Ayat 48:
ثُمَّ يَأتي مِن بَعدِ ذٰلِكَ سَبعٌ شِدادٌ يَأكُلنَ ما قَدَّمتُم لَهُنَّ إِلّا قَليلًا مِمّا تُحصِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then will come after that seven difficult [years] which will consume what you advanced [i.e., saved] for them, except a little from which you will store.
(MALAY)
Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.
ثُمَّ يَأتي مِن بَعدِ ذٰلِكَ سَبعٌ شِدادٌ
Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit,
Ini adalah berita gembira. Tidaklah kemarau itu berterusan lama. Setelah mereka melalui 7 tahun yang biasa itu, mereka akan mengalami 7 tahun yang شِدادٌ (tahun-tahun yang teruk – kemarau).
يَأكُلنَ ما قَدَّمتُم لَهُنَّ
yang memakan (menghabiskan) apa yang kamu simpan untuk menghadapinya
Semasa tujuh tahun yang kemarau itu, mereka akan makan apa yang mereka telah simpan selama tujuh tahun yang pertama dahulu. Sebab itulah kena simpan dengan baik kerana kalau tidak berhati-hati dan berjimat cermat, tidak akan cukup nanti.
إِلّا قَليلًا مِمّا تُحصِنونَ
kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.
Bolehlah makan makanan yang telah disimpan itu, kecuali kena simpan sedikit untuk buat benih – jangan habiskan makan pula.
Ayat 49: Kena simpan sebagai benih kerana selepas 7 tahun yang kemarau itu, akan datang kesenangan balik.
ثُمَّ يَأتي مِن بَعدِ ذٰلِكَ عامٌ فيهِ يُغاثُ النّاسُ وَفيهِ يَعصِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then will come after that a year in which the people will be given rain and in which they will press [olives and grapes].”
(MALAY)
Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur”.
ثُمَّ يَأتي مِن بَعدِ ذٰلِكَ عامٌ فيهِ يُغاثُ النّاسُ
Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan
Setelah kemarau tujuh tahun, akan datang kembali keadaan yang baik. Hujan akan banyak balik.
Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.
Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman.
وَفيهِ يَعصِرونَ
dan di masa itu mereka memeras anggur”.
Hasil tanaman akan banyak kembali, anggur pun boleh tumbuh dan mereka akan hidup dalam kesenangan kembali. Diberi isyarat dalam ayat ini apabila mereka boleh memeras hasilan anggur dengan banyak kerana waktu itu sudah subur kembali.
Begitulah maksud mimpi Raja itu dan Nabi Yusuf عليه السلام terus beritahu apa yang perlu dilakukan. Baginda bukan ta’bir mimpi sahaja tetapi diberikan sekali jalan penyelesaian untuk mengambil manfaat daripada mimpi itu. Maknanya, mimpi Raja itu untuk negara walaupun dia seorang yang kafir.
Habis Ruku’ 6 dari 12 ruku’ surah ini.
Ayat 50:
وَقالَ المَلِكُ ائتوني بِهِ ۖ فَلَمّا جاءَهُ الرَّسولُ قالَ ارجِع إِلىٰ رَبِّكَ فَاسأَلهُ ما بالُ النِّسوَةِ اللّاتي قَطَّعنَ أَيدِيَهُنَّ ۚ إِنَّ رَبّي بِكَيدِهِنَّ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the king said, “Bring him to me.” But when the messenger came to him, [Joseph] said, “Return to your master and ask him what is the case of the women who cut their hands. Indeed, my Lord is Knowing of their plan.”
(MALAY)
Raja berkata: “Bawalah dia kepadaku”. Maka tatkala utusan itu datang kepada Yusuf, berkatalah Yusuf: “Kembalilah kepada tuanmu dan tanyakanlah kepadanya bagaimana halnya wanita-wanita yang telah melukai tangannya. Sesungguhnya Tuhanku, Maha Mengetahui tipu daya mereka”.
وَقالَ المَلِكُ ائتوني بِهِ
Raja berkata: “Bawalah dia kepadaku”.
Sekarang kisah terus lompat kepada arahan Raja. Ini adalah selepas orang itu menyampaikan apakah yang diberitahu Nabi Yusuf عليه السلام tentang ta’bir mimpi itu. Walaupun Raja sudah tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi Raja masih hendak berjumpa juga dengan Yusuf عليه السلام sendiri.
