Tafsir Surah Yusuf Ayat 53 – 58 (Menjadi Menteri Kewangan)

Ayat 53:

۞ وَما أُبَرِّئُ نَفسي ۚ إِنَّ النَّفسَ لَأَمّارَةٌ بِالسّوءِ إِلّا ما رَحِمَ رَبّي ۚ إِنَّ رَبّي غَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And I do not acquit myself. Indeed, the soul is a persistent enjoiner of evil, except those upon which my Lord has mercy. Indeed, my Lord is Forgiving and Merciful.”¹

  • Although Ibn Katheer attributes the words of verses 5253 to the wife of al-‘Azeez, others have concluded that they were spoken by Joseph, thereby justifying his request for an inquiry and acknowledging Allāh’s mercy to him.

(MALAY)

Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

وَما أُبَرِّئُ نَفسي

Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan),

Kalimat ini sama ada dikatakan oleh isteri menteri itu atau Nabi Yusuf عليه السلام.

Kalau ia dikatakan oleh isteri menteri itu, ini bermaksud perbuatannya untuk mengaku kesalahan itu bukan untuk membebaskan dirinya. Dia tahu yang dia bersalah. Memang dia berniat dan menjalankan tindakan untuk menundukkan Nabi Yusuf عليه السلام untuk ikut kehendaknya. Dan kemudian dia telah menyebabkan baginda dipenjarakan.

Kalau ayat ini dikatakan oleh Nabi Yusuf عليه السلام: Nabi Yusuf عليه السلام tidaklah berkata yang dia tidak bersalah langsung. Seperti yang telah disebutkan dalam surah ini sebelum ini, Nabi Yusuf عليه السلام pun ada keinginan juga kepada isteri menteri itu (tetapi baginda tidak meneruskannya).

Begitulah juga kita, kita tidak menidakkan keinginan nafsu kita kerana memang itu yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Cuma bezanya, sama ada kita ikut hawa nafsu kita tanpa dipandu oleh iman ataupun tidak?

 

إِنَّ النَّفسَ لَأَمّارَةٌ بِالسّوءِ

kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, 

Ketahuilah bahawa nafsu itu sentiasa menyuruh manusia melakukan kesalahan. Maka kena kawal dengan akal dan dengan iman. Kena sedar perkara ini sentiasa sahaja berlaku dan memang kita kena sentiasa berperang dengan kehendak nafsu ammarah ini.

 

إِلّا ما رَحِمَ رَبّي

melainkan orang yang Allah kasihan belas.

Hati selalu suruh buat benda yang salah dan ramai manusia yang kecundang dengan kehendak nafsu itu, kecuali mereka yang Allah ‎ﷻ rahmati. Nabi Yusuf عليه السلام memberitahu, kalau bukan kerana rahmat Allah ‎ﷻ, entah baginda pun akan buat salah juga. Maka kita hendaklah meminta supaya Allah ‎ﷻ mrlindungi kita daripada terikut-ikut dengan kehendak nafsu.

 

إِنَّ رَبّي غَفورٌ رَحيمٌ

Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kadang-kadang, kita tersilap langkah juga kerana tidak tahan dengan godaan nafsu. Tetapi Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia Maha Pengampun kepada kesalahan hamba-Nya asalkan kita mahu meminta ampun. Dan kenapa Allah ‎ﷻ sanggup mengampunkan hamba-Nya? Kerana Dia Maha Penyayang, amat sayang kepada makhluk-Nya.


 

Ayat 54: Sekarang masuk ke dalam Keadaan ke 9 di mana Nabi Yusuf عليه السلام diberi jawatan. Apabila selesai pengadilan kes Nabi Yusuf عليه السلام dan kebenaran telah dikeluarkan, maka Raja Mesir berkenan dengan Nabi Yusuf عليه السلام. Raja telah sedar yang dia adalah seorang yang amat baik dan mulia – bayangkan baginda tidak memalukan tuan rumah dan isterinya. Baginda cuma mahukan kebenaran sahaja dan baginda tidak malukan mereka kerana dia kenang jasa tuannya yang telah mengambil dan menjaganya semenjak dari kecil lagi.

