi bila Allah suruh kita berdoa, teruslah taat dengan melakukan doa itu.


 

Ayat 2: Ayat 2 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Ia adalah permohonan perlindungan dari kejahatan makhluk.

 مِن شَرِّ مَا خَلَقَ

From the mischief of created things;

“Dari keburukan makhluk-makhluk yang Dia ciptakan;

 

Perkataan شَرِّ digunakan untuk jenis keburukan yang dikenali oleh semua orang. Kerana ada perkara yang setengah orang menganggap buruk tapi setengah lagi tidak menganggapnya begitu. Tetapi kalau keburukan jenis شَرِّ  ini, semua manusia akan menilainya sebagai buruk. Ianya adalah keburukan yang boleh menyusahkan, merosakkan dan menyebabkan kecederaan.

Kenapa Allah suruh kita berlindung daripada ciptaan-Nya? Kerana semua yang Allah ciptakan ada potensi kepada kebaikan dan juga kepada keburukan. Semua kejadian ada kemungkinan boleh menyebabkan keburukan. Termasuk juga diri manusia. Allah telah berfirman dalam Syams:8

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; –

Sebab itu ada segelintir manusia, ada kala baik dan ada kalanya dia jadi jahat. Orang yang sama, tapi sekejap baik, sekejap tidak baik. Kerana setiap makhluk tidak ada yang sempurna. Ini termasuklah seperti matahari, air dan macam-macam. Sebagai contoh, matahari membantu kita dalam kehidupan dengan menyebabkan tanaman boleh tumbuh, namun kalau panas sangat, ianya juga boleh mematikan tumbuh-tumbuhan itu.

Begitu juga air sangat berharga untuk kehidupan kita. Tapi, kalau banyak sangat air seperti banjir, ia boleh membunuh. Api boleh digunakan untuk cahaya dan untuk memasak. Tapi, kalau tidak terkawal, ia boleh membakar rumah dan harta benda kita. Oleh itu, semua ciptaan Allah boleh membawa kepada kebaikan dan ada masa, boleh memusnahkan.

Kita minta Allah selamatkan kita dari keburukan yang boleh datang daripada makhluk ciptaan Allah. Kita mahukan kebaikan darinya, bukan keburukan darinya. Kita tidak boleh kawal keburukan yang boleh timbul dari perkara-perkara itu. Memang kita boleh berhati-hati, tapi perkara buruk bukan dalam kawalan kita.

Kita kadang-kadang takut hendak lakukan sesuatu kerana takut dengan apa yang terjadi kepada kita daripada keburukan makhluk. Sebagai contoh, takut hendak kahwin, takut hendak keluar rumah, takut hendak memandu kereta dan sebagainya. Inilah yang dinamakan fobia. Ramai yang ada masalah begini dan amat menyedihkan kerana ia telah mengganggu kualiti hidup seseorang.

Tapi, tidak akan hendak takut sentiasa?Kita ada kehidupan yang perlu dijalankan, kerja yang perlu dilakukan. Maka Allah ajar dalam ayat ini, jangan takut. Sebaliknya, minta perlindungan kepada Allah. Minta Dia selamatkan kita dari keburukan itu.

Diri kita ini juga adalah ciptaan Allah bukan? Dari diri kita juga boleh ada masalah yang boleh membawa keburukan kepada kita. Maka ada beberapa keburukan yang boleh terjadi daripada ciptaan Allah. Antaranya:

1. Yang pertama adalah dari keburukan nafsu kita sendiri. Kerana nafsu kita menyuruh kepada keburukan. Di dalam surah Yusuf:53 Allah ada berfirman:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Dan tiadalah aku berani mengatakan diriku suci; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Nafsu adalah bahaya paling besar kepada kita, kerana:

1. Nafsu selalu membisikkan keburukan kepada kita. Ianya tidak akan jemu. Lagi satu, nafsu sentiasa ada bersama kita. Ia tidak pergi ke mana-mana, kita tidak boleh lari daripadanya, maka ia akan senang hendak membisikkan keburukan ke dalam hati kita.

Maka pertama sekali, kita minta Allah melindungi kita dari nafsu jahat kita. Bukanlah semua nafsu itu buruk. Kerana nafsu itu adalah naluri manusia. Nafsu makan mesti ada, nafsu kepada seks dan lain-lain. Cuma jangan memuaskan nafsu jahat itu dengan perkara yang salah.

2. Keburukan daripada bisikan syaitan. Ini juga amat bahaya kerana syaitan kerja mereka adalah membisikkan keburukan kepada kita dan mereka tidak jemu-jemu untuk membisikkan keburukan kepada kita. Mereka juga tidak ada kerja lain, melainkan menghasut manusia sahaja.

