Tafsir Surah Yusuf Ayat 43 – 44 (Mimpi Raja)

MIMPI RAJA

Yusuf Ayat 43: Sekarang masuk ke dalam Keadaan ke 8. Sekarang babak kisah ini berubah lagi dan sekarang bermula kisah di istana raja pula. Daripada mimpi raja inilah yang menjadi penyebab untuk mengeluarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nanti dari penjara dan menyerlahkan kelebihan baginda.

وَقَالَ ٱلمَلِكُ إِنِّىٓ أَرَىٰ سَبعَ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ يَأڪُلُهُنَّ سَبعٌ عِجَافٌ وَسَبعَ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضرٍ وَأُخَرَ يَابِسَٰتٍ ۖ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلمَلَأُ أَفتُونِى فِى رُءيَـٰىَ إِن كُنتُم لِلرُّءيَا تَعبُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [subsequently] the king said, “Indeed, I have seen [in a dream] seven fat cows being eaten by seven [that were] lean, and seven green spikes [of grain] and others [that were] dry. O eminent ones, explain to me my vision, if you should interpret visions.”

(MALAY)

Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): “Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan tujuh bulir lainnya yang kering”. Hai orang-orang yang terkemuka: “Terangkanlah kepadaku tentang ta’bir mimpiku itu jika kamu dapat mena’birkan mimpi”.

 

وَقَالَ ٱلمَلِكُ إِنِّىٓ أَرَىٰ سَبعَ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ

Raja berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk

Sekarang kita berada di dalam istana pula. Seperti biasa, seorang raja memiliki mala’ (para pembesar) di kelilingnya. Ini adalah suasana di mana raja itu sedang berbincang bersama dengan mereka. Raja menceritakan tentang mimpi yang dialaminya dan ini adalah mimpi ke empat dalam surah ini.

    1. Mimpi pertama adalah mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    2. Mimpi lelaki yang selamat (tukang bawa air raja).
    3. Mimpi lelaki yang akan dihukum bunuh (tukang roti raja).
    4. Mimpi raja.

Mimpi raja ini akan menjadi penyebab untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibebaskan dari penjara nanti. Ini kerana mimpi itu mimpi yang penting yang melibatkan nasib keseluruhan kerajaan Mesir dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan berjasa dalam mentafsir mimpi ini nanti. Oleh kerana itu baginda akan dihargai, malah akan menjadi menteri pula nanti. Dalam mimpi raja itu, beliau nampak 7 ekor lembu yang gemuk-gemuk. Gemuk adalah isyarat kepada kesuburan. Digunakan kalimah أَرَىٰ yang di dalam bentuk fi’il mudhari’ walaupun kejadian itu telah berlalu malam tadi untuk memberi isyarat seolah-olah mimpi itu masih segar dalam fikirannya.

Satu kehebatan Al-Qur’an yang kita boleh lihat adalah tepatnya penggunaan kalimah. Jikalau kita masih ingat, ketua negara Mesir di zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan gelaran Firaun. Akan tetapi dalam surah ini iaitu di zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, digunakan istilah ‘raja’ kerana waktu itu ketua negara menggunakan gelaran raja. Ini adalah kerana dinasti yang tidak sama. Kerajaan lama itu akan digulingkan nanti dan diganti dengan dinasti yang menggunakan gelaran Firaun. Di dalam Bible, istilah raja dan Firaun digunakan silih berganti dan ia membawa maksud yang sama sahaja. Sebaliknya Al-Qur’an sangat tepat dalam penggunaan istilah bagi ketua negara mereka. Yang menariknya ia hanya dapat diketahui melalui kajian Hieroglif di zaman moden dan dokumen sejarah yang berasal dari zaman tersebut. Proses penterjemahan tulisan Hieroglif Mesir kuno yang membolehkan dunia moden memahami sepenuhnya bahasa dan tamadun Mesir Purba secara rasmi bermula pada awal abad ke-19 dan mencapai kejayaan muktamad pada tahun 1822. Para pengkaji hanya dapat menterjemahkan tulisan ini selepas penemuan Batu Rosetta (The Rosetta Stone) pada Julai 1799, di bandar Rashid (Rosetta), Mesir, oleh askar Perancis semasa kempen Napoleon. Batu ini mengandungi inskripsi yang sama (dekri yang dikeluarkan oleh Raja Ptolemy V pada tahun 196 SM). Kalau sebelum itu, orang yang melihat gambar pada dinding itu sangka ia hanyalah gambar hiasan sahaja.