Oleh itu, walaupun baginda ada peluang, baginda tidak beritahu apa yang berlaku pun, cuma minta diselidiki sahaja. Dan baginda tidak kata pun yang wanita itu buat maksiat, cuma hendak goda sahaja. Baginda hendak biarlah lepas begitu sahaja. Dan ini adalah salah satu dari kehebatan sifat baginda.

وَقالَ المَلِكُ ائتوني بِهِ أَستَخلِصهُ لِنَفسي ۖ فَلَمّا كَلَّمَهُ قالَ إِنَّكَ اليَومَ لَدَينا مَكينٌ أَمينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the king said, “Bring him to me; I will appoint him exclusively for myself.” And when he spoke to him, he said, “Indeed, you are today established [in position] and trusted.”

(MALAY)

Dan raja berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku”. Maka tatkala raja telah bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: “Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami”.

 

وَقالَ المَلِكُ ائتوني بِهِ

Dan raja berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, 

Setelah perbicaraan selesai, maka Raja mengarahkan untuk dibawakan Nabi Yusuf عليه السلام kepadanya kerana dia mahu berjumpa dengan insan mulia itu. Raja suruh bawa menghadap di istana.

 

أَستَخلِصهُ لِنَفسي

agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku”. 

Oleh kerana Nabi Yusuf عليه السلام seorang yang istimewa, jadi Raja hendak mengkhususkannya kepada dirinya. Maknanya menolong terus Raja dan bukan bawah menteri lain-lain. Raja hendak memberikan kedudukan yang rapat dengannya. Raja hendak menjadikannya sebagai penasihat diraja.

 

فَلَمّا كَلَّمَهُ

Maka tatkala raja telah bercakap-cakap dengan dia,

Setelah Nabi Yusuf عليه السلام sampai ke istana, Raja dan Nabi Yusuf عليه السلام bercakap-cakap – macam sesi temuduga jugalah. Mereka berbincang berdua sahaja. Antaranya mungkin menceritakan keadaan Mesir dan kepentingan menjaga agihan makanan dan sebagainya. Nabi Yusuf عليه السلام menekankan yang tugas itu perlu diberikan kepada orang yang pandai menjaga perkara itu. Dan baginda tengok tidak ada menteri yang boleh diharapkan untuk menjaga perkara penting ini.

 

قالَ إِنَّكَ اليَومَ لَدَينا مَكينٌ أَمينٌ

dia berkata: “Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami”.

Raja amat berkenan kepada Nabi Yusuf عليه السلام. Maka Raja telah menawarkan kedudukan yang rapat dengannya dan kedudukan itu akan kekal dan selamat. Ini penting kerana Nabi Yusuf عليه السلام sudah ada musuh kerana kes dahulu. Jadi Raja tawarkan kedudukan tinggi yang selamat untuk baginda.

Kalimah أَمينٌ juga boleh bermaksud kedudukan tinggi dan dipercayai. Maknanya, menjadi orang kepercayaan Raja dan ini adalah kedudukan yang tinggi dalam negara.


 

Ayat 55: Ini pula adalah cadangan Nabi Yusuf عليه السلام.

قالَ اجعَلني عَلىٰ خَزائِنِ الأَرضِ ۖ إِنّي حَفيظٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Joseph] said, “Appoint me over the storehouses of the land. Indeed, I will be a knowing guardian.”

(MALAY)

Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”.

 

قالَ اجعَلني عَلىٰ خَزائِنِ الأَرضِ

Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendaharawan negara

Baginda tahu kepentingan maklumat dari mimpi itu dijalankan dengan baik. Kerana kalau tidak dijalankan dengan baik, negara Mesir akan ada masalah. Sampai boleh jadi, ramai yang yang mati kerana kebuluran. Dan kalau hendak mengharapkan ahli politik yang lain, ia akan rosak kerana mereka tidak boleh diharap.