Kalau lelaki itu dapat maklumat daripada Nabi Yusuf عليه السلام dan sampaikan kepada Raja tanpa sebut baginda, ini bermakna Raja tidak percaya yang dia yang tahu sendiri. Raja tahu mesti dia dapat dari orang lain dan Raja hendak jumpa terus dengan orang itu. Kerana Raja sedar yang orang yang sampaikan itu adalah orang yang teramat cerdik.
Dan mungkin setelah disoal siasat, baru dia tahu yang Yusuf عليه السلام duduk dalam penjara, tentu Raja hairan kenapa dia duduk dalam penjara? Ternyata pula dia seorang yang cerdik dan pandai, tentu ada yang tidak kena, maka Raja suruh selamatkan baginda.
فَلَمّا جاءَهُ الرَّسولُ قالَ ارجِع إِلىٰ رَبِّكَ
Maka tatkala utusan itu datang kepada Yusuf, berkatalah Yusuf: “Kembalilah kepada tuanmu
Raja telah hantar utusan untuk menerima Nabi Yusuf عليه السلام dan apabila utusan Raja jumpa baginda, baginda beritahu yang baginda tidak mahu keluar dari penjara terus. Ini amat menghairankan (kalau kita sudah lama duduk dalam penjara dan ada orang yang hendak keluarkan kita, kita tidak akan tunggu lama, bukan?)
Baginda bukan tidak mahu keluar, tetapi baginda hendak membersihkan nama baginda terlebih dahulu. Ini menunjukkan yang baginda seorang yang tidak tergesa-gesa dan amat bijaksana. Kerana baginda tidak mahu dikeluarkan tanpa dibersihkan maruah baginda. Ini penting kerana baginda adalah seorang Nabi dan tidak boleh baginda keluar kalau manusia lain sangka baginda seorang yang bersalah.
Kalau raja dan menteri sahaja yang tahu, tidak boleh – kerana nanti baginda perlu dakwah kepada seluruh umat. Tentu susah orang hendak percaya dengan dakwah yang baginda sampaikan kalau ada yang kata baginda keluar penjara hanya kerana baik dengan Raja. Ini tidak boleh kerana maruahnya masih tercemar dan orang tidak akan percaya kalau baginda ajak kepada agama.
فَاسأَلهُ ما بالُ النِّسوَةِ اللّاتي قَطَّعنَ أَيدِيَهُنَّ
dan tanyakanlah kepadanya bagaimana halnya wanita-wanita yang telah melukai tangannya.
Nabi Yusuf عليه السلام memberikan cara untuk mencari maklumat tentang apa yang terjadi sampai baginda dimasukkan ke dalam penjara dengan cara yang salah. Baginda suruh periksa dan siasat tentang apa sebab wanita-wanita itu mengerat jari mereka dalam satu majlis?
Baginda suruh raja tanya tentang kes itu. Lihat bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام tidak cakap panjang pun. Biar dengan maklumat itu, Raja boleh cari sendiri dan tentu ia akan membuktikan baginda benar dan tidak bersalah.
Lihat bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام suruh tanya wanita-wanita yang ramai ada dalam majlis itu, bukan tanya kepada isteri menteri itu kerana dia kaki belit. Tetapi baginda suruh tanya wanita-wanita itu kerana mereka yang tahu kisah sebenar.
إِنَّ رَبّي بِكَيدِهِنَّ عَليمٌ
Sesungguhnya Tuhanku, Maha Mengetahui tipu daya mereka”.
Kalimah رَبّي dalam ayat ini mungkin bermaksud Allah ﷻ atau tuannya (menteri) dulu. Tentu Allah ﷻ mengetahui tipu daya mereka. Malah di sebalik tipu daya itu, Allah ﷻ maha tahu apa yang sebenarnya terjadi.
Dan kalau yang dimaksudkan adalah tuannya, tuannya dahulu pun tahu apa yang terjadi, bukan?
Nota tambahan:
Firaun Pada Zaman Nabi Yusuf عليه السلام: Antara al Quran & Bible
Firaun adalah sebuah gelaran raja yang memerintah Mesir pada suatu ketika dahulu. Gelaran ini sangat popular malah ramai yang menganggap dia adalah seorang raja yang jahat dan zalim terhadap Nabi Musa عليه السلام. Sedangkan di sana sebenarnya terdapat puluhan Firaun lain malah dalam sejarah terdapat salah seorang Firaun yang beriman kepada satu Tuhan seperti Firaun Akhenaten.