Istilah “Firaun” berasal daripada perkataan Mesir purba “Per-Aa” (atau pr-‘3), yang secara literal bermaksud Rumah Besar (Great House). Pada awalnya, terutamanya semasa tempoh Kerajaan Lama (sekitar 2686–2181 SM), istilah Per-Aa merujuk kepada istana, kediaman diraja, atau institusi raja itu sendiri, bukannya raja sebagai individu. Ia digunakan sebagai cara tidak langsung untuk merujuk kepada kuasa pusat. Peralihan di mana istilah Per-Aa mula digunakan secara langsung untuk merujuk kepada individu raja berlaku semasa tempoh Kerajaan Baru (sekitar 1550–1070 SM). Selama beribu-ribu tahun sebelum tempoh ini (Kerajaan Awal dan Kerajaan Lama), pemerintah Mesir Purba biasanya hanya dirujuk sebagai “Raja” dan dikenali melalui pelbagai gelaran diraja yang rumit (dikenali sebagai Lima Gelaran Diraja), seperti Nama Horus, Nama Nebty, dan terutamanya nama kelahiran mereka, tetapi bukan Per-Aa sebagai gelaran utama untuk individu. Contoh rekod terawal yang menggunakan “Firaun” untuk merujuk kepada individu raja adalah dalam surat-menyurat yang berasal dari pertengahan Dinasti ke-18, iaitu permulaan era Kerajaan Baru. Oleh itu, kita tahu Mesir Purba menggunakan istilah yang berbeza (gelaran raja yang kompleks berbanding Per-Aa yang bermaksud istana) pada permulaan sejarah mereka, dan perkataan “Firaun” hanya menjadi gelaran standard yang konsisten untuk ketua negara Mesir pada zaman Kerajaan Baru. Para sarjana moden, seperti Jean Yoyotte dan Ronald Leprohon, dapat menentukan fakta ini melalui penyelidikan mendalam terhadap Hieroglif dan Teks Kerajaan. Dengan kajian itu mereka dapat mengesan perkembangan penggunaan istilah Per-Aa (Rumah Besar) dalam papirus dan inskripsi kuil dari tempoh ke tempoh. Mereka juga dapat memeriksa Senarai Raja seperti Daftar Raja Abydos dan Daftar Raja Turin, yang merekodkan nama-nama pemerintah mengikut gelaran diraja tradisional mereka, mengesahkan bahawa “Firaun” tidak termasuk dalam gelaran rasmi awal mereka. Maka, ini adalah salah satu bukti kehebatan dan kebenaran Al-Qur’an yang semakin terserlah dengan penemuan baru zaman moden.

 

Nota tambahan:

[Firaun Pada Zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Antara Al-Qur’an & Bible]

Firaun adalah sebuah gelaran raja yang memerintah Mesir pada suatu ketika dahulu. Gelaran ini sangat popular malah ramai yang menganggap dia adalah seorang raja yang jahat dan zalim terhadap Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan di sana sebenarnya terdapat puluhan Firaun lain malah dalam sejarah terdapat salah seorang Firaun yang beriman kepada satu Tuhan seperti Firaun Akhenaten.

Perlu difahami adalah gelaran Firaun itu merupakan perkataan yang melambangkan kepada kuasa pemerintahan seperti gelaran Raja, Sultan, Presiden dan seumpamanya dan ia bukanlah sebuah nama khusus seorang individu.

Perkataan Firaun bermaksud “Great House” daripada perkataan ‘per-o’. Perkataan Firaun juga terdapat di dalam kitab suci agama seperti Yahudi, Kristian dan Islam.

Berdasarkan daripada perkataan ini juga terdapat sesuatu perkara yang menarik untuk dibincangkan yang mana ia juga membuktikan bahawa Al-Qur’an ini adalah benar-benar mukjizat yang datang daripada Allah ‎ﷻ. Jika dirujuk di dalam al Qur’an, Allah ‎ﷻ menyebut mengenai Firaun hanya berkaitan dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja.