Oleh itu, baginda tolak jawatan rapat dengan Raja dan minta dijadikan sebagai bendahari negara. Ini adalah kerana baginda tidak nampak orang lain yang boleh buat kerja itu. Oleh kerana baginda tahu kepentingan benda itu jadi baginda minta biarlah baginda sendiri yang menguruskannya.

Mungkin ada yang nampak macam baginda gila kuasa pula, tetapi ini adalah benda yang betul yang baginda buat. Kerana baginda yakin yang bagindalah yang patut menguruskannya.

 

إِنّي حَفيظٌ عَليمٌ

sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”.

Kenapa baginda yakin sampai boleh berkata begitu? Kerana baginda tahu yang baginda ada kelebihan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Baginda tahu bagaimana menjaga khazanah negara itu. Baginda tahu bagaimana menguruskan hasil tanaman nanti supaya tanaman dapat dikumpul selama 7 tahun dan bagaimana mengagihkan selama 7 tahun nanti.

Keduanya, baginda tahu apa yang perlu dilakukan. Ini adalah kerana baginda dahulu duduk di rumah menteri kewangan. Telah banyak baginda sudah belajar daripada apa yang baginda perhatikan.

Jadi ini adalah keperluan untuk menjadi menteri kewangan. Pertama, jaga dari harta negara bocor dan kedua, pandai untuk kumpul.

Kita boleh lihat bagaimana sifat baginda sudah bertukar dan kisah baginda sudah mula berubah daripada susah kepada senang. Kalau di awal surah dahulu, kita boleh lihat bagaimana baginda malu-malu masa bercakap dengan ayah baginda. Dan sekarang kita boleh baca bagaimana baginda bercakap dengan nada yang kemas dan yakin.


 

Ayat 56:

وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ يَتَبَوَّأُ مِنها حَيثُ يَشاءُ ۚ نُصيبُ بِرَحمَتِنا مَن نَشاءُ ۖ وَلا نُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus We established Joseph in the land to settle therein wherever he willed. We touch with Our mercy whom We will, and We do not allow to be lost the reward of those who do good.

(MALAY)

Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; (dia berkuasa penuh) pergi menuju ke mana saja dia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik.

 

وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ

Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir;

Begitulah Allah ‎ﷻ meninggikan kedudukan Nabi Yusuf عليه السلام di bumi Mesir itu. Itu hanya terjadi setelah baginda melalui pelbagai dugaan yang besar-besar. Ia mengajar kita yang apapun terjadi, kita kena taqwa dan sabar dengan dugaan yang Allah عليه السلام kenakan terhadap kita. Sepanjang ada masalah dan dugaan itu, kita tetap kena jaga agama dan taqwa kita. Dengan dua prinsip (taqwa dan sabar) ini, kita semua akan berjaya.

Kalimah لِيوسُفَ itu dalam sususan taqdim. Jadi ia membawa maksud eksklusif – maka penempatan baginda dan juga Bani Israil nanti adalah kerana Nabi Yusuf عليه السلام. Allah ‎ﷻ buat begitu khusus untuk Yusuf عليه السلام.

 

يَتَبَوَّأُ مِنها حَيثُ يَشاءُ

pergi menuju ke mana saja dia kehendaki di bumi Mesir itu.

Baginda boleh pilih untuk duduk di mana-mana sahaja. Ini kerana baginda sudah ada kedudukan. Dan ini penting kerana dahulu baginda tidak ada peluang untuk pilih mana baginda hendak duduk. Semasa di rumah, adik beradik tidak suka sampaikan baginda kena buang di telaga; kemudian dijual pula sampai menjadi hamba di rumah Menteri Mesir; kemudian kerana tidak menurut hawa nafsu isteri tuannya, baginda telah dipenjarakan.

Semua itu adalah tempat yang tidak baik untuk baginda dan baginda terpaksa redha dan akur di mana sahaja Allah ‎ﷻ tempatkan baginda. Tetapi sekarang baginda diberi kedudukan setelah baginda melalui segala dugaan itu dan baginda sudah boleh pilih di mana sahaja baginda suka. Keadaan sudah berubah untuk baginda.