Perlu difahami adalah gelaran Firaun itu merupakan perkataan yang melambangkan kepada kuasa pemerintahan seperti gelaran Raja, Sultan, Presiden dan seumpamanya dan ia bukanlah sebuah nama khusus seorang individu.
Perkataan Firaun bermaksud “Great House” dari perkataan ‘per-o’. Perkataan Firaun juga terdapat di dalam kitab suci agama seperti Yahudi, Kristian dan Islam.
Berdasarkan daripada perkataan ini juga terdapat sesuatu perkara yang menarik untuk dibincangkan yang mana ia juga membuktikan bahawa al Qur’an ini adalah benar-benar mukjizat yang datang daripada Allah ﷻ. Jika dirujuk di dalam al Qur’an, Allah ﷻ menyebut mengenai Firaun hanya berkaitan dengan Nabi Musa عليه السلام sahaja.
Manakala jika dirujuk di dalam Bible, perkataan Firaun juga kerap kali digunakan kepada pemerintahan raja Mesir sama ada pada zaman Nabi Yusuf عليه السلام dan Nabi Ibrahim عليه السلام yang merupakan zaman yang jauh sebelum dari zaman Nabi Musa عليه السلام. Bible menyebut, (King James Version):
“And Pharaoh called Abram, and said…” (Genesis 12: 18)
“Then Pharaoh sent and called Joseph…” (Genesis 41: 14)
Pada zaman Nabi Musa عليه السلام sudah tentu Bible juga memakai perkataan Firaun kepada raja Mesir. Akan tetapi, jika dirujuk di dalam Al-Qur’an, ketika Allah ﷻ menceritakan tentang raja Mesir pada zaman Nabi Yusuf عليه السلام, Allah ﷻ tidak menggunakan kalimat Firaun seperti Bible, tetapi digunakan kalimah “Malik” yakni raja Mesir:
“Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir: “Bawalah dia kepadaku! “Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja)…” (Surah Yusuf: 50)
Al-Qur’an tidak menggunakan perkataan Firaun untuk merujuk kepada raja pada zaman Nabi Yusuf عليه السلام sepertimana kisah Nabi Musa عليه السلام. Jika kisah Nabi Musa عليه السلام, Allah ﷻ sinonimkan pula dengan perkataan Firaun merujuk raja Mesir. Mengapa demikian?
Fakta Sejarah Penggunaan Gelaran Firaun
Menurut kajian yang dilakukan oleh Egyptologist terhadap sejarah Mesir Kuno. Mereka mendapati gelaran Firaun kepada raja-raja Mesir mula digunakan pada zaman Kerajaan Baru (New Kingdom) pada tahun 1570-1069 SM.
Ia adalah era paling popular dalam sejarah Mesir yang memberi pengaruh kepada kajian zaman sekarang kerana ramai Firaun yang hebat dan terkenal pada Dinasti ke-18 seperti Hatshepsut, Thuthmoses III, Amenhotep III, Akhenaten dan isterinya, Nefertiti, dan Tutankhamun,
Manakala Dinasti ke-19 terkenal Firaun seperti Seti I, Ramesses II (The Great), dan Merenptah. Dan Dinasti ke-20 pula terkenal Firaun Ramesses III.
Ketiga-tiga dinasti ini adalah termasuk di dalam kerajaan baru (New Kingdom) ini, para penguasa Mesir pada zaman ini dikenali sebagai gelaran “Firaun”, yang bermaksud “Rumah Besar” atau boleh juga bermaksud “Kediaman Diraja”.
Sebelum dari Kerajaan Baru (New Kingdom), Kerajaan Mesir tidak menggelarkan raja mereka dengan nama Firaun. Oleh itu, gelaran Firaun mula digunakan sekitar tahun 1570 SM hingga 1069 SM (New Kingdom).
Fakta ini menunjukkan bahawa perkataan Firaun bukanlah gelaran yang sinonim digunakan sepanjang zaman pemerintahan Mesir. Oleh itu terserlah hikmah mengapa Al-Qur’an tidak memakai gelaran Firaun kepada raja pada zaman Nabi Yusuf عليه السلام ini kerana zaman Nabi Yusuf عليه السلام adalah lebih awal dari zaman Nabi Musa عليه السلام.