Manakala jika dirujuk di dalam Bible, perkataan Firaun juga kerap kali digunakan kepada pemerintahan raja Mesir sama ada pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang merupakan zaman yang jauh sebelum dari zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bible menyebut, (King James Version):

“And Pharaoh called Abram, and said…” (Genesis 12: 18)

“Then Pharaoh sent and called Joseph…” (Genesis 41: 14)

Pada zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tentu Bible juga memakai perkataan Firaun kepada raja Mesir. Akan tetapi, jika dirujuk di dalam Al-Qur’an, ketika Allah ‎ﷻ menceritakan tentang raja Mesir pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah ‎ﷻ tidak menggunakan kalimat Firaun seperti Bible, tetapi digunakan kalimah “Malik” yakni raja Mesir:

“Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir: “Bawalah dia kepadaku! “Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja)…” (Surah Yusuf: 50)

Al-Qur’an tidak menggunakan perkataan Firaun untuk merujuk kepada raja pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sepertimana kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jika kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah ‎ﷻ sinonimkan pula dengan perkataan Firaun merujuk raja Mesir. Mengapa demikian?

Fakta Sejarah Penggunaan Gelaran Firaun

Menurut kajian yang dilakukan oleh Egyptologist terhadap sejarah Mesir Kuno. Mereka mendapati gelaran Firaun kepada raja-raja Mesir mula digunakan pada zaman Kerajaan Baru (New Kingdom) pada tahun 1570-1069 SM.

Ia adalah era paling popular dalam sejarah Mesir yang mempengaruhi kajian zaman sekarang kerana ramai Firaun yang hebat dan terkenal pada Dinasti ke-18 seperti Hatshepsut, Thuthmoses III, Amenhotep III, Akhenaten dan isterinya, Nefertiti, dan Tutankhamun,

Manakala Dinasti ke-19 terkenal Firaun seperti Seti I, Ramesses II (The Great), dan Merenptah. Dan Dinasti ke-20 pula terkenal Firaun Ramesses III.

Ketiga-tiga dinasti ini adalah termasuk di dalam kerajaan baru (New Kingdom) ini, para penguasa Mesir pada zaman ini dikenali sebagai gelaran “Firaun”, yang bermaksud “Rumah Besar” atau boleh juga bermaksud “Kediaman Diraja”.

Sebelum Kerajaan Baru (New Kingdom), Kerajaan Mesir tidak menggelarkan raja mereka dengan nama Firaun. Oleh itu, gelaran Firaun mula digunakan sekitar tahun 1570 SM hingga 1069 SM (New Kingdom).

Fakta ini menunjukkan bahawa perkataan Firaun bukanlah gelaran yang sinonim digunakan sepanjang zaman pemerintahan Mesir. Oleh itu terserlah hikmah mengapa Al-Qur’an tidak menggunakan gelaran Firaun kepada raja pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kerana zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah lebih awal dari zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Mengikut kajian Biblical, mereka menganggarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hidup di sekitar 1898 SM- 1806 SM.[2] Oleh itu pada zaman ini gelaran Firaun belum lagi digunakan oleh masyarakat Mesir. Raja mereka hanya dianggap sebagai Raja tanpa ada gelaran spesifik terhadapnya.

Berkenaan dengan tahun kehidupan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula banyak diperselisihkan. Mengikut catatan Rabbi Yahudi dalam buku Seder Olam Rabbah, mereka mengatakan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hidup sekitar 1391–1271 SM, Manakala menurut penterjemah Bible, Jerome menganggarkan ia sekitar 1592 SM manakala James Ussher pula mengatakan sekitar 1571 SM. Walaubagaimanapun, mereka sepakat bahawa pada zaman Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, raja Mesir sudah menggunakan gelaran Firaun. Ini kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir di dalam zaman Kerajaan Baru (New Kingdom).

Sekali lagi hal ini menjawab dakwaan yang mengatakan Al-Qur’an menciplak Bible. Jika Al-Qur’an ini diciplak daripada Bible, sudah tentu kesalahan sejarah ini juga akan terpalit sama terkandung di dalam Al-Qur’an. Ini menunjukkan bahawa Al-Qur’an terjaga keasliannya yang diturunkan oleh Allah ‎ﷻ.