 

نُصيبُ بِرَحمَتِنا مَن نَشاءُ

Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki 

Begitulah baginda diberikan dengan rahmat dari Allah ‎ﷻ. Memang dahulu baginda susah dan menerima pelbagai dugaan, sekarang masa untuk baginda dapatkan kesenangan.

 

وَلا نُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ

dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik.

Allah ‎ﷻ tidak akan menghampakan المُحسِنينَ (mereka yang hati baik). المُحسِنينَ itu juga bermaksud mereka yang sedar kehadiran Allah ‎ﷻ sentiasa. Baginda telah sabar menerima segala dugaan yang Allah ‎ﷻ berikan kepadanya, dan sekarang Allah ‎ﷻ menggantikannya dengan kebaikan yang banyak bagi baginda.

Baginda minta kedudukan sebagai bendahari Mesir adalah kerana baginda tahu yang baginda sahaja yang boleh menjalankan tugas itu dengan betul. Kerana kalau bukan baginda yang buat, ia tidak akan berjalan dengan baik. Begitulah, kalau kerja kita kena buat, maka jalankanlah dan jangan lari daripada tanggungjawab itu.

Sebagai contoh kalau ada yang mencadangkan kita menjadi pemimpin. Kalau kita memang layak, janganlah pula tolak konon hendak zuhud merendahkan diri sampai tidak terima atau melepaskan jawatan. Fikirkanlah, kalau kamu yang baik tidak jalankan tugas itu, siapa lagi? Hendak bagi orang lain yang memang mahukan kedudukan untuk tujuan yang salah?

Sebab itulah ramai orang yang jahat yang mengambil kedudukan di setiap tempat kerana orang yang baik segan sangat dan zuhud sangat sampai tidak mahu duduk di tempat yang berkuasa.


 

Ayat 57: Tadi adalah balasan di dunia, dan ini pula adalah balasan di akhirat pula.

وَلَأَجرُ الآخِرَةِ خَيرٌ لِلَّذينَ آمَنوا وَكانوا يَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the reward of the Hereafter is better for those who believed and were fearing Allāh.

(MALAY)

Dan sesungguhnya balasan di akhirat itu lebih baik, bagi orang-orang yang beriman dan selalu bertakwa.

 

وَلَأَجرُ الآخِرَةِ خَيرٌ لِلَّذينَ آمَنوا

Dan sesungguhnya balasan di akhirat itu lebih baik, bagi orang-orang yang beriman

Apa yang baginda sedang dapat itu tidak ada apa kalau dibandingkan dengan balasan di akhirat nanti. Balasan di akhirat nanti akan berlipat kali ganda dan untuk selama-lamanya.

 

وَكانوا يَتَّقونَ

dan selalu bertakwa.

Tetapi kebaikan dan balasan baik itu bagi mereka yang ada iman yang sempurna dan menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Maka kita kalau hendak dapat masuk ke dalam syurga, kena berusaha untuk menjadikan diri kita beriman dan bertaqwa.

Habis Ruku’ 7 dari 12 ruku’ surah ini.


 

Ayat 58: Ini adalah Keadaan yang ke 10 iaitu perjumpaan dengan saudara-saudaranya. Apabila keadaan kemarau, orang yang susah dari merata tempat telah datang ke negara Mesir untuk minta tolong. Ini adalah zaman kemarau selepas 7 tahun kedua.

Selama 7 tahun yang pertama, Mesir telah mengumpul bahan makanan untuk menghadapi zaman kemarau. Nabi Yusuf عليه السلام telah menguruskan proses itu dan baginda bukan simpan untuk rakyat Mesir sahaja tetapi lebih lagi daripada keperluan mereka. Ini adalah langkah yang amat bijak kerana mereka boleh menjual bahan makanan kepada orang lain. Kerana tentu orang lain akan mencari makanan waktu itu kerana memang tidak ada makanan (bukan Mesir sahaja yang kemarau tetapi kawasan berdekatan juga).