3. Ketiga, daripada makhluk-makhluk yang lain yang kita takut kepada mereka. Ada bermacam-macam perkara buruk yang boleh timbul daripada makhluk-makhluk itu. Terlalu banyak contoh yang kita boleh berikan, maka tidaklah perlu kita sebutkan di sini.

Oleh itu, kalau kita ada perasaan takut dengan apa-apa, mintalah perlindungan kepada Allah. Kerana semuanya Allah yang cipta dan Allah ada kekuasaan ke atasnya. Dari awal-awal lagi kita terus minta perlindungan kepada Allah. Kerana itu, Nabi Muhammad telah mengajar kita membaca surah ini setiap kali selepas solat. Kita terus letak diri kita dalam perlindungan Allah setiap kali selepas solat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah al-Falaq Ayat 1 – 2 (Berlindung dengan Allah)”

  1. Assalamualaikum,
    Alhamdulillah, saya bersyukur dengan adanya blog ini yang memuatkan tafsir-tafsir dari kelas ayah aji. Saya baru jumpa blog ni, saya suka cara penyampaian ayah aji, semoga Allah membalas usaha-usaha beliau dan juga penulis blog ini dengan balasan yg terbaik.

    saya nak minta kebenaran untuk share ilmu disini dengan keluarga dan mereka-mereka yang saya kenal, ya?
    cuma kalau boleh saya nak tahu rujukan tafsir ni dari tafsir mana, ya?…kalau saya ditanya saya blh bg reference.

    barakallahu feekum

    Like

    1. Terima kasih atas lawatan anda dan keinginan untuk menyebarkannya. Itulah harapan saya kepada pembaca blog ini.

      Berkenaan soalan anda, sumber rujukan tulisan dalam blog ini banyak. Buat masa ini:
      1. Ustaz Rosman dari Tok Bali, Kelantan
      2. Taimiyyah Zubair dari al-Huda foundation
      3. Nouman Ali Khan dari Bayyinah Instititute
      4. Syeikh Nasir Jangda dari Qalam Institute
      5. Ustaz Abu Ihsan dari Asas Training Center
      6. Ustaz Adli dari Yayasan Taalim, Taman Tun Dr. Ismail
      7. Ibn Kathir

      Setakat ini, itulah sumber utama penulisan blog ini.
      Sekurang-kurangnya, setiap posting akan ada tiga sumber yang akan saya ambil sebelum saya post.

      Like

  2. Assalamualaikum , saya nak tanya sesunguhnya apa yang kita usaha dan pilih allah sudah lebih mengetahui .. tetapi adekah ape yang kita usaha dan pilih juga tertulis dalam lauh mafuz yang ia tahu segala yang kita usaha dan pilih

    Like

    1. Allahu a’lam. Kerana itu perkara ghaib dan kita tidak tahu perkara ghaib kerana tidak disebut detail begitu. Cuma kita kena yakin yang Allah tidak akan berlaku zalim kepada kita. Memang bab Qada’ Qadar ini selalu difikirkan oleh manusia, tapi fikir panjang-panjang pun tidak ke mana kerana ia perkara ghaib.

      Like

  3. Assalamu’alaikum tuan, berkenaan perenggan yang tuan tulis “sebelas simpulan bersama sikat rambut, gigi sikatnya dan sebelas jarum”, bolehkah tuan beri dalilnya? Saya sedang mencari dalilnya dan apa yang saya jumpa (tak ada detail) dari applikasi Ensiklopedi Hadith adalah:
    Hadis diriwayatkan oleh imam an-Nasai 4012
    Telah mengabarkan kepada kami Hannad bin As Sari dari Abu Mu’awiyah dari Al A’masy dari Ibnu Hayyan yaitu Yazid dari Zaid bin Arqam, ia berkata; terdapat seorang laki-laki dari kalangan Yahudi yang menyihir Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, sehingga beliau beberapa hari sakit Karena hal tersebut. Kemudian beliau di datangi Jibril ‘alaihissalam dan berkata; sesungguhnya terdapat seorang laki-laki dari kalangan Yahudi Yang menyihimu. Ia mengikat buhul di sebuah sumur ini, dan ini. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengirimkan orang dan mereka mengeluarkannya dan didatangkan kepada beliau. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri seolah-olah beliau terbebas dari ikatan. Dan beliau tidak menyebutkan hal tersebut kepada orang Yahudi itu dan beliau tidak melihatnya di wajahnya sama sekali.
    Dari sunnah.com: It was narrated that Zaid bin Arqam said:
    “A Jewish man cast a spell on the Prophet [SAW], and he fell ill as a result of it, for several days. Then Jibra’il, peace be upon him, came to him and said: ‘A Jewish man has put a spell on you. In such and such a well there is a knot that he tied for you.’ The Messenger of Allah [SAW] sent them to take it out and bring it to him. Then the Messenger of Allah [SAW] got up as if he had been released from some bonds. No mention of that was made to that Jew, and he did not see that in his face at all.”

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s