Kesimpulan

Di dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan “Malik” merujuk kepada raja Mesir pada zaman Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Manakala pada zaman Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula digunakan perkataan “Firaun” sesuai dengan zaman New Kingdom. Hal ini terbukti dengan kajian sejarah terhadap gelaran pemerintahan Mesir Kuno.

Jika ingin difikirkan logik, seandainya Al-Qur’an ini bukan daripada Allah ‎ﷻ, bagaimana fakta ini boleh tepat dan Al-Qur’an tidak silap menukilkannya. Jika mahu dibandingkan dengan Bible, raja-raja Mesir sebelum Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga konsisten digelarkan sebagai Firaun sedangkan hal itu bercanggah dengan sejarah. Jadi ini adalah ‘mukjizat sejarah’ yang ada di dalam Al-Qur’an.

Oleh itu hal ini juga membuktikan bahawa Al-Qur’an ini benar-benar datang daripada Allah ‎ﷻ dan bukan dikarang oleh Nabi Muhammad ﷺ atau diciplak daripada Bible. Semoga kita tergolong daripada kalangan orang-orang yang sentiasa berfikir dan mendapat hidayah daripada Allah ‎ﷻ.

Kredit: Firdaus Wong dan R&D Team Multiracial Reverted Muslims (MRM)

 

يَأكُلُهُنَّ سَبعٌ عِجافٌ

dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus

Manakala 7 ekor lembu yang gemuk itu dimakan oleh 7 ekor lembu yang kurus. Kurus pula adalah lambang kepada kurangnya makanan. Kalimah عِجافٌ bermaksud sesuatu yang tidak mahu makan atau berhenti makan sebelum perut mereka penuh. Ini mimpi yang agak pelik kerana lembu makan lembu. Malah lebih pelik lagi kerana yang memakan itu adalah lembu-lembu yang kurus dan lemah dan yang mereka makan adalah lembu yang gemuk dan tentunya kuat! Oleh itulah raja itu berasa perlu mengetahui apakah maksud mimpinya itu.

 

وَسَبعَ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضرٍ وَأُخَرَ يَابِسَٰتٍ

dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan tangkai lainnya yang kering”.

Kemudian raja itu bermimpi tentang 7 tangkai gandum yang hijau segar dan 7 lagi yang kering. Walaupun tidak disebut 7 bulir gandum yang kering, akan tetapi kebanyakan ulama’ menganggap ia juga 7. Hijau lambang kepada kesuburan dan kering adalah lambang kepada sebaliknya. Apabila tangkai-tangkai itu duduk berdekatan, yang kering itu telah menggulung tangkai-tangkai yang segar sampai tangkai yang segar juga nampak kering.

Tangkai gandum

Kalimah سُنۢبُلَـٰتٍ adalah jamak bagi kalimah سنبلة akan tetapi ia bukanlah banyak sangat atau dalam bahasa Arab ia dipanggil jamak qillah. Ini berbeza dengan penggunaan kalimah سَنابِلَ di dalam Baqarah:261 yang bermaksud jamak yang banyak (jamak kathrah).

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.

Ini juga mimpi yang pelik. Apabila seseorang itu bermimpi pelik, mimpi itu hendaklah ia dita’bir. Ini bukan mimpi yang biasa kerana raja itu sendiri rasa benda itu penting kerana ia berulang-ulang. Oleh itu, tidaklah semua mimpi kita perlu dita’bir. Hanya mimpi yang pelik dan dirasakan penting sahaja yang perlu dita’bir kerana ada sesuatu yang hendak disampaikan. Sekiranya mimpi itu penting, seseorang itu akan bermimpi banyak kali. Ini kerana kalau orang yang tahu ta’bir mimpi, dia sudah tahu maknanya dan dia sudah boleh ambil kesimpulan. Akan tetapi kalau seorang yang tidak tahu ta’bir mimpi dan dia tidak faham, maka mimpi itu akan berulang dan dia hendaklah mencari orang yang boleh menta’bir mimpi tersebut. Namun begitu, jikalau mimpi jenis mainan tidur seperti mimpi yang menakutkan atau jenis mimpi yang keluar air mani, tidak perlulah dita’bir.