Mengikut kajian Biblical, mereka menganggarkan Nabi Yusuf عليه السلام hidup di sekitar 1898 SM- 1806 SM.[2] Oleh itu pada zaman ini gelaran Firaun belum lagi digunakan oleh masyarakat Mesir. Raja mereka hanya dianggap sebagai Raja tanpa ada gelaran spesifik terhadapnya.
Berkenaan dengan tahun kehidupan Musa عليه السلام pula banyak diperselisihkan. Mengikut catatan Rabbi Yahudi dalam buku Seder Olam Rabbah, mereka mengatakan Nabi Musa عليه السلام hidup sekitar 1391–1271 SM, Manakala menurut penterjemah Bible, Jerome menganggarkan ia sekitar 1592 SM manakala James Ussher pula mengatakan sekitar 1571 SM. Walaubagaimanapun, mereka sepakat bahawa pada zaman Musa عليه السلام, raja Mesir sudah menggunakan gelaran Firaun. Ini kerana Nabi Musa lahir di dalam zaman Kerajaan Baru (New Kingdom).
Sekali lagi hal ini menjawab dakwaan yang mengatakan Al-Qur’an menciplak Bible. Jika Al-Qur’an ini diciplak daripada Bible, sudah tentu kesalahan sejarah ini juga akan terpalit sama terkandung di dalam Al-Qur’an. Ini menunjukkan bahawa Al-Qur’an terjaga keasliannya yang diturunkan oleh Allah ﷻ.
Kesimpulan
Di dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ menggunakan perkataan “Malik” merujuk kepada raja Mesir pada zaman Yusuf عليه السلام. Manakala pada zaman Musa عليه السلام digunakan perkataan “Firaun” sesuai dengan zaman New Kingdom. Hal ini terbukti dengan kajian sejarah terhadap gelaran pemerintahan Mesir Kuno.
Jika ingin difikirkan logik, jika Al-Qur’an ini bukan daripada Allah ﷻ, bagaimana fakta ini boleh tepat dan Al-Qur’an tidak silap menukilkanya. Jika mahu dibandingkan dengan Bible, raja-raja Mesir sebelum Nabi Musa عليه السلام juga konsisten digelarkan sebagai Firaun sedangkan hal itu bercanggah dengan sejarah. Jadi ini adalah ‘mukjizat sejarah’ yang ada di dalam Al-Qur’an.
Oleh itu hal ini juga membuktikan bahawa Al-Qur’an ini benar-benar datang daripada Allah ﷻ dan bukan dikarang oleh Nabi Muhammad ﷺ atau diciplak daripada Bible. Semoga kita tergolong daripada kalangan orang-orang yang sentiasa berfikir dan mendapat hidayah dari Allah ﷻ.
Kredit: Firdaus Wong dan R&D Team Multiracial Reverted Muslims (MRM)
Ayat 51: Maka Raja pun siasat dan telah memanggil wanita-wanita itu datang ke istana. Dan bila Raja yang panggil, tentu semua akan datang dan terpaksa bercakap benar. Maka semua kena panggil termasuklah wanita itu sendiri.
قالَ ما خَطبُكُنَّ إِذ راوَدتُنَّ يوسُفَ عَن نَفسِهِ ۚ قُلنَ حاشَ لله ما عَلِمنا عَلَيهِ مِن سوءٍ ۚ قالَتِ امرَأَتُ العَزيزِ الآنَ حَصحَصَ الحَقُّ أَنا راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ وَإِنَّهُ لَمِنَ الصّادِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Said [the king to the women], “What was your condition when you sought to seduce Joseph?” They said, “Perfect is Allāh!¹ We know about him no evil.” The wife of al-‘Azeez said, “Now the truth has become evident. It was I who sought to seduce him, and indeed, he is of the truthful.
- In His ability to create such purity of character.
(MALAY)
Raja berkata (kepada wanita-wanita itu): “Bagaimana keadaanmu ketika kamu menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadamu)?” Mereka berkata: “Maha Sempurna Allah, kami tiada mengetahui sesuatu keburukan dari padanya”. Berkata isteri Al Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku), dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar”.