Dengan ada bahan makanan yang tidak ada di tempat lain, negara Mesir akan mendapat keuntungan banyak dengan menjualnya kepada yang memerlukan. Kita dapat lihat bagaimana bijak sungguh Nabi Yusuf عليه السلام kerana dapat melihat masa hadapan.

وَجاءَ إِخوَةُ يوسُفَ فَدَخَلوا عَلَيهِ فَعَرَفَهُم وَهُم لَهُ مُنكِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the brothers of Joseph came [seeking food], and they entered upon him; and he recognized them, but he was to them unknown.¹

  • Due to the change in his appearance over the years.

(MALAY)

Dan saudara-saudara Yusuf datang (ke Mesir} lalu mereka masuk ke (tempat)nya. Maka Yusuf mengenal mereka, sedang mereka tidak kenal (lagi) kepadanya.

 

وَجاءَ إِخوَةُ يوسُفَ فَدَخَلوا عَلَيهِ

Dan saudara-saudara Yusuf datang (ke Mesir} lalu mereka masuk ke (tempat)nya. 

Ini adalah masa setelah berlalu 7 tahun yang subur dan sekarang sudah masuk tahun yang kemarau. Waktu itu yang ada makanan adalah di Mesir sahaja. Jadi orang ramai datang dari luar negara untuk mendapatkan bantuan makanan dari negara Mesir.

Mereka terpaksa jual apa yang mereka ada untuk mendapatkan makanan. Dan Mesir telah membantu dengan menjual keperluan makanan kepada mereka. Nabi Yusuf عليه السلام telah membuat peraturan, dari setiap orang yang datang, diberikan sebanyak makanan yang boleh dibawa oleh unta – satu muatan unta. Itu adalah untuk bekalan untuk setahun sahaja, tidak boleh datang untuk ambil lebih dari itu. Jadi kena datang sendiri untuk mengambil gandum itu, tidak boleh pesan kepada orang lain. Tidak dibenarkan beli banyak-banyak lebih daripada seorang.

Oleh kerana negara tempat tinggal mereka (Kan’an) juga kemarau, maka adik beradik Nabi Yusuf عليه السلام pun datang juga ke Mesir mencari makanan. Tetapi mereka tidak pergi dengan Bunyamin kerana Nabi Ya’qub عليه السلام tidak mengizinkannya pergi sekali dengan abang-abangnya. Ini kerana dahulu mereka sudah buat salah dengan Yusuf عليه السلام dan baginda tidak mahu terjadi perkara yang sama dengan anaknya Bunyamin ini.

Walaupun mereka tidak bawa Bunyamin, tetapi mereka cuba jugalah untuk minta bahagian untuk Bunyamin. Mereka kata yang mereka ada seorang lagi adik tetapi tidak dapat datang. Apabila mereka minta lebih dari peraturan yang dibenarkan, maka mereka kena menghadap Nabi Yusuf عليه السلام kerana hanya baginda yang dapat memberikan kebenaran itu.

 

فَعَرَفَهُم وَهُم لَهُ مُنكِرونَ

Maka Yusuf mengenal mereka, sedang mereka tidak kenal (lagi) kepadanya.

Semasa mereka masuk menemui baginda, Nabi Yusuf عليه السلام mengenali mereka. Ini kerana semasa mereka membesar bersama, mereka dahulu sudah besar maka tidak banyak beza antara mereka dahulu dan sekarang.

Tetapi mereka langsung tidak kenal baginda. Ini kerana baginda sudah membesar. Dahulu baginda kecil sahaja dan perbezaan itu ketara. Dan mereka tidak sangka itu adalah Yusuf عليه السلام kerana sifat baginda pun sudah amat jauh berbeza – dahulu baginda seorang pemalu tetapi sekarang sudah lain, sudah menjadi menteri.

Tambahan lagi mereka tidak terfikir langsung yang Yusuf عليه السلام akan menjadi menteri. Apabila mereka meninggalkan baginda di dalam telaga dan diambil orang, mungkin mereka sangka baginda membesar menjadi orang biasa sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s