Dalam kisah ini, Raja itu adalah seorang yang kafir, tetapi dapat juga mimpi yang penting. Oleh itu, ini memberitahu kita yang tidak semestinya hanya orang mukmin sahaja mimpi yang benar. Begitu juga, tidaklah boleh kata, sebab tidur tidak berwudhu’ maka mimpi itu tidak bermakna. Raja ini pun tidaklah setiap kali minta orang ta’bir mimpi. Beliau meminta dita’bir mimpinya pun kerana beliau merasakan mimpinya itu penting sahaja.

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلمَلَأُ أَفتُونِى فِى رُءيَـٰىَ

Hai pembesar sekelian: “Terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini

Oleh kerana beliau rasa mimpinya itu penting, maka beliau telah mengumpul menteri-menterinya. Kalimah أَفتُونِى maksudnya raja itu minta fatwa daripada mereka. Mungkin sebelum itu mereka pernah kata mereka pandai dalam segala hal, ta’bir mimpi pun mereka boleh, maka raja hendak suruh mereka ta’bir mimpilah. Atau, beliau memanggil orang-orang yang pakar dalam menta’bir mimpi kerana zaman itu orang Mesir memang mereka percaya kepada mimpi. Jadi ada orang-orang khas yang dipercayai pandai membaca mimpi.

 

إِن كُنتُم لِلرُّؤيا تَعبُرونَ

jika kamu mampu menta’bir mimpi”.

Sekiranya mereka benar boleh menta’bir mimpi, maka tolonglah ta’bir. Kalimah تَعبُرونَ daripada kata dasar ع ب ر yang bermaksud menyeberangi; menafsirkan; menyatakan dengan jelas; melewati; mempertimbangkan; merenungkan; memperhitungkan; mendapatkan pengalaman; mengambil peringatan; memperhatikan; peringatan; contoh; peringatan; mempelajari. Ta’bir bermaksud mengambil sesuatu yang abstrak dan memperjelaskan supaya orang faham.

Kalimah لِلرُّؤيا ini taqdim (diawalkan), jadi bermaksud kalau mereka pakar dalam ta’bir mimpi. Akan tetapi tidak ada sesiapa yang boleh pasti tafsiran mereka benar melainkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja kerana baginda diberi wahyu oleh Allah ‎ﷻ.


 

Yusuf Ayat 44: Apakah jawapan para pembesar itu?

قَالُوٓاْ أَضغَـٰثُ أَحلَامٍ ۖ وَمَا نَحنُ بِتَأوِيلِ ٱلأَحلَـٰمِ بِعَـٰلِمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “[It is but] a mixture of false dreams, and we are not learned in the interpretation of dreams.”

(MALAY)

Mereka menjawab: “(Itu) adalah mimpi-mimpi yang kosong dan kami sekali-kali tidak tahu menta’birkan mimpi itu”.

 

قَالُوٓاْ أَضغَـٰثُ أَحلَامٍ

Mereka menjawab: “(Itu) adalah mimpi-mimpi yang bercampur baur

Oleh kerana mereka tidak tahu menta’bir mimpi, maka mereka kata mimpi Raja itu adalah mimpi kosong, yang keliru, bercampur baur sampai tidak ada apa-apa makna yang boleh diambil daripadanya. Kalimah أَضغَـٰثُ adalah jamak kepada ضغث yang daripada kata dasar ض غ ث yang bermaksud cara yang keliru dan bercelaru; mencampurkan sesuatu; segenggam rumput kering atau herba yang bercampur; perkara yang keliru bercampur-campur; segenggam ranting atau pokok atau pokok renek; mimpi; mimpi ngeri; mimpi keliru. Mereka hendak kata mimpi itu bercampur baur, ada lembu gemuk dan kurus, kemudian ada tangkai hijau dan kering. Bagaimana pula lembu kurus boleh memakan lembu gemuk?