قالَ ما خَطبُكُنَّ إِذ راوَدتُنَّ يوسُفَ عَن نَفسِهِ
Raja berkata (kepada wanita-wanita itu): “Bagaimana keadaanmu ketika kamu menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya
Raja tanya apa kes? Apakah skandal ketika kamu semua menggoda Yusuf عليه السلام? – maknanya, bukan wanita isteri menteri itu sahaja yang goda Nabi Yusuf عليه السلام. Mereka pun teringin juga cuma kesempatan itu pada wanita itu sahaja.
قُلنَ حاشَ لله ما عَلِمنا عَلَيهِ مِن سوءٍ
Mereka berkata: “Maha Sempurna Allah, kami tiada mengetahui sesuatu keburukan dari padanya”.
Mereka semua telah membuka kisah sebenar. Mereka memuji Allah ﷻ dan kemudian mereka kata memang sebenarnya Nabi Yusuf عليه السلام itu seorang yang baik. Mereka mengaku mereka yang bersalah dan sambil bercakap mereka tengok pada wanita itu (mereka memberitahu punca sebenar kenapa sampai Nabi Yusuf عليه السلام masuk penjara).
قالَتِ امرَأَتُ العَزيزِ الآنَ حَصحَصَ الحَقُّ
Berkata isteri Al Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu,
Isteri menteri itu tidak ada cara lain melainkan kena mengaku sahaja, tiada alasan lagi. حَصحَصَ dari segi bahasa bermaksud ‘memanjat naik ke atas’. Maksudnya, kebenaran sudah naik sekarang, sudah nampak sekarang, sudah keluar sekarang. Lama mereka simpan rahsia itu tetapi sekarang sudah keluar.
أَنا راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ
akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya
Sekarang dia mengaku yang dialah dahulu yang menggoda Nabi Yusuf عليه السلام. Dan kemudian bila Nabi Yusuf عليه السلام tidak mahu ikut kehendaknya, dia buat perancangan untuk memasukkan Nabi Yusuf عليه السلام ke dalam penjara.
وَإِنَّهُ لَمِنَ الصّادِقينَ
dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar”.
Dan dia mengaku yang Nabi Yusuf عليه السلام adalah seorang yang baik dan jujur. Dialah yang sebenarnya bersalah.
Ayat 52:
ذٰلِكَ لِيَعلَمَ أَنّي لَم أَخُنهُ بِالغَيبِ وَأَنَّ اللَهَ لا يَهدي كَيدَ الخائِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That is so he [i.e., al-‘Azeez] will know that I did not betray him in [his] absence and that Allāh does not guide the plan of betrayers.
(MALAY)
(Yusuf berkata): “Yang demikian itu agar dia (Al Aziz) mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak berkhianat kepadanya di belakangnya, dan bahawasanya Allah tidak meredhai tipu daya orang-orang yang berkhianat.
ذٰلِكَ لِيَعلَمَ أَنّي لَم أَخُنهُ بِالغَيبِ
“Yang demikian itu agar dia (Al Aziz) mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak berkhianat kepadanya waktu dia tiada,
Ini adalah kata-kata Nabi Yusuf عليه السلام. Baginda hendakkan penjelasan ini terjadi supaya Allah ﷻ menzahirkan yang baginda tidak mengkhianati tuannya semasa tuannya tidak ada (ghaib maksudnya tidak ada waktu itu). Iaitu semasa ketiadaan tuannya di rumah. Ini adalah kerana baginda menghormati tuannya itu kerana tuannya itu telah pelihara baginda dari kecil dan baik terhadap baginda.
Tafsir kedua: ini adalah kata-kata isteri kepada al-Aziz itu. Dia hendak kata yang dia tidak berlaku curang kepada suaminya itu – tidak pernah terjadi pun penzinaan itu kerana Nabi Yusuf عليه السلام tetap menjaga kehormatannya.
وَأَنَّ اللَهَ لا يَهدي كَيدَ الخائِنينَ
dan bahawasanya Allah tidak meredhai tipu daya orang-orang yang berkhianat.
Dan baginda hendak menjelaskan bahawa Allah ﷻ tidak akan memberi pimpinan kepada perancangan jahat golongan khianat. Khianat akan kalah apabila bertemu dengan yang benar.
Tafsir kedua: potongan kedua ayat ini adalah kata-kata Allah ﷻ – idkhal ilahi – pencelahan Tuhan.
Allahu a’lam. AKHIR JUZ 12. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 22 Oktober 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an