Kalimah أَحلامٍ adalah jamak kepada حُلْم yang bermaksud mimpi dan selalunya digunakan untuk merujuk kepada mimpi yang buruk. Untuk mimpi yang baik digunakan kalimah رُؤْيَا. Perhatikan apabila raja menceritakan mimpinya, beliau menggunakan istilah رُؤْيَا tetapi para penasihat ini menggunakan pula istilah أَحلامٍ. Oleh itu, kita boleh dapat faham yang raja nampak mimpi itu penting akan tetapi para penasihat itu kata itu mimpi buruk sahaja, dan tidak perlu dita’bir pun mimpi itu. Kerana pada mereka, ia adalah mimpi karut atau kosong sahaja. Perhatikan juga, raja menggunakan istilah mufrad untuk mimpinya (رُؤْيَا) yang menunjukkan beliau nampak ia sebuah mimpi sahaja yang berkaitan, sedangkan para pembesar itu menggunakan istilah jamak (أَحلامٍ) kerana mereka nampak ia  adalah dua buah mimpi yang berbeza.

Maksudnya, mereka telah meringankan perasaan raja, seolah-olah mimpi itu main-main sahaja, atau mimpi yang tidak bermakna dan raja tidak perlu kisah pun tentang mimpi tersebut. Mereka sebenarnya tidak tahu apakah maksud mimpi itu tetapi mereka tidak mahulah mengaku yang mereka tidak tahu. Memang ramai manusia susah hendak mengaku mereka tidak tahu jadi mereka akan salahkan orang yang bertanya. Mereka seolah-olah berkata: ‘Macam mana kami nak jawab, soalan kau ni mengarut saja’!

 

وَمَا نَحنُ بِتَأوِيلِ ٱلأَحلَـٰمِ بِعَـٰلِمِينَ

dan kami sekali-kali tidak mampu menta’birkan mimpi yang bercampur baur itu”.

Mereka mengaku yang mereka tidak tahu menta’bir mimpi itu yang mereka panggil sebagai ٱلأَحلَـٰمِ. Mereka kata mereka tidak tahu untuk ta’bir kalau mimpi yang kosong sahaja (tidak mahu kalah juga). Ini memberi isyarat bahawa memang zaman itu mereka banyak mentafsir mimpi dan ada profesi orang yang ada kelebihan mentafsir mimpi. Dan kerana itulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan mukjizat kebolehan mentafsir mimpi. Kalau kita perhatikan mukjizat para Nabi ketika itu bersesuaian untuk mengalahkan kebolehan pakar dalam masyarakat mereka. Sebagai contoh, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan tongkat yang mengalahkan sihir ahli sihir di zamannya; Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh menyembuhkan kerana zaman itu zaman perubatan yang hebat; Nabi Muhammad ﷺ pula diberikan dengan mukjizat Al-Qur’an untuk mengalahkan para penyair yang hebat di zaman baginda kerana ketinggian bahasa yang disanjung pada zaman itu.

Maka kehebatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan terserlah kerana baginda boleh mentafsir mimpi yang tidak boleh ditafsir oleh pakar mimpi pada zamannya. Seandainya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus diminta untuk mentafsir mimpi itu, tentu tidak terserlah kehebatannya. Namun oleh kerana ia telah dipersembahkan kepada para pakar dan mereka tidak berjaya, maka kejayaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nanti akan lebih bermakna. Ini sama seperti kehebatan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menamakan semua benda setelah para malaikat tidak berjaya melakukannya. Kisah ini disebut di dalam Baqarah:31-33

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَہُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (٣١) قَالُواْ سُبۡحَـٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآ‌ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ (٣٢) قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَآٮِٕہِمۡ‌ۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَآٮِٕہِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّىٓ أَعۡلَمُ غَيۡبَ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ (٣٣)
Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. (31) Malaikat itu menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (32) Allah berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan? (33)

Maka kita sudah tahu bahawa syaitan telah membuat onar sampaikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ duduk lama di dalam penjara. Rancangannya hanyalah bertujuan untuk menjatuhkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan tetapi Allah ‎ﷻ mempunyai perancangan yang lebih kuat dan rancangan Allah ‎ﷻ telah berjaya. Begitulah rancangan syaitan tidak boleh melawan rancangan Allah ‎ﷻ.

Wahyu yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah tentang menta’bir mimpi dan dengan kelebihan itu, baginda akhirnya nanti dapat menyelamatkan negeri Mesir daripada kebuluran. Maka ini mengajar kita yang wahyu Allah ﷻ bukan hanya untuk kebaikan spiritual, tetapi kebaikan keduniaan juga. Sepertimana ayat-ayat Al-Qur’an ini ia mengandungi terlalu banyak ajaran untuk kebaikan keduniaan kita dan bukan hanya untuk akhirat sahaja. Allah ﷻ berfirman di dalam Maidah:66 bahawa jikalau manusia berpegang dengan wahyu, rezeki mereka pun akan terjaga,

وَلَو أَنَّهُم أَقامُوا التَّوراةَ وَالإِنجيلَ وَما أُنزِلَ إِلَيهِم مِن رَبِّهِم لَأَكَلوا مِن فَوقِهِم وَمِن تَحتِ أَرجُلِهِم
Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan (Al Qur’an) yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhannya, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan dari bawah kaki mereka.

Di dalam ayat ini kita dapat lihat yang para penasihat tidak nampak kepentingan mimpi raja itu. Yang nampak kepentingan mimpi itu hanyalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mendapat wahyu daripada Allah ﷻ yang diajar sendiri oleh Allah ﷻ untuk menta’bir mimpi. Mereka nampak ia tidak penting, hanya sekadar mainan tidur sahaja, sedangkan ia sangatlah penting untuk negeri Mesir ketika itu. Begitulah kadangkala ada orang nampak sesuatu itu tidak penting namun sebaliknya apabila dilihat dengan lensa lain, barulah nampak ia sangat penting. Begitulah dengan Al-Qur’an yang menekankan kepentingan sesuatu perkara yang manusia biasanya nampak sebagai remeh sahaja. Sebagai contoh, perkara tentang syirik dipandang ringan sahaja oleh kebanyakan manusia sedangkan ia sentiasa disebut-sebut di dalam Al-Qur’an kerana ia sangatlah penting. Kerana itulah Al-Qur’an disebut sebagai cahaya kerana ia menerangi perkara yang tidak nampak jikalau kita berada di dalam kegelapan.

Akhir sekali lihatlah kepada kepentingan ilmu. Allah ﷻ telah memberi sebuah ilmu kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mengatasi ilmu-ilmu yang ada ketika itu. Kelebihan itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ dan baginda gunakan untuk kebaikan. Maka kita pun pasti ada kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada kita yang kita mesti gunakan untuk kebaikan ummah. Jangan sorok kelebihan itu kerana mungkin masyarakat memerlukannya. Sebagai contoh kebolehan menulis, mengajar dan sebagainya. Kalau kita malu dan sorok kelebihan itu, rugilah masyarakat untuk mendapat ilmu dan manfaat daripada kita. Yang penting, ia mesti untuk kebaikan orang ramai.

 

Kuiz Soalan Jawapan Pendek

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.

1. Apakah dua elemen utama yang dilihat oleh Raja Mesir dalam mimpinya seperti yang dijelaskan dalam ayat 43?

2. Menurut teks, mimpi raja ini adalah mimpi keempat yang disebut dalam Surah Yusuf. Apakah tiga mimpi yang sebelumnya?

3. Mengapakah penggunaan kalimah أَرَىٰ (dalam bentuk fi’il mudhari’) oleh raja dianggap signifikan dalam menceritakan mimpinya yang telah berlaku?

4. Jelaskan perbezaan penggunaan gelaran “Raja” dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan “Firaun” dalam kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan bagaimana ia menunjukkan ketepatan Al-Qur’an.

5. Apakah makna kalimah عِجافٌ dan apakah keanehan yang terdapat dalam babak mimpi yang melibatkan lembu-lembu ini?

6. Huraikan perbezaan antara penggunaan kalimah سُنۢبُلَـٰتٍ dalam mimpi raja dan سَنابِلَ dalam Surah Al-Baqarah ayat 261.

7. Bagaimanakah para pembesar raja menolak kepentingan mimpi tersebut, dan apakah istilah yang mereka gunakan untuk menggambarkannya?

8. Apakah perbezaan antara kalimah رُؤْيَا yang digunakan oleh raja dan أَحلامٍ yang digunakan oleh para pembesarnya?

9. Bagaimanakah kehebatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam mentafsir mimpi ini dibandingkan dengan mukjizat nabi-nabi lain seperti Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?

10. Apakah pengajaran yang boleh diambil mengenai wahyu Allah ‎ﷻ dan ilmu berdasarkan kebolehan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menta’bir mimpi?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
أَرَىٰ (Araa)
Kata kerja dalam bentuk fi’il mudhari’ (masa kini/akan datang). Penggunaannya dalam konteks mimpi raja memberi isyarat seolah-olah mimpi itu masih segar dalam ingatannya.
Mala’
Merujuk kepada para pembesar, menteri, atau orang-orang terkemuka yang berada di sekeliling seorang raja atau pemimpin.
Raja vs. Firaun
Al-Quran secara tepat menggunakan “Raja” untuk pemerintah Mesir zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan “Firaun” untuk zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Istilah “Firaun” hanya menjadi gelaran untuk individu raja pada era Kerajaan Baru (selepas zaman Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ).

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Oktober 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 43 – 44 (Mimpi Raja)”

  1. Kunci Jawapan

    1. Dua elemen utama dalam mimpi raja ialah tujuh ekor lembu betina yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus, serta tujuh tangkai gandum yang hijau dan tujuh lagi yang kering. Mimpi ini dianggap aneh dan penting oleh raja.

    2. Tiga mimpi sebelumnya ialah: mimpi pertama Nabi Yusuf sendiri, mimpi kedua adalah mimpi lelaki yang selamat (pembawa air raja), dan mimpi ketiga adalah mimpi lelaki yang dihukum bunuh (pembuat roti raja).

    3. Penggunaan kalimah أَرَىٰ dalam bentuk kata kerja masa kini (fi’il mudhari’) memberi isyarat bahawa mimpi itu masih terasa sangat segar dan jelas dalam ingatan raja, seolah-olah beliau sedang mengalaminya semula ketika bercerita.

    4. Al-Quran secara tepat menggunakan gelaran “Raja” untuk pemerintah Mesir pada zaman Nabi Yusuf dan “Firaun” pada zaman Nabi Musa. Ini kerana gelaran “Firaun” (berasal dari Per-Aa atau “Rumah Besar”) hanya mula digunakan untuk merujuk kepada individu raja semasa era Kerajaan Baru, iaitu selepas zaman Nabi Yusuf.

    5. Kalimah عِجافٌ bermaksud sesuatu yang tidak mahu makan atau berhenti makan sebelum kenyang. Keanehan dalam mimpi itu ialah lembu kurus yang lemah memakan lembu gemuk yang kuat, dan lebih aneh lagi kerana lembu memakan lembu.

    6. Kalimah سُنۢبُلَـٰتٍ adalah bentuk jamak yang menunjukkan bilangan yang tidak terlalu banyak (jamak qillah), sesuai dengan bilangan tujuh dalam mimpi. Manakala سَنابِلَ pula adalah bentuk jamak yang membawa maksud bilangan yang sangat banyak (jamak kathrah).

    7. Para pembesar menolak kepentingan mimpi raja dengan mendakwanya sebagai أَضغَـٰثُ أَحلَامٍ, iaitu mimpi-mimpi kosong yang bercampur baur, keliru, dan tidak mempunyai sebarang makna yang jelas untuk ditafsirkan.

    8. Raja menggunakan kalimah رُؤْيَا yang lazimnya merujuk kepada mimpi yang baik atau penting. Sebaliknya, para pembesar menggunakan أَحلامٍ, bentuk jamak bagi حُلْم, yang sering merujuk kepada mimpi buruk, karut atau tidak bermakna.

    9. Kehebatan Nabi Yusuf mentafsir mimpi adalah mukjizat yang mengalahkan kepakaran para ahli mimpi di zamannya. Ini selari dengan mukjizat nabi lain: Nabi Musa dengan tongkatnya mengalahkan ahli sihir, dan Nabi Isa dengan penyembuhannya mengatasi pakar perubatan.

    10. Pengajarannya ialah wahyu Allah bukan hanya untuk kebaikan rohani semata-mata, tetapi juga untuk kebaikan duniawi. Ilmu yang diberikan Allah kepada Nabi Yusuf akhirnya menyelamatkan Mesir daripada kebuluran, menunjukkan bahawa ilmu yang benar membawa manfaat kepada masyarakat.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply